Tuesday, November 25, 2008

Umat Islam tidak perlu beryoga untuk jaga kesihatan

Dilulus terbit pada Tuesday, November 25 @ 17:00:00 MYT oleh syamil


Oleh sabahdaily

"SAMAada halal atau haram senaman yoga, umat Islam tidak perlu kecoh-kecoh atas kesedaran bahawa mereka mampu memelihara kesihatan tanpa senaman berkenaan, malah kalau masih yang ada yang mempertikaikan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa amalan senaman berkenaan haram, maka sudah terang lagi bersuluh bahawa yang mempertikaikannya sedang trlna dalam kejahilan yang teramat sangat.

Cuba perhatikan kenapa alim ulamak, usianya panjang-panjang belaka. Jarang benar guru-guru sekolah pondok umpamanya mati pada usia masih muda gara-gara diserang sakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan penyakit-penyakit kronik yang lain. Kebanyakan mereka mati kerana sakit tua.


Antara rahsianya adalah kerana mereka banyak sembahyang sunat selain dari sembahyang wajib lima waktu sehari semalam. Alim ulamak akan tidur selepas Insya’ dan akan bangun selepas pukul 12.00 tengahmalam melakukan sembahyang malam.

Mereka akan tidur sekejap sebelum masuk waktu Subuh. Sebaik sahaja bangun dari tidur, mereka akan sembahyang sunat Fajar, sunat Subuh dan tidur sekejap untuk kemudiannya akan bangun dan menunaikan sembahyang sunat Dhuha.

Rukun sembahyang yang rata-rata melibatkan kegunaan anggota badan itu sendiri lebih bersifat kepada gerakan senaman sama ruku’, i’tidal, sujud, duduk antara dua sujud, bersimpuh ketika membaca tahyat, malah ketika berpaling kanan kiri ketika memberi salam adalah merupakan gerakan senaman.

Semalas-malas umat Islam menunaikan sembahyang yakni dengan hanya menunaikan sembahyang fardhu sahaja pun, mereka akan melakukan 17 kali ruku’, 17 kali i’tidal, 68 kali sujud, 32 kali bersimpuh dan 10 kali paling muka ke kanan dan 10 kali paling muka ke kiri.

Kebanyakan alim ulamak akan memastikan jumlah sembahyang yang dilakukan adalah sebanyak 50 rakaat sehari semalam bila dicampur jumlah sembahyang sunat dan fardhu dan lazimnya sembahyang sunat dilakukan sebanyak dua rakaat.

Maknanya setiap hari mereka melakukan 50 kali ruku’, 50 kali i’tidal, 318 kali sujud 164 kali bersimpuh, 76 kali memalingkan muka ke kanan dan 76 kali lagi memalingkan muka ke kiri. Dengan sebanyak itu pergerakan anggota badan dilakukan, maka ianya sudah lebh dari cukup bagi tujuan senaman untuk kesihatan badan.

Lagi pun dengan memperbanyakan sembahyang, bukan sahaja badan akan sihat tetapi akan mendapat pahala berganda di samping otak dan dada akan menjadi lapang. Antara tujuan direnggangkan waktu-waktu sembahyang juga adalah untuk mengingatkan kita bahawa pemikiran dan badan perlukan kerehatan.

Kebanyakan alim ulamak juga suka berkebun, memancing dan pelbagai aktiviti berbentuk riadah, seprti menunggang kuda, menembak dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti sedemikian juga adalah ada kaitan dengan penjagaan kesihatan, kerehatan mental dan fizikal serta ada kaitan dengan kawalan perbelanjaan harian.

Kenapa kita mesti ikut tatacara untuk kesihatan badan yang bertentangan dengan Islam? Kenapa kita tidak fotosttat kehidupan alim ulamak ke dalam kehidupan kita. Bukankah alim ulamak itu pula menfotostat kehidupan Rasulullah s.a.w. ke dalam kehidupan mereka manakala Rasulullah s.a.w. dizahirkan ke dunia untuk membawa rahmat, memilih kehidupan yang bercanggah dengan sunnah bermakna kita memilih kecelakaan.

Rahim Abdul Halim

Sumber : Sabahdaily


http://www.tranungkite.net/v7/modules.php?name=News&file=article&sid=18823

Dr M: Sistem kuota gagal banteras politik wang



Nov 25, 08 5:56pm

Pencalonan bagi jawatan tertinggi Umno jelas menunjukkan bahawa sistem kuota gagal membanteras politik wang, kata mantan Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ya, memang pun semasa saya dahulu sudah ada politik wang.

"Tetapi peristiwa sogokan secara terbuka dan besar-besaran sehingga ramai dalam masyarakat pandang jijik akan politik Umno tidak berlaku dahulu," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

Menurut beliau, tidak pernah terjadi di mana presiden parti didakwa terlibat dengan politik wang melalui laporan kepada polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR).

"Tidak pernah Lembaga Disiplin parti menerima sehingga 900 laporan berkenaan politik wang.

"Tidak pernah BPR terima banyak laporan rasuah untuk pencalonan bagi jawatan dalam Umno,"
tambahnya.

Dr Mahathir berkata, membuat alasan bahawa dulu pun ada rasuah "tidak menghalalkan rasuah sekarang, terutamanya rasuah terbuka dan besar-besaran."

"Sesungguhnya hari ini di mana-mana juga rakyat bercakap berkenaan rasuah dalam pencalonan kepimpinan Umno. Ini tidak berlaku dahulu," tambahnya.

Undi bonus

Dr Mahathir mengaku bahawa ketika beliau menjadi presiden Umno dan perdana menteri pun ada politik wang.

"Ia amat ketara semasa saya dan Tun Ghafar Baba dicabar pada tahun 1986.

"Walaupun saya dapat pencalonan yang terbanyak (70 peratus) tetapi saya menang dengan kelebihan undi hanya 43 sahaja. Jelas perwakilan tidak undi ikut pencalonan oleh bahagian,"
katanya.

Dalam pemilihan Umno pada tahun tersebut, beliau dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan presiden Umno.

"Untuk mengelak perwakilan dipengaruhi semasa bersidang maka perlembagaan dipinda supaya 10 undi bonus diberi apabila dicalon oleh bahagian.

"Malangnya ada calon yang berjaya mendapat begitu banyak pencalonan sehingga lawannya terpaksa tarik diri,"
katanya.

Dalam pemilihan Umno 1993, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencabar Tun Ghafar Baba untuk jawatan timbalan presiden.

Anwar yang ketika itu merupakan naib presiden, mendapat lebih 160 pencalonan, manakala Ghafar hanya memperolehi tujuh pencalonan.

Berikutan tambahan undi bonus yang diperolehi Anwar, maka Ghafar telah menarik diri daripada mempertahankan jawatan tersebut.

Lepas itu, kata Dr Mahathir undi bonus dibatalkan dan diganti dengan kuota 30 peratus bagi jawatan presiden dan peratusan tertentu bagi jawatan-jawatan lain.

"Dalam pencalonan untuk pemilihan kali ini ternampak jelas yang kuota tidak berjaya membanteras politik wang," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/93734

Ketua Pengarah Jakim bidas Dr Asri isu alternatif yoga



Selasa November 25, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB



PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz hari ini berkata, cadangan mengadakan alternatif untuk penganut agama Islam yang mengamalkan yoga tidak boleh menjadi penghalang kepada Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan untuk mengharamkan amalan senaman tersebut.


"Fatwa akan dikeluarkan jika kajian yang dijalankan mendapati sesuatu perkara itu boleh menggugat akidah. Alternatif itu soal lain," katanya ketika dihubungi mStar Online, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin supaya Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan.


Ditanya sama ada Majlis Fatwa akan mempertimbangkan cadangan itu, Wan Mohamad berkata: "Tanyalah Mufti Perlis apa (alternatif) yang dicadangkan. Kalau beliau kata ada, eloklah bentang apa alternatif itu.


"Fatwa dibuat dengan kajian mendalam, bukan beri kenyataan macam tu saja...,"
katanya.


Beliau berkata, mufti bagi setiap negeri perlu bertanggungjawab memelihara akidah umat Islam dan memberi panduan bagi membezakan yang betul dan salah jika sesuatu perkara itu jelas merosakkan akidah.


Ketika ditanya cadangan Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang mendesak kerajaan menggunakan peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dan Kanun Keseksaan bagi bertindak ke atas pihak yang mempertikaikan keputusan institusi fatwa itu, Wan Mohamad berkata, hal itu terpulang kepada pihak berkuasa negeri selepas memutuskan sama ada mewartakan pengharaman yoga atau sebaliknya.


"Kalau sesuatu negeri sudah mengeluarkan fatwa, memang dalam undang-undang sedia ada sudah termaktub (boleh dikenakan tindakan) mengikut semangat undang-undang negeri.


"Ini jelas kerana jika menentang fatwa lebih-lebih lagi yang telah diwartakan, mereka ini bukan hanya menentang fatwa itu sendiri tetapi juga menentang keputusan yang telah diperkenan oleh Sultan atau Raja negeri berkenaan,"
katanya.


Bagaimanapun Wan Mohamad berkata, biar pun tindakan boleh dikenakan namun apa yang lebih penting katanya adalah pemahaman orang ramai kepada fatwa itu sendiri.


"Lazimnya, pihak berkuasa negeri tidak akan mengambil tindakan terburu-buru dan kalau kita tengok rekod tindakan yang diambil setakat ini hanya kepada kumpulan yang menyebar ajaran sesat.


"Jika setakat tidak memahami fatwa, banyak lagi langkah yang boleh dibuat pihak berkuasa agama negeri,"
katanya.


Ditanya kemungkinan terdapat negeri yang tidak mengharamkan yoga, Wan Mohamad berkata, beliau tidak boleh mengulas mengenai hal itu kerana pihak berkuasa agama bagi semua negeri masih belum membincangkannya.


"Kita tengok dulu mereka bincang. Semasa Majlis Muzakarah Kebangsaan pada Oktober lalu di Kota Bharu, semua mufti negeri menjadi ahli," katanya.


Sementara itu, Bernama melaporkan Wan Mohamad berkata Jakim meminta jawatankuasa fatwa di setiap negeri mengadakan mesyuarat membincangkan keputusan pengharaman yoga kepada umat Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum dipesembahkan kepada sultan untuk perkenan dan diwartakan.


Katanya, pelaksanaan fatwa tersebut perlu mengikut proses undang-undang sebelum diwartakan di negeri masing-masing.


"Kita dapati bukan terdapat perbezaan pandangan tetapi bagaimana fatwa itu dilaksanakan, dan oleh itu jawatankuasa fatwa negeri perlu bermesyuarat terlebih dahulu sebelum dipersembah kepada sultan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Persidangan Ketuaketua Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri di Ipoh, hari ini.


Sabtu lepas, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan keputusan fatwa mengharamkan senaman yoga kepada umat Islam kerana satu daripada prosesnya turut membabitkan bacaan mantera.


Ketika ditanya mengenai bantahan kaum lain mengenai fatwa pengharaman yoga kepada umat Islam itu, Wan Mohamad berkata fatwa berkenaan adalah tertakluk kepada orang yang beragama Islam sahaja.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/25/mstar_mutakhir/20081125164114&sec=mstar_mutakhir

Bukan salah saya - Kamilia


Selasa November 25, 2008

PETALING JAYA: Datuk Kamilia Ibrahim menafikan tuduhan-tuduhan yang mengatakan beliau menjadi punca pelan peralihan kuasa Wanita Umno yang dijadualkan Jun ini tergendala.


Ketua Umno Kuala Kangsar itu berkata, terdapat sebab-sebab lain yang menyebabkan pelan peralihan yang diusulkan oleh ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz itu tidak berlaku seperti yang dirancang.


"Walaupun ada orang berkata begitu, saya bukan satu-satunya sebab itu. Ada banyak isu lain yang terlibat," katanya kepada The Star semalam.


Kamilia yang hampir pasti menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan Mac ini berikutan keputusan penyandang jawatan itu, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil untuk mencabar Rafidah bagi jawatan ketua akan menjelaskan kedudukannya pada masa yang yang sesuai.


Rafidah menerima 118 pencalonan sementara Shahrizat dengan 72 pencalonan bagi jawatan nombor satu pergerakan itu.


Bagi jawatan nombor dua, Shahrizat menerima 102 pencalonan sementara Kamilia dengan 56 pencalonan.


Kamilia juga tidak bersetuju dengan pandangan sesetengah pihak yang menggambarkan pergerakan itu kini dalam keadaan kucar kacir berikutan keputusan Shahrizat untuk mencabar Rafidah.


"Wanita Umno bukan dalam keadaan kucar-kacir. Ini hanyalah pertandingan. Ia juga berlaku dalam Puteri (Umno) di mana ramai calon bertanding untuk jawatan ketua. Perkara yang sama turut berlaku dalam Pemuda Umno. Malah pertandingan terbesar nanti adalah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno.


"Mengapa pula bila pertandingan berlaku dalam Wanita Umno, kami dikatakan dalam keadaan kucar-kacir?"
katanya.


Kamilia bagaimanapun enggan mengulas berhubung isu-isu lain yang sedang berlaku dalam Wanita.


Shahrizat sebelum ini berkata, beliau akan kekal dengan pelan peralihan kuasa Jun ini jika Kamilia tidak mencabarnya untuk jawatan naib ketua.


Rafidah dalam nada yang sama menyalahkan Kamilia kerana menyebabkan pelan tersebut tergendala.


Beliau juga berkata, Kamilia mendapat keuntungan daripada apa yang berlaku kerana kini hampir pasti menang jawatan naib ketua pergerakan itu tanpa bertanding.


"Jika tidak kerana pelan peralihan tersebut, mungkin berlaku pertandingan terbuka. Justeru, mungkin bukan Kamilia yang menang," kata Rafidah.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/25/mstar_berita/20081125105109&sec=mstar_berita

Isu haram yoga, fatwa jangan kaku - Dr asri


Selasa November 25, 2008

KUALA LUMPUR Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin hari ini mula menegur Majlis Fatwa Kebangsaan tentang isu pengharaman 'yoga' yang diumumkan baru-baru ini.


Walaupun pada dasarnya, beliau bersetuju ada unsur agama lain dalam yoga, pergerakan senaman itu tidak seperti air yang sudah tercemar yang sukar untuk dipisahkan.


"Majlis Fatwa jangan hanya mengharamkan saja tapi berilah alternatif. Banyak lagi amalan-amalan sukan yang diambil dari budaya lain seperti tai chi, judo, taekwando. Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan," jelas Dr Asri dalam satu temubual telefon sebentar tadi.


Dr Asri difahamkan tidak hadir dalam mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan berkenaan kerana dikatakan kurang selesa dengan sikap diskriminasi JAKIM kepadanya dan kenyataan Pengarah JAKIM yang tidak berapa senang dengan pandangan alternatif beliau.


Pun begitu, ini tidak menghalang beliau untuk memberi satu lagi pandangan tentang fatwa 'yoga'.


"Pengamal-pengamal yoga yang beragama Islam sepatutnya diberi alternatif dengan diberi satu versi amalan yoga yang terpisah dengan pergerakan yang terlalu jelas menyamai agama lain, bacaan-bacaan yang bertentangan dengan agama Islam dan kepercayaan karut. Versi yoga yang disyorkan ini seharusnya mengekalkan pergerakan yang baik untuk kesihatan.


"Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan,"
jelas Dr Asri.


Kata Dr Asri lagi, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya tidak terlalu kaku.


"Fatwa yang dikeluarkan pada zaman sekarang hendaknya jangan terlalu kaku. Berilah alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Sekiranya ada kelebihan dari segi kesihatan dan ianya memanfaatkan, itu boleh dikekalkan.


"Pergerakan manusia itu tidak semestinya berkaitan dengan agama. Sama seperti amalan judo, misalnya. Apa yang tidak sesuai, dihapuskan saja dan diambil manfaatnya. Kita kekalkan pergerakan yang meafaatkan badan,"
jelas Dr Asri.


Beliau juga berharap Majlis Fatwa memberi ruang untuk umat Islam melihat alternatif.


Sabtu lepas, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan Pengerusi, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin mengumumkan Majlis Muzakarah Kebangsaan (yang bersidang pada 22 hingga 24 Oktober di Kota Bharu) bersetuju memutuskan bahawa apa jua bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang kerana bertentangan dengan Islam.


Umat Islam negara ini diminta tidak mengamalkan senaman yoga yang didapati mengandungi unsur-unsur keagamaan, mentera dan pemujaan.


Tambah beliau, amalan fizikal senaman yoga tanpa unsur-unsur tersebut pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan.


Namun, beliau menasihati umat Islam agar meninggalkan amalan tersebut kerana dikhuatiri akan menghakis akidah mereka.


“Tiga perkara yang boleh menghakis akidah umat Islam adalah kepercayaan di hati, menerusi perkataan dan perbuatan.


“Memandangkan terdapat elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis. Saya nasihatkan mereka tinggalkannya (yoga) dan pilih senaman lain seperti berbasikal,solat, zikir dan sebagainya,”
kata beliau pada sidang media hari itu.


Selain Malaysia, amalan yoga telahpun diharamkan di Singapura dan Mesir, katanya.


Abdul Shukor berkata, pada peringkat ini, program kesedaran mengenai amalan itu akan diperluaskan ke seluruh negara melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).


Jelasnya, pelaksanaan dari dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.


“Kuasa perlaksanaan dari sudut undang-undang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Setelah ia diwartakan barulah kita boleh tahu apa tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang masih mengamalkannya,” katanya.


Awal bulan lalu pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.


Menurut Zakaria, yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa.


"Mereka mengamalkan yoga kerana percaya boleh menyatukan mereka dengan Tuhan," katanya.


Yoga adalah amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/25/mstar_berita/20081125123603&sec=mstar_berita

Keputusan fatwa: Rujuk Majlis Raja-raja, titah Sultan Selangor


Selasa November 25, 2008


SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Shah berharap sebarang keputusan fatwa pada masa depan yang menyentuh isu melibatkan masyarakat umum sebaik-baiknya dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan sebelum diumum.

Menurut baginda ia adalah bagi memastikan supaya kaedah menyalurkan sesuatu keputusan fatwa itu dapat dilaksanakan secara bijaksana bagi mengelak sebarang kekeliruan dan kontroversi.


Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani hari ini, berhubung keputusan Jawatankuasa Fatwa bagi Majlis Hal Ehwal Agama Islam yang mengharamkan amalan yoga untuk umat Islam, Sultan Selangor menjelaskan bahawa keputusan itu belum berkuatkuasa di Selangor kerana perkara itu belum dibawa ke peringkat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.


Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, akan bersidang membincangkan perkara itu dengan lebih mendalam berkenaan aktiviti senaman yoga di Selangor, dan selepas keputusan muktamad dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, ianya akan disembahkan untuk perkenan baginda.


Ini selaras dengan prosedur yang diperuntukkan oleh Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 berkaitan dengan menerima pakai sesuatu keputusan fatwa. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/11/25/mstar_berita/20081124164423&sec=mstar_berita

Putus 1 Disember

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my



KUALA LUMPUR: Majlis Ekonomi Negara akan bermesyuarat Isnin depan untuk memutuskan satu mekanisme lebih stabil dan boleh dilaksanakan dalam menentukan harga petrol, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad.

Beliau berkata, mesyuarat Majlis Ekonomi Negara itu memutuskan sama ada akan mengguna pakai sistem apungan mengikut harga pasaran dunia atau menetapkan harga lantai.

“Kita kena buat perbincangan pasal kebaikan dan kelemahan harga lantai.

“Ini satu keadaan yang tak pernah kita jangka, harga minyak mentah turun begitu hebat. Kita akan berbincang mengenai apa hala tuju yang akan diambil.


“Adakah kita nak satu kaedah harga lantai atau terus dengan keadaan sekarang, yang mana bila turun, kita turun...apa pun bergantung kepada keputusan Majlis Ekonomi Negara pada 1 Disember ini.

“Kalau letak harga lantai, apakah parasnya, serendah mana atau guna sistem pengapungan secara terurus,”
katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Ketua Jabatan Harta Intelek Asean kali kelima 2008 di sini, semalam.

Beliau berkata, Majlis Ekonomi Negara akan mengkaji kebaikan dan keburukan setiap mekanisme itu dalam aspek yang memanfaatkan bagi keseluruhan, sumbangan kepada semua secara keseluruhan, sumbangan kepada sumber kewangan negara dan mengenai impak membangunkan sumber tenaga alternatif.

“Pada harga sekarang, kerajaan ada sumber kewangan. Kalau kita adakan harga lantai dan harga minyak turun, perbezaannya akan masuk ke dana kerajaan, bukan syarikat minyak, bukan stesen minyak.

“Sebagai contoh jika kita tetapkan harga lantai petrol pada RM1.90, apabila harga pasaran dunia turun RM1.60, maka 30 sen akan dimasukkan ke dana kerajaan, bukan syarikat minyak atau stesen minyak.

“Jadi kerajaan akan mempunyai sumber pendapatan sekiranya kita adakan harga lantai,”
katanya.

Sementara itu, Shahrir berkata, kerajaan akan membentangkan Akta Amalan Perdagangan Adil di Parlimen pada Jun depan bagi membolehkan tindakan dikenakan kepada peniaga yang sengaja ‘menindas' peniaga lain dengan menimbulkan suasana persaingan tidak adil.

“Kajian mengenai akta berkenaan sudah hampir selesai dan dijangka dibentangkan Jun tahun depan bersama akta penubuhan suruhanjaya bebas bagi tujuan penguatkuasaan bagi menjalankan pemantauan dan penyiasatan terhadap aduan yang diterima,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125090628/Article/index_html

Dipukau jadi penjamin along

KUALA LUMPUR: Licik apabila seorang wanita dikesan sengaja memberikan mangsanya minuman dipercayai air pukau bertujuan membuat mangsa menjadi bodoh dan hilang ingatan sebelum diperdaya dan diarah menjadi penjamin pinjaman ceti haram atau along tanpa disedari mangsa.

Dalam kes terbaru, seorang gadis berusia 23 tahun mendakwa menjadi mangsa tindakan licik wanita berkenaan yang memukaunya sebelum menjadikan mangsa penjamin untuk membuat pinjaman dengan along.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Aina berkata, tindakan di luar kesedarannya itu menyebabkan dia kini menjadi buruan along gara-gara dijadikan penjamin oleh wanita yang juga teman serumahnya.

Menurutnya, dua along terbabit tidak hanya menghubunginya untuk pinjaman itu dijelaskan, malah mengugut untuk merogolnya.


“Saya benar-benar buntu kerana tidak dapat mengingati apa yang berlaku dan bila tarikh sebenar pinjaman itu dilakukan.

“Apa yang terlintas hanyalah kata-kata pujukan rakan serumah saya dikenali sebagai Kak Yah sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, wanita berusia 30-an itu yang bekerja kilang di Shah Alam berpindah ke rumah sewanya sekitar September lalu.

“Berikutan masa bekerja kami yang mengikut jadual berlainan, saya dan Kak Yah tidak begitu mesra dan hanya sekadar bertegur sapa ketika pulang atau keluar untuk bekerja.

“Apa yang saya tahu Kak Yah ini berasal dari Kelantan dan menyewa salah satu bilik di rumah yang kami sewa di Seksyen 20 Shah Alam,” katanya.

Aina berkata, derita dialaminya bermula apabila Kak Yah tiba-tiba menegurnya pada hari Ahad sebulan yang lalu ketika bersendirian di rumah.

“Saya yang ketika itu bercuti berehat di ruang tamu rumah sambil menonton televisyen terkejut apabila dihulurkan segelas air oleh Kak Yah.

“Tanpa mengesyaki apa-apa saya lantas meneguk air berkenaan yang mempunyai rasa aneh seakan-akan air sarsi bercampur soda,” katanya.

Menurutnya, teman serumahnya itu kemudian duduk di sebelahnya sambil memberitahu menghadapi masalah kewangan berikutan ibunya sakit tenat di kampung.

“Dia kemudian memberitahu ingin berjumpa rakannya untuk meminjam wang sambil mengajak saya menemaninya.

“Saya yang seolah-olah dipukau terus bersetuju mengikutnya menaiki motosikal untuk berjumpa seorang lelaki berusia 30-an di sebuah restoran,” katanya.

Menurutnya, dia seperti orang bodoh apabila mengikut apa sahaja kata-kata Kak Yah yang meminta MyKad dan buku akaun bank miliknya diserahkan kepada along.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125091313/Article/index_html

Tiada cadangan turunkan kadar sewa lori


PUTRAJAYA: Persatuan Pengusaha Lori Tangki Bumiputera Malaysia tidak bercadang menurunkan kadar sewa lori walaupun harga runcit petrol dan diesel diturunkan sebanyak 15 sen seliter, baru-baru ini.

Pengerusinya Nazri Mohamad berkata, pihaknya tidak bercadang menurunkan kadar sewa lori dalam tempoh enam bulan ini berikutan kos buruh dan pelbagai jenis peralatan seperti tayar dan alat ganti yang semakin tinggi.

“Selepas enam bulan ini, jika kos turun, memang boleh kadar sewa diturunkan tetapi tayar akan naik harga dan hanya bateri yang sudah turun harga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di sini, semalam.

Mesyuarat yang dipengerusikan menteri berkenaan Datuk Shahrir Abdul Samad berlangsung selama kira-kira dua jam.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga minyak petrol RON97 turun daripada RM2.15 kepada RM2 seliter manakala RON92 dan diesel masing-masing daripada RM2.05 kepada RM1.90 seliter.

Ia penurunan kali kelima harga bahan api itu selepas mengalami kenaikan tertinggi pada Jun lalu apabila kerajaan menaikkan harga runcit petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter ketika harga minyak mentah dunia meningkat sekitar AS$125 setong.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125091515/Article/index_html

150 wanita cari suami


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


ADU...Huang membuat aduan kepada Micheal selepas
mendakwa diperdaya lelaki tempatan dikahwininya.



KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu merasa keseronokan beristeri lebih, ramai lelaki tempatan dikesan aktif berkahwin secara haram dengan wanita asing di luar negara dengan menjual temberang kononnya masih bujang walaupun usia menjangkau 50 tahun.

Difahamkan kebanyakan lelaki tempatan ini berkahwin dengan wanita warga asing tanpa mendaftarkan perkahwinan bagi mengelakkan penipuan mereka dihidu isteri dan ahli keluarga di Malaysia.

Bagaimanapun penipuan terbabit terbongkar apabila beratus ‘isteri simpanan’ berkenaan didapati sanggup datang ke Malaysia bagi menjejaki suami masing-masing yang pulang ke tanah air.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, gejala tidak sihat ini semakin parah apabila seramai 150 wanita asing datang ke pejabatnya sejak awal tahun ini bagi mendapatkan bantuan menjejaki suami mereka yang juga rakyat Malaysia.


Menurutnya, majoriti wanita asing terbabit mengadu ditinggalkan suami tanpa diberikan nafkah sedangkan ada antara mereka sudah melahirkan zuriat hasil perkongsian hidup sementara itu.


“Kemelut ini yang mencemarkan imej negara bukan hanya membabitkan wanita atau gadis dari tanah besar China, malah turut membabitkan gadis dari Vietnam, Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Hasil soal selidik dilakukan, kebanyakan perkahwinan haram ini berlaku ketika lelaki warga Malaysia ini pergi ke negara berkenaan atas urusan perniagaan, mencari pekerjaan sementara atau bercuti,”
katanya.

Menurutnya, kebanyakan lelaki Malaysia ini yang dianggap mempunyai saham tinggi mudah menarik minat gadis warga asing sebelum mengambil keputusan berkahwin.

“Agak melucukan apabila gadis warga asing ini mudah ditipu kononnya lelaki berkenaan masih bujang dan terus bersetuju apabila diajak kahwin.

“Bagaimanapun perkahwinan singkat ini tidak akan kekal lama berikutan lelaki tempatan terbabit yang sudah mempunyai isteri dan anak di tanah air akhirnya akan pulang ke Malaysia,”
katanya.

Menurutnya, tindakan lelaki tempatan ini yang cuba membuang ‘isteri gelap’ terbabit dianggap agak zalim kerana bersikap lepas tangan dan tidak mahu mengambil tahu apa yang berlaku.

"Bagaimanapun kebanyakan wanita warga asing ini mempunyai 'hati kering' dan datang ke Malaysia untuk menjejaki suami mereka. Wanita ini tidak teragak-agak mengiklankan gambar wajah suami mereka di surat khabar selain menggunakan khidmat biro aduannya untuk membantu mencari suami mereka.

"Namun kerana bimbang perkara ini boleh mencetuskan huru-hara dan kemelut dalam rumah tangga, saya menasihati lelaki tempatan itu menyelesaikan perkara terbabit, dengan cara paling baik,"
katanya.

Dalam kes terbaru semalam, seorang wanita warga China mendakwa turut diperdaya selepas berkahwin dengan seorang lelaki tempatan yang sudah berumah tangga.

Dalam kes berkenaan, seorang wanita warga China dikenali sebagai Huang, 41, mendakwa dipermainkan seorang lelaki tempatan selepas menjalin hubungan sejak lima tahun sehingga melahirkan seorang anak lelaki.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125092459/Article/index_html

Penyatuan lelaki, wanita bercanggah ajaran Islam


KUALA TERENGGANU: Cadangan Mufti Australia, Sheikh Fehmi Maji el-Imam yang mahu menyatukan jemaah lelaki dan wanita ketika mengerjakan solat di masjid turut ditentang Majlis Darul Fatwa dan Konsul Tinggi Islam Sydney kerana bertentangan dan bercanggah dengan ajaran Islam.

Mufti Majlis Darul Fatwa Sydney, Australia, Dr Saleem Alwan al-Hasani, berkata kedudukan jemaah lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam sembahyang bukan satu budaya atau amalan dibuat manusia, sebaliknya ajaran Islam yang diikuti empat mazhab utama, Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta Syiah.

“Rasulullah sudah menerangkan bagaimana tertib kedudukan orang lelaki, wanita dan kanak-kanak dalam sembahyang dan apa yang disebut itu nas atau hadis dan kita tidak boleh melangkau atau bercanggah dengan apa yang disebut Rasulullah dan perlu diamalkan sampai bila-bila,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Konsul Tinggi Islam Sydney berkata, barisan jemaah wanita di belakang lelaki ketika mengerjakan solat bukan bermakna golongan itu tidak ada nilai tetapi tertib yang diamalkan dalam Islam.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125094415/Article/index_html

Sanggup tinggal `bersama suami’


REDA...Salwanis menunjukkan gambar arwah anaknya, Bilal
dan laporan polis terhadap suaminya, Nasir yang
akan ditarik balik.


SERDANG: “Saya anggap segala yang berlaku sebagai ketentuan Ilahi dan apa yang perlu dilakukan ketika ini ialah memulihkan hubungan dengan suami.

“Malah, saya sanggup mengikut suami ke mana saja termasuk bermastautin di luar negara jika itu difikirkan terbaik,” kata Salwanis Ma’az, 31.

Dia ditemui di pasar mini di sini, yang dimiliki bersama suaminya seorang warganegara Pakistan, Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39, selepas laporan kematian anaknya akibat pendarahan otak kerana satu insiden di Bahrain.

Pada Ogos lalu, muka depan Harian Metro melaporkan Nasir membawa lari anak mereka Muhammad Bilal ke luar negara dipercayai ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menceritakan semula berkenaan kematian Bilal, wanita dari Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, dia mengetahui berlaku jenayah terhadap Nasir dan anaknya selepas saling bertukar e-mel dengan suaminya itu.

Ketika itu Salwanis di kafe siber berhampiran pasar mininya sementara ibunya, Patahiyah Saari, 59, menjaga perniagaan, apabila terpaksa menelan kenyataan Bilal sudah meninggal dunia sejak 15 Ogos iaitu kira-kira dua minggu selepas suami dan anaknya keluar dari Malaysia.

Ketika mendukung Bilal, Nasir memberitahu dalam e-mel dia diserang seorang lelaki yang memukulnya dari belakang ketika berdiri di tepi jalan di satu bandar di Bahrain.

Pukulan tanpa diketahui sebabnya itu menyebabkan Bilal terlepas dan jatuh ke atas jalan raya sebelum lelaki terbabit melarikan diri dengan sebuah kenderaan.

Sejurus kemudian Nasir membawa Bilal yang darahnya mengalir tidak putus-putus keluar dari hidung ke sebuah pusat rawatan.

Bagaimanapun Bilal terpaksa dipindahkan ke Hospital Salmaniah selepas didapati kecederaannya serius kerana pendarahan dalam otak akibat terhentak atas jalan.

Lima hari selepas dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, doktor mengesahkan Bilal sudah meninggal dunia.

Nasir turut menghantar dokumen kematian dan sijil pengebumian Bilal serta gambar bayi itu sejurus dimandikan di bilik mayat Hospital Salmaniyah. Dokumen pengesahan daripada Kementerian Kesihatan Bahrain serta Wisma Putra turut memastikan Bilal sudah tiada.


http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125095056/Article/index_html

Pinjam along untuk kahwin


Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


LAPOR...Iskandar menunjukkan laporan polis yang dibuat
terhadap along.



KUALA LUMPUR: Akibat terpedaya janji manis teman wanitanya, seorang kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi kini dihantui ketakutan kerana diganggu along sejak empat tahun lalu.

Mangsa, Iskandar Ibrahim, 34, mendakwa tindakannya membuat pinjaman RM5,000 bagi menampung perbelanjaan perkahwinan selepas teman wanitanya itu berjanji untuk berkahwin dengannya kini menjadi igauan ngeri kerana tersepit masalah hutang.

Walaupun hubungan mereka berdua ditentang keluarga ketika itu, Iskandar berkata, dia nekad dengan keputusannya untuk mengahwini wanita terbabit atas dasar suka sama suka.

Bagaimanapun, dia mendakwa wanita terbabit menghilangkan diri selepas memperoleh wang pinjaman yang dibuat atas namanya itu.

Lebih memeritkan wanita itu bukan saja memutuskan hubungan, tetapi mengahwini orang lain.

“Disebabkan terlalu sedih dan tertekan dengan kejadian itu, saya berhenti membayar balik pinjaman along hingga kini.

“Pada masa itu saya dalam keadaan sedih dan tertekan, sebab itu tidak menjelaskan bayaran balik pada setiap bulan seperti dijanjikan.

“Kini jumlah pinjaman meningkat lebih RM10,000 berdasarkan bunga ditetapkan mereka setiap bulan jika terlupa untuk membayarnya,”
katanya, semalam.

Berikutan masalah itu, Iskandar berkata, dia terpaksa berpindah kerja dari satu syarikat ke syarikat lain kerana tidak tahan diganggu along yang sentiasa mengekorinya.

“Mereka akan mengganggu hingga ke tempat kerja, malah pada masa sama mencemarkan nama baik saya pada majikan. Sebab itu saya tidak lama bekerja di satu-satu tempat.

“Saya tidak pasti bagaimana mereka boleh mengesan saya kerana walaupun sudah membuat berbagai cara untuk menghilangkan diri, tapi along terbabit masih dapat mencarinya,”
katanya

Iskandar berkata, gaji yang diperolehnya kini hampir sebahagian darinya digunakan untuk membayar balik pinjaman itu.

“Dari gaji penuh RM2,500 sebulan saya hanya memperoleh RM600 saja. Dengan keadaan ekonomi kini saya tidak cukup untuk meneruskan hidup.

“Saya mula bayar balik sejak Jun tahun lalu, tapi mereka makin melampau kerana tidak memberikan apa-apa penyataan menandakan saya sudah bayar,”
katanya runsing.

Menurutnya, dia sudah buntu dan kini berharap ada pihak sudi membantu mengatasi masalahnya itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081125095228/Article/index_html

Bell mahu rujuk


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nasrizal Ngasri, 29, atau lebih dikenali dengan panggilan Bell yang disahkan bercerai dengan isterinya, Nur Farhana Mahamd Fauri, 26, di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhasrat untuk merujuk semula.

Bell yang ditemui di luar mahkamah, berkata kes perceraiannya satu pengalaman dan pengajaran berguna buatnya.

“Kesilapan saya tidak belajar mengenai ilmu kehidupan,” katanya yang mengakui masih sayangkan isterinya.

Dia berkata, masih ada jalan damai membabitkan kedua-dua pihak, bukan satu pihak saja.

“Insya-Allah kita tengok. Dia bukan daripada satu pihak saja, tetapi kedua-dua pihak. Saya tidak lupa juga kehidupan saya sendiri...kata orang jangan asyik dengan kerja saja.

“Ini salah faham. Saya ada banyak buat silap, jadi kalau ada sesiapa tersinggung dan rasa saya banyak buat silap, saya minta maaf banyak-banyak,”
katanya.

Sementara itu, ketika prosiding perceraian itu, Bell ditegur Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad Zin apabila terlelap di tempat duduk galeri awam mahkamah.

Apabila melihat pelakon itu terlelap, Mohd Yunus menganggap Bell selaku defendan tidak serius ketika mengikuti prosiding berkenaan.

Isterinya melemparkan senyuman ke arah suaminya sebelum Bell yang terjaga disapa Mohd Yunus dengan berkata: ‘Sedar tak? Kamu tidur di belakang. Ini kes cerai dan kes serius’.

“Kamu pernah tipu isteri kamu...maksudnya sepatutnya kamu berada di Kuala Lumpur, tetapi kamu ada di tempat lain...pernah berlaku? Sebab ada orang nampak kamu di tempat lain...betul ke?,” tanya hakim.

Bell segera menafikannya selain sempat berjenaka dengan berkata: Pelanduk dua serupa...banyak sangat kembar saya.”

Mohd Yunus membalas: “Biasalah kamu artis. Ke mana-mana kamu pergi orang kenal.”

Hakim mengesahkan perceraian talak satu yang dilafazkan pelakon itu terhadap isterinya menerusi SMS pada 22 Oktober lalu.

“Mahkamah dengan ini mensabitkan jatuh talak satu kali pertama berjumlah satu talak dengan lafaz suami melalui SMS. Defendan mengaku dia menghantar SMS menggunakan telefon bimbitnya. Saya puas hati sabit talak pada 22 Oktober 2008.

“Masih ada peluang untuk kamu rujuk dan kalau nak (mahu) rujuk pergi sama-sama ke jabatan agama...rujuk di depan pegawai agama,”
katanya kepada pasangan terbabit.

Bell menerusi kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana mengakui ada melafazkan perkataan cerai berbunyi: ‘Aku ceraikan kau. Thank you...selamat berjaya’.

‘Ayat-ayat cerai’ itu diakui Bell ketika diminta Mohd Yunus untuk menatap kembali kandungan SMS yang dihantar kepada Nur Farhana sebelum ia disimpan isterinya.

Bell memberitahu hakim dia ada menghantar SMS cerai kepada isterinya yang berada di rumah ketika dalam penggambaran sebuah drama dilakonkannya pada 22 Oktober lalu.

Malah, Nur Farhana berkata, SMS itu dihantar selepas dia melahirkan anak pertama dan baru habis pantang.

“Ketika itu, saya tidak tahu defendan berada di mana. Saya tidak ada menghubunginya. Mungkin dia di Negeri Sembilan. Saya terima SMS yang dihantar defendan ketika di rumah dan kami bergaduh dalam SMS itu,” katanya.

Bell yang ditanya Mohd Yunus mengenai punca dia melafazkan cerai melalui SMS, menafikan berpunca daripada pihak ketiga, sebaliknya akibat salah faham antaranya dan isteri.

“Lafaz cerai itu berlaku akibat perselisihan faham. Ketika saya buat penggambaran, ada orang beritahu isteri bahawa saya berada di tempat lain. Dia (isteri) tidak mahu terima apa yang saya cakap.

“Saya belum merujuk dan saya tidak ada hantar SMS lain. Kandungan perkataan ‘aku’ merujuk kepada diri saya dan ‘kau’ pula merujuk kepada dia (isteri). Bagaimanapun, saya tidak melafazkan berapa kali talak,”
katanya.

Pelakon yang juga anak kepada bekas penyampai radio dan juga pengacara RTM, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar itu diijabkabulkan dengan Nur Farhana pada 30 Mac tahun lalu di Masjid Al Khairyah, Taman Sri Gombak.

Hasil perkahwinan itu, Bell yang kini menunggu tayangan filem terbaru lakonannya, ‘Antoo Fighter’ dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Nasfazril Nasrizal, tujuh bulan.

http://www.hmetro.com.my/Tuesday/BeritaUtama/20081125085012/Article

AS lulus pelan selamatkan Citigroup

WASHINGTON - Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan ia akan menyuntik tambahan AS$20 bilion (RM72 bilion) bagi memastikan gergasi perbankan Citigroup daripada muflis.

Citigroup sebelum ini mengumumkan ia terpaksa memberhentikan 53,000 pekerja kerana krisis ekonomi di negara tersebut.

Pakej AS$20 bilion (RM72 bilion) itu merupakan tambahan kepada AS$25 bilion (RM90 bilion) yang sebelum ini telah disuntik ke dalam kumpulan itu pada awal tahun ini.

Kebimbangan mula memuncak terhadap nasib syarikat berusia 196 tahun itu setelah Citigroup pada minggu lalu mendedahkan bahawa ia semakin tenat manakala sahamnya diniaga di bawah AS$4 sesaham (RM14.44) .

Langkah itu diumumkan lewat kelmarin oleh Jabatan Perbendaharaan, Simpanan Persekutuan dan Federal Deposit Insurance Corp.

Pelan itu bertujuan membantu Citigroup kerana bimbang sekiranya institusi kewangan gergasi tersebut runtuh maka ia mungkin mencetuskan sistem kewangan dunia dan ekonomi AS huru-hara.

Langkah itu juga meningkatkan pasaran saham di Wall Street dan juga pasaran saham di Britain serta Jerman yang meningkat lebih empat peratus.

"Sekiranya kerajaan tidak membantu keadaan mungkin menjadi lebih teruk lagi," kata seorang pakar ekonomi United Overseas Bank di Singapura, Teck-Kin Suan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm

Selesai luar mahkamah


MICHAEL JACKSON (kanan) bergambar bersama Sheik Abdulla bin Hamad Al Khalifa di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Ogos 2005.

--------------------------------------------------------------------------------

LONDON - Barisan peguam Raja Pop, Michael Jackson mencapai penyelesaian di luar mahkamah berhubung saman yang dikemukakan anak kedua raja Bahrain, Sheik Abdulla bin Hamad Al Khalifa, kata seorang jurucakap penyanyi itu kelmarin.

Jurucakap Michael, Celena Aponte berkata, penyelesaian di luar mahkamah tersebut bermakna penyanyi itu tidak perlu mengemukakan bukti di Mahkamah Tinggi London seperti yang dijadualkan semalam.

Berpuluh-puluh wartawan dan peminat memenuhi mahkamah bagi menanti kemunculan penyanyi yang popular dengan lagu Beat It tersebut.

Aponte berkata, Michael dimaklumkan berhubung penyelesaian itu ketika dia sedang bersiap untuk menaiki penerbangan ke London.

"Michael dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanannya ke London kerana kedua-dua pihak berjaya memeterai satu penyelesaian secara prinsip.

"Oleh itu, Michael tidak akan hadir ke mahkamah," jelasnya.

Sheik Abdulla sebelum ini menyaman Michael sebanyak AS$7 juta (RM25.40 juta) selepas mendakwa penyanyi itu melanggar satu kontrak.

Beliau mendakwa dia memberikan wang itu sebagai pendahuluan sebelum merancang beberapa usaha sama dengan penyanyi tersebut.

Sheik Abdulla berkata, beliau memberikan wang itu bagi membantu Michael menyelesaikan masalah kewangan ketika penyanyi itu berhadapan tuduhan mencabul seorang kanak-kanak pada 2005. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Guru cabul pelajar

KUANTAN - Dicabul guru ketika mahu bertanyakan masalah pelajaran yang tidak difahami.

Itulah yang terjadi ke atas seorang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kejadian di Sekolah Menengah Jengka, Maran Sabtu lalu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Supritendan Mohd. Haris Daud, semasa kejadian kira-kira pukul 5 petang, mangsa dikatakan telah pergi berjumpa guru lelaki berusia 50-an terbabit bagi bertanyakan masalah pelajaran yang sukar difahaminya.

"Ketika cuba memberi penerangan kepada pelajar perempuan berusia 17 tahun itu, suspek dipercayai telah meletakkan tangannya di atas paha mangsa.

"Melihatkan mangsa tidak melawan, dia bertindak lebih berani dengan meramas tangannya pula,"
katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam.

Rentetan malu dengan kejadian itu, kata Mohd. Haris, mangsa kemudiannya membuat laporan polis.

Mangsa turut mengakui sudah beberapa kali dicabul oleh guru yang sama sebelum ini tetapi bertindak mendiamkan diri.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_15.htm

Jangan kunjungi premis yoga - MAIJ

JOHOR BAHRU - Tindakan tegas akan dikenakan kepada orang Islam yang mengunjungi premis yoga di negeri ini.

Itulah amaran keras yang diberikan oleh Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) kepada umat Islam di negeri ini agar tidak mengunjungi premis yoga kerana ia telah diisytiharkan haram dan menyalahi agama Islam.

Pengarah MAIJ, Datuk Zalil Baron berkata, jika pihaknya mendapat maklumat berhubung ada orang Islam yang mengunjungi premis berkenaan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

"Kita menerusi unit penguat kuasa akan memantau premis-premis tersebut dan jika didapati ada umat Islam mengunjungi premsi tersebut kita akan bertindak," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) yang mengharamkan yoga baru-baru ini berikutan terdapat tiga amalannya yang bertentangan dengan syariat Islam.

Menurut Zalil, antara tindakan yang akan diambil ke atas mereka yang berkunjung ke pusat itu ialah memberi nasihat dan jika terus berdegil tindakan undang-undang akan diambil termasuk mengheret mereka ke Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) turut mengingatkan pusat-pusat yoga di bandar raya ini supaya mematuhi peraturan yang disyaratkan termasuk mengelakkan orang Islam daripada menjadi pelanggan.

Datuk Bandar, Mohd. Naim Nasir berkata, amaran itu bagi mengelakkan lesen perniagaan mereka ditarik balik.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

JAIP tarik balik kenyataan yoga haram


SALAH satu teknik senaman yoga yang perlukan tumpuan pemikiran dan penafasan. - Gambar hiasan


IPOH - Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury semalam berkata, fatwa mengenai pengharaman senaman yoga untuk umat Islam belum dapat diterima pakai di negeri itu sebelum ia diperkenankan oleh Sultan Perak.

Bercakap kepada Bernama, bagi menarik balik kenyataannya kepada sebuah akhbar semalam bahawa Perak akan menerima pakai keputusan yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu, beliau berkata selaku Pengarah JAIP, adalah di luar bidang kuasa dan budi bicara beliau untuk membuat apa-apa pendirian berhubung sesuatu perkara yang menyentuh soal berkaitan agama Islam yang terletak di bawah bidang kuasa Sultan Perak.

"Fatwa tersebut belum dapat diterima pakai di negeri Perak kerana ia belum dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan dimaklumkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak untuk selanjutnya mendapat perkenan daripada Sultan Perak," katanya.

Sebuah akhbar kelmarin menyiarkan kenyataan Jamry bahawa Perak akan mematuhi ketetapan yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tersebut.

Jamry, yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, dilaporkan berkata satu mesyuarat akan diadakan pada 9 Disember ini bagi mengumumkan secara rasmi mengenai perkara berkenaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Bell-Farhana sah cerai - Mengaku buat silap, cadang rujuk semula

Oleh NURUL IZZA ROSLY
izza.rosly@kosmo.com.my



NASRIZAL ketika bercakap kepada wartawan semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - "Aku ceraikan kau... TQ... selamat berjaya."
Itulah antara ayat dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar dramatis terkenal, Nasrizal Ngasri, 28, kepada isterinya, Nur Farhana Mahamad Fauri (gambar), 26, pada 22 Oktober lalu kira-kira pukul 3 petang.

Akibatnya, lafaz cerai yang dilakukan melalui SMS itu disahkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin dan jatuh talak satu kali pertama.

Keputusan itu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan selepas mendengar penjelasan Nasrizal yang lebih dikenali dengan nama Bell dan Nur Farhana atau Syasya.

Menurut Syasya, Bell telah menghantar SMS tersebut kepadanya pada 22 Oktober lalu dan pada ketika itu dia berada di rumah manakala Bell di lokasi penggambaran.

Ketika ditanya hakim punca SMS itu dihantar, Bell memberitahu, semuanya salah faham kerana ada orang memberitahu Nur Farhana ternampak Bell di suatu tempat dan bukannya menjalani penggambaran.


--------------------------------------------------------------------------------

Rentetan daripada itu, kedua-dua pasangan itu bergaduh melalui SMS sehinggalah Bell mengirimkan SMS cerai.

Nur Farhana ketika ditanya hakim apa yang Bell lakukan selepas itu, katanya, Bell menghubunginya dan bertanya sama ada menerima kiriman SMS itu atau tidak dan Syasya menjawab, ada.

Bell kemudian memberitahu kemungkinan orang yang dilihat itu adalah pelanduk dua serupa dengan berkata: "Banyak sangat kembar saya."

Sementara itu di luar mahkamah, Bell yang tertidur ketika hakim memanggil kesnya sehingga dikejutkan oleh Syasya memberitahu pemberita, dia mengakui kesilapannya itu dan ia merupakan pengalaman dan pengajaran buat dirinya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1125&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...