Friday, August 8, 2008

Tekad ibu mencari Bilal - Terima panggilan anaknya akan dibawa ke Afrika Selatan

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN dan SHAH NIZAM OMAR
berita@kosmo.com.my


SMS dari Nasir yang mengaku membawa lari Bilal.

KUALA LUMPUR – “Saya mengambil anak kita kerana awak, keluarga awak, Jabatan Imigresen dan orang menipu saya serta memusnahkan kehidupan serta perniagaan saya”.
Itulah teks khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima Salwanis Ma’az daripada suaminya, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, pada malam 26 Julai lalu.
Sejak itu, hidup Salwanis mulai tak keruan kerana merindui anaknya, Muhammad Bilal yang baru berusia tiga bulan dan tidak menyangka suaminya sanggup berbuat demikian.
Menurutnya, SMS itu ada kaitan dengan kekecewaan Nasir sebelum ini bagi mendapatkan visa penduduk tetap kerana sehingga kini dia hanya memiliki visa pekerja.
Keesokan harinya, Salwanis menerima satu panggilan ringkas daripada Nasir yang memberitahu dia ketika itu sudah berada di Kuwait dan akan meneruskan perjalanan ke Johannesburg, Afrika Selatan.
“Dalam perbualan itu, saya bertanya kepadanya kenapa mahu ke Afrika? Dia (Nasir) memberitahu yang dia boleh jaga Bilal di sana,’’ ujarnya kepada Kosmo! semalam.
Salwanis beberapa kali cuba menghubungi Nasir namun gagal kerana talian ditutup.
Setelah berusaha dan hidup dalam kesedihan selama 12 hari, Salwanis semalam bertekad untuk mendapatkan semula Bilal ke pangkuannya.
Ibu berusia 31 tahun itu mengakui hidupnya kini ‘berendam’ air mata.
“Setiap kali bila nak makan, teringat Bilal..sama ada dia sudah menyusu ke tidak?,’’ katanya yang membuat laporan polis mengenai kehilangan Bilal di Balai Polis Seri Kembangan pada 28 Julai lalu.
Dalam pada itu, katanya, Nasir melalui SMS juga menyerahkan pasar raya mini di Serdang Perdana yang diusahakan mereka kepada Salwanis.

http://www.kosmo.com.my/

Malaysia to train citizens to work as maids: reports

Agence France-Presse - 8/7/2008 2:29 AM GMT

Malaysian women will be encouraged to train as domestic helpers, in a government programme aimed at reducing the country's dependency on foreign workers, reports said Thursday.
Women and Community Development Minister Ng Yen Yen said the course would give instruction in managing the home and caring for children and the elderly, and would be available to Malaysian women aged 18 years and above.
"They will be called home managers. I will not use the word 'maids' as I think there is a lot of negativity attached to it," she told the official Bernama news agency.
Ng said there would be no set salary but that the Malaysian domestic helpers could be paid up to 2,000 ringgit (305 dollars) a month -- four times what Malaysians commonly paid helpers from Indonesia.
"In the long term, we want our families to be looked after by Malaysian caregivers," Ng said according to The Star daily.
Few Malaysian women are willing to work as domestic helpers, and many of those with few formal skills prefer to obtain work in shops and factories.
As a result, Malaysians employ nearly 320,000 foreign maids -- mostly from Indonesia, the Philippines, Cambodia and Sri Lanka -- part of a huge foreign workforce which the government is trying to reduce.
The nation of 27 million people currently has 2.2 million foreign labourers who are the mainstay of the plantation and manufacturing sectors.

http://news.my.msn.com/

Kek keju dingin



KEK Keju menjadi kegemaran di mana saja tetapi tidak ramai yang tahu bagaimana menyediakannya. Ia sejenis kek yang mudah untuk dipelbagaikan dengan variasi perisa.
Misalnya, kek keju coklat atau kek keju buah-buahan seperti oren, pic, pisang dan seumpamanya. Jadi, bila anda tahu membuat satu jenis kek keju, anda akan dengan sendirinya pandai membuat pelbagai kek keju yang lain.
Ada dua jenis kek keju iaitu jenis bakar dan tidak bakar. Jenis tidak bakar diperbuat dengan campuran serbuk gelatin atau agar-agar. Jika orang Islam menggunakan gelatin, pastikan ia halal. Jenis bakar pula menggunakan suhu yang agak rendah dan selalunya kek keju tersebut dibiarkan sejuk di dalam ketuhar supaya ia tidak merekah kerana perubahan suhu bilik.
Kaedah memasak dengan pengukus bertingkat juga menjadi ciri utama di mana loyang berisi adunan kek tersebut diletakkan di dalam sebuah bekas atau tin yang lebih besar. Ini adalah untuk memastikan udara di dalam ketuhar stabil dan wujud wap air yang dapat menjamin kek keju masak dengan lebih sempurna.
Membuat kek keju dingin tidak memerlukan banyak kemahiran, sebenarnya. Anda hanya perlu menggunakan pemutar elektrik untuk memukul krim keju. Ingatlah bahawa krim keju mesti dibiar pada suhu bilik supaya ia lembut sebelum dipukul. Dengan ini saja ia akan mudah gebu bila dipukul pula dengan gula kaster.
Krim putar mudah didapati di mana-mana pasar raya besar. Pastikan ia sentiasa dingin dan keluarkan dari peti sejuk sejurus sebelum anda memasukkan ke dalam adunan. Krim putar tenusu adalah berbeza daripada krim putar bukan tenusu yang banyak digunakan di dalam membuat krim bagi menghias kek.
Selain ceri hitam, anda boleh gantikan dengan nenas, pic atau sebarang buah-buahan di dalam tin. Anda juga boleh menggunakan pisang dan boleh disusun terus di atas lapisan biskut tersebut. Pastikan buah-buahan di dalam tin disejat terlebih dulu sirapnya. Kemudian susun supaya setiap potongan kek mendapat bahagian buahnya.
Perkara paling utama yang mesti diketahui tentang kek keju dingin adalah gelatin. Cara melarutkan gelatin adalah dengan cara merendamkan terlebih dulu di dalam air yang diletakkan di dalam mangkuk kecil. Pastikan mangkuk tersebut tahan panas.
Setelah gelatin kembang, letak mangkuk di dalam periuk berisi air mendidih. Kacau hingga larut. Kemudian biarkan seketika sebelum dimasukkan ke dalam adunan krim keju. Elakkan daripada mencampurkan ketika ia masih panas. Sentiasa pukul adunan semasa memasukkan larutan gelatin supaya ia bercampur dengan sempurna. Tutup atasnya dengan plastik kemudian bungkus dengan foil sebelum diletak di dalam peti sejuk selama semalaman atau sehingga keras sebelum dihiris.
Untuk mendapatkan hirisan yang kemas dan tidak comot, bilas pisau pemotong dengan air panas. Lap kering kemudian barulah memotong kek tersebut. Kek ini memang tidak menggunakan tepung atau telur. Ia juga tahan lama jikalau disimpan di dalam bekas bertutup yang diletakkan di dalam peti sejuk.
Namun begitu, kek keju yang mempunyai gelatin tidak tahan jikalau diletakkan di tempat yang panas. Ia mudah cair. Jika anda ingin membawanya berkelah atau sebagainya, pastikan kek tersebut dibekukan terlebih dulu di dalam tempat pendingin beku. Kemudian bungkus dengan plastik nipis clingfilm. Setelah itu, barulah dibungkus pula dengan kertas aluminium. Dengan cara ini, kek tidak mudah cair.
Gunakan biskut Digestive kerana ia tinggi serat. Namun begitu, anda juga boleh gunakan biskut marie dengan campuran badam atau gajus panggang. Ini akan membuat lapisan bawah kek keju lebih rangup dan menyelerakan. Jadi, tiada alasan lagi untuk tidak membuatnya di rumah kerana ia memang mudah dan cepat!


Takdir bukan bererti berserah

Tanpa berusaha dan bersenang-senang sahaja, kehidupan tidak akan ke mana malah mendatangkan bencana.


INGATLAH, segala sesuatu yang ada di langit ataupun di bumi, penciptanya tiada lain kecuali Allah.


QADA’ dan qadar adalah satu penentuan yang telah ditetapkan Allah pada setiap hamba-Nya di mana mempercayainya termasuk dalam Rukun Iman yang keenam. Memahami qada’ dan qadar sangat penting kerana dapat membantu kita melihat setiap perkara di luar daripada kotak fikiran yang biasa. Sesuatu kejadian yang difikir tidak logik, mustahil dan tidak masuk akal ada hikmah yang tersendiri dan rahsianya.
Memahami kenapa sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku harus bermula dengan mengetahui tingkat atau tahap qada’ dan qadar yang dinyatakan oleh Allah.
Tahap-tahap qada’ dan qadar Allah dimulai dengan al-ilm atau pengetahuan. Ertinya mengimani dan meyakini bahawa Allah mengetahui semua perkara. Dia mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, di darat dan laut, secara umum mahupun terperinci.
Tahap kedua ialah al-kitabah atau penulisan. Ertinya mengimani bahawa Allah telah menetapkan ketetapan semua kejadian dalam Luh Mahfuz.
Kedua tingkat ini sama-sama dijelaskan dalam firman-Nya: Apakah kamu tidak mengetahui bahawa sesungguhnya Allah SWT mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi, bahawasanya yang demikian itu terdapat dalam sebuah kitab (Luh Mahfuz). Sesungguhnya yang demikian itu amat mudah bagi Allah’ – Surah al-Haj: 70.
Dalam ayat ini disebutkan lebih dahulu bahawa Allah mengetahui apa saja yang ada di langit dan di bumi, kemudian dikatakan bahawa yang demikian itu tertulis dalam sebuah kitab Luh Mahfuz.
Ketika Nabi Muhammad ditanya tentang apa yang hendak kita buat, apakah sudah ditetapkan atau tidak? Baginda menjawab: Sudah ditetapkan. Dan ketika baginda ditanya: Mengapa kita mesti berusaha dan tidak pasrah saja dengan takdir yang sudah tertulis? Baginda menjawab: Berusahalah kalian, masing-masing akan dimudahkan menurut takdir yang telah ditentukan baginya.
Kemudian baginda membaca firman Alah: “Adapun orang yang memberikan hartanya (di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik, maka Kami akan memudahkan baginya (jalan) yang mudah. Sedangkan orang yang bakhil dan merasa dirinya cukup serta mendustakan adanya pahala yang terbaik, maka Kami akan memudahkan baginya (jalan) yang sukar’ – Surah al-Lail: 5-10.
Usaha akan membawa kejayaan. Tanpa berusaha dan bersenang-senang sahaja, kehidupan tidak akan ke mana malah mendatangkan bencana.
Tahap ketiga ialah al-masyiah bermaksud kehendak – ertinya bahawa segala sesuatu yang terjadi atau tidak terjadi, di langit dan di bumi, adalah dengan kehendak Allah.
Hal ini dinyatakan jelas dalam al-Quran. Allah telah menetapkan bahawa apa yang dilakukannya-Nya serta apa yang dilakukan oleh hamba-Nya juga dengan kehendak-Nya seperti mana firman Allah SWT: ‘Iaitu bagi siapa di antara kamu yang mahu menempuh jalan yang lurus. Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan semesta alam’ – Surah at-Takwir: 28-29.
Tahap terakhir al-khalq iaitu penciptaan – ertinya mengimani bahawa Allah pencipta segala sesuatu. Apa yang ada di langit dan di bumi penciptanya tidak ada yang lain kecuali Allah. Sehinggakan kematian yang memisahkan kehidupan itupun diciptakan-Nya. ‘Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya, dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) – Surah al-Mulk: 2.
Jelas, segala sesuatu yang ada di langit ataupun di bumi penciptanya tiada lain kecuali Allah. Kita semua mengetahui dan meyakini bahawa apa yang terjadi daripada hasil perancangan Allah. Seperti langit, bumi, gunung, sungai, matahari, bulan, bintang, angin, manusia dan haiwan, semuanya adalah ciptaan Allah.


http://www.kosmo.com.my/

Shepherd's pie

Shepherd's pie adalah salah satu hidangan wajib dalam keluarga orang Inggeris terutama pada waktu makan malam.


Ingin mengubah selera? Selain daripada Fish-n-Chips, Steak atau Lamb Chops, apa kata kita cuba pula Shepherd's Pie (Pai Gembala).
Inilah salah satu hidangan wajib dalam keluarga orang Inggeris terutama pada waktu makan malam. Ia bukan saja berkhasiat tetapi juga merupakan makanan lengkap sekiranya dihidangkan dengan salad campuran.
Yang dimaksudkan dengan salad campuran adalah pelbagai jenis dedaun salad yang siap dijual dalam bekas plastik. Anda hanya perlu bersihkan, kemudian lap kering. Satukan minyak sawit, zaitun atau jagung, jus lemon, gula dan garam. Kemudian gaulkan dengan salad tadi. Boleh tambah hirisan tomato dan bawang besar. Nah, salad anda sudah siap!
Jika hendak dihidangkan untuk tetamu, eloklah dibuat dalam bekas atau mangkuk pai yang kecil. Ini memudahkan tetamu makan. Mereka boleh ambil seorang satu. Ini adalah kerana pai jenis ini mempunyai lapisan bawah berdaging yang tidak mampat serta mempunyai banyak sos. Bila menyuap pai ini, pastikan ambil kedua-dua lapisan sekali. Keenakannya akan lebih terasa.
Ada dua langkah utama untuk membuat Shepherd's Pie. Lapisan bawah atau lauknya berasaskan daging yang dikisar atau dicincang halus. Elakkan daripada membeli ayam yang dikisar kerana ia seringkali mempunyai campuran kulit dan mempunyai banyak lemak. Lebih baik beli bahagian dada dan kisar sendiri.
Jika herba segar mudah dibeli, gunakan ia supaya rasa pai lebih istimewa dan harum. Bagi setiap satu camca teh herba kering, gunakan dua camca teh herba segar. Herba yang lazim adalah oregano dan dill. Jika anda menggunakan daging kambing, pilih herba rosemary. Manakala ayam lebih sesuai dengan basil. Jadi, terpulanglah pada cita rasa masing-masing.
Untuk menjimatkan masa, anda boleh gantikan cili Benggala, lobak dan saderi dengan sayuran campur. Oleh kerana pai ini adalah masakan Barat, lebih sesuai menggunakan bawang besar berkulit putih (jenis Belanda). Bawang besar berkulit merah (jenis Bombay) sesuai untuk masakan berempah kerana ia lebih 'pedas'. Jadi, penggunaan bawang juga amat penting bagi mendapatkan hasil yang memuaskan.
Perlu diingat bahawa lapisan bawah hendaklah pekat. Jika terlalu berair, ia akan meresap ke bahagian atas pai. Ini berlaku juga sekiranya lapisan kentang atas terlalu nipis kerana anda menggunakan bekas yang terlalu besar. Jadi, pilih mangkuk kaca tahan panas atau kaserol yang sesuai.
Anda juga boleh menggunakan bekas pai yang diperbuat daripada kertas aluminium yang boleh dibuang selepas menggunakannya. Ia datang dalam pelbagai bentuk dan saiz. Ini menjimatkan ruang terutama jika dapur anda tidak mempunyai ruang penyimpanan yang besar. Atau orang bujang yang hanya sesekali memasak!
Sekiranya bahagian berdaging masih banyak kuahnya, pekatkan dengan campuran tepung jagung serta air. Kemudian terus ratakan dalam bekas. Bila memilih kentang untuk lapisan atas, pastikan jenis Red Russet atau sebarang jenis yang isinya empuk serta gebu. Selalunya kentang begini lebih sedap dan mudah mesra dengan campuran lain seperti mentega, keju dan susu.
Bagi anda yang kreatif, isikan kentang lecek di dalam beg aising. Kemudian picitkan ke atas lapisan daging. Dengan cara ini, lapisan atas akan kelihatan lebih menarik. Bagi yang ingin menjimatkan masa, memadai meloreknya dengan garpu. Mentega dan keju akan memberikan warna keperangan pada permukaan pai.
Jika ada gril, anda boleh perangkan permukaan pai itu selama beberapa minit. Bahagian berkeju akan membentuk kerak yang begitu sedap sekali bila anda mengunyahnya. Jadi, cubalah masakan yang unik dan penuh khasiat ini!




http://www.kosmo.com.my/

Bicara seks bukan kotor

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


IBU memainkan peranan penting dalam menyalurkan maklumat mengenai seks kepada anak-anak. - Gambar hiasan


APABILA membicarakan soal seks secara terbuka, pasti masyarakat menolaknya. Seks dianggap sebagai satu topik memalukan serta tidak manis untuk diperkatakan terutamanya di hadapan anak-anak.
Ibu bapa khususnya masih lagi mempunyai perasaan segan dan tidak terbuka untuk membincangkan perkara ini walaupun hakikatnya pendidikan seks seawal usia harus diterapkan bagi mengelak berlakunya masalah sosial seperti yang dapat dilihat sekarang.
Mungkin ia berlaku kerana terikut dengan budaya dan adat ketimuran yang mana dalam sesebuah keluarga, tajuk perbincangan seperti seks dianggap tabu atau tidak boleh disebut langsung.
Ini secara tidak langsung akan menyebabkan anak-anak kurang pengetahuan tentang apa yang dimaksudkan dengan perhubungan seks antara lelaki dan wanita.
Lebih menyedihkan apabila terdapat banyak kes pembuangan bayi disebabkan seseorang remaja hamil akibat melakukan hubungan seks sebelum berkahwin. Lebih malang, ada remaja menggugurkan kandungan atau membuang bayi yang baru dilahirkan.


BUANGKAN perasaan malu untuk berbincang mengenai seks dengan anak-anak. – Gambar hiasan


Justeru, penerapan terhadap didikan seks pada awal usia mampu memelihara anak-anak daripada cuba melakukan perkara tersebut sekali gus menghindari penyakit kelamin seperti siflis, AIDS dan hepatitis, kata Pakar Psikologi Klinikal, Leong Huey Mei dalam satu bengkel bertajuk Talking about Taboo Topics.
“Ibu bapa sebenarnya memainkan peranan paling penting dalam menyediakan pengetahuan mengenai seks dan kaedah perancangan keluarga untuk anak-anak.
“Perkara paling sukar dalam memperkatakan topik mengenai seks dengan anak-anak ialah bagaimana untuk memulakan perbincangan tersebut. Tetapi sebagai ibu yang bertanggungjawab, ia adalah satu perkara yang wajib dilakukan.
“Memang kebiasaannya, si ibu pasti berasa segan pada mulanya, namun mereka harus memberanikan diri dan membuang perasaan malu demi kebaikan serta masa depan anak-anak. Jika perlu, selitkan gurauan bersahaja untuk mengatasi rasa segan itu,” kata Huey Mei yang telah banyak mengendalikan kes-kes sedemikian.



BARISAN penceramah, (dari kanan), Leong Huey Mei, Fatimah Abu Bakar, Dr. Ho Choon Moy, Lavin Seow dan Daphne Iking.


Tambah Huey Mei lagi, jika ibu bapa memilih untuk mendiamkan diri apabila anak-anak bertanya mengenai topik berkenaan, ia boleh memudaratkan keadaan kerana maklumat yang dikumpul sendiri oleh mereka tidak semestinya tepat dan boleh dipercayai.
“Malah, pelbagai kajian telah membuktikan bahawa gadis remaja yang mendapat pendidikan seks pada awal usia daripada ibu mereka, kebarangkalian mereka menangguhkan hubungan seks di luar perkahwinan adalah lebih tinggi,” ujarnya pada majlis anjuran Bayer Schering Pharma ini.
Sementara itu, Konsultan Obstetrik dan Ginekologi dari Pusat Perubatan Pantai Cheras, Dr. Ho Choon Moy, berkata, selain memperkatakan tentang seks, ibu juga harus menekankan topik mengenai kaedah perancangan keluarga yang efektif.
“Memberi maklumat yang tepat dan benar mengenai seks dan juga kaedah perancangan keluarga yang berkesan adalah satu-satunya cara membantu anak-anak muda menghindari perilaku seks yang boleh memudaratkan diri,” jelas Choon Moy yang juga merupakan Pakar Kesihatan Wanita.


Turut berkongsi pengalaman dalam bengkel tersebut adalah ibu kepada pelakon popular, Sharifah Aleya dan Sharifah Amani, Fatimah Abu Bakar; pengacara My Australian Adventure dan My Star LG, Daphne Iking serta pemenang Miss Malaysia, Lavin Seow.
Fatimah, ibu kepada empat anak perempuan, mengakui bahawa pada awalnya dia sendiri malu untuk berbincang mengenai topik seks dengan anak-anaknya. Namun, atas rasa tanggungjawab, dia sedia menghadapinya untuk kebaikan anak-anak sendiri.
“Waktu kecil dahulu, ibu jarang memperkatakan soal ini secara terbuka kepada saya dan adik-beradik lain. Oleh itu, perasaan malu itu memang wujud. Tetapi menyedari betapa pentingnya pendidikan seks diajar kepada anak-anak, saya akur dan mula membuka minda untuk berbincang,” jelas Fatimah yang juga bekas tenaga pengajar rancangan realiti televisyen popular, Akademi Fantasia (AF).
Bagi salah seorang ibu yang menghadiri bengkel ini, Emy Hartini Abdul Hamid, 43, dia sudah mula faham bahawa pendidikan seks sebenarnya bukan satu perkara yang kotor untuk diperkatakan. Sebaliknya, ia adalah satu bentuk maklumat yang harus dibekalkan pada anak-anak demi menjamin masa depan mereka.
“Saya mempunyai seorang anak perempuan yang semakin meningkat remaja berusia 15 tahun dan dua anak lelaki berusia lima serta empat tahun. Setelah mengikuti bengkel ini, saya sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu ibu begitu besar.
“Saya harus menyiapkan diri dengan segala ilmu untuk membincangkan perkara ini dengan mereka seperti cara berkomunikasi, kaedah penceritaan dan banyak lagi. Apa yang penting adalah saya tidak mahu mereka terjerumus ke arah masalah sosial yang semakin berleluasa sekarang seperti seks bebas, hamil luar nikah, menghidap penyakit kelamin dan sebagainya,” kata Emy.
Kesimpulannya, apa yang ditekankan menerusi bengkel ini ialah ibu bapa tidak harus memandang ringan mengenai isu pendidikan seks pada awal usia kerana banyak manfaat yang diperoleh berbanding keburukan jika anak-anak mengetahuinya.


http://www.kosmo.com.my/

Marlon julang Kedah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMEDsukan@kosmo.com.my


HATRIK penyerang berbisa Kedah, Marlon Alex James berjaya meletakkan pasukannya dalam keadaan selesa selepas menewaskan Perak 3-0 pada
aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.

Meskipun kira-kira 35,000 penyokong Hijau Kuning terpaksa menunggu selama tiga puluh minit untuk meraikan detik gembira itu, namun aksi semua pemain nyata menghiburkan.
Marlon memulakan rentak cemerlang tuan rumah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-31 dan 32 untuk meletakkan Kedah di hadapan.
Penyerang prolifik itu menerima kedua-dua hantaran daripada Nelson Sam Martin sebelum bijak menyudahkannya selepas menewaskan barisan pertahanan Perak.
Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya ternyata memperoleh hasil yang cukup berharga selepas serangan bertali arus dilakukan memberi tekanan kepada lawan untuk mengatur serangan ke kubu pasukannya.
Bagi meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia, Marlon sekali lagi membuktikan penyudahnya pada minit ke-40 apabila menyudahkan sepakan percuma Nelson dengan tandukan tepat ke dalam gawang gol Perak.
Di Stadium Petaling Jaya, UPB-MyTeam turut mendapat bekalan selesa apabila menewaskan Johor FC 3-1.
Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan PDRM.
Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu turut seri tanpa jaringan menentang Perlis.
Aksi kedua suku akhir dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Wusyu tetap cari kilauan emas

FONG WEI akan beraksi dalam acara Taijiquan dan Taijijian.

WALAUPUN wusyu hanya acara pertunjukan pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing, namun Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) bertekad untuk merangkul sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada kejohanan tersebut yang akan diadakan serentak dengan temasya sukan terbesar dunia yang bermula esok.
Pengurus pasukan Malaysia ke Beijing, Chong Kim Fatt berkata walaupun pingat itu tidak dikira dalam pungutan keseluruhan pingat Olimpik, tujuh peserta negara bersedia menunjukkan keupayaan mereka dalam pertandingan itu yang melibatkan 128 peserta daripada 43 negara yang mengambil bahagian.
"Kejohanan Wusyu Beijing 2008 menawarkan 10 pingat emas untuk disiplin Toulu dan lima dalam acara Sanshou. Malaysia mensasarkan satu emas, satu perak dan satu gangsa daripada acara itu," katanya kepada Bernama semalam.
Kejohanan Wusyu Beijing 2008 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Beijing.
Wakil Malaysia ke Beijing ialah Ang Eng Chong (Changquan), Lee Yang (Taijiquan/Taijijian), Lim Yew Fai (Jianshu/Qiangshu), Pui Fook Chien (Nanquan/Nangun), Chai Fong Wei (Gunshu/Daoshu), Diana Bong Siong Lin (Nanquan/Nangun) dan Chai Fong Ying (Taijiquan/Taijijian).
Kim Fatt berkata empat daripada peserta iaitu Eng Chong, Lee Yang, Fong Wei dan Yew Fai kini berada di Fuchow, China sejak awal Julai bagi menjalani latihan selama sebulan sebelum berlepas ke Beijing Sabtu ini.
"Tiga lagi atlet, Fook Chien, Diana dan Fong Ying berlatih di Kompleks Sukan Bukit Jalil," katanya.
Menurutnya semua peserta acara itu dipilih daripada enam pemenang teratas acara Toulu dan lapan pemenang teratas acara Sanshou semasa Kejohanan Wusyu Dunia di Beijing, tahun lepas.
Dia menjangkakan peserta Malaysia akan menghadapi cabaran hebat daripada peserta tuan rumah China, Hong Kong, Macau, Jepun dan Itali. - Bernama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...