Sunday, October 3, 2010

Remaja Lari Rumah Sudah Jadi Trend?

Ahad Oktober 3, 2010

Liana (kanan) ketika ditemuramah wartawan Mingguan mStar.

SEKIRANYA remaja sampai ke tahap mengibaratkan rumah mereka seperti ‘neraka’ dan bukan lagi tempat paling selesa untuk didiami, tidak hairanlah tangan cepat mencapai dua-tiga helai baju lalu dimasukkan ke dalam beg lantas kaki pantas melangkah keluar dari rumah tanpa memikirkan musibah yang bakal mereka terima.

Menghadapi kemelut dengan ahli keluarga dan pada masa yang sama fikiran ‘diusik’ dek pengaruh luar atau rakan yang membayangkan nikmat kebebasan serta keriangan dunia luar menjadi penyebab kebanyakan remaja tidak teragak-agak meninggalkan keluarga.

Lebih mengecewakan apabila terdapat gadis tergamak meninggalkan rumah semata-mata mahu mengikut teman lelaki sebagaimana yang berlaku pada pasangan kembar berusia 14 tahun dari Kampar, Perak, Nurul Ain Kamarazmi dan Nurul Ashiqin pada Aidilfitri baru-baru ini. Setelah seminggu meninggalkan rumah, pasangan kembar itu ditemui di Ayer Itam, Pulau Pinang.

Keluarga Pijah atau nama sebenarnya Norlaili Afizah pula menjadi antara keluarga yang cukup bernasib baik kerana gadis berusia 19 tahun yang dilaporkan hilang Februari lalu tiba-tiba tersedar dari dunia khayalan ciptaan teman lelakinya, Sarjo, lantas dia kembali ke pangkuan keluarga.

Kes remaja lari rumah seperti di atas menunjukkan betapa kuatnya tarikan insan bernama rakan dan teman lelaki dalam hidup seorang anak gadis hari ini.

Bagaikan mempunyai kuasa hebat, rakan dan teman lelaki mampu merungkai ikatan kasih-sayang yang terjalin sejak kecil antara gadis dan ahli keluarga mereka.

Kisah 1: Lari gara-gara merajuk

Kathy (bukan nama sebenar) meninggalkan keluarganya selama setahun gara-gara terasa hati dengan ibu dan neneknya. Seperti mereka yang lain, sebelum ini Kathy hidup bahagia bersama keluarganya. Kemelut timbul apabila perniagaan dobi keluarganya menghadapi masalah sehingga memaksa mereka sekeluarga menumpang rumah neneknya.

“Saya merajuk dengan nenek. Dia tak suka kami tinggal dengannya. Dulu bila keluarga kami senang nenek tak macam tu. Bila kami susah, dia hina dan fitnah kami.

“Emak pula asyik menangkan nenek padahal orang sekeliling dah buat cerita macam-macam pasal emak. Sebab itulah saya buat keputusan keluar rumah. Saya betul-betul tak tahan,” katanya kepada Mingguan mStar ketika ditemui di Rumah Kebajikan Wanita Dan Remaja (Kewaja) di Gombak.

Berbekalkan wang sebanyak RM300, Kathy yang pada ketika itu berusia 18 tahun nekad lari dari rumah. Bagi melepaskan diri, dia memberi alasan untuk ke Pahang kerana mahu bertemu dengan nenek di sebelah ibunya.

“Disebabkan tak mahu emak risau, saya ke Pahang seperti yang dimaklumkan. Dari Pahang saya melarikan diri ke Kuala Lumpur pula,” Kathy mengimbas kisah silamnya.

Kathy tinggalkan keluarga selama setahun.

Ketika tiba di ibu kota, Kathy menumpang di rumah seorang rakan yang terletak di Kajang. Tidak menafikan perasaan takut, serba-salah dan rasa berdosa sering menghantui fikirannya kerana bertindak begitu, Kathy tetap mengikut kata hati dan tidak terfikir untuk kembali ke pangkuan keluarga. Membuatkan dia lebih cemas apabila poketnya hampir ‘kering’.

“Mujurlah saya dapat kerja di sebuah restoran makanan segera. Dalam tempoh setahun itu juga saya pernah jadi jurutol,” katanya.

Sebagai anak sulung dalam lima adik-beradik, Kathy tidak terlepas daripada merindui keluarganya sepanjang setahun dia meninggalkan rumah.

“Setahun saya tak telefon atau hantar pesanan ringkas (SMS) kepada orang tua saya. Rindu memanglah rindu tapi saya pendamkan saja.

Kadang-kadang rasa teringin juga nak balik rumah, tapi bila kenangkan perangai nenek dan emak saya batalkan saja hasrat itu,” jelasnya.

Menurut Kathy, sebagai anak mana mungkin dia terlepas daripada perasaan bimbang terhadap nasib dan keadaan keluarganya. Justeru, dia menjadikan emak saudara yang rapat dengan ibunya sebagai pengantara untuk mendapatkan khabar tentang keluarganya.

“Selalu juga saya fikir kalau-kalau berlaku perkara buruk dan tak diingini. Pada masa yang sama saya beritahu juga tentang perkembangan diri melalui makcik saya supaya ibu dan ayah tak risau,” katanya.

Selepas setahun berjauhan dengan keluarga, Kathy pulang ke pangkuan keluarganya. Dia bersyukur kerana keluarga sudi menerimanya, malah sanggup menghantarnya menyambung pengajian di kolej swasta.

Kathy yang sememangnya mendambakan kebebasan pada ketika itu melonjak gembira kerana dia tidak perlu diawasi keluarga tetapi kegembiraan itu tidak lama.

“Saya mengaku terpengaruh dengan rakan-rakan dan terkena kejutan budaya sehingga akhirnya saya terlanjur dengan teman lelaki dan hamil,” katanya.

Kini Kathy berusia 21 tahun dan insaf dengan perbuatan lalu. Dia ingin menebus dosanya dengan taat kepada ibu bapanya dan membesarkan anaknya itu dengan didikan agama serta penuh kasih sayang walaupun tanpa bapa.

Kisah 2: Terabai punca Liana hanyut

Bagi Liana (bukan nama sebenar) kesibukan ibu dan ayahnya bekerja mencari rezeki menyebabkan dia mencari keseronokan di luar bersama rakan-rakannya.

“Mak dan ayah saya sibuk bekerja tak ada masa untuk bersama saya dan adik. Saya pernah tak pulang rumah hampir tiga bulan sebab seronok dapat melepak di rumah sewa kawan.

“Ketika saya lari dari rumah pun mak ayah tak cari sebab mereka tak kisah saya pergi mana. Sejak itu saya sering tidak pulang ke rumah,” kata gadis yang berasal dari Kuala Lumpur ini.

Sikap si ayah yang sibuk bermain judi dan si ibu yang melebihkan kasih sayang terhadap adiknya yang juga kanak-kanak kurang upaya menyebabkan dia lebih senang untuk bersama-sama teman sebaya yang nakal di kawasan perumahannya.

“Duduk dekat rumah pun bukan ada apa-apa. Saya bosan, tak ada apa nak di buat. Lebih baik saya melepak dengan kawan-kawan. Bila lepak dengan mereka macam-macam benda kami cuba,” katanya.

Bukan sekadar lari dari rumah dan melepak dengan rakan sebaya, Liana yang ketika itu baru berusia 14 tahun sudah pandai menghisap dadah semuanya dek kerana termakan pujukan teman-teman.

“Saya ambil dadah itu pun sekadar suka-suka sahaja. Itupun sebab kawan yang ajak,” katanya.

Ditanya dari mana dia memperoleh wang untuk mendapatkan bekalan dadah tersebut, dengan nada bersahaja remaja ini berkata: “Mana ada duit nak beli, saya sekolah lagi. Sebagai pertukaran saya bagi tubuh saya kepada mereka.”

Tergamam penulis mendengar pengakuan jujur pelajar Tingkatan Dua yang pernah memegang jawatan pengawas di sebuah sekolah di ibu kota ini.

Lebih menyedihkan Liana yang juga anak sulung daripada dua beradik ini telah mengandung anak luar nikah dan selamat melahirkan seorang bayi sebulan yang lalu.

“Selepas tidur dengan lebih daripada sepuluh lelaki, saya akhirnya mengandung. Saya tak tahu anak siapa yang saya kandungkan. Selepas itu saya tak fikir panjang dan hendak lari terus dari rumah.

“Pada ketika ini mak ayah dapat tahu saya terlibat dengan dadah dan keluarga hantar saya ke pusat pemulihan, Ar-Raudah di Pulau Pinang,” katanya yang pernah melarikan diri dari pusat pemulihan berkenaan kerana ketagih ganja.

Hancur luluh hati si ibu, apabila susu yang diberi dibalas tuba oleh si anak, namun apakan daya nasi sudah menjadi bubur.

Bagi Liana, penyesalan sudah tidak berguna lagi, namun dia akur dengan keputusan ibu dan bapanya untuk menghantar dia ke pusat pemulihan.

“Masa mak dapat tahu saya terlibat dengan dadah, mak menangis teresak-esak, ayah pula marah sangat kepada saya. Ketika saya dimasukkan di pusat

itu, baru saya tahu yang saya mengandung dua bulan,” kata Liana yang masih dalam tempoh berpantang.

Selepas percubaan pertamanya untuk melarikan diri dari Ar-Raudah gagal, Liana berjaya pada percubaan kali kedua, di mana dia melarikan diri ke rumah pakciknya di Pulau Mutiara itu.

“Saya tak tahan duduk di pusat pemulihan itu kerana saya asyik ketagihkan ganja. Masa inilah mak menyuruh pakcik bawa saya pulang ke Kuala Lumpur.

Kerana mak malu saya mengandung anak luar nikah, dia minta pakcik hantar saya ke rumah Kewaja sejak Julai lalu,” kata ibu kepada seorang bayi perempuan ini.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak perbuatan tiada apa yang mampu diubah, namun bagi Liana apa yang telah berlaku merupakan pengajaran yang pahit kepadanya.

“Saya telah insaf dan sedih atas apa yang berlaku. Apa yang penting selepas habis tempoh pantang ini saya hendak pulang ke pangkuan keluarga.

Saya nak sambung pengajian yang telah saya tinggalkan,” katanya yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/10/3/mstar_manusia_peristiwa/20101003124153&sec=mstar_manusia_peristiwa

Harga Rokok Naik Esok

Ahad Oktober 3, 2010

PETALING JAYA: Mulai Isnin ini, harga rokok dijangka meningkat sebanyak 70 sen bagi satu pek 20 batang rokok.

Menurut laporan media berbahasa Cina, semua pek 20 batang rokok yang dijual pada harga RM9.30 sekarang, akan berharga RM10 satu pek.

Menurut sumber, kenaikan harga sebanyak 70 sen itu ialah salah satu kenaikan harga tertinggi untuk rokok. Sebelum ini, kenaikan harga rokok adalah antara 10 sen hingga 30 sen.

Pek rokok bergred tinggi dijangka berharga RM14.

Sumber menjangkakan kenaikan harga itu akan menyebabkan jualan rokok menurun sebanyak 10 peratus.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/3/mstar_berita/20101003093353&sec=mstar_berita

Afrika Selatan lulus pokok atasi lapar


--------------------------------------------------------------------------------


JOHANNESBURG - Afrika Selatan kelmarin mengeluarkan lesen pertama kepada sebuah firma tempatan, HGH Pharmaceuticals untuk menjual pokok herba tradisional yang didakwa mampu mengatasi masalah lapar dan letih.

Tumbuhan dengan nama saintifik Sceletium tortuosum dikenali di negara itu sebagai Kanna, Channa atau Kougoed. Ia sering digunakan oleh masyarakat pribumi San sejak ratusan tahun lalu tanpa memberi sebarang kesan sampingan dan ketagihan.

Kementerian Alam Sekitar Afrika Selatan memberi kelulusan untuk pokok itu dikomersialkan sebagai makanan tambahan kesihatan. Ia dijangka menjana ekonomi penduduk miskin apabila aktiviti penanaman berskala besar dilakukan tidak lama lagi.

"Selain menyebabkan kita berasa sentiasa kenyang, tumbuhan ini juga didapati sesuai untuk merawat tekanan di pejabat, ketegangan perasaan atau meredakan kesedihan seseorang," kata Pengarah Penyelidikan HGH, Nigel Gericke. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Sekolah Harapan sudah terima 10 remaja

MELAKA - Bilangan pelajar Sekolah Harapan, institusi khas untuk remaja hamil luar nikah di sini, bertambah apabila lima lagi pelajar mendaftar masuk semalam.

Jumlah itu menjadikan setakat ini 10 pelajar sudah berada di sekolah itu sejak dibuka 17 September lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, lima pelajar baru itu masing-masing dari Selangor, Terengganu, Pahang, Melaka dan Johor.

Kesemua pelajar itu hamil enam bulan ke atas.

"Empat daripada mereka berusia 17 tahun dan menuntut di tingkatan lima manakala seorang lagi di tingkatan empat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Melaka Maju 2010 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil semalam.

Sekolah Harapan yang dikendalikan oleh Majlis Agama Islan Negeri Melaka (MAINS) menerima kumpulan pertama lima pelajarnya pada 20 September lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Seorang lagi ahli perniagaan hilang

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my



JAYANTHY menunjukkan gambar Anpalagan pada sidang akhbar di Klang semalam. anpalagan yang hilang sejak setahun lalu dipercayai ada kaitan dengan kes pembunuhan Allal di Banting.

--------------------------------------------------------------------------------


KLANG – Selepas dua ahli perniagaan dilaporkan hilang secara misteri ketika menjalankan urusan perniagaan di Banting, seorang lagi mangsa yang juga ahli perniagaan dikatakan turut menerima nasib sama apabila dia gagal dikesan sejak lebih setahun lalu.

S. Anpalagan, 43, dilaporkan hilang pada 4 Ogos tahun lalu selepas menemui seorang pegawai polis bernama ‘Maniam’ di Bukit Sentosa, Rawang dekat sini sebelum berjumpa dengan seorang lagi rakannya di Banting.

Difahamkan, Anpalagan yang berasal dari Telok Bunut, Banting dekat sini turut berkawan rapat dengan peguam yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, dan tiga lelaki.

Isteri Anpalagan, S. Jayanthy, 33, memberitahu, pada hari kejadian, dia cuba menghubungi suaminya tetapi gagal kerana telefon bimbit dimatikan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Wan Chik terkilan

2010/10/02

KUALA LUMPUR: “Arwah tidak mempunyai harta, namun apa yang ditinggalkan kepada saya tidak ternilai harganya. Ilmu agama yang diturunkan dan meminta saya mengamalkannya menjadi wasiat paling tidak ternilai buat saya,” kata isteri kedua pelakon popular, M Rajoli, Wan Chik Daud, 70.

Kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan, dia hanya berdiam diri sambil memikirkan mengenai suaminya.


“Sejak bermulanya Ramadan, saya dapat mengagak dia akan pergi meninggalkan saya selama-lamanya. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya.


“Saya bersyukur dia pergi menghadap Ilahi dengan penuh kesempurnaan. Segala hutangnya dibayar terlebih dulu, malah setiap satu kehendaknya ditunaikan Allah.



“Niat arwah mahu menghembuskan nafas terakhir pada Jumaat tertunai jua.


“Malah, keinginannya mahu melihat anaknya bergelar tahfiz al-Quran juga berjaya apabila anak bongsunya menamatkan pelajaran dalam bidang berkenaan.


“Jadi, saya reda dengan pemergiannya lebih-lebih lagi segala impiannya berjaya dicapai,”
katanya.


Bagaimanapun, Wan Chik terkilan kerana arwah tidak sempat melihat dia dan madunya, Hashimah Md Din, 55, berbaik semula.


“Walaupun kami mempunyai masalah dan tidak bertegur sapa sehingga kini, saya tetap tidak mahu berdendam. Malah, niat saya mahu berbaik ketika arwah masih ada juga tidak tercapai.


“Namun, hati saya sentiasa terbuka jika kami berbaik semula walaupun selepas arwah pergi menghadap Ilahi. Bagaimanapun, hubungan saya dan arwah tidak pernah mempunyai masalah,”
katanya.


Menurut Wan Chik, dia bersyukur kerana Tuhan menghantar arwah kepadanya untuk dijadikan suami.


“Walaupun dia tidak berharta, namun bagi saya dia adalah jutawan akhirat yang penuh dengan ilmu agama. Sebab itu, saya begitu kasih kepadanya dan bukan kerana harta atau popularitinya sebagai pelakon,” katanya sebak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/WanChikterkilan/myMA/myArticle/

12 jahitan di kepala

Oleh MOHAMAD HUSSIN
mohamad@hmetro.com.my
2010/10/02

ALOR SETAR: Akibat menegur pelajar lain yang membuat bising di dalam kelas, seorang pelajar lelaki terpaksa menerima 12 jahitan di kepala selepas dihentak dengan kerusi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Kampung, di sini, Khamis lalu.

Difahamkan, pelajar terbabit yang tidak berpuas hati dengan mangsa terus menolak dan menyepak mangsa dengan kaki di bahagian badan sehingga Mohd Syafiq jatuh terduduk.


Pada masa sama, seorang lagi rakan pelajar itu terus mengambil kerusi lalu menghentak kepala mangsa, menyebabkannya tersungkur.


Sebelum kejadian, guru wanita yang mengajar subjek Bahasa Malaysia masuk ke dalam kelas berkenaan namun keluar sebentar kerana ada urusan lain.


Mohd Syafiq berkata, dia cuma menegur seorang pelajar yang membuat bising sehingga mengganggu keselesaan pelajar lain.


Menurutnya, seorang rakannya terus membawa dia ke pejabat bagi memaklumkan pihak sekolah berhubung kejadian itu.


“Seorang guru membawa saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) kerana cedera serius di kepala.


“Saya menerima 12 jahitan dan pemeriksaan mendapati ada pendarahan dalam otak,”
katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.


Sementara itu, bapa mangsa, Abdul Aziz Shaari, 46, berkata dia terkilan kerana guru sekolah mengajar anaknya berbohong kerana enggan memberitahu kejadian sebenar kepada hospital.


“Guru terbabit berpesan jika pihak hospital bertanya mengenai punca kejadian, beritahu disebabkan jatuh tangga.


“Saya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada hari sama kejadian,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Abdul Ghaffar Rajab ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan lanjut masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/12jahitandikepala/myMA/myArticle/

Dah sedar tapi parah

Laporan KHAIRUL MIZAN YAHYA
am@hmetro.com.my
2010/10/02

KUANTAN: “Pada mulanya saya menyangka terbabit dalam kemalangan selepas motosikal saya dilanggar motosikal lain, namun sangkaan saya meleset apabila lelaki yang melanggar saya datang sebelum memukul kepala saya dengan topi keledar yang dicabut daripada kepala saya,” kata mangsa ragut, Wan Noresah Mat Isa, 24.

Akibat kejadian itu, mangsa pengsan selain cedera parah di muka selepas dihentak menggunakan topi keledar miliknya oleh penjenayah, menyebabkannya kini terlantar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.


Menurut Wan Noresah, ketika kejadian dia dalam perjalanan menuju ke rumah ibunya sebelum dilanggar motosikal lain sehingga terjatuh sebelum dihampiri lelaki berkenaan.


“Saya menyangka terbabit dalam kemalangan dan lelaki itu datang untuk membantu saya, sebaliknya dia membuka topi keledar di kepala saya sebelum menghayun ke muka serta belakang kepala sebelum merampas beg duit serta telefon bimbit.


“Dalam keadaan lemah akibat menahan kesakitan, saya merayu supaya dilepaskan sebelum menggagahkan diri untuk bangun dan berjalan, malah sempat menahan sebuah kereta yang kebetulan melalui kawasan itu,”
katanya ketika ditemui di HTAA, di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dahsedartapiparah/myMA/myArticle/

RM40 bilion aset umat Islam dibekukan

Oleh RAJA NORAIN HIDAYAH RAJA ABDUL AZIZ
rnorain@hmetro.com.my
2010/10/02

KUALA LUMPUR: Mengejutkan apabila sebanyak RM40 bilion aset umat Islam dibekukan berikutan pelbagai sebab, termasuk kegagalan si mati menulis wasiat ketika hidupnya.

Menurutnya, aset yang dibekukan itu merangkumi tanah, rumah, bangunan kedai, saham, wang simpanan dan sebagainya.


Katanya, jika tidak dituntut dalam tempoh tujuh tahun, wang tunai yang disimpan di dalam bank akan diselenggarakan mengikut Akta Wang Tak Dituntut, Jabatan Akauntan Negara.


“Namun keadaan itu berbeza bagi harta tidak boleh dialih seperti tanah dan rumah kerana jika tidak dituntut, ia terpaksa dibekukan.


“Pemilikan harta berkenaan tidak boleh diubah sewenang-wenangnya tanpa persetujuan waris yang sah,”
katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, penulisan wasiat dilihat sebagai satu langkah untuk mengurangkan masalah itu, namun tidak semua umat Islam di negara ini jelas mengenainya.


Katanya, wasiat adalah satu deklarasi oleh seseorang ketika hidup ke atas hartanya atau tujuan lain yang dibenarkan oleh undang-undang Islam yang berkuat kuasa selepas kematiannya.


Mengulas kes kematian jutawan kosmetik, Sosilawati Lawiya, 47, yang dibunuh kejam awal bulan ini, Mohammad Adry berkata, jika mengikut hukum, harta berkenaan mesti dibahagikan secara faraid.


Katanya, Sosilawati tidak membuat wasiat bagi membahagikan semua hartanya walaupun difahamkan dia ada membuat kenyataan secara lisan mahu menyerahkan harta itu kepada anaknya.


Kenyataan secara lisan tidak boleh dikira sebagai wasiat yang sah kerana ia tidak ada hitam putih dan boleh dipertikaikan.


“Bagaimanapun, itu semua bergantung kepada persefahaman dan persetujuan antara anaknya untuk menggunakan cara yang dirasakan sesuai untuk membahagikan harta berkenaan,”
katanya.


Menurutnya, perbincangan dan kata sepakat perlu dicapai jika mereka mahu membahagikan harta itu secara adil dan mengelak timbulnya masalah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM40bilionasetumatIslamdibekukan/myMA/myArticle/

Lagi ahli perniagaan hilang




Oleh HAMIZAH BADIRAN
metahad@hmetro.com.my
2010/10/02

KLANG: Menggemparkan apabila seorang lagi isteri ahli perniagaan yang dilaporkan hilang sejak setahun lalu mengesyaki kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek utama pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain.


SEDIH... Jayanthy menunjukkan gambar suaminya serta laporan polis mengenai kehilangan.

S Jayanthi, 34, berkata suaminya, S Anpalagan, 43, hilang sejak 4 Ogos tahun lalu dan dipercayai kali terakhir dilihat berada di Banting, Selangor untuk berjumpa rakannya.

Katanya, suaminya pergi ke Banting sehari sebelumnya untuk berjumpa seorang lagi rakan mereka, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini.


“Pada hari sama kehilangan suami, saya cuba menelefonnya namun gagal dan hanya dapat menjejaki lokasi kereta suami melalui sistem GPS yang dipasang pada kereta model Mercedes Benz milik suami.

Kereta dijumpai di Nur Lembah Pangsun Eko Resort, Hulu Langat itu kosong dan suami saya juga tidak mendaftar masuk ke pusat peranginan berkenaan,”
katanya pada sidang media di Pejabat Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, di sini, semalam.

Bimbang dengan keselamatan suaminya, Jayanthi membuat laporan polis di Balai Bolis Bukit Sentosa, Rawang.


Dakwaan segelintir kenalannya yang mengaitkan kehilangan suaminya dengan suspek utama pembunuhan kejam itu semakin diyakini berikutan suaminya berasal dari Teluk Bunut, Banting.

“Saya tak kenal suspek tapi menurut beberapa kenalan, suami saya berkawan dengannya sejak zaman sekolah dan beberapa kali pernah dilihat berjumpa dengannya.

“Cara kehilangan suami saya yang mirip dengan semua mangsa pembunuhan itu juga menguatkan lagi sebab munasabah dia hilang,”
katanya.

Menurutnya, Anpalagan mempunyai empat hektar tanah di Banting, 174 hektar ladang kelapa sawit di Rawang dan beberapa hektar tanah lagi di sekitar Ipoh, Perak dan Sungai Petani, Kedah selain sebuah syarikat kewangan dan penternakan.

“Selepas kehilangannya, saya ditipu pula oleh seorang pekerja syarikat suami saya yang memberi beberapa dokumen dipercayai dokumen tukar hak milik syarikat.

“Saya tak tahu isi kandungan dokumen itu sebab tak tahu membaca tapi selepas diyakinkan olehnya dokumen itu untuk kebaikan syarikat, saya tandatangan saja.

“Ketika dia datang menemui saya, tiada peguam bersamanya dan dia hanya memberitahu peguam yang bertanggungjawab mewakilkan dirinya untuk berjumpa saya,”
katanya.

Sementara itu, Manikavasagam berkata, pihaknya dan Jayanthi akan menghantar memorandum ke Bukit Aman bagi mereka melakukan siasatan lanjut.

“Tujuan saya hanya untuk menolong keluarga Jayanthi supaya dia mendapat semula haknya yang kini dilarang mendekati pejabat suaminya.

“Saya juga berharap polis akan menyiasat siapa peguam yang menyiapkan dokumen itu dan lihat jika ia suspek utama atau tidak, selain melakukan serbuan ke dalam pejabat itu jika perlu,”
katanya.

Difahamkan, pihaknya akan menghantar memorandum itu Isnin ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Polis Hulu Selangor Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi dihubungi mengesahkan laporan kes berkenaan.


KAITAN SUSPEK DENGAN KES LAIN

1) Kes kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya, 47 dan tiga yang lain.

2) Kes kehilangan saudagar batu permata, Muthuraja Allal Kanthan dari Chennai, India.

3) Kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah dan seorang rakannya.

3) Turut dikaitkan dengan satu lagi kes pembunuhan membabitkan seorang wanita yang mati ditetak di hadapan rumahnya di Banting, tahun lalu.

4) Disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang pekerja di Unit Perancangan Setinggan, Majlis Perbandaran Selayang (MPS), K Celladuran, 50, yang ditembak dua lelaki di hadapan rumahnya di Jalan 40, Selayang Baru, pada 8 Mac lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lagiahliperniagaanhilang/myMA/myArticle
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...