Oleh JULIA ISMAIL dan IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
rencana@kosmo.com.my
Tersesat selama 21 jam dalam hutan memberi banyak pengajaran kepada Noraishah Raman. Dia bukan saja tidak serik, malah mahu membeli kelengkapan mendaki kerana ketika sesat di hutan, dia hanya membawa alat solek dan pewangi.
PASTI kita tidak mahu mengalami peristiwa terpaksa bermalam seorang diri di dalam hutan yang gelap-gelita tanpa sebarang petunjuk arah, makanan dan juga tempat berteduh.
Bagi Noraishah Raman (Aishah), 26, yang sesat selama 21 jam ketika melalui denai menuju ke kawasan perkelahan di Air Terjun Kubang Gajah, Kampung Kemensah pada 7 Februari lalu, pengalaman berada di hutan seorang diri tidak mungkin dapat dilupakan sampai bila-bila.
"Saya memang tidak menyangka bahawa saya akan tersesat kerana ia adalah kawasan perkelahan yang sering dikunjungi orang ramai.
"Tambahan pula, saya mempunyai dua orang teman yang sedang hamil sudah tiba di kawasan air terjun tersebut dan sudah tentu ia tidak akan menimbulkan masalah pada saya walaupun bersendirian," katanya ketika ditemui di rumahnya di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Segalanya bermula apabila Aishah mendaki bersendirian pada pukul 3 petang bagi menyertai rakan-rakannya seramai 17 orang yang terlebih dahulu sampai ke lokasi perkelahan.
|
Keluarga Noraishah menangis kegembiraan selepas dia berjaya ditemui.
|
"Saya lewat sedikit sebab saya ada mesyuarat di pejabat dan oleh kerana saya yang merancang perkelahan ini, saya gagahkan diri untuk mendaki bersendirian walaupun tidak pernah tiba di kawasan tersebut.
"Apabila sampai, pengawal memberitahu saya tempat tersebut jauh ke atas dan perlu berjalan kaki selama 45 minit untuk tiba di sana dan dia beri saya petunjuk untuk ke tempat tersebut.
"Saya agak terkejut kerana jika 45 minit bermakna kawasan tersebut agak jauh tetapi mengenangkan dua rakan yang sedang berbadan dua mampu mendaki, apatah saya," kata Aishah menceritakan pengalamannya kepada penulis.
Aishah memberitahu, pengawal tersebut menyuruh dia belok di simpang kedua tetapi setelah berjalan lebih kurang 45 minit, dia tidak merasakan dirinya hampir dengan kawasan tersebut.
|
Umai (kanan) bergambar bersama rakan- rakannya sebelum hilang.
|
"Saya berasa pelik sebab kawasan itu berpaya dan dipenuhi dengan pokok buluh. Tidak mungkin rakan saya yang hamil melalui kawasan ini.
"Bila saya pusing belakang, saya hanya nampak pokok sahaja dan ketika itu saya sudah mula panik dan tahu saya dah sesat dalam hutan," katanya.
Menurut Aishah, kawasan yang dipenuhi dengan pokok buluh itu menyebabkan dia mengalami luka teruk di tapak tangan dan kaki, tambahan pula dia hanya memakai selipar ketika itu.
"Saya terus berjalan walaupun tangan dan kaki saya terlalu sakit. Saya hanya fikirkan untuk keluar dari hutan tersebut secepat mungkin.
"Tidak lama kemudian, saya dapati tanah yang dipijak semakin lembap dan saya agak mungkin ada sungai berdekatan. Oleh itu, saya teruskan juga perjalanan walaupun hari semakin gelap.
"Akhirnya, saya jumpa anak sungai dan saya terlelap dekat seketul batu yang agak besar akibat terlalu letih," katanya.
Anak kedua daripada tujuh adik-beradik itu memberitahu, apabila menyedari dia tersesat di dalam hutan, dia telah melaungkan azan sebanyak tiga kali supaya dia menjumpai jalan pulang.
Namun, semakin dia berjalan untuk mencari jalan keluar, Aishah tahu bahawa dia telah tersesat lebih jauh ke dalam hutan dan tidak menjumpai jalan seperti mana dia mula-mula masuk ke pusat rekreasi itu.
|
BAPA Umai membisikkan azan ke telinganya selepas dia dijumpai.
|
"Semasa saya tidur, saya tersedar ada helikopter di udara dan saya cuba menggoyangkan pokok buluh tetapi mereka tidak menyedari kedudukan saya. Helikopter itu melalui kawasan saya tidur sebanyak tiga kali.
"Nak menjerit, saya takut. Maklumlah dalam hutan. Nanti lain yang dijerit, lain pula yang menyahut," katanya sambil ketawa.
Menurut Aishah, jika difikirkan kembali, bersendirian di dalam gelap hutan adalah satu pengalaman yang amat menakutkan.
Namun, katanya, apabila dalam keadaan terdesak dan keletihan, segala perasaan takut akan hilang.
"Bila sendirian, macam-macam kita fikir dan seolah-olah mendengar sesuatu.
|
NORAISHAH menarik nafas lega setelah ditemui anggota polis yang mencarinya.
|
"Sekejap saya terdengar orang berjalan, sekejap saya macam nampak cahaya hijau bersinar. Walau apa yang saya lihat dan dengar, fikiran saya cuma satu iaitu mencari jalan keluar. Oleh kerana badan terlalu penat, saya terlelap sehingga pagi," katanya.
Menurutnya, sepanjang hilang selama 21 jam, dia hanya menjamah biskut dan air sungai.
"Bila terjaga, saya hanya menyusuri sungai dan hanya menggunakan teori sendiri iaitu semakin deras anak sungai bermakna ia akan membawa saya ke sungai yang lebih besar.
"Ketika saya sedang minum air sungai, saya terdengar ada orang menjerit, 'oi'. Saya terkejut dan nak lari. Apa tidaknya, mana ada orang jerit 'oi' dalam hutan. Tetapi bila dia sebut nama saya, dan mereka memakai jaket polis, saya tahu mereka adalah pasukan yang mencari saya," ujarnya.
Menurut Aishah, ketika dia ditemui jam menunjukkan pukul 12.30 tengah hari dan dia perlu berjalan lagi untuk keluar dari kawasan hutan sehingga kira-kira pukul 2.30 petang.
Katanya, anggota polis yang menemuinya memberi kasut dan sarung tangan kerana dia sudah tidak mampu meneruskan perjalanan dalam keadaan badan dipenuhi luka dan duri.
Aishah berkata, pengalamannya sesat di dalam hutan telah banyak mengajarnya erti sebenar kehidupan iaitu menghargai kehidupan dengan lebih baik.
|
KESAN tersesat di dalam hutan, kedua-dua kaki Noraishah mengalami luka.
|
"Selepas ini, saya nak beli segala kelengkapan untuk mendaki dan berkhemah kerana ketika saya hilang, tidak ada satu pun barang yang saya bawa boleh membantu saya supaya kedudukan saya dapat dikesan.
"Apa yang ada dalam beg saya hanyalah alat solek dan kelengkapan wanita lain seperti minyak wangi dan pelembap. Saya nasihatkan mereka yang ingin memasuki hutan, paling kurang pun bawa sekotak mancis atau pemetik api dan yang penting jangan pakai selipar," ujarnya sambil tersenyum.
Operasi mencari dan menyelamat Aishah yang dilancarkan sejak pukul 12 tengah hari pada hari kejadian melibatkan pasukan polis yang menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan K9, sebuah helikopter Unit Udara PDRM, Ikatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung.
Sementara itu, pada 7 Februari tahun lalu, negara dikejutkan dengan kehilangan Nur Umaisarah Same'aun, 22, atau dikenali sebagai Umai. Umai tersesat selama 19 hari ketika mendaki Gunung Tahan dari arah Merapoh, Pahang.
Namun, berkat doa orang ramai dan kecekalan Umai mencari jalan keluar, akhirnya dia berjaya ditemui pada 26 Februari.
Tragedi itu dipercayai berlaku selepas penuntut tahun akhir Diploma Perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau, Perlis ini begitu asyik melihat pokok bonsai. Ketika itu, dia dan 35 lagi rakan lain menyertai Ekspedisi Komander Kesatria.
Umai bukan sahaja terpaksa berjalan kaki sejauh 30 kilometer dan menahan lapar, malah lebih menyedihkan apabila dia tidak dapat melihat dengan jelas selepas cermin matanya pecah.
Namun Umai tidak mudah berputus asa dan terus berusaha mencari jalan keluar. Genap hari ke-18, dia yang kehilangan berat badan sebanyak 15 kilogram, menjumpai denai ke Kem Teku.
Dia meneruskan perjalanan sehingga tiba di Kem Sungai Putih dan bertemu dengan jurupandu dan dua pelancong asing.
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0217&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm