Monday, June 14, 2010

Kes Badrul Muhayat Disebut Semula 28 Jun

Published: Isnin Jun 14, 2010 MYT 1:28:00 PM
Updated: Isnin Jun 14, 2010 MYT 1:42:09 PM

Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin

KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, 28 Jun ini.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas dimaklum oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd Radzi bahawa pendakwaan belum memperoleh kertas siasatan daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mengetahui sama ada pertuduhan kedua terhadap pelakon itu perlu dipinda.

Nor Husnita berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang arahan berkaitan pindaan bagi pertuduhan kedua itu.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat, 42, yang diwakili peguam Abdul Rashid Tasin mengaku tidak bersalah menumbuk muka dan menendang perut Julia Daud, 29, di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memukul punggung dan kaki Julia dengan batang penyapu pada waktu dan di tempat yang sama. Pelakon tersebut didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Badrul Muhayat diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan. - BERNAMA

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/14/mstar_hiburan/20100614132639&sec=mstar_hiburan

Rakyat Malaysia Pemurah, Pengemis Terus Menadah

Isnin Jun 14, 2010

Isu pengemis tidak akan selesai jika rakyat Malaysia tidak mengambil jalan penyelesaian dengan menghulurkan sumbangan ke saluran yang betul.

KISAH kumpulan lima adik-beradik di Shah Alam yang siang harinya bekerja sebagai pengemis dan mengakhiri malam mereka dengan berjoli sakan hasil kutipan sedekah dengan bermain 'game' di kafe siber didedahkan mingguan mStar selama dua minggu berturut-turut.

Tiada apa lagi yang perlu diperkatakan tentang mereka kerana sudah terang lagui bersuluh mereka menjadikan aktiviti itu sebagai kerjaya, bukan kerana miskin derita.Kini, giliran masyarakat pula untuk berfikir sebelum mereka menyeluk poket dan menghulur wang di atas tangan si pengemis yang tidak pernah diketahui sampai bila mereka ini akan berhenti menadah.

Ikuti juga pandangan Penganalis Jenayah, Kamal Efendi Hashim dan Setiausaha Agung Majlis Madrasah India Muslim Malaysia, Mohammed Shariff Ghani berhubung isu ini.

Dua budak peminta sedekah menuju ke kafe siber selepas mengutip sedekah daripada orang ramai di sekitar Seksyen 7, Shah Alam.

PETALING JAYA: Sikap masyarakat kita yang terlalu 'memberi muka' terhadap pengemis dan budak peminta sedekah menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jumlah golongan ini.

Penganalisis Jenayah, Kamal Efendi Hashim berkata perbuatan memberi sedekah kepada pengemis bererti masyarakat menggalakkan mereka supaya terus mengemis dan seolah-olah memberi keyakinan untuk mereka meneruskan hidup dengan melakukan aktiviti seumpama ini.

"Masyarakat kita bersimpati tak kena pada tempatnya. Bersedekah tak salah, tapi biarlah bersedekah di saluran yang betul," katanya kepada mingguan mStar.

Jelasnya, terdapat banyak cara dan saluran yang membolehkan orang ramai bersedekah dan dalam masa yang sama wang itu dijamin sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukannya.

Bagi yang ragu-ragu terhadap status pengemis dan bimbang 'ditipu', mereka tidak semestinya menghulurkan wang sebaliknya boleh bersedekah dengan bentuk lain seperti membelanja si pengemis makan atau minum.

"Kalau ada duit lebih, mereka boleh derma kepada sekolah. Kalau ada lagi duit lebih, mereka boleh bersedekah ke rumah-rumah ibadat kerana setiap rumah ibadat mempunyai tabung kebajikan dan ada orang yang diamanahkan untuk menjaganya," katanya.

Kamal turut menggelar kumpulan pengemis yang menyalahgunakan wang orang ramai ini sebagai penjenayah yang menggunakan senjata halus seperti pakaian compang-camping, air mata, kecacatan dan wajah simpati untuk 'memerangkap' orang ramai demi kesenangan diri sendiri.

"Kita selalu membayangkan penjenayah akan gunakan senjata seperti pisau untuk memeras ugut. Tapi kita tak sedar senjata pengemis lebih tajam. Mereka tidak memeras ugut, tetapi memeras belas kasihan dan ihsan masyarakat secara halus," katanya.

Kamal meletakkan pengemis kepada dua kategori. Kategori pertama ialah kumpulan peminta sedekah yang diketuai atau didalangi individu atau sindiket, manakala satu lagi kategori ialah kumpulan pengemis yang menjalankan aktiviti secara bersendirian.

Dalam konteks kumpulan lima adik-beradik warga Myanmar yang menjadikan pengemis sebagai kerjaya, Kamal percaya mereka bergerak secara bersendiri.

Disebabkan tiada pengawasan di luar rumah, mereka bebas melakukan apa saja termasuklah menggunakan wang sedekah untuk tujuan keseronokan dan seterusnya terlibat dengan jenayah.

"Pengemis, terutamanya kanak-kanak wajar diberi peluang untuk hidup. Tapi, jika tindakan mereka itu dahsyat sehingga membuatkan masyarakat terganggu, mereka boleh terus melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan selanjutnya.

Isu penyalahgunaan wang sedekah turut mendapat reaksi daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Mohammed Shariff Ghani

Setiausaha Agung Majlis Madrasah Indian Muslim Malaysia, Muafakat India Muslim Selangor (MIM), Mohammed Shariff Ghani berkata sudah tiba masanya kerajaan membuat kajian lebih terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum negara kita tidak dibanjiri lebih ramai pengemis.

Katanya, ketiadaan undang-undang dan penguatkuasaan tegas oleh pihak berkuasa membolehkan mereka yang tidak bertanggungjawab menggunakan peluang dan keterbukaan ini untuk mengaut keuntungan dengan cara mudah.

"Walaupun kini ada banyak NGO, tetapi setiap pertubuhan itu tertakluk kepada enakmen dan undang-undang sendiri. Tapi, kita masih tiada pertubuhan atau badan khas untuk mengawasi aktiviti seperti ini," katanya.

Tidak menafikan sebahagian daripada kanak-kanak peminta sedekah terdiri daripada kaum India-Muslim dan ada di antara mereka memegang status pelarian, Mohammed Shariff turut membayangkan imej negara akan tercemar jika aktiviti ini dibiarkan berterusan.

Malah, dia turut mengaitkan aktiviti ini dengan gejala sosial dan akan menyumbang kepada lebih banyak kes-kes jenayah.

"Budaya meminta sedekah membuatkan kanak-kanak malas untuk belajar. Bila mereka besar, mereka malas untuk bekerja kerana sejak kecil lagi mereka sudah biasa mendapat wang dengan mudah.

"Kesudahannya, mereka terpaksa mencari wang dengan cara lain yang lebih mudah juga seperti mencuri dan sebagainya," katanya.

Mengulas nasib dan penderitaan kanak-kanak pelarian, terutama dari Myanmar dan Bangladesh ke negara ini, pihaknya turut berasa simpati dan berharap pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu bagi membela nasib mereka di sini.

Selain menjadi mangsa kemelut politik, kelompok ini juga terhimpit kerana negara mereka tidak pernah mengiktiraf kaum ini sebagai warganegara dan menyebabkan mereka lari ke Malaysia melalui sempadan Thailand.

"Saya pernah dengar mereka sanggup mencacatkan diri sendiri atau ahli keluarga untuk menagih simpati orang ramai dan saya tahu cerita ini bukan rekaan sebab tindakan seperti itu sudah jadi perkara biasa di sana," katanya.

Namun, dia kesal kerana peluang dan bantuan yang diberikan oleh United Nations kepada mereka telah disalah guna di sini.

Justeru, dia berpendapat, jalan terbaik untuk membasmi kegiatan ini ialah dengan mengadakan kempen dan promosi supaya orang ramai berhati-hati sebelum bersedekah dan mengikis sedikit demi sedikit budaya murah hati yang ada dalam diri kebanyakan masyarakat Malaysia.

"Pengemis tak sepatutnya ada di Malaysia. Jangan sampai Malaysia dijadikan 'tapak' untuk membuka bisnes sedekah pada masa akan datang," katanya.

http://mstar.com.my/variasi/manusia_peristiwa/cerita.asp?file=/2010/6/14/mstar_manusia_peristiwa/20100614102448&sec=mstar_manusia_peristiwa

Kejutan Lelaki Merah

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Sepasukan ‘Lelaki Berbaju Merah’ (Men in Red) Shell mengejutkan cuti hujung minggu orang ramai apabila mengadakan aktiviti istimewa membersih dan mencuci kenderaan secara percuma, di sini, semalam.

Aktiviti yang dijalankan bertujuan memberi maklumat kepada pengguna mengenai produk keluaran terbaru Shell yang akan dilancarkan di Hotel Sunway Resort, esok.

Pengarah Urusan Shell Malaysia, Azman Ismail, berkata pasukan khas berpakaian merah itu berada di beberapa kawasan padat seperti Bangsar, Hartamas, Kepong, Petaling Jaya, Putrajaya, Shah Alam, Subang Jaya, Taman Tun Dr Ismail dan Wangsa Maju.

Pekerja Swasta, Nur Zaliza Abdullah, 32, berkata aktiviti sebegini perlu dipuji kerana memberi pendedahan awal mengenai sesuatu keluaran baru kepada pengguna. “Pada mulanya saya terkejut. Tambah terkejut apabila mereka minta izin membersihkan kenderaan saya secara percuma. Tapi, selepas diberi sedikit maklumat tujuan sebenar, saya berasa bertuah pula,” katanya.

Cinta gelap terbongkar

Oleh Norfaisal Jahuri
am@hmetro.com.my
2010/06/14

JASIN: Sepasang kekasih layak digelar pasangan durjana apabila menjalin hubungan ‘cinta gelap’ walaupun masing-masing sudah bergelar sebagai isteri dan suami orang.

Mereka juga masih menjalinkan hubungan cinta walaupun menyedari diri masing-masing mempunyai batasan dan tanggungjawab, namun kerana tuntutan nafsu, mereka tewas untuk melaksanakannya.


Namun, hubungan cinta terlarang yang dibina pasangan membabitkan wanita berusia 21 tahun serta lelaki berusia 27 tahun itu terbongkar apabila mereka dicekup imam tempatan di daerah ini, awal pagi semalam.


Lebih mengharukan, pasangan terbabit ditahan di rumah lelaki berkenaan dan difahamkan ketika itu ibunya turut berada di rumah berkenaan.


Pasangan terbabit kemudian diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.


Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Rahimin Bani, berkata berdasarkan maklumat yang diterima, imam terbabit membuat serbuan di rumah berkenaan kira-kira jam 5 pagi sebelum menemui pasangan itu dalam keadaan berkurung.


“Soal siasat dilakukan terhadap pasangan terbabit mendapati kedua-dua mereka bukan mahram. Lebih memeranjatkan mereka pula berstatus isteri dan suami orang lalu ditahan untuk diserahkan kepada kami sebelum siasatan lanjut dijalankan,” katanya.


Rahimin berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit bertindak membawa masuk wanita berkenaan ke rumahnya selepas isterinya pulang ke kampung.


Katanya, peluang berikutan ketiadaan isterinya itu diambil lelaki berkenaan bagi melakukan perbuatan terlarang di rumahnya.


“Mereka dikatakan masuk ke rumah itu sejak tengah malam dan terus berkurung sebelum dicekup imam berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, maklumat diperoleh juga menyatakan pasangan terbabit sering berada di rumah berkenaan.

Katanya, pasangan itu akan didakwa mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman dengan bukan mahram sehingga mendatangkan syak, di mana sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM3,000 atau penjara selama 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cintagelapterbongkar/Article

Kekasih RM382,477

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
shantynur@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: Teruja ingin bertemu kekasih hati yang baru dikenali melalui laman sembang, seorang wanita berusia 27 tahun berputih mata apabila kerugian RM7,100 apabila diperdaya lelaki terbabit kononnya ditahan pihak berkuasa tempatan.

Tanpa menyedari ia helah lelaki Afrika yang bijak berlakon sebagai kasanova menjerat wanita tempatan menyebabkan mangsa yakin teman lelakinya itu dalam kesusahan. Menurut sumber, mangsa bekerja sebagai pembantu undang-undang hanya mengenali lelaki itu tidak sampai sebulan dan terkejut apabila diberitahu kekasihnya itu akan datang menemuinya minggu lalu.


“Mangsa menerima panggilan kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu dari teman lelakinya yang dikenali sebagai David menyatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari London, United Kingdom,” katanya.


Namun, kegembiraan wanita itu hanya seketika apabila menerima panggilan daripada teman lelakinya yang mendakwa ditahan pihak kastam kerana membawa wang melebihi had memasuki negara ini iaitu kira-kira RM382,477.


“Suspek meminta wanita terbabit membantu membebaskannya dengan membayar cukai iaitu 10 peratus dari jumlah wang terbabit kira-kira RM38,247.


“Mangsa yang tidak mempunyai wang sebanyak itu mulanya enggan membantu, tetapi kemudian dihubungi pula seorang lelaki lain yang mendakwa pegawai kastam menyebabkan dia terpedaya lalu memasukkan RM7,100 ke dalam beberapa akaun seperti diarahkan,” katanya.


Bagaimanapun, suspek tidak berpuas hati dan mendesak mangsa supaya memasukkan sekurang-kurangnya RM10,000 dengan alasan untuk dibebaskan, tetapi enggan dituruti mangsa.


“Suspek terus mendesak dan menghubunginya bagi meminta wang menyebabkan mangsa menghubungi pihak kastam dan imigresen KLIA bagi mengesahkan penahanan teman lelakinya itu.


“Menyedihkan apabila mangsa diberitahu kedua-dua pihak berkuasa terbabit mereka tidak membuat sebarang penahanan pada hari terbabit menyebabkan mangsa merasa ditipu dan membuat laporan polis,” katanya.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany mengesahkan menerima laporan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KekasihRM382_477/Article

Pelaburan haram cecah RM1.7 bilion

2010/06/14

KUALA LUMPUR: Hanya dalam tempoh tidak sampai setengah tahun, pelaburan haram dengan nilai kutipan melebihi RM1.7 bilion membabitkan 170,000 pelabur dikesan aktif di negara ini sejak Januari lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat Bank Negara Malaysia (BNM), Abu Hassan Alshari Yahaya, berkata jumlah itu dikesan berdasarkan siasatan pihaknya terhadap 10 kes membabitkan aktiviti pengambilan deposit tanpa lesen mengikut Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (APPWH).


Beliau berkata, jumlah itu melebihi nilai pelaburan dikesan dari 2003 hingga 2008 dijalankan 23 syarikat dengan jumlah kutipan pelaburan melebihi RM1.5 bilion, membabitkan 400,000 pelabur.


“Ini secara tidak langsung menunjukkan aktiviti pelaburan haram masih berlarutan dan ramai terjebak di negara ini selain tidak menunjukkan pengurangan,” katanya ketika ditemui.


Abu Hassan berkata, dalam tempoh sama, empat syarikat serta mereka yang menjalankan aktiviti skim cepat kaya sudah dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan perundangan, iaitu Gemilang Mirza Sdn Bhd, Noradz Travel & Services, Buluhmas Enterprise Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd.


Selain itu, katanya, dari Januari hingga Mei lalu, BNM sudah membuat serbuan dan kini menjalankan siasatan terhadap tiga syarikat iaitu Semangat Teknologi Sdn Bhd dan syarikat berkaitan dengannya, Dencomm Sales & Services Sdn Bhd dan The Gold Label Sdn Bhd.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelaburanharamcecahRM1_7bilion/Article

Wajar lapor tindakan zalim

Oleh Yusliza Yakimir Abdul Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA LUMPUR: “Tindakan keluarga mentua itu zalim kerana cuba memisahkan ibu dengan anaknya.

“Sebagai orang lebih tua, mereka tidak sepatutnya melakukan perkara sedemikian,” kata Pengasas Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja (Kewaja), Yahya Mohamed Yusuf.

Bagaimanapun, katanya, tindakan wanita itu yang melaporkan kejadian adalah tepat dan wanita yang mengalami masalah sepertinya harus berani tampil membuat aduan sejak awal bukan selepas masalah sudah menjadi teruk.

“Wanita yang menjadi mangsa kezaliman suami ini disarankan membuat aduan kepada polis, jabatan agama Islam, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mendapatkan khidmat kaunseling serta pusat perlindungan. “Ada juga memberi alasan tidak mahu mengadu dan sanggup didera kerana berkorban untuk anak tapi pengorbanan yang sebenar adalah dengan memisahkan anak dengan bapa yang zalim supaya mereka tidak dibesarkan dengan suasana penderaan sebegitu.


“Jika anak terus dipertontonkan dengan sikap zalim bapa mendera ibu mereka, anak akan menganggap wanita patut dilayan sedemikian dan mempraktikkan perkara sama terhadap isteri mereka kelak,” katanya.

Yahya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Metro Ahad, semalam, mengenai kejadian wanita malang yang didera suami dan keluarga mentuanya termasuk merampas dua anak mangsa.

Mangsa yang dipaksa berkahwin dengan suaminya enam tahun lalu selepas lelaki itu merogolnya turut mengalami kesedihan berganda apabila turut tidak dibenarkan berjumpa anak selepas suaminya itu maut kemalangan.

Justeru, katanya, satu mekanisme baru berkaitan institusi kekeluargaan perlu diwujudkan segera supaya masalah berkaitan keruntuhan rumah tangga dan penderaan terhadap wanita serta kanak-kanak dapat ditangani dengan berkesan.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Masyarakat Penyayang berkata, pendidikan formal mengenai alam rumah tangga penting supaya pasangan dapat menjalani kehidupan berkeluarga tanpa keganasan.

“Kita juga perlu mewujudkan kembali konsep ‘menjaga tepi kain’ di kalangan masyarakat supaya kejadian sebegini dapat dikurangkan. Menjaga tepi kain bukan bermakna kita mencampuri urusan orang lain tapi menunjukkan sikap prihatin dengan apa yang berlaku di sekeliling.


“Apa yang berlaku sekarang adalah masyarakat sudah tidak peduli jika ada jiran tetangga melakukan maksiat, buang bayi, penderaan, penyalahgunaan dadah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wajarlaportindakanzalim/Article

'Jiwa saya kini damai'

Oleh Togi Marzuki
am@hmetro.com.my
2010/06/14

PONTIAN: “Setiap kali bersolat dan berdoa, jiwa saya cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak pernah dirasai sebelum ini,” kata seorang mualaf, Muhammad Firdaus Goh, 42, yang berasal dari Kampung Pontian Besar dan memeluk Islam bersama isteri dan empat anak mereka, Khamis lalu.

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, biarpun sudah lama mahu memeluk Islam, namun terpaksa menangguhkan hasrat itu kerana bimbang hasratnya tidak dipersetujui isteri mahupun anak.


Bagaimanapun, menurutnya, tanggapan itu meleset apabila ahli keluarganya menyambut baik keinginannya dan bersedia memeluk Islam dengan hati terbuka.


“Pergaulan bersama rakan nelayan sejak kecil membolehkan saya mengenali Islam dan tertarik dengan ajarannya yang mengajar kita mendekati perkara mulia, saling membantu dan paling utama mencintai Allah.


“Pada pandangan saya, agama memainkan peranan penting bagi membentuk keperibadian individu dan bersyukur kerana kami sekeluarga berpeluang memeluk Islam,”
katanya yang melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Pegawai Agama Pontian, Montaha Tuah dalam Majlis Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Pontian anjuran Majlis Agama Islam Johor (Maij).


Majlis pengislaman Muhammad Firdaus turut dihadiri kira-kira 500 penduduk Islam setempat. Selain Goh dan isteri, Nur Aisyah Yasmin, 35, empat anak pasangan berkenaan yang turut memeluk Islam ialah Muhammad Hamzie Goh, 15, Nur Umairah Goh, 14, Nur Maisarah Goh,10 dan Nur Puteri Goh, tiga tahun.


Bagi Nur Aisyah, sebagai isteri dan ibu kepada empat anak, keputusan memeluk Islam secara serentak menjadi suatu rahmat tidak diduga.


Menurutnya, tiada mana-mana pihak memaksa mereka memeluk Islam, sebaliknya ia datang daripada hati yang ikhlas selain yakin dengan kekuasaan Yang Maha Esa.


“Syukur Alhamdulillah atas limpah kurnia-Nya. Semoga Allah memberkati kami sekeluarga selain menjadi pendorong merapatkan lagi silaturahim antara jiran sama ada jauh atau dekat selain mempelajari Islam dengan lebih mendalam.


“Terima kasih juga kepada penduduk yang hadir pada hari yang diberkati ini dan ia memberi semangat baru kepada kami sekeluarga untuk menjalani kehidupan sebagai umat Islam,”
katanya.


Katanya, bermula detik itu, mereka sekeluarga akan bertanggungjawab dan berusaha sebaik mungkin mendalami agama suci itu selain tidak sabar menunaikan ibadat puasa Ogos depan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jiwasayakinidamai/Article

Buntu cari ayah kandung

2010/06/14

KUALA LUMPUR: “Saya tidak mempunyai apa-apa maklumat mengenai ayah kandung. Hanya namanya saya tahu iaitu Abdullah Hassan.

“Tapi, disebabkan ketiadaannya, pernikahan saya yang sepatutnya diadakan pada 9 Jun lalu terpaksa ditangguhkan,” kata Junaidah Mohamed Nor, 22, yang terpisah dengan ibu bapanya sejak dilahirkan.

Junaidah yang diserahkan kepada keluarga angkat sejak dilahirkan, berkata dia mula mencari ibu bapanya pada 2007 sebaik dimaklumkan dia anak angkat kepada pasangan Mohamed Nor Yusof, 59, dan Aminah Mohd Zin, 62.

“Saya pernah mencari keluarga kandung berdasarkan alamat di dalam sijil kelahiran iaitu di Kampung Pulau Lumut, Klang, namun hampa kerana mereka sudah berpindah,” katanya ketika ditemui di Balai Berita di sini, baru-baru ini.


Katanya, dia buntu memikirkan cara untuk menjejaki keluarga kandungnya memandangkan tidak banyak maklumat yang diperoleh. “Walaupun tidak pernah menatap wajah mereka, saya berharap mereka tampil dan ayah boleh menjadi wali pernikahan saya. “Saya harap ayah menghubungi saya sebelum 28 Jun ini kerana sebutan kes bagi mendapatkan kebenaran menggunakan wali hakim akan diadakan pada tarikh itu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,” katanya.


Oleh itu, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarganya boleh menghubunginya di 019-6916051 atau hadir ke mahkamah pada hari sebutan kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Buntucariayahkandung/Article

Marah janda kahwin lain

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my
2010/06/14

KUALA TERENGGANU: Hanya kerana cemburu apabila bekas isteri berkahwin semula dengan lelaki yang jauh lebih tua daripada dirinya, seorang lelaki bukan saja membawa bersama abang, malah kira-kira 17 lagi lelaki lain untuk membelasah suami baru wanita itu.

Pasangan berkenaan diserang ketika sedang berehat di kawasan Pantai Kemasik dekat Kemaman, menyebabkan suami baru wanita terbabit cedera dibahu serta dada dan dua anggota polis yang cuba meleraikan pergaduhan turut cedera.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Superintendan K Manoharan berkata, serangan dipercayai bermotifkan cemburu dan siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca akibat perasaan tidak puas hati seorang lelaki berusia 40 tahun apabila jandanya berusia 30 tahun itu berkahwin dengan lelaki berusia 49 tahun.

“Itu saja yang dapat saya katakan kerana kami tidak tahu bila wanita itu bercerai dengan bekas suaminya dan bila pula dia berkahwin, namun yang pasti dia sudah bercerai sebelum berkahwin kali kedua,” katanya.

Beliau berkata, serangan berkenaan bukan hanya menyebabkan suami wanita terbabit cedera, malah dua anggota polis turut menerima nasib sama akibat dilibas dengan kayu ketika meleraikan pergaduhan kumpulan itu.

Kejadian dipercayai bermula ketika kedua-dua anggota dari Balai Polis Air Jernih, Kemaman itu terserempak dengan sekumpulan lelaki bersenjatakan kayu membuat kecoh dan mereka cuba meleraikannya selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

“Anggota polis terbabit berhenti rehat di gerai dekat pantai Kemasik selepas selesai menjalankan rondaan dan terserempak dengan kumpulan itu sebelum cuba campur tangan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, sebaik menghampiri dan memperkenalkan diri, seorang daripada anggota berkenaan dipukul di kaki manakala seorang lagi di lengan.
Manoharan berkata, kumpulan berkenaan kemudian melarikan diri sebelum kedua-dua anggota polis dan pasangan itu membuat laporan di Balai Polis Air Jernih.

“Kedua-dua mereka dihantar ke hospital dan dirawat sebagai pesakit luar kerana luka dan lebam manakala suami wanita yang diserang itu turut mengalami kecederaan di bahu dan dada.

“Kami sudah mencari dua beradik berkenaan di kediaman masing-masing sekitar Kemaman bagi membantu siasatan, namun mereka gagal dikesan setakat ini,”
katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka menyerah diri atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit menghubungi pihak berkuasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Pelawak pesta ganja

Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/06/14

SUBANG: Sedang peminat bola sepak tanah air bersedia menyaksikan Piala Dunia 2010, perlawanan antara Argentina dengan Nigeria, seorang pelakon komedi terkenal dan lima rakannya diserbu di rumahnya ketika asyik berpesta dadah malam kelmarin.

Pelawak berusia 41 tahun itu diserbu di sebuah apartmen di PJS7, Subang Jaya, kira-kira jam 10 malam.

Serbuan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Daerah Subang Jaya itu membawa penemuan dadah dipercayai ganja seberat kira-kira 40 gram bersama enam suspek.

Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar yang dihubungi berkata, ketika serbuan, selain daripada pelakon terbabit, terdapat lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang semuanya berusia 20 hingga 30-an.

Zainal Rashid berkata, serbuan berkenaan dibuat berdasarkan maklumat awam dan hasil intipan polis.

“Ketika serbuan, terdapat enam penghuni termasuk lima lelaki dan seorang perempuan di dalam sebuah apartmen yang dipercayai milik pelakon komedi terkenal itu yang membintangi beberapa filem besar tanah air.

“Serbuan itu menemui beberapa peket kecil berisi daun kering dipercayai ganja dianggarkan seberat 40 gram dan siasatan awal berdasarkan kuantiti dadah terbabit ia untuk kegunaan sendiri,” katanya, semalam.

Menurutnya, semua suspek dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian air kencing dan hasil ujian mendapati mereka positif ganja.

“Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya dan kini direman sehingga 16 Jun bermula hari ini (semalam), mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Difahamkan, pelawak terbabit pernah dikaitkan dengan kes sama sebelum ini apabila penyebaran gambarnya menghisap dadah melalui Internet dan telefon bimbit, bagaimanapun perbuatan itu dinafikan.

Sebelum ini, beberapa artis pernah ditahan pihak berkuasa kerana terbabit penyalahgunaan dadah, termasuk kes terbaru seorang pelakon yang juga anak seniwati terkenal Azean Irdawaty, Benjy serta penyanyi popular Ameng Spring.

Pelakon komedi ditahan polis


PANGSAPURI Sunway Court di Bandar Sunway tempat Saiful Apek dan lima rakan ditahan malam kelmarin.


KUALA LUMPUR - Seorang pelakon lelaki dan pelawak terkenal, Saiful Apek ditahan setelah dia disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah ketika serbuan di sebuah rumah Pangsapuri Sunway Court di PJS 7, Bandar Sunway dekat sini malam kelmarin.

Artis tersebut yang juga pengacara ditahan pada pukul 10 malam bersama lima lagi rakan termasuk seorang wanita di kediaman milik pelakon tersebut.

Difahamkan, lima lagi individu berusia lingkungan 20-an yang ditahan merupakan pekerja kepada artis itu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, pelawak berusia 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Subang Jaya setelah menyerbu rumah tersebut.

"Kita mengambil masa satu jam membuat intipan sebelum menyerbu rumah itu.

"Ketika diserbu, artis tersebut bersama rakan-rakannya sedang berehat di dalam rumah," kata beliau ketika dihubungi Kosmo!semalam.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam rumah itu membawa kepada penemuan sebanyak 40 gram ganja.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua mereka termasuk Saiful Apek yang ditahan dalam rumah itu positif mengambil ganja," kata beliau.

Zainal Rashid memberitahu, Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff bersama lima rakannya kini ditahan reman selama empat hari sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu mengambil dadah.

Kertas siasatan juga dibuka mengikut Seksyen 39 (a)(1) dan Seksyen 6 akta yang sama iaitu memiliki dadah dan ganja.

Bakat Saiful Apek mula dicungkil selepas dia menyertai sebuah rancangan realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan kira-kira 10 tahun lalu sebelum dia menyertai sebuah kumpulan lawak, Senario.

Artis itu pernah membintangi beberapa filem termasuk Cicak Man,Duyung dan Nana Tanjung.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan di Pangsapuri Sunway Court berkata, sudah dua hari dia nampak kelibat polis berkeliaran di kediaman Blok C tempat artis itu tinggal.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0614&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...