Thursday, October 14, 2010

Budak melecur selepas minum tonik tenaga

Oleh Betty Subaryati
bhkb@bharian.com.my
2010/10/14


MOHAMAD SHAHRULNIZAM ketika menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab 19 September lalu.


MOHAMAD SHAHRULNIZAM menunjukkan minuman yang dibelinya di Takbai di rumahnya di Kampung Limbungan, Kelantan, semalam.


Murid alami sindrom Steven Johnson terlepas duduki UPSR

PASIR PUTEH: Tindakan murid Tahun Enam mengambil ubat penahan sakit selepas minum tonik pemulih tenaga, nyaris mengundang maut apabila seluruh tubuhnya melecur hingga dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu selama 20 hari.

Kejadian malang menimpa murid Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh (Lelaki), Mohamad Shahrulnizam Ibrahim, itu berlaku selepas meminum sebotol tonik keluaran negara jiran yang dibeli di Pekan Takbai, ketika dalam perjalanan pulang ke kampung kelahiran ibunya, Khatijah Mahyes, 42, di Pattani, Selatan Thailand untuk meraikan Aidilfitri pada 10 September lalu.

“Ketika singgah di Takbai, Shahrulnizam membeli sebotol tonik berharga RM1 dan meminumnya sebelum mengadu sakit kepala.

“Saya menyuruhnya tidur dalam kenderaan sehingga sampai di kampung jam 5 petang, sebelum memberinya pil kerana dia masih sakit kepala.

“Namun, keesokan pagi, mukanya sembab dan membengkak menyebabkan saya dan suami kembali ke rumah kami di Pasir Puteh sebelum merujuknya ke Hospital Tengku Anis (HTA.

“Anak saya dirujuk ke HRPZII apabila keadaannya serius dan mula melecur,” katanya ketika ditemui di Kampung Limbongan, di sini.
Khatijah berkata, seluruh badan anaknya kehitaman seperti terbakar selain melecur dan dipenuhi bintik menyebabkan dia ditahan untuk rawatan lanjut di HRPZII dan dibenarkan pulang pada 3 Oktober lalu.

Beliau berkata, doktor memaklumkan Shahrulnizam mengalami alahan sindrom Steven Johnson akibat tindak balas tonik itu dengan ubat penahan sakit kepala.

“Selama ini, kami sering minum tonik itu, tetapi tidak pernah mengalami kejadian seperti Shahrulnizam. Selain di negara jiran, minuman itu ada dijual di sekitar Bachok, Kok Lanas dan Rantau Panjang,” katanya.

Shahrulnizam berkata, beliau serik meminum tonik itu menyebabkannya terlepas menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 21 hingga 23 September lalu.

“Ketika peperiksaan itu, mata dan muka saya masih bengkak. Seorang Pegawai Pelajaran Daerah Pasir Puteh melawat di hospital memberi jaminan saya boleh menduduki ujian akhir untuk ke Tingkatan Satu, hujung Disember ini,” katanya.

“Walaupun dibenarkan pulang dari HRPZII, saya masih perlu menjalani rawatan susulan daripada pakar mata, kulit dan tekak berikutan masalah yang dialami itu,” katanya.





Pemilik blog disoal siasat SKMM

2010/10/14

CYBERJAYA: Pemilik blog, “Rocky’s Bru”, Datuk Ahirudin Attan disoal siasat lebih satu jam oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung artikel yang bertajuk ‘Who gets Santa Rais’ RM1 billion handout?’ yang disiarkan menerusi blognya, baru-baru ini.

Artikel berkenaan mengaitkan anak lelaki Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mempunyai kepentingan mengenai geran berjumlah RM1 bilion di bawah kementerian berkenaan bagi projek menaik taraf akses jalur lebar di seluruh negara.


Siasatan itu dilakukan berikutan tindakan Rais yang membuat aduan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, kelmarin, terhadap tiga blog, iaitu Rocky Bru, Taikors and Taikuns dan bigdotcom yang didakwa menyiarkan artikel berkenaan.


Ahirudin adalah Penasihat Editorial Kumpulan Redberry Media yang memiliki akhbar The Malay Mail, Malaysian Reserve dan Bernama TV tiba di Ibu Pejabat SKMM, di sini kira-kira jam 11.30 pagi sebelum keluar kira-kira satu jam selepas itu.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PemilikblogdisoalsiasatSKMM/Article

Shafnie Dakwa AC Mizal Bangga Dengan Kekayaan

Rabu Oktober 13, 2010

KAJANG: Bekas isteri AC Mizal mendakwa pelakon dan pengacara tersebut berbangga dengan publisiti yang diterima berhubung kekayaannya yang tersiar di media.

Shafnie Zainudin, 35, berkata dia tidak ada mendengar atau mengetahui AC Mizal mengeluarkan kenyataan marah atau mahu mengambil tindakan undang-undang iaitu saman terhadap berita mengenai kekayaan tersebut.

“Tidak pernah, malah dia berbangga. Saya dapat tahu ada berita mengenai dia dikatakan antara artis terkaya di Malaysia tersiar baru-baru ini,” kata Shafne pada prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Selasa.

Selain itu, Shafnie juga memberitahu bahawa bekas pengacara Konsert Akademi Fantasia itu juga tidak pernah membeli pakaian bagi dua anak mereka sempena Hari Raya Aidilfitri sejak empat tahun lalu.

Tambahnya lagi, kali terakhir AC Mizal menyediakan kelengkapan itu adalah pada tahun 2005.

“Sejak itu, semua perbelanjaan termasuk persekolahan ditanggung oleh saya,” katanya.

Shafnie yang disoal semula oleh peguam syarienya, Mohd Ridhwan Husin juga memberitahu, AC Mizal tidak pernah melihat anak di sekolah, mengambil tahu keputusan peperiksaan mahupun terlibat dalam Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) sekolah.

Tambahnya lagi, mereka kini tinggal bersama keluarganya di Bangi, dekat sini memandangkan AC Mizal tidak ada menyediakan rumah sebagai tempat tinggal untuk anak.

“Terus terang, saya tidak mampu lagi untuk membayar sewa rumah sebelum ini. Oleh itu, selepas berbincang dengan ibu, saya bersetuju untuk pindah masuk dengan mereka termasuk menukar sekolah anak saya,” katanya.

Mengenai tuntutannya terhadap hiburan, Shafnie berkata, perkara tersebut yang meliputi barang permainan dan menonton wayang merupakan keperluan pada zaman sekarang, meskipun anaknya tidak pernah merungut.

“Anak sering ceritakan kepada saya apa yang ibu bapa kawan-kawan mereka buat. Apa yang anak saya mahu, sebagai seorang ibu, saya akan cuba tunaikan asalkan mengikut kemampuan dan munasabah,” tambahnya.

Shafnie juga dilihat tidak dapat menahan kesedihan apabila disoal sama ada anaknya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam makanan.

“Anak saya seperti biasa. Mereka suka makan ayam, lauk dan makanan biasa selain daripada makanan biasa. Saya bekerja, jadi apabila hujung minggu saya memasak,” katanya yang telah ditenangkan oleh Mohd Ridhwan.

Justeru itu, dia memohon permohonannya supaya nafkah dua anak mereka yang berjumlah RM300 sebulan dinaikkan menjadi RM3,770 dapat dipertimbangkan oleh mahkamah kerana ia adalah untuk anak dan tidak membawa sebarang faedah kepada dirinya.

Menurutnya, jumlah RM300 dipersetujui pada tahun 2004, iaitu tiga tahun selepas mereka bercerai.

“Pada tahun itu, saya reda berikutan AC Mizal tidak mempunyai kemampuan, malah ibu bapanya juga hadir ke mahkamah mengatakan anak mereka tidak mampu,” tambahnya.

Pada prosiding itu, AC Mizal, 39, diwakili peguam syarie Siti Aishah Din.

Perbicaraan yang didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah bersambung 11 Januari 2011.

Pasanganitu berkahwin pada 24 Jun 1995 dan dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad Shafiq Iman, 13, dan Muhammad Shabil Iman, 10, sebelum sah bercerai pada 17 Oktober 2001.

http://mstar.com.my/berita/mahkamah/cerita.asp?file=/2010/10/13/mstar_mahkamah/20101012223036&sec=mstar_mahkamah

Bayi Lelaki Baru Dilahirkan Dibuang Dalam Semak

Rabu Oktober 13, 2010

BALING: Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan dan dibungkus dengan tuala, ditemui ditinggalkan dalam semak di tepi pagar berdekatan sebuah Taman Asuhan Kanak Kanak (Taska) di Kampung Titi Teduri, Mukim Pulai di sini Selasa.

Bayi yang terdapat kesan luka di badan akibat terkena duri, ditemui pekerja dan pemilik Taska berkenaan pukul 10 pagi ini dan kemudian membuat laporan polis.

Bayi seberat tiga kilogram itu dengan tali pusatnya sudah dipotong ditemui dalam keadaan lemah dan terdapat semut di badannya.

Bayi lelaki berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui dan turut ditemui bersama bayi itu adalah urinya yang diletakkan berdekatan bayi itu.Kesan darah turut ditemui dalam kawasan pagar taska itu serta di kawasan bayi ditinggalkan.

Pemilik taska terbabit, Siti Hawa Othman, 40, berkata dua guru di taska itu terpandang tompokan darah ketika membantu pelajar memberus gigi di kawasan itu sebelum bayi berkenaan ditemui dalam jarak tiga kaki dari mereka berdiri.

Berpandukan tompokan darah di atas simen dalam kawasan Taska terbabit, dua guru terbabit membuat siasatan hingga menemui bayi yang berbungkus dengan sehelai tuala dalam semak di sebelah pagar taska itu.Siti Hawa yang mengambil dan membersihkan kotoran yang terlekat di badan bayi berkenaan kemudian membuat laporan polis.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling Amelia Shatirah Dorahim berkata bayi berkenaan dihantar ke Hospital Daerah Baling selepas pemilik Taska membuat laporan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling Supt Mohd Daut Md Hasan mengesahkan polis menerima laporan penemuan bayi itu dan siasatan sedang dijalankan untuk mengesan ibu bayi itu dan pasangannya serta individu terlibat.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani petang ini untuk rawatan lanjut berikutan jangkitan kuman.- BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/10/13/mstar_jenayah/20101012184520&sec=mstar_jenayah

1,046 Kes Muflis Kalangan Bawah Umur 25 Tahun

Rabu Oktober 13, 2010

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,046 kes muflis melibatkan kalangan mereka di bawah umur 25 tahun dicatatkan bagi tahun 2005 hingga Julai tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu Rabu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata daripada kes itu, 487 atau 46.5 peratus diisytiharkan muflis kerana gagal menjelaskan hutang sewa beli kenderaan manakala 354 orang (33.8 peratus) pula gagal menjelaskan pinjaman peribadi.

Terdapat juga kalangan mereka muflis kerana menjadi penjamin korporat dan sosial, serta gagal menjelaskan pinjaman kad kredit serta biasiswa atau pinjaman pelajaran, katanya. Liew menjawab soalan Aaron Ago Anak Dagang (BN-Kanowit) berhubung jumlah remaja yang muflis sejak lima tahun lalu dan punca utamanya, pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini.

Menurutnya bagi mengatasi masalah itu, Jabatan Insolvensi sedang mengkaji semula undang-undang muflis supaya prosedur pengisytiharan kebankrapan diperketat dan diperkemas bagi menjayakan pertumbuhan ekonomi negara.

Beliau berkata beberapa inisiatif lain turut dilaksanakan seperti mengadakan 61 program "Outreach and Awareness" di seluruh negara untuk memberi maklumat mengenai kesan buruk jika seseorang diisytiharkan muflis serta cara untuk keluar daripada belenggu itu.

"Hasilnya, terdapat penurunan 44.6 peratus kepada 139 kes kebankrapan melibatkan remaja di bawah 25 tahun pada tujuh bulan pertama tahun ini berbanding 251 kes bagi tempoh yang sama tahun lepas," katanya.

Liew memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kes muflis bagi tempoh lima tahun lepas adalah sebanyak 83,389 kes. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/13/mstar_berita/20101013135529&sec=mstar_berita

Guru Meradang Maklumat Peribadi Didedahkan

Rabu Oktober 13, 2010

KUALA LUMPUR: Beratus-ratus guru di Selangor meradang apabila maklumat peribadi dan sulit mereka didedahkan kepada umum oleh Jabatan Pelajaran.

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mewakili guru berkenaan, bimbang dengan perkembangan itu kerana ia adalah tidak beretika dan jelas sekali melanggar kod profesion perguruan.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng memberitahu Bernama beliau berharap Kementerian Pelajaran akan menghentikan tindakan itu secepat mungkin.

Beliau menjelaskan masalah itu timbul selepas Pejabat Pelajaran Negeri Selangor mengedarkan pekeliling pada 25 Mei, mengarahkan semua sekolah mengutip yuran dari guru untuk Persatuan Sukan dan Kebudayaan Perkhidmatan Pendidikan (PSKPP).

Surat ingatan kedua dikeluarkan pada 21 Julai, kata Lok.

Beliau berkata, apa yang menjengkelkan guru tersebut apabila salah sebuah daerah di Selangor, Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana telah bertindak keterlaluan apabila mengumpulkan senarai guru yang mempunyai tunggakan.

Senarai itu mengandungi nama, kad pengenalan, gaji, nombor telefon dan tunggakan bagi setiap guru, telah disebar secara meluas di semua sekolah.

"Ini jelas telah melanggar etika profesion perguruan dan kita menuntut Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung tindakan tersebut," tambah beliau lagi.

Yuran PSKPP adalah RM3 setahun bagi guru yang berpendapatan kurang dari RM1,000 sebulan dan RM5 setahun bagi guru yang berpendapatan lebih daripada RM1,000 sebulan, katanya.

Lok berkata, sepanjang pengetahuan kesatuan itu, keanggotaan PSKPP tidak diwajibkan.

"Tetapi tindakan yang dilakukan oleh jabatan pelajaran untuk mengumpulkan yuran itu menunjukkan ia adalah wajib bagi semua guru menjadi ahli," katanya.

Ini menunjukkan sekali lagi bertentangan dengan prinsip keadilan, tambahnya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/10/13/mstar_berita/20101013211535&sec=mstar_berita

Obama ada pertalian saudara dengan Bush

NEW YORK - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mempunyai hubungan persaudaran dengan George W. Bush yang merupakan bekas Presiden AS, kata seorang ahli geneaologi di laman web Ancestry.com, Anastasia Tyler semalam.

Obama merupakan anggota Parti Demokrat manakala Bush yang melancarkan perang ke atas Iraq pada 2003 pula merupakan anggota Parti Republikan.

Anastasia mendedahkan, Obama dan Bush adalah sepupu ke-11 kerana mereka berkongsi poyang, Samuel Hinckley pada kurun ke-17.

Selain Bush, Obama turut mempunyai hubungan persaudaraan dengan seorang seteru politiknya iaitu bekas Gabenor Alaska, Sarah Palin.

Palin pernah dipilih menjadi calon Naib Presiden AS pada pilihan raya Presiden 2008 bagi menjadi regu calon Presiden AS daripada parti Republikan, John McCain.

Menurut Anastasia, Obama dan Palin merupakan sepupu ke-10 menerusi moyang yang sama bernama John Smith yang merupakan seorang peneroka awal AS pada kurun ke-17 di negeri Massachusetts.

Smith adalah menantu Hinckley.

Jelasnya, penemuan itu dibuat selepas mengkaji sejarah keturunan tokoh-tokoh berkenaan termasuk persamaan dalam nama keluarga dan lokasi tempat tinggal. - AP

Peraturan kad kredit lebih ketat



DISARANKAN hanya dua kad kredit dipegang oleh pengguna untuk mengekang budaya boros.


KUALA LUMPUR - Kerajaan dijangka mengguna pakai peraturan yang lebih ketat untuk mengekang kemungkinan perbelanjaan besar oleh pemilik kad kredit serta aktiviti spekulatif dalam pasaran hartanah dalam Bajet 2011.

Menurut Kenanga Research, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka memberi tumpuan dalam menangani hutang isi rumah pada tahun depan bagi menggalakkan perbelanjaan kad kredit secara berhemah.

Menurutnya, langkah baru sewajarnya perlu ada untuk mengehadkan bilangan kad yang boleh dimiliki selain nilai kredit setiap kad yang lebih rendah.

"Bank pusat harus mengehadkan pengguna untuk memiliki hanya dua kad kredit daripada dua bank pilihan masing-masing dan membenarkan pengguna yang pendapatan tahunan melebihi RM24,000 memiliki kad kredit berbanding keperluan minimum sekarang sebanyak RM18,000.

"Bank pusat juga perlu mengurangkan had perbelanjaan sebanyak 1.5 kali gaji bulanan masing-masing (sekarang 2.5-3.0 kali), ditetapkan mengikut budi bicara bank itu bagi pemohon pertama kali," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Bajet 2011 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

7 kakitangan Imigresen ditahan ISA

KUALA LUMPUR – Seramai sembilan orang termasuk tujuh kakitangan Jabatan Imigresen ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan manusia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kesemua sembilan individu termasuk dua warga asing itu ditahan secara berasingan sejak 10 Oktober lalu sehingga kelmarin.

“Kita percaya mereka terlibat dalam kegiatan yang boleh memudaratkan negara khususnya aktiviti penyeludupan dengan membawa masuk dan keluar warga asing dari negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman semalam.

Difahamkan, dua daripada kakitangan Imigresen yang ditahan merupakan pegawai kanan jabatan itu termasuk seorang berpangkat Timbalan Penolong Pengarah.

Menurut Ismail, penahanan terhadap sembilan individu itu dibuat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci sekali gus membongkar dan mengekang aktiviti sindiket terbabit.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm

Pathmanabhan, 3 pekerja didakwa



PATHMANABHAN tiba di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting untuk mendengar pertuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lelaki lain semalam.


BANTING – Selepas genap sebulan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya, peguam N. Pathmanabhan serta tiga pekerjanya dibawa ke Mahkamah Majistret Telok Datok di sini semalam bagi menghadapi tuduhan membunuh jutawan kosmetik tersebut dan tiga rakannya pada bulan Ramadan lalu.

Tiga lagi tertuduh yang didakwa bersama N. Pathmanabhan, 41, ialah pekerja ladang milik peguam berkenaan iaitu T. Thilaiyalagan, 19, R. Matan, 20, dan R. Kathavarayan, 30.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Malaysia untuk Pathmanabhan dan bahasa Tamil untuk tiga yang lain.

Kesemua tertuduh didakwa dengan empat tuduhan yang dibacakan berasingan iaitu membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamarudin Shansudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 malam dan pukul 9.45 malam 30 Ogos lalu iaitu pada hari ke-20 Ramadan.

Mereka berhadapan dengan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Majistret Hurman Hussain menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes setelah membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff yang memerlukan tempoh dua bulan bagi mendapatkan laporan kimia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

10 murid cedera lantai sekolah runtuh


Keadaan lantai bangunan SK Gunung di Alor Setar yang runtuh semalam.


ALOR SETAR – Seramai 10 murid-murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setelah lantai di bangunan satu tingkat sekolah itu runtuh sedalam tiga meter secara tiba-tiba semalam.

Difahamkan, kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu berlaku ketika 30 murid-murid tahun empat sedang mengikuti kelas agama di bangunan tersebut.

Bangunan itu merupakan bangunan lama yang dibina dengan menggunakan kayu sebelum dibaik pulih pada tahun 2007.

Seorang Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah terbabit, yang mahu dikenali sebagai Ali Ahmad 46, memberitahu, bangunan sekolah tersebut sudah wujud sejak beliau mula bersekolah di kawasan sekitar pada tahun 1971.

“Bangunan ini memang sudah wujud lama dan asalnya diperbuat daripada kayu dan baru-baru ini saja baru dibaik pulih.

“Namun, saya sendiri terkejut mendengar runtuhan tersebut kerana ia baru sahaja dibaik pulih,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1014&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Dapat permata


Oleh Mohamad Ishak

2010/10/14

JERTIH: Kisah gadis misteri yang semakin menarik perhatian orang ramai, Siti Balqis Mohd Nor, 22, bertambah unik apabila tujuh batu permata dipercayai delima, nilam dan zamrud tiba-tiba jatuh dari siling rumahnya, semalam.

BUKTI...Norizan menunjukkan batu permata yang jatuh di rumahnya, semalam.
BUKTI...Norizan menunjukkan batu permata yang jatuh di rumahnya, semalam.
Lima daripada batu itu berwarna putih manakala dua lagi masing-masing berwarna biru dan hijau sebesar kira-kira duit syiling 20 sen.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1 tengah hari ketika Siti Balqis dan ahli keluarganya berada di ruang tamu dan mereka terdengar bunyi benda jatuh dalam biliknya.

Selepas membuat pemeriksaan, mereka menemui sebiji batu delima di atas katil.

Manakala batu kedua pula jatuh jam 2.45 petang di ruang tamu, diikuti batu ketiga pada jam 3 petang.

Kira-kira 20 minit kemudian, sebiji lagi batu delima jatuh di hadapan seorang jurukamera TV3 yang sedang minum bersama kru rancangan Misteri Nusantara di ruang tamu dan terpelanting pada kameranya.

Dua biji batu lagi jatuh kira-kira jam 6 petang di ruang tamu dengan salah satu daripadanya berwarna biru dipercayai nilam. Kira-kira sejam kemudian, sebiji batu berwarna hijau dipercayai zamrud pula jatuh di ruang tamu.

Ibu Siti Balqis, Norizan Said, 47, berkata, dia menyifatkan penemuan batu terbabit sesuatu yang luar biasa dan mungkin ada hikmahnya.
Katanya, semua batu berkenaan kini disimpan dalam bekas khas yang direndam dengan air Zam-Zam.

'Saya ingat gempa bumi'


Oleh Mohamad Hussin

2010/10/14

ALOR SETAR: “Saya ingat gempa bumi kerana gegaran begitu kuat sebelum tiba-tiba lantai simen kelas kami runtuh menyebabkan saya terjatuh,” kata Filza Nadirah Idris, 10, seorang daripada 10 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung di sini, yang cedera selepas lantai simen bilik darjah mereka runtuh secara tiba-tiba, semalam.

RAWAT... beberapa murid menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
RAWAT... beberapa murid menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.


CEDERA...Filza Nadirah   terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
CEDERA...Filza Nadirah terpaksa berkerusi roda ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah, semalam.
Turut cedera dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu ialah seorang guru wanita yang ketika itu sedang mengajar dalam kelas Empat Amanah yang keseluruhannya mempunyai 34 murid.

Sepuluh murid yang cedera membabitkan lima murid lelaki dan lima perempuan. Dua daripada murid perempuan itu patah kaki akibat dihempap batu simen dan almari manakala guru serta lapan murid lagi dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) sebelum dibenarkan pulang.

Difahamkan, ketika kejadian, semua murid terbabit sedang mengikuti subjek Pendidikan Islam dengan duduk bersila atas lantai kelas.

Tiba-tiba, lantai simen itu runtuh menyebabkan 10 murid terbabit terjatuh ke dalam runtuhan yang membentuk satu lubang besar sedalam hampir satu meter.

Filza Nadirah berkata, dia dan rakan sekelas menjerit ketakutan selain menahan kesakitan.



“Saya jatuh tertiarap di bawah runtuhan simen dan kayu menyebabkan luka di lutut. Saya menjerit dan menangis sekuat hati ketika menunggu bantuan guru mengangkat kami,” katanya yang ditemui di Unit Kecemasan HSB di sini, semalam.

Muhammad Alif Hakim Abu Bakar yang terseliuh tangan kiri berkata, dia masih trauma dan terkejut dengan kejadian itu.

“Saya bersama rakan sekelas jatuh apabila lantai simen runtuh,” katanya.

Seorang ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu yang enggan nama disiarkan berkata, bangunan itu asalnya sebuah dewan lama yang dijadikan kelas sejak lapan tahun lalu.

“Dewan ini dijadikan kelas kerana sekolah ini tidak cukup kelas untuk menampung pertambahan murid. Sejak tiga tahun lalu, kerja membaik pulih dewan ini dijalankan termasuk menyimen lantai kayu berkenaan.

“Bangunan setingkat itu dibina pada 1950-an dan mulanya menggunakan lantai papan pada ketinggian kira-kira satu meter dari tanah, tetapi sejak beberapa tahun lalu lantai simen dibina di atas papan berkenaan.

“Saya yakin lantai kayu asal dewan itu reput dan perkara itu tidak disedari kontraktor dilantik dan mereka hanya membuat lapisan simen di atas lantai sedia ada tanpa mengkaji kekuatan struktur lantai lama berkenaan,”
katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Md Noor Daud berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.25 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar dan Jalan Raja bersama 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sejurus tiba di lokasi, semua murid yang cedera sudah dibawa keluar daripada runtuhan dan dihantar ke HSB untuk rawatan.



Biar ke tali gantung


Oleh Shahrul Nizam Mohamad, Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Ibrahim Isa dan Suraya Roslan

2010/10/14
KUALA LUMPUR: “Seperti mana azab dilalui ibu saya yang dibunuh kejam, saya mahu semua penjenayah yang bertanggungjawab (melakukan pembunuhan) dibalas dengan hukuman mati di tali gantung,” kata Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, anak jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, selepas empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Banting, Selangor, semalam, atas tuduhan membunuh ibunya dan tiga individu lain.

pix_middle


Ketika dihubungi semalam, dia yang mesra dengan panggilan Rita mengaku masih bersedih dengan kehilangan ibunya dan hatinya masih berat untuk percaya dengan apa yang berlaku.


“Ada kalanya saya takut untuk membaca akhbar atau mendengar cerita bagaimana kejamnya ibu dan tiga mangsa lain diperlakukan penjenayah. Mereka tidak berperikemanusiaan dan berhati syaitan.

“Saya cuma berharap polis dapat membuktikan jenayah terancang dilakukan semua suspek bagi membolehkan hukuman berat dan setimpal dijatuhkan kepada mereka,” kata anak sulung daripada enam beradik itu.

Rita berkata, sekuat mana sekali pun hatinya cuba menahan air mata daripada menitis, hakikatnya hanya Tuhan yang tahu penderitaan dan kesedihan dialami.

“Kehilangan ibu merentap kebahagiaan kami adik-beradik yang amat manja dan menjadikan ibu sebagai tempat menumpang kasih sejak kecil.
“Sukar dijelaskan apa yang kami rasa selepas kehilangan ibu, namun apa cara sekali pun cita-cita dan impian ibu perlu diteruskan. Hanya doa tidak henti dipohon supaya roh ibu ditempatkan di kalangan hamba yang dilindungi Allah,” katanya.

Ditanya berhubung aktiviti harian selain cabaran perlu dihadapi bagi meneruskan perniagaan kosmetik Nouvelles Visages (NV), Rita memberitahu masih banyak yang perlu dipelajarinya.
“Banyak perkara yang perlu diselesaikan terutama membabitkan perjalanan dan kewangan syarikat. Bagaimanapun, saya bernasib baik kerana masih ada pekerja lama yang setia di belakang untuk membantu dan membimbing terutama berkaitan urusan perniagaan syarikat,” katanya.

Menurutnya, kesibukannya untuk menyesuaikan diri dengan situasi terbabit menyebabkan dia belum berpeluang berjumpa stokis produk NV yang terus menyokong produk diasaskan ibunya itu.

“Mengikut perancangan, saya akan berjumpa semua stokis pada Januari depan selepas semua urusan berkaitan pengurusan syarikat diselesaikan.

“Tindakan membekukan sementara aset kewangan milik ibu sedikit sebanyak turut menyukarkan kami untuk menyelesaikan beberapa masalah membabitkan pinjaman dan urusan perniagaan lain,”
kata Rita.

Selain Sosilawati, tiga lagi mangsa pembunuhan kejam itu ialah pemandu peribadinya, Kamaruddin Shansuddin, 44; perunding kewangan CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguamnya, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.

Mereka dipercayai dibunuh dan dibakar di sebuah ladang di Banting, sebelum abu mereka dibuang ke dalam Sungai Panchau, pada 30 Ogos lalu.

Sementara itu, Radin Pangat Ishak, 66, bapa mentua Noorhisham berharap apa yang dilakukan semua tertuduh ke atas menantunya bakal diadili seadil-adilnya di mahkamah dan dia yakin sistem perundangan negara ini tidak akan melepaskan orang yang bersalah begitu saja.

“Kami tunggu dan lihat apa keputusannya. Saya serahkan semuanya kepada pihak perundangan negara. Jika mereka didapati bersalah, saya berharap mereka dijatuhkan hukuman yang berat sesuai dengan kesalahan dilakukan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Radin Pangat berkata, dia dan keluarga tidak berputus asa dan tetap melakukan solat hajat dan doa selamat memohon supaya keputusan asid deoksiribonukleik (DNA) dikeluarkan bukan milik menantunya itu.

“Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Melihatkan penderitaan anak dan cucu yang kehilangan tempat bergantung, sayu hati saya. Disebabkan itu kami sekeluarga memohon supaya Noorhisham hidup. Bagaimanapun, jika sah keputusan DNA itu berpadanan dengan menantu saya, kami sekeluarga reda,” katanya.

Katanya, mereka sekeluarga terutama isteri Noorhisham, Suzana, 38, dan tiga anaknya masih berharap keajaiban berlaku selagi ujian DNA tidak disahkan sepadan dengan pegawai bank berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Biarketaligantung/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...