Wednesday, December 8, 2010

Zed Zaidi Buka Francais 'Papa Rich'

Khamis Disember 9, 2010

Zed sempat memberikan pose ketika menjalani penggambaran di Perth, Australia baru-baru ini.

PETALING JAYA: Aktor Zed Zaidi mengukuhkan kedudukannya dalam bidang perniagaannya pada usia 30 tahun apabila membuka sebuah francais restoran Papa Rich di Heritage Row, Jalan Doraisamy, Kuala Lumpur pada awal November lalu.

Pelakon filem Cuti Cuti Cinta dan drama Awan Dania 3 ini berkata francais tersebut diusahakan di bawah salah sebuah syarikatnya, Bintang Dahlia Sdn Bhd yang menguruskan hartanah.

Selain itu, dia juga mempunyai syarikat pengurusan acara iaitu Dzed Resources Sdn Bhd dan DMB Trading yang membekalkan barangan saintifik untuk pusat pengajian tinggi tempatan.

“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin berkembang dan terbaru saya membuka restoran Papa Rich yang boleh memuatkan 250 orang.

Menikmati keindahan pemandangan di tepi Swan River.

“Selain beroperasi pada hari biasa, kami juga menyediakan khidmat kepada sesiapa yang mahu meraikan majlis istimewa di restoran itu,” katanya.

Menceritakan tentang perancangan perniagaannya, Zed berhasrat untuk membuka hotel bajet tidak lama lagi.

Jika mengimbau semula kata-kata Zed sebelum ini dengan apa yang dilakukan sekarang, dia begitu optimis dan tidak sekadar memasang angan-angan kosong.

Zed pernah memberitahu untuk mempelbagaikan bisnes sebelum mencapai umur 40 tahun kerana dia tidak mahu menjadi artis yang tidak dipedulikan apabila sudah lanjut usia.

Malah dia turut melihat artis yang terlibat dalam bidang perniagaan turut mudah bekerjasama dengan golongan korporat atau mana-mana ahli perniagaan kerana mereka terlebih dahulu dikenali.

Beralih kepada karier seninya, Zed baru selesai menerbitkan drama Along Gedebe di bawah terbitan A. Aida Production.

Zed dan Scha Al-Yahya ketika menjalani penggambaran di Bell Tower, Perth.

Jelasnya kini dia semakin seronok bergelar pembantu penerbit dan turut melibatkan diri dalam penerbitan drama Dollah Hapak.

Selain itu, dia bakal muncul menerusi drama 13 episod Fatimah Juling dan filemSenjakala akan ditayangkan di pawagam pada tahun hadapan.

Wajah Zed turut boleh ditonton menerusi drama 26 episod Awan Dania 3 yang disiarkan di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Isnin, pukul 9 malam.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/12/9/mstar_hiburan/20101208121630&sec=mstar_hiburan

Sein & Nana Cerai Talak Satu

Khamis Disember 9, 2010

SHAH ALAM: Juara rancangan realiti, Sehati Berdansa Musim Ketiga, Sein dan Nana bercerai dengan talak satu di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada Rabu.

Sein, 27, yang merupakan anggota kumpulan Ruffedge melafazkan talak pada pukul 2.46 petang, selepas mahkamah membenarkan permohonan Nana, 26, untuk berpisah secara baik.

Nana yang pernah mencuba nasib dalam dunia seni dengan menyertai rancangan realiti, Mentor musim pertama memfailkan permohonan itu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Prosiding perceraian tersebut berlangsung di hadapan Hakim Syarie Zainor Rashid Hassin dan Nana diwakili peguam syarie, Zuri Zabudin Budiman.

Sein atau nama sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa tidak diwakili peguam syarie.

Zuri Zabudin memberitahu, permohonan untuk bercerai itu difailkan ekoran pasangan tersebut tidak lagi mempunyai persefahaman dalam rumah tangga yang dibina sejak Julai 2006.

“Pasangan ini tidak dapat lagi menjalani kehidupan sebagai suami isteri dan telah wujud perbalahan yang berpanjangan.

“Mereka masih tinggal serumah tetapi tidak tidur bersama. Pelbagai usaha telah dijalankan tetapi tiada jalan penyelesaian,” katanya.

Zainor Rashid selepas mendengar lafaz tersebut, mensabitkan gugur talak satu kali pertama secara rajie terhadap Nana dan memerintahkan dia untuk beredah selama tiga kali suci.

Beliau juga memerintahkan supaya perceraian itu didaftarkan di Pejabat Agama Daerah Petaling dan surat nikah pasangan tersebut dibatalkan.

Pada prosiding sama, mahkamah juga merekodkan persetujuan bersama Nana atau nama sebenarnya, Noor Diyana Muhammad dengan Sein yang timbul daripada perceraian tersebut.

Ia meliputi nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian serta hak penjagaan dua anak mereka, iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1,

Hak jagaan anak diberikan kepada Nana manakala Sein diberikan hak melawat dan bermalam selama tiga hari bermula pukul 12 tengah hari Jumaat sehingga 12 tengah hari Isnin atau pada masa-masa munasabah yang dipersetujui bersama.

Pasangan itu juga bersetuju agar hak untuk bersama dan bermalam semasa cuti persekolahan dibahagi secara rata manakala giliran berhari raya dibuat secara bergilir-gilir dan bertukar setiap tahun.

Sein juga akan membayar nafkah dua anaknya sebanyak RM1,000 sebulan yang meliputi keperluan harian seperti makan minum, yuran persekolahan dan kelas tambahan.

Dia juga bersetuju untuk menanggung perbelajaan musim persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM500 setiap satu untuk setiap seorang anak.

Nana pula bersetuju untuk menerima nafkah edah RM500 setiap bulan bagi tiga bulan, RM500 sebagai mutaah dan semua bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun banknya.

Pasangan itu juga bersetuju tidak akan membuat sebarang tuntutan berhubung harta sepencarian antara satu sama lain.

Zainor Rashid pada penghakimannya memuji penyelesaian yang dibuat oleh Sein dan Nana untuk menyelesaikan isu perceraian itu secara baik.

“Mahkamah berpendapat kedua-dua pihak tidak mementingkan diri dan lebih mengutamakan anak-anak hasil pernikahan.

“Perdamaian ini yang digalakkan oleh Islam dan dapat mendatangkan kebaikan,” katanya.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/12/9/mstar_hiburan/20101208152724&sec=mstar_hiburan

Online Forex Senjata Kekayaan Terhebat Dunia?

Isnin Disember 6, 2010

Segelintir masyarakat sanggup menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer demi mendapatkan keuntungan mudah melalui Online Forex.

MINAT penulis yang suka mengembara ke luar negara memerlukan setiap wang perbelanjaan perlu ditukarkan dengan mata wang negara yang ingin dilawati.

Banyak kaunter menyediakan khidmat pertukaran wang asing namun ia boleh mengelirukan berikutan masing-masing menawarkan kadar jualan berbeza.

Ternyata bukan mudah untuk mendapatkan nilai jualan yang menguntungkan pengembara berikutan kadar mata wang asing sentiasa berubah pada setiap masa.

Dalam kekusutan menyelubungi fikiran penulis itu mengingatkan kepada penceritaan seorang rakan, Adam mengenai perihal mata wang asing yang lebih merumitkan.

Adam sebelum ini pernah menghadiri satu taklimat yang menawarkan program latihan mengenai pelaburan dalam tukaran wang asing dalam talian.

Topik perbualan itu berjaya mengalihkan perhatian penulis apabila serta-merta bertanyakan tentang kehebatan pelaburan yang dikenali sebagai Online Forex itu.

“Aku tak melabur pun. Sekadar datang ke taklimat itu sebab nak tahu apa sebenarnya apa itu Online Forex yang ramai kata boleh cepat jadi kaya.

“Dengar cerita, syarikat tu dah tidak beroperasi lagi apabila banyak cerita keluar dalam akhbar tentang skim urus niaga mata wang asing secara haram,” katanya.

Adam menyambung cerita kepada penulis berkata, fungsi Online Forex itu menyamai dengan operasi yang dilakukan aktiviti pertukaran mata wang.

Perbezaannya apabila mata wang ringgit Malaysia dan mata wang negara lain menunjukkan komisen yang bakal diperoleh si pedagang.

Online Forex tidak dilakukan secara fizikal dan semuanya melalui operasi secara maya dan operasinya lebih besar sama ada berkaitan dengan risiko, untung atau rugi.

Tidak sah di Malaysia

Penulis difahamkan Online Forex merupakan pemasaran kewangan terbesar di dunia dengan nilai dagangan AS$4 trilion sehari atau kira-kira RM12.61 trilion.

Nilai tersebut begitu besar sekali gus menjawab mengenai kehebatan pelaburan yang jauh lebih menarik daripada skim cepat kaya.

“Menarik, tapi kenapa kau tak melabur dalam Online Forex?” soal penulis kerana Adam seolah-oleh terlepas lubuk emas di hadapan mata.

“Aku tak ada duit masa tu. Tapi kawan aku, Shah ada join. Berjam-jam duduk di hadapan komputer. Tapi dalam masa dua hari sahaja keuntungan yang dia dapat berganda lebih 100 peratus.

“Mula-mula dia laburkan sebanyak AS$1,000 (RM3,170) tetapi 48 jam terus melonjak kepada untung AS$3,450 (RM10,876).

“Aku macam tak percaya bila dia dapat duit sebanyak itu dalam masa dua hari saja, jumlah yang menyamai gaji tiga bulan,” katanya.

Bagaimanapun Adam berkata, ia tidak sah untuk beroperasi di Malaysia kerana Bank Negara Malaysia (BNM) tidak mengiktiraf aktiviti perdagangan itu di negara ini.

Jelasnya, setiap operasi Online Forex memerlukan server dan broker. Jika server tersebut dibawa masuk ke Malaysia maka ia akan ‘terikat’ dengan pengawasan BNM.

Online Forex ibarat aktiviti dagangan di luar negara tetapi operasinya seolah-olah dijalankan di Malaysia,” katanya.

Selagi seseorang itu dihubungkan dengan kemudahan internet maka dia boleh melakukan transaksi pelaburan maya itu di mana-mana pada bila-bila masa.

Penting pilih broker terbaik

Difahamkan, terdapat beribu-ribu broker di dunia bagi Online Forex mempunyai server tersendiri yang dihubungkan kepada akses internet dan antara bank.

“Broker ada beribu, kita boleh pilih mana-mana broker yang kita hendak. Dengan dunia tanpa sempadan ini membolehkan masing-masing memilih yang terbaik.

Online Forex sememangnya tidak menggunakan wang orang lain untuk didagangkan bagi mendapatkan pulangan. Ramai yang salah faham,” kata Adam.

Jelasnya, mereka yang berminat untuk menyertai Online Forex memerlukan pengetahuan asas mengenai perdagangan tukaran asing secara berperingkat.

Ini termasuk kepada pilihan broker terbaik yang diiktiraf bagi memastikan ia benar-benar tulen dan berkeupayaan untuk memberikan sokongan kepada dagangan.

Ketulenannya boleh dikenal pasti menerusi portal kewangan seperti Penguatkuasa Khidmat Kewangan (FSA), Pertubuhan Masa Depan Nasional (NFA) dan Pertubuhan Rakan Pasaran Kewangan Rusia (RAFMM).

“Selepas itu barulah seseorang itu boleh melaburkan sejumlah wang untuk diperdagangkan bagi mendapat keuntungan berlipat ganda,” katanya lagi.

Adam berkata, pedagang kemudiannya dinasihatkan untuk menghubungi sokongan kepada broker di Malaysia yang berkhidmat sebagai perunding bagi Online Forex.

“Difahamkan terdapat ratusan penyokong broker luar negara yang menjalankan kursus bimbingan. Taklimat yang aku pergi tu mungkin salah satu antaranya,” katanya.

Penulis membayangkan mungkin pedagang perlu melaburkan sejumlah wang besar untuk menjadi kaya seperti yang banyak dilaporkan di dalam blog.

Cuba membuat carian berdasarkan perkataan Forex, pasti banyak senarai laman web dan blog yang menawarkan khidmat perguruan bagi mendalami ilmu Online Forex.

Namun apa yang diberitahu kepada penulis, tiada nilai dagangan tetap atau pulangan apatah lagi mewajibkan penambahan modal sepanjang urus niaga didagangkan.

Adam menjelaskan bahawa setiap dagangan diuruskan oleh pedagang itu bagi mendapatkan keuntungan serta bersedia menanggung segala risiko dan kerugian.

“Tiada paksaan dalam perdagangan elektronik ini sama ada melibatkan panggilan margin atau penambahan modal bagi mengaktifkan kelancaran dagangan.

“Ini kerana nilai modal yang boleh didagangkan adalah serendah AS$5 berbanding segelintir sindiket yang menetapkan syarat berjumlah ribuan dolar,” katanya.

Penipuan dan penganiayaan yang berlaku sebenarnya telah ‘merosakkan’ industri Online Forex itu sehingga menjejaskan keyakinan para pedagang.

Justeru, mereka perlu rajin membuat kajian bagi mendalami selok-belok ‘permainan’ Online Forex bagi memudahkannya menganalisis pasaran bagi mengelakkan daripada ditipu.

Tiada untung luar biasa

Adam berkata, belajar mengambil masa dan bukan boleh difahami dalam masa sehari atau dua hari kerana orang yang berpengalaman pun masih belajar mengenainya.

“Kejayaan Online Forex yang dicanang dalam blog? Sesiapa pun boleh mengiktirafkan dirinya sendiri boleh menjanjikan keuntungan luar biasa. Itu katanya.

“Mereka yang berlagak hero boleh tunjukkan bukti hasil keuntungannya berdasarkan paparan dagangan tetapi tidak pula diberitahu berapa banyak kerugiannya.

“Paparan dagangan yang menunjukkan keuntungan sebagai bukti kekayaan itu pula belum tentu milik dia, berkemungkinan kepunyaan orang lain,” katanya.

Adam menambah, hero itu sebenarnya mengharapkan orang lain akan terpengaruh dengan kata-katanya dan kemudian datang menuntut ilmu Online Forex.

“Selepas itu, dia akan mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tinggi kepada peserta, itulah keuntungan yang dia dapat,” katanya.

Bagaimanapun tidak dinafikan Online Forex memerlukan pengetahuan dan kemahiran mengenainya, pasaran serta risiko dagangan pada peringkat permulaan.

Selepas itu pula menyusuri fasa seterusnya dengan mendalami tentang bagaimana untuk melakukan dagangan, mendapatkan keuntungan dan menganalisis pasaran.

Adakah mereka yang terlibat dalam Online Forex perlu ada asas pengetahuan dalam pasaran atau mereka yang terdiri daripada golongan profesional sahaja?

“Tidak. Sesiapapun boleh terlibat tidak kira apa jenis pekerjaan atau latar belakang sekalipun kerana keutamaan adalah pengetahuan. Petani juga boleh buat.

“Yang penting adalah kemahuan, ada masa untuk belajar dan melakukan dagangan serta modal untuk diperdagangkan,” katanya.

Adam berkata, dia dan peserta taklimat lain dipesan berkali-kali oleh penganjur bahawa Online Forex bukan satu skim cepat kaya kerana ia tidak menjanjikan pulangan lumayan semata-mata kerana risiko dan rugi tetap ada.

“Ramai yang melihat ia sebagai lubuk duit namun harus diingatkan takkan dengan modal hanya RM100 tetapi mahu dapat untung RM100 juta?

“Semuanya dalam Online Forex masih berasaskan logik, jika nak dapat RM100 juta sudah tentu kena laburkan RM10 juta. Tiada keuntungan luar biasa,” katanya.

http://mstar.com.my/mingguan/cerita.asp?file=/2010/12/6/mstar_mingguan/20101206124608&sec=mstar_mingguan

Pakar Akuakultur Tropika Sahkan Tasik Kenyir Bebas Dari Pencemaran

Published: Rabu Disember 8, 2010 MYT 7:59:00 PM

HULU TERENGGANU: Tidak ada sebarang pencemaran air berlaku di Tasik Kenyir malah tasik terbesar buatan manusia itu selamat digunakan untuk pelbagai aktiviti termasuk beriadah.

Pengarah Institut Akuakultur Tropika Universiti Malaysia Terengganu (UMT),Profesor Dr Faizah Shaharom berkata, kualiti air tasik itu juga tidak berbahaya atau membimbangkan seperti yang dilaporkan beberapa media tempatan semalam.

Kajian kualiti air tasik yang dijalankan sekumpulan saintis universiti itu dengan mengambil sampel air Sungai Comor di tasik itu, mendapati hanya suhu air mengalami kepanasan sehingga 31 darjah Celsius yang menyebabkan ikan mati.

"Kalau ada pun bakteria e-coli di situ, ia tidaklah ditahap yang berbahaya seperti yang dilaporkan akhbar berkenaan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika menghadiri pelepasan peserta pertandingan memancing Piala Kenyir yang melibatkan kira-kira 80 warga negara China di Tasik Kenyir, hari ini yang disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Beberapa akhbar tempatan telah melaporkan air Tasik Kenyir dikhuatiri dicemari bakteria e-coli berpunca daripada sisa kumbahan daripada beberapa rumah bot yang beroperasi di dalam tasik itu, menyebabkan air tasik itu tidak selamat.

Dr Faizah berkata, berdasarkan kajian itu, kepanasan berlaku kemungkinan disebabkan oleh 'thermal bar' iaitu lapisan air yang panas yang sering berlaku di dalam tasik-tasik yang mempunyai kedalaman sehingga 100 meter.

Katanya, sehingga ini ada dua tasik di dunia iaitu di Amerika Syarikat dan Afrika Selatan yang mengalami masalah seperti itu iaitu lapisan air yang panas yang boleh menyebabkan hidupan air seperti ikan mati.

Bagaimanapun ia tidak memberi mudarat kepada manusia.

Menjelaskan perkara itu, beliau berkata kajian yang dibuat itu mendapati suhu air di tasik berkenaan mencapai kepanasan sehingga 31 darjah Celsius walaupun ketika hujan ataupun pada waktu malam.

"Jadi, sekiranya air di kawasan Sungai Comor itu panas berterusan, kita sarankan pengusaha ikan sangkar yang ada di situ supaya memindahkannya ke kawasan air yang lebih sejuk," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Bot Pelancong Tasik Kenyir Bakar Mamat ketika ditemui melahirkan rasa kesal terhadap laporan media massa.

"Media tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang tidak benar sehingga boleh membantutkan kedatangan pelancong ke sini dan menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208195422&sec=mstar_berita

Sistem Juri Akan Dikembalikan?

Rabu Disember 8, 2010

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menimbang kemungkinan untuk mengembalikan semula sistem juri yang telah dimansuhkan sejak sedekad lalu, kata Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal perundangan pada Rabu.

Malaysia memansuhkan sistem juri pada tahun 1995 ekoran masalah kesukaran untuk mencari juri yang berkelayakan memandangkan rakyat Malaysia tidak terlatih untuk mempertimbangkan bukti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kerajaan kini sedang mempertimbangkan semula rancangan untuk mengembalikan sistem yang diamalkan di negara seperti Amerika Syarikat dan Britain itu.

“Sistem juri adalah sesuatu yang kita sedang pertimbangkan,” katanya pada sidang media dan menambah, walaubagaimana pun tiada keputusan dicapai sama ada sistem tersebut akan diperkenalkan semula.

“Satu individu tidak sebagus tujuh individu untuk menentukan masa depan seseorang,” katanya merujuk kepada kes yang melibatkan hukuman mati.

“Anda tidak boleh membenarkan seorang individu untuk membuat keputusan. Kadang-kadang ada hakim yang keberatan untuk menjatuhkan hukuman mati yang akan menyebabkan ketidakadilan dalam penghakiman.”

Hukuman mati yang dilaksanakan melalui cara digantung adalah hukuman mandatori untuk kesalahan bunuh, pengedaran dadah dan pemilikan senjata api di Malaysia.

Kes terakhir yang dibicarakan oleh juri di Malaysia adalah kes pembunuhan kejam seorang ahli politik yang dibunuh dan dipotong kepada 18 bahagian oleh pasangan suami isteri yang mengamalkan ilmu hitam.

Mereka disabitkan bersalah pada Februari 1995 bersama pembantu mereka dan dihukum gantung sampai mati.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208220442&sec=mstar_berita

Selangor Sedang Siapkan Dokumen Tawaran Ambil Alih Syarikat Konsesi Air

Published: Rabu Disember 8, 2010 MYT 10:12:00 PM

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyediakan satu dokumen tawaran dalam tempoh dua minggu untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri ini, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, tawaran yang mengandungi maklumat diperlukan Suruhanjaya Sekuriti itu akan dibawa dalam mesyuarat Exco Negeri untuk dibincangkan sebelum dikemukakan kepada syarikat konsesi terbabit.

"Buat masa ini, kerajaan negeri tidak dapat mendedahkan harga tawaran pengambilalihan kepada syarikat konsesi itu sebab terikat dengan Standard Suruhanjaya Sekuriti.

"Harga tawaran yang dibuat menerusi Menteri Besar Incorporated (MBI) ini akan ditentukan kemudian apabila tawaran rasmi dikemukakan kepada syarikat konsesi terbabit," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, Rabu.

Empat syarikat konsesi air di Selangor itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd, (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABASS.

Abdul Khalid berkata, beliau akan mengemukakan harga tawaran yang munasabah bagi mengambil alih keempat-empat syarikat konsesi air berkenaan dan terpulanglah kepada syarikat terbabit sama ada hendak menerimanya atau tidak.

Beliau juga berkata, pihaknya dalam proses menghantar surat kepada Kerajaan Persekutuan memaklumkan hasrat membeli syarikat konsesi air berkenaan bagi melaksanakan pelan penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor.

Dalam perkembagan lain, Abdul Khalid mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 pada bulan ini kepada penjawat awam yang berkhidmat dengan pentadbiran kerajaan Selangor.

"Bayaran bonus itu akan diberi kepada penjawat awam dari Gred 1 higgga Gred 54 yang antara lain merangkumi pegawai sementara, kontrak dan guru sandaran," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208220905&sec=mstar_berita

Khir Toyo Sah Letak Jawatan; AG Perjelas Kenapa Wang Jaminan Tinggi...

Rabu Disember 8, 2010

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo pada Rabu mengesahkan perletakan jawatannya sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri dalam sepucuk surat yang difakskan ke pejabat Speaker, Teng Chang Khim.

Surat perletakan jawatan itu dikirimkan ke pejabat Teng pada lebih kurang jam 11.20 pagi tadi. Salinan yang sama dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang juga Pengerusi Badan perhubungan Ummno Selangor.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan kepada para wartawan bahawa pihak pendakwa raya meletakkan nilai jaminan yang tinggi ke atas Khir kerana beliau adalah seorang yang ada kedudukan dalam masyarakat.

"Beliau adalah seorang yang ada kedudukan dalam masyarakat dan menyandang jawatan yang tinggi dalam institusi sebab itulah pihak pendakwa meletakkan jumlah yang tinggi sebagai wang jaminan dalam kes beliau," kata Gani kepada para wartawan ketika ditemui selepas perbicaraan kes Tun Dr Ling Liong Sik, Rabu.

Ketika Khir didakwa di mahkamah Isnin lalu, pihak pendakwa raya telah memohon mahkamah mengenakan RM1 juta sebagai wang jaminan.

Bagaimanapun setelah mendengar hujah daripada pihak pembelaan, Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan Khir dengan wang jaminan sebanyak RM750,000.

Khir, 45, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Sg Panjang telah didakwa membeli dua plot tanah di Seksyen 7 Shah Alam untuk membina sebuah banglo daripada Ditamas Sdn Bhd pada tahun 2007 pada harga RM3.5 juta iaitu di bawah paras harga pasaran atau semasa sedangkan Ditamas dikatakan telah membeli tanah tersebut pada harga RM6.5 juta pada Disember 2004.

Khir berhadapan dengan kemungkinan dijatuhkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau didenda jika didapati bersalah.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/12/8/mstar_berita/20101208154551&sec=mstar_berita

Banglo di hujung jalan mati bawa nasib malang


INILAH rumah bekas Menteri Besar Selangor, Mohamad Khir yang terletak di hujung jalan mati di Seksyen 7, Shah Alam.


SHAH ALAM – Apakah ada kaitan sesebuah rumah dengan nasib seseorang?
Dalam kes kedudukan rumah banglo milik bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang lokasinya terletak di hujung jalan mati, sekurang-kurangnya ada pakar Feng Shui percaya ia boleh menyebabkan nasib malang sehingga dua generasi.

Menurut seorang pakar Feng Shui, Joe Choo, terdapat masalah aliran medan tenaga magnetik di kawasan jalan mati menyebabkan pemilik sesebuah rumah mengalami pemikiran bercelaru dan gagal membuat keputusan yang baik.

“Kedudukan rumah di hujung jalan mati menyebabkan tiada aliran tenaga. Ia ibarat sebuah kenderaan yang hanya boleh membuat pusingan U.

“Ia membawa makna orang yang tinggal di rumah tersebut berada dalam keadaan tidak tentu arah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Tangan putus dilibas parang


KAMARUDIN menunjukkan parang yang digunakan oleh seorang penduduk untuk melibas tangan pencuri di Besut semalam.


BESUT - Belum sempat kebas apa-apa, tangan pula putus dilibas.

Demikian nasib malang yang menimpa seorang pencuri berusia 28 tahun ketika cuba memecah masuk rumah milik pengusaha ternakan ikan kolam di Kampung Pengkalan Gaduh, Limbongan dekat sini semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu menyebabkan pergelangan tangan kiri suspek putus selepas dilibas dengan sebilah parang oleh pemilik rumah berusia 49 tahun berkenaan.

Ketua Polis Daerah Besut, Supritendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, mangsa yang tersedar dari tidur ternampak kelibat suspek yang cuba menceroboh rumahnya.

Katanya, sebaik keluar sambil membawa parang, mangsa kemudian telah diserang dengan besi oleh suspek. Besi itu digunakan suspek untuk mengumpil tingkap rumah mangsa.

"Mangsa yang dapat mengelak kemudian telah melibas suspek dengan parang. Suspek pula menahannya dengan tangan.

"Akibatnya, tangan kiri suspek terputus dari paras pergelangan. Lelaki dari Setiu, itu kemudian melarikan diri manakala tangannya ditinggalkan di situ," katanya yang memberitahu mangsa terus menghubungi polis.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Tertinggal tangan

Tertinggal tangan

Oleh Hadzlan Hassan dan Mohammad Ishak

SAKIT...suspek ditemui terbaring ketika ditahan. Gambar kecil, pergelangan tangan yang ditemui di lokasi kejadian.
SAKIT...suspek ditemui terbaring ketika ditahan. Gambar kecil, pergelangan tangan yang ditemui di lokasi kejadian.

JERTIH: Seorang lelaki yang cuba memecah masuk sebuah rumah di Kampung Pengkalan Gaduh, dekat sini, mungkin tidak sedar dia tertinggal pergelangan tangan kirinya selepas ditetak pemilik rumah berkenaan sebaik menyedari kediamannya diceroboh, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku selepas pemilik rumah yang juga penternak ikan dalam sangkar itu berang sebaik melihat seorang lelaki sedang mengumpil tingkap rumahnya sejurus terjaga dari tidur kerana terdengar bunyi pelik.

Menceritakan kejadian berkenaan, penternak yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia tidur bersama enam ahli keluarga lain sebelum terjaga kira-kira jam 3 pagi.

“Kerana mengesyaki sesuatu, saya terus mengambil parang dan keluar melalui pintu utama sebelum melihat seorang lelaki sedang mengumpil pintu rumah dan saya terus melibaskan parang.

“Dia yang menyedari kehadiran saya memusingkan badan ke arah saya menyebabkan libasan itu terkena pergelangan tangan kiri dan ketika terkena libasan, lelaki berkenaan langsung tidak menjerit sebaliknya terus melarikan diri,” katanya.


Katanya, dia melihat pergelangan tangan mangsa jatuh di halaman rumah dan mengesyaki lelaki itu tidak menyedarinya kerana panik dengan kehadirannya.

“Dia mungkin panik untuk menyedari pergelangan tangannya putus,” kata pemilik rumah itu yang membuat laporan polis kira-kira jam 4 pagi di Balai Polis Kampung Raja, di sini.

Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis bergegas ke lokasi kejadian dan memeriksa kawasan sekitar serta menemui pergelangan tangan suspek lalu dihantar ke Hospital Besut (HB) pada jam 5.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Che Zakaria berkata, gerakan mengesan suspek dilakukan berdasarkan bukti dan gambaran diperoleh dari mangsa sebelum serbuan dilakukan di sebuah chalet berhampiran lokasi kejadian kira-kira jam 9 pagi.

“Berdasarkan maklumat itu, sepasukan anggota polis menyerbu kawasan terbabit sebelum mereka terdengar tangisan seorang wanita di chalet itu dan menemui suspek terbaring dengan tangannya ditutup dengan bantal,” katanya.

“Selepas diperiksa, kami mendapati lelaki berusia 29 tahun dari Kampung Bintang, Permaisuri, Setiu itu tidak mempunyai pergelangan tangan menyebabkan kedua-duanya ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Wanita yang ditahan bersama suspek berusia 15 tahun dan berasal dari Kampung Cerang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, mendakwa dirinya isteri suspek berkenaan.

Selepas ditahan, suspek yang mengalami pendarahan teruk akibat terkena tetakan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, bersama pergelangan tangan untuk penyambungan semula.

Kamaruddin berkata, siasatan awal mendapati suspek bersama teman wanitanya baru menyewa di chalet itu dan dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah sebelum ini dan siasatan lanjut akan dijalankan sejurus dia selesai menjalani rawatan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Tertinggaltangan/Article

Majikan maut di tangan amah


DARAH Seok Pen yang dipercayai dibunuh oleh pembantu rumahnya di Kampung Lubuk Tapah, Pasir Mas semalam.


PASIR MAS – Seorang pembantu rumah warga Indonesia dipercayai membunuh majikannya, seorang warga emas sebelum melarikan diri di Kampung Lubok Tapah di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, suspek yang hanya dikenali sebagai Faridah, 21, dipercayai menggunakan senjata tajam menyebabkan kecederaan parah di muka mangsa, Yeap Seok Pen, 60.

Anak mangsa, Lee Chee Kiong, 30, berkata, dia bersama bapanya terkejut melihat keadaan ibunya yang berlumuran darah sebaik sahaja memasuki rumahnya selepas pulang dari berniaga di bandar ini pada pukul 1.30 petang.

Menurutnya, dia yang panik melihat keadaan ibunya terus berlari keluar dan meminta bantuan orang ramai sebelum bertindak menghubungi pihak polis.

“Pada masa itu, saya dapati pembantu rumah yang bekerja sejak dua minggu lalu telah melarikan diri dan beberapa jenis barangan berharga turut hilang,” katanya ditemui di tempat kejadian semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

'Mak saya disembelih'

'Mak saya disembelih'

Oleh Mohd Sabran Md Sani dan Adnan Mohamad

ANGKAT...polis mengangkat mayat  Yeap ke dalam lori polis, semalam.
ANGKAT...polis mengangkat mayat Yeap ke dalam lori polis, semalam.
KESAN...anjing pengesan  mencari bukti di tempat kejadian, semalam.
KESAN...anjing pengesan mencari bukti di tempat kejadian, semalam.

PASIR MAS: “Mak saya kena sembelih!” jerit seorang peniaga, Lee Chee Keong, 30, kepada sepupunya, Lew Beng Lai, 76, sebaik melihat ibunya ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di Kampung Lubok Tapah, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Lee yang pulang ke rumah untuk menghantar nasi bungkus kepada ibunya, Yeap Seok Pen, 60, terkejut apabila disajikan kejadian memilukan menimpa pesara jururawat terbabit.

Berikutan itu, Chee Keong memaklumkan kejadian terbabit kepada bapanya, Lee Lai Wing, 64, yang ketika itu berada di kedai jam milik keluarga mereka di bandar ini, selain memberitahu Lew yang tinggal di sebelah rumah.

Difahamkan, kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan amah yang baru diambil bekerja daripada ejen pembantu rumah di Kota Bharu sejak dua minggu lalu. Pembantu rumah itu didapati tiada di rumah ketika mayat Yeap ditemui.

Namun, dengan bantuan orang ramai dan kecekapan polis membolehkan pembantu rumah warga Indonesia berusia 20-an itu diberkas di Cabang Empat Tok Uban, di sini, kira-kira jam 5 petang.


Suspek dibawa sekumpulan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut.

Menceritakan kejadian itu, Lew berkata, dia yang duduk di depan rumah bersama anak saudaranya terkejut sebaik mendengar jeritan saudaranya itu.

“Saya terperanjat apabila sepupu beritahu ibunya mati disembelih. Mulanya macam tidak percaya, tetapi keadaannya ketika mengungkapkan perkataan terbabit menyebabkan saya berdebar-debar.

“Sambil berdiri di pagar rumah, Chee Keong menghubungi ayahnya yang berniaga di kedai jam tangan di bandar ini selain melaporkan kepada polis,” katanya ditemui di rumahnya, semalam.


Menurutnya, dia pergi ke rumah terbabit dan mendapati mangsa terlentang dan berlumuran darah di kepala.

Katanya, mangsa yang tinggal di rumah berkenaan bersama tiga ahli keluarganya termasuk suami dan dua anak lelaki mengambil pembantu rumah untuk menjaganya.

“Mereka sekeluarga baru mengambil pembantu rumah itu dua minggu lalu.
Tujuannya untuk menjaga mangsa kerana keadaannya tidak begitu sihat dan perlu penjagaan rapi,” katanya.

Chee Keong yang enggan mengulas lanjut mengenai kejadian terbabit, bagaimanapun mengesahkan kejadian menimpa ibunya itu disedari sebaik menghantar makanan tengah hari ke rumah kira-kira jam 2 petang.


“Pagi sebelum kejadian, saya dan bapa meninggalkan ibu dalam keadaan baik di bawah penjagaan pembantu rumah. Dia seorang yang rajin dan mendengar kata.

“Saya amat terkejut melihat ibu dalam keadaan tidak bernyawa di ruang tamu dan berlumuran darah di muka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Lazim, berkata kejadian dipercayai berlaku antara jam 12 hingga 1 tengah hari selepas seorang anak mangsa pulang ke rumah bagi menghantar makanan kepada mangsa.

Beliau berkata, mangsa ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumahnya di Kampung Lubuk Tapah, di sini, dan dipercayai ditikam penyerang yang juga pembantu rumahnya iaitu seorang wanita berusia 21 tahun.

Katanya, mangsa yang juga bekas kakitangan sebuah klinik pergigian di Pasir Mas menghidap Parkinson sejak beberapa tahun lalu.

“Setakat ini kami masih menyiasat motif kejadian dan menyoal siasat anak lelaki mangsa yang menemuinya terbaring di dalam rumah.

“Maklumat awal mengatakan ada jiran terdengar bunyi bising seolah-olah pertengkaran di rumah mangsa sebelum mayatnya ditemui berlumuran darah,” katanya.

Mazlan berkata, polis membuat sekatan jalan raya sebelum mengesan suspek di sekitar Cabang Empat Tok Uban, di sini, dengan bantuan orang ramai dan menahannya kira-kira jam 5.15 petang selepas itu.

“Suspek dikesan di sekitar Tok Uban dan hasil kerjasama orang ramai, suspek yang ketika itu dilihat berjalan ditahan.

“Kami akan menahannya untuk siasatan lanjut dan mengetahui punca dia bertindak demikian,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mazlan, kes terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

http://www.hmetro.com.my/articles/Maksayadisembelih/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...