Saturday, September 27, 2008

Pahala akhir Ramadan


DETIK-DETIK akhir Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya.

------------------------------------------------------------------

DETIK-DETIK akhir Ramadan mempunyai kelebihan dan keistimewaannya. Ini kerana antara malam-malam terakhir, ada satu malam yang paling istimewa iaitu malam Lailatulqadar.
Firman Allah: 'Sesungguhnya kami turunkan al-Quran pada malam Lailatulqadar. Dan apa caranya engkau mengetahui apa dia kebesaran malam itu? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibrail dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu (yang berkat itu sehingga terbit fajar' - surah al-Qadar:1-5

Apa yang dilakukan oleh Rasulullah pada malam-malam terakhir Ramadan adalah dengan melipat gandakan amalan ibadah. Tegas Rasulullah dalam sebuah hadis: 'Rasulullah pada malam-malam sepuluh yang terakhir Ramadan memperiratkan ikatan kainnya dan bangun semalaman dan mengejutkan keluarganya' - hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Ini bererti Rasulullah menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan dengan banyak melakukan solat dan zikir. Tegas Aisyah: 'Adalah Rasulullah bersungguh-sungguh pada sepuluh terakhir (dari bulan Ramadan) melebihi kesungguhan pada malam-malam yang lain' - hadis riwayat Ahmad dan Muslim.


KITA digalakkan untuk sentiasa meningkatkan amalan pada sepuluh malam terakhir Ramadan.

----------------------------------------------------------

Bagi memanfaatkan hari-hari terakhir Ramadan, kita digalakkan untuk sentiasa meningkatkan dengan amalan seperti solat terawih, berzikir, membaca al-Quran, doa dan istighfar. Sabda Rasulullah: 'Barang siapa yang melaksanakan solat qiyam Ramadan (solat terawih) pada malam al-Qadar kerana keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu' - hadis riwayat Bukhari.

Qiamullail atau solat Tahajud atau solat malam adalah merupakan ibadah yang amat dituntut terutamanya pada bulan Ramadan. Firman Allah: 'Dan bangunlah pada sebahagian waktu malam dan kerjakanlah (solat tahajud)padanya, sebagai solat tambahan bagi mu; semoga Tuhan mu membangkitkan dan menempatkan mu pada hari akhirat di tempat yang terpuji' - surah al-Isra' : 79.

Rasulullah menegaskan: 'Solat yang paling utama sesudah solat fardu adalah qiamullail (solat pada tengah malam)'- hadis Mutafaqun alaih. Sementara itu, amalan berdoa juga merupakan amalan yang baik. Rasulullah menegas: 'Pada waktu malam terdapat satu saat di mana Allah akan mengkabulkan doa setiap malam' - hadis riwayat Muslim.

Dalam pada itu, kita sepatutnya menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang di luar tuntutan yang menjadi amalan Rasulullah. Namun, saat akhir Ramadan masa yang paling sibuk bagi kebanyakan orang untuk mengadakan persiapan dan sambutan hari raya.

Masjid yang pada awalnya begitu imarah sekali, mungkin mula kembali sepi dengan jemaah. Ironinya, para suri rumah tangga pula terpaksa bersengkang mata untuk menyediakan juadah hari raya yang akan disambut dalam jangka masa sebulan pada bulan Syawal.

Apa pun yang kita lakukan, jadikan Ramadan kali ini untuk kita menilai kembali sejauh manakah pencapaian kita dalam aspek kesabaran dan kawalan emosi.

http://www.kosmo.com.my/27092008

Lelaki tertinggi bakal bapa


XISHUN berjalan bersama isterinya di luar pangsapuri mereka di Zunhua, China.

---------------------------------------------------------

BEIJING - Lelaki tertinggi dunia, Bao Xishun bakal menjadi bapa selepas isterinya, Xia Shujuan hamil, lapor sebuah akhbar semalam.

Shujuan, 29, mengandung anak pertamanya sejak berkahwin dengan Xishun, 57, yang mempunyai ketinggian 2.36 meter pada tahun lalu.

Xishun sebelum ini tidak berkahwin kerana ketinggian itu menyebabkannya sukar mencari jodoh sehingga dia bertemu dengan Shujuan.

Lelaki itu juga pernah mendapat tumpuan media selepas dia membantu mengeluarkan plastik daripada perut dua ekor ikan lumba-lumba pada Disember 2006.

Doktor haiwan sebelum itu gagal mengeluarkan plastik tersebut yang ditelan secara tidak sengaja oleh mamalia berkenaan.

Xishun kemudiannya menggunakan tangannya sepanjang 1.06 meter untuk mencapai dan mengeluarkan plastik daripada perut ikan lumba-lumba.

Pada 2006, Xishun kehilangan gelarannya sebagai lelaki paling tinggi di dunia kepada seorang lelaki Ukraine, Leonid Stadnyk yang mempunyai ketinggian 2.59 meter.

Bagaimanapun, Xishun mendapat semula gelaran itu apabila Stadnyk, 37, enggan mengukur ketinggiannya mengikut garis panduan Guinness Book Of Records. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/27092008

Ulama terkejut tindakan anak


Yasmin

--------------------------------------------------------------

LONDON - Seorang anak perempuan ulama terkenal Britain, Omar Bakri Mohammed merupakan seorang penari separuh bogel, lapor sebauh akhbar semalam.

Omar yang kini berada di Lebanon selepas diusir dari Britain mengaku terkejut dengan tindakan anak perempuannya itu, Yasmin.

Yasmin yang berumur 27 tahun menjalani kehidupan sedemikian kerana memberontak corak kehidupan bapanya yang mahu badan wanita ditutupi dengan pakaian.

Anak perempuan Bakri itu juga sudah meninggalkan rumah keluarga di London Utara lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, Yasmin mengaku: "Saya bersedia untuk mendedahkan payu dara jika melakukannya di tempat yang sesuai."

Anak perempuan Bakri itu melakukan persembahaan dalam keadaan sepa-ruh bogel ketika berada dalam kurungan di bar-bar. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/27092008

Lebih 190,000 di Masjid Al-Aqsa


AFP
penganut Islam solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis semalam.

------------------------------------------------------------------

BAITULMAQDIS - Lebih 190,000 penganut Islam bersolat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, kata polis Israel semalam.

Solat Jumaat yang terakhir dalam bulan Ramadan itu diadakan walaupun terdapat kawalan ketat oleh pasukan keselamatan Israel.

Jurucakap Polis Israel, Micky Rosenfeld berkata, tidak terdapat insiden besar yang berlaku ketika penganut Islam mengerjakan solat tersebut.

Bagaimanapun, menurutnya, pihak keselamatan masih mengekalkan tahap berjaga-jaga yang tinggi pada cuti lalitulqadar.

Cuti itu diraikan menjelang hampir Ramadan di mana ramai penganut Islam menganggap malam lailatulqadar adalah waktu paling baik untuk berdoa.

Masjid Al-Aqsa merupakan tempat suci yang ketiga bagi umat Islam dan merupakan lokasi 'panas' kerana menjadi tempat konflik antara penduduk Palestin dengan Israel.

Penduduk Yahudi percaya bahawa kawasan pekarangan Masjid Al-Aqsa pernah menjadi lokasi sebuah rumah ibadat agama mereka.

Bagaimanapun, rumah ibadat itu sudah dimusnahkan oleh tentera Rom pada 70 Tahun Masihi. - AFP

http://www.kosmo.com.my/27092008

Gelora di FAM hanyalah ciptaan manusia

PERGOLAKAN terbaru di Wisma FAM sekilas pandang sudah berakhir.

Harap begitulah pada minggu terakhir Ramadan al-Mubarak ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, Sultan Ahmad Shah kekal menaruh kepercayaan kepada Setiausaha Agung, Datuk Azzuddin Ahmad yang dilempar dengan pelbagai tuduhan, termasuk salah laku dan kurang mesra media, oleh pihak tertentu.

Pihak tertentu yang dilihat cuba menjatuhkan martabat Azzuddin agar beliau disingkir, sudah tentu mahu melupakan episod ini.

Bagi mereka, kemenangan dari segi moral yang dicari-cari tidak menjadi kenyataan.

Pihak ini dianggap mempunyai agenda dan motif tertentu untuk melihat Azzuddin tercampak keluar daripada Wisma FAM.

Tidak seperti wakil media di meja am yang terkongkong dengan kekangan-kekangan akibat dasar-dasar syarikat, ruang seorang wartawan sukan untuk menulis cukup liberal.

Kebebasan ini sebenarnya satu ujian sejauh mana mereka menjalankan tugas dengan penuh hemah tanpa menyalah gunakan kuasa mata pena.

Penulis tidak dapat lari daripada tuduhan-tuduhan sebegini dahulu. Kadangkala dalam usaha menulis secara objektif, pihak yang ditegur tersinggung dan mempertikai agenda penulis.

Yang pasti, FAM tidak pernah kering story dan agenda. Penulis bertuah kerana berkesempatan membuat liputan empat Setiausaha Agung FAM bermula dengan era Datuk Paul Mony Samuel (1985-2000), Datuk Dell Akbar Khan Hyder Khan (2000-2005), Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad (2005-2007) dan Datuk Azzuddin Ahmad (2007 hingga kini).

Mony, bekas guru yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah, memiliki skil perhubungan awam yang hebat. Beliau terbuka kepada teguran biarpun daripada wartawan setahun jagung. Pengkritiknya pula menganggap Mony tidak mudah percaya anak buahnya dan memilih bulu dalam berkongsi maklumat dengan wartawan.

Dell Akbar, anak jati Kampung Baru, dianggap bersikap konfrontasi dengan wartawan. Maklumlah, beliau orang berpangkat besar dalam polis. Jika tidak cukup ilmu di dada dan tidak ada fakta untuk berhujah dengan Dell, baik berdiam diri. Bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu tidak suka berselindung dan tabiatnya berterus-terang. Ini kadangkala sukar diterima wartawan-wartawan yang sememangnya pandai mengkritik tetapi enggan dikritik.

Kata-kata seperti 'masalah you all ni, you all tak buat homework', kerap keluar daripada mulut Dell. Di kalangan kakitangan FAM, Dell disayangi kerana menitikberatkan kebajikan serta mengamalkan dasar pintu terbuka. Dell juga beruntung kerana didokong Datuk Yap Nyim Keong selaku penolongnya.

Apabila Dell dan Yap meletak jawatan pada awal 2005 atas dasar prinsip setelah mereka melihat barisan kepimpinan FAM tidak lagi menaruh kepercayaan kepada urus setia, persatuan tersebut menawarkan kerusi panas itu kepada orang ramai.

Antara yang ditemuduga termasuk bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein dan Noor Keifli Sulong, bekas pegawai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun akhirnya yang mengisi kekosongan itu adalah seorang bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang. Selaku Naib Presiden FAM, Ibrahim menjadi anggota panel temu duga berkenaan.

Sultan Ahmad Shah melantik Ibrahim sebagai setiausaha agung, manakala Rosli dan Keifli dilantik selaku penolong.

Biarpun Ibrahim, Rosli dan Keifli berkongsi latar belakang akademik yang hampir sama kerana ketiga-tiganya bekas pensyarah, mereka tidak dapat menjalin kerjasama dan tidak sehaluan dalam banyak hal.

Sebagai ahli politik pertama menduduki kerusi itu, Ibrahim dianggap mempolitikkan kedudukannya. Beliau juga dilihat lebih percaya kepada pembantu peribadinya yang juga seorang politikus.

Akhirnya Rosli meletak jawatan manakala Keifli ditukarkan ke syarikat pemasaran FAM, MSL Sdn Bhd.

Sepanjang tempoh Ibrahim selaku Setiausaha Agung, FAM tidak sunyi daripada pelbagai isu. Sesetengahnya berbentuk peribadi. Pernah juga penulis bertanya kepada Ibrahim "kenapa Datuk Seri lantik seorang Datuk jadi pembantu peribadi?"

"Alah, bukan tinggi sangat pun gaji dia,… jawabnya ringkas.

Namun Ibrahim memiliki kelebihan PR juga. Sebagai seorang yang masak dengan politik di peringkat tertinggi, Ibrahim menelan kecaman biarpun pedih. Begitupun ada beberapa kali beliau meninggi suara dalam sidang akhbar.

Penulis mengimbas sejarah ini kerana pada hakikatnya, sesiapa sahaja yang menjadi setiausaha agung FAM harus berani dilambung ombak. Kerana kesediaan membuat rumah di tepi pantai, mereka berdepan risiko dihempas badai, dilambung ombak atau lebih parah, tenggelam dek tsunami.

Malangnya, kerap kali gelora yang datang ciptaan manusia dengan motif tertentu.

http://www.kosmo.com.my/27092008

PAS Tidak Bersama Kerajaan Pakatan Rakyat Sekiranya Islam tidak menjadi majoriti


Ditulis oleh WanKay

Saturday, 27 September 2008

Dungun - PAS akan menarik diri dan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Islam tidak menjadi majoriti dalam kerajaan baru yang bakal dibentuk.

Presiden PAS, dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata demikian alam ucapannya dalam satu majlis ceramah di perkarangan Surau Haji Zainal Abidin, Dungun, baru-baru ini.

“Kita (PAS) bersedia untuk mengubah kerajaan tetapi dengan syaratnya mestilah kerajaan yang lebih baik daripada yang sedia ada (Barisan Nasional),

“Kita tidak mahu berubah kepada yang lebih ‘buruk’dan mesti lebih baik,”tegas beliau.

Beliau turut menyenaraikan beberapa syarat bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk lebih kukuh dan bukan kerajaan yang lemah sebagaimana kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Pertama, PAS meletakkan syarat kerajaan itu dikuasai oleh Islam. Jika Islam tidak majoriti perubahan itu tidak akan disertai oleh PAS. PAS akan tarik diri terang-terang jika tidak majoriti Islam,

“Kedua, kerajaan itu mesti sebuah kerajaan yang kukuh dan bukan kerajaan yang lemah dan kerajaan kukuh mestilah oleh wakil-wakil rakyat yang konsisten (istiqamah) dan bukan yang menakut. Terang-terang kita (PAS) sebut. Jika wakil rakyat itu penakut hendak buat perubahan. Perubahan itu (hanya) sementara sahaja,”katanya.

Namun begitu, menurut beliau PAS lebih mengharapkan wakil-wakil rakyat UMNO menyertai PAS jika mahu membina kekuatan orang Melayu dan Islam di negara ini.

“Kita (PAS) lebih mengharapkan supaya wakil rakyat UMNO menyertai PAS kerana mereka mahu membina kekuatan orang Melayu Islam (mereka) mesti bersama dengan PAS.

“Kita (PAS) terbuka dan mereka (UMNO) boleh menyertai mana-mana parti tetapi dasarnya ialah majoriti Islam dan ini syarat penting,” ujarnya.

Beliau turut meletakkan pra-syarat bahawa PAS akan melihat senarai Ahli-ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum memberikan sokongannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata PAS telah memberi kepercayaan melalui wakil yang duduk dalam sekretariat Pakatan Rakyat, bagi membawa mesej tersebut dalam perbincangan Pakatan Rakyat.

“Kita (PAS) mahu melihat senarai terlebih dahulu dan sebarang keputusan hendaklah melalui mesyuarat parti terlebih dahulu.

“PAS memberi kepercayaan kepada wakil-wakil kita (PAS) dalam sekretariat dan wakil-wakil PAS telah membawa mesej ini.

“Mesej ini telah disampaikan dan ditegaskan kepada semua parti dalam Pakatan Rakyat dan sehingga kini, mereka terima dari segi dasarnya. Parti KeADILan Rakyat terima, DAP pun terima,” jelas Dato’ Seri Abdul Hadi.

http://buletinonline.net/

Rumah ibu bapa Teresa dilontar bom petrol



Sep 27, 08 12:00pm

Kediaman ibu bapa anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok di Jalan Ipoh di ibunegara dilontar bom petrol awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan mengesahkan kejadian itu berlaku pada kira-kira 2.55 pagi.

Teresa dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 19 September lalu setelah ditahan selama tujuh hari.

Katanya, tiada penghuni rumah itu yang cedera dalam kejadian itu kerana bom petrol itu tidak meletup.

Waktu kejadian, terdapat tiga orang yang menghuni di rumah itu iaitu ibu, bapa dan adik Teresa.

Bercakap dalam sidang akhbar tengahari tadi, Teresa berkata anggota keluarganya kini bimbangkan keselamatan mereka.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai keji dan satu jenayah untuk menakut-nakutkan beliau untuk menghalangnya daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Beliau juga mendakwa kejadian itu mungkin berpunca daripada tindakan kumpulan media dan blog-blog tertentu yang didakwanya dengan sengaja menggambar dirinya sebagai seorang yang anti-Melayu dan anti-Islam.

Sekeping kertas turut ditemui di tempat kejadian yang mengandungi mesej ugutan terhadap Teresa.

Teresa, yang juga ahli exco kanan kerajaan Selangor menjadi sasaran kecaman beberapa pihak selepas mendakwa beliau diberi makanan seperti makanan anjing ketika ditahan di bawah ISA.

Kok, 43, ditangkap di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai agama Islam, dan dibebaskan seminggu kemudiannya.

Turut menziarahi rumah keluarga Teresa ialah pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Lim Lip Eng serta peguam Sankara Nair

http://www1.malaysiakini.com/news/90494

Khairy: penangguhan boleh rumitkan keadaan


Sep 26, 08 10:29pm

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menganggap keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung ke Mac tahun depan boleh `merumitkan kempen' calon-calon yang bertanding dalam pemilihan parti nanti.

Beliau yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan ketua Pemuda Umno berkata, tempoh kempen yang sebelum ini hanya dua bulan akan menjadi lebih panjang iaitu selama enam bulan dan akan menyukarkan calon yang bertanding bagi jawatan tertinggi seperti dirinya.

"Kita tahu ini mungkin akan menjadi satu keputusan yang muktamad, ...bagi mereka yang akan bertanding jawatan ketua Pemuda bahagian tak mengapa, tetapi untuk saya yang bertanding jawatan ketua Pemuda, ia akan menjadi satu keputusan yang merumitkan kempen.

"Tempoh kempen akan menjadi lebih panjang dan ia bukan senang. Bayangkan kempen pilihanraya dua minggu pun tidak mudah, inikan pula enam bulan.

"(Maknanya) dalam tempoh enam bulan itulah kita kena berkempen," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri majlis berbuka puasa di kediaman Menteri Besar Teregganu Datuk Ahmad Said di Kemaman hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Majlis Tertinggi Umno hari ini menunda tarikh perhimpunan agung parti itu yang sepatutnya Disember depan, ke Mac tahun depan bagi melicinkan proses peralihan kuasa yang lebih awal.

Bagaimanapun, ahli parlimen Rembau itu berkata sebagai sayap parti, Pemuda Umno tetap menghormati dan menerima keputusan yang telah diambil itu.

Sementara itu, Ahmad yang juga pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu berkata, keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi itu perlu dihormati kerana ia adalah antara langkah untuk melicinkan proses peralihan kuasa.

"Ini membuktikan proses peralihan kuasa Umno sebagai sebuah parti utama kaum Melayu berjalan dalam keadaan sempurna dan tertib," katanya.

Sekat jumpa ahli

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata beliau tidak akan teragak-agak untuk mendedahkan pihak yang bertanggungjawab menyekatnya daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan Pemuda jika keadaan itu berterusan berlaku.

"Setakat ini tidak terlalu serius, tetapi sedikit sebanyak turut menjejaskan (kempen). Kalau terus sekat, mungkin saya akan bawa ke Majlis Tertinggi," katanya.

Semalam dalam satu majlis di Kota Bharu, Kelantan, Khairy mendedahkan terdapat pihak yang menyekat beliau daripada bertemu dengan ahli-ahli pergerakan pemuda Umno melibatkan beberapa kawasan yang dihadirinya dan beliau turut mendakwa mempunyai bukti berhubung perkara tersebut.

Selain Khairy, turut menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda Umno adalah ahli parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin dan ahli Majlis Tertinggi yang juga bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Sebelum ini Mukhriz juga pernah membangkitkan isu berkenaan sekatan yang dilakukan oleh sesetengah pihak terhadap anggota parti untuk bertemu calon yang bertanding.

Mengulas lanjut tentang perkara itu, Khairy berkata antara bentuk sekatan yang berlaku termasuklah melalui kiriman khidmat pesanan ringkas yang menghalang ahli-ahli pemuda untuk bertemu dengan beliau.

http://www1.malaysiakini.com/news/90483

Zahidi: Keputusan MT 'ada muslihat'


Abdul Rahim Sabri & Muda Mohd Noor Sep 26, 08 8:07pm

Ketua bahagian Padang Besar, Datuk Zahidi Zainol Abidin tidak bersetuju dengan keputusan menunda mesyuarat agung tahunan Umno ke tahun depan dan menyifatkan langkah itu "bermuslihat."

Keputusan itu dilaporkan bertujuan menyegerakan pelan peralihan kuasa Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya Datuk Seri Najib Razak.

Tiada tarikh baru bagaimanapun diumumkan selepas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi (MT) pagi ini. Pelan awal peralihan kuasa dirancang pertengahan 2010.

Zahidi, yang juga timbalan ketua perhubungan Perlis, menambah beliau tidak faham kenapa penangguhan itu dibuat kerana masa antara mesyuarat bahagian dan mesyuarat agung terlalu jauh.

"Sepatutnya kalau nak tunda, tunda dengan (mesyuarat) bahagian sekali. Saya tak faham kenapa buat begitu.

"Seolah-olah ada muslihat tertentu," kata Zahidi kepada Malaysiakini.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut maksud muslihat tersebut.

Sementara ketua perhubungannya Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perubahan pucuk pimpinan dalam Umno tidak menjamin parti akan menjadi kuat.

Beliau berkata, ahli Umno tidak boleh duduk diam tetapi harus bekerja kuat untuk parti.

Katanya, penangguhan tersebut tidak memberi kesan kerana jika sesuatu bahagian tidak mencalonkan seseorang pemimpin tertentu, sudah tentu pemimpin itu tidak boleh bertanding.

"Ahli parti tidak bising apa-apa, hanya orang luar (pembangkang) yang sibuk buat bising," katanya.

Suka berdolak-dalik

Mengulas keputusan presiden Umno untuk mengumumkan keputusan penting menjelang mesyuarat bahagian 9 Oktober ini, Zahidi berkata Abdullah tidak akan bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan parti itu Mac depan.

"Beliau (Abdullah) tidak berani, suka berdolak-dalik.

"Beliau takut menghadapi kenyataan kerana tak tunai janji," tambahnya.

Beliau juga menjelaskan Umno akan menjadi lebih kuat dan kukuh sekiranya sistem kuota pencalonan pemimpin atasan parti, termasuk di peringkat bahagian, dihapuskan dan tidak perlu menangguh pemilihan pimpinan tertinggi.

"Ikhlas, untuk hapuskan sistem kuota, tak payah tunda-tunda (mesyuarat agung)," tambahnya.

Penghapusan sistem itu, katanya, boleh mewujudkan persaingan yang adil dan akan menguatkan Umno.

Di Kedah, setiausaha Pemuda Jerlun, Amran Ali bagaimanapun menyifatkan penangguhan mesyuarat agung Umno satu tindakan yang bagus.

"Sekiranya niat untuk menangguh mesyuarat agung semata-mata untuk mengukuhkan parti, itu satu langkah yang bagus.

"Tapi kalau nak lari daripada kenyataan (politik), (tindakan) itu tidak betul," kata Amran ketika dihubungi petang tadi.

Minta ahli bersabar

Katanya lagi, jarak antara mesyuarat bahagian dan mesyuarat agung terlalu jauh, hampir lima bulan, menimbulkan pelbagai andaian dalam kalangan ahli-ahli Umno.

"Kalau andaian dari sudut positif, maka positif akhirnya. Jika suka kepada negatif, maka negatif akhirnya," kata Amran.

Ekoran itu, pihaknya mengambil sikap tunggu dan lihat perkembangan seterusnya ekoran penangguhan mesyuarat dan pemilihan pucuk pimpinan daripada Disember ini kepada tahun depan.

Di Terengganu, naib ketua Besut, Datuk Wan Zakaria Wan Abdul Rahman meminta ahli-ahli Umno khusus di bahagian tersebut bersabar sepanjang penangguhan tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat membuat andaian sama ada Abdullah ingin mempertahankan jawatan presiden Umno atau tidak apabila mengumumkan perkara itu, bulan depan.

Ketua Pemuda Umno Negeri Sembilan Datuk Ir Jamlus Aziz berkata, keputusan menunda tarikh perhimpunan agung Umno boleh mendatangkan kebaikan kepada ahli.

"MT membuat satu tindakan untuk mengutamakan ahli dan parti dan oleh kerana itu ia perlu diterima oleh ahli Umno di semua peringkat.

"Pemuda Umno Negeri Sembilan menerima baik keputusan tersebut kerana ia memberi kelegaan kepada parti,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Selangor, Syukur Idrus pula berkata, penangguhan tersebut membolehkan perwakilan mempunyai masa yang cukup untuk memilih pemimpin parti.

Manakala pemimpin, pula katanya, boleh melakukan kompromi untuk menarik diri daripada bertanding.

Bagaimanapun, peralihan kuasa ini juga perlu berlaku di peringkat bahagian untuk menguatkan parti di semua peringkat.

http://www1.malaysiakini.com/news/90482

Laporan polis terhadap pegawai Umno

Muda Mohd Noor Sep 26, 08 7:56pm

Seorang ketua cawangan Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan membuat laporan polis terhadap setiausaha bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Datuk Ismail Mohamed.

Dalam laporannya, Ismail didakwa mengaku ditawar untuk membeli kereta dengan harga murah oleh seorang pemimpin yang mahu bertanding jawatan ketua bahagian tersebut.

Ketua cawangan Simpang Tiga Seri Mahligai, Bukit Mas, Amran Abdul Rahman membuat laporan tersebut di balai polis Tanah Merah jam 1.33 tengahari semalam.

Dalam laporan tersebut, Amaran mendakwa, Ismail memberitahu perkara itu dalam satu perjumpaan pada 7 Ogos lalu - di antara jam 12 hingga 1 tengah hari - di ruang menunggu tingkat 20 bahagian sistem maklumat ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur.

Menurutnya, perjumpaan itu diadakan berhubung permasalahan keahlian yang menyebabkan cawangan dalam bahagian Tanah Merah masih gagal bermesyuarat walaupun tempoh yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi Umno telah berakhir.

Beliau mendakwa, turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah ketua Pemuda bahagian, Jusoh Deraman; penolong setiausaha, Muhammad Yuswadi Yaacob dan ketua penerangan Umno bahagian, Bahari Mohamad Nor.

Dalam laporan polis tersebut, Amran turut mengemukakan akuan bersumpah oleh Jusoh, Yuswadi dan Bahari.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Amran berkata, perjumpaan tersebut berkaitan masalah ahli dan status cawangan yang tidak membayar yuran keahlian.

'Laporan didakwa tidak tepat'

Amran mendakwa, semakan yang dibuatnya mendapati ada pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi ahli Umno di cawangan tertentu sedangkan mereka tidak memohon.

Manakala Ahad lalu, Amran membuat laporan polis terhadap bekas setiausaha Umno bahagian Tanah Merah, Ahmad Ismail kerana beliau mengesyaki berlaku penyelewengan dalam kewangan Umno bahagian.

Amran juga mendakwa Ahmad turut disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan mengemukakan laporan yang tidak tepat dan benar kepada ibu pejabat Umno.

Beliau mendakwa, Ahmad telah membuat pindaan dengan menambah dan mengurangkan jumlah ahli beryuran.

Ekoran itu, dakwa Amran, 31 cawangan gagal serta lewat membayar yuran sehingga 31 Disember 2007.

Amran juga berkata, beliau menemui setiausaha kerja Umno, Datuk Hussainy Hussain lebih sebulan lalu.

Bagaimanapun, dakwanya, beliau telah diminta supaya tidak memanjangkan perkara tersebut.

Dakwanya lagi, surat-surat yang dihantarnya mengenai perkara tersebut juga telah abaikan.

http://www1.malaysiakini.com/news/90480

Petrol bomb attack on Malaysian opposition politician's home



Agence France-Presse - 9/27/2008 5:24 AM GMT

A Molotov cocktail was thrown into the home of Malaysian opposition politician Teresa Kok but did not cause any injuries or damages, Kok said in a statement Saturday.

Kok, who was recently released after a week-long detention under the tough Internal Security Act (ISA) said, a piece of paper with a warning message was also flung into the compound of her family home in Kuala Lumpur during the dawn incident.

"I am deeply saddened and most perturbed upon hearing from my family first thing this morning that some criminal elements have thrown a Molotov cocktail into the compound of my residence," she said in a statement.

Kok said she was called a "pig" in the message and warned to "stay out of trouble or you and your family will be burned."

"The family was very shaken and now fear for their safety. I am deeply concerned about the personal safety of my family now," Kok said.

"I view this act as most despicable and criminal which is designed to instill fear, anxiety in me and to prevent me into performing my duties as an elected representative," said Kok, who is of the Democratic Action Party (DAP).

Kok was arrested on September 12 under the ISA, which drew public outrage and the minister responsible for legal affairs resigned over a series of arrests under the security law.

The ISA, which human rights groups have pushed to have abolished, allows for renewable two-year periods of detention without trial and is normally used against terror suspects.

Police said they arrested Kok because she was involved in a petition to silence the call to prayer in mosques in non-Muslim areas.

Kok has denied making such complaints.

She said Saturday that actions by "certain media groups and blogs" that have painted her as anti-Malay and anti-Islam in the Muslim-majority country may have stoked contempt and hatred against her and her family.

http://news.my.msn.com/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...