Friday, September 24, 2010

Suspek utama nafi terbabit bunuh

2010/09/24

Peguam dakwa 2 beradik tak diberi peluang pertahan diri sebelum direman

KUALA LUMPUR: Buat pertama kali semalam, dua beradik yang juga suspek utama kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dibenarkan berjumpa peguam mereka dan dalam pertemuan itu mereka mendakwa tidak terbabit dalam kes berkenaan.

Peguam mereka, D P Vijandran, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya selepas beliau bertemu dengan mereka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) di sini, petang semalam. Saya bersama dua rakan peguam dibenarkan berjumpa kedua-dua anak guam kami selama 15 minit dan dalam pertemuan itu mereka menafikan terbabit dalam pembunuhan kejam membabitkan empat individu termasuk seorang jutawan kosmetik. Mereka mendakwa tidak diberi peluang mempertahankan diri sebelum ditahan reman, katanya ketika ditemui di IPKKL, semalam.

Vijandran bersama peguam Ravi Nekoo dan Pushpa Ratnam tiba di IPKKL kira-kira jam 3 petang bersama isteri kedua-dua suspek utama sebelum meninggalkan pekarangan ibu pejabat itu 30 minit kemudian.

Difahamkan, isteri kedua-dua suspek itu dibenarkan berjumpa suami masing-masing kira-kira 10 minit. Ini pertemuan pertama mereka sejak ditahan 11 September lalu.

Dalam pada itu, Vijandran turut menyuarakan rasa kesal dengan laporan akhbar sejak kejadian berkenaan yang disifatkannya berat sebelah, sedangkan kes itu belum pun dibawa ke mahkamah.

Selagi kes ini belum dibawa ke mahkamah dan sehingga hakim memutuskan siapa yang bersalah, anak guam saya tidak bersalah.

Sepanjang berada dalam lokap sejak dua minggu lalu, salah seorang anak guam saya juga mendakwa dia ditumbuk dan ditendang anggota polis sehingga cedera di belakang badan.

Malah, permintaan anak guam saya untuk mendapatkan rawatan di hospital berhubung kecederaan itu juga tidak diendahkan polis, katanya laporan polis mengenainya akan dibuat hari ini.

Sosilawati, 47, dibunuh bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; perunding kewangannya, Noorhisham Mohammad, 38 dan peguamnya, Ahmad Kamil Abd Karim, 32, di sebuah ladang persendirian di Banting pada 30 Ogos lalu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Suspekutamanafiterbabitbunuh/Article

Guru maut kain kapas dalam perut

Oleh Norliza Wasilan dan Nor Hazwani Hamat

2010/09/24

Mangsa mengadu sakit selepas 6 hari pembedahan lahir anak

KOTA BHARU: Kegembiraan sepasang suami isteri menyambut kelahiran anak keempat tidak berpanjangan, apabila si isteri meninggal dunia akibat komplikasi pembedahan selepas kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut guru wanita itu.

Anggota Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Musa Abd Kadir, 46, berkata isterinya, Aummil Khairri Abdul Razak, 44, bersalin secara pembedahan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini, pada 17 Ogos lalu. Beliau berkata, selepas pembedahan, isterinya mengadu masih berasa sakit di perut sebelum dirujuk kembali kepada doktor di hospital sama. Ketika itu, selepas enam hari bersalin secara pembedahan, isteri mengadu sakit di perut, bimbang perkara tidak diingini saya merujuknya kepada doktor bertanggungjawab mendapatkan penjelasan.

Doktor kemudian memaklumkan ada dua kain kapas pembedahan tertinggal dalam perut isteri selepas imbasan X-ray dilakukan dan memerlukan pembedahan kedua untuk mengeluarkannya, katanya ketika ditemui Berita Harian, semalam.

Musa berkata, pembedahan kedua terpaksa dibuat bagi mengeluarkan kain kapas pembedahan yang tertinggal itu kerana isterinya sudah tidak dapat menahan kesakitan ketika itu.

Bagaimanapun, beliau kecewa selepas pembedahan kedua dilakukan oleh doktor HUSM, isterinya yang bertugas di Sekolah Kebangsaan Datuk Hashim di bandar ini, masih mengalami kesakitan teruk selain kesan pembedahan tidak dijahit sempurna.

Saya terkejut apabila melihat jahitan yang dilakukan tidak sempurna, seolah-olah tidak habis dijahit sehingga mendatangkan kesakitan berpanjangan, katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurumautkainkapasdalamperut/Article

Berita Kehilangan Ahli Perniagaan 'Panas' Di India

Jumaat September 24, 2010

CHENNAI: Beberapa organisasi media di sini mengikuti perkembangan kes kehilangan ahli perniagaan, A. Muthuraja.

Menurut wartawan khas dan ketua biro jenayah Chennai, VP Raghu berkata, berita kehilangan Muthuraja akan terus dilaporkan sehingga kebenarannya diketahui.

"Lelaki ini ada kaitan dengan industri perfileman di sini dan sesiapa sahaja yang ada kaitan dengan industri ini adalah berita panas," katanya.

Jelas beliau, akhbar itu juga ingin mengetahui sama ada dua beradik yang juga peguam disyaki terbabit dalam kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain turut terlibat dalam kes kehilangan Muthuraja.

Sementara itu, wartawan khas meja jenayah Sun TV, Rama Selvaraj berkata, rangkaian televisyennya meminati berita mengenai kes terbabit kerana ia mengambil masa lapan bulan bagi menemui maklumat berhubung kehilangan Muthuraja.

"Faktor bahawa dia adalah seorang jutawan tempatan dan menceburi industri perfileman juga adalah satu faktor yang boleh dikaji," katanya.

Menurut beliau lagi, laporan berita mengenai kehilangan Muthuraja juga merupakan bentuk 'amaran' kepada ahli perniagaan dari India agar lebih berhati-hati dalam soal keselamatan untuk berurusan di Malaysia.

"Kita begitu terganggu dengan perkara yang sudah berlaku, kami berharap ia mungkin dapat dielakkan." katanya.

Sun TV menyiarkan berita kehilangan Muthuraja setiap hari menerusi slot berita perdana saluran mereka.

Sementara itu, ketua meja jenayah akhbar Malai Malar, M Ravi berkata, Muthuraja merupakan individu penting dan berita kehilangannya merupakan isu besar di Tamil Nadu.

"Kami pasti pembaca ingin mengetahui apa sebenarnya yang berlaku," katanya.

Muthuraja, 34, dikatakan datang ke Malaysia untuk bertemu rakan karibnya iaitu suspek utama kes pembunuhan Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Ahli perniagaan itu bagaimanapun gagal dihubungi isterinya sejak 19 Januari lalu sehingga kini.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/24/mstar_berita/20100924105038&sec=mstar_berita

Bayi Tiga Bulan Tercekik Botol Susu

Jumaat September 24, 2010

PUTRAJAYA: Seorang bayi perempuan yang berusia tiga bulan menemui ajal yang dikatakan akibat tercekik botol susu yang diberikan pengasuhnya di sini Selasa lalu.

Selepas diberikan susu, Farisha Nur Hazreen Mohd Fairuz dibiarkan bersendirian sementara pengasuhnya memasak di dapur.

Bapa bayi berkenaan Mohd Fairuz Mohamad Stap, 31, berkata pada hari itu, isterinya Haney Usmiza Abdul Hamid, 30, seperti biasa menghantar bayi mereka kepada pengasuh pada pukul 8 pagi sebelum pergi kerja.

"Farisha baru sahaja sembuh daripada selesema dan isteri saya sudah memaklumkan perkara itu kepada pengasuh tersebut.

"Kemudian kira-kira 10.30 pagi, isteri saya menerima panggilan daripada pengasuh yang memaklumkan anak kami tidak sedarkan diri.

"Isteri saya bergegas ke rumah pengasuh tetapi dimaklumkan jiran pengasuh itu, bayi saya sudah dibawa ke Hospital Putrajaya.

"Di unit kecemasan, isteri saya dimaklumkan bayi kami sudah meninggal dunia," katanya.

Mohd Fairuz berkata Farisha adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan dihantar untuk dijaga pengasuh berkenaan sebaik isterinya habis pantang selepas bersalin.

Menurutnya, beliau difahamkan bahawa pengasuh berkenaan mempunyai sijil latihan dan lesen untuk mengasuh kanak-kanak serta dipantau sebulan sekali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Persatuan Pusat Asuhan Malaysia.

Selain Farisha, pengasuh tersebut yang mempunyai pengalaman selama empat tahun dalam penjagaan kanak-kanak, turut menjaga lima kanak-kanak lagi.

Fairuz berkata beliau menganggap kejadian tersebut sebagai takdir dan belum bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pengasuh itu.

"Pengasuh itu juga sudah memohon maaf. Namun saya berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi dan semua pengasuh perlu menjalankan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin," katanya.

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Mohd Khairun Aseh yang turut mengunjungi keluarga mangsa hari ini berkata, pihak bertanggungjawab perlu bertindak tegas dalam perkara tersebut dengan memastikan semua pengasuh sama ada pengasuh di rumah atau Taska diberikan latihan sepatutnya untuk mengelakkan lebih banyak kejadian yang sama berlaku. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/jenayah/cerita.asp?file=/2010/9/24/mstar_jenayah/20100924152100&sec=mstar_jenayah

Pelajar tak kesal godam Twitter


PEARCE DELPHIN

--------------------------------------------------------------------------------



SYDNEY - Seorang pelajar sekolah di Australia, Pearce Delphin yang berumur 17 tahun menyatakan dia tidak berasa kesal kerana menyebabkan laman mesej Twitter terjejas selama lima jam pada Selasa lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Delphin mendapati terdapat kelemahan pada Twitter apabila dia menemui kaedah yang membenarkan penggodam mengarahkan pengguna-pengguna laman berkenaan ke laman web lucah Jepun.

"Twitter sepatutnya mampu mengendalikan masalah itu dengan baik," katanya.

Pihak pengurusan Twitter meminta maaf kepada pengguna-pengguna ekoran masalah itu tetapi menjelaskan akaun Delphin di laman tersebut tidak akan digantung.

Namun, Delphin bukannya pencipta serangan itu.

Sebaliknya, dia hanya menjadi penyebar satu teknik arahan itu.

Menurut agensi berita AP, seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Masato Kinugawa dari Jepun mungkin menjadi orang pertama yang menemui kelemahan itu.

Menurut Kinugawa, pada 14 Ogos lalu, dia menghubungi Twitter mengenai kelemahan yang berlaku pada Twitter.

"Twitter tidak membetulkan isu kritikal itu selepas ia diberitahu," katanya di laman tersebut. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Isteri mati, suami saman HUSM

Oleh ZAID MOHD. NOOR
zaid.mohdnoor@kosmo.com.my



AUMIL

--------------------------------------------------------------------------------



KOTA BHARU - "Saya akan saman kerana kecuaian pihak hospital yang tertinggal kain kapas dalam rahim isteri saya selepas melahirkan anak telah menyebabkan saya kehilangan orang tersayang."

Itulah kata Musa Abdul Kadir, 44, yang mendakwa kecuaian pihak Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ketika melakukan pembedahan yang menjadi punca isterinya mati di hospital itu Selasa lalu.

Menurut Musa dari Kubang Kerian, isterinya, Aumil Khairri Abd. Razak, 44, yang melahirkan bayi keempatnya di HUSM pada pukul 7.03 malam 17 Ogos lalu mengadu sakit yang teramat di dalam perut tiga jam kemudian.

"Selepas ujian X-ray, doktor mendapati ada satu objek tertinggal di dalam perut selepas pembedahan melahirkan anak kami.

"Selepas memberi kebenaran, doktor HUSM melakukan pembedahan kedua pukul 2 petang pada 22 Ogos dan dua keping kain kapas berjaya dikeluarkan di sebelah kiri dan kanan rahim isteri saya,"
ceritanya lagi.

Menurutnya, pada 25 Ogos, isterinya mengalami demam panas dan meracau kerana terlalu sakit menyebabkan doktor memberinya ubat tahan sakit sehingga membawa kepada koma selama dua minggu sebelum meninggal dunia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

Suara pembunuh dirakam


Usharani menunjukkan surat mengarahkannya menjalani ujian DNA di Ibu Pejabar Polis Kuala Langat semalam.

--------------------------------------------------------------------------------


KLANG - Siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lelaki memasuki episod baru apabila polis dijangka menerima dua fail rakaman perbualan yang boleh dijadikan bahan bukti susulan kes itu.

Salah satu rakaman itu ialah perbualan seorang lelaki yang mengaku dirinya pegawai polis berpangkat Asisten Supritendan (ASP) dari Bukit Aman yang meminta wang 10 lakhs (RM1 juta) dari S. Usharani iaitu isteri ahli perniagaan India, Allal Khatan Muturaja, 34, yang dilaporkan hilang ketika datang ke negara ini Januari lalu.

Satu lagi ialah rakaman perbualan antara Usharani dengan seorang lelaki yang kini ditahan polis bagi membantu siasatan yang berkisar mengenai kehilangan Allal Khatan.

Kedua-dua perbualan yang dirakam menggunakan telefon bimbit selama dua minit itu akan diserahkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Menurut Usharani, perbualan dengan salah seorang lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut dirakam pada 28 Januari lalu.

"Dalam perbualan itu, lelaki tersebut tidak memberitahu saya di mana Allal Khatan berada kerana ketika itu dia mendakwa berada di Thailand," ceritanya pada sidang akhbar di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0924&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Bapa, anak macam setan

Oleh Shahrul Nizam Mohamad

2010/09/24

ROMPIN: Dua beranak ini layak digelar iblis bertopeng manusia apabila tergamak menjadikan lima ahli keluarga mereka sebagai pemuas nafsu sejak setahun lalu dalam kejadian di sebuah kampung di Pulau Tioman, dekat sini.

Kejadian pertama membabitkan anak perempuan sulung berusia 15 tahun dan masih bersekolah di sebuah sekolah menengah, dekat sini, yang dicabul kehormatan oleh bapanya berusia lingkungan 30-an pada 2008.

Tidak cukup dengan perbuatan terkutuk itu, bapa durjana terbabit menjadikan anak keempatnya yang masih bersekolah di tingkatan satu berusia 13 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu pada tahun lalu.


Perbuatan keji itu berlarutan apabila bapa bernafsukan haiwan terbabit merogol anak ketiganya, seorang pelajar tingkatan dua berusia 14 tahun sebelum mangsa seterusnya adalah anak kelima berusia 10 tahun.


Lebih mengejutkan lagi, abang mangsa berusia 17 tahun turut bersengkongkol dengan bapanya apabila merogol dan mencabul adiknya berusia sembilan tahun.


Difahamkan, semua kejadian terbabit berlaku di rumah mereka ketika isteri lelaki durjana itu tiada di rumah. Kejadian rogol itu juga dikatakan turut dilakukan di sebuah chalet di pulau berkenaan.


Kejadian terbabit terbongkar selepas anak perempuan mangsa berusia 15 tahun membuat laporan di Balai Polis Tioman pada jam 12 tengah hari, Selasa lalu, selepas tidak tahan dengan sikap bapa yang sering bergaduh dengan ibunya.


Selepas mangsa mendedahkan semua kejadian terbabit, polis mendapati lelaki itu bersama anaknya menghilangkan diri.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan (DSP) Johari Jahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian terbabit.


Menurutnya, siasatan awal mendapati semua kejadian terbabit dikatakan berlaku sejak 2008 hingga 2009, malah seorang daripada lima beradik berkenaan turut mendakwa dirogol sebanyak dua kali oleh bapanya.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan serta akan mengambil keterangan lanjut daripada mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan 376 Kanun Keseksaan kerana cabul kehormatan dan rogol,” katanya.


Difahamkan, polis juga sedang mengesan kedua-dua anak beranak itu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bapa_anakmacamsetan/Article

Bincang dengan peguam

2010/09/24

KUALA TERENGGANU: Seorang bapa yang mengemukakan saman terhadap anak lelakinya bagi mendapatkan tuntutan nafkah dua cucunya akan mengadakan perbincangan dengan peguamnya sama ada meneruskan kes atau sebaliknya.

Keputusan itu dibuat Mustafa Ismail, 64, selepas anaknya, Nasrun, 37, tidak pulang bertemu dengannya Aidilfitri lalu seperti dipintanya sebelum ini.

“Saya ingat dia akan pulang Aidilfitri lalu, namun tanggapan itu meleset kerana dia belum berbuat demikian dan keputusan meneruskan perbicaraan atau sebaliknya akan dibincang bersama peguam,” katanya di rumahnya di Kampung Beladau Kolam, Manir, di sini.


Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Mustafa bersedia menyelesaikan kes di luar mahkamah jika anaknya meminta maaf kepadanya dan isteri selain berharap bertemu sebelum Aidilfitri lalu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bincangdenganpeguam/Article

Umpan RM10, penjara 10 tahun

Oleh Mohd Nasif Badruddin

2010/09/24

KUALA TERENGGANU: Umpan RM10 yang diberikan seorang guru mengaji al-Quran sebelum merogol anak muridnya lima tahun lalu akhirnya dibalas dengan hukuman penjara 10 tahun selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Che Mohd Zulkifly Jusoh memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh yang berusia 62 tahun bermula dari tarikh sabitan semalam selepas mengambil kira faktor usia tua dan pengakuannya yang insaf atas perbuatannya.

Tertuduh yang mempunyai pertalian persaudaraan dengan mangsa yang kini berusia 19 tahun didakwa melakukan perbuatan tidak bermoral itu pada 11 Jun 2005, kira-kira jam 3 petang di Kampung Pak Madah, Bukit Payong, Marang selepas mangsa mengaji al-Quran dengan lelaki berkenaan di sebuah surau.


Mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun pergi ke rumah saudara tertuduh, namun saudaranya tidur dan dia mengambil keputusan pulang sebelum terserempak tertuduh yang menggosok lengan dan bahu mangsa.


Tertuduh seterusnya mengumpan mangsa dengan memberikan wang RM10 dan membawa masuk mangsa ke dalam sebuah bilik sebelum bertindak merogol selepas menanggalkan pakaian mangsa sehingga bogel.


Mangsa yang membuat laporan polis bersama keluarganya pada 23 Jun 2005 kira-kira jam 6 petang, menjalani pemeriksaan di hospital dan doktor mendapati terdapat kesan koyakan lama pada kemaluan mangsa dan selepas itu tertuduh ditangkap di rumahnya di Kampung Pak Madah, keesokannya.


Ketika pertuduhan dibacakan, tertuduh yang mempunyai empat isteri serta 11 anak kelihatan tenang dan dengan rela hati mengaku bersalah.


“Kita (saya) akui segala keterangan dan kira nak mengakulah (salah) dan sedia dijatuh hukuman, kasihan pada dia (mangsa),” kata Shamsuddin.


Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Mohd Asaari Salleh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UmpanRM10_penjara10tahun/Article

Amah Indonesia curi pakaian majikan dipenjara 3 bulan

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga Indonesia dikenakan hukuman tiga bulan penjara atas tuduhan mencuri pakaian majikannya oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu selepas Tuti Hernalia, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Siti Shakirah memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 18 Ogos lalu.

Tuti didakwa mencuri pakaian milik majikannya, Norbik Bashah Idris, 51, di No 2, Jalan Setiawangsa 22, Taman Setiawangsa, di sini, 17 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.


Mengikut fakta kes pengadu mendapati barang berkenaan dimasukkan ke dalam dua beg yang dirancang tertuduh untuk dihantar ke Indonesia melalui seorang rakannya yang akan pulang ke Indonesia.


Kedua-dua beg berisi pakaian itu diserahkan kepada Balai Polis Taman Melawati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/AmahIndonesiacuripakaianmajikandipenjara3bulan/Article

'Seperti bahan eksperimen'

Oleh Hadzlihady Hassan dan Asmah Rusman

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Aidilfitri yang disambut baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam buat seorang wanita, Norhayati Sulaiman, 36, apabila ibu tercinta meninggal dunia ketika seluruh umat Islam lain bergembira menyambut perayaan itu.

Bukan mahu menafikan ajal dan juga takdir ditentukan, namun kematian ibunya, Sharifah Abdullah, 67, itu meninggalkan kesan mendalam apabila warga emas terbabit disahkan meninggal dunia kerana menghidap kanser usus.

Apa yang menjadi persoalan sehingga kini adalah sebab kematian dan juga penyakit yang dialami ibunya itu ternyata membuatkan dia terkilan kerana doktor hanya memberitahu arwah ibunya itu menghidap penyakit usus biasa ketika warga emas terbabit mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


Menurut Norhayati, sebagai manusia, dia menerima pemergian ibunya itu kerana ajal sudah ditentukan namun terkilan apabila ibunya yang mendapatkan rawatan di hospital terbabit hanya diberikan ubat KK dan juga ubat keras najis.


“Selama hampir tujuh bulan ibu mendapatkan rawatan namun, tiada seorang doktor memberitahu dia menghidap kanser usus.


“Namun, ketika ibu terlantar dalam keadaan tenat beberapa hari sebelum pemergiannya barulah saya mendapat tahu arwah sebenarnya menghidap kanser usus,”
katanya.


Menurutnya, dia mendapat tahu penyakit dihidapi ibunya itupun selepas diberitahu seorang doktor pelatih yang kebetulan turut memberikan rawatan kepada ibunya itu.


“Sejurus mendengar ibu sebenarnya menderita akibat kanser usus, saya terus berjumpa dengan doktor pakar untuk meminta penjelasan daripadanya namun, dia mendakwa sudah memberitahu penyakit terbabit dari awal.


Menurutnya, jika diberitahu lebih awal, mereka sekeluarga boleh berusaha untuk mendapatkan rawatan yang lebih baik kepada ibunya itu kerana selama tujuh bulan berulang-alik hanya ubat terbabit diberikan kepada arwah.


“Memang saya agak terkilan dengan sikap doktor dan juga kakitangan di situ, selain itu banyak juga rungutan daripada pesakit lain dan ahli keluarga mereka ketika saya berada di hospital terbabit.


“Kebanyakan mereka tidak berpuas hati dengan cara kakitangan di situ menjalankan tugas kerana terlalu ramai doktor pelatih dan mereka seolah-olah melakukan pesakit sebagai bahan eksperimen,”
katanya.



Menurutnya, dia mendedahkan perkara ini bukan bertujuan untuk mengambil tindakan (saman) terhadap hospital terbabit namun tidak mahu kejadian seperti ini berulang kepada orang lain.


“Mungkin dengan pendedahan ini dapat mengubah cara kakitangan hospital terbabit melakukan kerja kerana mereka sebenarnya ‘bermain’ dengan nyawa yang tidak ternilai,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan, Datin Dr Zailan Datuk Adnan ketika dihubungi berkata, dakwaan masyarakat yang menuduh pihak hospital menjadikan pesakit sebagai bahan eksperimen adalah melampau dan tidak tepat.


“Mereka harus faham, latihan praktikal adalah cara paling berkesan untuk membiasakan doktor atau jururawat pelatih berdepan dengan sebarang situasi di hospital termasuk kes kritikal.



“Namun, bidang tugas mereka merangkumi pemeriksaan awal dan melakukan ujian darah terhadap pesakit saja sebelum membentangkan kes berkenaan kepada doktor pakar yang menyelia mereka maka keputusan terakhir pesakit terletak di tangan pakar,”
katanya.


Dr Zailan berkata, segelintir doktor atau jururawat pelatih tidak mahu memberitahu keluarga kerana tidak sampai hati. Ada juga pelatih yang tidak memandang serius kes yang dikendalikan dan akhirnya terlupa.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sepertibahaneksperimen/Article

'Aku terkenal lepas ini'

Oleh Mohamed Farid Noh

2010/09/24

KLUANG: “Aku akan jadi terkenal selepas ini,” kata seorang tukang kebun, Md Azman Panjol, 35, ketika gambarnya dirakam sekumpulan jurugambar di pekarangan mahkamah Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Md Azman didakwa atas kesalahan menyamar sebagai wartawan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) bagi memeras wang daripada seorang peniaga daerah ini, Jumaat lalu.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu dan Majistret Azhar Arif Mohamad memerintahkan lelaki terbabit diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.


Terdahulu, tertuduh yang kelihatan gelisah dan gementar melihat kehadiran wakil media di galeri awam hanya menggelengkan kepala sebelum mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut fakta pertuduhan, Md Azman dituduh menipu seorang peniaga, Lim Lian Soon, 30, dengan menunjukkan tag TV3 yang tertera gambar dan namanya.


Md Azman memperkenalkan diri sebagai wartawan TV3 sehingga Lim menyerahkan wang tunai berjumlah RM200 yang diminta tertuduh kononnya bagi menyelesaikan masalah rakan peniaga itu yang berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.


Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Kedai Makanan dan Minuman Wall Street di sini, jam 3 petang pada 17 September lalu dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.


Pertuduhan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd Radzaz dan kes akan disebut semula di mahkamah sama pada 2 November ini.


Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamed Fawzi Arshad pada sidang media berkata, polis turut menemui sekeping pas pekerja antaranya mencatatkan wartawan Harian Metro, Berita Harian serta TV3 bersama lelaki itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Akuterkenallepasini/Article

Kes selesai 9 bulan

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sivil Baru yang diwujudkan bertujuan menyelesaikan kes sivil dalam sembilan bulan dari tarikh difailkan akan bermula pada 1 Oktober ini, menurut risalah yang diedarkan kepada wakil media, semalam.

Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dijadual melancarkan Mahkamah Sivil Baru (NCvC), hari ini. Menurut risalah itu, NCvC akan mendengar dan menyelesaikan permohonan sivil atau saman yang difailkan pada atau selepas 1 Oktober, di Mahkamah Sivil Kuala Lumpur.

Mahkamah itu diwujudkan bagi memastikan penyelesaian kes dengan kadar segera dan selaras dengan Mahkamah Komersil Baru (NCC).

NCC dilaksanakan pada 1 September tahun lalu bagi tujuan sama, untuk melupuskan kes dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh difailkan.

Enam hakim akan ditugaskan untuk NCvC dan mereka akan bertugas secara bergandingan dua orang secara giliran setiap tiga bulan, menurut risalah itu. Menurutnya, gandingan pertama hakim ialah Harmindar Singh Dhaliwal dan Prasad Sandosham Abraham.

Berdasarkan anggaran jumlah kes difailkan setiap bulan di bahagian sivil berbanding kadar penyelesaian kes bagi tempoh yang sama, hakim berkenaan akan dapat melupuskan kes yang ditugaskan kepada mereka dalam tempoh ditetapkan.

Semua kes sivil yang difailkan sebelum 1 Oktober akan dikendalikan dan dilupuskan hakim sedia ada.


Tinjauan mendapati terdapat sebuah NCvC di tingkat tiga Kompleks Mahkamah di Jalan Duta. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kesselesai9bulan/Article

CAP gesa haram carbofuran

2010/09/24

GEORGETOWN: Kementerian Pertanian digesa mengharamkan penggunaan racun makhluk perosak carbofuran iaitu racun makhluk perosak ‘carbamate’ dipercayai racun paling bahaya di pasaran.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S M Mohamed Idris, berkata carbofuran mempunyai kadar keracunan paling tinggi kepada manusia berbanding racun makhluk perosak lain yang mana seperempat sudu teh (1 mililiter) carbofuran boleh membawa maut.

“Ia racun makhluk perosak neurotoksik dan berupaya merangsang sistem saraf yang antara lain menyebabkan loya, pening dan keliru manakala pendedahan pada kadar terlalu tinggi boleh menyebabkan gangguan pernafasan dan kematian,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CAPgesaharamcarbofuran/Article

Lagi hilang raya kedua

Oleh Norfaisal Jahuri

2010/09/24

JASIN: Hanya air mata menjadi teman setia buat seorang ibu apabila mengenangkan nasib anak gadisnya yang menghilangkan diri sejak hampir dua minggu lalu.

Nurul Dinah Jamal, 23, dari Jalan Pengkalan Samak, Merlimau dilaporkan menghilangkan diri pada 11 September lalu ketika umat Islam menyambut hari raya kedua.

Menurut ibunya, Habsah Mohd Diah, 54, anaknya keluar rumah jam 10 pagi dengan memberitahu dia mahu berkunjung ke rumah rakan.


Dia yang tidak mengesyaki apa-apa hanya membenarkan anak ketiga daripada empat beradik itu keluar bersendirian.


“Dia keluar hanya membawa beg tangan serta memakai tudung berwarna krim, kemeja-T lengan panjang berwarna merah serta berseluar denim biru.


“Apabila menjelang malam, saya mula risau apabila Nurul masih belum pulang, tetapi tiada siapa mengetahui ke mana dia pergi.


“Saya bertambah risau apabila tidak menerima sebarang jawapan di telefon bimbitnya, hanya peti simpanan pesanan suara,” katanya semalam.


Habsah berkata, keesokannya, mereka mencarinya di bandar Melaka, selain bertanya rakan serta saudara mara.


Namun, katanya, semua rakan dan saudara mara tidak mengetahui atau mempunyai maklumat.


“Saya terus membuat laporan pada hari kedua kehilangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Jasin,” katanya.


Beliau yang menghidap kencing manis kronik hingga kehilangan kaki kanan pada paras lutut tertekan dengan kehilangan anaknya.

Menurutnya, beberapa hari sebelum kehilangan anaknya, dia tidak menunjukkan perubahan dan pada Aidilfitri pertama, Nurul nampak ceria seperti biasa.


“Kami tidak pernah berselisih faham dan saya juga tidak mengetahui sama ada dia mempunyai teman lelaki,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lagihilangrayakedua/Article

Bina projek perumahan

2010/09/24

JASIN: Tapak Pusat Tahfiz As-Solihin, berhampiran Taman Seri Merlimau, dekat sini, difahamkan mahu dibangunkan pemiliknya untuk projek perumahan sekali gus menjadi alasan mengapa tempat pendidikan agama itu perlu dirobohkan pada bahagian tertentu.

Pemilik tanah, Abdullah Mohamad, 76, mendakwa memberi kebenaran penggunaan sebahagian tapak itu pada 2002 kepada pengurusan pusat tahfiz untuk pembinaan sekolah mereka.

Bagaimanapun, dia mendakwa pengurusan pusat tahfiz itu banyak membina bangunan tambahan tanpa memaklumkannya.


“Bangunan itu masuk sedikit ke tapak yang mahu dibangunkan saya dan sebab itu notis dikeluarkan supaya ia dikosongkan,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.


Sementara itu, Pengerusi Pusat Tahfiz As-Solihin, Mat Yusof Yatim, 64, mendakwa, dia tiada ketika sekumpulan lelaki datang merobohkan bahagian tandas di asrama pelajarnya itu.


Katanya, dia dimaklumkan kerani pusat tahfiz itu bahawa pelajarnya dipukul.


“Saya meminta mereka yang bertugas membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.


Katanya, beliau mengetahui wakil pemilik tanah datang kerana notis tiga bulan sudah tamat tempoh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Binaprojekperumahan/Article

Pukul pelajar kelas tahfiz

Oleh Norfaisal Jahuri

2010/09/24

JASIN: Empat lelaki warga emas berlagak ala samseng apabila didakwa tergamak memukul empat pelajar pusat tahfiz di Taman Seri Merlimau, dekat sini, semata-mata kerana dihalang merobohkan tandas di asrama itu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, empat pelajar berusia 11 dan 14 tahun itu mendakwa ditendang, ditampar dan dipukul.

Lelaki terbabit yang berusia 60-an didakwa datang ke Pusat Tahfiz As-Solihin bagi merobohkan tandas dan asrama pelajar.


Bagaimanapun, lapan pelajar pusat itu pergi ke tandas berkenaan bagi menghalang mereka.


Difahamkan kumpulan lelaki itu datang ke pusat berkenaan bagi mengarahkannya dirobohkan untuk membolehkan tanah berkenaan digunakan pemiliknya.


Pelajar, Mohd Asyraf Yendri, 13, berkata, empat lelaki itu tiba-tiba datang memintanya serta rakan yang berada di tandas itu beralih.


Mohd Asyraf mendakwa kerana dia dan rakannya enggan beredar, seorang daripada lelaki itu menendang peha kirinya sehingga dia terjatuh.


Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana beberapa pelajar senior di situ menolong mengangkatnya sebelum mendakwa lelaki itu menghalau mereka.


Dia mendakwa, lelaki berkenaan membawa penukul dan besi pengumpil dipercayai bagi membuka dan merobohkan bumbung tandas.


Sementara itu, seorang lagi pelajar, Mohd Amri Roslan, 14, mendakwa lelaki berkenaan bertindak kasar dengan menolak pintu tandas yang terbuka ketika dia mahu menguncinya.


Dia mendakwa ditarik seorang daripada lelaki terbabit yang memarahinya serta memukul belakangnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.


Katanya, pihaknya mendapati kes berpunca daripada pemilik tanah mahu mengambil alih tanah 0.6 hektar miliknya di pusat tahfiz itu.


“Kami mendapati pemilik tanah mengeluarkan notis tiga bulan untuk bangunan itu dikosongkan yang berakhir hari ini (semalam).


“Kami memanggil pihak terbabit berbincang dan hasilnya, tempoh 30 hari diberikan. Jika gagal, pemilik tanah dinasihati mengambil perintah mahkamah bagi mengelak unsur jenayah,”
katanya. Beliau berkata, pusat tahfiz itu dibuka sejak enam tahun lalu selepas pemilinya mengamanahkan tanah berkenaan dimajukan untuk membina pusat kegiatan ilmu.

Seorang lagi mangsa, Aminudin Asahari, 11, berkata mendakwa ditampar seorang daripada lelaki terbabit ketika mahu mempertahankan kemudahan di asramanya itu.


Dia mendakwa diarahkan oleh pelajar senior untuk ke tandas berkenaan bagi menghalang kumpulan lelaki terbabit berbuat demikian.


"Saya menjalankan amanah yang diberikan dan saya perlu mempertahankan amanah yang diberikan," kata pelajar berasal dari Serkam Darat itu.


Beberapa pelajar turut mendakwa lelaki terbabit bertindak biadap dengan masuk ke dalam surau tempat mereka belajar hafazan al-Quran dengan tidak membuka kasut.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, beliau mengesahkan menerima laporan mengenai empat pelajar tahfiz berkenaan dipukul sekumpulan lelaki dan pihaknya masih menyiasat dakwaan itu.


Mengulas mengenai kes itu, beliau berkata, sejurus mendapat aduan berkenaan pasukannya ke lokasi berkenaan bagi melakukan siasatan dan mendapati kes itu berpunca daripada pemilik tanah terbabit mahu mengambil alih tanah seluas 0.6 hektar miliknya di pusat tahfiz berkenaan.


"Kita mendapati pemilik tanah berkenaan sudah mengeluarkan notis selama tiga bulan untuk pentadbiran pusat tahfiz berkenaan mengosongkan bangunan itu. Bagaimanapun tempoh notis yang berakhir hari ini (semalam) dan mereka masih belum berpindah.


"Selepas mendapat penjelasan, kami memanggil wakil daripada kedua-dua belah pihak bagi membincangkan masalah itu dan keputusan yang dicapai adalah memberi tempoh 30 hari untuk mereka menyelesaikan masalah itu.


"Sekiranya gagal pemilik tanah berkenaan dinasihatkan mengambil perintah mahkamah bagi mengelakkan unsur jenayah berlaku,"
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pukulpelajarkelastahfiz/Article

Helah pergi beraya

Oleh Nazarali Saeril

2010/09/24

JOHOR BAHRU: Seorang remaja perempuan berumur 14 tahun menggunakan taktik pergi beraya di rumah rakannya di sekitar bandar raya ini sebelum ‘lesap’ bersama rakan lelakinya pada kira-kira jam 1 tengah hari 15 September lalu.

Melisa Natasha Mohamad Nassir dikatakan melarikan diri bersama remaja berumur 17 tahun dikenali sebagai Amirul, sehelai sepinggang dan hingga kini gagal dihubungi.

Ibu remaja perempuan itu, Hasimah Ujang, 45, dari Taman Universiti di sini, berkata pada hari kejadian, anaknya meminta izin daripada suaminya untuk keluar berhari raya bersama Amirul.


“Melisa baru pulang dari Singapura selepas beraya dengan neneknya di sana. Dia mengatakan mahu beraya ke rumah rakan dengan membonceng motosikal Amirul. “Ketika itu pula, saya di Melaka bersama lima anak. Petang hari kejadian, kami kembali dari Melaka dan menunggunya hingga ke tengah malam tetapi dia tidak pulang,” katanya, semalam.


Hasimah mengatakan Melisa yang juga anak keempat daripada enam beradik tidak mempunyai telefon bimbit dan menerusi rakan anaknya, dia berjaya menghubungi Amirul tetapi remaja lelaki terbabit enggan memberi kerjasama.


Katanya, Amirul terus mematikan telefon bimbitnya apabila ditanya berkaitan Melisa dan ia menambah kebimbangan mereka.


“Sudah sembilan hari Melisa hilang dan ini kali pertama dia keluar dan terus tidak menghubungi keluarga,” katanya. Sebelum ini, paling lewat pun dia akan pulang ke rumah sekitar jam 9 malam dan kami kenal dengan rakannya.


“Kami ada bertemu dengan keluarga Amirul dan mereka mengatakan Melisa pernah tidur di sana. Mereka turut mengatakan gagal menghubungi anak lelaki mereka hingga kini,” katanya.


Hasimah menggesa Melisa segera kembali ke pangkuan keluarga dan bersedia untuk melupakan kisah hitam terbabit demi masa depan anaknya itu.


Tambah merunsingkan beliau, Melisa bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) hujung tahun ini.


Difahamkan Amirul yang berusia 17 tahun sudah tidak bersekolah dan Hasimah mengatakan dia tidak pernah mengenali remaja terbabit.

Satu laporan polis juga sudah dibuat di Balai Polis Taman Universiti sehari selepas kejadian dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Melisa diminta menghubunginya di talian 012-2103348 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Helahpergiberaya/Article

Pekerja setia dalang kehilangan 12 TV LCD

2010/09/24

KAJANG: Kehilangan 12 televisyen skrin paparan cecair (LCD) dari stor sebuah pasar raya terkenal di sini, sejak lima tahun lalu hanya terbongkar selepas dua pekerjanya dikesan melakukan kerja haram itu, kelmarin.

Sebelum itu, penyelia stor berkenaan mula berasa hairan apabila mendapati televisyen LCD di stor berkenaan hilang satu demi satu sejak lima tahun lalu mula membuat siasatan sendiri.

Apa yang mengejutkan, walaupun berlaku kecurian televisyen itu namun tidak mengesyaki ia angkara pekerjanya sendiri. Difahamkan, dua lelaki terbabit dipercayai bijak mencuri televisyen berkenaan tanpa dicekup majikannya. Namun, penyelia terbabit yang melakukan pemeriksaan dengan melihat kamera litar tertutup (CCTV) dalam stor berkenaan terkejut apabila mendapati pekerja setianya membawa keluar televisyen itu dipercayai untuk dijual dengan harga murah.


Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata, satu laporan polis dibuat penyelia terbabit sebelum polis menahan seorang lelaki berusia 25 tahun untuk siasatan lanjut.


Menurutnya, suspek yang berasal dari bandar ini dipercayai mencuri televisyen terbabit apabila mendapat permintaan daripada pelanggan yang mahukan harga murah. “Kami masih menyoal siasat suspek dan kini mengesan seorang lagi rakannya untuk membantu siasatan mengenai kes kecurian itu,” katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pekerjasetiadalangkehilangan12TVLCD/Article

Tidak boleh ubah posisi berlebihan

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Hospital Melaka (HM) menafikan dakwaan seorang ibu yang menyatakan kecederaan seperti kudis serius di belakang kepala anaknya terjadi disebabkan kecuaian HM yang tidak menggerakkan kepala kanak-kanak terbabit yang terlantar koma selama 18 hari.

Timbalan Pengarah Kesihatan Melaka (Perubatan), Datuk Dr Dul Hadi Mat Junid, berkata pesakit, Fatin Nur Amira Syuhada Yusrizan, 2, mengalami kesan melecur akibat terkena air panas di bahagian dagu, dada dan di dalam mulut diberi rawatan awal di Jabatan Kecemasan sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Mawar HM 8 Ogos lalu.

Menurutnya, pesakit memerlukan bantuan mesin pernafasan tahap tinggi bagi membantunya untuk bernafas yang pada ketika itu berada dalam keadaan kritikal disebabkan mengalami masalah paru-paru selain mengalami tekanan darah rendah.


“Pemantauan harian sejak dimasukkan ke ICU 8 Ogos hingga 22 Ogos lalu mendapati pesakit tidak mengalami sebarang komplikasi sebelum dikesan mula mengalami perubahan pada warna kulit di bahagian belakang kepala bersaiz sebesar duit syiling 50sen (3 sentimeter) pada 23 Ogos lalu.


“Posisi kepala pesakit sentiasa diubah setiap 2 jam tetapi pergerakan yang kami lakukan amat terhad berikutan keadaannya yang sangat tenat pada ketika itu dan masih memerlukan bantuan mesin pernafasan tinggi,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan Harian Metro kelmarin mengenai dakwaan seorang ibu, Zaidatul Husni Hashim, 27, bahawa kecuaian HM yang tidak menggerakkan kepala anaknya selama 18 hari menjadi punca anaknya mengalami kecederaan seperti kudis serius di bahagian belakang kepala.
Dalam laporan itu, Zaidatul turut mendakwa tidak diberitahu oleh HM akan kecederaan yang terjadi kepada anaknya yang menyebabkan anaknya tidak akan mempunyai rambut selepas sembuh kelak.

Dul Hadi berkata, sekiranya posisi pesakit diubah secara berlebihan ia boleh menyebabkan keadaan pesakit menjadi tidak stabil dan pesakit yang mengalami masalah bengkak pada seluruh badan turut menjadi faktor penyumbang kepada komplikasi di bahagian belakang kepala terbabit (pressure sore).

“Pada hari pesakit dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) saiz ‘pressure sore’ di kepalanya masih berukuran 3 sentimeter dan keadaan ‘pressure sore’ bersih dan kering,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidakbolehubahposisiberlebihan/Article

Waris bayi ditemui dalam pembetung dicari

2010/09/24

KUALA LUMPUR: Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan waris bayi perempuan yang ditinggalkan dalam pembetung longkang berair berhampiran stesen minyak Petronas di Jalan Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Klang Gate, dekat sini, pada 6 Ogos lalu.

Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Noor Adelin Nordin, berkata bayi berkenaan kini diberi nama Nurul Ain Amani ditempatkan sementara di Rumah Kanak-Kanak Tengku Budriah Cheras, Kuala Lumpur sehingga 7 Oktober ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali waris bayi perempuan berkenaan boleh menghubungi talian 03- 87378007 atau 03- 87376700,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Warisbayiditemuidalampembetungdicari/Article

Mentua berdarah dibelasah menantu

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/09/24

AMPANG: Menantu setan! Itu gelaran layak buat seorang lelaki yang membelasah ibu mentuanya selepas berang kerana dianggap campur tangan dalam hal ehwal rumah tangganya di Taman Cahaya, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari Ahad lalu, mangsa yang berusia lingkungan 50-an ditumbuk di muka hingga hidungnya berdarah, selain ditendang di perut.

Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit turut memecahkan cermin teksi milik ibu mentuanya selepas wanita berkenaan memberitahu mahu membuat laporan polis.

Menurut sumber, kejadian bermula apabila seorang jiran menghubungi mangsa mengatakan anak perempuannya dipukul menantunya, menyebabkan wanita itu bergegas ke rumah pasangan berkenaan.

“Jiran itu menghubungi mangsa dan memaklumkan anaknya sudah tiga hari dipukul menantunya. Sejurus mengetahui hal itu, mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi, bergegas ke rumah anak dan menantunya itu,” katanya.

Sumber itu berkata, sejurus tiba, mangsa bertanyakan kepada menantunya mengapa dia sanggup berbuat demikian kepada isterinya.

“Mendengarkan soalan itu, menantunya secara tiba-tiba naik angin dan terus menendang perut ibu mentuanya tanpa belas kasihan.

“Bagaikan dirasuk, dia kemudian mengamuk dan memecahkan semua barang dalam rumahnya hinggakan mangsa turut terkena serpihan barangan yang pecah itu, selain ditumbuk hingga hidungnya berdarah,”
katanya.

Menurutnya, melihat menantunya semakin menggila mangsa cuba melarikan diri dan memberitahu akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

“Berikutan itu, menantunya mengekori mangsa sebelum menghayunkan topi keledar ke cermin teksi mangsa. Lelaki terbabit kemudian terus melarikan diri meninggalkan mangsa bersama anak perempuannya,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis dan susulan itu, suspek yang berusia lingkungan 20-an itu ditahan polis pada hari yang sama bagi membantu siasatan.

Difahamkan, lelaki terbabit bertindak memukul isterinya kerana dia gagal mendapatkan wang berjumlah kira-kira RM10,000 yang dikatakan untuk menjamin seorang saudaranya yang ditahan polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan lelaki terbabit.

Menurutnya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mentuaberdarahdibelasahmenantu/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...