Thursday, November 18, 2010

Tidak sorok majlis pertunangan




IMEJ vokalis kumpulan Hujan, Noh, sebagai lelaki nakal, yang kerap bertukar kekasih nampaknya bakal berubah apabila dia sendiri mengumumkan secara rasmi telah menjadi tunangan kepada Mizz Nina yang juga seorang penyanyi pada 6 November lalu.

Majlis yang berlangsung secara tertutup di kediaman keluarga Nina di Ampang, Kuala Lumpur itu hanya dihadiri oleh ahli keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Disoal mengapa menyembunyikan majlis pertunangan mereka, Nina menjawab: “Sebenarnya kami tidak ada sebarang benda yang ingin disorokkan cuma, kami menghormati permintaan kedua ibu bapa kami yang mahukan sebuah majlis kecil, sederhana serta diadakan penuh dengan privasi.

“Sebagai anak kami mahukan mereka gembira dan menuruti permintaan mereka. Dalam majlis pertunangan itu, lebih 50 keluarga terdekat yang hadir termasuk ibu bapa serta keluarga Noh yang datang dari Miri, Sarawak.”

Nina yang ditemui pada sidang akhbar khas di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur semalam juga memberitahu, majlis pertunangan diadakan sedikit tergesa-gesa kerana kedua-dua ibu bapa mereka mempunyai jadual yang agak padat

“Selepas majlis pertunangan ibu Noh pergi mengerjakan haji dan bapa saya pula pergi ke Jepun atas urusan kerja. Sebab itulah kami mengadakan majlis pertunangan dalam keadaan kecil dan privasi,” ujar Nina yang secara terbuka meminta maaf kerana menyembunyikan pertunangan mereka.

Tidak mahu bertunang dalam tempoh yang lama, mereka menetapkan 1 Julai tahun depan sebagai tarikh pernikahan sempena dengan tarikh hari lahir Nina atau nama sebenarnya Shazrina Azman.




Majlis tersebut akan berlangsung di kediaman keluarga Nina dan secara tertutup tanpa kehadiran pihak media.

Tarikh 1 Julai 2011 dipilih sebagai tarikh pengikat kasih antara Nina dan Noh kerana tarikh tersebut dirasakan sesuai, memandangkan kini kedua-dua mereka sibuk dengan album baru.

“Kalau diikutkan, kami mahu bernikah dalam tahun ini juga tetapi jadual pula tidak mengizinkan.

“Hujan akan muncul dengan album baru hujung bulan ini, begitu juga dengan saya yang akan keluar dengan album baru tahun hadapan,” ucap Nina yang akan mengadakan dua majlis resepsi selepas majlis pernikahan itu.

Bakal bernikah dengan anak Tan Sri Azman Hashim iaitu Pengerusi Kumpulan AmBank Berhad memberi sedikit tekanan kepada Noh. Dia mengakui agak gugup saat pertama kali bersua dengan bakal bapa mertuanya itu.

“Sebelum bertunang, saya ada berjumpa bapa Nina pada hari raya kelima juga di Restoran Seri Melayu, mulanya memanglah berdebar-debar. Tetapi selepas berjumpa, dia buat saya rasa selesa, jurang yang saya sangka besar antara kami dihapuskan begitu sahaja.

“Kami mempunyai fikiran yang sama dan dia menghormati kerjaya saya sebagai seorang pemuzik, alhamdulillah keluarga Nina menerima saya seadanya,” luah Noh penuh serius.

Bibit-bibit cinta

Saat diminta mengimbas semula bagaimana perkenalan antara mereka boleh berlaku, Noh mahupun Nina hanya ketawa besar dan mengatakan mereka berdua tidak menyangka hubungan yang bermula sekitar Disember tahun lalu bakal berakhir dengan sebuah pernikahan.

Lagu Kurnia duet mereka berdua, merupakan bukti cinta mereka yang mula mekar ketika itu.

“Saya kenal Noh sejak tahun 2007 tetapi kenal macam itu sahaja dan mula rapat sekitar Disember tahun lalu ketika bekerjasama dengannya menerusi lagu Kurnia.




“Kemudian pada Januari pula, hubungan kami mula serius. Tidak sangka selepas selesai rakaman, saya boleh jatuh cinta dengannya,” tutur Nina.

Noh pula membalas: “Sebenarnya kami mula serius selepas selesai rakaman lagu Kurnia dan memang tidak sangka hubungan kami boleh pergi sejauh ini. Rakaman lagu Kurnia yang merapatkan kami berdua.”

Sambung Noh lagi, sikap Nina yang tenang dan memahami dirinya merupakan faktor utama mengapa wanita itu disunting sebagai suri hidupnya.

“Susah sebenarnya mahu mencari orang yang benar-benar faham diri dan kerjaya saya, mungkin kerana dia turut berada dalam bidang yang sama menyebabkan dia mudah memahami saya.

“Saya memang jenis bising begitu juga dengan Nina tetapi dia lebih tenang dan faham tentang perangai baran saya. Paling penting dia menghormati kedua-dua ibu bapa saya,” kata Noh.

Nina yang tersipu malu di sebelah Noh pula tertarik dengan sikap gila-gila dan rendah diri yang dibawa Noh.

“Noh menjadi dirinya tidak kira ke mana dia pergi dan sentiasa jujur dengan saya. Dia boleh jadi romantik bergantung kepada mood dia ketika itu dan boleh menjadi garang pada satu-satu waktu,” jelas Nina mengenai tunangnya itu.

Bercakap tentang lamaran, ujar Nohlagi lamaran kepada Nina terjadi dengan sendirinya tanpa perlu melakukan aksi romantik seperti di dalam filem.

“Tidak ada adegan melutut, semunya berlaku secara semula jadi kerana, sejak kami mula serius, kami ada berbincang mengenai perkahwinan. Pada majlis Anugerah Juara Lagu awal tahun ini, saya telah membawa Nina berjumpa dengan ibu bapa saya.

“Boleh dikatakan itulah masanya saya melamar dia. Menerusi perbincangan yang betul akhirnya kami memilih bulan Julai sebagai tarikh untuk bernikah,” cerita Noh lagi mengenai rentetan percintaan mereka.

Status suami isteri


GAMBAR atas, kenangan bersama keluarga pihak perempuan manakala gambar bawah, bersama keluarga pihak lelaki ketika majlis pertunangan berlangsung.


Walaupun baru memulakan persiapan perkahwinan, namun kedua-dua mereka sedar akan tanggungjawab yang bakal dipikul kelak.

Banyak mengubah diri demi melengkapi Nina, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh kini lebih matang, berbeza dengan awal kemunculannya dalam dunia seni.

Meskipun mengenali hati budi Nina dalam masa tidak sampai setahun, Noh yang kini berusia 26 tahun yakin bahawa pelantun lagu What You Waiting For merupakan wanita yang dicari-carinya selama ini.

“Walaupun perkenalan dan percintaan kami agak singkat saya percaya dia (Nina) adalah untuk saya. Saya juga percaya lepas berkahwin kami masih dalam proses mengenali diri dan hati masing-masing.

“Bagi saya apa yang penting adalah toleransi kepada pasangan, selain tahu tanggungjawab masing-masing. Kalau dia boleh berubah untuk saya, mengapa saya tidak boleh berubah untuk dia,” kata Noh yang mengakui Nina banyak terlibat dalam perubahan diri dan perangainya.

Nina yang duduk di sebelah Noh mencelah: “Sebagai wanita yang bakal bergelar isteri, saya banyak bertanya kepada ibu, kakak dan mak cik tentang tanggungjawab dan peranan isteri dalam sebuah rumah tangga.

“Sekarang ini saya masih dalam proses mempelajari masakan makanan kegemaran Noh iaitu Laksa Sarawak.”

Mengenai kerjaya pula Noh tidak melihat perkahwinan akan menjatuhkan populariti kumpulan Hujan.

Dia juga tidak pernah menghalang bakal isterinya itu untuk terus terlibat dalam dunia hiburan tetapi dengan syarat, Nina tidak boleh lagi berpakaian seksi.

“Saya sentiasa sokong apa sahaja yang dilakukan Nina termasuk teruskan kerjaya nyanyian. Adanya saya adalah untuk menjadikan dia seorang yang lebih baik begitu juga sebaliknya.

“Ramai yang tanya kenapa muda sangat nak kahwin sedangkan Hujan tengah popular, jawapan saya senang sahaja, ada juga orang kata rezeki lepas kahwin lebih banyak, jadi kita kena fikir positif,” tutur Noh.

Nina yang kini berusia 30 tahun menjelaskan, dia tidak akan membiarkan kerjayanya mengawal kehidupan peribadinya,

“Saya tetap akan terus keluarkan album, tentang kahwin kita kena ikut hati,” ucapnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm

Wanita Diingatkan Waspada Dengan Minuman Dicampur Dadah

Khamis November 18, 2010

KUALA LUMPUR: Kaum wanita dinasihatkan berhati-hati dengan pelawaan makan dan minum individu yang baru dikenali kerana dibimbangi bahan tersebut telah dicampur dengan dadah perangsang seks.

Yang Di-Pertua Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Datuk Mohd Yunus Pathi mendakwa, sesetengah wanita terpedaya sehingga menjadi mangsa rogol.

Katanya, pihaknya mengetahui modus operandi tersebut selepas menjalankan proses temuduga dengan beberapa mangsa yang ditempatkan di Pengasih.

"Kebanyakan mangsa terpedaya dengan rakan-rakan mereka sendiri walaupun mereka tidak mempunyai keinginan untuk melakukan hubungan seks.

"Kenalilah pasangan anda, berhati-hatilah dengan orang asing supaya tidak terjebak dalam penipuan ini. Mereka yang berniat jahat sentiasa tunggu saat dan ketikanya untuk memperdaya mangsa. Tip saya ialah berhati-hati," katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Aidiladha di sini, Rabu.

Kira-kira 150 warga dan kakitangan Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyertai ibadah korban itu.

Sebanyak lima ekor lembu dan empat ekor kambing sumbangan individu dan ahli-ahli keluarga kakitangan Pengasih dikorbankan kali ini.

Mohd Yunus mengingatkan golongan wanita supaya lebih berhati-hati pelawaan daripada mereka yang tidak atau kurang dikenali.

"Pegang dan goncang botol minuman tersebut untuk memastikan sama ada ia bocor atau tidak. Kalau bocor, bermakna sudah ada usaha untuk menyuntik bahan minuman itu dengan dadah atau bahan perangsang seks," jelasnya.

Sementara itu, penyanyi terkenal, Jamal Abdillah yang turut hadir dalam majlis itu menyumbangkan seekor kambing sebagai korban.

Katanya, ini adalah kali keempat dia melakukan korban sempena Aidiladha.

Jamal menyifatkan ibadah korban yang ditunaikannya sebagai pengorbanan untuk mencapai satu kehidupan yang lebih bermakna.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/18/mstar_berita/20101117225301&sec=mstar_berita

Ibu tiri kejam, sepak budak 4 tahun hingga patah tangan kanan


LANGKAP –"Ibu jahat, selalu pukul adik, kalau ibu baik kenapa ibu sanggup sepak tangan adik sampai patah tapi adik sayang ayah sebab ayah tak pernah pukul adik,” kata kanak-kanak dipercayai mangsa penderaan ibu tiri, Nik Khalisa Mohd Zaid, 4.

Nik Khalisa yang ditemani bapanya, Mohd Zaid Mat Hussin, 31, berkata demikian sewaktu ditemui Sinar Harian di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, semalam.

Sebelum itu, Mohd Zaid yang bekerja sebagai penjaga kebun getah di Lubuk Bakong, Chalok dan menetap di Bukit Kecil, di sini, mendakwa menemui anak perempuannya dalam keadaan lesu sebaik dia pulang dari kerja kira-kira jam 1 tengah hari, kelmarin.

Menurutnya, selepas membuat pemeriksaan, dia mendapati anaknya cedera di muka dan lebam di badan lalu membawanya berjumpa seorang bomoh di kampung itu bagi memastikan kecederaan dialami tidak serius.

Bomoh terbabit mengesahkan anaknya patah tangan kanan dan Mohd Zaid mengambil keputusan membawa anaknya ke Hospital Setiu sebelum dipindahkan ke wad kanak-kanak di HSNZ.

“Saya percaya dia (Nik Khalisa) disepak ibu tirinya dan perkara ini bukan baru kerana anak saya sering mengadu diperlakukan sedemikian rupa ketika saya tiada di rumah sejak setahun lalu.

“Sebelum ini, saya tidak memandang serong tindakan isteri sebab kanak-kanak di peringkat umur itu biasanya sukar dikawal tetapi perbuatan isteri saya kali ini sudah melampau,” katanya.

Nik Khalisa merupakan anak ketiga hasil perkahwinan Mohd Zaid dengan Tuan Kamsah Ismail, 48, sebelum pasangan ini bercerai tiga tahun lalu.

Mohd Zaid berkata, tiga anak iaitu hasil perkahwinan terdahulu di bawah jagaannya sebelum dia berkahwin semula pada Julai 2008 dengan Noridah Udin, 29, dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohd Zaidan, 1, dan menetap di Bukit Kecil, di sini.

Menurutnya, dia amat kesal dengan kejadian itu kerana layanannya terhadap isteri dan anak-anak selama ini sama sahaja, malah sentiasa mengutamakan keperluan keluarga selain tidak pernah bersikap kasar dengan anak-anak.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Shaik Othman Abdul Hamid ketika dihubungi :Sinar Harian: mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.

http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8410670.asp

Sering mengadu sakit kepala


MATANG – Seorang warga emas, di sini terkejut apabila terdapat serpihan kaca dalam kepalanya selepas terlibat dalam satu kemalangan pada September tahun lalu.

Chow Siew Eng, 68, berkata, kemalangan itu berlaku pada 26 September 2009 di kawasan Jalan Kamunting.

Menurutnya, akibat kemalangan itu kepalanya luka dan dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

"Namun selepas menerima rawatan, saya terpaksa tinggal di wad dan pada hari kedua, saya dibenarkan pulang memandangkan kecederaannya tidak parah.

“Beberapa bulan kemudian, saya sering mengalami pening kepala dan akhirnya berjumpa dengan doktor bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian.

Siew Eng berkata, walau bagaimanapun doktor tidak dapat mengesan apa-apa dan hanya memberi ubat untuk disapu di bahagian luar.

“Minggu lepas, saya ke rumah anak di Kuala Lumpur dan memberitahu mengenai kepala saya yang kerap pening. Anak saya memeriksa kesan luka di kepala dan ternampak serpihan kaca.

“Anak membawa saya ke Hospital Taiping dan pada 10 November lalu, kaca itu dikeluarkan,” katanya.

Katanya, selepas kemalangan itu, saya juga pernah melakukan pemeriksaan tetapi tidak dapat mengesan apa-apa.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon yang melawat Siew Eng di rumahnya akan menyemak semula aduan diterimanya.

“Semakan semula laporan perubatan Siew Eng dengan pihak hospital juga akan dilakukan supaya semuanya jelas,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/perak/content/story8408366.asp

Rugi RM13,898 kena tipu


SEREMBAN – Seorang lelaki rugi hampir RM13,898 akibat ditipu seorang lelaki Cina yang menyamar sebagai ‘pegawai’ dari Bank Negara Malaysia, di sini, pada 13 November lalu.

Mangsa, Chee Tung Nyen, 53, mendakwa menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali dan memintanya menjelaskan hutang kad kredit sebanyak RM8,0000 yang digunakannya sejak Julai lalu.

Namun menurutnya, dia tidak pernah mempunyai hutang sebanyak itu kerana setiap bulan sentiasa menjelaskan bayaran kad kreditnya.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, saya dimaklumkan seorang lelaki daripada sebuah syarikat kad kredit yang mengatakan bahawa kad pengenalan saya telah digunakan individu lain bagi membuat permohonan kad kredit.

“Disebabkan itu, saya berada keadaan tertekan. Lelaki terbabit meminta saya membuat laporan kepada Bank Negara Malaysia, kononnya dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi,” katanya.

:Tung Nyen berkata, lelaki terbabit memberitahu, Bank Negara Malaysia dapat membekukan semua aset keluar masuk wangnya dalam semua akaun, termasuklah kad kredit yang digunakan individu tidak bertanggungjawab itu.

“Saya kemudiannya diarahkan untuk memberi semua dokumen berkaitan beberapa akaun simpanan, termasuklah nombor akaun kad kredit kepada lelaki berkenaan bagi tujuan siasatan.

“Setengah jam kemudian, saya menerima panggil telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya pegawai dari Bank Negara Malaysia yang akan mengendalikan kes berkenaan,” katanya.

:Menurutnya, bagi mempercepatkan masalah yang dihadapinya selesai dengan segera, lelaki yang hanya dikenali sebagai ‘Sam’ itu memintanya membuat beberapa transaksi wang dalam akaunnya ke satu akaun lain bagi tujuan keselamatan.

“Semua transaksi yang dilakukan adalah dibawa tanggungjawab pihak Bank Negara Malaysia dan sebarang kerugian akan ditanggung oleh pihak berkenaan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus membuat pindaan wang sebanyak RM9,998 ke dalam akaun seorang wanita seperti yang diarahkan,” katanya.

Tung Nyen berkata, tidak cukup dengan jumlah itu, Sam memintanya sekali lagi membuat transaksi wang sebanyak RM3,900 melalui akaun pendua yang lain ke dalam akaun wanita yang kononnya milik Ketua Bank Negara Malaysia.

“Selepas membuat semua transaksi seperti diminta, saya menceritakan perkara ini kepada anak yang menetap di Melaka dan melaluinya, saya menyedari diri tertipu.

:“Saya kemudiannya membuat laporan polis di Balai Batu Berendam Melaka dan kes ini akan dipindahkan ke Seremban hujung minggu ini,” katanya.

:Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambau, Wong May May ketika ditemui berkata, beliau yakin kegiatan itu dilakukan individu yang pakar dalam bahagian urusan bank.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story8411869.asp

Malang si penyamun


BANDAR BARU BANGI – Taktik licik geng pecah rumah rakyat asing dipercayai warga Columbia yang membaling batu pada tingkap dan pintu rumah sebuah rumah bagi memastikan rumah tidak berpenghuni sebelum bertindak memecah masuk gagal apabila perbuatan mereka disedari penduduk.

Dalam satu kejadian di Seksyen 8, Fasa 2 Bandar Baru Bangi, geng terdiri dari tiga lelaki dan seorang wanita yang cuba melarikan diri dengan memecut menaiki kereta selepas disergah penduduk gagal selepas kenderaan mereka merempuh sebuah kenderaan lain sebelum terbabas.

Kalut dengan situasi tersebut, cubaan meloloskan diri dengan bertindak lari meninggalkan kenderaan juga gagal apabila dua daripada mereka berjaya diberkas penduduk selepas hampir satu kilometer kumpulan terbabit.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 8, Fasa 2 Bandar Baru Bangi, Sharom Abu Hasan, 54, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 3.45 petang apabila penghuni rumah keluar membeli barangan keperluan harian di pasar raya berhampiran manakala anak perempuannya tinggal di rumah.

Menurutnya, kumpulan empat penjenayah berkenaan yang berusia lingkungan 25 hingga 35 tahun pada mulanya bertindak membaling batu di pintu dan tingkap rumah bagi memastikan rumah berkenaan berpenghuni atau sebaliknya.

“Setelah menyedari tiada maklum balas dari penghuni rumah, dua lelaki bertindak memecahkan kunci pagar dan rumah manakala dua rakannya terdiri dari seorang perempuan dan lelaki menunggu dalam kereta di hadapan rumah.

“Bagaimanapun penjenayah berkenaan tidak menyedari bahawa anak perempuan penghuni rumah berada di dalam dan bertindak menghubungi ibunya dan jiran setempat mendapatkan bantuan dengan keluar melalui pintu belakang,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/selangor/content/story8408939.asp

Sifat keji pemuda terbalas


KOTA BHARU - Sifat keji seorang pemuda yang merogol anak saudara tirinya sendiri terbalas apabila dia dikenakan hukuman penjara 18 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Dalam kejadian yang berlaku 3 Jun lalu, tertuduh tanpa perikemanusiaan sanggup merogol mangsa yang baru berumur 10 tahun dan lebih memilukan dia mengidap sakit jantung.

Hakim Dazuki Ali mengarahkan tertuduh yang bekerja sendiri menjalani hukuman tersebut daripada tarikh dia ditangkap pada 5 Jun lalu iaitu dua hari selepas kejadian berkenaan berlaku.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian ibu mangsa tidak ada di rumah dan dia sedang bermain dengan adik perempuannya yang masih kecil di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Tok Batek, Jalan Pantai Cahaya Bulan pada 3 Jun 2010, lebih kurang pukul 2 petang.

Dalam pada itu, tertuduh yang berpakaian kemeja T dan berseluar putih dalam rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman ke atasnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari memohon mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh yang sepatutnya melindungi seorang kanak-kanak yang baru berusia 10 tahun, sembilan bulan ketika itu.

Bagaimanapun menurutnya, tertuduh telah bertindak tidak berperikemanusiaan apabila mengambil kesempatan merogol seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain di dalam sebuah bilik di rumahnya.

”Apa yang lebih malang lagi, mangsa merupakan penghidap sakit jantung sejak kecil dan telah mengenali tertuduh dalam tempoh yang lama menyebabkan dia berasa takut dan trauma,” katanya.

Pemuda itu didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak lebih 30 tahun dan sebat tidak kurang 10 sebatan.

http://www.sinarharian.com.my/kelantan/content/story8411849.asp

Jauhi rasuah, fitnah dan zalim sesama manusia

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 17 Nov: Umat Islam diajak memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha di dalam setiap kehidupan terlebih dahulu selaku individu muslim.

“Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri,” kata Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Muhamad Razak Idris.

Katanya, umat Islam juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

“Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan.

“Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia,” ujarnya dalam perutusan Aidiladha 1431 Hijrah yang disambut hari ini.

Tambahnya, kesemuanya itu akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T

Berikut adalah perutusan penuh beliau.

Tahmid kesyukuran ini melambangkan kerendahan hati manusia di dalam mengabdikan diri setulus-tulusnya terhadap Allah s.w.t. Sesungguhnya, Aidil Adha mempunyai pengajaran yang amat besar kepada kehidupan kita sebagai seseorang Muslim dan umat Islam. Dalam hubungan ini, antara pengajaran terbesar sekali ialah tentunya tentang semangat pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail di dalam menyempurnakan perintah Allah. Pengorbanan baginda mereka di dalam menjunjung perintah Allah adalah lambang kepatuhan tertinggi seorang hamba kepada Penciptanya.

Penghayatan serta kefahaman terhadap pengorbanan yang dilakukan baginda seharusnya diinsafi serta dihayati oleh seluruh umat Islam, terutama di kalangan para belia. Selaku kelompok teras masyarakat, para belia mempunyai kekuatan untuk memainkan peranan sebagai agen perubah yang positif terhadap persekitaran mereka. Peranan ini boleh dijayakan menerusi proses penghayatan semangat Aidiladha dalam konteks pengukuhan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada seluruh ajaran Islam di dalam amalan dan penghayatan diri.

Kita yakin, sekiranya penghayatan semangat pengorbanan dan ketaatan yang tinggi ini dapat dijelmakan, sebagai agen perubahan, para belia akan mendorong kewujudan sebuah persekitaran hidup yang bercorak Islami sejajar dengan tuntutan syariah. Persekitaran yang Islami adalah prasyarat asas yang akan membawa kepada sebuah kehidupan yang yang diberkati dan seterusnya membawa kepada kelahiran umat terbaik - khayra ummah.

Bagi tujuan tersebut, marilah kita memulakan proses penghayatan semangat Aidiladha ini di dalam setiap kehidupan diri kita terlebih dahulu selaku individu Muslim. Marilah kita tingkatkan penghayatan diri kita terhadap kefahaman ajaran Islam dan membudayakan seluruh perintah dan larangan agama di dalam kehidupan diri. Kita juga hendaklah meningkatkan kegiatan kerohanian dan mengukuhkan nilai-nilai luhur dan kualiti dalam kehidupan seharian dan kerjaya.

Hal ini tentu sekali menuntut kita menghayati perintah beramanah dan berintegriti di dalam setiap pekerjaan. Kita hendaklah menjauhi perbuatan rasuah, menjauhi fitnah dan zalim terhadap sesama manusia. Kesemua ini akan dapat disempurnakan menerusi kekuatan kerohanian yang berteraskan kepada keyakinan serta kepatuhan sepenuhnya terhadap Allah S.W.T, yang disegarkan melalui amalan-amalan kerohanian seperti solat sunat, membaca Al-Qur’an serta zikir.

Semoga Allah swt merahmati segala urusan kehidupan kita semua dan memberi kekuatan untuk kita terus gigih dan komited di medan dakwah. Dan khusus untuk para jemaah haji di Mekah, bagi pihak Abim, kami mendoakan semoga semua memperoleh haji dan mabrur dan sentiasa berada di dalam kesihatan yang terbaik untuk menyempurnakan ibadah terpenting Islam ini. Wassalam.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29494:jauhi-rasuah-fitnah-dan-zalim-sesama-manusia&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

NGO Kelantan bantu mangsa banjir di Perlis

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 16 Nov: Kesusahan mangsa banjir di Kedah dan Perlis baru-baru ini turut mendapat simpati Pertubuhan Ikram Malaysia Cawangan Kelantan (Ikram) apabila tampil menghulurkan bantuan.

NGO itu berjaya mengutip barangan dan peralatan yang diperlukan mangsa-mangsa banjir bernilai RM7,000 yang dikumpul dalam masa dua minggu.

Ketua Misi Bantuan Bencana Ikram, Hamdan Ariffin, 42 berkata, seramai 26 sukarelawan Ikram bertolak ke Arau, Perlis 11 November lalu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

”Sepanjang berada di sana kami dibantu Ikram Perlis dalam menjalankan misi Cakna Rakyat. Kami menjalankan gotong royong membersihkan rumah-rumah penduduk yang ditenggelami bah,” katanya di sini.

Bantuan yang dibawa Ikram termasuk pelbagai jenis pakaian, lampin pakai buang, makanan serta peralatan pembersihan rumah.

Ikram pertama kali terbabit bagi membantu mangsa-mangsa banjir semenjak pertubuhan itu didaftar Julai lalu.

Hamdan berkata, Ikram amat memahami perasaan mangsa banjir di Perlis dan Kedah kerana situasi serupa pernah dialami rakyat di Kelantan.

Oleh itu beliau berharap mana-mana pihak tampil memberi bantuan kepada mangsa-mangsa di kedua-dua negeri tersebut.

Beliau juga melahirkan rasa kesal di atas kenyataan pemimpin tertentu yang memperlihatkan seolah-olah kerajaan Kedah tidak membantu mangsa banjir.

“Media seharusnya memainkan peranan yang adil dalam menyebarkan maklumat dan bukan dipolitik. Banjir tidak hanya terkena kepada penyokong parti politik tertentu sahaja,” katanya.

Hamdan turut mengucap terima kasih di atas sokongan beberapa badan korporat dan ahli perniagaan yang memberi bantuan barangan untuk membantu mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyalurkan bantuan. Mereka boleh menghubunginya talian 019-5729092.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29493:ngo-kelantan-bantu-mangsa-banjir-di-perlis&catid=1:utama&Itemid=50

Yayasan Selangor: MB minta Noh beri penjelasan

Harakahdaily

SHAH ALAM 16 Nov: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim mahu Datuk Seri Noh Omar membuat penjelasan berhubung kenyataannya semalam yang mendakwa majlis makan tengahari sempena ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor adalah RM800,000.

Sambil menafikan dakwaan Timbalan Pengerusi Umno Selangor itu, Khalid berkata, jumlah yang dilaporkan kepadanya hanya RM 300,000 dan bukan RM800,000 seperti yang didakwa.

"Angka yang diberikan kepada saya hanya RM300,000.

"Biar beliau (Noh Omar) tampil dan menjelaskan (angka RM800,000)," kata Khalid kepada pemberita di bangunan Dewan Undangan Negeri Selangor semalam.

Beliau mengulas dakwaan Noh kelmarin bahawa kos sebenar adalah melebihi RM300,000 dan menjangkau RM800,000.

Majlis itu sepatutnya diadakan semalam namun dibatalkan selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memutuskan untuk tidak hadir kerana dukacita setelah dimaklumkan perbelanjaan melebihi RM300,000.

Kelmarin, Khalid dalam satu kenyataanya juga menjelaskan siasatan awal berhubung keputusan kontroversi untuk membelanjakan RM300,000 bagi majlis sambutan ulang tahun ke-40 Yayasan Selangor telah dimmulakan.

Sementara itu, menunjukkan penglibatan pejabat Timbalan Pengurus Besar yayasan itu, Mohd Sharifuldin Sulaiman diarah cuti bergaji selama sebulan berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan selesai.

"Kerajaan menghargai setiap maklumat salah laku bagi memastikan pentadbiran negeri dan anak syarikat diuruskan dengan telus dan bertanggungjawab.

"Kita juga tidak akan teragak-agak untuk membuat keputusan berani termasuk membawa mana-mana individu yang terbukti melakukan salah guna kuasa ke muka pengadilan," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29484:yayasan-selangor-mb-minta-noh-beri-penjelasan&catid=1:utama&Itemid=50

PM: Pandangan Anwar 'suara sumbang minoriti'

Nov 17, 10 3:44pm

Datuk Seri Najib Razak berkata pandangan Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Malaysia adalah satu suara sumbang yang tidak mencerminkan pendapat pemimpin-pemimpin dunia.

Perdana Menteri berkata pandangan ketua pembangkang itu merupakan "satu suara sahaja tetapi suara yang minoriti".

"Pemimpin-pemimpin dunia mengiktiraf kejayaan kita... bererti bahawa dia (Anwar) merupakan suara sumbang sebenarnya.

"Dan (pandangan Anwar) tidak mencerminkan pendapat arus perdana dunia terhadap Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sidang video bersama masyarakat dan penuntut Malaysia di enam buah negara, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana di Putrajaya hari ini. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Najib diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar, yang mendakwa pengiktirafan yang diberi oleh negara asing terhadap kemajuan Malaysia sehingga dianggap sebagai sebuah negara Islam moden adalah satu penghinaan.

Kata-kata keji itu dikeluarkan Anwar semata-mata untuk menjayakan usaha terbarunya memujuk Perdana Menteri Australia Julia Gillard supaya memberi tekanan kepada kerajaan BN atas alasan mengamal rasuah dan menipu pada pilihan raya.

Anwar berkata demikian semasa ditemu bual oleh Sky News Australia dua hari lalu, dalam usahanya mencari sokongan antarabangsa selepas cubaan terdahulu untuk meraih sokongan Amerika Syarikat berhubung pertuduhan liwat yang sedang dihadapinya gagal.

Tak perlu raikan 13 Mei

Mengenai cadangan sesetengah pihak berhubung kolum Cuit Utusan Malaysia baru-baru ini, yangmencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan, Najib berkata tidak perlu untuk menjadikan peristiwa itu sebagai hari yang perlu diperingati.

"Tidak perlu sebab 13 Mei ini kita jadikan satu peristiwa dalam lipatan sejarah sebagai iktibar, sebagai sempadan untuk kita supaya ia tidak berulang," katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini, mencadangkan supaya 13 Mei dijadikan satu hari peringatan sebagaimana Singapura memperingati peristiwa berdarah rusuhan kaum pada 21 Julai 1964 sebagai Hari Keharmonian Kaum.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan sedia menimbangkan cadangan untuk menjadikan peristiwa hitam 13 Mei sebagai hari yang diperingati.

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata kerajaan belum lagi menerima cadangan atau memikirkan soal itu.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/148453

Dr Khir bayar tunggakan cukai banglonya

Joseph Sipalan
Nov 17, 10
4:48pm

Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, semalam telah membayar sekitar RM11,000 kepada Majlis Perbandaran Shah Alam (MPSA), setelah diberikan notis untuk menyelesaikan cukai taksiran banglo mewahnya yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit di Shah Alam.

Seorang pembantu kepada Datuk Bandar Shah Alam, Mazalan Mohd Noor menafikan berita kononnya kediaman kontroversi milik Khir itu telah disita oleh MPSA berikutan kegagalannya menjelaskan cukai taksirannya.

“Rumahnya tidak disita; beliau cuma diberikan notis untuk menyelesaikan bayaran tertunggak selama enam penggal (dua penggal setahun) cukai taksiran rumahnya semalam. Beliau diberi seminggu untuk berbuat demikian tetapi saya percaya beliau telah menjelaskan bayaran tertunggak itu,” kata pembantu itu ketika dihubungi.

Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan laporan banglo milik Dr Khir di Sekysen 7 Shah Alam menjadi tumpuan MBSA menyerahkan notis sita rumah selepas bekas Menteri Besar itu dikatakan tidak menjelaskan penilaian bagi rumahnya sejak tiga tahun lalu.

Akhbar milik Umno itu juga memetik Dr Khir sebagai berkata, beliau tidak menerima sebarang notis daripada MBSA sejak kebelakangan ini, malah ketika notis sita rumah itu diserahkan, beliau tiada di rumah ketika itu.

"Saya sudah menyelesaikan bayaran ini. Ia hanya kes terlepas pandang dan saya harap ia tidak dijadikan isu," katanya kepadaBerita Harian.

Laporan itu kemudian diperbesarkan oleh akhbar Cina yang mendakwa kediaman Dr Khir telah disita selepas beliau gagal menjelaskan bayaran cukai taksirannya itu.

Banglo itu menjadi isu selepas didedahkan kos pembinaannya termasuk pengambilan dua bidang tanah masing-masing berkeluasan 0.2 hektar dan 0.1 hektar bernilai kira-kira RM24 juta.

Bekas menteri besar itu bagaimanapun telah menafikan jumlah itu dan sebaliknya menjelaskan ia menelan perbelanjaan RM3.5 juta.

Ibu bapa guna mahkamah syariah 'rampas' anak

Susan Loone
Nov 16, 10
7:02pm

Trend 'merampas' kanak-kanak bagi membolehkan seseorang yang menukar agama mereka kepada Islam mendapatkan anak mereka semula setelah bercerai dengan pasangan bukan Islam dengan bantuan beberapa agensi didakwa semakin membimbangkan.

Naib Ketua Pemuda PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung yang membuat dakwaan itu berkata lebih menakutkan apabila kanak-kanak itu pula kemudiannya diislamkan sehingga menimbulkan kekalutan berhubung tafsiran undang-undang.

NONE"Ibu atau bapa yang beragama Islam itu boleh berbuat demikian kerana berjaya mendapatkan perintah Mahkamah Syariah yang mencabuli hak perlembagaan dan hak awam ibu atau bapa yang bukan beragama Islam berhubung anak mereka,” kata Gooi.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan masalah perlembagaan kerana hak ibu atau bapa bukan Islam seringkali 'diketepikan' oleh Mahkamah Syariah.

'Kekalutan' itu, tambahnya, akan memaksa ibu atau bapa bukan Islam merujuk ke Mahkamah Syariah sedangkan kuasanya sepatutnya hanya terhad kepada mereka yang beragama Islam.

Menurut Gooi, kejadian merampas kanak-kanak seringkali dibantu oleh institusi lain seperti polis dan majlis agama negeri.

"Apa yang kami cuba perkatakan ialah, jika sesuatu perkahwinan itu dimeterai mengikut undang-undang sivil, sebarang pertelingkahan rumah tangga, termasuk hak penjagaan kanak-kanak sepatutnya diputuskan oleh mahkamah sivil,” katanya.

"Mahkamah Syariah tidak sepatutnya campur tangan dan mencerobohi bidang kuasa mahkamah sivil.

"Ini adalah trend yang membimbangkan kerana ada perkembangan di mana Mahkamah syariah terus mencabar bidang kuasa mahkamah sivil,” katanya.

Gooi, yang seorang peguam merujuk kepada kes di mana seorang mualaf Fatimah Fong, 28, baru-baru ini 'melarikan' anaknya yang berusia tujuh tahun dari sekolah.

Anak itu , Tan Yi Min, telah menetap dengan bapanya, Tan Cheow Hong, 36, sejak 2007, apabila pasangan itu bercerai.

Sepanjang tempoh berkenaan, ibunya didakwa jarang melawat anaknya dan Yi Min telah dipelihara oleh ayahnya, ibu dan kakak Tan yang menetap di Buuerworth manakala Fatimah pula tinggal di Kuala Lumpur.

Gooi berkata guru dan pengetua sekolah Yi Min cuba menghalang kanak-kanak itu daripada 'dilarikan' tetapi gagal kerana ibunya mempunyai perintah daripada Mahkamah syariah.

"Ibu kanak-kanak itu datang dengan membawa perintah Mahkamah Syariah Shah Alam dan diiringi serta dibantu oleh perwakilan daripada majlis agama dan polis,” katanya.

"Bapanya tidak pernah dimaklumkan oleh prosiding Mahkamah Syariah dan tidak ada sebab bagi isterinya bertindak sedemikian dengan penuh kerahsiaan dan tergesa-gesa dalam mengambil kanak-kanak itu,” katanya.


[Baca berita penuh]

Karim: Sabah miskin sebab pemimpinnya kaya

Nov 16, 10 4:21pm

Bekas pengasas Umno Sabah, Datuk Karim Ghani mengakui kesahihan laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) oleh Bank Dunia, bahawa Sabah dikategori sebagai negeri paling miskin di Malaysia, lapor TV Selangor.

Laporan berkenaan menyebut Sabah yang mewakili 10 peratus penduduk Malaysia mempunyai 40 peratus daripada rakyatnya dikategorikan sebagai miskin.

Sehubungan itu, Karim juga yang menyanggah kenyataan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sabah yang menafikan laporan MEM berkenaan.

Pemimpin yang pernah sama-sama berjuang bersama tokoh kemerdekaan Sabah, Tun Datu Mustapha Datu Harun itu berkata masalah wujud disebabkan perjanjian ketika pembentukkan Malaysia tidak ditunaikan.

"Sabah negeri kaya, yang miskin rakyatnya dan yang kaya juga pemimpinnya. Laporan Bank Dunia itu yang betul," katannya yang berhasrat menghidupkan semula Usno.

Berhubung tindakan EPU menyanggah laporan tersebut, Karim berkata ini kerana kerajaan BN sengaja tidak mahu mengakui rakyat Sabah miskin.

"Kenyataan yang asyik diulang-ulang oleh pemimpin Sabah, hujung tahun ini semua rakyat sudah keluar daripada kemiskinan.

"Sabah kaya...kita ada minyak, ada kayu balak, ada kelapa sawit tapi rakyatnya miskin disebabkan pentadbiran yang tidak betul.

"Yang dimajukan cuma bandar dengan bangunan yang mencakar langit tetapi di luar bandar, orang masih lagi merempat.

"Seperti di Batu Sapi, kalau kita tengok tempat orang Islam di sana, air mata saya pun menitis kerana merempat sedangkan Batu Sapi itu tempat Ketua Menteri, banyak dengan kayu balak dan kelapa sawit," katanya.

Dakwa Karim lagi, Umno-BN sengaja membiarkan rakyat Sabah di dalam keadaan daif supaya undi mereka senang dibeli setiap kali pilihan raya diadakan.

"Ini adalah soal kepimpinan, kalau pemimpin mentadbir dengan baik, apa parti pun baik tetapi sejak tahun 1985 keadaan rakyat Sabah bertambah buruk. Rata-rata pekerja di Sabah, berpendapatan kurang daripada RM 500 kecuali pegawai kerajaan dan para pimpinan atasan," katanya.

Beliau juga membidas projek mega seperti membina terminal lapangan terbang yang berharga RM 1.2 bilion yang dakwanya tidak memberikan manfaat kepada rakyat Sabah terutamanya yang tinggal di kampung-kampung yang langsung tidak pernah menjejak kaki ke terminal tersebut.

"Projek mega memang nampak indah tapi projek di kampung, apa yang ada.

"Buat jalan raya tapi tidak mendatangkan hasil kepada rakyat jadi macam mana hendak menambah pendapatan rakyat supaya dapat keluar daripada kemiskinan," katanya lagi.

MB: Larangan liputan DUN Kedah boleh ditarik balik

Nov 16, 10 7:01pm

Larangan terhadap kebanyakan media arus perdana untuk membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan perbahasan bajet 2011 Kedah adalah tidak mutlak dan ia boleh ditarik balik pada bila-bila masa, kata Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak.

Beliau berkata, tujuan utama larangan itu kerana ada berita yang dilaporkan beberapa organisasi media tidak benar dan mengelirukan rakyat.

"Tapi buat masa sekarang ni, jangan mai dekat lagi la sebab masih panas lagi," katanya semasa sesi penggulungan sidang dewan dan perbahasan bajet 2011 hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini pun organisasi media berkenaan masih menimbulkan berita yang tidak benar mengenai situasi sebenar sepanjang tempoh bencana banjir yang lalu.

Pada persidangan DUN kali ini, kerajaan negeri hanya membenarkan wartawan dari Bernama serta akhbar The Star, Sinar Harian, Harakah, Sin Chew Daily, China Press, Kwong Hwa Jit Poh, Guan Ming Daily, Oriental Daily, Nan Yang Siang Pau, Makkal Osai dan Malaysian Nanban membuat liputan.

Surat memaklumkan senarai media yang dibenarkan itu, yang ditandatangani oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar Muhamad Helmi Mohamed Khalid, dihantar kepada semua organisasi media di negara ini Khamis lepas berikutan apa yang didakwa sebagai "ekoran dari putar belit dan berita biadap pihak media tertentu terhadap kerajaan negeri Kedah mutakhir ini".

- Bernama

Husam dakwa berita 'PAS terima Zaid' karut

Nov 16, 10 2:00pm

Ahli jawatankuasa pusat PAS Datuk Husam Musa mendakwaBernama membuat laporan "karut" berhubung kesediaan parti itu menerima bekas ahli parti lain, termasuk Datuk Zaid Ibrahim.

"Apa yang dilaporkan Bernama yang kononnya dipetik daripada kenyataan saya semalam adalah tidak benar dan direka-reka," katanya.

Sehubungan itu, menyatakan kekesalaannya, Husam yang juga exco kanan kerajaan Kelantan mendesak berita itu ditarik balik.

Beliau juga mengkritik Bernama yang membuat laporan "rasmi" untuk kegunaan media lain, "seolah-olah laporannya adalah betul dan rasmi".

Semalam selepas ditemuramah Bernama menerusi rancangan Hello Malaysia di Wisma Bernama, di Kuala Lumpur Husam dilaporkan sebagai berkata PAS sentiasa terbuka untuk menerima mana-mana bekas ahli parti lain, termasuk Zaid yang mengesahkan akan keluar daripada PKR.

Husam yang juga ADUN Salor dilaporkan berkata, PAS pernah menawarkan tempat kepada Zaid dalam parti itu namun ditolak kerana Zaid lebih cenderung menyertai PKR.

"Dia (Zaid) sudah dewasa kalau dia nak masuk mana-mana parti... dulu pun kita tawarkan dia masuk PAS, dia menolak namun terpulanglah kepada dia mana-mana parti dia nak masuk," katanya.

Zaid yang juga bekas ketua PKR Wilayah Persekutuan, semalam secara rasmi melahirkan hasratnya untuk berundur dari parti itu.

"Memang benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan borang rasmi lagi,” tulis Zaid di blognya petang semalam.

Katanya, “semuanya akan dijelaskan” apabila beliau mengeluarkan kenyataannya pada Jumaat ini.

PAS: Media tidak beretika perlu diajar

Nov 16, 10 1:07pm


Ketua Dewan Pemua PAS Pusat, Nasrudin Hasan menegaskan, memang layak media yang tidak beretika mesti diajar sebagai teladan untuk mereka mengkaji semula laporan yang berat sebelah, laporHarakahDaily.

Berucap pada malam penutup Karnival Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum malam semalam, beliau berkata tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah melarang media pro Umno membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) merupakan reaksi biasa sebagai protes bukanya menghalang kebebasan media.

"Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan memang patut sebab media pro-Umno buat liputan berat sebelah berkaitan banjir. Media hanya tumpukan pada sumbangan Kerajaan Pusat, seolah-olah menidakkan bantuan kerajaan negeri. Lepas tu hentam tanpa bagi peluang Menteri Besar menjawab," terangnya.

Sebagai contoh, katanya ketika bantuan Dewan Pemuda PAS Pusat yang berkampung di Kubang Rotan di mana mangsa banjir diberikan sumbangan dan disajikan gulai daging lembu pada hari pertama, pada hari kedua pula ayam masak merah manakala hari ketiga gulai telur ikan masin.

“Bila hari ketiga, datang TV3 dan terus menemu ramah mangsa yang dihidangkan gulai telur ikan masin. Mereka buat cerita bukan-bukan kononnya mangsa diberikan hidangan yang tidak seberapa, ada pilih kasih dan seumpamanya.

"Itulah kejahatan yang dibuat, mereka mencipta isu demi kepentingan Umno dan Barisan Nasiona (BN). Mereka meninggalkan etika yang mengkehendaki bersikap jujur dan tulus pada sebarang laporan," jelasnya kecewa.

Dewan Pemuda PAS Pusat juga menyifatkan, laporan yang dibuat oleh media pro-Umno itu didalangi oleh beberapa individu yang sengaja mengambil kesempatan berlakunya banjir terburuk yang melanda Negeri Kedah.

Beliau juga yakin peristiwa yang berlaku itu tidak akan mendorong rakyat untuk kembali ke pangkuan Umno yang telah membohongi mereka sejak 50 tahun lalu.

"Rakyat Kedah pasti tahu cerita sebenar apa yang berlaku. Semua itu pembohongan media pro Umno yang senantiasa mencari ruang untuk mereka mengucar-kacirkan pemerintah Pakatan Rakyat,” katanya.

Sime Darby mulakan saman akhir tahun

Sime Darby mulakan saman akhir tahun

Nov 16, 10 1:38pm
Sime Darby Bhd akan memulakan samannya bersabit lebihan kos dan kemungkinan salah pengurusan dalam bahagian tenaga dan utilitinya sebelum akhir tahun, kata Pengerusinya, Tun Musa Hitam.

Katanya, audit forensik ke atas unit itu sudah mengenal pasti individu yang disyaki mempunyai kes prima facie dalam kes berkenaan, katanya pada mesyuarat tahunan syarikat itu di Kuala Lumpur hari ini.

azlanLaporan audit berkenaan telah dipertimbangkan oleh lembaga pengarah Sime Darby pada 20 September dan salinannya telah diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Sekuriti. Kedua-dua badan itu juga telah memulakan siasatan mereka.

"Oleh itu, sehingga kes ini difailkan dan saman diserahkan, peguam juga menasihatkan kami supaya merahsiakan segala maklumat," katanya dalam satu kenyataan.

Musa berkata lembaga pengarah Sime Darby sudah merancang strategi untuk meletakkan syarikat itu pada kedudukan yang kukuh dan memastikan supaya walaupun kawalan, sistem dan proses diketatkan, namun peluang untuk berkembang, tidak wajar dilepaskan.

Juruaudit forensik bebas, KPMG dan Deloitte Enterprise Risk Services Sdn Bhd dan perunding undang-undang dilantik untuk mengkaji situasi dalam empat projek yang diketuai bahagian tenaga dan utiliti.

Projek terbabit ialah Qatar Petroleum, Maersk Oil Qatar (MOQ), sebuah projek membabitkan pembinaan kapal serta Projek Empangan Hidroelektrik Bakun.

Setakat ini, kerugian yang dialami oleh bahagian itu dianggarkan RM1.3 bilion.

Semasa mengumumkan kerugian pada Mei lalu itu, Sime Darby turut mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulannya, Datuk Seri Zubir Murshid, supaya bercuti sebelum beliau kemudiannya digantikan.

Beliau digantikan oleh bekas pengarah Felda Holdings Datuk Mohd Bakke Salleh dalam usaha menstabilkan syarikat berkenaan.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/148353
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...