Sunday, November 9, 2008

'Anak siapalah agaknya ni?'


KONSTABEL Shafawati Miswan mendukung kanak-kanak yang ditemui merayau-rayau seorang diri di Taman Intan Baiduri, Kepong, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun ditemui merayau-rayau seorang diri di sebuah restoran di Taman Intan Baiduri Kepong di sini semalam.

Kanak-kanak yang mempunyai masalah untuk bertutur itu ditemui oleh sepasang suami isteri ketika sedang menikmati makan malam di situ pukul 9 malam sebelum membawanya pulang untuk dibersihkan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pasangan itu kemudiannya membawa kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Kepong untuk diserahkan kepada keluarganya.

"Ketika kanak-kanak itu dibawa, pasangan itu telah menukar bajunya dan tidak dapat memastikan pakaian yang dipakai ketika dia keluar dari rumah.

"Kita telah cuba bertanyakan nama, rumah dan nama ibu bapanya dalam pelbagai bahasa tetapi dia tidak dapat menjawabnya dan hanya ketawa sahaja," katanya di sini semalam.

Tambah Zakaria, pihaknya percaya kanak-kanak itu merupakan orang tempatan berdasarkan tanda suntikan cacar pada lengannya.

Sehubungan itu menurutnya, sesiapa yang kehilangan kanak-kanak perempuan diminta datang ke Balai Polis Kepong selewat-lewatnya hari ini sebelum pihaknya mengambil tindakan menyerahkannya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) esok.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Keng Yaik: Pemimpin politik negara perlu belajar dari Obama

Sabtu November 8, 2008


KUALA LUMPUR: Apabila Barrack Obama membuat ucapan sulungnya sejurus mencipta sejarah sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat, Rabu lalu, beliau menolak bisikan perkauman yang kuat dan emosi mengenai kejayaannya.


Berdasarkan pemerhatian penasihat parti Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik pada ucapan Obama selepas memenangi pilihan raya presiden ke44 itu, katanya, pemimpin baru itu tidak pernah merujuk dirinya sebagai wira kaum kulit hitam Amerika.


Mengulas mengenai pemilihan itu, Lim menanggap Obama sebagai wira Amerika yang sejati kerana sentiasa menyuarakan masa depan semua masyarakat Amerika tanpa mengira perbezaan warna kulit.


Melihat pandangan dan pegangan Obama, beliau berharap satu hari nanti, pemimpin politik Malaysia boleh mencontohi ideologi dan disiplin Obama dalam memimpin masyarakat berbilang kaum di negara ini.


Dalam ucapannya, Obama berkata: "Setelah sekian lama masa yang ditunggu sudah tiba untuk melakukan perubahan dan malam ini, perubahan sudah tiba ke Amerika."


"Saya tidak pernah menjangka perkara ini boleh terjadi (pemilihan presiden Amerika Syarikat berkulit hitam) tetapi apa yang tidak dijangka berlaku," kata Lim yang menggambarkan kemenangan senator dari Illinois itu.


Merumus pemerhatian peribadinya, Lim berkata, pilihan raya presiden Amerika Syarikat itu mempunyai persamaan dengan pilihan raya umum ke-12 di negara ini pada 8 Mac lepas apabila pengundi mahukan perubahan.


Mengambil pengajaran daripada fenomeno tersebut dan mengambil kira perubahan dalam dunia masa kini, katanya, ia bukan masa untuk rakyat Malaysia membicarakan isu-isu remeh dan sempit tetapi mencari jalan untuk memperbaiki kualiti hidup penduduk oleh kerajaan pemerintah.


Merujuk kepada isu kontrak sosial, yang sering kali dibangkitkan oleh ahli politik dan pengulas sejak akhir-akhir ini, katanya is membenarkan penubuhan sebuh kerajaan berperlembagaan yang menimbulkan satu persekitaran yang harmoni dan keseimbangan sosial semua masyarkat sejak 1957.


"Kontrak sosial itu merupakan jaminan keseimbangan dan pemuliharaan undang-undang. Kontrak sosial harus dikaji secara sepenuhnya dan tidak harus dirampas oleh mana-mana kumpulan masyarakat untuk agenda masing-masing," katanya.


Lim berkata, tokoh pengasas negara telah mengambil beberapa tahun untuk merangka kontrak sosial dan rakyat Malaysia hari ini harus memahaminya secara jelas supaya tidak membenarkan sebarang tafsiran sempit untuk tujuan politik.


Beliau juga berkata, ekoran pilihan raya umum 8 Mac lalu, Barisan Nasional (BN) yang memerintah tidak harus memandang rendah isu hak asasi manusia.


Beliau turut menggariskan lima aspek hak asasi manusia yang perlu dihormati.


* hak kepada kewujudan sebuah negara Malaysia yang harmoni dan aman


* hak untuk golongan miskin dari semua kaum mendapat layanan yang adil


* hak minoriti, agama dan kebudayaan dilindungi dan diberi layanan adil


* Layanan adil kepada individu


* hak untuk mencari pendapatan yang adil dan saksama.


"Saya mempunyai harapan besar bagi negara ini tetapi ahli politik dari pihak pembangkang dan pemerintah harus berubah. Trend (untuk perubahan) adalah perlu untuk semua melihatnya," katanya.


Dalam negara yang mempunyai berilang kaum, agama dan budaya, Dr Lim berkata sesiapa yang mahu terpilih dan memerintah negara ini harus membela nasib semua kaum, agama dan budaya yang tinggal di tanahair ini.BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/8/mstar_berita/20081108221929&sec=mstar_berita

Kempen tanpa ICT?, Khir Toyo keliru mahu penjelasan



Sabtu November 8, 2008


SABAK BERNAM: Calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Dr, Mohamad Khir Toyo mencadangkan supaya dibenarkan penggunaan kemudahan Teknologi Maklumat (IT) semasa kempen pemilihan parti.


"Larangan penggunaan IT seperti khidmat pesanan ringkas (SMS), pesanan suara, khidmat pesanan multimedia (MMS) dan blog hanya akan membantutkan pemimpin Umno daripada menjadi mahir IT.


"Bila pilihan raya umum boleh buka blog dan SMS tapi bila pilihan Umno tidak boleh, sepatutnya ia digalakkan," kata kepada pemberita yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar.


Bahagian itu mengadakan persidangan perwakilan di sini hari ini.


Mohamad Khir berkata, sepatutnya setiap calon mesti mempunyai blog sendiri sebagai jambatan berkomunikasi antara calon dengan ahli parti yang lain.


"Sepatutnya digalakkan... saya difahamkan tidak boleh, saya kena tanya Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan Umno) kenapa tidak boleh guna SMS dan MMS. Jumpa tak boleh, SMS tak boleh, macam mana tu," kata beliau dipetik Bernama.


Jelas beliau, pihak pembangkang telah menggunakan kemudahan IT dengan meluas pada kempen pilihan raya umum 8 Mac lalu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/8/mstar_berita/20081108174606&sec=mstar_berita

Lembaga Disiplin Umno kaji cara kempen ala AS


Sabtu November 8, 2008

KOTA BAHARU: Lembaga Disiplin Umno sedia mengkaji sistem berkempen dana Presiden Amerika Syarikat untuk menilai keberkesanannya dalam mengekang politik wang yang berleluasa di dalam Umno.


Badan itu bersedia mengkaji sistem pelaksanaan itu jika ia mampu membawa kesan yang baik kepada parti dan negara.


"Kita belum kaji lagi tetapi mungkin jika ada pihak yang memikirkan perkara itu dapat membawa kebaikan kita akan menambaikkannya," kata Pengerusinya, Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail di Melor di sini hari ini.


Laporan media hari ini memetik beliau berkata, lebih 900 aduan telah diterima mengenai amalan politik wang ketika tempoh pemilihan sekarang ini.


Dua hari ini beliau juga mengakui bahawa badan pemantau pemilihan Umno juga mendapati ada calon yang mengamalkan gejala politik wang dan salah guna kuasa bagi mencari sokongan dan menghalang seseorang calon daripada memperoleh pencalonan dan bertanding.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan beberapa pihak supaya menggunakan kaedah pengurusan dana oleh badan bebas berkempen dalam pemilihan Presiden Amerika Syarikat untuk mengelakkan gejala pelobi dan politik wang.


Semalam beliau juga telah meminta pucuk pimpinan Umno segera menyelamatkan parti itu daripada kehancuran berikutan berleluasanya politik wang pada pemilihan sekarang yang disifatkan paling serius dengan lebih 900 aduan telah diterima setakat ini.


Katanya, beliau sudah pun berulang kali memberikan amaran mengenai politik wang, malangnya lebih banyak aduan diterima kali ini berbanding pemilihan Umno empat tahun lalu.


Pemilihan di peringkat 191 bahagian Umno di seluruh negara dan pencalonan untuk jawatanjawatan tertinggi parti itu telah bermula sejak 9 Oktober lalu dan dijadualkan berakhir esok.


Jumaat lalu, Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi amaran kepada ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi calon-calon pemilihan Umno yang berada di hotelhotel sekitar ibu negara dan negeri-negeri supaya pulang ke bahagian masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau serta dikenakan tindakan.


Ejen pelobi, pengurus kempen dan perayu undi caloncalon dipercayai menjadi pihak yang menyalurkan wang kepada perwakilan peringkat bahagian untuk membuat pencalonan calon-calon tertentu atau menolak manamana calon pesaing.


Tengku Ahmad Rithauddeen berkata, pihaknya juga akan meminta Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk membuat satu garis panduan bagi menangani gejala politik wang.


Beliau berkata, pada pertemuan dengan pegawai kanan BPR beberapa hari lalu, Lembaga Disiplin Umno turut meminta BPR supaya mencari satu kaedah untuk menyelesaikan gejala politik wang di dalam parti selain mengambil tindakan undang-undang kerana ia membawa keburukan kepada parti dan negara jika tidak ditangani segera.


"Politik wang adalah rasuah dan ia adalah perkara yang sangat jahat dan perkara yang sangat buruk kepada bangsa, agama dan negara," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/8/mstar_berita/20081108132936&sec=mstar_berita

Mahathir: Hakim dibayar ex-gratia memang dipecat, bukan letak jawatan



Sabtu November 8, 2008

[DIKEMAS KINI] PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, hakim-hakim yang terlibat dalam krisis Kehakiman 1988. yang menerima ex-gratia yang jumlahnya lebih RM10 juta, sebenarnya telah dipecat daripada perkhidmatan kehakiman.


Beliau berkata, rekod menunjukkan hakim-hakim berkenaan telah dipecat kira-kira dua dekad lalu.


"Adakah hakim-hakim terbabit dipecat atau digantung (perkhidmatan)? Saya merasakan mereka telah dipecat. Rekod menunjukkan begitu.


"Sekarang Menteri (Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz) mengatakan "Tidak", hakim-hakim tidak dipecat atau tidak digantung," tulis beliau dalam blognya hari ini.


Ketika ditemui wartawan di Putrajaya hari ini, Dr. Mahathir mengesahkan bahawa tiga hakim yang terlibat dalam krisis kehakiman 1988 telah dipecat, walaupun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz menyatakan mereka diminta meletak jawatan.


"Setahu saya, mereka dipecat," katanya.


Beliau bagaimanapun berkata, bekas-bekas hakim itu tetap menerima pencen atas dasar ihsan, termasuk bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas.


"Sekalipun beliau dipecat, beliau telah memberikan khidmat kepada kerajaan dalam beberapa tahun beliau di situ. Untuk memisahkan beliau sepenuhnya dari pencen adalah amat zalim, jadi diputuskan beliau dan hakimhakim lain diberikan pencen mereka," kata Dr. Mahathir dipetik Bernama. Dr. Mahathir enggan mengulas bila ditanya sama ada jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim itu mencukupi, dan berkata itu harus ditanyakan kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim.


Dr. Mahathir berkata, kerajaan sepatutnya membayar pampasan kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar, Datuk Dr. Abdul Aziz Muhamad yang telah dibebaskan dari tuduhan bersubahat dalam kes jenayah pecah aman dan menipu melibatkan RM9 juta Selasa lepas.


Semalam, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh juga mendakwa Nazri telah mengelirukan Parlimen bila beliau berkata hakim-hakim yang terlibat tidak dipecat tetapi diminta bersara awal.


Karpal berkata, beliau akan membawa usul mengemukakan Nazri di bawah Peraturan Tetap 36 (12) kerana mengelirukan Parlimen Isnin lalu dimana beliau kemudian akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Istimewa untuk tindakan diambil.


Pengerusi DAP itu berkata. Nazri mesti menjelaskan mengapa beliau membuat kenyataan secara terbuka di Parlimen yang memberi tafsiran bahawa namanama hakim itu telah dibersihkan oleh tribunal, bertentangan dengan hasil siasatan dua buah tribunal berkenaan.


Karpal merujuk kepada Malayan Law Journal (MLJ) bertarikh 28 Oktober 1988 yang melaporkan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan hakimhakim Mahkamah Agung, Allahrayham Tan Sri Wan Suleiman Pawan Teh dan Datuk George Edward Seah dipecat dari jawatan selepas tribunal mendapati mereka bersalah kerana salah laku.


Mereka bagaimanapun, menerima pencen penuh.


Tiga hakim lain, Tan Sri Datuk Mohd Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcader dan Tan Sri Wan Hamzah Mohd Salleh telah digantung tugas tetapi dikembalikan jawatan mereka.


Katanya, bagi mengembalikan penghormatan dan digniti hakim-hakim yang dipecat itu, kerajaan sepatutnya telah menubuhkan dua tribunal untuk membersihkan mereka dari tindakan yang telah diambil terhadap mereka dan bukan memberikan bayaran exgratia.


"Apa yang sepatutnya telah dilakukan ialah bukan membayar ex-gratia kepada hakim-hakim itu tetapi mengadakan sebuah lagi tribunal bagi membersihkan nama mereka.


"Ini masih boleh dilakukan. Membayar ex-gratia kepada mereka tidak membersihkan mereka daripada didapati bersalah kerana salah laku," kata beliau.


Karpal berkata, bayaran ex-gratia itu malahan bererti yang kerajaan berpendapat bahawa mereka (hakim-hakim itu) sebenarnya tidak bersalah.


Pada Khamis lalu, Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan membayar ex-gratia sebanyak RM10.5 juta kepada Mohd. Salleh dan lima lagi bekas hakim kanan.


Bayaran kepada Mohd Salleh melibatkan RM5 juta, Wan Suleiman (RM2 juta) dan George Edward juga RM2 juta.


Wan Hamzah, Eusoffe Abdolcadeer dan Azmi Kamaruddin pula masing-masing menerima bayaran berjumlah RM500,000.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/8/mstar_berita/20081108162938&sec=mstar_berita

Pelajar lari ikut teman lelaki hamil 7 bulan


KUALA LUMPUR: Gara-gara terikut hawa nafsu dan darah muda, seorang pelajar sebuah sekolah di sini, sanggup memutuskan hubungan dengan keluarga dan tinggal bersama teman lelakinya sehingga mengandung.

Pelajar berusia 16 tahun dan masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di Setapak itu dikatakan bertindak melarikan diri dari rumah selepas bertengkar dengan ibunya. Difahamkan pelajar terbabit melarikan diri sejak Mei lalu dan tinggal bersama teman lelakinya berusia 20-an di Jalan Genting Klang, dekat sini, sehingga menyebabkan dia kini hamil tujuh bulan.

Sumber berkata, teman lelaki remaja bawah umur itu turut berjanji akan bertanggungjawab untuk mengahwininya, bagaimanapun disebabkan masalah kewangan, dia terpaksa menangguhkannya.

Difahamkan, remaja berkenaan turut menangguhkan persekolahan berikutan malu diejek rakan sekelasnya mengenai dirinya hamil.


Keluarga mangsa juga dikatakan tidak mengetahui kejadian yang menimpa remaja terbabit.


Sumber polis berkata, beberapa hari lalu mangsa dikatakan bergaduh dengan teman lelakinya dan kejadian itu dipercayai berpunca daripada tindakan remaja terbabit yang mendesak pasangannya supaya berkahwin segera.

“Bimbang kejadian buruk berlaku ke atas dirinya, dia membuat laporan polis di Balai Polis Wangsa Maju kira-kira jam 3 pagi kelmarin.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan kita sedang mengesan teman lelakinya,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081108102702/Article/index_html

'Bukan kerana harta'




Oleh Isma Ismail dan Nor Fazlina Abdul Rahim


KOTA BHARU: “Saya terima lamarannya bukan kerana harta, malah tak tahu menahu hadiah mewah untuk saya sempena perkahwinan kami,” kata pelakon baru, Nurzuraifa Zulkifli, 19, bakal isteri usahawan terkenal, Dr Che Rozmey Che Din, 40.

Dia yang mesra dengan panggilan Effa, berkata ketika bersetuju menerima lamaran Dr Che Rozmey, dia langsung tidak terlintas mengharapkan sesuatu daripada bakal suami.

Katanya, dia ikhlas dan menyintai bakal suaminya sepenuh hati, bukan semata-mata kerana mahu mengejar harta dimilikinya.

“Saya terpikat dengan bakal suami kerana sikapnya dan tidak pernah meminta atau meletak sebarang syarat,” katanya ketika ditemui pada majlis pertunangannya dengan Dr Che Rozmey di rumah keluarganya di Tanjung Mas di sini, semalam.

Majlis pertunangan pasangan itu berlangsung sederhana, tetapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat kedua-dua pihak, termasuk dua daripada tiga anak Dr Che Rozmey yang juga Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Jitra di Kedah.

Pada majlis itu, Effa menerima lima dulang hantaran manakala pihak lelaki membalas tiga dulang.

Khamis lalu, Harian Metro melaporkan Dr Che Rozmey yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Herba Prima Marketing Sdn Bhd (HPM) bercadang menghadiahkan kereta mewah Mercedes-Benz CLS 350 bernilai RM1 juta dan wang hantaran RM20,000 sebagai hadiah perkahwinannya dengan bakal isteri.

Pada 25 September lalu, beliau kehilangan isteri, Noor Halawiah Abdullah Shukri, 39, yang terbunuh selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kelab Golf Darulaman, dekat Alor Star.

Effa seterusnya menyatakan dia sudah bersedia memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak bakal suami yang sudah dianggap seperti anak sendiri.

Dia juga tidak menganggap jarak usianya dengan Dr Che Rozmey kira-kira 21 tahun sebagai penghalang untuk hidup bahagia sebagai suami isteri.

“Saya akan berhenti berlakon dan mungkin akan bersama bakal suami membantunya menguruskan perniagaan,” katanya.

Menurut Effa, Dr Che Romzey juga tidak pernah memberitahu niatnya mahu menghadiahkan kereta mewah dan memberikan wang hantaran tinggi.

Dia mengaku terkejut dan tidak pernah menjangkakan menerima hadiah seperti itu.

“Saya sendiri tidak meletakkan jumlah untuk wang hantaran dan ketika ditanya, saya hanya beritahu akan berbincang dengan keluarga.

“Cuma, dia ada bertanya jika dia memberikan RM20,000, adakah jumlah itu mencukupi dan saya katakan kepadanya ia sudah lebih daripada cukup,” katanya yang tidak mementingkan kemewahan.

Harapannya cuma mahu menikmati kebahagiaan bersama suami selepas berkahwin nanti.

Sementara itu, Dr Che Rozmey pula berkata, kesediaannya menghadiahkan kereta mewah dan menyediakan wang hantaran tinggi kepada bakal isteri bukan mahu menunjuk-nunjuk kekayaan atau kemewahannya.

Dia melakukannya dengan ikhlas sebagai tanda terima kasih kepada Effa yang sudi menerimanya sebagai suami.

“Saya bersedia memberikan segala kemewahan kepada Effa kerana saya mampu berbuat demikian, bukan mahu menunjukkan keegoan,” katanya yang akan membimbing Effa menjadi isteri solehah.

Walaupun perbezaan usia antara mereka agak ketara, dia yakin mampu mengecapi kebahagiaan sebagai suami isteri.

Kereta mewah dijanjikannya itu, kata Dr Che Rozmey, sudah berada di rumahnya di Jitra.

http://www.hmetro.com.my/Saturday/BeritaUtama/20081108095352/Article

Apabila lelaki curang


Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------

ALAM rumah tangga tidak selalunya indah. Ramai yang kecundang apabila bahtera yang dilayari bertahun-tahun, akhirnya berderai diserang badai ganas.

Apabila keharmonian rumah tangga sudah dihanyut ombak, ia turut menjejaskan isi dalam rumah berkenaan termasuk si suami atau isteri, anak-anak dan ahli keluarga lain.

Seandainya insan yang menimbulkan permasalahan itu ialah suami selepas kemunculan insan ketiga misalnya, maka anak-anak dan isteri akan menanggung deritanya.

Benarkah semuanya berpunca daripada kehadiran cinta lain, sehinggakan si suami sanggup berlaku curang terhadap insan bernama isteri?

Walaupun suatu pernikahan tidak membatasi keinginan lelaki untuk jatuh cinta lagi, tetapi sikap curang, bukannya hal baru dalam sejarah kehidupan manusia.

Tidak dinafikan, godaan untuk berlaku curang akan datang sepintas lalu dek tekanan perasaan yang menghantui diri kaum Adam mahupun Hawa.

Perilaku ini berlaku mungkin secara tidak sengaja atau disengajakan.

Adakalanya, ketidakjujuran terjadi ketika si dia dipertemukan dengan seseorang yang mempunyai latar belakang yang sama. Contohnya, si jejaka membantu si gadis menyelesaikan urusan kerjanya di pejabat. Ketika itu, mereka mula berkomunikasi melalui e-mel, telefon dan berjumpa sehingga lewat malam. Akhirnya, hubungan menjadi semakin intim.



TEKNOLOGI baru hari ini adalah antara sebab yang memudahkan lagi perlakuan curang.

--------------------------------------------------------------------------------

Masalahnya, si jejaka sudahpun mempunyai isteri dan cahaya mata. Walaupun mereka dilihat terlalu rapat, tetapi mereka tidak melakukan hubungan intim dan masih memelihara batasan yang perlu dijaga.

Persoalannya, apakah hubungan mereka dikategorikan sebagai curang?

Menurut pakar motivasi, Dr. HM Tuah Iskandar, selama hubungan itu masih terbatas pada hal-hal di pejabat meskipun hingga larut malam, syaratnya mestilah mempunyai orang lain di tempat itu.

"Biarpun nampak intim, tidaklah dikatakan sebagai curang. Kita kena akui hakikat pekerjaan, di mana komunikasi sangat perlu, bahkan mustahil dapat dielakkan. Setiap sektor pekerjaan pasti ada dua gender iaitu lelaki dan wanita.

"Mereka saling berhubung untuk menyelesaikan satu-satu tugas yang diamanahkan. Sesekali bergurau senda atau usik-mengusik, itu adalah suasana biasa di tempat kerja dewasa ini.

"Yang jadi salah hingga boleh diistilahkan sebagai curang apabila sering mencari peluang untuk berdua-duaan, sama ada makan bersama sehingga berpeluang meluahkan perasaan atau memberikan kasih sayang," katanya.

Mungkin hubungan yang dijalinkan mereka itu adalah terhad kepada batasan persahabatan?

"Persahabatan? Tiada istilah persahabatan antara lelaki dengan wanita yang bukan muhrim. Persahabatan hanya terjadi antara sesama jantina. Berlainan jantina biasanya akan berakhir sebagai hubungan intim. Maka itu, antara lelaki dengan wanita, cukup sekadar kenalan ataupun kawan dan bukannya sahabat.



KEBANYAKAN kes curang biasanya berlaku di antara kenalan pejabat atau kekasih lama.

--------------------------------------------------------------------------------

"Memang semua hubungan intim bermula dari sekadar ingin dekat. Tetapi harus ingat, 'persahabatan' antara dua gender berbeza tidak selamanya kekal sebagai persahabatan biasa. Selalunya akan jadi perhubungan hati dan inilah bahayanya.

"Apabila semakin rapat masing- masing semakin galak bercerita pelbagai perkara termasuk yang menjadi rahsia tanpa rasa malu. Simpati pun datang, akhirnya membibitkan perasaan kasihan, seterusnya sayang, akhirnya cinta," jelasnya lagi.

Sebab itulah kata Tuah, beliau tidak menggalak sama sekali seorang wanita berstatus isteri menceritakan masalah peribadinya kepada seorang lelaki atau sebaliknya, sebab pasti mereka akhirnya akan terkandas.

Carilah orang yang betul untuk meluah masalah misalnya ustaz, ibu bapa, ketua jabatan, kaunselor mahupun pakar motivasi.

Adakah cerai jalan terbaik lelaki curang? Katanya, setiap manusia ada kekurangan dan kelemahannya. Curang dalam perkahwinan adalah salah satu kelemahan dan kekurangan itu.

"Selagi ia tidak maksimum seperti berzina hingga melahirkan anak luar nikah, mengekalkan perkahwinan adalah lebih baik daripada berpisah meskipun ada sedikit kemelut dan masalah hati.

"Membina kembali hubungan hati yang telah rosak sama susahnya dengan proses untuk memisahkan antara dua hati yang dulunya pernah bertaut.

"Proses perceraian pun bukan mudah untuk dilalui, bukankah lebih baik saling bermaaf-maafan terutama demi anak-anak yang telah dilahirkan," tegas Tuah.



ADAKAH perceraian jalan terakhir apabila pasangan berlaku curang?

--------------------------------------------------------------------------------

Memetik pendapat daripada seorang konsultan psikologi, Maria Theresia Widyastuti menerusi laman webnya, cinta baru biasanya muncul lagi dalam kehidupan pasangan yang sudah rumah tangga selepas usia perkahwinan mencecah lima tahun ke atas. "Tetapi kemungkinan ia juga boleh berlaku pada awal perkahwinan, misalnya tiga tahun, sekiranya komitmen pernikahannya tidak kuat," katanya.

Apa pun keputusan yang diambil ketika hadirnya orang kedua, semuanya itu bergantung terhadap diri si pelaku itu sendiri. "Di sini tiada kata-kata yang baik mahupun buruk, tetapi siapapun pilihannya, pasti akan mengundang risiko," kata Maria.

Sebelum memutuskan langkah terbaik yang perlu diambil, sebaiknya kamu dan pasangan mengkaji kembali tujuan hidup yang dibina selama ini. Sekiranya keutuhan rumah tangga itu menjadi kelebihannya, kembali ke pasangan dan perbaiki hubungan dengan mencipta komunikasi yang baik. "Mereka seharusnya benar-benar ikhlas mencipta kembali kehidupan perkahwinan mereka," ujar Maria.

Kalau pilihan kamu menjurus ke arah kehidupan kedua, pernikahan dan hubungan kamu dengan masyarakat perlu diperhatikan dari segi norma sosial. Biasanya pandangan orang masih negatif dan ini akan mengganggu pergaulan sosial kamu itu. "Tetapi, walau apa pun pilihan kamu, semua keputusan berada di tanganmu sendiri, dan semuanya mempunyai cabaran dan dugaan yang tersendiri."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Famili&pg=fa_01.htm

240,000 hilang kerja


GAMBAR fail ini menunjukkan pekerja-pekerja general Motors meninggalkan kilang di Janesville, Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

WASHINGTON – Kadar pengangguran di Amerika Syarikat (AS) pada bulan lepas berada pada tahap tertinggi sepanjang tempoh 14 tahun apabila melonjak 6.5 peratus ketika 240,000 orang lagi hilang pekerjaan, kata kerajaan semalam.

Perangkaan terbaru Jabatan Buruh AS itu merupakan bukti bahawa ekonomi negara kuasa besar dunia itu berada diambang kemelesetan.

Maklumat itu turut menyatakan pasaran kerja di AS sedang mengecil pada kadar yang membimbangkan.

Kadar pengangguran pada Oktober lalu berada pada 6.5 peratus setelah meningkat daripada 6.1 peratus pada bulan sebelumnya menyamai kadar yang dicatatkan pada Mac 1994.

Majikan-majikan di AS didapati membuang pekerja untuk tempoh 10 bulan berturut-turut dengan jumlah keseluruhan pemotongan kerja tahun ini mencecah 1.2 juta orang.

Kehilangan pekerjaan berlaku merata-rata di AS dan semakin meluas.

Kilang-kilang memotong 90,000 pekerjaan, syarikat-syarikat pembinaan pula 38,000, sektor perniagaan dan profesional membuang 45,000 orang, perniagaan kehilangan 24,000 pekerja dan bidang perkhidmatan berkurangan 16,000 pekerja.

Dalam perkembangan berkaitan, syarikat-syarikat utama AS turut merayu bantuan dan campur tangan kerajaan untuk menyelamatkan operasi mereka.

Eksekutif-eksekutif kanan pengeluar kereta terbesar dunia, General Motors dan dua lagi pembuat kereta, Ford serta Chrysler bersama-sama presiden kesatuan sekerja industri automobil AS berkunjung ke Washington bagi membincangkan pelan penyelamat berjumlah berbilion-bilion dolar. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Guru tuisyen gila seks ditahan

Oleh NAN HIDAYAT AZMIE
nanhidayat.nanazmie@
kosmo.com.my




RODNEY bertanyakan sesuatu kepada Ah Fang, ibu kepada mangsa cabul seorang guru tuisyen lelaki di Johor Bahru semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

JOHOR BAHRU - Kena rotan jika beritahu orang lain.
Itulah kata-kata yang didakwa sering menjadi 'modal' seorang guru tuisyen lelaki bagi mengugut pelajar-pelajar yang menjadi mangsa nafsu seks songsangnya sejak Januari lalu.

Kegiatan guru berusia 30-an yang menjadi tenaga pengajar di pusat tuisyen di sebuah taman di sini akhirnya terbongkar.

Guru tersebut telah ditahan Selasa lalu selepas ibu kepada seorang mangsa membuat laporan polis.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Fang, 32, berkata, dia mula menyedari ada sesuatu yang tidak kena apabila terserempak dengan seorang rakan anak lelakinya yang enggan lagi pergi ke pusat tuisyen tersebut pada petang Jumaat lalu.

"Saya yang tidak sedap hati mula menyoal anak sulung saya yang berusia sembilan tahun sebelum terkejut apabila dimaklumkan mengenai perbuatan melampau guru terbabit," dakwanya kepada pemberita di pejabat Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Johor, Rodney Soon di sini semalam.

Ah Fang mendakwa, anaknya memberitahu bahawa guru terbabit sering memaksanya berbogel dan berbaring di atas meja dengan matanya pula ditutup.

"Anaknya kemudian mendakwa, dia kemudian dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap guru itu,'' katanya.

Menurutnya, kejadian yang bermula sejak Januari itu dikatakan berlaku di dalam sebuah bilik di pusat tuisyen itu setelah murid-murid lain sudah pulang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Malam Kala Malam Bulan Mengambang


Mamat Khalid sebaik sahaja menerima trofi Pengarah Terbaik bagi filem KMBM malam tadi.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Filem Kala Malam Bulan Mengambang (KMBM) malam tadi mencipta sejarah sekali lagi apabila mengungguli tiga anugerah utama dalam Anugerah Skrin 2008 (ASK2008) selepas meraih kemenangan besar dalam Festival Filem Malaysia ke-21 beberapa bulan lalu.

KMBM dinobatkan sebagai Filem Terbaik, diikuti Mamat Khalid memperolehi anugerah Pengarah Terbaik manakala Pelakon Lelaki Terbaik pula melalui lakonan mantap Rosyam Nor.



Rosyam Nor

--------------------------------------------------------------------------------

Kemenangan itu membolehkan filem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. itu menerima trofi dan lawatan ke Los Angeles.

ASK2008 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu memperlihatkan KMBM menewaskan empat filem hebat lain iaitu Anak Halal, Impak Maksima, Evolusi KL Drift dan Sepi.

Bagi kategori drama pula, Suara Saleha terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. pula menggondol tiga anugerah utama.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Kepala skim ghaib


Oleh MAZLINA ABDUL MAJID
mazlina@kosmo.com.my



KERATAN Kosmo! semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Sudahlah para pelabur kini menggelupur kerana ditipu pengendali skim cepat kaya 'RM50', kakitangan syarikat pengendali skim itu juga turut terkena tempias.

"Mana tidaknya, kami seperti hilang akal bila dapat tahu pengarah eksekutif syarikat kami cabut lari begitu saja dan tak bayar gaji kami, kami nak makan apa sekarang?'' rungut salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Aidil di sini semalam.

Menurutnya, tidak cukup dengan itu, salah seorang pengarah syarikat yang sama di sebuah negeri Utara juga mengosongkan rumahnya dipercayai mengelak daripada diserbu peserta skim.

"Kira-kira dua bulan lepas, saya terpinga-pinga bila pejabat kami ditutup dan pada awalnya saya ingat bos saya sakit.

"Lepas itu, disebabkan rasa was-was, kami pergi ke rumah dia dan kami terkejut bila jiran rumah bos kata, penghuni dalam rumah besar tu sudah pindah,''
katanya.

Beliau merujuk laporan Kosmo! semalam berhubung satu perniagaan yang dijalankan mempunyai unsur skim ala cepat kaya.

Modus operandi skim itu menyasarkan peserta yang berada di ceruk pedalaman negeri-negeri Utara dan Timur Semenanjung Malaysia termasuk di Langkawi.

Ia hanya memerlukan seseorang melaburkan sebanyak RM50 dan kemudian akan dijanjikan pendapatan sebanyak RM20,000 hanya selepas lima bulan.

Ada kalangan pelabur menamakan skim tersebut sebagai 'Skim Mat Jenin' kerana keupayaannya yang dikatakan mampu menjana keuntungan berlipat ganda walaupun dengan pelaburan kecil.

Menurut Aidil, usaha beliau bersama beberapa pekerja lain menjejaki pengarah esekutif itu menemui jalan buntu apabila nombor telefon bimbit yang dihubungi tidak dapat ditembusi sehingga kini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

'Pen Skodeng' kegilaan remaja


Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA dan SHAWKATH AZDE
khas@kosmo.com.my



'PEN SKODENG' lengkap dengan set perakam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Jangan terkejut jika gambar anda disebarkan melalui internet tanpa menyedari bila diambil kerana teknologi terkini telah membolehkan rakaman dibuat menggunakan sebatang pen dakwat yang kini telah berada di pasaran.

Pen yang dinamakan sebagai 'Pen Skodeng' di kalangan pelajar sekolah itu dijual di beberapa tempat selain melalui internet pada harga RM500 dan sambutannya dikatakan amat menggalakkan.

Dengan membawa pen tersebut, segala gambar boleh dirakamkan secara sembunyi tanpa disedari oleh mangsanya.

Lebih malang lagi, pen tersebut disalahgunakan untuk tujuan yang tidak elok.

'Pen Skodeng' juga boleh merakamkan audio dan visual dengan hanya meletakkannya pada poket baju seperti pen biasa tanpa menimbulkan syak.


TANPA disedari 'Pen Skodeng' mampu merakam aksi panas tanpa disedari mangsa. - Gambar hiassan

--------------------------------------------------------------------------------

Apa yang membimbangkan, kebanyakan pembelinya pula terdiri daripada golongan remaja dan pelajar sekolah biarpun harganya mampu mencecah ratusan ringgit di pasaran.

Salah seorang penggunanya yang dikenali sebagai Azmi, 20, berkata, dia mengetahui penjualan 'Pen Skodeng' ketika berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah beberapa bulan lalu.

"Kebiasaannya, gajet sebegini hanya boleh dilihat melalui siri-siri penyiasatan popular seperti Mission Imposible atau James Bond, namun kini ia boleh didapati dengan mudah di negara ini," katanya kepada Kosmo! di sini, semalam.

Seorang lagi pemilik pen ini, Zamri, 25, berkata, tujuannya membeli hanyalah untuk kegunaan sendiri.

"Saya anggap ini sebagai teknologi canggih yang perlu dijadikan koleksi kerana ia ada lensa yang mampu merakamkan imej berwarna dengan resolusi saiz 0.3 megapiksel di samping bunyi dari jarak sejauh lima meter," ujarnya.

Tambah Zamri, dia dan rakan-rakannya berkesempatan menguji keberkesanan pen berkenaan dengan merakamkan pelbagai aksi tersembunyi di tempat-tempat awam tanpa disedari.

Azmi memberitahu, ada antara rakan-rakannya itu yang meminjam pen tersebut semata-mata mahu merakamkan aksi panas tanpa pengetahuan pasangan masing-masing.



http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1108&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...