Saturday, December 25, 2010

Bersuara untuk akhiri derita




HAIKAL dibesarkan oleh mak cik dan pak ciknya sejak lahir sehingga dia berusia enam tahun. Sepanjang tempoh itu, dia diberikan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya sebelum penjagaannya berpindah semula ke tangan ibu dan bapa kandungnya.

Sepanjang bersama ibu dan bapanya itu sehingga mencapai usia sembilan tahun, tiada sebarang kegembiraan dapat Haikal kecapi.

“Sejak lahir, ibunya meninggalkan Haikal kepada keluarga saya di Terengganu. Sesekali mereka datang melawat, lama-kelamaan, akibat tuntutan kerja di ibu kota, mereka hanya singgah sekali dalam masa satu atau dua bulan.

“Ibu Haikal pernah cuba menggugurkan Haikal semasa Haikal dalam kandungan. Mungkin kebencian telah bermula pada saat itu, lalu anak beranak itu sehingga kini tidak bersatu,” demikian kata abang sepupu Haikal, Adrian, yang percaya anak buahnya itu lebih selamat di sisi keluarganya.

Haikal kini berusia 12 tahun. Sudah lebih dua tahun dia bersama keluarga saudara yang menyayanginya. Namun, ada sesuatu yang buruk telah terjadi sepanjang tiga tahun Haikal dikembalikan dalam jagaan kedua-dua ibu bapanya.

Ibu kandung Haikal bekerja sebagai pegawai pemasaran yang berjaya di Kuala Lumpur. Tuntutan kerjayanya itu terlalu diutamakan hinggakan perhatian buat Haikal dikemudiankan. Akibatnya kedua-dua ibu dan anak tidak mempunyai ikatan kasih dan sayang yang sepatutnya.

Ketidakserasian tinggal di tempat yang langsung tiada kasih sayang menyebabkan Haikal sering menjadi mangsa kemarahan ibunya. Lebih daripada itu, Haikal dijadikan tempat melepaskan geram lantas dia sewenang-wenangnya diherdik, dipukul dan dicederakan. Bapa Haikal pula langsung tidak mempedulikan perlakuan tersebut.

“Saya tidak menyalahkan ibunya pada awal pertemuan mereka kerana waktu itu saya percaya keadaan akan bertambah baik selepas mereka menemui titik keserasian,” ujar Adrian yang suatu hari terkejut apabila menerima panggilan daripada Haikal.


ANTARA mesej tentang hak kanak-kanak oleh SUKA.


Gangguan emosi

Panggilan itu, kata Adrian, adalah mengenai kecederaan dan penderaan yang dialami Haikal akibat perbuatan tidak berperikemanusiaan ibunya.

“Dia menangis dan meminta saya berjumpa dengannya pada kadar segera. Ketika itu, kebetulan saya berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja dan saya berjumpa Haikal di sekolahnya kerana ibu bapanya enggan membenarkan kami berjumpa Haikal selepas mereka mengambilnya,” terang Adrian.

Terkejut melihat kesan lebam dan parut luka serta gangguan emosi pada diri Haikal sejak dia tinggal bersama keluarga kandung, Adrian tidak sedap hati. Dia yang pada mulanya tidak mahu campur tangan terpaksa berbuat demikian demi menyelamatkan anak buahnya itu.

“Dia seperti adik kandung saya. Kami sekeluarga amat rapat dan sangat menyayanginya. Emosinya amat tertekan. Bukan sahaja dia kelihatan pucat dan lesu, dia juga bukan seperti dulu. Bayangkan kalau seorang anak sanggup lari dari rumahnya!” kata Adrian yang akhirnya merujuk kes tersebut ke pihak berkuasa seterusnya mengambil langkah undang-undang bagi membela nasib Haikal.

Hampir enam bulan ditempatkan di pusat perlindungan kanak-kanak, Haikal akhirnya dibenarkan oleh mahkamah untuk tinggal semula dengan keluarga Adrian di Terengganu. Haikal yang turut menemani Adrian dalam temu bual Kosmo! kelihatan riang.

“Abang sangat hebat. Dia belikan saya apa saja yang saya mahukan. Saya mahu terus tinggal bersama mereka,” kata kanak-kanak itu yang enggan bercakap walau sepatah katapun tentang ibunya.


KANAK-KANAK yang menjadi mangsa dera wajib diselamatkan.


“Kami tetap menasihatinya tentang kasih sayang seorang ibu, mungkin jika suatu hari nanti jika ibunya insaf dan mahukan Haikal kembali, kami reda,” kata Adrian.

“Abang, saya tak mahu pergi pada mak. Saya nak tinggal dengan abang, mak cik dan pak cik,” balas Haikal.

Mujur bagi kanak-kanak seperti Haikal, dia bukan sahaja berani mendedahkan masalahnya kepada pihak yang boleh dipercayai, malah dia mempunyai keluarga sokongan yang sedia menerima dan menjaganya. Bagaimanakah pula nasib ratusan lagi kanak-kanak mangsa dera di negara ini yang tidak mampu berbuat apa-apa?

Tanyakan dahulu pada diri tentang soalan-soalan ini: Adakah kes-kes penderaan bertambah disebabkan sifat manusia yang semakin tidak berperikemanusiaan? Atau adakah ia disebabkan faktor persekitaran yang memberi tekanan sepanjang masa?

Walau apapun jawapannya, kanak-kanak tidak seharusnya dijadikan mangsa seseorang untuk melepaskan geram. Lebih-lebih lagi jika insan yang tidak bersalah itu didera secara emosi dan seksual.

Kanak-kanak didefinasikan sebagai individu di bawah 18 tahun menurut akta kanak-kanak Malaysia 2001. Memandangkan mereka adalah golongan yang mudah dipengaruhi dan lemah, undang-undang amat peka terhadap sebarang kes salah laku terhadap golongan tersebut.

Kajian juga mendapati pemangsa kanak-kanak tidak semestinya terdiri daripada mereka yang jahil dan berpendidikan rendah. Jangan terkejut jika kesalahan itu turut membabitkan mereka yang berprofil tinggi dan berstatus dalam komuniti.

“Bukan semua orang sedar apa itu penderaan sehingga kanak-kanak itu mendapat kesan yang tidak dapat diubati sepanjang hayat. Bagi kanak-kanak yang terseksa secara emosi, mereka memerlukan seseorang untuk bergantung, bercakap, berkongsi atau berkomunikasi,” kata Pengerusi Childline Malaysia, Sabri Abdul Rahman.

Childline ialah saluran yang diperkenalkan sebagai sebahagian daripada talian Nur (15999) khas bagi kanak-kanak untuk berkongsi sebarang masalah atau sokongan yang diperlukan oleh mereka.

Sama seperti Haikal yang dapat menghubungi abang sepupunya, Adrian untuk mendapatkan bantuan, talian, Childline juga mempunyai fungsi yang sama. Bezanya cuma kanak-kanak itu memanggil seseorang yang asing yang boleh membantu mereka.

“Sejak dilancarkan 13 November lalu, kami telah menerima antara 20 hingga 30 panggilan telefon. Walaupun bukan semua telefon itu membabitkan isu serius mengenai kes penderaan tetapi saya gembira apabila kanak-kanak itu cuba bermesra atau berkenalan dengan operator kami melalui panggilan percubaan.

“Mereka mahu mengetahui sama ada publisiti mengenai Childline benar atau sebaliknya dan ia adalah satu percubaan yang sihat,” kata Sabri.

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pernah memperkenalkan talian Teledera yang bagaimanapun ia kurang mendapat sambutan dan diganti dengan Talian Nur.


PENDERAAN meninggalkan kesan pada fizikal dan emosi.


Khidmat bantuan

Talian Nur (15999) pula terbuka bukan sahaja untuk kes penderaan, malah kes-kes domestik dan kebajikan yang lain termasuk penderaan wanita, pembantu rumah dan lain-lain. Kini, sebagai memberi pemerhatian khusus kepada kanak-kanak, Childline diperkenal di bawah talian yang sama.

“Child Helpline di peringkat global yang telah diperkenalkan pada awal tahun 80-an adalah usaha yang dijayakan selepas hampir setahun setengah perancangannya di negara ini.

“Kami berjanji untuk menawarkan semua jenis khidmat bantuan kepada pemanggil yang tidak semestinya kanak-kanak tetapi sesiapa sahaja yang peka terhadap isu kanak-kanak di sekitar mereka,” katanya yang menambah, pengenalan talian itu tidak akan berjaya jika orang ramai tidak memainkan peranan.

Sempat berkongsi kisah lucu mengenai talian itu di Amerika Syarikat (AS), Sabri memberitahu, pihak talian bantuan kanak-kanak negara itu pernah menerima panggilan daripada seorang kanak-kanak yang meminta bantuan untuk membuat kerja sekolah.

“Itu menunjukkan betapa kanak-kanak itu selesa berhubung dengan petugas talian sekali gus mendapat respons yang baik dan meyakinkan. Childline di Malaysia seharusnya disenangi oleh kanak-kanak seperti itu,” ujarnya yang mahu rangka promosi Childline diperluas dan berterusan.

Antara kempen yang sedang dan akan dilangsungkan adalah penganjuran acara pameran, siri jelajah di pusat-pusat beli-belah, promosi di rangkaian sosial, pusat komuniti, laman web dan di tempat-tempat yang mudah diakses kanak-kanak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Diet baru rakyat Indonesia


TIDAK ramai penduduk Indonesia yang bersedia menukar nasi dengan ubi kentang atau jagung.


INDONESIA sememangnya dikenali sebagai antara pembekal dan pengguna beras tertinggi di dunia.

Namun, ekoran kesedaran mengenai kesihatan awam dan pelestarian makanan kerajaannya melancarkan kempen untuk mendidik rakyatnya supaya mengetepikan makanan ruji kegemaran mereka itu.

Bagi rakyat Indonesia biasa seperti Andi Santoso, 23, yang juga seorang pelajar, hidup tanpa nasi sebagaimana yang disarankan kerajaan seperti tidak masuk akal.

"Saya makan nasi untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam. Sekiranya saya tidak makan nasi saya rasa seperti tidak makan sepanjang hari. Apa lagi yang saya boleh makan?" soalnya.

Setiausaha Agung Kementerian Kebajikan, Indroyono Soesilo berkata, jawapannya mudah, walaupun ia kedengaran gila kepada negara yang menghasilkan lebih 40 juta tan beras setahun dan menggunakan sekitar 33 juta tan.

Beliau menyarankan rakyat negara berkenaan untuk beralih kepada sumber nutrisi alternatif dan menggesa perokok berhenti merokok.

"Kami menggesa rakyat Indonesia untuk menghentikan tabiat memakan nasi. Kita perlu mempelbagaikan diet kita kerana ramai rakyat Indonesia masih berfikir sekiranya mereka tidak makan nasi, mereka tidak makan dengan betul.

"Indonesia menghasilkan 66 sumber karbohidrat lain seperti jagung, sagu, ubi kayu, ubi kentang, ubi kentang manis dan sebagainya. Semua sumber makanan ini dapat menggantikan nasi untuk dua ke tiga hidangan sehari.

"Kami menggesa rakyat Indonesia untuk mempelbagaikan tabiat makanan mereka bermula sejak kecil," tambah beliau.

Beras penyambung kehidupan

Dengan 240 juta mulut yang perlu disuap, Indonesia mempunyai populasi penduduk keempat tertinggi dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat (AS). Purata penggunaan beras seorang rakyat Indonesia melebihi 100 kilogram setahun melebihi penggunaan rakyat Jepun dan China.

Teknik pertanian yang dipertingkatkan dan pengaruh keselamatan makanan pasca-kolonial menjadikan negara berkenaan sebagai pengimport beras terbesar dunia pada tahun 1960-an sebelum bertukar kepada negara jelapang padi.

Tetapi dahulu, beras begitu banyak dan murah. Hari ini kerajaan mulai bimbang negara tersebut menjadi terlalu bergantung dengan hanya satu sumber tanaman.

Bijian yang berpunca dari sawah-sawah padi merentasi Indonesia itu mudah terjejas akibat perubahan pola cuaca global, sebagaimana hujan tidak bermusim tahun ini yang menurunkan suhu permukaan laut Pasifik, dikenali sebagai fenomena La Nina.

Kebimbangan lain termasuk peningkatan populasi dan kekurangan tanah yang sesuai untuk pertanian ekoran pembangunan dan peningkatan paras laut akibat pemanasan global, yang mana ditakuti kerajaan bakal menjejaskan penghasilan beras.

Bagaimanapun, bagi jutaan rakyat miskin Indonesia, beras bukan sahaja makanan ruji mereka, tetapi rezeki yang menyambung kehidupan mereka serta layak dipuja sebagai hadiah kepada para dewa.


BERAS menjadi makanan ruji hampir kebanyakan penduduk Indonesia yang mengambilnya tiga kali sehari.


"Beras adalah kehidupan. Ia memberi pekerjaan dan makanan," kata Djati Kusuma, Ketua Kampung Cigugur di tengah Kepulauan Jawa yang percaya perayaan tahunan Seren Taun diadakan bagi meraikan dewa beras iaitu Dewi Sri.

Penduduk kampung akan berkumpul selama tiga hari untuk memohon perlindungan daripada bencana alam dan memohon hasil tuaian yang melimpah ruah, katanya.

Tiada sesiapa pun di Cigugur pernah berfikir untuk menanam tanaman lain di ladang sawah yang subur hijau dalam kawasan gunung berapi di kampung berkenaan.

Penduduk di perkampungan yang melakukan aktiviti bersawah di Jawa memandang tinggi bijian beras berkenaan yang menduduki tangga yang paling tinggi dalam hierarki pertanian berbanding asal usul ubi kayu yang dikaitkan dengan kemiskinan.

Industri pertanian pula melihat potensi tanaman lain seperti ubi kayu dan sagu sebagai pilihan kedua sebagai makanan serta bio bahan api.

Laporan Institut Kajian Beras Antarabangsa (IRRI) dan Persatuan Asia berpangkalan di Amerika Syarikat September lalu berkata, negara Asia perlu meningkatkan pengurusan stok beras mereka bagi meningkatkan tahap keselamatan makanan di rantau berkenaan kerana 65 peratus penduduk miskin dunia berada di Asia.

Kawasan penghasilan beras Asia menempatkan hampir 560 juta penduduk miskin tegar yang hidup bergantung kepada pendapatan kurang AS$1.25 (RM3.93) sehari. Kira-kira 90 peratus beras ditanam di rantau berkenaan di lebih 200 juta ladang.

Nasi merupakan makanan ruji kepada lebih tiga bilion manusia, kira-kira separuh daripada populasi dunia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Riba jahiliah masih ada

RAP


DI ZAMAN Islam datang menyinari dunia kegelapan masyarakat jahiliah di tanah Arab, banyak amalan yang dilaksanakan mereka dihapuskan oleh Rasulullah SAW bermula daripada kehidupan seharian hinggalah membabitkan hubungan komunikasi dalam masyarakat.

Bagaimanapun, tidak semua amalan jahiliah itu dibuang terus, sebaliknya sebahagiannya diterima Islam namun dengan beberapa pengubahsuaian., sebagai contoh sistem perhambaan, peperangan, penggunaan wang emas dan perak sebagai mata wang, ‘Aqilah' dalam kes bunuh, qur'ah (cabut undi), jualan muzayadah (lelong) dan banyak lagi.


Semua yang disebut di atas diterima pakai oleh Islam tetapi beberapa sekatan dan pindaan dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW agar ia selari dengan kehendak Islam, supaya tidak terlalu asing dan paling utama selesa dilaksanakan oleh manusia seluruhnya.

Bagaimanapun,Pada masa sama banyak juga amalan jahiliah yang dibuang terus dan digantikan dengan satu sistem baru yang murni lagi adil dan ada antaranya pula diubah suai dengan beberapa langkah alternatif. Daripada senarai panjang itu, amalan jahiliah yang diharamkan terus dan disediakan alternatif salah satunya adalah 'riba jahiliah'.


Menurut definisi, riba jahiliah adalah sebarang manfaat atau kadar tambahan yang lebih daripada jumlah pinjaman pokok dikenakan ke atas peminjam akibat kegagalan membayar jumlah pinjaman yang ditetapkan di dalam tempoh dipersetujui.


Hasil daripada kelewatan itu pemberi pinjaman memberikan kata dua iaitu melangsaikan hutang serta merta atau satu kadar bunga akan dikenakan bagi memanjangkan tempoh pembayaran semula. Kadar bunga itu boleh dianggap sebagai denda.

Riba jenis ini amat popular di zaman jahiliah dan berterusan di zaman Rasulullah SAW sehinggalah diharamkan oleh baginda. yang bersabda: “Ketahuilah, semua jenis riba telah dihancurkan, dan riba yang pertama aku hancurkan adalah riba yang bapa saudaraku, Abbas bin Abd Muttalib, semuanya kini telah dihancurkan.” (Riwayat Ibn Hibban, At-Tirmizi) Contoh semasa riba jahiliah yang boleh dilihat adalah: 1. Apabila pelanggan gagal membayar hutangnya kepada bank atau pemberi pinjam pada bulan tertentu seperti tiga bulan berturut-turut, pelanggan dikenakan denda atau penalti sebanyak tiga peratus dari jumlah hutang yang berbaki.


2. Apabila peminjam buku di perpustakaan gagal memulangkan buku pada waktunya, pihak perpustakaan mengenakan denda RM5 setiap hari yang lewat, ini juga satu bentuk riba. Justeru, jangan sesekali lewat memulangkan buku sehingga dikenakan denda riba. Undang-undang ini turut digunakan oleh hampir seluruh perpustakaan di seluruh dunia termasuk di pusat pengajian tinggi Islam yang nyata menunjukkan kurang peka di dalam hukum.

3. Bagi mereka yang dikenakan saman atas kesalahan meletak kenderaan di tempat yang salah, atau lain-lain kesalahan memandu, pihak pemandu diberikan nilai saman mengikut minggu. Contohnya, jika dibayar dalam tempoh 14 hari, nilai saman adalah RM15, jika melebihi 30 hari, nilai saman naik kepada RM40 dan seterusnya. Semua cara kiraan ini tergolong di dalam riba Al-Jahiliyyah.


Disebabkan ini, mungkin akan ada pihak yang keliru dan mempersoalkan cara sesuai untuk mengelakkan peminjam melewatkan pembayaran dan pemulangan buku.


Bagaimanapun, topik ini sudah dibincangkan panjang lebar oleh para ulama sedunia, dan pandangan yang sepakat oleh majoriti ulama sedunia adalah hukuman yang dikenakan bagi pesalah yang sengaja melewatkan pemulangan dan segala jenis hukuman tidak ditentukan dalam bentuk mata wang tetapi lain-lain bentuk. seperti didenda tidak boleh memasuki perpustakaan selama dua bulan, dirampas pasport, disenarai hitam dan sebagainya.


Jika ia membabitkan denda dalam bentuk wang, terdapat beberapa ijtihad di kalangan ulama semasa yang akan disebutkan di bawah.


Jadi, bagaimana pula konsep dalam perbankan Islam? Dalam konsep perbankan Islam, mereka turut mengenakan sejumlah wang sebagai ganti rugi atau denda. Jumlah ini sebenarnya dianggap sebagai bayaran kos rugi (ta'widh atau compensation) yang dihadapi oleh bank akibat pelanggan tidak membayar hutangnya kepada bank dalam waktu yang dijanjikan. Oleh itu, pembaca perlu membezakan bayaran ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam dengan penalti oleh bank konvensional.


Ganti rugi yang dikenakan oleh bank Islam adalah terhasil daripada proses jual beli dengan bayaran ansuran yang dijanjikan pada waktunya. Manakala penalti bank konvensional adalah hasil daripada kontrak pinjaman semata-mata.


Menurut sebahagian ulama seperti Syeikh Mustafa Az-Zarqa, Syeikh Muhammad Sadiq Ad-Dharir, Sheikh Abdullah Mani', Majlis Penasihat Syariah Bank Islam Jordan dan Fatwa Persidangan dallah Al-Barakah, keharusan itu berdasarkan ‘Maslahat Mursalat'.


Jadi, tindakan mengenakan ganti rugi itu adalah harus bagi menyekat orang ramai mempermainkan bank-bank Islam dengan sengaja tidak membayar atau melewatkan bayaran walaupun ketika mempunyai wang. Ia dinamakan 'mumatil' yang disebut oleh Rasulullah SAW yang bermaksud: "Penangguhan sengaja (daripada membayar hutang) oleh orang yang berkemampuan adalah satu kezaliman.” (Riwayat Al- Bukhari) Manakala, hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Daud, An-Nasaie, Ibn Hibban pula menyatakan: “Bagi orang berkemampuan dan melewatkan hutang adalah zalim, halal ke atas mereka dihukum.

Kedua-dua hadis itu menunjukkan haram hukumnya melewatkan pembayaran hutang bagi mereka yang ada kemampuan. Malah terdapat riwayat silam yang menunjukkan pemerintah Islam pernah mengurung individu sebegini sehinggalah ia membayar hutangnya. Ringkasnya, hukuman seperti disenarai hitamkan nama, dirampas pasportnya, dirampas hartanya dan dijual untuk menyelesaikan hutang adalah dibenarkan oleh Islam.


Namun, untuk bertindak sedemikian dalam konteks semasa, sudah tentu ada di antaranya yang sesuai, manakala tidak sebahagian lainnya.


Justeru itu, memandangkan lemahnya sifat amanah manusia untuk membayar hutang mereka dan bagi menyekat mudarat besar daripada berlaku kepada bank-bank Islam dan juga pemiutang, apabila bayaran ansuran yang dijanjikan tidak dilangsaikan pada waktunya, maka ta'widh (ganti rugi) akan dikenakan.


Sebahagian ulama mengharuskan jumlah ganti rugi itu dibayar dalam bentuk wang, digunakan oleh bank dengan syarat ia adalah jumlah sebenar kerugian. Jadi, sebarang wang lebih daripada kerugian sebenar tidak boleh digunakan oleh bank-bank Islam. Manakala, sebahagian besar ulama lain berpendapat bahawa ta'widh yang dikenakan oleh bank-bank Islam ini (menurut majoriti ulama sedunia) adalah tidak boleh dimasukkan di dalam pendapatan bank Islam, malah mestilah diagihkan untuk tujuan kebajikan kepada orang miskin dan fakir saja. Bagi beberapa buah bank Islam, mereka lebih cenderung untuk menuruti keputusan majoriti ahli Majlis Kesatuan Fiqh Sedunia. Konsep yang digunakan adalah konsep sedekah duit (ta'widh) kepada fakir miskin adalah dibuat atas konsep 'Iltizam at-tabarru' yang disebut di dalam kitab fiqh mazhab Maliki. Sebagaimana, kata Imam Malik: “Dan perkara yang baik (ma'ruf) sesiapa yang mewajibkan (berjanji) untuk ditunaikan olehnya, wajib (lazim) untuknya menunaikannya.


Ia bermakna semua pelanggan perlu memberikan komitmen jika mereka gagal memenuhi janji untuk membuat pembayaran hutangnya kepada bank dalam waktu yang dipersetujui, maka ia berjanji akan bersedekah dan melantik pihak bank untuk mengagihkannya.


Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa terdapat beberapa institusi perbankan Islam di Malaysia mengambil pandangan ulama yang lebih ringan, iaitu mereka tidak hadkan penggunaan wang ta'widh kepada fakir miskin saja. Justeru, sebahagian bank Islam mengambilnya dan digunakan untuk kegunaan mereka. Perkara ini mungkin disahkan harus oleh majlis penasihat Syariah masing-masing. Justeru, ia selesai dengan ijtihad Majlis Penasihat Syariah masing-masing.

Di kebanyakan bank Islam, Jabatan Syariah dan Majlis Penasihat Syariah yang akan memantau. Malah keputusan majlis berkenaan juga mewajibkan akaun yang diasingkan bagi tujuan itu. Hasilnya, setiap jumlah yang terkumpul daripada ta'widh akan terus masuk ke akaun khas seperti bagi tujuan sumbangan sebagai contohnya. Ia pula tidak boleh disalurkan kepada sumbangan kecuali selepas disahkan layak oleh majlis penasihat Syariah. Ini bagi mengelakkan berlakunya pilih kasih dan kronisme dalam pembahagian.


Kesimpulannya, isu ini dibawa ke persidangan ilmuan Syariah di peringkat Malaysia khususnya Bank Negara Malaysia. Hasilnya keputusannya menyebut, bagi menyekat kecuaian sengaja itu, maka diharuskan mengenakan denda ta'widh dengan syarat ia adalah kerugian sebenar yang ditanggung oleh pembiaya. Penentuan kadar rugi ini akan ditentukan oleh Bank Negara Malaysia. Selain itu kadarnya adalah satu peratus saja dan ia tidak bersifat gabungan. Dan jauh lebih rendah berbanding kadar denda yang dikenakan oleh bank konvensional.


Pembaca perlu faham bahawa penalti yang dikenakan oleh bank konvensional adalah gabungan iaitu penalti itu akan dimasukkan ke dalam jumlah pinjaman dan jika penalti dikenakan lagi, maka peratusan penalti akan disandarkan kepada jumlah pinjaman asal yang ditambahkan dengan penalti. Ia amat pedih dan perit serta zalim dan menindas.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ribajahiliahmasihada/Article

Menantu tidak setaraf

Menantu tidak setaraf

Oleh Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my

TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.
TERTEKAN...Nurul buntu apabila dipaksa berpisah dengan suami.

JOHOR BAHRU: Umpama filem Tan Sri P Ramlee ‘Antara Dua Darjat’, seorang bapa didakwa cuba memisahkan perkahwinan anak perempuannya yang bergelar ustazah disebabkan enggan menerima menantu yang berkelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Lantaran tidak merestui perkahwinan itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Nurul mendakwa bapanya memaksa dia membuat laporan polis mengatakan suaminya memukau, memukul serta mengancam nyawanya.


Terbaru, kata Nurul, bapanya membuat permohonan kepada Jabatan Pelajaran supaya dia ditukar mengajar di sekolah lain ajar dia berjauhan dengan suaminya.

Menurut Nurul, dia berkawan dengan suaminya selama enam tahun sebelum mengambil keputusan kahwin lari di Thailand kerana keluarga terutama ayah tidak menerima calon pilihan hatinya sebagai menantu.


“Sejak itu saya dibuang keluarga apabila SMS dan panggilan telefon saya tidak dibalas. Masalah makin teruk apabila ayah mencampuri urusan rumah tangga dan mengadu perkara tidak elok kepada pengetua sekolah tempat saya mengajar.


“Saya ingatkan campur tangan pihak sekolah membantu meleraikan kekusutan itu, tetapi menjadi lebih teruk apabila ada kakitangan sekolah menjadi sebagai mata dan telinga melaporkan kepada keluarga mengenai tindak tanduk saya.

“Saya pernah dihalang daripada berjumpa suami selama sebulan dan ayah memaksa saya membaca nota mendakwa suami memukau, memukul dan mengancam keselamatan saya ketika berada di balai polis,” katanya.


Kata Nurul, bapanya menolak hasrat mereka berkahwin disebabkan perbezaan latar belakang pendidikan suami yang memiliki STPM sedangkan dia berkelulusan ijazah dari Universiti Al-Azhar, Mesir.

“Hubungan kami ditolak kerana saya anak sulung dan bapa berharap saya bertemu jodoh dengan pilihan hati mereka berbanding suami yang mempunyai STPM dan bekerja sendiri,” katanya.


Suaminya yang mahu dikenali sebagai Daim berkata, walaupun mendapat tentangan keras daripada bapa mentua, dia berusaha mencari jalan perdamaian, namun dibalas dengan cubaan memisahkannya dengan isteri.


“Bapa mentua pernah memfailkan perintah kami berpisah di mahkamah syariah berdasarkan laporan polis yang kononnya dibuat oleh isteri sebelum ini.


“Saya mengambil keputusan mendaftarkan perkahwinan secara sah di Mahkamah Tinggi Syariah Johor sebelum perintah mahkamah sama menyatakan perkahwinan kami sah pada 30 November 2010,” katanya.


“Saya dan keluarga sanggup datang ke rumah mentua tetapi kedatangan kami tidak disambut kerana mereka enggan membuka pintu rumah,” katanya.


Daim berkata, usaha memisahkan mereka tidak setakat itu saja apabila bapa mentuanya turut memohon pertukaran tempat mengajar isterinya ke sebuah sekolah di utara Semenanjung.


“Berbekalkan lima laporan polis berkenaan bapa mentua melakukan permohonan pemindahan isteri untuk bertugas di Pulau Pinang dan bertemu dengan pelbagai pihak mencapai hajatnya.


“Saya menghantar surat kepada Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kementerian Pelajaran di Putrajaya serta permohonan secara on-line di laman web kementerian bagi membatalkan pertukaran terbabit.


“Namun, permohonan itu ditolak dengan surat mengarahkan isteri saya mendaftarkan diri di negeri itu pada 1 Januari 2011.


“Kini, kami buntu dan tidak tahu ke mana lagi tempat mengadu. Kami tertekan dengan masalah ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Menantutidaksetaraf/Article

Apabila 'hantu' dijadikan hiburan

OLEH: DR AMINUDIN MANSOR


Fenomena bentuk hiburan semakin berubah. Manusia mula menggemari cerita seram, menakutkan dan cerita-cerita hantu. Permintaan kepada cerita seumpama ini dalam kalangan orang ramai sangat menggalakkan.

Pembikin drama dan filem mula mengalih arah dengan mengeluarkan pelbagai cerita seram dan hantu seperti Hantu Kak Limah Balik, Nyangkung, Saka Jentayu, Nyiang Rapik, Ningsun, Ceplos, Skrip 7707, Jangan Pandang Belakang Congkak, Janin dan sebagainya.
Filem dan drama ini ada unsur-unsur menakutkan, menyeramkan, suspens, kejutan dan sedikit lawak.

Bentuk hiburan baru ini mempengaruhi kebanyakan penonton Melayu yang gemar dengan unsur-unsur tahyul.

Apa yang dipersoalkan adalah sebanyak mana nilai pendidikan dan nilai murni terdapat dalam filem dan drama tersebut. Para penerbit dan juga pengeluar filem jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata tetapi mestilah juga memikirkan akibat daripada tayangan tersebut kepada penonton khususnya kanak-kanak.

Di sekolah, dalam Komponen Sastera (Komsas) terdapat bahan pengajaran seperti cerpen, drama, novel dan juga cerita klasik yang banyak memaparkan pengajaran dan nilai-nilai murni. Tetapi di luar khususnya di televisyen dan filem 80 peratus cerita mengandungi unsur seram dan tahyul.

Tidak salah menayangkan drama dan filem yang mengandungi unsur seram dan tahyul, tetapi ia biarlah berlandaskan Islam iaitu membawa pengajaran dan kesedaran kepada mereka yang terpengaruh kepada unsur tersebut.

Drama dan filem biarlah menjadi medium mendidik dan mengajar masyarakat ke arah kemajuan. Jangan hanya berlegar dalam kepompong seram, tahyul, dan akhirnya boleh membawa kepada syirik.

Hiburan dan kesenian dalam Islam ada batasnya, para pembikin drama dan filem mestilah bertanggungjawab terutama dalam penulisan skrip.


Elakkan daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepercayaan penonton kepada syirik.

Dalam drama dan filem yang berunsur seram selitkan akidah, ibadat dan akhlak dengan pendekatan Islam supaya memberi petunjuk kepada manusia khususnya umat Islam yang menonton sesebuah filem yang ditujukan khususnya kepada oran Melayu yang beragama Islam.

Hiburan dan kesenian dalam Islam mestilah ada unsur-unsur mendidik, mengajar, memberi pedoman, dengan batas akhlak yang digariskan.

Islam melarang keras umatnya melakukan syirik dan menyembah selain daripada Allah, di mana manusia meyakini bahawa ada yang bersekutu dengan Allah dalam mengatur urusan kehidupan alam.

Drama dan filem juga mestilah mengelakkan unsur-unsur lucah, seks dan nilai-nilai yang tidak baik.

Aspek nilai-nilai kebaikan, pengajaran dan teladan mestilah yang dapat membantu masyarakat yang membangun ke arah negara maju.

Penulis mantan pendidik, pengamal media. PhD Persuratan Melayu, UKM.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8552053.asp

Selangor gentar: TPM




LAWAS - Tindakan kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia pada papan iklan di negeri itu menggambarkan kegentaran pembangkang terhadap populariti gagasan itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, populariti 1Malaysia yang dilhamkan oleh

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi semakin meluas dan diterima oleh rakyat Malaysia.

“Dia (Kerajaan Selangor) takut dengan logo 1Malaysia yang sudah menjadi ikonik dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini semalam, selepas menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat di Stadium Tertutup Lawas.

Muhyiddin berkata, gagasan 1Malaysia mempunyai tujuan murni antaranya untuk merapatkan perhubungan antara kaum tanpa mengambil kira fahaman politik mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Selangor, Ronnie Liu dilaporkan berkata, pengharaman penggunaan logo 1Malaysia itu dibuat kerana ia melanggar undang-undang kecil kerajaan tempatan dan merupakan mesej politik Barisan Nasional.

Muhyiddin berkata, pembangkang akan terus cuba untuk memutar-belitkan fakta tentang 1Malaysia untuk terus mengelirukan rakyat biarpun kerajaan telah memberikan penjelasan berkenaan dengan konsep itu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan pendedahan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ seperti didakwa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dokumen itu berupa surat penafian Apco Worldwide (APCO) mengenai pembabitannya dengan gagasan 1Malaysia dan One Israel serta kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum.

Salinan kedua-dua dokumen itu didedahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di lobi Parlimen semalam. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/sh/com/content/story8552258.asp

KWSP lapor polis kes duit lesap

PUCHONG – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat satu laporan polis pagi semalam berhubung dakwaan kes wang simpanan seorang peniaga lesap seperti yang dilaporkan dalam akhbar ini, semalam.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya juga sudah menjalankan siasatan untuk melihat punca bagaimana kejadian berlaku dan mengenalpasti siapa yang bertanggungjawab.

Bagaimanapun katanya, dari segi prosedur pengeluaran wang bagi kes itu, KWSP sudah mengikuti proses dan peraturan yang betul.

“Bagi kes itu, permohonan pengeluaran wang diluluskan selepas meneliti dokumen diberikan oleh individu terbabit yang disahkan agensi berkuasa berkenaan.

“Memang permohonan itu lulus kerana surat kematian disertakan dan kakitangan yang menguruskannya juga sudah membuat semakan online dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan, memang Sarasvathi didapati meninggal dunia.

“Pihak kami berpandukan maklumat dokumen dikeluarkan agensi berkenaan. Malah dalam pemeriksaan online maklumat kematian sama dengan dokumen yang disertakan individu yang membuat permohonan.

“Dalam kes ini maklumat mangsa mungkin dipalsukan tetapi itu tidak dapat dikesan KWSP kerana sijil sudah disahkan JPN,” katanya.

Nik Affendi berkata, kakitangan yang bertugas juga menyerahkan wang itu kepada penama yang direkodkan bagi akaun mangsa.

“Kita memang ikut prosedur kerana dalam rekod memang nama individu yang mengeluarkan wang itu yang disenarai menjadi penama,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini semalam apabila seorang peniaga mendakwa hanya mampu berputih mata apabila wang simpanan lebih RM56,000 yang dicarum di KWSP ketika bekerja sebelum ini lesap sekelip mata.

Difahamkan, kejadian disedari mangsa apabila membuat pemeriksaan di sebuah mesin kios di USJ, Subang Jaya sebelum mendapati jumlah simpanan itu menunjukkan angka kosong.

Lebih malang, apabila ke KWSP mendapatkan penjelasan, mangsa C Sarasvathi, 54, diberitahu wang berkenaan sudah dikeluarkan seorang lelaki dipercayai berbangsa Sikh.

Sarasvathi berkata, apa yang menyakitkan hati adalah dia diberitahu sudah meninggal dunia pada tahun lalu dan wang dikeluarkan oleh seseorang yang mendakwa penjaganya pada April tahun sama.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8555557.asp

DERITA




SEMENYIH – Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul itulah ungkapan yang terpaksa dilalui oleh Nasnawati Aswi, 28, melihat penderitaan yang terpaksa ditanggung anaknya Noraisah Zulhairi, 10 bulan yang mengalami masalah bahagian kepala yang semakin membesar.

Perasaan sayu dan hiba setiap kali anaknya merintih kesakitan pada waktu malam dan ia adalah peneman hidup Nasnawati yang merupakan seorang suri rumah sepenuh masa bersama suaminya yang hanya bekerja kampung.

Menurutnya, pada peringkat awal kelahiran puteri tunggalnya itu lahir dalam keadaan normal sebagai bayi yang lahir namun perubahan di bahagian kepala anaknya yang semakin membesar dikesan ketika berusia lima bulan.

“Kehidupan kami sekeluarga pada awalnya sungguh ceria dan bahagia dengan kelahiran anak pertama ini namun apabila berusia lima bulan berlaku perubahan kesihatan terutamanya di bahagian kepala anak.

“Menyedari masalah berkenaan saya merujuk kepada klinik berhampiran yang seterusnya menyuruh masalah ini dirujuk kepada Hospital Kajang untuk tindakan selanjutnya.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, doktor memaklumkan keadaan anak saya hanya mampu dirawat apabila ia berusia satu tahun kerana bimbang sebarang kemungkinan yang berlaku sekiranya pembedahan dilakukan”, katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu 3, Bangi Lama.

Nasnawati berkata, anak perempuannya hanya memakan makanan bijirin yang diberikan namun setiap kali makanan berkenaan disuapkan ia dikeluarkan balik menyebabkan keadaan anaknya bertambah susut.

“Setiap malam saya menangis apabila mendengar rintihan anak, namun saya gagahkan juga demi kehidupan masa hadapan dan menganggap ianya sebagai dugaan dalam meneruskan kehidupan.

“Anugerah ini akan tetap saya pelihara dan jaga sebaik mungkin kerana ia adalah rezeki daripada Allah,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/sh/selangor/content/story8554318.asp

Menghadapi ragam pemimpin dengan doa




Dari sehari ke sehari, fitnah politik yang melanda agak menyesakkan. Pelbagai isu berlaku dan masing-masing bertindak mahu menjadi juara pidato! Tidak kurang di antara mereka bertindak membelasah sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengannya.

Namun, apa yang mahu saya ulas bukanlah menambahkan lagi kekeruhan dan kekusutan dalam sebuah pertembungan sedia berlangsung. Tetapi, saya mengajak untuk muhasabah diri dan kembali merenung prinsip-prinsip ditinggalkan oleh para ulama generasi awal dalam menghadapi pelbagai bentuk fitnah politik dan kepimpinan sesebuah negara.

Kemunculan pelbagai fitnah politik, kepelbagaian sikap pemimpin, serta sikap-sikap kepembangkangan dalam isu-isu kepimpinan bukanlah suatu yang asing dalam sejarah umat Islam. Bahkan ia telah dikhabarkan sendiri oleh Rasulullah SAW. Persoalannya, apakah saranan dan tindakan yang diperintahkan oleh agama kepada kita semua dalam menghadapi mehnah politik tersebut? Jadi, itulah yang mahu kita lihat dan renung-renungkan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda (maksudnya): “Bahawasanya kamu nanti akan menemui atsarah (pemegang amanah (pemimpin) yang tidak memenuhi amanahnya). Maka bersabarlah sehingga kamu menemuiku di haudh.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 13/224, no. 3985. Muslim, 5/291, no. 1758)

Imam an-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H) menjelaskan: “Hadis ini mengandungi anjuran untuk mendengar dan taat kepada pemerintah, walaupun ia merupakan seorang yang zalim dan mementingkan diri. Maka berikanlah haknya (sebagai pemimpin) iaitu berbentuk ketaatan, tidak keluar dari mentaatinya, dan tidak menjatuhkannya. Tetapi (perbuatan yang perlu dilakukan oleh seseorang Muslim ialah) dengan bersungguh-sungguh lebih mendekatkan diri kepada Allah Taala supaya Allah menghilangkan gangguan/siksaan darinya, menolak kejahatannya, dan supaya Allah memperbaikinya (kembali taat kepada Allah dengan meninggalkan kezalimannya).” (Syarah Shohih Muslim, 12/232)

Syaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H) menyebutkan: “Aku telah menyebutkan di perbahasan yang lain, punca kepada masalah penguasa, kemudian para menterinya, hakim-hakimnya, dan para panglimanya bukan hanya perlu dilihat dari kekurangan diri mereka sahaja, akan tetapi kerana kekurangan para pemimpin dan rakyat sekali gus, kerana sebagaimana keadaan kamu, maka begitulah akan dijadikan pemimpin untuk kamu. Allah Taala berfirman: “Dan demikianlah Kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menjadi teman/pemimpin bagi sebahagian yang lain.” (Surah al-An’am, 6: 129) Telah diketahui dan ditetapkan secara masyhur di lain tempat, Rasulullah SAW memerintahkan supaya mentaati para pemimpin selagi mana bukan dalam urusan maksiat, (bertindak) menasihati mereka, bersabar dalam menerima keputusan dan ketetapan mereka, berperang bersama-sama mereka, solat di belakang mereka, dan mengikuti mereka dalam perkara-perkara baik yang tidak dilaksanakan melainkan oleh mereka.” (Majmu’ al-Fatawa, 35/20-21)

Demikian nasihat para ulama dalam menghadapi fitnah politik. Kita tidak seharusnya menyandarkan apa berlaku semata-mata ke atas tubuh badan pemerintah, tetapi sebaliknya perlu melihat secara keseluruhan dan bertindak dengan syarii. Iaitu dengan memperbaiki pegangan agama kita dalam persoalan iman dan amal-amal soleh agar sentiasa selari dengan ketetapan nas-nas sahih. Seterusnya hendaklah sentiasa membantu dan bersama-sama pemimpin melaksanakan kebaikan serta saling menasihati, serta saling mendoakan kebaikan untuk pemimpin Islam dan umat Islam secara umum. Kerana kebaikan pemimpin itu amat bermanfaat kepada semua pihak.

Al-Hafiz Abu Bakar al-Ismaili rahimahullah (Wafat: 371H) berkata: “Dan mereka (ahli hadis) berpandangan disyariatkan berdoa untuk kebaikan para pemimpin umat Islam dan supaya mereka berubah untuk bersikap adil dan mereka juga berpandangan tidak boleh memberontak terhadap mereka dengan senjata dan hendaklah umat Islam tidak turut serta melibatkan diri dalam perselisihan ketika berlakunya fitnah (pertikaian di antara kaum Muslimin) dan mereka juga berpandangan akan wajibnya memerangi golongan zalim yang dilakukan bersama-sama pemimpin yang adil apabila ditentukan kesesuaiannya di atas syarat yang mereka tetapkan dalam perkara tersebut.” (I’tiqad A’immatul Hadits, m/s. 75-76)

Imam al-Baihaqi rahimahullah (Wafat: 458H) meriwayatkan daripada Abu Utsman, katanya: “Nasihatilah para pemimpin, banyakkanlah berdoa untuk kebaikan dan kebenarannya dalam beramal dan dalam ucapan serta ketika memutuskan hukuman. Maka, apabila mereka baik, maka akan baiklah rakyatnya. Berhati-hatilah kamu, jangan sampai mendoakan keburukan atau melaknat mereka, kerana yang demikian itu hanya akan menambahkan keburukan ke atas umat Islam. Tetapi, mintalah keampunan kepada Allah untuk penguasa semoga mereka meninggalkan perbuatan buruk yang dengannya akan dihilangkan musibah umat Islam pula.” (Syuabul Iman, 6/26, no. 7401)

Menurut Imam al-Barbahari rahimahullah (Wafat: 329H): “Jika kamu melihat orang yang mendoakan keburukan kepada pemimpin, ketahuilah dia termasuk salah seorang pengikut hawa nafsu, namun apabila kamu melihat orang yang berdoa untuk kebaikan seseorang pemimpin, ketahuilah dia tergolong sebagai seorang ahli sunnah, insya-Allah. Fudhail bin Iyadh berkata, “Jika aku memiliki doa baik yang dimakbulkan, maka semuanya akan aku persembahkan (pohonkan) untuk pemerintah.” Beliau ditanya, “Wahai Abu Ali, jelaskan maksud ucapan tersebut?” Beliau berkata, “Bila doa itu hanya aku tujukan untuk diriku, maka ia hanya bermanfaat untuk diriku, tetapi apabila aku pohonkan untuk pemimpin dan ternyata para pemimpin berubah menjadi baik, maka semua orang dan negara merasakan manfaat dan kebaikannya.” Demikianlah kita diperintahkan supaya mendoakan mereka dengan kebaikan bukan keburukan, walaupun ia seorang pemimpin yang zalim lagi jahat. Kerana kezaliman dan kejahatan akan kembali kepada diri mereka sendiri manakala apabila mereka (pemimpin) menjadi baik maka mereka dan seluruh umat Islam akan merasakan kesan kebaikannya.” (Syarhus Sunnah, m/s. 83-84)

Rasulullah SAW bersabda: “Doa seseorang Muslim kepada saudaranya tanpa pengetahuan saudaranya tersebut adalah doa yang mustajab (dikabulkan). Di sisinya ada malaikat. Ketika dia berdoa kebaikan kepada saudaranya, malaikat tersebut mengatakan: “Amin, engkau akan mendapatkan yang sama dengannya.”.” (Hadis Riwayat Muslim, 13/271, no. 4914)

Begitulah sikap para ulama ahlus sunnah wal-jamaah dalam berhadapan dengan fitnah politik dan ragam para pemimpin. Mereka tetap melaksanakan ketaatan kepada pemerintah sebagaimana saranan agama. Mereka tidak suka kepada pemberontakan sama ada yang dilakukan dengan lisan seperti menebar aib, menghina, mencaci, memaki hamun, menghambur kesalahan penguasa di media-media terbuka, dan memalukan pemerintah.

Apatah lagi pemberontakan secara kekerasan seperti melakukan demonstrasi jalanan, provokasi, dan pelbagai lagi bentuk lainnya yang hanya membawa kepada kesan jauh lebih buruk bukan sahaja kepada diri pelaku, malah kepada masyarakat umum seluruhnya. Tetapi pendirian mereka adalah dengan mengambil sikap menasihati, memperkuatkan kesabaran, sentiasa memperbaiki diri dengan ilmu, dan mendoakan dengan doa-doa kebaikan.

Dari itu, fahamilah perkara ini dengan ilmu yang syari di atas prinsip-prinsip yang benar sebagaimana dijelaskan oleh ulama ahlus sunnah wal-jamaah. Dan bukan dengan prinsip-prinsip tokoh-tokoh yang menyimpang sebagaimana kaum khawarij yang sering mengumandangkan prinsip-prinsip kepembangkangan dan pemberontakan saban waktu.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8553763.asp

Sekolah larang gambar Azizan




ALOR SETAR - Tindakan pengharaman gambar Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak daripada dipamerkan di sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pelajaran tidak pernah dibangkitkan Kerajaan Negeri.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi, yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kedah, berkata, tiada perubahan berlaku selama hampir tiga tahun Pakatan Rakyat diterajui Pas mentadbir Kedah.

“Perkara itu tidak dibangkitkan atau dipersoalkan Kerajaan Negeri meskipun jelas menunjukkan tindakan itu bermula daripada Kerajaan Pusat.

“Saya berasa kesal kerana hampir tiga tahun pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di negeri ini, gambar Menteri Besar tidak dibenarkan dipaparkan di sekolah-sekolah terbabit,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Pusat hanya bersuara apabila Kerajaan Selangor mengharamkan penggunaan logo 1Malaysia.

“Menteri Besar adalah ketua kerajaan dan tidak menjadi satu kesalahan sekiranya dipaparkan di sekolah-sekolah kerana ia tidak bermaksud Kerajaan Negeri ingin berpolitik di sekolah.

“Jika gambar Menteri Besar dihalang daripada dipamerkan di sekolah, kesannya pelajar sekolah tidak akan mengenali siapa Menteri Besar mereka,” katanya.

Sementara itu, Exco Agama, Pelajaran dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul turut mengakui situasi terbabit.

Katanya, pengharaman itu dibuat sejak PR diterajui Pas mengambil alih tampuk pemerintahan di negeri ini.

“Memang sekolah bawah Kementerian Pelajaran, tidak dibenarkan mempamerkan gambar Menteri Besar Kedah.

“Bagaimanapun, saya tidak pasti ia arahan daripada siapa,” katanya.


Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kedah, Abdullah Saad ketika diajukan mengenai perkara itu, enggan mengulas lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/SH/com/content/story8554904.asp

Amal Syiah di S'gor: Warga asing terkecuali

Amal Syiah di S'gor: Warga asing terkecuali
Fadzly Esa
Dis 24, 10
3:21pm

Walaupun ajaran Syiah difatwakan sesat di Selangor, warganegara asing yang menetap atau berkunjung di negara ini dibenarkan mengamalkan ajaran tersebut selagi tidak menyebarkannya kepada rakyat Malaysia.

NONEKetua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohamad Rais Rasid berkata pengecualian itu, terutama kepada pelancong luar diberikan kerana amalan itu merupakan mazhab mereka di negara asal masing-masing.

"JAIS tidak bimbang tentang kehadiran pelancong luar seperti Iran dan sebagainya. Sebabnya mereka (datang) melancong bukan tujuannya untuk mengembangkan agamanya atau Syiah.

"Yang kita tak benarkan mengembangkan (Syiah) bukannya (melarang) pelancongan," katanya.

Rabu lalu, antara 128 pengikut Syiah yang ditahan - dipercayai antara terbesar - di sebuah rumah kedai di Batu Caves, terdapat juga sebilangan kecil warga asing terlibat sama.

Menurut sumber, dua daripadanya dua daripadanya telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuang pada 16 Disember lalu bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam semalam, Mohamad Rais berkata walaupun kemungkinan berlakunya pengembangan ajaran itu sesama mereka, ia hanya melibatkan jumlah yang kecil dan terhad.

"Kalau mereka (pelancong) buat pengembangan ajaran agama bukan secara keseluruhannya mungkin satu atau dua orang sahaja," jelasnya.

Tiada kompromi

NONEMenurutnya, sekiranya mereka ingin beramal, JAIS tidak pernah menghalang mereka walaupun di negara ini sudah difatwakan sebagai ajaran sesat.

"Tetapi jika digunakan untuk amalan dia (Syiah) sendiri dan mahzabnya kita tidak pernah mencarinya (untuk menahan mereka)," katanya.

Mohamad Rais berkata, golongan pelajar dan ahli perniagaan asing berfahaman Syiah juga tertakluk kepada syarat yang sama.

Ditanya sama ada besar-besaran penganut Syiah di Gombak minggu lalu yang mungkin menjejaskan hubungan diplomatik dengan sesebuah negara, seperti Iran yang berfahaman Syiah, Mohamad Rais menafikannya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan ajaran itu, Mohamad Rais menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali berkompromi dengan ajaran sesat kerana ia menjejaskan akidah, menyebabkan perpecahan dan kemungkinan besar bakal memudaratkan negara.

Malah, katanya, rata-ratanya rakyat di negara ini tahu kalau individu itu taksub kepada sesuatu ajaran yang menyimpang.

"Sebagai contoh, Jemaah Islamiah (JI), Al-Maunah, Ayah Pin (kerajaan langit) ini semua daripada ajaran sesat sama ada di fatwa atau tidak apabila pemimpin dan pengikutnya sudah taksub mereka akan bertindak ganas," katanya.

Setakat ini, kata Mohamad Rais lagi, pihaknya dapat mengawal dan mengekang ajaran sesat daripada tersebar.

"Sehingga kini, di Selangor masih lagi terkawal dengan JAIS kerap melakukan pemantauan daripada penguatkuasaan serta melalui kakitangan pejabat agama di setiap daerah," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151609

'Masalah hanya selesai dengan proses politik'

Dis 24, 10 6:13pm

Naib presiden PKR yang baru dilantik N Surendran berkata, melalui pengalamannya, beliau percaya masalah rakyat akan hanya dapat diselesaikan melalui proses politik untuk mengubah kaedah negara ini ditadbir.

NONE "Dan tiada keraguan pada saya bahawa PKR dan Pakatan Rakyat mampu menyelesaikan proses untuk mewujudkan keadaan yang lebih adil dan makmur di Malaysia," katanya.

Pada 18 Disember lalu, Surendran antara yang dilantik sebagai naib presiden PKR, menyertai bekas menteri kesihatan Datuk Seri Chua Jui Meng dan ketua PKR Sarawak Baru Bian.

Selain mereka, empat lagi naib presiden yang dipilih dalam pemilihan langsugn PKR adalah ahli parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, ahli parlimen Batu Tian Chua, ahli parlimen Kuantan Fuziah Salleh dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman.

azlanDalam kenyataan sulungnya selepas dilantik ke jawatan itu, peguam hak asasi manusia itu juga menegaskan menolak politik berpuak-puak dalam parti.

"Saya percaya, matlamat politik bukan untuk kepentingan diri sendiri sebaliknya untuk kebaikan rakyat terbanyak dan mengangkat martabat negara.

"Apa saja yang baik di hati rakyat, itulah haluan perjuangan saya," katanya.

Menurutnya, prinsip itu dipegangnya sejak daripada dahulu lagi apabila beliau sebagai pengamal undang-undang terlibat membantu kes melibatkan pelbagai bangsa seperti kematian A Kugan serta kes tembakan pada arwah Aminulrasyid Amzah dan Norizan Salleh.

"Sebagai naib presiden PKR, saya akan terus membantu rakyat Malaysia daripada pelbagai bangsa dan fahaman," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151636

Kajiselidik: 2/3 rakyat bantah menara 100 tingkat

Dis 24, 10 3:09pm

Kajiselidik yang dijalankan Merdeka Centre menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia membantah rancangan kerajaan pusat untuk membina Menara Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat.

azlanKajiselidik yang membabitkan 1,005 responden di Semenanjung
Malaysia itu, menunjukkan 65 peratus tidak bersetuju dengan rancangan tersebut, dan hanya 25 peratus yang menyokongnya.

Responden dari kalangan kaum Cina merupakan yang teramai - 75 peratus - yang membantah pembinaan menara itu.

Ini diikuti oleh responden Melayu (60 peratus) dan India (58 peratus).

Pembinaan menara 100 tingkat itu, yang akan mengatasi ketinggian Menara Berkembar Petronas, diumumkan dalam bajet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak Oktober lalu.

Projek tersebut, yang dilaporkan membabitkan kos RM5 bilion, terus mendapat bantahan umum dan pembangkang. Mereka menganggapnya sebagai salah keutamaan.

Mereka sebaliknya menyarankan agar wang tersebut lebih baik digunakan untuk menambahbaik kemudahan pengangkutan awam, kebajikan atau infrastruktur.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/151606

Dua beradik peluk kekasih

Dua beradik peluk kekasih

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Gerak hati seorang ibu yang ingin melihat keadaan dua anak gadisnya sebaik terjaga daripada tidur kira-kira jam 3.30 pagi membawa kepada penemuan mengaibkan apabila dua beradik berusia 13 dan 15 tahun itu didapati tidur berpelukan bagai suami isteri bersama teman lelaki masing-masing.

Kejadian berlaku di rumah mereka di Kampung Sri Gombak Indah, dekat sini, pada awal pagi Rabu lalu dan ia sesuatu yang amat mengejutkan ibu terbabit serta suaminya kerana tidak menduga anak gadis mereka yang masih bersekolah berani bertindak sedemikian.


Sedih dan kecewa dengan apa yang dilihatnya, ibu berkenaan lantas memberitahu suaminya dan si ayah turut tergamam melihat kedua-dua anak gadisnya tidur berpelukan dengan lelaki bukan muhrim dalam sebuah bilik.

Selepas dikejutkan daripada tidur, dua beradik itu dan teman lelaki masing-masing yang berusia 17 dan 20 tahun memohon maaf serta merayu supaya dimaafkan, namun si ayah yang terlalu kecewa nekad melaporkan kejadian itu kepada polis.


Polis menahan kedua-dua lelaki terbabit sebelum membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disoal siasat. Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.


Menurutnya, kekasih gadis terbabit yang ditahan polis ketika kejadian kini reman hingga 28 Disember ini bagi membantu siasatan.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai rogol kerana kedua-dua gadis terbabit masih di bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Mereka dijangka dibawa ke Mahkamah Seksyen Shah Alam lusa untuk menghadapi pertuduhan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Duaberadikpelukkekasih/Article

Langsung tak takut ibu bapa

KUALA LUMPUR: “Tindakan dua anak gadis bawah umur itu melakukan perbuatan tidak senonoh bersama pasangan masing-masing dengan berkongsi bilik di dalam rumah menggambarkan mereka tidak takut langsung dengan ibu bapa mereka,” kata tokoh agama, Datuk Dr Haron Din.

Beliau yang juga Penaung Pusat perubatan Islam Darussyifa’ menyifatkan hal itu berpunca daripada longgarnya sistem pemantauan keluarga dan masyarakat, selain budaya kehidupan remaja kini yang semakin terdedah rangsangan hawa nafsu.


“Walaupun ibu bapa sudah memberi pendidikan agama, perkara ini tidak memberi kesan. Jika dalam rumah sendiri pun mereka berani untuk melakukan perbuatan terkutuk itu, kita tak dapat bayangkan apa yang mampu mereka lakukan sekiranya berada di luar rumah seperti di tempat sunyi atau kawasan melepak mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Haron berkata, perasaan malu seperti sudah terhakis dari dalam diri dua remaja terbabit sehingga boleh bertindak di luar batasan tanpa memikirkan kesan selepas itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Langsungtaktakutibubapa/Article/index_html

Najib: Tawaran Pakatan tak berpaksi realiti

Dis 21, 10 7:32pm

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pelbagai tawaran yang dikemukakan pakatan pembangkang kepada rakyat, tidak berpaksi kepada realiti kemampuan sebenar mereka.

Bagaimanapun, Perdana Menteri enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

"Lain kalilah sebab kita akan beri respons yang terperinci," katanya selepas menyaksikan pemeteraian memorandum perjanjian persefahaman antara Malaysia dan India untuk kerjasama berkaitan perkhidmatan bantuan teknikal bagi pembangunan dan pengurusan lebuh raya di pejabatnya di Putrajaya hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka yang diadakan di Pulau Pinang, Ahad lepas.

Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/151383

TPM: Tawaran manis pembangkang tak peduli negara muflis

Dis 21, 10 7:22pm

Rakyat jangan mudah terpengaruh dengan tawaran-tawaran istimewa daripada pakatan pembangkang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata mereka boleh membuat tawaran sebegitu kerana pakatan pembangkang tidak mempunyai pengalaman untuk mengetuai kerajaan di peringkat pusat.

Katanya ini kerana setiap perkara yang diputuskan perlu membuat kajian dengan mendalam daripada segi implikasinya kepada rakyat dan negara.

"Kita nak meneliti apa kesannya dan kita akan beritahu rakyat mengenai penipuan di sebalik tawaran-tawaran manis dan gula-gula itu. Ada penipuan yang dibuat untuk mempengaruhi pemikiran rakyat.

"Ini kerana mereka tidak mengambilkira sama ada tawaran sedemikian akan membawa negara kepada muflis atau sebagainya. Asal menang, sudah," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Belia, di Putrajya hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika mengulas mengenai tawaran dalam Program 100 hari yang dikemukakan pakatan pembangkang pada konvensyen mereka yang diadakan di Pulau Pinang, Ahad lalu.

Ia mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) Ke-13.

Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Timbalan Perdana Menteri berkata berbanding BN, setiap keputusan yang dibuat perlu diperhalusi dan diteliti dan kerana itu, selama 53 tahun, negara boleh kekal dengan kemajuan yang cukup baik dan semua pihak mendapat faedah daripadanya.

"Oleh kerana itu, kita tidak boleh boros, tidak boleh membuat sesuatu yang boleh memberi kesan dan bencana kepada negara bagi jangka masa yang panjang. Ini adalah pertimbangan yang perlu diteliti oleh rakyat agar tidak termakan dengan tawaran yang dibuat oleh pembangkang," katanya.

Muhyiddin berkata tawaran tersebut boleh menjadi satu pembohongan yang besar dan satu penipuan jika mereka membuat tawaran, dan tidak melaksanakannya kerana tidak membuat perkiraan yang betul daripada segi implikasinya.

"Setiap guru RM500, jumlah guru di negara ini hampir 400,000 guru, bermakna perbelanjaan sebulan RM200 juta, setahun RM2.4 bilion.

"Tetapi dari segi implikasinya, naik gaji guru tetapi gaji kakitangan kerajaan seramai 1.2 juta, tidak naik. Adakah guru sahaja yang diberi tawaran, kenapa tidak ditawarkan kepada kakitangan kerajaan yang lain, boleh jadi bankrap kita," katanya.

Ditanya mengenai kemunculan parti-parti politik baru pada masa ini yang akan menjejaskan BN, Muhyiddin berkata "lagi banyak lagi bagus, kerana Malaysia ialah sebuah negara demokrasi."

Katanya beliau menggalakkan lebih banyak pertubuhan yang berminat untuk bertanding pada pilihan raya umum untuk mendaftarkan parti-parti politik mereka dan rakyat mempunyai pilihan yang lebih banyak untuk memilih.

"Bagi kami, itu tidak mengugat BN, seperti yang lepas banyak parti lain, tetapi ia hanya boleh bertahan untuk satu penggal sahaja. Ia tidak boleh kekal kerana ia tidak mempunyai dasar yang jelas, ideologi pun takde, pemimpin mereka pun tidak mempunyai visi yang jelas," tegasnya.

--Bernama

http://malaysiakini.com/news/151380

1Malaysia: Pakatan bukan takut tapi muak...

Dis 24, 10 7:26pm

Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak mengiktiraf slogan 1Malaysia kerana mendakwa ianya memesongkan fikiran rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya di negeri itu.

Malah, setiausaha politik menteri besar Selangor, Faekah Husin berkata, Pakatan bukannya takut, tetapi sebaliknya muak dengan "slogan hipokrasi" BN yang didakwa menciplak logo politik dan bukan diilhamkan oleh rakyat negara ini.

NONESehubungan itu, katanya, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah mengarahkan supaya slogan dan logo politik tidak dibenarkan di premis kerajaan dan premis awam.

"Kerajaan negeri juga tidak akan mengeluarkan dana bagi membiayai program yang berkaitan dengannya.

"Manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberi kuasa melihat perincian selari dengan Undang-undang Pihak Berkuasa Tempatan yang telah diamalkan sebelum ini," katanya.

Faekah mengulas kenyataan Timbala Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam yang mendakwa kerajaan Selangor takut slogan 1Malaysia tersebut digunakan di semua papan tanda di negeri itu.

Muhyiddin dilaporkan berkata, visi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu semakin popular di kalangan rakyat dan menakutkan pembangkang.

Dalam satu kenyataannya, Faekah berkata, ia merupakan satu slogan politik BN yang pada pendapatnya "mana-mana ahli politik yang waras akan menyetujui bahawa ia tidak harus disokong oleh badan-badan kerajaan negeri Pakatan".

"Bukan sahaja ini adalah keputusan politik, namun ini adalah keputusan yang perlu melihat situasi politik kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Pakatan Rakyat Selangor tidak mengharapkan kerajaan persekutuan membantu menyebarkan maklumat mengenai program-program anjuran kerajaan negeri seperti Program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

"Namun kita kesal sikap tidak profesional mereka yang saban hari memburuk-burukkan program yang kita jalankan," katanya.


Menurutnya, meskipun tiada langsung niat untuk membalas dendam, persoalannya adalah wajarkah kerajaan negeri membantu mempromosikan satu slogan tersebut.

Faekah berkata, rakyat Malaysia khusus di negeri itu, harus memahami bahawa slogan 1Malaysia telah "menghukum tanpa bicara" Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan digantung daripada menghadiri sidang parlimen selama enam bulan.

"Slogan ini jugalah yang menggantung tiga ahli parlimen Pakatan dan mengakibatkan ratusan ribu rakyat yang mereka wakili tidak mendapat hak mereka sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Slogan inilah yang menghalang suara mereka di bawa ke Parlimen," tegas Faekah yang juga seorang peguam.

Faekah mendakwa Umno yang kian terdesak dengan tekanan penolakan terhadap politik perkauman, cuba menjadikan slogan tersebut sebagai sandaran mendapat sokongan.

Katanya, hujah kononnya 1Malaysia menyokong semangat muhibbah adalah "begitu rapuh dan dangkal sekali".

"Parti-parti komponen BN sendiri berasaskan pemikiran perkauman yang sempit. Pentadbiran Umno-BN pula bertanggungjawab penuh atas ketegangan kaum yang wujud di Malaysia walaupun telah merdeka 53 tahun.

"Dua pimpinan tertinggi Umno juga keliru dengan pendekatan yang terbaik. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) memperkenalkan 1Malaysia manakala Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tanpa segan mencabulinya dengan memperjuangkan 'Melayu Dahulu'," kata Faekah.

Dakwanya, konfrantasi ini yang sebenarnya telah meracuni fikiran setiap peringkat pimpinan BN yang seterusnya meracuni minda rakyat dan mewujudkan perasaan tidak selesa antara kaum.

"Terpulang kepada Tan Sri Muhyidin jika mahu memikirkan bahawa Pakatan Selangor takut dengan slogan tersebut.

"Namun, tidak keterlaluan jika saya katakan slogan ini adalah topeng untuk mengaburi penyelewengan dan pemecah-belahan negara yang berterusan," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151645
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...