Monday, July 26, 2010

Awasi bengkak keras


BENGKAK dengan bonjolan keras merupakan antara tanda-tanda awal kanser tulang.


SALMIAH HARUN (bukan nama sebenar) tidak pernah menyangka anak lelakinya yang berusia 11 tahun menghidap kanser tulang. Pada mulanya dia menganggap lebam pada lutut anaknya yang muncul tiba-tiba itu cuma lebam biasa. Tambah pula si anak memang gemar bermain bola sepak dan kecederaan satu perkara lazim.

Apabila anaknya mengadu tidak boleh berjalan, Salmiah, 35, dan suaminya mula berasa risau. Mereka merujuk kepada doktor pakar di sebuah hospital di Selangor. Setelah pemeriksaan demi pemeriksaan yang dijalankan melalui teknik MRI, CT Scan dan Biopsi di hospital berkenaan, anaknya itu disahkan menghidap kanser tulang. Lebih memeritkan Salmiah untuk menerima kenyataan apabila sel kanser tulang anaknya itu telah merebak ke paru-paru.

Hati Salmiah bagai direntap apabila doktor pada awalnya memberitahu anaknya diramalkan hanya punya masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk hidup. Namun, selepas tabah mengikuti rawatan yang disarankan doktor meliputi pembedahan, rawatan kimoterapi dan fisioterapi keadaannya bertambah baik.

Sememangnya apabila bercakap tentang penyakit tulang, ramai orang terfikirkan penyakit osteoporosis yang menyebabkan tulang rapuh, namun kanser tulang merupakan penyakit tulang yang perlu diambil perhatian. Tambah pula kanser tulang primer lazim terjadi pada kanak-kanak.

Media pada 2001 pernah melaporkan nisbah satu dalam 100,000 penduduk didapati menghidap kanser tulang setiap tahun. Walaupun penyakit kanser ini kurang terjadi berbanding penyakit-penyakit kanser yang lain, namun ia masih perlu dirawat segera sebelum terlambat. Kanser tulang yang lewat dirawat boleh menyebabkan tulang retak dan akhirnya membawa maut.

Menurut Pengarah Perubatan dan Perunding Onkologi Klinikal Pusat Perubatan Antarabangsa Wijaya, Datuk Dr. Mohamed Ibrahim A. Wahid, terdapat dua jenis kanser tulang.

Pertama, kanser tulang primer bermula daripada tulang manakala kanser tulang sekunder ialah kanser yang merebak ke tulang.


IMBASAN sinar-X menunjukkan imej seperti sinar matahari pada kanser tulang primer.


Jenis

Kanser tulang primer biasanya berlaku kepada kanak-kanak dan individu bawah 30 tahun manakala kanser tulang sekunder pula banyak terjadi kepada orang dewasa dan tua.

“Setakat ini punca kanser tulang terjadi dan bagaimana mekanismenya masih tidak diketahui. Jika kanser yang lain seperti kanser paru-paru ia mungkin disebabkan oleh amalan menghisap rokok. Kanser payu dara pula mungkin disebabkan oleh pengambilan lemak dalam pemakanan,” ujar Mohamed Ibrahim.

Jelas beliau, kanser yang ‘memakan’ tulang akan menyebabkan komposisi tulang kurang padat dan menjadi reput lalu menyebabkan tulang mudah retak.

Jika tulang belakang retak seperti dalam kes kanser tulang sekunder, keadaan itu boleh menyebabkan saraf tunjang tertekan atau tersepit sekali gus boleh menyebabkan lumpuh.

Mengenai kanser tulang primer, Mohamed Ibrahim berkata, ia paling banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang berusia lapan hingga 12 tahun. Ia masih boleh terjadi kepada orang dewasa namun sangat jarang,

Bahagian tulang lutut merupakan antara kawasan yang paling banyak berlaku kanser iaitu kira-kira 60 peratus, diikuti 15 peratus di kawasan punggung, 10 peratus di bahu dan kurang lapan peratus di bahagian rahang.

Antara simptomnya ialah apabila terasa sakit dan bengkak yang semakin membesar pada bahagian tulang yang diserang kanser.

“Misalnya, ibu bapa boleh mengesan anak mereka mungkin mendapat kanser tulang dengan melihat terdapat bengkak di bahagian lutut sehingga kanak-kanak itu berasa sakit dan sukar atau bermasalah untuk berjalan. Bengkak biasanya keras kerana ia berpunca daripada bahagian tulang.

“Jika kanser berlaku pada tulang tangan, pesakit mungkin berasa sakit apabila menggunakan lengan tangan ketika melakukan aktiviti menggunakan anggota itu,” katanya.

Bagaimanapun, peluang untuk pesakit kanser tulang primer sembuh lebih cerah jika ia masih berada di tahap pertama atau awal.

Kanser tulang sekunder pula banyak berlaku pada bahagian tulang belakang, tulang rusuk dan tengkorak. Ia biasanya dianggap sebagai kanser tahap empat kerana kanser telah merebak daripada satu bahagian lain ke tulang.

Mohamed Ibrahim memberitahu, kanser tulang primer dan kanser tulang sekunder mempunyai perbezaan karakter dan doktor membezakannya dengan karakter tersebut.

“Jika imbasan sinar-X pada tulang menghasilkan imej seperti sinar matahari pada tempat kanser, itu menandakan kanser tulang primer. Sementara kanser tulang sekunder pula akan menunjukkan gambaran tulang hancur atau berlubang-lubang dengan kesan seperti digigit atau dimakan,” jelasnya.


KANSER tulang primer lazimnya dihidap oleh kanak-kanak. - Gambar hiasan.


Rawatan

Berhubung rawatan, Mohamed Ibrahim memberitahu, bagi kanser tulang primer, rawatan sebaiknya yang perlu dilalui pesakit ialah pembedahan, kimoterapi dan radioterapi.

“Kalau zaman dahulu, bila sesuatu tempat itu ditumbuhi kanser, anggota badan itu akan dipotong. Kalau kena pada kaki, kaki akan dipotong. Namun, sekarang tidak radikal lagi. Terdapat pembedahan seperti limb salvage surgery, satu kaedah pembedahan yang hanya membuang bahagian yang terkena kanser dan mengekalkan anggota yang sedia ada. Terdapat juga rawatan tulang prostesis untuk membina semula tulang,” katanya.

Bagi kanser tulang sekunder, rawatan yang sama juga diperlukan namun pesakit turut diberikan rawatan tambahan menerusi pengambilan bisphophanat.

Bahan tersebut membantu membaiki tulang dengan meningkatkan aktiviti osteoblast yang bertindak membaiki semula tulang.

“Dalam pertumbuhan tulang, ia melibatkan tindakan dua sel tulang iaitu osteoklast dan osteoblast. Osteoklast bertindak memakan tulang dan osteoblast membina semula tulang. Apabila kanser tulang berlaku, osteoklast bertindak lebih aktif, lalu pengambilan bisphopanat sama ada secara suntikan atau oral membantu meningkatkan aktiviti osteoblast,” ujarnya sambil memberitahu contoh-contoh kanser yang sering merebak ke tulang ialah kanser prostat, paru-paru dan serviks.

“Banyak juga kes di mana pesakit hanya mengetahui mereka menghidap kanser lain setelah dikesan mempunyai kanser tulang,” tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0725&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Tuah penganggur minta kerja di tepi jalan



GAMBAR menunjukkan Mark Wheeldon (kanan) berjabat tangan dengan Vince Champion yang menawarkan pekerjaan kepadanya di Stoke-On-Trent, baru-baru ini.


STOKE-ON-TRENT, England - Seorang penganggur, Mark Wheeldon berumur 23 tahun yang memegang kayu mengandungi poster meminta pekerjaan bertuah kerana akhirnya dia mendapat kerja selepas 20 minit dia ditemu duga oleh seorang ahli perniagaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Sebelum ini dia menganggur selama dua tahun. Dia mempromosikan dirinya di tepi jalan di sini bagi meminta pekerjaan selepas bosan hidup dengan mendapat elaun sara hidup kerajaan.

Selepas tiga jam berdiri dengan memegang poster itu, seorang ahli perniagaan yang merupakan pengarah sebuah kilang, Vince Champion menghampirinya setelah dia melihat lelaki tersebut dari keretanya.

Dia kemudian membawa Mark ke pejabatnya dan menemuduganya selama 20 minit sebelum menawarkannya bekerja di sebuah kilang membuat bingkai.

Menurut pengarah kilang itu: "Semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 8 pagi, saya melihat Mark berdiri dalam hujan memegang kayu poster itu untuk meminta pekerjaan.

"Saya berpendapat, jika terdapat seseorang yang sanggup berdiri dalam hujan, dia mesti nekad untuk mendapatkan pekerjaan. Menurut pandangan saya, dia akan menjadi aset untuk mana-mana syarikat." - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm

Yassin disyaki ambil dadah lagi


Sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di Subang Jaya dipercayai tempat Yassin ditahan semalam.


KUALA LUMPUR - Pelakon dan pelawak, Yassin atau nama sebenarnya, Yassin Yahya mengulangi sejarah hitamnya apabila dia ditahan kali keempat kerana disyaki mengambil dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 1 pagi, seramai 30 pengunjung pusat hiburan tersebut telah diperiksa dan menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, hasil ujian saringan awal, tiga daripada mereka ditahan termasuk Yassin kerana disyaki positif mengambil dadah.

"Pemeriksaan awal mendapati Yassin yang merupakan bekas kumpulan Senario positif ganja.

"Dua lagi lelaki yang ditahan ialah seorang pengurus artis dan seorang peniaga yang disyaki positif ketamin," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Khalid, pihaknya akan memohon reman terhadap ketiga-tiga individu tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Yassin


Yassin, 31, sebelum ini pernah ditahan pada tahun 2001 atas dakwaan memiliki 0.05 gram syabu di sebuah kondominium dekat Jalan Damansara Indah.

Dia yang dituduh di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagaimanapun dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang pada tahun 2005.

Pada Jun 2002, Yassin sekali lagi dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Ampang daripada dua tuduhan mengikut Akta Dadah Berbahaya dan Akta Dadah Racun 1952.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0726&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Air kencing ada ganja

Oleh Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@hmetro.com.my
2010/07/26

SUBANG JAYA: Seorang pelakon komedi yang juga bekas anggota kumpulan lawak terkenal nyata tidak serik apabila dia sekali lagi diberkas selepas ujian air kencingnya didapati positif dadah dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Sunway Pyramid, Subang Jaya di sini, awal pagi semalam.

Sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu pusat hiburan terbabit kira-kira jam 1 pagi, sebelum mengarahkan semua pengunjung menjalani ujian air kencing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang dihubungi berkata, air kencing milik pelawak berusia 32 tahun itu disahkan positif ganja.

Menurutnya, selain daripada pelakon terbabit, ada 30 pengunjung lain sedang berhibur dalam premis berkenaan ketika serbuan dilakukan.

Beliau berkata, semua pengunjung dalam pusat hiburan itu dibebaskan sejurus ujian air kencing mendapati mereka bebas daripada penyalahgunaan dadah.

“Namun, tiga daripada mereka didapati positif dadah. Hasil ujian mendapati pelakon komedi itu positif ganja manakala dua lagi termasuk pengurusnya dan seorang ahli perniagaan didapati positif ketamin.

“Serbuan itu rutin hari minggu polis dengan mengadakan operasi di beberapa tempat di sekitar Subang Jaya. Ketika menyerbu pusat hiburan berkenaan, kita mendapati dia ada bersama,” katanya.

Menurutnya, semua suspek direman bermula semalam sehingga 27 Julai mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pelawak terbabit pernah dibebaskan daripada beberapa tuduhan memiliki pelbagai jenis dadah oleh Mahkamah Majistret, sebelum ini.

Dia pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan memasukkan syabu ke dalam badan, tetapi mengaku tidak bersalah dan kemudian dibebaskan daripada tuduhan itu.

Pelakon komedi itu juga pernah dibebaskan daripada tuduhan memiliki kanabis serta kodein beberapa tahun lalu.

Pelawak terbabit dikatakan pernah ditahan memiliki dua tiub straw mengandungi syabu di Brickfields, tetapi dia tidak mengaku bersalah.

Ketika dicekup dalam serbuan sebelum ini, pelawak terbabit dikatakan merayu agar dibebaskan, namun dia seolah-olah tidak serik apabila ditangkap sekali lagi semalam, walaupun sudah beberapa kali ditahan dan dibicarakan di mahkamah atas kesalahan sama sebelum ini.

Pengawal tidak boleh pegang MyKad orang lain

2010/07/26

PUTRAJAYA: Hanya mereka yang diberi kuasa secara bertulis saja dibenarkan memegang dan menyimpan kad pengenalan seseorang individu, sama ada untuk memasuki bangunan kediaman, syarikat, kementerian atau agensi kerajaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jainisah Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil untuk melindungi maklumat peribadi dalam MyKad, sekali gus mengelakkan ada pihak mengambil kesempatan melakukan perkara tidak bertangggungjawab.


“Tak kira siapa, semua pihak tidak boleh menyimpan kad pengenalan orang lain, kecuali mendapat kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah JPN.


“Ia bertujuan melindungi maklumat di dalam Mykad, apatah lagi ketika ini, banyak maklumat peribadi dalam kad pengenalan mungkin boleh disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab,”
katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


Jainisah berkata, mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 79), di bawah Peraturan 8A, Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 78) adalah menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk memegang dan menyimpan kad pengenalan orang lain.


Beliau berkata, mengikut peraturan itu, pemilik bangunan atau pengawal keselamatan yang bertanggungjawab terhadap bangunan terbabit hanya berhak meneliti dan menyemak kad pengenalan.


“Selepas berpuas hati, mereka perlu mengembalikan semula kepada individu terbabit sebelum mengeluarkan pas atau permit sementara untuk berada di kawasan premis mereka.


“Mereka tidak boleh menyimpan jika tidak mempunyai surat kuasa secara bertulis,”
katanya.


“Jika masih berdegil, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Peraturan 25 yang boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya.


Sehubungan itu, katanya JPN menasihatkan pemilik bangunan supaya mencari satu mekanisme baru untuk membenarkan pelawat memasuki premis mereka tanpa perlu meninggalkan kad pengenalan di kaunter pengawal keselamatan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PengawaltidakbolehpegangMyKadoranglain/Article

'Harga diesel beban pengusaha bas'

2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Kaji semula kenaikan harga diesel, ia terlalu mendadak dan merugikan kami (pengusaha bas),” kata Pengarah Eksekutif Konsortium Transnasional Berhad (KTB), Tengku Hasmadi Tengku Hashim berhubung isu pengendali bas ekspres utama yang bercadang tidak menambah bas menjelang Aidilfitri ini berikutan kenaikan lima sen harga diesel mulai 16 Julai lalu.

“Ada pihak mendakwa pengusaha bas mengugut kerajaan menaikkan harga tiket bas nanti, semua itu tidak benar.


“Kami cuma mahu kerajaan kaji semula kenaikan diesel dari RM1.43 seliter kepada RM1.48 seliter. Kami menanggung rugi jika harga diesel berkenaan kekal,” katanya ketika Majlis Penyerahan Bas Untuk Asrama Anak-Anak Yatim Darul Taqwa (Asdat), kelmarin.


Turut Hadir di majlis berkenaan, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Salleh Yusuf dan Penaung Asdat, Md Saat Md Yusof.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hargadieselbebanpengusahabas/Article

KM tak ganjak

Oleh Nur Ain Musdad
am@hmetro.com
2010/07/26

MELAKA: Kerajaan negeri akan tidak berganjak untuk melaksanakan idea penubuhan sebuah sekolah khas, iaitu Sekolah Murid Mengandung sekiranya ia adalah jalan terbaik bagi membantu menyelesaikan dan mengelakkan maksiat dan zina yang semakin berleluasa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk membantu pelajar ‘miang’ untuk berkahwin kerana percaya masalah mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi akan dapat dikurangkan.


Menurutnya, cadangan menggalakkan berkahwin muda bukanlah sesuatu yang pelik atau mengarut memandangkan kes maksiat, mengandung anak luar nikah dan pembuangan bayi adalah adalah isu utama yang berlaku di kalangan pelajar dan anak muda pada masa kini.


“Kita banyak kali berbincang mengenainya namun sehingga kini tidak timbul sebarang penyelesaian.


“Malah masalah buang bayi akibat hubungan tidak sah menjadi semakin bertambah di negeri ini. Oleh itu lebih baik sekiranya kita membenarkan mereka bernikah dengan sah dan tentunya akan melahirkan anak hasil hubungan yang halal,” katanya ketika melancarkan buku Makan-Makan dan Membeli Belah di Melaka bertempat di Taman Botanikal,Ayer Keroh, semalam.


Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Mohamad; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Hang Tuah Jaya, Linda Phua Sue Lin.


Idea untuk menubuhkan Sekolah Murid Mengandung itu setakat ini mendapat reaksi negatif termasuk daripada Kementerian Pelajaran yang menganggapnya pelik dan tidak sesuai untuk dilaksanakan.


Mohd Ali berkata, sekiranya terdapat anak muda yang bersekolah dan ingin berkahwin tetapi tidak mendapat persetujuan ibu bapa mereka boleh bertindak dengan mengadu kepada pihak Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).


“Kita akan bertindak melalui pihak Jaim dengan bertemu, memujuk dan berbincang dengan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka berkahwin daripada terus terbabit dalam sebarang aktiviti maksiat yang membawa kepada masalah sosial yang lain.


“Kita melihat secara peribadinya kebanyakan remaja kini banyak melahirkan anak luar nikah selepas tidak dapat mengawal nafsu serakah dan bertindak mengikut perasaan.


“Jika mereka ingin berkahwin, saya cadangkan ibu bapa kahwinkan sahaja kerana bimbang hal lain berlaku.

“Biasalah, anak muda ‘tengah miang’, nak kahwin ibu bapa tak benarkan dan disebabkan tak dapat kawal nafsu akhirnya mereka melakukan hubungan luar nikah menyebabkan lahirnya anak hasil hubungan tidak sah itu. Tetapi jika mereka berkahwin pada usia muda, mereka boleh lakukan hubungan yang halal,” katanya.


Beliau berkata sekiranya, seseorang perempuan itu mengandung luar nikah dan pihak sekolahnya tidak membenarkan datang ke sekolah mereka boleh masih boleh meneruskan persekolahan di Sekolah Murid Mengandung yang akan ditubuhkan oleh kerajaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KMtakganjak/Article

Kahwin 4 bukan cara kawal nafsu

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Poligami tak semestinya boleh menyelesaikan masalah nafsu seorang lelaki,” ulas Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Beliau yang juga Pensyarah Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata, Islam tidak menetapkan syariat yang mengatakan poligami penyelesaian kepada kesukaran golongan Adam mengawal nafsu, sebaliknya masalah terbabit diatasi dengan amalan tertentu.


Katanya, lelaki yang berdepan masalah itu perlu berbalik kepada hukum yang menetapkan supaya semua umatnya berpuasa, mengamalkan zikir dan memperbanyakkan amalan kerana cara terbabit mampu melemahkan nafsu serakah selain godaan syaitan yang menjurus kepada sebaran air mani.

“Kejadian merogol anak kandung sendiri meskipun sudah mempunyai empat isteri sepatutnya tak berlaku dan ini secara tidak langsung menunjukkan suami memang tidak boleh mengawal nafsunya.


“Kalau begitu, kita kena periksa pula latar belakangnya dari segi solat, amalannya yang menyebabkan dia (suami) buat demikian. Kalau dia memang tergamak merogol anak kandung sendiri yang sepatutnya dilindungi, maknanya dia berkahwin itu semata-mata memuaskan nafsu.


“Sepatutnya, apabila sudah mempunyai empat isteri, dia kena juga berpuasa, buat amalan lebih banyak dan berzikir kerana ini yang mampu melemahkan sedikit nafsu, tidak kiralah sama ada seorang lelaki itu orang tua atau muda. Kita kena berbalik kepada hukum,” katanya.


Noor Aziah berkata demikian mengulas muka depan Harian Metro, kelmarin mengenai seorang kontraktor beristeri empat layak digelar ‘bapa setan’ apabila tergamak menjadikan anak kandung hasil perkahwinan dengan isteri keduanya sebagai tempat memuaskan nafsu apabila memperkosa mangsa sejak berusia sembilan tahun di Kerambit, Kuala Lipis.

Lebih keji, lelaki berusia 49 tahun itu merakamkan perbuatan terkutuknya merogol anak yang kini berusia 14 tahun dengan telefon bimbitnya sebelum menyimpan rakaman berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kahwin4bukancarakawalnafsu/Article

'Kita mati sama-sama'



Oleh Gaddafi Musli
gaddafimusli@hmetro.com.my
2010/07/26

KUALA LUMPUR: “Mama ikut Nasywa ya, kita mati sama-sama...” itu ayat yang tertera pada sekeping nota dipercayai ditulis seorang pembantu rumah warga Indonesia sebelum cuba terjun bersama bayi majikannya berusia lima bulan dari tingkat enam sebuah kondominium di Segambut di sini.

Cubaan itu, bagaimanapun gagal apabila ibu bayi berkenaan, Azlinda Ibrahim, 37, berjaya memujuk wanita dipercayai menghadapi masalah mental itu dan menyelamatkan bayinya selepas bergelut hampir setengah jam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari beberapa hari lalu, selepas Azlinda, seorang suri rumah, terdengar pembantu rumahnya, Siti Pajar, 21, yang baru tiga bulan diambil bekerja bercakap seorang diri dan menangis di dalam biliknya.

Dia segera menghubungi suaminya di pejabat kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini selepas mengesyaki pembantu rumah yang kematian anak sebelum datang bekerja di negara ini, mungkin melakukan sesuatu tindakan di luar kawalan.

“Sebaik membuka pintu biliknya, saya lihat Siti berdiri di atas tangga dan bersedia untuk melompat keluar dari tingkap. Tanpa berlengah saya menariknya dan kami terjatuh di atas lantai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pembantu rumah itu seolah-olah ‘hilang akal’ apabila berlari ke bilik tidur utama dan mengambil bayinya, Mia Adreeyan yang tidur sambil berulang kali menyatakan mereka akan mati bersama.

“Dalam keadaan panik saya menerkam ke arah Siti sambil menjerit meminta tolong dan merampas Mia daripada dakapannya” katanya.

Ketika pergelutan itu, Azlinda sempat menekan butang interkom untuk menghubungi pengawal keselamatan memaklumkan cubaan Siti terjun melalui tingkap bersama bayinya.

“Selepas lebih kurang 15 minit, pengawal keselamatan tiba dan saya terpaksa mencampakkan kunci rumah ke arah pintu kerana masih memegang Siti yang masih meronta-ronta untuk melompat keluar dari tingkap,” katanya.

Suaminya, Mohd Aleemin Othman, 58, yang tiba di rumah sejurus kemudian menghubungi ambulans untuk menghantar Siti ke hospital kerana mengesyaki wanita itu menelan beberapa pil yang tidak diketahui jenis sebelum cuba membunuh diri.

Difahamkan, pembantu rumah yang sudah berkhidmat bersama keluarga mangsa selama tiga bulan itu menghadapi tekanan perasaan selepas kematian bayi perempuannya, dikenali sebagai Nasywa kira-kira dua tahun lalu dan sering tersasul memanggil Mia Adreeyan dengan nama arwah bayinya itu.

“Kejadian itu membuatkan saya trauma dan hidup ketakutan sehinggakan saya tidak berani keluar rumah kerana khuatir sesuatu terjadi kepada bayi saya” kata Azlinda.

Dia berharap kejadian menimpa dirinya dijadikan teladan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati ketika mengambil pembantu rumah warga asing dan seboleh-bolehnya mereka menyiasat latar belakang amah itu terlebih dulu sebelum mengambil mereka bekerja.

Susulan itu, Azlinda dan suaminya membuat laporan di Balai Polis Kepong dan menghubungi pihak agensi untuk membuat aduan dan menyelesaikan masalah pembantu rumah terbabit.

Bagaimanapun, suri rumah itu kesal kerana mendakwa agensi terbabit mengambil sikap ‘lepas tangan’ dan sehingga kini belum memberi maklum balas kepada keluarganya.

Pembantu rumah terbabit dipercayai sudah dibenarkan keluar dari hospital dan kini berada dalam jagaan agensinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...