Saturday, April 10, 2010

Penemuan

Obesiti kerana cacat genetik?



DALAM sebuah penyelidikan di Britain, sekumpulan saintis telah membuat kesimpulan bahawa ketiadaan segmen tertentu dalam asid dioksiribonukleik (DNA) boleh menyebabkan rasa lapar yang melampau.

Kehilangan segmen itu menggalakkan sikap terlebih makan, penambahan berat badan dan seterusnya mengakibatkan obesiti di kalangan kanak-kanak. Dr. Sadaf Farooqi dari Universiti Cambridge, dan Dr. Matt Hurles dari Wellcome Trust Sanger Institute, telah membuat kajian ke atas 300 DNA kanak-kanak obes.

Kajian tersebut meneliti genom setiap kanak-kanak lalu menemui keadaan mutasi yang dinamakan varians nombor salinan (CNV). Ia adalah satu segmen penting dalam DNA yang sama ada mengalami duplikasi atau hilang terus daripada gen. Segmen itu dipercayai mempunyai peranan penting dalam menentukan penyakit-penyakit genetik.

Apabila data itu dibandingkan dengan lebih 7,000 sukarelawan yang dikawal tahap kesihatan mereka, kajian tersebut menunjukkan bahawa CNV dalam rantaian DNA kanak-kanak obes bersifat unik. Walau bagaimanapun, keadaan itu dianggap penemuan terpencil dan hanya ditemui dalam kira-kira satu peratus daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak obes.

Lima pengawal flu di dapur

BANYAK bahan makanan di dapur boleh mengurangkan kerengsaan simptom penyakit tersebut seterusnya mempercepatkan proses pemulihan. Antaranya:

Garam: Selain menjadi ubat kumur untuk meredakan tekak yang sakit, garam sangat berkesan untuk masalah hidung tersumbat. Larutan garam yang suam boleh disedut masuk melalui rongga hidung untuk memberi kelegaan pernafasan dan mencegah jangkitan resdung.




Halia: Teh halia berkesan membunuh kuman dan meredakan masalah perut. Halia yang digunakan dalam produk mandian juga merangsang sistem limfa dengan mempercepat proses penyingkirannya.

Bawang putih: Banyak kajian telah mengesahkan bahawa bawang putih mentah memiliki nilai antikulat, antibakteria dan antivirus. Penggalak daya ketahanan tubuh ini juga boleh meningkatkan pendarahan, maka mereka yang mengambil ubat berkaitan pendarahan perlu berhati-hati ketika menyertakan bawang putih ke dalam diet mereka.

Madu: Bahan yang memiliki nilai pemulihan tinggi ini meredakan batuk dan meningkatkan imunisasi. Campuran madu dan jus limau segar adalah ubat batuk semula jadi.

Buah oren: Vitamin C dalam jus oren yang diminum setiap hari mampu memendekkan durasi selesema. Setiap 1,000 miligram vitamin C yang diambil setiap enam jam boleh mengurangkan atau mencegah simptom flu dengan berkesan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Malu membawa mudarat


KUTIL dan ketuat bermula dengan tekstur kecil sebegini pada kulit.


Bermula dengan bintil halus atau tompok kecil bertekstur kasar di permukaan kulit, ketuat membawa kepada rasa jijik dan kegatalan jika sistem ketahanan tubuh tidak berupaya mengekang pertumbuhannya.

MUNGKIN kewujudannya tidak disedari. Kalau kelihatan pun, mungkin juga ia segera dilupakan kerana disangka tidak memberi apa-apa kesan berpanjangan.

Namun begitu, bagi kes-kes tertentu, kehidupan seseorang boleh berubah kerananya.

Perkara yang dimaksudkan itu adalah kutil dan ketuat. Variasi dengan ketumbuhan kecil yang bertekstur kasar sama ada di tangan atau di kaki, ia boleh merebak menjadi bintil-bintil bercecair seperti melepuh.

Lebih mendatangkan rasa khuatir adalah apabila kutil dan ketuat ini ditemui di bahagian lain pada tubuh seperti di dada, ketiak, kemaluan, leher dan juga tengkuk.

Kutil yang tumbuh pada kulit lelaki tua mungkin suatu yang dianggap biasa. Namun, kutil yang sama jika tumbuh di muka seorang wanita berusia dalam lingkungan 40-an, ia suatu cabaran kosmetik yang ‘menggemparkan’!

Ini berbalik kepada soal persepsi, maklumat, aspek kesihatan dan usaha untuk menghilangkannya.

“Kutil dan ketuat terjadi disebabkan virus papiloma manusia (HPV).

“Ada juga yang bukan disebabkan virus iaitu kutil seborrhoeic yang biasa terjadi pada kulit wajah,” kata Perunding Dermatologi, Pusat Perubatan Pantai Cheras, Kuala Lumpur, Dr. Ruban Nathan.

Walaupun terdapat lebih daripada 100 strain HPV, terdapat beberapa jenis yang lazim terjadi kepada seseorang seperti kutil biasa (verruca vulgaris), ketuat leper (verruca plana) atau ketuat filiform seperti yang terjadi pada muka terutamanya di kelopak mata dan bibir.

“Bergantung kepada sistem ketahanan tubuh dan juga prosedur klinikal untuk menghilangkannya, jangka hayat ketuat pada permukaan kulit berbeza.


KUTIL dan ketuat bermula dengan tekstur kecil sebegini pada kulit.


“Ada yang akan hilang dengan sendirinya dalam tempoh beberapa minggu manakala ada yang kekal selama bertahun-tahun ataupun hilang dan muncul kembali,” terang Ruban.

Kutil dan ketuat mungkin bukan suatu masalah jika jumlah bintilnya wujud secara tunggal, sedikit dan tidak terasa sakit atau gatal.

Jika bernasib baik atau dalam erti kata lain sistem imunisasi tubuh dapat merencat pertumbuhannya, ia akan lenyap tanpa disedari.

Namun, ia bukan lagi satu perkara main-main jika kutil atau ketuat itu mengalami perubahan secara fizikal hingga membuatkan kulit kemerah-merahan, membengkak ataupun bintil-bintil kasar itu semakin merebak dan menyebabkan rasa gatal.

Bahagian sulit

Menurut Ruban, kegelisahan pasti akan bertambah bagi seseorang yang mempunyai ketuat di bahagian alat kelamin mereka. Ketuat jenis ini dinamakan condyloma, condylomata acuminata ataupun venereal.

“Ketuat alat kelamin, misalnya yang tumbuh pada kepala dan pangkal zakar, merupakan salah satu daripada penyakit yang merebak melalui hubungan kelamin (STD). Ia boleh mengganggu perhubungan intim antara pasangan suami isteri.

“Pada masa yang sama, risiko jangkitan boleh meningkat di kalangan mereka yang aktif melakukan hubungan seks berbilang pasangan,” jelasnya.


PEMBUANGAN ketuat tegar meninggalkan parut.


Ketuat kelamin tersebar melalui sentuhan langsung daripada kulit ke kulit ketika melakukan hubungan seks melalui faraj, dubur atau secara oral dengan seseorang yang telah pun dijangkiti penyakit tersebut.

“Mereka perlu sedar bahawa penggunaan kondom juga tidak dapat 100 peratus melindungi pasangan seks daripada kemungkinan mendapat jangkitan ketuat ini,” katanya.

Bagi wanita pula, ketuat dan kutil yang disebabkan HPV mempunyai kaitan secara tidak langsung dengan kemungkinan menghidap barah serviks.

Lebih teruk jika ketuat ini menjadi punca komplikasi barah di bahagian anus, faraj dan vulva (bahagian di sekeliling bukaan faraj).

Walaupun begitu, sekarang terdapat vaksin yang mengekang HPV daripada menjadi penyebab barah serviks dan ketuat kelamin.

Di negara-negara tertentu, suntikan rutin vaksin Gardasil diberi kepada anak perempuan dalam lingkungan usia 11 dan 12 tahun sebagai usaha mengelakkan komplikasi yang berkaitan dengan kanser serviks.

Wanita yang dalam lingkungan usia sehingga 26 tahun juga digalakkan mengambil Gardasil ini jika tidak pernah divaksin sebelumnya.

Rawatan terbaik

Terdapat banyak jenis rawatan dan prosedur yang berkaitan dengan pembuangan kutil dan ketuat yang disebabkan virus.

Antara yang paling popular dan sudah diterima ramai adalah penggunaan produk topikal yang lazimnya bersifat ‘membakar’ seperti podophyllin, asid salycilic dan fluorouracil.

“Pembedahan kecil memanfaatkan teknologi sejuk beku juga boleh dipilih. Kryosurgeri dan penggunaan nitrogen cecair boleh membantu mematikan sel ketuat dengan pencapaian suhu dingin melampau,” jelas Ruban.

Selain daripada kaedah tersebut, rawatan laser disifatkan sebagai pilihan yang paling efektif.

Pembuangan sel ketuat boleh dilakukan dengan pantas dan mudah kerana laser yang dijana dengan karbon dioksida (CO2) itu mampu bertindak secara khusus dan tepat ke atas ketuat.


KETUAT boleh merebak jika tiada rawatan sewajarnya.


“Bagi ketuat seborrheic yang sering tumbuh pada muka, rawatan laser ini mampu memberikan hasil terbaik,” kata Ruban yang memberi contoh ketuat pada kulit muka aktor veteran handalan Hollywood, Morgan Freeman.

Apabila bercakap tentang ubat pelenyap kutil dan ketuat yang ditawarkan di kaunter farmasi, Ruban menjelaskan bahawa seseorang mungkin akan tersilap cara penggunaannya.

Suatu yang berbahaya juga jika larutan asid yang didakwa dapat ‘membakar’ dan mengecutkan ketuat itu disalah kendali, misalnya disapukan di permukaan kulit yang sensitif dan peka rasa sakit seperti di kemaluan dan kelopak mata.

“Semua orang malu untuk menunjukkan ketuat mereka, apatah lagi jika ia tumbuh di sekitar bahagian sulit. Sebab itu mereka cuba merawat diri mereka sendiri.

“Bagaimanakah mereka benar-benar yakin bahawa itu adalah ketuat dan penyelesaiannya adalah dengan menggunakan ubat dari kaunter itu?

“Masalah ketuat mereka perlu mendapat perhatian doktor pakar kulit, dan bukannya mengambil keputusan sendiri di farmasi,” pesan Ruban.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0117&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Ciuman beracun

Penyakit menular akibat berciuman.




TAHUKAH anda apa itu mononukleosis? Secara amnya, ia didefinisikan sebagai jangkitan yang dinamakan Epstein-Barr virus (EBV). Ia berupaya menyebabkan pelbagai simptom alahan seperti selesema, batuk dan juga sakit tekak.

Menurut Pakar Bedah Telinga dan Tekak, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Rahmat Omar, virus ini biasanya melibatkan kanak-kanak dan boleh merebak melalui rembesan air liur, batuk serta bersin.


DEMAM merupakan salah satu gejala awal.


Antara petanda dijangkiti mononukleosis ialah pesakit mungkin berdepan dengan gejala seperti demam, kelesuan, hilang selera makan, sakit tekak dan bengkak kelenjar terutama di bahagian leher.

“Simptom ini juga menyerupai virus lain seperti sitomegalovirus (CMV) kerana mempunyai gejala yang sama. Bagaimanapun, doktor mungkin melakukan ujian darah bagi memastikan jangkitan itu disebabkan oleh mononukleosis.


DR. RAHMAT OMAR


“Kanak-kanak yang berumur dalam lingkungan setahun hingga remaja 18 tahun memang berpotensi untuk mendapat jangkitan ini. Orang dewasa memang jarang dijumpai,” ujarnya.

Sama seperti virus EBV, sekali dijangkiti virus CMV, virus itu akan berada di dalam badan pesakit seumur hidup.


SAKIT tekak mungkin petanda anda sudah dijangkiti.


CMV juga bertindak menyebarkan virus melalui cecair badan seperti darah, air liur, air kencing, air mani dan susu ibu.

Individu yang mempunyai imunisasi yang lemah memiliki risiko yang lebih besar untuk dijangkiti CMV.


PENGAMBILAN antibiotik tertentu bagi merawat penyakit ini boleh menyebabkan ruam di badan.


Jika seseorang itu hamil dan belum pernah terdedah kepada virus CMV, tetapi mempunyai jangkitan lain, virus itu boleh memberi kesan kepada bayi yang belum dilahirkan itu.

Kajian turut menunjukkan EBV boleh menjangkiti sel-sel epitelium orofarinks dan kelenjar saliva.

Justeru itu, pencegahan awal perlu diambil bagi memastikan jangkitan tersebut tidak menjadi serius sehingga mendatangkan kemudaratan pada kesihatan.




Pulih sendiri

Menurut Rahmat, jangkitan mononukleosis sering dianggap tidak serius kerana ia boleh sembuh dengan sendirinya tanpa perlu mengambil ubat-ubatan.

“Bukan bermaksud ia tidak berbahaya, maka tidak perlukan rawatan. Jangkitan itu akan pulih dengan sendirinya dalam masa tiga hingga empat bulan, bergantung pada imunisasi badan.

“Tempoh timbulnya inkubasi (simptom) ialah di antara empat hingga lapan minggu setelah dijangkiti. Tapi ada juga kes di mana penyakit ini merebak sehingga melebihi 18 bulan.

“Jika terdapat keradangan teruk pada tekak, pemeriksaan di bahagian tengkuk akan dilakukan bagi mengesan puncanya.

“Kalau pesakit dijangkiti, tekak mungkin akan mempunyai selaput berwarna putih dan kemerah-merahan.

“Pesakit tidak perlu bimbang tentang gejala ini melainkan jika ia berlarutan,” ujarnya sambil menunjukkan gambar rajah kerongkong.

Turut popular dengan gelaran kissing disease atau ‘penyakit berciuman’ di negara-negara Barat, virus tersebut juga boleh disebarkan kepada orang lain melalui ciuman oleh pesakit yang dijangkiti mononukleosis.

Di samping itu, perkongsian minuman, berus gigi ataupun barang solek seperti pelembap bibir juga berpotensi mengakibatkan jangkitan melalui saliva (air liur).

Disebabkan ia adalah sejenis virus, antibiotik seperti penisilin tidak akan membantu kecuali jika ada jangkitan bakteria.

“Antibiotik tertentu juga boleh menyebabkan ruam di badan. Kajian menunjukkan lebih 80 hingga 90 peratus akan mendapat ruam yang teruk jika diberikan antibiotik.

“Rehat secukupnya dan elakkan makanan yang boleh mengganggu keselesaan tekak kerana ia boleh membantu mengurangkan gejala ini daripada berlarutan,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0124&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Penemuan

PERBAIKI kualiti kesihatan anda dengan maklumat terkini dunia perubatan yang Kosmo! Ahad paparkan pada minggu ini.

Pembuluh darah otak akibatkan MS

SEBANYAK 55 peratus pesakit sklerosis pelbagai (MS) didapati mengalami penyempitan pembuluh darah ke otak. Menurut penyelidik dari Itali, Dr. Paolo Zamboni, ini menjelaskan bagaimana aliran pantas darah terhalang hingga mewujudkan sejenis besi di dalam otak sekali gus menyebabkan ketidakmampuan sel saraf antara otak dan tulang belakang berkomunikasi.

Terkini, saintis Universiti Buffalo, AS, menggunakan mesin ultrabunyi Doppler dan teori serta kajian Zamboni untuk mengimbas keadaan pesakit dalam pelbagai posisi bagi melihat salur darah.


MISTERI penyakit sklerosis pelbagai semakin terjawab dengan penggunaan teknologi.


"Teori dan kajian tersebut semakin memberi jalan penyelesaian kepada penyakit MS. Menerusi imbasan, ia jelas menunjukkan terdapat laluan darah yang sempit. Penyempitan ini mewujudkan abnormaliti utama penyebab MS," kata sumber penyelidik tersebut.

EKSTRA: Kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang gemar minum susu dan mengambil vitamin D ketika hamil akan berdepan dengan risiko sklerosis pelbagai 56 peratus lebih rendah berbanding ibu yang tidak minum susu.

Kebosanan punca mati muda

MENGALAMI perasaan bosan terbukti memberi kesan buruk terhadap kesihatan. Dalam laporan penyelidik dari Kolej Universiti London, kebosanan boleh menyebabkan anda mati pada umur muda.

Walaupun ia tidak mendatangkan bahaya secara khusus, tetapi rasa bosan itu mampu menjadi simptom kepada perilaku bahaya seperti minum minuman keras, merokok, menagih dadah dan mengalami masalah psikologi. Tinjauan itu dijalankan ke atas lebih daripada 7,000 kakitangan kerajaan yang berumur di antara 35 hingga 55 tahun.


BOSAN mampu menjadi simptom kepada perilaku bahaya.


Wanita muda didapati lebih mudah berasa bosan manakala mereka yang dilaporkan kebosanan senang mendapat serangan jantung.

“Berdasarkan kajian, kami menyimpulkan mereka yang kebosanan berpotensi mati muda namun ia bukan pencetus utama,” ujar laporan tersebut.

EKSTRA: Menurut penyelidik dari Belanda, wanita hamil yang merokok mempunyai darah tinggi dan paras asid folik yang rendah pada trimester pertama kehamilan bakal memiliki bayi yang kecil serta mengalami komplikasi serius yang lain.

Rasa manis simpan rahsia tekanan jiwa

LAZIM untuk kanak-kanak menyukai gula-gula. Namun, jika mengambilnya terlalu banyak, mereka berdepan dengan risiko mengalami tekanan emosi dan mendapat kesan seperti ketagihan alkohol pula.

Sepasukan penyelidik Amerika Syarikat (AS) dalam jurnal Addiction memberitahu, kanak-kanak yang obses dengan gula-gula mempunyai kaitan rapat dengan masalah ketagihan alkohol yang dicetuskan oleh rasa manis yang wujud dalam gula-gula terhadap otak.


OBSESI kanak-kanak terhadap makanan manis harus dikawal dengan bijaksana oleh ibu bapa.


“Ia memerlukan paras kemanisan yang tinggi untuk membuatkan kanak-kanak tersebut kembali tenang,” ujar ketua penyelidik, Julie Mennella.

Jelasnya lagi, masyarakat menggunakan gula-gula sebagai hadiah kerana ia menimbulkan keseronokan dalam kalangan kanak-kanak. Namun, sesetengah kumpulan kanak-kanak ini obses kepada gula-gula kerana pengaruh biologi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Bengkak ginjal undang maut

Seumpama virus, kegagalan buah pinggang boleh berlaku pada bila-bila masa.


SEPERTI organ lain, pemeriksaan buah pinggang harus dilakukan secara berkala iaitu enam bulan sekali.


LAZIMNYA, kegagalan fungsi buah pinggang atau ginjal seringkali dikaitkan dengan kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Bagi penyakit radang buah pinggang, ia agak jarang diperkatakan walaupun saban waktu terdapat kes ini.

Tidak hairanlah jika kajian di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan 10 peratus daripada golongan dewasa mempunyai masalah kerosakan buah pinggang daripada kategori ringan hingga serius. Malangnya mereka tidak mengetahuinya.




Turut dikenali sebagai glomerulonephritis (GN), Pakar Runding Nefrologi Pusat Perubatan Ampang Puteri, Datuk Dr. Zaki Morad Mohamed Zaher menjelaskan ia kerapkali berlaku pada golongan muda.

“Keradangan ginjal berlaku serta-merta iaitu mengambil masa hanya beberapa hari berbanding kerosakan ginjal yang biasanya memakan masa selama 10 hingga 15 tahun,” kata Zaki.

Biasanya, penyakit buah pinggang akut disebabkan oleh penyakit yang memberi kesan kepada buah pinggang, aliran darah atau air kencing yang mengalir keluar daripadanya.

Ujarnya, GN berlaku apabila terdapat kerosakan pada glomeruli iaitu sekumpulan kapilari yang berfungsi sebagai penapis ketika proses menyingkirkan bahan kumuh daripada darah dan masuk ke dalam tubules buah pinggang.

Perbezaan ketara penyakit ini dengan kegagalan buah pinggang yang lain ialah GN tidak melibatkan faktor makanan serta darah tinggi dan kencing manis.

Tambahnya, antara tanda awal pesakit menghidap penyakit ini ialah mereka mengalami masalah air kencing yang mengandungi protein.

Malah panyakit GN lebih bersifat sementara dan boleh hilang dalam jangka waktu tertentu dengan rawatan khas yang diperoleh sejak peringkat awal.

Mengenai punca penyakit buah pinggang, jelas Zaki, ia tidak selalunya dapat ditentukan. Tetapi sebarang bentuk penyakit yang menjejaskan salur darah atau struktur ginjal yang lain boleh menyebabkan kerosakan buah pinggang.

Rawatan

“Mereka yang berisiko untuk mendapat penyakit ginjal ini seperti pesakit kencing manis, darah tinggi dan beberapa penyakit lain menjalani ujian setiap enam bulan sekali,” tegasnya.

Masalah kegagalan buah pinggang hanya dikesan setelah bertahun atau berbelas tahun ia bermula kerana menyerang secara senyap. Semasa diketahui, penyakit itu sudah di peringkat kronik.


TIDAK banyak pilihan bagi pesakit buah pinggang selain pembedahan transplan atau dialisis sepanjang hidup sekiranya ginjal gagal berfungsi.


Justeru, hanya dialisis atau pembedahan transplan menjadi pilihan. Namun, sekiranya dikesan awal, ia boleh dirawat menggunakan ubatan tertentu.

Menurut Zaki, masalah buah pinggang mempunyai kesan berangkai dengan organ-organ lain terutama jantung.

Walaupun keadaan genetik seseorang turut mempengaruhi kehadiran penyakit ini, perubahan dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup boleh menyelamatkan buah pinggang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0214&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...