Monday, September 27, 2010

Rozita pernah anggap berita kehilangan Sosilawati gimi

2010/09/27


Rozita Ibrahim
IPOH: Pengasas produk kecantikan dan kesihatan, Sendayu Tinggi, Rozita Ibrahim pernah menganggap berita kehilangan Datuk Sosilawati Lawiya sekadar gurauan dan gimik terbaru daripada jutawan kosmetik itu.

"Ketika kehilangannya terpapar di akhbar baru-baru ini, saya ingat dia (Sosilawati) main-main dan menganggap ia gimik terbaru daripada Wati kerana sepanjang mengenalinya, dia adalah seorang yang suka menarik perhatian ramai.
"Tidak logik dia pergi ke Banting dan tidak pulang sedangkan jarak tempat itu dengan kediamannya dekat saja. Namun, pada ketika itu, saya berdoa agar tiada perkara buruk berlaku pada Wati," katanya ketika ditemui Berita Harian selepas majlis pelancaran kedai pertama Sendayu Tinggi di sini, kelmarin.
Beliau yang menyifatkan Sosilawati sebagai ikon komestik dan seorang bersemangat tinggi berkata, selepas berita kehilangan Sosilawati tersebar dalam media dan disahkan keluarga rakannya itu, beliau dapat berasakan sesuatu serius berlaku dan Sosilawati berada dalam keadaan bahaya.

"Dalam tempoh kehilangan Wati, dua kali saya termimpi arwah datang kepada saya dengan suara sayu memberitahu pinggangnya sakit. Sebaik ditanya mengapa sakit...dia terus menghilangkan diri.

"Saya tertanya-tanya dengan mimpi itu dan kebiasaannya jika membabitkan pinggang dan tulang belakang, kemungkinan besar orang itu berada dalam kesusahan atau kesakitan. Bagaimanapun, ia hanya mimpi kerana Allah saja Maha Mengetahui ke atas semua yang berlaku,"
katanya mengagumi Sosilawati sebagai seorang yang sangat pemurah, baik hati dan suka berkawan.

"Kali terakhir kami bertemu pada April lalu ketika saya menjemputnya untuk menghadiri satu majlis ilmu di kediaman saya," katanya.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/RozitapernahanggapberitakehilanganSosilawatigimik/Article/index_html

Petunjuk baru kes kehilangan Mohd Shafik

2010/09/27

BANTING: Polis menemui petunjuk baru semalam dipercayai ada kaitan dengan kes kehilangan ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah di ladang milik suspek utama kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Tanjung Sepat, dekat sini.

Sumber berkata, petunjuk itu bukan mayat manusia sebaliknya suatu ‘benda’ yang dapat membantu siasatan kes kehilangan ahli perniagaan itu. Katanya, pihak polis berpuas hati dengan penemuan terbabit yang dapat membantu siasatan dalam operasi dijalankan selama lapan jam itu. Beliau berkata, tiada mayat ditemui dalam operasi itu dan enggan mendedahkan ‘benda’ yang ditemui itu sama ada tulang manusia atau barangan peribadi milik mangsa.

“Saya tidak dapat mendedahkan apa yang ditemui tetapi polis berpuas hati dengan penemuan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Difahamkan, ‘benda’ itu ditemui di lokasi yang dipercayai kubur mangsa dalam ladang terbabit.

Sumber berkata, jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat yang memasuki ladang itu pagi semalam adalah untuk membekalkan air bagi operasi itu, manakala Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang turut memasuki ladang terbabit adalah untuk membaiki paip air bocor.
Dua kubur dipercayai ditemui di ladang berkenaan iaitu satu yang terletak kira-kira satu meter dari kawasan belakang ladang manakala satu lagi terletak berhampiran rumah pekerja dalam ladang itu.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/PetunjukbarukeskehilanganMohdShafik/Article

Leher dikelar geng Mat Rempit


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak

2010/09/27

SHAH ALAM: Tidak ubah seperti binatang apabila sekumpulan kira-kira 10 Mat Rempit cuba merompak dan menyerang seorang penuntut sebuah institut pengajian tinggi awam sebelum mengelar leher mangsa hingga berlumuran darah.



Dalam kejadian jam 2.30 pagi kelmarin di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, kumpulan Mat Rempit berkenaan yang bersenjatakan pisau mencederakan pelajar berkenaan yang cuba menyelamatkan dompet dan telefon bimbitnya daripada dirompak.

Difahamkan, mangsa yang cedera parah dan berlumuran darah terpaksa lari ke tengah lebuh raya bagi menyelamatkan diri dan meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan selepas dikejar kumpulan Mat Rempit terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Faris, 21, berkata kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak sebelum susur keluar ke Padang Jawa. Dia dan seorang rakan yang membonceng motosikalnya dalam perjalanan pulang ke rumah di kawasan berdekatan.

Menurutnya, dia tidak menggunakan laluan motosikal lebuh raya berkenaan kerana hari sudah pagi dan bimbang disamun kerana jalan agak sunyi. Namun, malang tidak berbau apabila sekumpulan Mat Rempit menaiki tujuh motosikal mengekorinya daripada belakang.

“Sebaik saja kumpulan terbabit mendekati, mereka tiba-tiba mengepung motosikal saya dan mengarahkan berhenti, namun saya yang bimbang sesuatu buruk berlaku cuba memecut.


“Tindakan saya itu menyebabkan kumpulan remaja terbabit tambah berang sebelum menendang motosikal saya hingga jatuh,”
katanya.

Faris berkata, sebaik jatuh, kumpulan berkenaan terus menerpa dan membelasah dia serta rakannya untuk merampas dompet dan telefon bimbit.

“Mereka bertindak ganas, saya disepak dan ditumbuk manakala rakan pula ditampar. Kunci motosikal juga dirampas mungkin untuk melarikannya, saya cuba mempertahankan diri dan semasa bergelut saya tidak sedar leher sudah dikelar seorang daripada lelaki berkenaan.

“Saya yang berlumuran darah bertindak menyelamatkan diri dengan berlari ke tengah lebuh raya dan cuba menahan beberapa kereta untuk bantuan,”
katanya.

Menurutnya lagi, dia bernasib baik apabila ada kereta berhenti dan sudi membantu.

Katanya, pemandu kereta itu menghantar dia dan rakan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk rawatan.

“Luka akibat dikelar itu agak parah dan leher terpaksa dijahit dengan lapan jahitan, manakala rakan tidak mengalami kecederaan.

“Selepas selesai mendapat rawatan dan dibenarkan pulang saya terus membuat laporan di Balai Polis Seksyen 11, Shah Alam,”
katanya.

Tambah Faris lagi, dia tidak dapat ke kuliah tiga hari selepas insiden itu dan terpaksa menjalani rawatan susulan serta trauma melalui lebuh raya berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LeherdikelargengMatRempit/Article

Bomba pam air 2 lubang kubur


Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad, Hadzlan Hassan, Riadz Radzi, Mohd Husni Mohd Noor, Mohammad Apendy Issahak, Zaid Salim dan Hamizah Badiran

2010/09/27

BANTING: Sebuah jentera bomba terpaksa digunakan untuk mengepam air yang bertakung dalam dua lubang besar di Ladang Gadong, semalam yang dipercayai kubur seorang ahli perniagaan dari Sungai Petani, Kedah, Mohd Shafik Abdullah, 37, dan rakannya.


KELUAR...jentera bomba keluar dari laluan utama kes pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.


MASUK...jentolak memasuki laluan utama ke lokasi pembunuhan jutawan kosmetik dan tiga individu lain.

Dua individu itu dipercayai turut menjadi mangsa bunuh suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain.

Jentera bomba mula memasuki kawasan ladang terbabit kira-kira jam 10.30 pagi disusuli beberapa kenderaan polis termasuk dari Unit Forensik, selain van membawa empat suspek dipercayai pekerja ladang itu, 15 minit kemudian.

Mohd Shafik dan rakannya yang berasal dari Taiping, Perak dilaporkan hiang sejak 5 April lalu dan gagal ditemui hingga kini. Mereka sebelum itu dikatakan datang ke sini untuk bertemu dengan seorang peguam yang kini menjadi suspek utama pembunuhan Sosilawati.

Dua lubang besar itu terletak berasingan, satu di bahagian belakang ladang ternakan milik suspek dan satu lagi di kawasan penanaman kelapa sawit di luar ladang berkenaan. Lokasi kedua-duanya dipercayai dikenal pasti menerusi maklumat yang diperoleh daripada suspek sendiri.

Pada kira-kira jam 12.15 tengah hari, sebuah jengkaut dilihat memasuki kawasan ladang berkenaan dipercayai untuk menggali kedua-dua lokasi yang sudah ditanda polis.


Bagaimanapun, petugas media tidak dibenarkan menghampiri kawasan terbabit selepas pita kuning dipasang oleh polis kira-kira 300 meter dari pintu masuk ladang milik suspek utama kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Menurut jurucakap Bomba dan Penyelamat, mereka ke lokasi terbabit selepas polis meminta bantuan bagi menyedut keluar air sungai yang memenuhi lubang berkenaan berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Bagaimanapun jurucakap itu enggan mengulas lanjut dan meminta kumpulan media supaya berhubung dengan polis bagi mendapatkan maklumat terperinci.

Kerja mengorek kubur berkenaan dijangka diteruskan hingga malam tadi bagi mencari bukti kemungkinan mayat mangsa suspek ditanam dalam kubur itu.

Seorang lagi individu yang hilang dan turut dikatakan menjadi mangsa pembunuhan suspek bekerjaya peguam itu seorang ahli perniagaan dari India, Allal Kanthan Muthuraja, 34.

Muthuraja dilaporkan hilang selepas tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu untuk bertemu suspek berkaitan urusan perniagaan.

Sementara itu, isteri mendiang yang membatalkan perjalanan pulang ke Ramapuram, India semalam, S Usharani, 24, dilihat sekali lagi memasuki Ibu Pejabat Daerah (IPPD) Kuala Langat kira-kira jam 10 pagi dan keluar 45 minit kemudian.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bombapamair2lubangkubur/Article

Artis dicekup di rumah janda


Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

2010/09/27


PUTRAJAYA: Seorang penyanyi dan pelakon terkenal era 1980-an dan awal 1990-an memberi alasan datang berhari raya ketika dicekup kerana disyaki berkhalwat di rumah janda dipercayai kekasihnya di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, kelmarin.

Artis berusia dalam lingkungan awal 50-an itu ditahan sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) yang menyerbu premis itu pada kira-kira jam jam 11.45 malam.

Menurut sumber, artis terbabit dipercayai sudah beberapa kali mengunjungi kekasihnya yang menginap di tingkat dua kuarters 15 tingkat itu sebelum penguat kuasa Jawi menyerbu premis itu.

Sebelum itu, penguat kuasa Jawi mendapat maklumat awam berkaitan kehadiran artis itu di rumah janda beranak dua berusia lingkungan 30-an yang juga kakitangan kerajaan di sebuah kementerian, di sini, yang dikatakan berdua-duaan di dalam rumah itu, sejak jam 10.40 malam.

Sumber itu berkata, lima penguat kuasa Jawi membuat pemeriksaan dan terpaksa menunggu kira-kira 30 minit sebelum dibuka artis terbabit dan ketika itu pasangannya berpakaian kemas seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

“Seperti biasa, penguat kuasa Jawi kemudian memasuki rumah dan melakukan pemeriksaan sebelum mendapati seorang wanita yang juga berpakaian lengkap duduk di kerusi di satu sudut di dalam rumah itu.


“Artis terbabit yang dipercayai panik cuba melepaskan diri, cuba merayu bagi mengelak dikenakan tindakan dan secara jujur mengaku bukan mahram, tetapi tidak melakukan maksiat di rumah itu,”
katanya.

Sumber berkata, alasan tidak bijak artis terbabit tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi yang kemudian mengingatkannya perbuatan berduaan dengan wanita bukan mahram adalah perbuatan maksiat dan boleh menjurus kepada perbuatan tidak bermoral termasuk zina.

Katanya, walaupun artis terbabit memberikan pelbagai alasan termasuk kononnya mahu menghantar barang kepada kekasihnya itu, tetapi alasan itu ditolak mentah-mentah penguat kuasa.

“Selepas rayuan tidak dipedulikan, artis terbabit dan pasangannya yang sudah beberapa bulan menjanda kemudian akur sebelum dibawa ke Pejabat Jawi cawangan Putrajaya untuk disoal siasat,” katanya.

Menurut sumber itu, pasangan terbabit kemudian dibebaskan dengan jaminan selepas siasatan selesai dilakukan dan bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mereka akan didakwa mengikut Seksyen, 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua penjara tahun atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Artisdicekupdirumahjanda/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...