Saturday, August 21, 2010

Bulan semakin mengecil


REKAHAN yang terdapat pada bulan.


WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Rekahan-rekahan pada permukaan bulan menunjukkan ia semakin mengecil, lapor sebuah akhbar semalam.

Saintis-saintis percaya bulan akan mengecil apabila keraknya menjadi semakin sejuk seperti sebuah belon yang kehilangan udara.

Penemuan tersebut dilaporkan selepas sebuah kapal angkasa Peninjau Pengorbit Bulan (LRO) merakamkan banyak garisan ganjil yang membentuk rekahan di tanah tinggi bulan.

Pakar-pakar percaya rekahan itu terhasil kerana kerak menjadi rapuh ekoran bulan yang kian mengecil.

Mereka juga percaya bahawa rekahan-rekahan tersebut masih baru.

Menurut saintis, bulan telah mengecil sebanyak 100 meter sejak 800 juta tahun lalu. - Agensi.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Mayat bayi dibalut kain


MAYAT bayi lelaki berusia hampir setahun ditinggalkan di sebuah perhentian bas sebelum ditemui oleh seorang pengawal keselamatan di Rembau semalam.


REMBAU - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila mendapati bungkusan kain yang disangka buah cempedak rupanya mengandungi mayat seorang bayi lelaki di sebuah perhentian bas di kilometer 17 Jalan Pedas-Linggi di Kampung Kundur Hilir dekat sini semalam.

Kejadian pukul 6 pagi itu disedari Mohamad Som Adlan, 62, selepas dia diminta oleh beberapa pelajar sekolah yang sedang menunggu bas di situ supaya melihat satu bungkusan kain yang mencurigakan ditinggalkan di atas bangku.

"Saya ingat buah cempedak tetapi bila dibuka saya amat terkejut apabila mendapati ia mengandungi mayat bayi.

"Mayat bayi itu lengkap berpakaian dan dibalut dengan tuala serta kain batik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya, dia dan beberapa lelaki kemudian menghubungi polis selepas mendapati bayi tersebut sudah tidak lagi bernyawa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Supritendan Mizan Md. Dom berkata, mayat bayi malang itu dianggarkan berusia di antara 10 dan 12 bulan serta berketurunan Melayu.

Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau di talian 06-6852222 atau 36-6851999 bagi membantu siasatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Ramai yang masih berdegil

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengeluarkan 296 notis kompaun terhadap kesalahan merokok di kawasan larangan dan mereka yang di bawah umur merokok dalam satu operasi pada 10 Ogos lalu.

Daripada jumlah itu, 170 kes merupakan kesalahan merokok di stesen bas (39 kes), mahkamah (35), kompleks beli-belah (33), stesen minyak (23) dan hospital serta klinik (18 kes).

Selain itu, ia juga berlaku di premis kerajaan (15 kes), lapangan terbang (5) dan selebihnya di pusat-pusat hiburan manakala 88 orang belum cukup umur telah dikompaun kerana kesalahan merokok atau memiliki rokok dan 74 daripada mereka ditangkap di luar kawasan sekolah.

Operasi penguatkuasaan dilancarkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 meliputi pemeriksaan di 2,112 premis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, seramai sebelas orang peniaga turut dikompaun atas kesalahan menjual rokok kepada orang belum dewasa dan 27 kompaun lagi atas pelbagai kesalahan lain.

"Sesiapa yang melakukan kesalahan merokok di premis larangan merokok dikenakan kompaun RM250 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 30 hari.

"Sekiranya gagal, kes akan didaftarkan di mahkamah dan jika sabit kesalahan didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Tambah Mohd. Ismail, bagi orang yang belum dewasa dan melakukan kesalahan merokok dikompaun RM50 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 50 hari.

"Jika gagal, tindakan mahkamah turut akan diambil dan boleh didenda sebanyak RM1,000," tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0821&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...