Sunday, February 15, 2009

76 tip untuk pikat hati isteri

Ahad, Februari 15, 2009


76 tip untuk pikat hati is3


76 tip untuk pikat hati is3

Dilulus terbit pada Saturday, February 14 @ 10:30:00 MYT oleh TokPenghulu

Darihal Muslimat Oleh sobrima

1. Bila saja anda pulang ke rumah, carilah dia dahulu sebelum anda lakukan perkara lain dan peluklah dia.

2. Tanya kepadanya soalan-soalan yang tertentu menunjukkan anda sedar apakah yang dia rancang untuk lakukan hari ini.

3. Latihlah diri anda untuk mendengar serta bertanya soalan kepadanya

4. Bentengi diri anda untuk menyelesaikan masalahnya, tapi tunjukkan sifat memahami anda.

5. Berikan padanya perhatian yang sebenar tanpa menunggu dia memintanya selama setengah jam setiap hari.

6. Bawakan kepadanya hadiah yang mengejutkannya pada bila-bila masa lebih-lebih lagi pada tarikh atau perayaan yang bermakna.

7. Rancanglah masa untuk bersamanya beberapa hari sebelum itu,jangan menunggu hingga malam Jumaat kemudian bertanya pula apakah yang hendak buat.

8. Jika pada suatu malam, dia merasa letih atau terlalu sibuk untuk memasak, tawarkan diri anda untuk memasak pula.

9. Selalulah memujinya dari segi kecantikan dan keanggunan rupa parasnya.

10. Akui perasaannya bila dia merasa marah.

11. Tawarkan bantuan kepadanya bila dia merasa letih dan penat.

12. Jadualkan mana-mana perjalanan lebih awal agar dia tidak kelam kabut membuat persediaan.

13. Sekiranya anda terlewat, jangan lupa untuk menelefon dia dan beritahu dia tentang hal itu.

14. Bila dia mahukan sokongan anda dengan bertanya mengenai sesuatu perkara, katakan ya atau tidak. Jangan jadikan dirinya rasa bersalah kerana bertanya.

15. Semasa perasaannya tersinggung, berikan padanya rasa simpati anda dan nyatakan kepadanya ‘Saya kasihan awak tersinggung’. Kemudian diamlah, biarkan dia dapat merasakan bahawa anda memahami yang dia tersinggung.

16. Jangan cuba jelaskan pula kenapa rasa tersinggungnya itu bukan salah anda.

17. Bila anda perlukan masa untuk bersendirian akibat gusar,katakan padanya anda akan pulang dan anda perlukan sedikit masa untuk berfikir mengenai sesuatu.

18. Sekiranya perasaan anda telah reda dan anda pulang ke rumah,bercakaplah dengannya apakah dia yang menggusarkan anda dengan cara yang hormat dan tidak menyalahkan dia. Dia perlu tahu agar dia tidak menyangka yang bukan-bukan.

19. Bila cuaca sejuk, eloklah rapatkan diri anda kepadanya dan biarkan kehangatan tubuh anda dapat menghangatkan jiwanya.

20. Pada masa dia mahu berbincang dengan anda, letakkan buku,majalah atau akhbar yang sedang anda baca, dan tutup TV. Berikan perhatian sepenuhnya.

21. Sekiranya selalunya dia yang membasuh pinggan, sesekali bantu dia untuk membasuh pinggan pula, terutamanya jika dia letih.Bantulah dia menggosok bekas yang sukar atau kerja membasuh yang sukar.

22. Pastikan bila dia letih atau marah, tanya dia apa yang dia hendak buat dan tawarkan bantuan anda dengan melakukan beberapa kerja yang akan dilakukannya.

23. Bila anda hendak keluar rumah, tanya dia adakah barang yang patut dibeli, dan jangan lupa pula membelinya.

24. Beritahu padanya bila anda mahu tidur atau mahu keluar.

25. Berikan dia lima kali pelukan setiap hari. Satu waktu subuh, satu zohor, asar, maghrib dan isya’. Jika tidak berkesempatan,himpunkan dua atau tiga pelukan pada waktu yang terluang.

26. Telefon dia semasa anda bekerja dan bertanya khabar atau kongsikan sesuatu yang menarik, atau hanya katakan ‘Aku cinta padamu’.

27. Katakan ‘Aku cinta padamu’ sekurang-kurangnya sekali sehari.

28. Bantu dia untuk mengemaskan katil dan membersihkan bilik tidur.

29. Letakkan pakaian yang sudah patut di basuh ke bakul yang dikhaskan.

30. Selalulah periksa sama ada tong sampah sudah penuh dan tolong buang sampah. Kemudian tolong letakkan plastik sampah dalam tong tu.

31. Bila anda hendak berjalan jauh, telefon dia, biar dia tahu anda selamat sampai dan berikan nombor telefon tempat itu.

32. Basuhkan kereta yang dipakainya.

33. Bersihkan diri anda dan pakai wangi-wangian sebelum jima’ jika itu yang dia suka.

34. Bila dia merasa marah kepada seseorang, eloklah anda menyebelahi isteri anda. Kalau anda tidak bersetuju dengan caranya, itu boleh diselesaikan kemudian.

35. Selalulah tawarkan diri anda untuk mengurut belakang,tengkuk dan kakinya.

36. Jadikan tabiat merangkulnya dan mengasihinya yang bukan bertujuan untuk jima’.

37. Sabarlah bila dia mahu berkongsi pendapat dengan anda. Jangan mengalihkan pandangan anda pada benda lain, atau melihat jam.

38. Tunjukkan kasih sayang anda ketika bersamanya walau di khalayak ramai.

39. Bila anda memegang tangannya, jangan pula jadikan tangan anda kaku dan lumpuh.

40. Ambil tahu apakah makanan atau minuman yang dia suka agar anda boleh suruh dia memilih apa yang dia memang gemar.

41. Sarankan beberapa restoran yang baik, jangan bebankan padanya untuk menentukan di mana hendak makan.

42. Luangkan masa anda untuk pergi bersamanya ke tempat yang dia suka pergi, selama mana tempat itu adalah tempat yang baik atau diharuskan.

43. Wujudkan masa bila mana anda boleh memakai pakaian bersama-sama.

44. Cuba memahami bila dia lewat atau tiba-tiba mahu menukar pakaiannya.

45. Berikan perhatian yang lebih kepadanya daripada orang lain ketika anda berada di khalayak ramai.

46. Jadikan dia lebih penting dari anak-anak anda. Biarkan anak-anak anda menyaksikan bahawa isteri mendapat perhatian anda yang lebih utama dan lebih awal sebagai contoh kepada mereka.

47. Belikan dia hadiah-hadiah kecil dan comel.

48. Belikan untuknya pakaian. Pastikan anda tahu saiz tubuhnya serta warna, fesyen dan corak yang lebih digemarinya. Atau anda boleh belikan kain untuk dijahit kemudiannya.

49. Ambillah gambarnya pada waktu-waktu keramaian atau di tempat-tempat yang mahu dijadikan kenangan.

50. Luangkan masa bersendirian dengannya untuk melakukan sesuatu yang romantik.

51. Biar dia tahu bahawa anda bawa gambarya dalam dompet anda dan menggantikan ia dengan gambar terbaru bila sudah sampai masanya.

52. Biarlah anda yang memandu ketika berjalan jauh. Pandulah dengan selamat, tidak terlalu laju hingga mengecutkan hatinya dan tidak pula terlalu perlahan sedangkan anda boleh laju.

53. Perhatikan bagaimanakah perasaannya dan berikan komen yang menunjukkan anda ambil berat seperti ‘Awak nampaknya gembira hari ini’ atau ‘Awak nampak letih’ dan kalau boleh tanya sebabnya agar anda tahu apa yang mengembirakannya dan sebaliknya.

54. Bila anda keluar bersamanya, anda sendiri perlulah tahu arah tujuan anda agar dia tidak terasa tertekan memandu arah kepada anda.

55. Solat bersama dan berdoa bersama.

56. Kejutkan dia dengan puisi atau nota cinta.

57. Layanilah dia sebagaimana anda melayani semasa awal-awal dahulu.

58. Tawarkan diri untuk membaiki sesuatu di rumah. nyatakan anda ada masa untuk itu. Tapi jangan pula tawarkan diri melakukan perkara yang tidak mampu anda lakukan dengan baik. Tolong asah pisau. Gunakan gam yang baik untuk melekatkan sesuatu yang telah pecah. Tolong gantikan lampu yang telah terbakar.

59. Bacakan dengan kuat sesuatu ruangan akhbar yang menarik minatnya.

60. Tuliskan dengan kemas apa-apa pesanan untuknya yang anda terima melalui telefon.

61. Pastikan bilik mandi bersih dan kering bila anda sudah mandi.

62. Bukakan pintu untuknya. Tawarkan diri untuk membawa barangan yang dibawanya. Tawarkan untuk bawakan barangan yang berat. Jika hendak berjalan, letak dan barangan yang hendak dibawa di kereta.

63. Bila dia memasak, pujilah masakannya.

64. Sewaktu anda mendengar dia berkata, pandanglah ke matanya. Tunjukkan bahawa anda berminat dengan menyatakan ‘Betul kata awak’. Di masa yang sesuai, pegang dia dengan tangan anda bila anda berkata kepadanya.

65. Tunjukkan minat anda pada apa yang dia buat hari ini, pada buku yang dia baca, dan pada orang lain yang dia hubungi.

66. Bersedialah untuk masuk tidur bersama dan masuklah ke kamar seiring dengannya.

67. Berikan dia ciuman dan berikan salam atau kata selamat tinggal bila anda mahu keluar rumah. 68. Ketawalah pada jenaka dan senda guraunya.

69. Katakan terima kasih bila dia buat sesuatu untuk anda. 70. Rancanglah untuk makan angin bersamanya.

71. Berbincanglah dengan cara yang menunjukkan kepadanya bahawa anda mahu dia dapat apa yang dia kehendaki dan anda juga mahu apa yang anda kehendaki. Ambil berat, tapi jangan berat sebelah.

72. Bila anda berjauhan darinya, beritahu padanya bahawa anda rindu padanya.

73. Belikan untuknya makanan yang dia gemari.

74. Minta pandangannya tentang sesuatu dan hargai pandangannya.

75. Ramai lelaki menganggap yang penting bila bersama wanita ialah melakukan perkara-perkara besar saja tetapi sebenarnya yang akan memenangi hati wanita ialah bila lelaki melakukan hal-hal kecil untuk membantunya dan menunjukkan anda ambil berat padanya. Dengan cara ini wanita akan merasa dirinya dicintai. Bila dia merasa dicintai, dia akan cinta pada anda tanpa berdolak-dalik.

76. Anda juga akan dapati bahawa melakukan kerja-kerja kecil untuk wanita akan mengubati hati anda. Bila dia gembira anda akan turut gembira. Anda akan merasa lebih berguna dan berjasa kerana isteri anda telah memperolehi perhatian yang dia perlukan
.

Resepsi ‘bali dalam taman’ Linda-Que

Resepsi ‘bali dalam taman’ Linda-Que

[SEMASA] AMPANG: Tiga jam sejurus dinikahkan, pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Hiadar atau Que Haidar, 30, dan koreografer Linda Jasmine Hashim, 37, disandingkan dalam satu majlis resepsi berkonsepkan ‘bali dalam taman’.

Linda yang anggun mengenakan gaun rekaan Syaiful Bahrim manakala Que segak dalam sut rekaan Lord’s Tailor tiba di Bora Ombak, di sini, kira-kira pukul 8.45 malam tadi.

Wajah ceria pasangan pengantin baru, Linda Jasmine Hashim dan Que Haidar. foto mStar oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

Majlis dimulakan dengan paluan kompang dan seterusnya dibuka dengan persembahan tarian ‘Raikan Kasih’ daripada Ala Dancers.

Kemudian, berkumandang persembahan nyanyian daripada anak didik Linda daripada Akademi Fantasia iaitu Amylea, Farhan, dan Riz. Turut menyanyi adalah Jebat dan Zila.

Linda tidak lupa untuk mengajak anaknya, Qalif Khan merakamkan gambar bersama.

Walaupun sedikit panas, namun majlis yang menggunakan sepenuhnya kawasan luar dan dalam restoran itu berlangsung dalam keadaan baik dan menimbulkan suasana yang romantik apabila disuluhi oleh cahaya suram daripada lampu neon dibantu dengan cahaya lilin.

Dengan pelamin indah bersama banyak kuntuman bunga ros kertas berwarna putih serta beberapa ekor rama-rama hiasan yang direka oleh penyanyi Jeslina Hashim dan dibantu oleh pihak Bora Ombak sendiri, 400 orang tetamu yang hadir turut menyaksikan pasangan ini melangsungkan upacara menepung tawar.

Ketika upacara memotong kek.

Mereka adalah keluarga kedua belah pengantin, rakan taulan termasuk selebriti.

Antara selebriti yang hadir adalah Linda Onn, Dafi AF5, Awal Ashaari, Shasha Bashir, Ramli MS, Lufya AF6, Pamela Chong, dan Fatimah Abu Bakar.

Linda ketika mengenakan gaun rekaan Syaiful Bahrim manakala Que memakai sut rekaan Calvin Thoo.

Beberapa jam selepas itu, upacara memotong kek tujuh tingkat daripada The Blooming Cake merupakan upacara terakhir sebelum Que dan Linda memberikan ucapan.

Pasangan yang mengenakan busana pengantin rekaan Calvin Thoo untuk upacara tersebut sempat merakamkan ucapan terima kasih kepada tetamu yang hadir serta pihak yang membantu menjayakan majlis tersebut.

Sesi bergambar bersama sebahagian ahli keluarga Que yang datang dari Johor dan Kedah.

“Terima kasih, kepada semua yang menjayakan majlis ini yang banyak sangat jika kami ingin sebut satu-persatu dan sayangku..I love you,” ucap Que yang selepas itu melirik dan tersenyum kepada Linda.

Linda membisik kepada Que: “I love you too.”

“Ramai orang yang saya perlu sebutkan. Jadi, terima kasih kepada semua,” kata Linda yang sejurut selepas itu turut menuturkan perkataan I love you dengan penuh romantis kepada Que.

Antara pihak yang turut memberikan sumbangan kepada majlis perkahwinan Linda dan Que adalah Jakel, Habib Jewels, Jeslina Hashim selaku perunding perkahwinan daripada Polkadotted Creative Solution.

Terdahulu, kira-kira pukul 5.45 petang tadi, Que sah bergelar suami Linda dengan dua kali lafaz selepas dinikahkan oleh jurunikah masjid kawasan Ampang Abu Sapian Jasin berwalikan bapa Linda Datuk Murad Hashim.

Que memberikan hantaran berupa mas kahwin sebanyak RM1101, sebentuk cincin dan senaskah al-Quran kepada Linda.

Sementara linda cantik seperti 'ratu' dalam busana putih rekaan Datin Sharifah Kirana membalas dengan sebentuk cincin.

Majlis resepsi pihak pengantin lelaki akan berlangsung pada 15 Mac depan di dewan orang ramai Felda Taib Andak, Kulai, Johor dengan tema diraja.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/15/mstar_hiburan/20090215022550&sec=mstar_hiburan

Bahagia tanpa petua




KUALA BERANG: “Tiada petua apa pun, cuma kita kena buat tidak kisah dan tidak simpan kata-kata yang terlepas cakap dari mulut isteri,” kata Muhamad Noor Che Musa, 37, apabila ditanya petua kebahagiaan rumah tangga bersama pasangannya, Wook Kundor yang berusia 106 tahun.

Beliau berkata, perkahwinan yang dibina pada Februari 2006 itu bukan atas dasar menumpang kekayaan atau niat tersembunyi kerana mereka sama-sama susah, sebaliknya sekadar ingin menumpang kasih serta berkongsi kemanisan hidup berumahtangga sebagai suami isteri.

Muhamad Noor yang banyak merantau sejak tamat perkhidmatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 1998 mendakwa dirinya menemui ketenangan hidup di sisi Wook sejak mereka berkahwin.

Perkenalan mereka bermula apabila Wook membenarkan Muhamad Noor yang bekerja di sebuah kilang papan menumpang satu daripada dua rumah sewanya di Kuala Berang dan kasih mereka mula berputik apabila Muhamad Noor kasihan melihat Wook hidup bersendirian, biarpun sering diziarahi saudara-mara.

“Mula-mula dulu memang ada orang mengata, tetapi saya buat tak kisah dengan kata-kata mereka kerana saya ada prinsip sendiri dan sekarang tiada lagi kata-kata sinis dilemparkan.

“Kalau setakat bergaduh mulut, ada juga sekali-sekala dan tidak dapat hendak dielakkan. Bagi saya, ia rencah perkahwinan dan semua orang melaluinya sebab kadangkala ada perkara yang kita terlepas cakap dan tidak dapat penuhi kehendak pasangan.

“Yang penting, sebagai lelaki dan ketua keluarga, kita perlu tahu bila hendak bertegas dan bila pula perlu mengalah,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di rumahnya di Kampung Tok Bak, di sini.

Mengimbas kisah awal perkahwinan unik mereka yang pernah disiarkan Harian Metro pada 1 Mei 2006, Muhamad Noor berkata, seboleh-bolehnya dia tidak mahu perkahwinan mereka dihebohkan kerana niat mereka berkahwin bukan untuk mencari publisiti.

“Apabila jadi tumpuan orang ramai dan keluar di akhbar, saya rasa tidak sedap hati. Namun hendak buat macam mana sebab ramai sangat orang datang tanya itu dan ini, terutama sebab dan rahsia saya kekal bersama isteri sehingga sekarang. Jadi terpaksalah juga layan.

“Malah ada wartawan dari Jepun datang menemubual kami di rumah dan seorang menteri bertemu kami di bandar. Namun yang tidak seronoknya, ada juga yang datang tidak kena waktunya dan mendesak bertanyakan macam-macam,” katanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan.

Tambahnya, ada pihak tertentu mengambil kesempatan atas perkahwinan mereka dengan menjual ‘cerita’ mereka untuk kepentingan bisnes serta menjanjikan macam-macam.

Sebelum bertemu jodoh dengan Muhamad Noor, Wook pernah berkahwin dengan 20 lelaki, tetapi tidak pernah dikurniakan zuriat. Kata Wook, dia berharap sangat perkahwinannya kali ini kekal hingga ke akhir hayat dan terbukti selepas lebih tiga tahun hidup bersama, mereka kekal bahagia sebagai pasangan suami isteri.

“Seluruh perjalanan hidup kita ditentukan qada dan qadar. Cuma nasihat saya sebelum bernikah ikutlah adat dan tanya dulu keluarga masing-masing,” katanya yang berasal dari Bachok, Kelantan.

Ditanya rahsia dia kekal bertenaga di usia lebih seabad, Wook berkata, tiada petua khusus melainkan mendekatkan diri dengan Allah dengan sentiasa mengaji al-Quran dan menjaga sembahyang.

Wook yang pernah menunaikan ibadat haji turut mengajar kanak-kanak di kampung itu mengaji sejak berusia 15 tahun.

Malah, Muhammad Noor turut mendalami ilmu mengaji al-Quran dengan Wook tanpa perasaan rendah diri atau malu dan Wook masih memiliki mata yang ‘tajam’ tanpa memakai cermin mata serta dapat mendengar dengan baik.

“Alhamdulillah, saya masih sihat dan tidak pernah kena penyakit berat. Kalau setakat batuk dan demam itu biasalah. Dalam soal makan minum pula, saya tiada pantang sangat, cuma saya tidak makan manis dan pedas,” katanya.

Sekitar penghujung 2006, Wook dilaporkan ingin mencari madu untuk Muhamad Noor sebagai ‘pengganti’ buat suaminya mendapatkan zuriat, namun demi kerukunan rumah tangga dan kesetiaan terhadap isterinya, Muhamad Noor menolaknya dengan baik meskipun pernah terdetik di hatinya untuk beristeri lain.

Walaupun pernah juga terfikir untuk mendapatkan zuriat, Muhamad Noor tidak sampai hati melukakan hati Wook dan memahami perasaan seorang isteri apabila dimadukan.

Sebaliknya, dia kini berharap rumah tangga dibina mereka sejak tiga tahun lalu kekal bahagia hingga ke akhir hayat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090215093725/Article/index_html

Faktor masa boleh pengaruhi hubungan

KUALA LUMPUR: Berkahwin dengan pasangan lebih muda memang menyeronokkan, tetapi tidak semua berakhir dengan kebaikan kerana ada juga masalah yang timbul apabila usia perkahwinan bertambah, sama ada ia disebabkan oleh pihak suami atau isteri.

Perunding Motivasi yang juga pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Md Izuddin Ali, berkata keburukan utama yang sering diutarakan apabila wanita berkahwin dengan lelaki muda ialah masalah ‘keintiman’ suami isteri pada masa akan datang.

“Jika perbezaan umur antara belasan hingga puluhan tahun, suami dibimbangi berdepan masalah batin ketika isterinya mencecah usia 50-an dan ke atas.

“Ketika itu, suami juga dibimbangi mula mencari pasal dengan mendapatkan wanita lain, berkahwin baru atau lebih buruk lagi, jika berpisah semata-mata kegagalannya menerima nafkah batin,”
katanya.

Menurut beliau, kerana itu ramai wanita bertanya terlebih dulu kepada bakal suami sama ada benar-benar bersedia untuk berkahwin.

Ini kerana, wanita biasanya sedar masalah mendatang kerana umur serta perangai lebih matang berbanding lelaki muda.

“Ia tidak mustahil berlaku jika suami muda atau lelaki itu tidak faham biologi isteri atau wanita seperti kitaran haid, hubungan intim dan sebagainya apabila usia meningkat.

“Lelaki atau suami muda itu pula mungkin tidak melihat perkara berkenaan ketika ini tetapi mula membuka mata pada masa depan. Sepatutnya lelaki perlu faham dan tidak semata-mata menyalahkan wanita,”
katanya.

Dalam masa sama, ada juga keburukan membabitkan anak wanita itu sendiri kerana mungkin usianya hampir sebaya bapa barunya.

Oleh itu, yang perlu dilakukan ialah menjaga ketertiban dalam hubungan antara anak tiri dengan bapa tiri kerana dibimbangi jika tidak dikawal ia mampu mencetuskan masalah serius seperti haruan makan anak.

“Mungkin anak perempuan tiri kurang selesa memandangkan usia hampir sama. Oleh itu, penting sekali ayah tiri serta ibu kandung memastikan perjalanan dalam kehidupan seharian teratur untuk tidak mencetuskan masalah,” katanya.

Kebaikan juga banyak, termasuk daripada segi mendidik, sifat matang dalam membuat pelbagai perkara atau keputusan serta persefahaman membabitkan pasangan.

Menurut beliau, wanita berusia biasanya matang dalam membuat pelbagai keputusan selain mempunyai banyak pengalaman dalam hidup.

“Di sini boleh dilihat isteri mampu membantu mematangkan suami muda dalam banyak perkara membabitkan kehidupan selain hubungan rumah tangga.

“Suami muda itu biasanya mahukan belaian serta tumpuan dan isteri boleh melakukannya dengan baik memandangkan kematangan mereka.

“Selain itu, isteri boleh memberi banyak input kepada suami berkaitan kehidupan kerana biasanya lelaki muda kurang ilmu dalam beberapa aspek kehidupan berbanding lelaki berusia,”
katanya.

Berkaitan persekitaran, Md Izuddin memaklumkan, perkahwinan membabitkan lelaki muda serta wanita berusia masih dianggap janggal di negara ini, khasnya di kalangan penduduk pinggir bandar.

Berbanding penduduk bandar, masih ada masyarakat pinggir bandar beranggapan ia sukar diterima memandangkan ramai lagi wanita lebih muda atau seusia boleh dijadikan pasangan hidup.

“Ia perlu dihadapi pasangan berkenaan walaupun apa yang mereka lakukan adalah sah menurut lunas agama tetapi janggal di mata masyarakat.

“Pandangan masyarakat tetap ada, sama ada di bandar atau luar bandar. Cuma, di bandar ia kurang memandangkan ramai berkahwin lambat selain gemar memilih pasangan lebih berusia,”
katanya.

Menurut beliau, yang penting ialah saling memahami, hormat pasangan dan jangan terlalu mengambil kisah pandangan sekeliling kerana pasangan itu sendiri yang mengemudikan rumah tangga dan bukan mereka.

Md Izuddin turut menasihatkan pasangan seperti itu supaya menerima semua kemungkinan kebaikan serta keburukan pada masa depan dalam rumah tangga.

“Suami muda perlu faham dengan masalah dihadapi isteri berusia, manakala isteri pula perlu bersedia daripada segi mental selain fizikal jika berdepan situasi berkenaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090215093750/Article/index_html

Remaja hidu gam - Rai Hari Kekasih

Remaja hidu gam

Oleh SALMAN HAMAT dan AHMAD TAJOL ANSAR IBRAHIM
am@hmetro.com.my

Hari Kekasih 2009 di Ampang, semalam." title="CEGAH MAKSIAT.. antara remaja yang ditahan dalam operasi
Hari Kekasih 2009 di Ampang, semalam." height="156" width="300" border="0">
CEGAH MAKSIAT.. antara remaja yang ditahan dalam operasi
Hari Kekasih 2009 di Ampang, semalam.

HULU LANGAT: Jika pasangan lain memilih bunga ros dan coklat untuk meraikan sambutan Hari Kekasih, sepasang remaja yang kemaruk bercinta dikatakan menghidu gam bagi membangkitkan rasa ghairah sebelum berasmara pada hari istimewa itu.

Lebih mengejutkan apabila dua remaja terbabit sanggup bermalam dalam khemah di pinggir hutan pusat rekreasi Sungai Congkak, di sini, bagi meraikan sambutan itu.

Bagi meraikannya, mereka yang berasal dari kampung berhampiran sanggup datang seawal jam 4 petang ke pusat rekreasi berkenaan dengan menaiki bas dan merancang pulang keesokan harinya.

Remaja itu yang dikenali sebagai Lia turut mengaku, sejak bertunang tiga bulan lalu dia dan tunangnya beberapa kali melakukan hubungan seks.

“Bagi saya ia tidak menjadi kesalahan, tambahan sempena Hari Kekasih untuk menunjukkan rasa sayang serta cinta pada bakal suami saya.

“Saya tidak menyesal dengan apa yang saya lakukan dan percaya dia (bakal tunang) akan bertanggungjawab jika berlaku perkara buruk,” katanya.

Sementara itu, tiga lagi rakan remaja terbabit turut ditahan untuk tindakan lanjut kerana didapati dalam keadaan khayal selepas menghidu gam, manakala tiga tin gam dipercayai digunakan kumpulan remaja terbabit untuk dihidu serta peralatan lain, termasuk plastik, dirampas.

Operasi Hari Kekasih 2009 yang dijalankan Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Wilayah Persekutuan dan Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) mensasarkan beberapa lokasi sekitar Ampang, Hulu Langat, Klang dan Shah Alam serta menahan kira-kira 100 pasangan kekasih yang berkelakuan tidak senonoh.

Ketua Keselamatan Operasi Hari Kekasih 2009, Wan Zahari Wan Daud, berkata kebanyakan remaja ditahan berikutan berkelakuan tidak senonoh dan mendatangkan syak di kawasan sunyi serta gelap.

“Ketika ditahan, ada di kalangan remaja ini asyik berasmara, tidak kurang juga berpelukan antara lelaki dan perempuan bukan muhrim.

“Kaunseling diberi kepada pasangan yang diperiksa berdasarkan modul khas program kami bagi membentuk kembali keinsafan dan rasa takut kepada azab Tuhan,”
katanya.

Wan Zahari berkata, kurangnya acuan agama dalam diri remaja mendorong mereka melakukan perkara yang dilarang dan bimbang dianggap kolot oleh rakan sebaya antara faktor sambutan Hari Kekasih perlu mereka raikan.

“Remaja sepatutnya sedar tindakan mereka meraikan Hari Kekasih tidak sepatutnya berlaku dan pengaruh bahan lucah, termasuk ubat kuat haram yang berlambak di pasaran, antara faktor pasangan remaja kemaruk ingin melakukan hubungan seks tanpa memikirkan risiko,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090215094324/Article/index_html

Nikmat suami muda


Oleh NAZARALI SAERIL, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan MOHD NASIF BADARUDDIN
metahad@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Selepas hangat dengan kes perceraian, kini muncul satu lagi ‘warna-warni’ dalam dunia hiburan tanah air apabila secara kebetulan dan tanpa dirancang ramai artis wanita memilih lelaki muda sebagai suami.

Berdasarkan pemantauan, lima artis dan seorang personaliti televisyen wanita memilih suami yang jarak usia jauh lebih muda berbanding mereka.

Menduduki senarai teratas trend berkahwin dengan ‘pucuk muda’ ialah pelakon, Rosnah Mat Aris, 54, yang memilih lelaki bujang, Tajul Efendie Isa, 28. Perbezaan umur di antara mereka ialah 26 tahun.

Ini diikuti Khalidah Adibah Ahmad, 52, atau nama komersialnya, Aida Radzwil yang berkahwin dengan Joe Radzwill, 39, pada 2002 (beza 13 tahun).

Mereka disusuli pelakon jelita, Rita Rudaini Mokhtar, 33, dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak, 22, (beza 11 tahun) melalui perkahwinan mereka yang mencetus kontroversi hujung tahun lalu.

Seterusnya, penyanyi dangdut, Rashidah Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheeda, 40-an dan guru, Shukri Hashim 30-an (beza 10 tahun) serta personaliti TV3, Azizah Ariffin, 40, dan Eksekutif Pemasaran di Jabatan Pemasaran TV3, Mohd Khafairil Mohd Khalil 30, (beza 10 tahun).

Pasangan terbaru yang memasuki senarai ialah pelakon Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar, 30, dan koreografer popular, Linda Jasmine Hashim, 37 (beza tujuh tahun), yang selamat mendirikan rumah tangga semalam.

Rosnah ketika dihubungi berkata, tiada bezanya berkahwin dengan lelaki lebih muda kerana tanggungjawabnya tetap sama.

Kata Rosnah, dia berkahwin kerana jodoh dan bukan ada sebab lain yang mendorongnya memilih lelaki muda.

“Jika kahwin dengan lelaki sama usia atau lebih tua dari kita, ia tetap sama. Saya tiada masalah kahwin dengan lelaki yang jauh lebih muda dari saya.

“Blue (Tajul Efendie) sangat matang walaupun usianya jauh lebih muda dari saya. Justeru, kami mempunyai persefahaman antara satu sama lain,” katanya.

Menurut Rosnah, dia bukan memilih lelaki lebih muda untuk ‘berseronok’.

“Kalau fikir nak seronok, baik saya tak payah kahwin. Perkahwinan memerlukan kita menjaga suami dan melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri,” katanya yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila pada awalnya menafikan berkahwin, sebelum akhirnya mengakuinya.

Rosnah berkata, kehidupan suami isteri yang dilaluinya sama dengan pasangan lain dan dia turut mengecapi bahagia.

“Walaupun masing-masing sibuk, dia (Blue) balik malam dan saya juga balik malam, tetapi kami memanfaatkan masa terluang bersama.

“Paling menyeronokkan, kami kerap meluangkan masa masuk ke dalam hutan untuk memburu. Ini pengalaman baru yang belum pernah saya lalui sebelum berkahwin dengannya,” katanya.

Sejak berkahwin dengan Blue, rezeki Rosnah nampaknya semakin bertambah apabila kini dia dan suami memulakan perniagaan produk kosmetik dan kolam ikan. Bagaimanapun, permintaan Metro Ahad untuk mengambil gambarnya bersama suami tidak dapat dipenuhi.

“Suami saya tak mahu glamor,” kata Rosnah.

Bagi Sheeda pula, tidak timbul perasaan bangga dalam dirinya apabila jodoh kali ketiganya ditakdirkan dengan seorang guru yang 10 tahun lebih muda darinya.

“Saya berkahwin dengan suami lebih muda bukan untuk berbangga, tetapi ia jodoh yang ditetapkan. Jika ada yang beranggapan saya mengamalkan petua tertentu untuk memikat lelaki muda, ia tidak benar kerana saya tidak berbuat demikian,” katanya.

Menurut Sheeda, perkahwinannya juga diibaratkan seperti ungkapan ‘cinta tak mengenal usia’ sambil memberitahu, bukan mudah untuk dia dan suami ke jinjang pelamin kerana mereka bukan saja mendapat tentangan keluarga, tetapi masyarakat.

“Lima enam bulan sebelum berkahwin, kami menderita juga. Saya perlu meyakinkan keluarga suami dan suami perlu meyakinkan keluarga saya.

“Saya juga perlu meyakinkan penduduk kampung suami yang pada mulanya memandang serong hubungan kami. Akhirnya berkat kesabaran, bukan saja keluarga suami, tetapi penduduk kampung suami merestui perkahwinan kami. Begitu juga keluarga saya,”
katanya.

Sheeda berkata, kejujuran adalah faktor paling penting dalam menjamin kerukunan rumah tangga, apatah lagi apabila berkahwin dengan suami yang lebih muda.

“Kalau tak jujur, apa dilakukan memang tidak akan menjadi. Suami pula meyakinkan saya dengan memberitahu terimalah dia seadanya,” katanya.

Menurut Sheeda, perkahwinan dengan suami ketiganya bagaikan membuka lembaran baru dalam hidupnya.

“Sebelum ini saya bukan orang berniaga, tetapi dia bijak mengajar saya. Kini saya mampu mempunyai produk sendiri, iaitu Kopi Dangdut Kacip Fatimah dan album yang diedarkan sendiri tanpa perantaraan syarikat rakaman,” katanya.

Azizah pula menyifatkan umur hanya angka dan bukan faktor utama yang membolehkan perkahwinan itu berkekalan atau sebaliknya.

Menurutnya, ada isteri mendapat suami agak berumur tetapi tetap berpisah, dan kerana itu dia beranggapan faktor usia tidak boleh dijadikan ukuran keharmonian rumah tangga.

“Saya dan suami tidak pernah ada masalah berkaitan umur ketika mahu melangsungkan perkahwinan hinggalah kami disatukan sebagai suami isteri.

“Saya bersyukur suami seorang yang memahami dan tidak pernah menjadikan faktor umur sebagai tembok pemisah untuk kami hidup bahagia seperti pasangan lain,”
katanya.

Menurut Azizah, dia dan suami percaya persefahaman, kesabaran dan perbincangan perlu ada dalam hubungan suami isteri bagi memastikan tiada pihak membuat keputusan yang boleh mengguris hati pihak lain demi keharmonian rumah tangga.

Pada masa sama, Azizah turut memaklumkan, mungkin lelaki muda menerima jodoh bersama wanita lebih berusia kerana sifat tertentu wanita berkenaan yang menambat hati mereka.

“Dalam hal suami saya, saya tahu dia pernah mempunyai teman wanita yang juga lebih berusia darinya.

“Mungkin dia mahukan wanita berusia kerana matang dalam pelbagai perkara. Saya pernah melayari bahtera rumah tangga dan ada sedikit pengalaman boleh digunakan untuk kebahagiaan kami bersama,”
katanya.

Berkaitan pandangan masyarakat, Azizah berkata, jika diikutkan apa yang dikatakan oleh orang di sekeliling, pasti semuanya salah dan dia serta suami tidak mungkin bersatu.

Katanya, masyarakat ada sebab sendiri untuk memandang serong atau menyokong sesuatu perkahwinan membabitkan isteri lebih berusia dari suami.

“Ada rakan sekerja saya bercakap bukan-bukan di belakang saya ketika hari perkahwinan sudah hampir, tetapi saya buat tidak tahu kerana yang mahu berkahwin adalah saya, bukan mereka.

“Pada saya, yang penting dalam perkahwinan kami ialah kasih sayang suami isteri serta anak, restu keluarga, saling memahami selain yakin pada jodoh ditentukan Allah SWT kerana kita akan menjadi lebih baik dari semalam jika semua itu ada,”
katanya.

Bagi Rita pula, dia pernah memaklumkan sebelum ini bahawa hati kecilnya sedikit pun tidak berdetik rasa kesal kerana baginya menjadi isteri kepada lelaki yang sangat dicintai ibarat mimpi menjadi kenyataan.

“Doa kami berdua akhirnya dimakbulkan Tuhan walaupun banyak rintangan perlu dihadapi membabitkan pelbagai perkara sepanjang tiga tahun bercinta,” katanya.

Suaminya, Aidil juga mengeluarkan kenyataan sebelum ini bahawa dia tidak pernah memikirkan soal umur atau statusnya dalam memilih pasangan hidup, asalkan dalam diri wanita itu ada ciri-ciri yang dia mahukan.

“Saya bukan lelaki cerewet walaupun pada zahirnya ada yang membuat andaian begitu. Ada juga yang kata saya memilihnya kerana Rita artis popular.

“Bagaimanapun kalau hendak diikutkan, beristerikan orang popular lagi susah kerana tekanan dari luar lebih banyak. Cuma sepanjang tiga tahun mengenali hati budinya, Rita wanita yang berbeza berbanding gambaran mengenai selebriti yang sering kita dengar,”
katanya.

Menurut Aidil, mereka ada beberapa persamaan seperti bersikap sederhana, tidak suka keluar rumah jika tiada urusan kerja dan pelbagai lagi.

Aidil juga yakin mahu memperisterikan Rita kerana dia wanita matang, memahami kerjaya dan dirinya.

“Tanggapan orang bahawa perkahwinan dengan artis tidak menjanjikan kebahagiaan berpanjangan, rasanya tidak benar kerana saya percaya keikhlasan dalam setiap hubungan akan menjadikan kita kuat untuk berdepan apa saja masalah,” katanya.

Bagi aktres, Aida Radzwill pula, hidup dengan berlandaskan hukum agama menjadi pegangannya dalam melayari kehidupan berumah tangga.

“Kahwin lelaki muda, sama usia atau lebih tua, cabarannya tetap sama. Kita perlu jujur dengan diri sendiri dan berpegang kepada ajaran Islam,” katanya yang meniti kehidupan bahagia bersama Joe kira-kira tujuh tahun.

Menurut Aida, dia bersyukur Joe memahaminya dan bersedia untuk mendengar kata-katanya.

“Walaupun dia lebih muda, sikapnya matang. Dia boleh mendengar kata-kata saya dan kami sentiasa berbincang. Segala keputusan dalam sesuatu perkara, kami lakukan bersama,” katanya yang kini bertudung.

Sementara itu, jika ‘rekod silam’ dijadikan perbandingan jarak usia paling jauh di antara suami dan isteri, ternyata Rosnah ‘tewas’ dengan pelakon drama Aripah Damanhuri yang kini berusia 60 tahun.

Ini kerana Aripah pernah berkahwin dengan lelaki bujang yang jarak usia 32 tahun lebih muda darinya.

Aripah berkahwin dengan Norhariman Muhamad pada 21 Mei 1999 ketika dia berusia 50 tahun dan suaminya berusia 18 tahun.

Bagaimanapun, jodoh mereka tidak berpanjangan apabila pada 24 Oktober 2008, mahkamah mengesahkan permohonan lafaz cerai yang difailkan bekas suaminya.



Info

> Azizah Ariffin dan Mohd Khafairil Mohd Khalil atau lebih dikenali sebagai Fairil dinikahkan pada 18 Ogos 2007 di kediaman Azizah di Bandar Utama.

> Rita Rudaini Mokhtar dan Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak berkahwin di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008.

> Rashidah Hamid atau lebih dikenali sebagai Sheeda dan Shukri Hashim bernikah pada 7 Oktober 2008 di kampung Sheeda di Kampung Pasir Pekan, Kelantan.

> Rosnah Mat Aris dan Tajul Efendie Isa dinikahkan pada 13 November 2008 di Masjid Al-Khairiah, Taman Sri Gombak, Selangor.

> Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar atau Que Haidar dan Linda Jasmine Hashim dinikahkan pada 14 Februari di Restoran Bora Ombak, Jalan Ampang.

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20090215092140/Article

Emas di hujung pelangi


TIDAK ada tempayan berisi emas di hujung pelangi ini, hanya laluan bertol di Lebuh Raya 241 California.


Sekarang baru kita tahu apa yang ada di hujung pelangi - dan ia bukannya sebuah tempayan berisi emas!

Sebaliknya ia bertemu dengan laluan bertol Lebuh Raya 241 di Orange County, California, Amerika Syarikat.

Menurut saksi, pelangi itu bergerak hanya 30 meter sejam.

Gambar yang menakjubkan ini diambil jurugambar amatur, Jason Erdkamp, menggunakan iPhone miliknya Ahad lalu, selepas ribut melanda pantai barat pesisiran Amerika Syarikat.

Menurut mitos rakyat Amerika, sepatutnya terdapat sebuah tempayan berisi emas di hujung pelangi, yang dikatakan mungkin disorokkan oleh lelaki kerdil, Leprechaun.

Bagaimanapun, Jason, dari pinggir bandar Lake Forest, Los Angeles berkata: "Tidak ada tempayan berisi emas, tetapi saya menang AS$25 pada malam itu melalui tiket loteri."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Warna tali leher Obama


MERAH atau biru? Ada yang berpendapat pemilihan tali leher berwarna merah oleh Obama mewakili sokongannya kepada Bipartisan.



MERAH warna kuasa, biru pula melambangkan ketenangan dan keyakinan.


Amerika Syarikat baru saja selesai maraton pilihan raya penentuan presiden dan kini berada di tengah-tengah kejatuhan ekonomi dunia.

Daripada sidang perdebatan hinggalah ke dewan bandar raya, sidang media dan panel kongres, pelbagai jenis tali leher boleh diperhatikan. Namun, kenapa hampir kesemuanya, sama ada berwarna merah atau biru?

Jawapan yang paling logik untuknya ialah ia hanyalah sesuatu yang orang Amerika lakukan untuk menyokong warna bendera negara - satu lambang patriotisme.

Mungkin juga ada mesej lain yang cuba disampaikan. Obama yang sering memakai tali leher warna merah seolah-olah menyampaikan mesej tersirat bahawa dia ialah seorang ahli Bipartisan.

Bagaimanapun, sains menunjukkan ia lebih daripada sekadar warna primer. Livescience melaporkan bahawa beberapa kajian mendapati memakai warna merah atau biru membantu ahli politik 'meraih keistimewaan' dan ia sesuatu yang sememangnya digemari ahli politik.

Kajian itu mendapati warna merah ialah warna yang paling berkesan untuk menajamkan perhatian manusia terhadap perincian, manakala warna biru pula paling baik bagi meningkatkan keupayaan kita untuk berfikir dengan kreatif.

Jika kajian itu tepat, pilihan tali leher Obama dapat menggalakkan rakyat Amerika untuk menjadi lebih peka kepada perincian dan kreatif, memandangkan beliau kerap memakai kedua-dua warna itu.

Beliau juga sehingga kini dilabel sebagai presiden yang tidak kisah untuk membuka kotnya dan gayanya yang lebih santai sudah banyak kali menjadi subjek perbincangan dalam banyak blog dan profil.

Pakar fesyen telah mengenal pasti satu trend yang cenderung kepada warna biru sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Elizabeth Shein, pakar gaya rasmi Konvensyen Kebangsaan Demokrat 2004, berkata: "Tali leher berwarna biru mungkin aksesori paling kerap dipakai lelaki.

"Ia warna yang versatil dan menepati keperluan empat musim. Ia dapat dipadankan dengan segala-galanya, membuatkannya warna tali leher pilihan kali ini.

"Saya belum berdepan dengan masalah fesyen lagi sejak berada di sini. Semua orang yang datang kelihatan hebat."

Jaime Stephens, Pengarah Eksekutif Color Marketing Group, bersetuju. Beliau memberitahu: "Warna biru sejak dulu mewakili ketenangan dan menyampaikan keyakinan. Tidak seperti warna merah, warna kuasa yang saya fikir sebagai warna milenium lepas."

Bagaimanapun, peminat warna merah tua tidak perlu khuatir. Kedua-dua warna itu masih berada di kedudukan teratas. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Nadya terima 500 ugutan bunuh


WALAUPUN hanya mengharapkan seorang lagi anak selepas melahirkan enam anak, Nadya Suleman sebaliknya dianugerahkan lapan orang anak hasil kaedah in-vitro. Kanan, gambar anak-anak Nadya.


BUAT pertama kalinya, ibu kepada kembar lapan di Whittier, California, Amerika Syarikat, Nadya Suleman mendedahkan cara beliau merancang untuk membesarkan 14 anaknya sebagai ibu tunggal dengan begitu banyak mata yang memerhati.

Nadya, 33, sebelum ini mengisi dada akhbar di seluruh dunia setelah berjaya melahirkan kembar lapan. Bagaimanapun, perjalanannya selepas itu tidak selancar yang diharapkan setelah orang ramai mengetahui tentang kehadiran enam lagi anaknya yang terdahulu.

Semalam dia mendedahkan kesemua 14 anaknya datang daripada ayah yang sama, iaitu David Solomon, sebagai penderma sperma. Solomon tidak pernah ditemui mahupun berhubung dengan Nadya sejak kelahiran kembar lapan itu.

"Saya mengenalinya sejak 15 tahun lalu. Kami berhubung setahun sekali. Saya tidak boleh mendedahkan di mana dia sekarang, ia rahsia kami.

"Saya terkejut dia sanggup membantu saya banyak kali. Saya sangat menghargainya. Dia ada melawat enam anak-anak yang terdahulu dan mereka menerimanya sebagai seorang kawan. Tetapi jika dia mahu terlibat dengan serius dalam perhubungan ini, itu pilihannya."

Nadya turut mendedahkan kali terakhir dia bercakap dengan Solomon ialah dua minggu sebelum melahirkan kembar lapannya itu.

Laluan hidup di depannya bertambah sukar apabila salah seorang daripada anaknya yang terdahulu menghidap autistik sementara dua lagi berdepan dengan masalah lembam.

Sepanjang membesar, Nadya sememangnya mengidamkan keluarga yang besar. Dengan kehadiran kembar lapan dalam keluarga sedia adanya, Nadya bertegas: "Saya sudah puas melahirkan anak. Keluarga saya sudah sempurna dan saya tidak mahu apa-apa lagi perubahan."

Si kecil Noah, Malia, Isaiah, Nariah, McCai, Josiah, Jeremiah dan Jonah dilahirkan pramatang, iaitu dua bulan awal daripada tarikh jangkaan.







Sekarang mereka akan menghabiskan masa sebulan lagi di hospital sebelum dibenarkan pulang ke rumah, memandangkan salah seorang daripada mereka kini sedang menjalani rawatan akibat demam kuning.

Bagaimanapun, bukan semua orang menyokongnya memiliki sehingga 14 orang anak melalui semaian in-vitro. Nadya sudah menerima 500 ugutan bunuh melalui surat, e-mel dan poster Ada juga yang menjerit-jerit di depan rumah Nadya dengan mengatakan ibu dan anak-anaknya itu patut mati.

Kesukaran jelas tergambar apabila melihat rumah tiga bilik yang didiami Nadya bersama anak-anaknya di Whittier, California.

Dihias sederhana, barang permainan ditemui di merata-rata tempat, ada kesan makanan pada dinding rumah manakala taman di luar rumahnya juga tidak berkemas.

Selain ditolong ibunya, Angela, Nadya juga dibantu pembantu rumah, Aracelli.

"Aracelli datang ke rumah dari Isnin hingga Jumaat dan saya bayar dia AS$500 seminggu. Dia sangat cekap. Dia bekerja lebih masa sehingga 12 jam sehari dan tidak meminta bayaran tambahan. Dia sangat membantu. Keenam-enam anak saya yang lebih tua mendengar cakapnya."

Caleb, berambut perang keemasan dan bermata biru, dan kembarnya, Calyssa, berambut dan bermata gelap sering tidak sependapat. Mereka menambah kemeriahan kakak dan abang mereka, Elijah, 7, Amerah, 6, Joshua Jacob (JJ), 5 dan Aidan, 3.

Elijah menghidap gangguan perhatian (ADD), manakala Calyssa mempunyai masalah pertuturan.

Menurut Nadya, dia berada dalam kesakitan yang amat sangat selepas pembedahan Caesar itu.

"Sehari selepas melahirkan kembar dua saya dahulu, juga melalui pembedahan Caesar, saya sudah dapat berdiri pada keesokan harinya.

"Tetapi kali ini saya tidak dapat berjalan langsung. Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk beberapa hari. Saya tidak dapat bercakap kerana terlalu sakit."

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Ajaran kuno di Eropah


SEORANG penganut Krishna menaiki kereta lembu di Somogyvamos, Hungary baru-baru ini.


BUDAPEST - Sekumpulan 200 penganut agama Krishna di Hungary masih mengamalkan gaya hidup tradisional serta mengasingkan diri daripada dunia luar.

Kumpulan berkenaan tinggal di Lembah Krishna atas sebidang tanah berkeluasan 250 hektar yang dikendalikan oleh Persatuan Kesedaran Krishna Antarabangsa.

Mereka menanam semua jenis tanaman dan ternakan untuk kegunaan seharian serta menjalani kehidupan mengikut cara kuno.

Kepercayaan yang berasal daripada ajaran Hindu itu masih mengamalkan gaya hidup seperti masyarakat di India termasuk aspek makanan, muzik dan mengunjungi kuil. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

25 anggota Al-Qaeda mati dibedil


WANA - Satu serangan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) membunuh sekurangkurangnya 25 anggota Al-Qaeda di sempadan Pakistan semalam.

Serangan oleh pesawat tanpa juruterbang di wilayah Waziristan Selatan itu merupakan kejadian pertama sejak Presiden Barack Obama mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Januari lalu.

Seorang penduduk yang enggan dikenali menganggarkan 30 kematian manakala seorang pegawai keselamatan kanan Pakistan berkata, tidak ada pemimpin kanan Al-Qaeda dilaporkan mati.

“Seramai 50 hingga 60 pejuang Al-Qaeda tinggal di kawasan itu sejak seminggu lalu. Semua mereka ialah warga Uzbekistan,” kata seorang pemimpin Taliban. – Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Bukan Wang Monopoly - Obama

Senat lulus AS$787b



SEORANG anggota Parti Republikan memegang dokumen rang undang-undang pakej rangsangan di Washington kelmarin.


WASHINGTON - Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin meluluskan pakej pemulihan berjumlah AS$787 bilion (RM2.8 trilion) yang dilihat Presiden Barack Obama bakal merangsang ekonomi negara itu yang semakin tenat.

Pelan yang sebelum ini memerlukan beberapa pindaan kecil akan dihantar ke pejabat Obama untuk ditandatangani sebelum pelaksanaannya.

Pakej itu termasuk peruntukan AS$120 bilion (RM434 bilion) bagi tujuan prasarana seperti membaik pulih jambatan, bangunan kerajaan dan jalan raya.

Sebanyak AS$100 bilion (RM361 bilion) diberikan untuk pendidikan, AS$30 bilion (RM108 bilion) untuk tenaga dan AS$212 bilion (RM766 bilion) bagi potongan cukai manakala AS$267 bilion (RM965 bilion) adalah untuk makanan serta faedah hilang pekerjaan.

Pejabat Belanjawan Kongres menjangka pelan itu akan menjana sehingga tiga juta pekerjaan baru.

Undian 60-38 oleh 100 anggota dewan yang bermula pada pukul 5.30 petang waktu tempatan itu mengambil masa selama beberapa jam.

Sejumlah anggota Parti Republikan dalam dewan itu melahirkan rasa kecewa kerana terpaksa membaca rang undang-undang perbekalan setebal 1,000 muka surat dalam tempoh singkat.

"Parti Demokrat tidak boleh berbuat sesuka hati hanya kerana Republikan menghabiskan banyak wang selepas kejadian 11 September dan ekoran masalah kewangan semasa," kata seorang wakil Republikan.

Sementara itu, Obama menyatakan tindakan Senat meluluskan pelan itu merupakan langkah penting dalam pemulihan ekonomi AS.

"Pelan itu bukan wang Monopoly. Ia perlu dibayar semula oleh anak dan cucu kita," kata Obama. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Malaysia diserang dadah India


DADAH ketamin yang disorok di dalam tin makanan yang cuba diseludup dari India ke negara ini dirampas di KLIA baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Selain syabu dan pil ekstasi, kini dadah sintetik jenis ketamin atau nama saintifiknya anaestasia juga didapati semakin berleluasa di negara ini.

Malah sejak kebelakangan ini semakin banyak kes Malaysia dijadikan transit sindiket pengedaran dadah ketamin yang kebanyakannya dibawa masuk dari India.

Pihak berkuasa India semalam berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup 6.25kg ketamin ke Malaysia selepas menahan seorang lelaki di Lapangan Terbang Chennai.

Dalam operasi itu, anggota Unit Risikan Kastam Chennai menahan suspek dikenali sebagai Abu Rowther Naina Akhbar Ali, 37, dari Tiruchi, India sebelum dia menaiki pesawat Indian Airlines yang dijadualkan berlepas ke Kuala Lumpur.

"Lama juga mereka (pengedar ketamin) tidak bergerak aktif, tapi kami berjaya menangkap seorang semalam yang membawa lebih enam kilogram ketamin. Dia dalam perjalanan ke Malaysia dan kami percaya lelaki ini diberi upah antara Rs5,000 dan Rs10,000 untuk menyeludup dadah itu," kata Pesuruhjaya Kastam Chennai (Udara), Parminder Singh.


KETAMIN digunakan sebagai bius untuk binatang ternakan di India. - Gambar hiasan


Dadah berkenaan disembunyikan dalam sembilan peket serbuk teh berjenama Brooke Bond Roses yang dimasukkan ke dalam sebuah beg.

"Apabila disoal siasat, penumpang itu berkata dia bersetuju membawa dadah berkenaan ke Kuala Lumpur kerana diberi upah. Kini dia ditahan bagi siasatan lanjut," kata pegawai itu.

Chennai sering digunakan oleh pengedar dadah sebagai pintu keluar dadah yang diseludup ke negara-negara Asia Tenggara.







Persoalannya kenapa secara tiba-tiba dadah pracampuran yang diberi gelaran 'dadah India' itu popular di kalangan penagih baru di Malaysia.

Adakah lebihan pengeluaran dadah jenis itu dari India punca ia dibawa masuk ke negara Asia Tenggara termasuk ke Malaysia sejak kebelakangan ini?

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Prof. Dr. Mahmood Nazar Mohamed berkata, ketamin memang dihasilkan dalam jumlah yang banyak di India tetapi bagi tujuan penternakan dan perubatan.

"Ketamin sebenarnya dihasilkan untuk tujuan membius binatang dan banyak digunakan dalam aspek perubatan. India memang diketahui sebagai pengeluar utama ketamin dan apabila terdapat permintaan dari negara ketiga untuk tujuan penagihan, maka ia diseludup," katanya kepadaKosmo! Ahad di sini semalam.

Mahmood Nazar berkata, gejala itu mungkin punca kenapa ketamin dari India kini 'menyerang' negara ini sehingga memaksa pihak berkuasa bertungkus-lumus menanganinya.

Dalam pada itu, Mahmood Nazar memberitahu, rata-rata penagih ketamin ialah remaja yang gemar bersosial di kelab malam.

Namun, jelasnya, tidak kurang juga golongan dewasa yang dulunya menghisap ganja, heroin dan morfin. Kini mereka beralih kepada ketamin.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0215&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...