Wednesday, April 7, 2010

Ketagihan laman sosial maya




FENOMENA Facebook menyerap dengan pantas dalam masyarakat di seluruh dunia. Sejak enam tahun lalu, pelbagai peringkat lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas, ahli-ahli politik dan selebriti tidak ketinggalan mengikuti arus kemajuan teknologi maklumat yang menjadi trend pada masa kini.

Individu yang tidak mengikuti perkembangan semasa dianggap ketinggalan dan membosankan. Justeru, ramai yang menyertai Facebook semata-mata tidak mahu dikatakan kolot.

Kebaikan Facebook diakui sebagai medium untuk menghubungkan masyarakat di seluruh dunia melalui komunikasi alam maya. Individu-individu yang terpisah dapat dipertemukan kembali hanya menggunakan Facebook. Pemimpin dapat berkomunikasi secara terus dengan rakyat menerusi Facebook.

Namun, seiring perkembangan positif, laman interaktif sosial Facebook turut menyumbang kepada pelbagai gejala negatif. Di Amerika Syarikat (AS), seorang wanita mati dibunuh kekasihnya kerana menukar status berkahwin kepada bujang.

Seorang pekerja wanita di London pula dipecat selepas mendedahkan keluhannya di Facebook berhubung suasana di tempat kerjanya dengan mengatakan dia membenci tugasnya.

Selain itu, seorang guru sekolah antarabangsa di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mati kerana minum racun berikutan hidup dalam ketakutan disebabkan bekas teman lelakinya telah memuatkan gambar tidak senonohnya ke dalam Facebook.


KETAGIHAN Facebook boleh mengakibatkan perubahan tingkah laku seseorang tanpa disedari.


Kebimbangan pengaruh negatif Facebook menyebabkan Majlis Ulama Indonesia mengeluarkan fatwa mengharamkan Facebook, namun tindakan itu mendapat kritikan daripada pelbagai pihak yang menganggapnya sebagai tidak wajar.

"Alangkah baiknya kalau dapat berfacebook hari-hari...tapi kalau tak dapat pun tak apa."

Pemikiran sebegini mungkin dapat membantu individu yang tidak dapat berpisah dengan Facebook walau sehari, kata Ketua Pengarah Institut Sosial Malaysia, Profesor Madya Dr. Mohamed Fadzil Che Din.

Menurut Mohamed Fadzil, individu yang ketagihan Facebook tidak menyedari masalah yang dihadapinya. Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab individu terdekat membantunya merawat ketagihan itu selepas melihat perubahan sikap, tabiat dan tingkah laku individu berkenaan.

Ketagihan Facebook

"Ketagihan boleh dikenal pasti apabila terbentuknya satu jadual atau proses pelaziman seseorang itu tidak dapat berpisah dengan sesuatu tabiat yang wujud akibat pengaruh atau pancingan.

"Manusia mudah dipengaruhi oleh faktor psikososial iaitu mengikut arus yang berlaku dan mereka percaya sekiranya mereka tidak terbabit, mereka dianggap kumpulan yang ketinggalan dan membosankan," jelasnya yang mengganggap sistem itu sebagai tidak rasional.


FAIZAL mengaku beliau teruja apabila menerima komen daripada para peminatnya dalam Facebook.


Tambahnya, penyelesaian ketagihan Facebook boleh dilakukan menggunakan pendekatan ekstrem, kompromi mahupun psikologi.

"Ada pihak kata haramkan penggunaan Facebook. Ini kaedah ekstrem, manakala pendekatan kompromi memberi peluang kepada individu berkenaan untuk menggunakan Facebook tetapi mereka dididik supaya lebih bertanggungjawab dan tidak menyalah gunakan laman sosial itu.

"Kaedah psikologi perlu bagi mengurangkan ketagihan individu yang mempunyai pemikiran tidak rasional akibat pengaruh Facebook. Di sini perlunya sokongan individu terdekat seperti keluarga, pasangan dan teman rapat," katanya.

Kaunseling, bimbingan dan nasihat mampu membantu menyedarkan individu yang ketagihan Facebook supaya mereka tidak berterusan gagal menguruskan masa dan kehilangan kemahiran sosial akibat terikat dengan komunikasi alam maya.

Selebriti terkenal, Faizal Ismail atau lebih dikenali sebagai FBI, 32, mengaku ketagihan Facebook apabila dia sentiasa memikirkan pos-pos terbaru yang ingin diletakkan di dinding Facebooknya. Beliau juga rasa teruja setiap kali menerima komen daripada para peminatnya.

"Facebook membuatkan saya leka dan melekat di depan komputer selama berjam-jam tanpa sedar. Tetapi, saya menggunakan alternatif lain iaitu iPhone supaya saya dapat melaksanakan tanggungjawab tanpa membazirkan masa di depan komputer.

"Bagi saya, Facebook dapat meningkatkan komunikasi secara efisien dan tidak patut diharamkan. Tindakan mengharamkan Facebook ibarat menafikan perkembangan teknologi maklumat dan kita akan ketinggalan dalam pelbagai sudut," katanya.

Tambah Faizal, apa yang wajar dilakukan ialah pemantauan daripada kerajaan supaya menyekat laman-laman Facebook yang mengajak masyarakat menghina atau membangkitkan isu-isu yang boleh mengakibatkan pepecahan.


MOHAMED FADZIL percaya pendekatan psikologi dapat membantu mereka yang mengalami masalah ketagihan Facebook.


Pembaca berita RTM, Norhaslina Ibrahim berpendapat, masyarakat hari ini memanfaatkan Facebook atas dasar kesibukan dan melaluinya banyak maklumat terkini diperoleh daripada teman-teman serta mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

"Facebook penting bagi saya kerana saya tidak mempunyai masa untuk berkomunikasi dengan teman-teman rapat dan mengetahui perkembangan diri mereka. Melalui Facebook saya dapat bertemu dengan rakan-rakan sekolah yang sudah lama terpisah," katanya.

Pelakon dan hos, Julie Woon mengatakan dia tidak mudah terpengaruh dengan gejala negatif yang berlaku disebabkan Facebook kerana menganggap ia tindakan individu yang mempunyai agenda tertentu.

"Saya sentiasa mengemaskini laman Facebook kerana bidang kerja yang memerlukan saya berhubung dengan teman-teman dan para peminat. Selain itu, banyak ejen mencari saya di Facebook untuk tujuan kerja kerana tidak mempunyai nombor telefon saya," katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0405&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Nostalgia kelahiran Najib Tun Razak




ADA apa dengan Daerah Lipis? Namun kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tatkala beliau menjejakkan kaki di halaman sebuah rumah di atas sebuah bukit di Kuala Lipis, wajahnya kelihatan sayu dan hampir menitiskan air mata.

Kepulangan Najib selama kira-kira 30 minit ke rumah banglo dua tingkat di Bukit Bius pada 20 Mac lalu menggamit kenangan silam apabila mengenangkan beliau dibesarkan di tempat bersejarah itu oleh bapanya, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dan ibunya, Tun Rahah Mohd. Noah dengan penuh kasih sayang.

Najib diiringi oleh isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Rahah tiba di rumah berkenaan sekitar pukul 1.25 petang. Mereka meluangkan masa menatap gambar-gambar di dinding yang menggamit nostalgia semasa Najib dibesarkan di situ kira-kira 57 tahun lalu.

Najib kemudiannya diberi taklimat oleh Pegawai Daerah Lipis, Datuk Abu Jamal Nordin mengenai rumah berkenaan yang akan dijadikan Muzium Tun Razak.

Abu Jamal menjelaskan, perbelanjaan menaik taraf rumah berkenaan menelan belanja RM1 juta. Kerja-kerja konservasi bermula sejak 13 November 2007 dan siap pada 12 Mei 2008 di bawah program Tapak Warisan Negara. Kini rumah tersebut menjadi salah satu produk pelancongan di Lipis.

Kata Abu Jamal, Majlis Daerah Lipis (MDL) memerlukan peruntukan sebanyak RM480,000 lagi untuk menjalankan kajian, pengumpulan artifak kostum dan kerja-kerja membina galeri bagi muzium berkenaan.

Dalam lawatan itu, Rahah juga sempat menceritakan kenangan beliau dan suaminya yang juga Perdana Menteri Kedua mendiami rumah tersebut di antara tahun 1950 sehingga tahun 1953.

Rumah banglo kayu yang pernah menjadi tempat Najib bertatih kini adalah lokasi bersejarah kepada 91,000 penduduk Lipis. Ia menjadi saksi kepada sejarah kelahiran wira negara.

Halaman rumah itu juga menyaksikan zaman kanak-kanak yang dilalui oleh Najib bersama bapanya. Bahkan rumah tersebut memahat satu kenangan yang cukup berharga dalam jiwa Perdana Menteri.

Hari ini, rumah tersebut menjadi salah satu daripada bangunan bersejarah dalam senarai Tapak Warisan Negara untuk tatapan rakyat Malaysia.


PENDUDUK Kuala Lipis bangga dengan kemajuan dan perubahan daerah tersebut pada hari ini.


Khazanah negara

Bukit Bius yang menempatkan rumah kelahiran Najib pula pernah terkenal sebagai kawasan perumahan pegawai-pegawai tinggi kerajaan termasuk kediaman Menteri Besar Pahang ketika itu. Ia sememangnya sebuah lokasi yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku merangkap Ketua UMNO Lipis , Datuk Abdul Rahman Mohamed berkata, keluarga Tun Razak pernah tinggal di rumah tersebut ketika bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1950-an.

Menurut sejarah, selepas Tun Razak berkahwin dengan Rahah keluarga pemimpin itu tinggal di rumah tersebut sehingga Najib dan adiknya Ahmad Johari dilahirkan.

"Nilai sejarah di rumah itu sangat penting untuk tatapan generasi akan datang kerana ia menyaksikan bekas Perdana Menteri Kedua tinggal di situ dan kelahiran Perdana Menteri Keenam di rumah yang sama.

"Bagi memelihara nilai sejarahnya, Kerajaan Negeri Pahang menjaga dan membaik pulih rumah itu pada setahun lalu untuk dijadikan sebagai salah satu daripada 14 Bangunan Warisan Negara di Lipis," jelasnya ketika dihubungi.

Mengimbas sejarah Lipis yang menyimpan pelbagai khazanah negara dan pernah terkenal sebagai kawasan lombong emas, daerah itu membariskan ramai pemimpin ulung masyarakat Melayu termasuk episod perjuangan Mat Kilau dan Datuk Bahaman menentang tentera Inggeris pada 1892.

Malah sebuah Sekolah Agama Madrasatul Firdaus di Kuala Lipis yang pertama dan tertua di Pahang dibina sekitar tahun 1800-an juga telah melahirkan ramai tokoh serta pemimpin agama tempatan.

Kesinambungan kepimpinan yang bertapak di Lipis diteruskan dengan legasi Tun Razak yang dianugerahkan gelaran Orang Kaya Indera Shahbandar Ke-10 oleh Sultan Pahang pada 1 November 1950.

Tun Razak kemudian bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berpusat di Lipis sebelum menjadi Perdana Menteri Kedua. Malah, Lipis juga menyaksikan kelahiran legasi daripada keluarga Tun Razak iaitu Najib yang menerajui kerajaan pada hari ini.


KEDIAMAN Residen British Pahang, Hugh Clifford yang dibina pada tahun 1922 kini menjadi rumah persinggahan pelawat di Bukit Residen, Bandar Kuala Lipis.


Bandar diraja

Bandar yang mempertemukan di antara Sungai Jelai dan Sungai Lipis yang menghimpunkan 11 mukim itu sebenarnya menyimpan banyak khazanah berharga dalam mewarnai sejarah negara termasuk pernah menjadi ibu negeri pertama bagi negeri Pahang di antara tahun 1898 hingga tahun 1955 sebelum berpindah ke Kuantan.

Kuala Lipis juga pernah menjadi bandar diraja Kesultanan Pahang sebelum berpindah ke Pekan selain menempatkan ibu pejabat Residen British, Sir Hugh Clifford ketika era penjajahan British di Tanah Melayu.

Kesan peninggalan penjajahan British juga masih boleh dilihat di Kuala Lipis terutama lapan bangunan kolonial yang kekal terpelihara untuk tatapan generasi merdeka.

Antara bangunan bersejarah lain yang terdapat di Kuala Lipis ialah kediaman Residen British, Sir Hugh Clifford di Bukit Residen yang dibina pada 1922, Sekolah Menengah Clifford (1913), Kelab Pahang (1907), Istana Hinggap (1926), Pejabat Pos Kolonial (1910), Asrama Jururawat Kolonial (1926) dan Kompleks Pentadbiran Daerah Lipis era kolonial (1919) serta batu bertanda '0' yang menjadi titik pusat menyukat perbatuan negara.

Bangunan-bangunan bersejarah yang dikomersial sebagai destinasi pelancongan memberi impak positif terhadap penduduk tempatan serta memberi peluang kepada mereka untuk terlibat sama dalam agenda pembangunan di daerah Lipis.

Pembangunan Lipis

Faedah itu juga memberi kesan kepada setiap kelompok masyarakat termasuk penduduk Orang Asli di sekitar Lipis yang terlibat secara langsung dalam kegiatan pelancongan.

Tok Batin Pos Betau, Ahmad Selalu, 47, berkata, kesan sejarah dan pembangunan moden yang rancak di bandar Lipis membolehkan masyarakat Orang Asli terlibat sama dalam menjana ekonomi keluarga masing-masing.

"Kami juga mengambil peluang menjual hasil kraftangan dan hasil hutan kepada pelancong yang hadir ke Lipis. Ia juga secara langsung membantu kami meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Dalam pada itu peneroka Felda Sungai Koyan 1, Kholid Hussain, 63, pula berkata, pembangunan di daerah itu berkembang selaras dengan pembangunan negara demi keselesaan penduduk.

"Jika dua dekad lalu, hidup peneroka boleh dikatakan hanya cukup-cukup makan, tetapi sekarang semua sudah berubah hasil daripada pembangunan negara.

"Ia juga disebabkan langkah kerajaan membangunkan Lipis melalui pelbagai peluang ekonomi. Kini, peneroka di Lipis sudah mampu hidup senang," kata beliau.


NAJIB TUN RAZAK mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak ketika bertemu rakan sepermainan beliau Ngah@Karim Kassim (kanan) ketika melawat rumah kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang.


Sementara itu, Pengerusi Gabungan Perkumpulan Wanita (GPW) Sungai Koyan, Sapiah Mohamad, 60, berkata, pelbagai program galakan yang diberikan kerajaan di sekitar Lipis juga mampu bertindak sebagai input kepada golongan wanita untuk berkecimpung dalam kegiatan perniagaan.

"Ini termasuklah menyediakan tempat berniaga yang sempurna bagi kemudahan peniaga yang menjadikan daerah Lipis sebagai lubuk rezeki.

"Kemudahan-kemudahan yang disediakan itu menaikkan lagi imej daerah ini sebagai kawasan bersejarah yang terpelihara dan berkembang seiring dengan pembangunan," katanya.

Ujar beliau, Lipis kini berubah maju dengan memperlihatkan banyak kemudahan disediakan bagi keselesaan penduduk tempatan dan juga pengunjung luar.

"Kalau dibandingkan dengan lima dekad lalu, penduduk di Lipis menjadikan sungai sebagai laluan utama untuk ke daerah lain. Tapi sekarang, Lipis sudah berubah dengan kemudahan jalan raya dan sebagainya.

"Kehidupan penduduk di Lipis juga sudah semakin senang kalau dibanding dengan dahulu. Lipis bukan sahaja berkembang maju, tapi nilai sejarahnya yang kekal terpelihara," ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0407&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...