Monday, May 17, 2010

Robot jadi pengendali perkahwinan


ROBOT I-Fairy memegang tangan Sibato dan Inoue (kanan) di sebuah restoran di Tokyo.


TOKYO - Robot yang diberi nama I-Fairy setinggi 1.5 meter mengendalikan satu majlis perkahwinan di sebuah restoran di sini semalam.

"Tolong buka penutup muka pengantin wanita," kata robot itu yang mengeluarkan suara selain mengangkat kedua-dua tangannya semasa pasangan pengantin bercium di hadapan 50 tetamu.

Majlis perkahwinan itu diadakan di sebuah restoran di Hibiya Park di tengah Tokyo.

"Majlis perkahwinan ini amat menyeronokkan. Saya berpendapat penduduk Jepun mempunyai minat tinggi untuk menjadikan robot sebagai rakan kita," kata pengantin perempuan, Satoko Inoue, 36, yang bekerja di kilang pengeluar robot tersebut, Kokoro.

Suami pengantin itu, Profesor Tomohiro Sibato, 42, merupakan pakar robot yang bekerja di Institut Sains dan Teknologi Nara di tengah Jepun.

Menurut jurucakap syarikat Kokoro, Kayako Kido, robot tersebut dijual pada harga AS$68,000 (RM217,090) dan tiga buah robot itu digunakan di Singapura, Amerika Syarikat dan Jepun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Butik hijab dibuka di Sydney

MELBOURNE - Sebuah butik hijab akan dibuka di Bankstown"s Centro Mall, Sydney bagi memenuhi permintaan wanita Islam dan penggemar fesyen.

Hijab House yang lahir daripada idea Tarik Houchar itu akan membantu meringankan beban wanita Islam yang selama ini terpaksa menjahit sendiri pakaian itu, lapor sebuah akhbar Australia.

Houchar berkata, idea untuk membuka kedai itu diperoleh apabila melihat banyak wanita Islam Sydney termasuk ibu saudaranya terpaksa pergi ke kedai kain Cabramatta bagi membeli bahan untuk dibuat hijab.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0517&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

59 lagi disahkan positif H1N1

2010/05/17

PUTRAJAYA: Sejumlah 59 pesakit lagi disahkan positif Influenza A (H1N1) sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul individu yang dijangkiti virus tersebut di seluruh negara ialah 14,385.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata sebanyak 595 kes penyakit serupa influenza (ILI) pula masih dirawat di dalam wad dengan 77 disahkan positif H1N1.

Menurutnya, 12 kes H1N1 itu masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan sembilan daripadanya membabitkan individu yang mempunyai faktor risiko.

“Penularan H1N1 bukan sahaja masih aktif dalam negara malah di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam. — Bernama

Pendaftaran 3 produk kecantikan dibatal kerana ada racun berjadual

2010/05/17

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan membatalkan pendaftaran tiga produk kecantikan kerana dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin dan hydroquinone.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi kementerian Eisah A Rahman berkata, produk berkenaan ialah Zara Rejuvenation Cream keluaran Mum Bio Cos Manufacturing Sdn Bhd, Beauty Line Beautitude Multi-Purpose Cream keluaran Beauty Line Skin Care & Cosmetic Sdn Bhd, dan Pigmentation Recovery Complex keluaran Mycreme Skin Care Products.


Penggunaan tretinoin dan hydroquinone adalah tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik kerana ianya boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa nasihat doktor, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Katanya, kedua-dua bahan itu boleh menyebabkan kemerahan pada kulit, ketidakselesaan, kulit menggelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.


Penggunaan hydroquinone juga boleh menghalang proses pigmentasi menyebabkan kulit terdedah kepada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh membawa kepada kanser kulit.


"Sesiapa yang mempunyai stok produk tersebut dinasihatkan agar menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk itu serta-merta kerana pemilikan produk-produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.


Eisah berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.


"Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," kata beliau.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pendaftaran3produkkecantikandibatalkeranaadaracunberjadual/Article

Mayat bayi lelaki ditemui ditanam di tebing Sungai Batu Berendam

2010/05/17

MELAKA: Polis menahan dua suspek iaitu ibu bayi dan teman lelakinya, seorang pelajar berusia belasan tahun, berikutan penemuan mayat bayi lelaki, yang ditanam di tepi tebing sebatang sungai di sebuah taman perumahan di Batu Berendam di sini pada awal pagi, Khamis lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd Adnan Abdullah berkata, kedua-dua suspek juvana itu akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah pagi esok.


"Siasatan kes ini sudah selesai mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit," katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.


Mohd Adnan berkata, mayat bayi yang dilahirkan cukup sifat itu ditemui pada pukul 4 pagi di Taman Melaka Baru.


"Daripada pemeriksaan doktor ke atas mayat bayi itu, didapati terdapat kesan lebam dan kecederaan di bahagian kepala," katanya.


Mohd Adnan berkata, polis menerima laporan daripada ibu kepada pelajar perempuan itu pada kira-kira jam 10 malam Rabu lalu.


Katanya, wanita berusia 30-an itu mendakwa ketika pulang ke rumahnya kira-kira 2.30 petang pada hari sama, anak perempuannya dalam keadaan kesakitan dan terdapat kesan darah pada pahanya lalu membawa anaknya ke hospital untuk rawatan.


Ketika disiasat polis, pelajar itu menyatakan dia melahirkan bayi secara berseorangan di rumah pada pagi Rabu dan telah menghubungi teman lelakinya, yang membawa bayi baru dilahirkan itu ke suatu tempat untuk disembunyikan.


Katanya, polis berjaya mengesan teman lelaki pelajar itu pada kira-kira jam 1.45 pagi di rumahnya, yang kemudian membawa polis ke tempat bayi itu ditanam. -Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MayatbayilelakiditemuiditanamditebingSungaiBatuBerendam/Article

Dedah pelbagai penipuan

Oleh Faizatul Farlin Farush Khan

2010/05/17

KUALA LUMPUR: Jenayah komersial yang semakin menjadi-jadi dengan memperdayakan orang ramai termasuk golongan terkenal seperti artis sebagai mangsa pelaburan haram, mendorong Bank Negara Malaysia (BNM) mewujudkan satu laman web khas bagi memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kewujudan penipuan terbabit.

Melalui wujudnya laman web http://fraudalert.bnm.gov.my, BNM memberi amaran serta keterangan terperinci mengenai jenis penipuan jenayah komersial dan cara untuk mengelak menjadi satu daripada ribuan orang yang sudah menjadi mangsa hingga kerugian berjuta ringgit.


Menurut laman web itu, penipuan komersial selalunya membabitkan transaksi wang yang rumit didalangi penjenayah ‘kolar putih’ seperti ahli perniagaan profesional dengan pengetahuan khusus dan niat jenayah, misalnya broker pelaburan tidak bertanggungjawab kemungkinan mengajak pelanggannya membeli saham dalam sesebuah syarikat yang bernilai tinggi.


Ia turut menyenaraikan pelbagai jenis penipuan dan bagaimana seseorang itu dapat mengenal pasti tipu helah pihak tidak bertanggungjawab untuk merompak wang mereka secara licik.


Orang ramai juga diingatkan bahawa penjenayah komersial boleh menghubungi mereka menggunakan pelbagai cara, antaranya secara bersemuka, pos, panggilan telefon, SMS dan emel.


Menurut laman web berkenaan, masyarakat perlu sedar bahawa skim cepat kaya yang sering menipu orang ramai, selalunya menawarkan kadar pulangan terlalu tinggi dan tidak realistik daripada pelaburan yang dibuat selain pada masa sama menjanjikan pelaburan mudah dan bebas risiko.


Menurutnya, aktiviti kewangan yang ditegah mengikut peruntukan undang-undang ditadbir BNM adalah pengambilan deposit tanpa lesen, skim pelaburan Internet tanpa lesen, skim perdagangan mata wang asing secara haram, pengeluaran wang tanpa kebenaran, penggunaan kad kredit atau debit tanpa kebenaran dan penyalahgunaan nama serta kedudukan kakitangan kanan BNM.


Orang ramai juga boleh membuat semakan di laman web itu yang memaparkan senarai syarikat dan individu yang sudah dicaj, dibicarakan dan dihukum atas kesalahan menjalankan pelbagai aktiviti kewangan tanpa lesen mengikut peruntukan undang-undang BNM.


Menurut laman web itu, mangsa penipuan pelaburan haram dinasihatkan untuk membuat laporan polis dan agensi penguatkuasaan berkaitan, menyimpan semua rekod dan dokumen mengenai pelaburan termasuk slip bank, slip deposit, perjanjian, baucer serta maklumat mengenai individu yang menjalankan urus niaga itu.

Semua maklumat boleh digunakan bagi tujuan penguatkuasaan dan mengambil tindakan terhadap individu atau syarikat yang menyelewengkan duit mangsa.


Bagi mereka yang menjadi mangsa atau mempunyai sebarang maklumat mengenai pelaburan dan skim haram boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan BNM di talian BNMTELELINK (1-300-88-5465) atau faks ke 03-21741515 atau SMS ke 15888 dengan menaip BNM TANYA [aduan / pertanyaan] atau emel ke bnmtelelink@bnm.gov.my; Orang ramai boleh membuat aduan di BNMLINK dengan datang sendiri ke Tingkat Bawah, Blok D, Bank Negara Malaysia, Jalan Dato Onn, 50480 Kuala Lumpur bermula jam 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dedahpelbagaipenipuan/Article

Satu jawapan satu tamparan

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/05/17

KUALA LUMPUR: Lazimnya cemburu dikaitkan dengan perasaan sayang terhadap insan dicintai. Namun, cemburu menggila boleh mengubah segala-galanya bertukar menjadi di luar kawalan.

Itu yang berlaku kepada seorang gadis berusia 23 tahun apabila menjadi mangsa amarah teman lelakinya yang cemburu dan mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit.


Akibatnya, mangsa cedera teruk di kedua-dua telinga selain beberapa kecederaan di tangan dan paha selepas dibelasah kekasihnya.


Wanita terbabit bukan saja dilibas dengan pengunci stereng malah, turut ditendang di perut selain disebat dengan tali pinggang oleh teman lelakinya.


Tidak cukup dengan kekejaman itu, mangsa turut ditolak dengan kuat hingga terhantuk ke dinding selain teman lelakinya mengambil pisau dengan mengugut untuk menoreh pergelangan tangannya dan menendang punggung wanita berkenaan. Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang Rabu lalu ketika mangsa bersama teman lelakinya berada dalam kereta di Cheras.


“Ketika berada dalam kereta, teman lelakinya yang mengesyaki dia mempunyai hubungan sulit dengan orang lain mengajukan pelbagai soalan kepada mangsa.


“Namun, setiap kali mangsa memberikan jawapan dia ditampar kerana teman lelakinya itu tidak berpuas hati dengan setiap penjelasan yang diberikan,”
katanya.


Sumber terbabit berkata, ketika dalam kereta itu juga mangsa turut dihayun pengunci stereng yang terkena kaki oleh teman lelakinya yang masih tidak berpuas hati.


“Bagaimanapun, teman lelaki wanita terbabit menghantar mangsa pulang ke rumah dan dalam perjalanan mereka dikatakan masih bertengkar.

“Pertengkaran itu berlaku disebabkan teman lelaki mangsa dikatakan masih tidak berpuas hati dengan jawapan diberikan wanita terbabit,” katanya.


Menurut sumber itu, sejurus sampai ke rumah, teman lelakinya yang masih tidak berpuas hati secara tiba-tiba bertindak di luar dugaan apabila masih menyerang mangsa.


“Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut mengacukan pisau selain menumbuk perut dan menolak mangsa hingga terkena dinding,” katanya.


Menurutnya, selepas puas membelasah teman wanitanya itu, lelaki terbabit turut berpesan supaya mangsa tidak melaporkan kejadian itu kepada polis jika tidak mahu diapa-apakan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Satujawapansatutamparan/Article

Isteri malang

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/05/17

AMPANG: Suami durjana. Gelaran itu layak buat seorang lelaki yang bukan saja curang malah turut memukul isterinya selepas perbuatannya membawa kekasih pulang ke rumah diketahui isterinya.

Kejadian berlaku Khamis lalu apabila isterinya yang mendapat maklumat ada seorang wanita di rumah pulang untuk membuat pemeriksaan di sebuah pangsapuri di Bukit Indah kira-kira jam 10 pagi.


Menurut sumber, sebaik sampai ke rumah, suami mangsa membuka pintu sebelum dia nampak kelibat seorang wanita berada dalam rumah berkenaan.


“Isterinya kemudian terus meluru masuk ke rumah sebelum berlaku pertengkaran antara mereka yang turut dicampuri teman wanita suaminya itu.


“Ketika bertengkar itu, suami mangsa kemudian menghentak kepala isterinya dengan menggunakan tangan sebelum menendang mangsa hingga jatuh di lantai,”
katanya.


Sumber berkata, mangsa yang tidak berpuas hati kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu.


Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki bertindak luar biasa apabila dia menggigit tangan selain turut menumbuk isterinya kerana cemburu dengan tindakan wanita terbabit yang keluar makan bersama rakan-rakan.


Kejadian itu berlaku Selasa lalu kira-kira jam 6 petang ketika mangsa bersama suaminya berada dalam kereta di sebuah kawasan di Pandan Indah.


Sumber berkata, ketika itu suami mangsa yang cemburu mempersoalkan tindakannya yang keluar makan bersama beberapa rakan lain sebelum itu.

“Mangsa yang mendiamkan diri kerana enggan memanjangkan ditumbuk di dahi dan digigit di tangan oleh suaminya itu,” katanya.


Menurutnya, ketika itu juga suami mangsa mahu merampas telefon bimbit miliknya sebelum berlaku pergaduhan antara mereka kerana isterinya itu enggan menyerahkan telefon berkenaan.


“Suami mangsa mula mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dan mengugut akan membunuh teman lelaki wanita terbabit.


“Malah, wanita itu turut dilarang daripada pulang ke rumah ibu bapanya di kawasan Ampang selagi enggan membawa suaminya bertemu rakan lelakinya itu,”
katanya.

Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan susulan daripada itu, suami wanita berkenaan yang berusia 24 tahun ditahan bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterimalang/Article

Bayi hilang selepas dibuang ibu dalam semak

2010/05/17

KUALA TERENGGANU: Seorang bayi lelaki baru dilahirkan dikhuatiri menjadi mangsa ratahan binatang buas selepas bayi malang itu dibuang ibunya yang cuba menyembunyikan kelahirannya dengan mencampakkan anaknya ke dalam semak di belakang rumah, di Ketengah Jaya, Dungun Jumaat lalu.

Sehingga malam tadi, polis belum menemui sebarang petunjuk atau tanda selepas operasi mencari dan menyelamat bayi berkenaan dilakukan sejurus kehilangannya dimaklumkan wanita itu sebaik dia diberkas polis kelamrin.


Polis menerima maklumat orang ramai yang terdengar suara bayi dari sebuah rumah dan mengesyaki wanita itu melahirkan anak luar nikah dan mengunjungi rumah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Dahlan Mohd Noor, berkata selepas soal siasat, polis membawa seorang wanita yang disyaki mengandung sebelum ini untuk mendapatkan rawatan dan mendapat tahu dia baru melahirkan anak.


Menurutnya, polis dimaklumkan wanita berkenaan yang dia melahirkan bayi seorang diri di rumahnya Jumaat lalu.


“Berikutan itu, kami menahan wanita berusia 21 tahun untuk siasatan dan dia kini direman sehingga 19 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat bayi secara sulit, katanya ketika dihubungi.


Sepasukan anggota polis dan penduduk kampung bergegas ke lokasi dimaksudkan untuk mencari bayi itu, namun usaha tidak membuahkan hasil apabila mereka tidak menemui sebarang kesan di kawasan dimaksudkan.


Dahlan berkata polis khuatir bayi berkenaan mungkin dilarikan anjing atau haiwan buas lain menyebabkan operasi mencari diperluaskan dan berlarutan hingga lewat malam, semalam.


“Operasi diteruskan dan kami turut menggunakan khidmat anjing pengesan (K-9) untuk menjejaki dan setakat ini ia menemui jalan buntu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayihilangselepasdibuangibudalamsemak/Article

Maut lepas koma sehari

Oleh Suraya Roslan

2010/05/17

SUBANG: Seorang bayi lelaki berusia lapan bulan maut selepas dipercayai menjadi mangsa dera pengasuhnya dalam kejadian di sebuah rumah di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini, kelmarin.

PILU...ibu mangsa (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
PILU...ibu mangsa (kiri) ditenangkan ahli keluarga.
Bayi berkenaan, Mohd Rayyan Afzanizam, disahkan meninggal dunia sehari selepas dia koma dipercayai mati akibat pendarahan dalam otak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kira-kira jam 8 malam.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar, berkata kes berkenaan masih dalam siasatan manakala pengasuh yang berusia 40-an itu kini direman enam hari bermula semalam untuk membantu siasatan.


“Saya difahamkan ketika bayi itu dihantar ke PPUM oleh ibu bapanya, dia sudah tenat. Dia kemudian disahkan meninggal dunia. Punca awal mendapati mangsa cedera di otak.


“Laporan polis pula dilakukan doktor yang merawat mangsa selepas dia melihat beberapa kesan lebam di badan bayi terbabit,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Menurutnya, polis kini menunggu laporan penuh doktor berhubung kejadian berkenaan manakala keterangan ibu dan bapa mangsa sudah diambil untuk membantu siasatan.


“Oleh itu, kami perlu tunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui sama ada bayi itu didera atau sebaliknya. Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal polis mendapati pengasuh terbabit baru dua minggu menjaga bayi berkenaan.


“Polis difahamkan, bayi berkenaan dikejarkan ke PPUM selepas tidak sedar diri dan tidak bernafas oleh pengasuhnya,” katanya.

Menurutnya, pada sebelah pagi pada hari sama, ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 23 tahun menghantarnya ke rumah pengasuh terbabit.


Bagaimanapun, katanya, pada kira-kira jam 7 malam, ibu bapa mangsa dihubungi pengasuh itu apabila mendapati anak mereka tidak sedarkan diri.


“Bimbang keadaan itu, ibu bapa bayi berkenaan ke rumah pengasuh untuk menjemput mangsa dan menghantarnya ke klinik berdekatan.


“Tapi, beberapa klinik yang dikunjungi enggan menerima mangsa sebagai pesakit kerana keadaannya tenat menyebabkan mangsa terpaksa dikejarkan ke PPUM,”
katanya.

Sementara itu, keadaan di Jabatan Forensik PPUM agak tegang apabila ayah bayi berkenaan tidak memberi kebenaran kepada petugas media untuk membuat liputan.


Malah, keadaan lebih menyayat hati selepas ibu mangsa pengsan dan tidak sedarkan diri.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mautlepaskomasehari/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...