Monday, May 3, 2010

Model dedah punca cintai pengasas Playboy


Hugh Hefner dan Crystal Harris


LOS ANGELES - Model berusia 24 tahun, Crystal Harris menegaskan kekayaan bukan punca dia mencintai kekasihnya iaitu pengasas majalah lucah Playboy, Hugh Hefner yang berumur 84 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurutnya, dia tidak berminat dengan harta kekayaan kekasihnya itu yang dianggarkan sebanyak AS$15.2 juta (RM48.3 juta).

Dengan jarak usia 60 tahun, Crystal dikatakan bersedia untuk menjadi isteri ketiga Hefner.

"Saya telah menandatangani perjanjian praperkahwinan. Hugh tidak memberi wang dan saya juga tidak meminta daripadanya," kata Crystal.

Walaupun Hefner ada memberi isyarat dia mahu berkahwin dengannya, namun model tersebut tidak mahu membuat desakan seperti yang pernah dilakukan oleh bekas isteri pengasas Playboy itu, Holly Madison.

Dua minggu lalu, Hefner dilaporkan bersedia untuk mengahwini Crystal.

Crystal membesar di Ye Olde Rose dan Crown di England. sebelum berpindah ke San Diego, Amerika Syarikat ketika dia baru berusia 10 tahun.

Bapanya meninggal dunia setahun selepas perpindahan itu akibat kanser.

Sebagai seorang pelajar jurusan psikologi, Crystal mula melakukan pelbagai kerja peragaan.

Dia pertama kali berjumpa Hefner pada Oktober 2008 di parti Halloween di rumah agam milik pengasas Playboy itu.

"Saya memakai pakaian seperti seorang pembantu rumah Perancis. Saya melihat Hefner di kolam renang. Dia memanggil saya. Selepas beberapa jam, dia meminta saya untuk tinggal di rumah itu pada hujung minggu.

"Setelah tiba di rumah saya, Hefner menelefon dan mengajak saya untuk tinggal bersamanya.

"Saya kemudian bersetuju dan berhenti daripada pengajian di universiti," kata Crystal.

Menurut Crystal, dia mengetahui kebanyakan rahsia hidup Hefner.

Model itu menyatakan Hefner telah meniduri lebih 2,000 wanita termasuklah bintang filem.

"Saya bertanya mengenai semua kisah silamnya. Hefner juga mengaku dengan siapa dia membuat hubungan seks," kata Cystal.

Crystal menegaskan bahawa dia tidak cemburu dengan gadis-gadis yang mendampingi Hefner.

Menurutnya, Hefner merupakan seorang yang amat romantik dan memiliki ciuman yang hebat.

"Hefner sangat sihat, Saya kagum dengan tenaga yang dimilikinya. Memang dia pernah diserang strok pada tahun 1980-an, tetapi dia tetap ceria. Hefner memiliki genetik yang mengagumkan dan seolah-olah dia baru berusia 50-an," jelasnya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

'Terima kasih atas cintamu'

Oleh Mohd Rafi Mamat
am@hmetro.com.my
2010/05/03

PEKAN: Penantian seorang lelaki kurang upaya (OKU), Mohd Khairi Othman, 34, untuk mendirikan rumah tangga, akhirnya tercapai apabila dia berkahwin dengan Zaleha Mohd Nafis, 35, semalam.

Majlis pernikahan pasangan berkenaan dilakukan oleh Penolong Pendaftar Nikah dan Ceria Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip), Mohamed Sood Md Dahan di Masjid Al Takwa.


Lebih 50 ahli keluarga kedua-dua belah pihak menyaksikan majlis berkenaan, dengan sekali lafaz, Mohd Khairi sah bergelar suami kepada Zaleha.


Mohd Khairi berkata, dia bersyukur akhirnya impian mendirikan rumah tangga menjadi kenyataan.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada Zaleha yang sanggup menerima saya sebagai suaminya walaupun saya seorang OKU.


“Sebagai suami dan ketua keluarga, saya akan berusaha memberi yang terbaik kepada isteri termasuk tiga anak tiri saya,”
katanya yang juga seorang penternak ikan sangkar di Kampung Tanjung Pulai.


Beliau berkata, perkahwinannya ini akan menjadi pendorong kepadanya untuk terus memperbesarkan projek ternakan ikan yang diusahakan lebih tujuh tahun lalu.


Sementara itu, Zaleha berkata, semangat dan kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa membuatkan dia begitu tertarik seterusnya bersetuju menerima lamaran Mohd Khairi.


“Saya berkenalan dengan suami selama setahun, selepas kami bertemu untuk menyelesaikan urusan insurans yang memerlukan saya membawa dia mendapatkan pemeriksaan doktor.

“Selepas daripada itu, perhubungan kami seperti biasa sebelum minggu lalu Mohd Khairi menyatakan dia ingin melamar saya sebagai isteri. “Saya hanya mengambil masa tidak sampai tiga hari untuk berfikir dan berbincang dengan keluarga sebelum mengambil keputusan menerima lamaran Mohd Khairi,” katanya yang mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.


Zaleha yang kini bekerja sebagai penyelia di Hotel Hyatt, Kuantan berkata, dia berharap perkahwinan keduanya ini kekal hingga ke akhir hayat kerana cinta dan sayang kepada Mohd Khairi begitu menebal.


Menurutnya, dia tidak pernah menganggap suami seorang OKU sebaliknya sama seperti lelaki lain.


Katanya, dia akan berusaha membantu suami memperbesarkan projek ternak ikan sangkar di Sungai Pahang.

“Saya akan memberi modal kepada suami untuk dia memperbesarkan projek ternakan ikan sangkar di Kampung Tanjung Pulai,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Terimakasihatascintamu/Article

Wanita normal jodoh lelaki cacat


MOHD. KHAIRI bersama isteri pada majlis pernikahannya di Pekan semalam.


SUDAH JODOH. Mohd. Khairi Othman, 34, yang cacat kedua-dua anggota tangan dan kaki bertemu jodoh dengan wanita normal, Zaleha Mohd. Nafis, 36, setelah setahun berkenalan.

Majlis pernikahan pasangan itu dilangsungkan di Masjid At-Taqwa, Pekan, Pahang semalam dan disaksikan lebih 50 ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Menurut Mohd. Khairi, dia mengambil keputusan untuk melamar isterinya itu setelah mendapati sikap penyayang dan ambil berat yang ditunjukkan isterinya selama tempoh perkenalan mereka.

Sementara itu, Zaleha yang pernah berkahwin sebelum ini dan dikurniakan tiga anak menyifatkan suaminya itu seorang yang gigih dan tidak pernah menganggap dia kurang upaya dari segi fizikal. - Bernama

35 lagi kes H1N1, golongan risiko diminta dapatkan vaksin

KUALA LUMPUR - Wabak selesema babi atau Influenza A (H1N1) menjangkiti 35 lagi mangsa setakat petang kelmarin, menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini sebanyak 13,744.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, jumlah kes ILI (Penyakit Serupa Influenza) yang masih dirawat dalam wad di seluruh negara adalah sebanyak 592 kes, dengan 12.8 peratus atau 76 kes disahkan positif H1N1.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0503&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

IRM hulur bantuan

Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my
2010/05/03

DUNGUN: Prihatin dengan penderitaan dihadapi ibu tunggal yang terpaksa bekerja keras mencari rezeki menyara tiga anaknya pada saat dia sendiri menghidap sakit saraf, Islamic Relief Malaysia (IRM) menghulurkan bantuan bagi meringankan beban ditanggung Jarah Rahim, 50, di Kampung Seberang Pintasan, di sini, kelmarin.

IRM, badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Islamic Relief Worldwide (IRW) berpangkalan di United Kingdom menyertai program Titipan Kasih diterajui Harian Metro sejak awal tahun ini dan berterusan buat kali keempat di daerah ini.


Ketua Operasi dan Kewangan IRM, Farouq @ Faraatika Zauji berkata, program Titipan Kasih dipelopori Harian Metro selaras aktiviti amal dijalankan pihaknya yang membantu golongan miskin mengharungi cabaran hidup.


Beliau memuji usaha Harian Metro kerana bukan sekadar mencari berita menyiarkan penderitaan orang miskin, tetapi mengambil inisiatif membantu mereka dengan menghulurkan pelbagai barangan termasuk keperluan harian menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR).


“Sebagai badan amal, IRM sentiasa prihatin dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak membantu meringankan beban dihadapi golongan sasar seperti dilalui Jarah yang mengambil alih tugas mencari rezeki selepas kematian suami dan anak sulung kudung kaki selepas terbabit dalam kemalangan.


“Sumbangan keperluan harian dan makanan yang diberikan diharap membantu mengurangkan perbelanjaannya dan sekiranya perlu kita terus membantu keluarga ini dari semasa ke semasa,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada Jarah, susulan paparan penderitaannya dalam ruangan Metro Prihatin menerusi Harian Metro, Jumaat lalu.


Sementara itu, Jarah berkata, dia berterima kasih dan bersyukur kerana banyak pihak membantu selepas kesusahan hidupnya dipaparkan Harian Metro dan apa diharapkan kini sumber kewangan tetap membiayai persekolahan dua anaknya, Mohd Helmi Awang, pelajar tingkatan satu dan Norsyafiqah pelajar tahun empat.


“Dengan pendapatan RM20 sehari, saya tidak mampu memberi wang saku yang mencukupi kepada anak, apatah lagi membayar tambang bas sekolah. Saya sedih apabila anak mengadu ditegur guru kerana lambat membayar yuran sekolah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IRMhulurbantuan/Article

Remaja cedera dibelasah geng samseng cilik

2010/05/03

AMPANG JAYA: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di sini cedera pada beberapa bahagian tubuh selepas dibelasah bertubi-tubi sekumpulan samseng cilik tidak dikenali di sebuah restoran makanan segera di Pandan Mewah di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi kelmarin, mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum didatangi kumpulan terbabit.


Jurucakap polis, berkata mangsa yang ketika itu bersendirian dan pada awalnya langsung tidak menyedari kehadiran kumpulan samseng berkenaan.


“Mangsa secara tiba-tiba diserang kumpulan samseng cilik berkenaan tanpa mengetahui sebab mengapa dia diperlakukan sedemikian.


“Malah, mangsa tidak sempat mendapatkan sebarang penjelasan daripada kumpulan samseng cilik terbabit sebaliknya hanya mampu mempertahankan diri daripada terus diasak bertubi-tubi,”
katanya.


Jurucakap itu berkata, seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui lokasi kejadian kemudian membawa mangsa yang cedera ke sekolah sebelum memaklumkan perkara terbabit kepada pihak pentadbiran sekolah berkenaan.


Hasil pemeriksaan mendapati mangsa cedera termasuk lebam di beberapa bahagian badan dan muka.


Pihak pengurusan sekolah kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya berhubung insiden terbabit.


Berdasarkan siasatan, polis mendapati ada antara ahli kumpulan samseng cilik terbabit terdiri daripada pelajar sebuah sekolah lain berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajacederadibelasahgengsamsengcilik/Article

16 remaja bawah umur berhibur ditahan

2010/05/03

KUALA LUMPUR: Seramai 16 remaja bawah umur ditahan dalam operasi berasingan ke atas pengunjung dua pusat hiburan di sini, awal pagi kelmarin.

Dalam operasi Bahagian Narkotik Bukit Aman di sebuah pusat hiburan terkenal di ibu kota itu, lebih 2,000 pengunjung diperiksa dan menahan 15 pengunjung termasuk lelaki dan perempuan kerana positif saringan ujian air kencing.


Sumber polis berkata, operasi bermula jam 1 pagi dan berakhir jam 6 pagi itu dilakukan bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur.

Dalam kejadian berasingan di Jalan Ipoh di sini, seorang remaja bawah 21 tahun bertindak kurang ajar apabila mempersoalkan tindakan seorang anggota polis menahannya kerana berada di premis hiburan lebih masa.


Remaja perempuan terbabit yang dipercayai mabuk mempersoalkan tindakan pihak berkuasa kerana menahannya bersama 15 lagi rakannya.


Manakala dalam serbuan Bahagian Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur di sebuah kelab dangdut itu, mereka memeriksa 171 pelanggan yang kebanyakannya mabuk.


Dalam serbuan pada jam 4.55 pagi itu seramai 16 remaja bawah umur turut ditahan. Mereka antara 171 pengunjung yang diperiksa termasuk seorang pembantu rumah warga asing.


Pegawai Turus D7, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, berkata pihaknya mendapati premis itu beroperasi melebihi masa dan membenarkan remaja bawah umur berada di situ.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/16remajabawahumurberhiburditahan/Article

Mayat kekasih ‘tumpang’ kereta

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/05/03

SEREMBAN: Cubaan nekad seorang lelaki membuang mayat teman wanita yang dipercayai baru dibunuhnya, gagal apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum diberkas polis ketika dia cuba melarikan diri dalam kejadian di Nilai Spring, dekat sini, malam kelmarin.

Difahamkan, sebelum diberkas, suspek berusia 30-an cuba memperdayakan pihak berkuasa dengan memaklumkan kononnya wanita warga Indonesia berusia 20-an yang berada bersebelahannya itu pengsan.


Pembohongannya bagaimanapun tidak bertahan lama apabila dia mengaku membunuh mangsa dan mahu membuang mayatnya di sekitar Nilai selepas disoal siasat polis.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Zaki Masroh, berkata,dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, lelaki yang memandu Perodua Kancil dari Bangi, Selangor, menuju Nilai dilihat berkelakuan mencurigakan oleh sebuah kereta peronda polis.


“Berikutan itu, anggota kami (polis) mengekori kereta terbabit di Nilai Spring dan suspek yang menyedarinya memecut kenderaan dalam usaha melarikan diri.


“Bagaimanapun, insiden mengejar itu berakhir apabila kenderaan suspek terbabas di tempat kejadian dan ditahan.


“Suspek berada dalam keadaan cemas dan seorang wanita berpakaian lengkap berada di kerusi hadapan kereta berkenaan seolah-olah tidur.


“Apabila ditanya, suspek memberitahu teman wanitanya itu pengsan, tapi pemeriksaan mendapati wanita berkenaan sudah meninggal dunia,’’ katanya di sini, semalam.


Menurut Zaki, siasatan awal polis menemui kesan jerutan di leher wanita warga Indonesia berkenaan, sekali gus tidak menolak kemungkinan mangsa mati dalam kereta suspek.

“Melalui soal siasat, suspek memaklumkan dia sebelum itu bergaduh dengan mangsa di Bangi dan mengaku membunuh wanita itu sebelum memandu ke Nilai untuk membuang mayat wanita terbabit,” katanya.


Beliau berkata, suspek ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


“Namun, siasatan awal kes yang dilakukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan akan diserahkan kepada IPK Selangor berikutan kenderaan suspek turut didapati digunakan untuk melakukan jenayah di negeri terbabit.


“Selain itu, bagi tujuan siasatan, kami sudah menghantar laporan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk tindakan selanjutnya,"
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mayatkekasih__8216_tumpang__8217_kereta/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...