Wednesday, March 9, 2011

Parlimen: 4,118 Kes Bunuh Diri Dari 2001 Hingga 2010

Selasa Mac 8, 2011

KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,118 kes bunuh diri dilaporkan sejak 2001 sehingga 2010, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, antara faktor yang sering dikaitkan dengan kes bunuh diri yang dikategorikan sebagai kes mati mengejut ialah tekanan perasaan akibat kegagalan dalam hidup, masalah keluarga dan kematian orang tersayang.

"Faktor lain ialah mengalami penyakit jiwa seperti kemurungan dan trauma, terlibat dengan jenayah (bagi mengelak hukuman), terlibat dengan dadah dan menghidap penyakit yang tidak dapat dirawat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tong Him (DAP-Kota Melaka) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sim ingin tahu jumlah kes membunuh diri dari tahun 2001 hingga 2010 dan punca kejadian serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha untuk mencegah kejadian tersebut.

Hishammuddin berkata, masalah kewangan yang kritikal seperti menanggung hutang yang banyak dan terlibat dengan judi juga merupakan penyebab individu membunuh diri.

Beliau berkata, terdapat beberapa NGO yang berusaha menangani dan mencegah kejadian bunuh diri.

"Usaha ini dilakukan melalui program seperti khidmat kaunseling, ceramah, bengkel dan seminar mengenai kemahiran kaunseling dan pencegahan bunuh diri serta kempen kesedaran mengenai kesihatan mental," katanya. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_berita/20110308194026&sec=mstar_berita

Jimmy Shanley Fail Nusyuz Kerana Anak

Published: Selasa Mac 8, 2011 MYT 11:01:00 AM
Updated: Selasa Mac 8, 2011 MYT 11:36:50 AM

SHAH ALAM: Pengacara Jimmy Shanley Norjahan Salleh menyifatkan tindakan dia memfailkan permohonan kembali taat dan nusyuz adalah disebabkan anak yang dikandung isterinya, Nursuhaila Eliani Suhaimy.

Menurut Jimmy, usia kandungan isterinya kini telah memasuki lima bulan.

“Saya buat kerana anak. Doakanlah yang terbaik,” katanya semasa ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Jimmy, 31, menghadiri prosiding sebutan permohonan kembali taat dan nusyuz yang difailkan terhadap Nursuhaila, 25, yang telah tinggal berasingan sejak 21 Oktober 2010.

"Dia sekarang tinggal di rumah keluarganya di Sungai Buloh (Selangor)," tambah Jimmy.

Berdasarkan rekod, permohonan untuk kembali taat difailkan sendiri oleh Jimmy pada 3 Januari lalu diikuti permohonan nusyuz pada 27 Januari lalu.

Bagaimanapun, semasa disoal mengenai alasan kedua-dua permohonan tersebut dibuat, peguam syarie Mohd Noor Aizan Md Idrus memberitahu, perkara tersebut hanya akan didedahkan pada perbicaraan kelak.

"Lazimnya, permohonan tersebut hanya akan dibuat apabila suami memohon untuk mendapatkan perintah mahkamah untuk isteri mentaati suami dalam perkara-perkara yang telah diarahkan," katanya.

Prosiding mahkamah hari ini hanya dihadiri oleh Jimmy yang memakai kemeja merah dan berseluar 'slack' hitam serta bersongkok. Pada prosiding itu, Mohd Noor Aizan pada awalnya memohon supaya mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan untuk kedua-dua kes walaupun saman tersebut tidak disampaikan secara terus kepada Nursuhaila.

Menurut Mohd Noor Aizan, saman tersebut diserahkan kepada anak saudara Nursuhaila pada 6 Februari lalu.

"Tiga hari selepas itu, iaitu pada 9 Februari lalu, Nursuhaila telah melantik seorang peguam syarie bernama Saadiah. Sehubungan itu, saya menyatakan penyampaian saman telah sempurna.

"Walaupun telah 30 hari saman diserahkan, kami masih belum menerima sebarang pembelaan daripada pihak Nursuhaila.

"Oleh itu, saya mohon supaya kedua-dua kes dibicarakan bersama dan mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan," katanya.

Hakim Syarie Saharuddin Selamat bagaimanapun tidak membenarkan permohonan tersebut kerana menyifatkan penyampaian saman itu tidak boleh dibuktikan dengan tindakan Nursuhaila melantik peguam syarie.

"Mahkamah akan memberi peluang kepada Nursuhaila untuk dia hadir di mahkamah memfailkan pembelaan,' katanya.

Justeru itu, beliau menetapkan kes itu disebut semula pada 4 April depan.

Peguam syarie yang mewakili Nursuhaila juga tidak menghadiri prosiding itu dan menurut Mohd Noor Aizan, pihaknya hanya menerima panggilan telefon daripada kakitangan peguam terbabit memaklumkan beliau mempunyai kes di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Jimmy dan Nursuhaila diijabkabulkan pada 1 Oktober 2010 di rumah keluarga perempuan di Sunway Rahman Putera, Sungai Buloh, dekat sini dengan hantaran sebanyak RM31,186 yang diambil bersempena tarikh lahir Nursuhaila pada 31 Januari 1986.

Majlis repsepsi untuk meraikan pasangan tersebut diadakan sehari selepas itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), dekat sini.

Kemelut rumah tangga mereka mula diperkatakan pada 11 November lalu apabila Jimmy tidak menyangkal perkahwinannya bergelora seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tabloid.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_hiburan/20110308105933&sec=mstar_hiburan

Benjy Lafaz Talak, Rujuk 13 Jam Kemudian

Selasa Mac 8, 2011

Benjy ditahan kerana tuduhan memiliki dadah pada Mac tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Pelakon Khaeryll Benjamin Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Benjy ada melafazkan talak terhadap isterinya sebelum rujuk kembali 13 jam kemudian.

Kejadian itu berlaku tiga tahun lalu dan pada Isnin, Benjy dan isterinya, Safiya Stephanie Kar-Leng Lee hadir di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi permohonan untuk mengesahkan lafaz talak dan rujuk itu.

Permohonan untuk mengesahkan kedua-dua lafaz tersebut difailkan oleh Safiya, 28, pada 7 Februari lalu dan ditetapkan untuk sebutan pada Isnin.

Berdasarkan permohonan tersebut, Safiya mendakwa Benjy, 33, melafazkan talak pada pukul 9 malam, 7 Julai 2008 di rumah kelamin mereka di Menara Duta 2, Jalan 1/38B, Off Jalan Segambut, di sini.

Lafaz tersebut berbunyi “aku ceraikan dengan talak satu” sebelum rujuk kembali pada pukul 10 malam dengan lafazI’m rujuk-ing”.

Selepas mendengar permohonan itu, Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor mengesahkan bahawa jatuh talak rajie dengan berjumlah satu talak.

Beliau juga memutuskan bahawa lafaz rujuk tersebut sebagai sah dan pasangan itu masih lagi sebagai suami isteri.

Benjy dan Safiya berkahwin pada 19 Februari 2004 di Pejabat Agama Islam, Petaling Jaya, dekat sini dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun.

Prosiding itu dibuat di dalam kamar selepas peguam syarie Hazirah Othman yang mewakili Safiya membuat permohonan agar kes tidak dijalankan di mahkamah terbuka.

“Anak guam saya tidak berhasrat untuk menceritahkan beberapa kejadian yang berkaitan dengan permohonan itu di mahkamah terbuka, selain defendan (Benjy) mempunyai kes di Mahkamah Sivil,” katanya.

Permohonan tersebut tidak dibantah oleh peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Benjy, yang juga anak lelaki tunggal seniwati Azean Irdawaty.

Terdahulu, Benjy yang ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak Muar, Johor kerana kesalahan dadah tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi dengan menaiki van penjara dan dikawal oleh empat orang kakitangan penjara.

Safiya yang merupakan seorang penyambut tetamu pula hadir bersendirian manakala Azean dan suaminya, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi hadir pada pukul 8.45 pagi.

Safiya yang memakai baju kurung berwarna biru dan berselendang hitam dilihat berbual-bual dengan Benjy sebelum prosiding mahkamah bermula.

Pelakon Kerana Cintamu Saerah itu sedang dibicarakan atas tuduhan memiliki dadah jenis Syabu sebanyak 0.14 gram di rumah C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Off Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru pada pukul 3 petang, 11 Mac tahun lalu.

Selain itu, dia juga menghadapi pertuduhan memiliki 0.24 gram dadah yang sama pada pukul 4 petang hari yang sama di rumah bernombor A-6-5, Menara Duta 2, Jalan 1/38B Off Jalan Segambut.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bagi kes tersebut dijalankan di Mahkamah Majistret Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini dan akan pada 18 April depan.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_hiburan/20110307173357&sec=mstar_hiburan

Lan Pet Pet Sorok Kisah Isteri, Takut Orang Dengki

Selasa Mac 8, 2011

PETALING JAYA: Pelawak Mazlan Ahmad,42, atau lebih popular dengan panggilan Lan Pet Pet mengambil pendirian enggan mendedahkan mengenai kisah rumah tangganya kerana bimbang “ada orang dengki”.

Lan berkata, dia akur dengan nasihat ibunya supaya tidak menceritakan perihal rumah tangga kepada media dan orang ramai kerana cara itu membolehkan pihak-pihak yang membenci mereka boleh melakukan perkara-perkara mistik.

“Maaf saya tak boleh nak bagi tahu kisah rumah tangga saya. Saya ingat pesan emak saya jangan sibuk nak cerita kisah suami-isteri. Takut nanti ada orang dengki, dia orang boleh buat macam-macam,” kata Lan.

Lan yang bernikah dengan adik aktres Rozita Che Wan, Rubytah Abu Bakar @ Che Wan,32, pada 20 Ogos 2008 juga tidak mahu membicarakan mengenai perkembangan isterinya sama ada sudah mengandung ataupun belum selepas mereka berumah tangga.

Lan Pet-Pet bersama isterinya sewaktu pernikahan mereka pada tahun 2008.

Kata anggota kumpulan Senario itu, dia boleh bercerita hal berkenaan tetapi cukuplah untuk pengetahuan wartawan sahaja tanpa perlu didedahkan melalui media masing-masing.

“Kalau ada orang yang jahat, dia orang boleh buat macam-macma dekat kita. Lebih elok kita toksah (jangan) dok bercerita sangat pasai bini kita mengandung ataupun tidak,” ujarnya dengan loghat Utara.

Ditanya adakah dia bahagia dengan perkahwinan itu, Lan memberitahu bersyukur kerana isterinya memahami kerjayanya sebagai seorang artis.

Tambah Lan, isterinya juga sibuk bekerja sebagai pereka fesyen dan banyak menghasilkan rekaan pakaian keluarga terutama untuk adik-beradiknya seperti Rozita serta Ayu Raudhah.

Kata Lan, dia berhasrat untuk memperluaskan bidang perniagaan dengan membuka butik pada masa akan datang.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_hiburan/20110307194044&sec=mstar_hiburan

Tindakan PAS Haramkan Tiket Loteri Timbulkan Rasa Tidak Senang Masyarakat Bukan Islam – Muhyiddin

Selasa Mac 8, 2011

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan kerajaan Kelantan mengharamkan penjualan tiket loteri di negeri itu telah menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan masyarakat bukan Islam kerana ia dianggap menyentuh hak mereka.

“Kita serahkan kepada masyarakat bukan Islam untuk menilai bagaimana sikap dan pendirian kerajaan PAS dalam isu ini. Pendirian kerajaan Persekutuan tidak perlu kita jelaskan lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Modal Insan di Bangunan Parlimen di sini, Selasa.

Beliau berkata sekatan baru yang diperkenalkan oleh kerajaan PAS itu telah dianggap oleh masyarakat bukan Islam sebagai menyentuh hak mereka.

“Dari segi undang-undang tindakan mereka (orang bukan Islam) membeli loteri tidak salah. Jadi isu pengharaman ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dikalangan masyarakat bukan Islam,” katanya.

Muhyiddin berkata, beliau juga telah dimaklumkan bahawa MCA juga akan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenainya.

“Berdasarkan apa yang saya baca di akhbar, MCA akan buat laporan kepada pihak berkuasa, cuma saya belum dimaklumkan apakah bentuk tindakan mereka itu.

“Saya pasti ada pihak yang merasakan hak mereka telah dihalang atau disekat dengan tindakan kerajaan negeri Kelantan itu,” katanya.

Baru-baru ini kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS mengharamkan penjualan tiket loteri di negeri itu sejajar dengan konsep ‘Membangun Bersama Islam.’

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_berita/20110308163235&sec=mstar_berita

Selangor Lancar Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran

Selasa Mac 8, 2011

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor melancarkan Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran bagi melahirkan generasi penghafaz profesional menjelang 2020 malam Isnin.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dasar pendidikan tahfiz Al-Quran itu telah disusun oleh Majlis Agama Islam Selangor bersama Jawatankuasa Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor.

Beliau berkata, dasar tahfiz negeri itu menyasar melahirkan 500 hufaz, iaitugolongan hafaz Al-Quran profesional menjelang 2020 dan menjadikan institusitahfiz diuruskan secara profesional pada 2015.

Abdul Khalid berkata demikian ketika merasmikan majlis Menghafaz Al-QuranPeringkat Negeri 2011 dan Pelancaran Dasar Pendidikan Tahfiz Al-Quran NegeriSelangor di sini.

Seramai 45 peserta dari sembilan daerah di Selangor menyertai pertandingan menghafaz Al-Quran yang bermula malam Isnin hingga Khamis. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/3/8/mstar_berita/20110307234754&sec=mstar_berita

Gaddafi sedia berundur


SEBUTIR bom digugurkan dari sebuah jet pejuang tentera Muammar Gaddafi di bandar Ras Lanuf, Libya semalam.


TRIPOLI - Diktator Libya, Muammar Gaddafi memberi isyarat bahawa beliau bersetuju meninggalkan negara berkenaan setelah memerintah selama 41 tahun, lapor sebuah akhbar semalam.

Gaddafi bagaimanapun, meletakkan syarat supaya beliau dan keluarganya diberikan sejumlah wang dan mereka dikecualikan daripada pendakwaan jenayah.

Stesen televisyen Al-Jazeera melaporkan bahawa pemimpin berusia 68 tahun itu turut mengusulkan supaya parlimen Libya mewujudkan satu tempoh peralihan bagi memberi laluan kepada beliau meletak jawatan.

Gaddafi diberitakan menghantar bekas perdana menteri, Jadallah Azzouz Talhi, bertemu para pemimpin penentang di bandar Bengazhi bagi mencapai satu persetujuan mengenai tawaran itu.

Mereka bagaimanapun menolak tawaran Gaddafi kerana menganggap ia satu penghinaan kepada mangsa-mangsa kekejamannya.

"Pendirian kami selama ini adalah jelas, Gaddafi perlu berundur dan tanpa syarat," kata seorang pegawai kumpulan penentang, Essam Gheriani.

Dalam perkembangan berkaitan, jet-jet pejuang Libya melancarkan sekurang-kurangnya lima serangan udara berhampiran kedudukan pihak penentang di bandar pelabuhan minyak Ras Lanuf.

Serangan tersebut dilancarkan bagi menghalang tentera penentang daripada mara ke kubu kuat Gaddafi di ibu negara Libya, Tripoli.

Tiada laporan kecederaan setakat ini manakala seorang wartawan agensi berita Associated Pressyang menyaksikan serangan udara tersebut menyatakan ia gagal mengenai pejuang penentang.

Sementara itu, seorang saksi memberitahu bahawa tentera yang setia kepada Gaddafi telah menawan semula bandar Zawiya yang terletak dekat dengan Tripoli yang sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang.

Saksi berkenaan yang menghubungi agensi berita Associated Press melalui telefon, berkata, sejumlah kereta kebal dan kenderaan tentera Gaddafi meronda di bandar tersebut yang terletak 50 kiolemeter ke barat Tripoli dan melepaskan tembakan rambang ke arah rumah-rumah penduduk. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Kuan Yew akui silap label Muslim

SINGAPURA - Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew mengakui beliau silap tentang integrasi kaum Melayu dan Islam yang begitu baik di Singapura, lapor agensi berita Bernama semalam.

Kuan Yew membuat penarikan balik itu menerusi satu kenyataan kepada akhbar The Straits Times semalam.

Sebelum ini Kuan Yew membuat kenyataan berhubung kesukaran penduduk Muslim di Singapura berintegrasi dengan penduduk bukan Islam dalam buku terbarunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going.

"Hard Truths adalah sebuah buku berdasarkan kepada siri temu ramah selama 32 jam dalam tempoh masa dua tahun," kata Kuan Yew.

"Saya telah membuat satu kenyataan mengenai integrasi umat Islam dengan komuniti lain pada dua atau tiga tahun lepas. Menteri-menteri dan Anggota Parlimen, kedua-dua kaum Melayu dan bukan Melayu, sejak itu memberitahu saya bahawa Melayu Singapura sebenarnya mengambil usaha-usaha khusus untuk berintegrasi dengan masyarakat yang lain, terutama selepas kejadian 11 September 2001 (apabila pengganas menyerang Amerika Syarikat) dan bahawa apa yang saya nyatakan itu adalah ketinggalan zaman.

"Saya mengaku silap. Saya harap trend ini (integrasi) akan berterusan pada masa hadapan," kata Kuan Yew.

Buku itu, berasaskan kepada siri temu bual yang diberikan oleh Kuan Yew kepada sepasukan tujuh wartawan daripada akhbar The Straits Times, diterbitkan oleh syarikat Straits Times Press dan dilancarkan pada 21 Januari lalu.

Dalam kenyataan yang kontroversi itu, Kuan Yew berkata: "Saya fikir kita bergerak maju dengan baik sehinggalah timbulnya kebangkitan Islam dan jika kamu tanya tentang pemantauan saya, komuniti-komuniti lain lebih mudah berintegrasi, kawan-kawan, perkahwinan berlainan bangsa dan sebagainya.

"Saya fikir masyarakat Islam secara sosialnya tidak menimbulkan sebarang masalah, tetapi mereka berbeza dan terpisah."

Sementara itu, agensi berita Dpa melaporkan Persatuan Muslim Profesional menyambut baik kenyataan Kuan Yew itu.

Menurut persatuan itu, kenyataan tersebut memang patut ditarik balik.

Beberapa pemimpin kerajaan di negara ini berusaha untuk dilihat tidak sependapat dengan kenyataan Kuan Yew itu.

Ekoran pilihan raya umum akan diadakan sebelum Jun depan, pentadbiran Singapura pimpinan Parti Tindakan Rakyat (PAP) berusaha untuk tidak meminggirkan penduduk Muslim yang mewakili 15 peratus daripada lima juta warga Singapura.- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Burung helang terbang terbalik


Pam Mullins berjaya merakamkan gambar seekor burung helang yang terbang dalam keadaan terbalik di Prince Rupert Kanada.


PRINCE RUPERT, Kanada - Seorang pengurus penerbitan yang meminati burung, Pam Mullins berjaya merakamkan gambar seekor burung helang yang terbang dalam keadaan terbalik, lapor sebuah akhbar kelmarin. Pengurus itu, Pam Mullins, 49, menghabiskan masa selama bertahun-tahun untuk cuba merakamkan gambar tersebut.

Gambar itu berjaya dirakamkan dekat rumahnya di Prince Rupert, Kanada.

"Sungguh susah untuk merakamkan aksi burung helang itu kerana ia berlaku terlalu pantas," katanya.

Aksi burung helang yang dirakamkan dalam foto itu hanya berlaku dalam sekelip mata yang menunjukkan gerakan akrobatik haiwan itu. - Agensi


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0309&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Guru tidak sedar

KANGAR: Seorang guru lelaki mendakwa tidak menyedari kehadiran pelajar ala samseng menarik Muhammad Shahfaly Anoar, 15, keluar dari kelasnya sebelum membelasah mangsa sehingga parah kerana konon sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup.

Namun, guru berkenaan yang hairan melihat Muhammad Shahfaly tidak bermaya selepas dipapah masuk semula ke dalam kelas, cuba memberi pertolongan membawanya menerima rawatan, tetapi mangsa hanya berdiam diri.


Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), Mansor Lat yang menjelaskan situasi berkenaan berkata, guru berkenaan bukannya bersikap lewa mengenai masalah disiplin pelajar, tetapi tidak menyedari kejadian menimpa Muhammad Shahfly yang parah dipukul sekumpulan pelajar lain.

“Kesilapannya, guru lelaki yang mengajar di kelas berkenaan mengambil sikap berdiam diri selepas menyedari Muhammad Shahfaly dipukul dan tidak memaklumkan kepada guru disiplin hingga menyebabkan pentadbiran sekolah tidak mengetahui kejadian itu.


“Dia langsung tidak menyedari kehadiran pelajar yang bertindak samseng memasuki kelas kerana dilindungi pelajar lain ketika sibuk mengajar subjek Kemahiran Hidup di dalam kelas itu,” katanya selepas melawat mangsa di rumahnya di Simpang Empat, dekat sini, semalam.


Hadir sama, Pengarah Kebudayaan dan Kesenian Negara Perlis, Mohd Rizal Ismail dan Penyelaras Umno Simpang Empat, Abu Bakar Hamzah Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi Jumaat lalu, Muhammad Shahfaly, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi parah dibelasah sekumpulan pelajar lain.

Mangsa dimasukkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas terkehel tulang bahu dan patah lengan kiri serta luka di kening dibelasah tiga daripada 10 pelajar yang menunggu di tingkat bawah bangunan.


Kejadian hanya disedari bapa mangsa, Anoar Ahmad, 38, selepas melihat anak sulung daripada empat beradik itu dalam kesakitan, dipapah rakan sekelas ketika menjemputnya kira-kira jam 12.15 tengah hari.

Setakat ini, polis menahan empat pelajar mencederakan Muhammad Shahfaly di rumah masing-masing di sekitar Simpang Empat, Ahad lalu.


Mansor berkata, empat pelajar berkenaan bakal berhadapan tindakan disiplin termasuk kemungkinan dibuang sekolah.


“Kami menyerahkan kepada Jawatankuasa Disiplin SMK Syed Safi yang diarah bermesyuarat serta-merta membuat keputusan serta mengambil tindakan terhadap empat pelajar membelasah Muhammad Shahfaly.


“Bagaimanapun, memandangkan empat pelajar ditahan, kami menyerahkan kepada polis menyiasatnya terlebih dulu,” katanya Sebelum itu, Mansor hadir ke SMK Syed Safi bersama beberapa pegawai JPN serta mengadakan perjumpaan dengan guru untuk mendapatkan gambaran kejadian berkenaan.


Beliau berkata, empat pelajar ditahan polis itu dilaporkan ponteng sekolah kerana semakan mendapati tiada rekod kehadiran kelas.


“Semua pelajar terbabit didapati hadir ke sekolah dengan lengkap berpakaian seragam, tetapi tidak memasuki kelas. Tiga penuntut tingkatan tiga manakala seorang lagi di tingkatan dua sekolah berkenaan,” katanya.


Sementara itu, Muhammad Shahfaly berkata, dia risau kembali ke sekolah dan tetap dengan keputusan bertukar ke sekolah lain selepas kecederaannya sembuh.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gurutidaksedar/Article/index_html

Gantung atau buang

KUALA LUMPUR: Sekumpulan 10 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Safi, Kangar, yang bertindak ala gengster dengan membelasah seorang pelajar tingkatan tiga di sekolah berkenaan Jumaat lalu, mungkin digantung atau dibuang sekolah sekiranya siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan membuli.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun sekiranya didapati perbuatan itu mempunyai unsur gangsterism, kes itu akan diserahkan kepada polis.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengarahkan Pengarah Pelajaran Perlis, Mansor Lat menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan laporan lengkap mengenai kejadian itu sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita tidak akan sekali-kali berkompromi dengan perbuatan membuli atau gangsterism di sekolah. Sekiranya pelajar terbabit didapati bersalah, ada beberapa tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gantungataubuang/Article/index_html

'Bom' gegar sekolah

'Bom' gegar sekolah

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim, Raja Noraina Raja Rahim dan Yusliza Yakimir Abd Talib
am@hmetro.com.my

INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.
INI DIA...bangunan sekolah yang cuba dibom oleh dua pelajar.

KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati dengan guru, dua pelajar nekad meletupkan bangunan sebuah sekolah menengah di pinggir ibu kota dengan ‘bom’ buatan sendiri yang dipercayai diperbuat daripada mercun bola dan lingkaran nyamuk, semalam.

Tindakan ala ‘MacGyver’ itu dilakukan kedua-dua pelajar tingkatan tiga terbabit pada kira-kira jam 7.40 pagi menyebabkan berlaku tiga letupan di tiga lokasi berasingan sekolah berkenaan, sekali gus menggemparkan guru dan pelajar yang baru memulakan sesi pembelajaran.

Sumber polis berkata, pelajar terbabit dipercayai cuba membakar bangunan sekolah mereka, namun ketiga-tiga letupan yang dihasilkan tidak mencetuskan kebakaran.
“Biarpun insiden itu tidak mendatangkan kemalangan jiwa atau kecederaan kepada guru mahupun pelajar, ia kesalahan serius dan polis kini memburu kedua-dua pelajar terbabit yang dikenal pasti identiti mereka,” katanya.

Menurutnya, letupan pertama kedengaran ketika sesi pembelajaran baru bermula dan tersentak dengan itu, beberapa guru bersama pengawas sekolah bergegas mencari lokasi kejadian.

“Dalam kebingungan mencari punca letupan, satu lagi letupan berlaku kira-kira 10 minit kemudian di bangunan berhampiran pejabat dan kira-kira 20 meter dari lokasi letupan pertama yang berlaku dalam sebuah bilik darjah kosong di blok berlainan,” katanya.

Sumber itu berkata, ketika letupan kedua, beberapa guru mendakwa melihat cebisan kertas yang hancur dan beberapa lingkaran nyamuk yang masih berasap di atas bangunan berkenaan.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan itu, pihak pengurusan sekolah menghubungi polis dan lima anggota dari Balai Polis Setapak tiba di lokasi kejadian kira-kira lima minit kemudian.

“Anggota polis berkenaan mula menggeledah bangunan sekolah itu, namun gagal mengesan suspek. Dalam kesibukan itu, tiba-tiba kedengaran pula letupan ketiga pada kira-kira jam 8.40 pagi di kawasan padang sekolah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, seorang saksi yang juga pelajar sekolah terbabit mendakwa melihat dua pelajar lengkap berpakaian sekolah tergesa-gesa meninggalkan sekolah dengan menggunakan motosikal yang diletakkan di luar sekolah.

Sehubungan itu, wakil sekolah berkenaan membuat laporan di Balai Polis Setapak di sini dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit menggunakan mercun bola dan lingkaran nyamuk untuk menghasilkan letupan itu. Sehingga kini tiada tangkapan dilakukan dan motif sebenar masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, pihaknya menyerahkan siasatan penuh dilakukan pihak berkuasa mengenai motif sebenar insiden berkenaan.

“Jika hasil siasatan mendapati perbuatan itu dilakukan pelajar sekolah berkenaan, tindakan tegas akan diambil,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/articles/Bomgegarsekolah/Article

Masih sah suami isteri

Masih sah suami isteri

Oleh Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my

BERTANYA SESUATU...Benjy bersama isteri dan ibu, Azean di luar mahkamah, semalam.
BERTANYA SESUATU...Benjy bersama isteri dan ibu, Azean di luar mahkamah, semalam.

KUALA LUMPUR: Lafaz “I’m rujuking”, oleh dramatis Benjy terhadap isterinya, mengesahkan pasangan itu masih suami isteri selepas dia menceraikan isterinya itu dengan talak satu pada hari yang sama, tiga tahun lalu.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor membuat keputusan itu selepas bertemu kedua-dua pihak di dalam kamarnya di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.


Peguam syarie Hazirah Othman yang mewakili Safiya atau nama penuhnya Safiya Stephance Kar-Leng Lee, 28, ketika ditemui media memberitahu, mahkamah terdahulu mengesahkan lafaz cerai talak rajie Benjy atau nama penuhnya Khaeryll Benjamin Ibrahim.

“Cerai yang berbunyi “Aku ceraikan kau satu talak,” dilafazkan pada jam 9 pagi, 7 Julai 2008 terhadap isterinya Safiya di rumah mereka di Menara Duta Mas disaksikan seorang saksi.


“Bagaimanapun, mahkamah turut mengesahkan lafaz rujuk “I’m rujuking” yang dilafazkan Benjy terhadap isterinya itu pada jam 10 malam pada hari sama.


Katanya, lafaz rujuk yang dilafazkan Benjy itu sah kerana Safiya masih dalam tempoh edah serta pihak terbabit turut bersetuju dengan fakta walaupun terdapat beberapa pindaan dan mahkamah memutuskan mereka masih sah suami isteri.

Sejurus prosiding selesai Benjy terus dibawa meninggalkan mahkamah oleh polis dan Safiya dilihat berbual mesra dengan ibu mentuanya seniwati Azean Irdawaty di luar mahkamah.

Safiya memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai dan rujuk itu pada 7 Februari 2011 di mahkamah menamakan Benjy sebagai defendan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Masihsahsuamiisteri/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...