Wednesday, November 17, 2010

Hidup baru selepas susut 112kg


SYANIE memandu sendiri Toyota Innova sehingga selamat sampai ke kampungnya di Kota Bharu semalam.


KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun sekadar menjadi penumpang disebabkan masalah obesiti, pelakon Syaniza Hisham kini sudah boleh bergaya dengan memandu kenderaan sendiri.

Syaniza yang lebih dikenali sebagai Syanie, 36, menjalani pembedahan pintasan perut di Pusat Perubatan Pakar Damansara di sini pada Mei tahun lalu sehingga berjaya menurunkan berat badannya daripada 240 kilogram (kg) kepada 128kg.

Bagi Syanie, keputusan menjalani pembedahan tersebut adalah tindakan yang memberi kesan paling besar dan cukup bermakna kepada hidupnya setakat ini.

“Dahulu saya selalu semput dan susah untuk bergerak malah kerap kurang tidur kerana oksigen tidak sampai ke otak.

“Alhamdulillah, sekarang saya dapat buat apa sahaja yang saya suka termasuk memandu kereta kesayangan saya,“ katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Katanya, pembedahan yang menelan belanja RM40,000 itu bukan untuk mendapatkan bentuk badan yang menarik tetapi menjadikan tubuhnya lebih sihat dan mengelak risiko penyakit yang selalu dikaitkan dengan obesiti.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Kerani bawa isteri orang mati ditikam


ZULFA dicari pihak polis bagi membantu siasatan pembunuhan teman lelakinya.


SHAH ALAM - Seorang kerani sebuah pusat pengajian tinggi di sini yang koma selama dua hari akibat diserang dua lelaki meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

Mangsa, Rashidi Mohd. Saman, 27, yang masih bujang dipercayai diserang ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar teman wanitanya, Zulfa Ismail atau Puteri, 20, yang tinggal di Padang Jawa pada pukul 10.17 malam, Ahad lalu.

Akibat serangan dua lelaki menggunakan pisau jenis celorek, mangsa dilaporkan mengalami kecederaan teruk di kepala, dagu dan belakang.

Keadaannya dilaporkan kritikal apabila lengan tangan kirinya hampir putus dan tali perutnya terburai.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin berkata, polis tidak menolak kejadian bermotif dendam berikutan teman wanita mangsa yang berasal dari Malang, Indonesia merupakan isteri orang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1117&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Gadis lari nyaris dirogol

KUALA LUMPUR: ”Saya minta maaf mak, saya menyesal dan janji tidak akan buat lagi,” kata Wan Nur Hakimah Wan Manah, 13 yang lari daripada rumah bersama dua rakannya di Flat Danau Kota Off Jalan Genting Klang, di sini, minggu lalu.

Lebih menjadi sesalan bagi remaja itu apabila dia dan seorang rakannya nyaris menjadi mangsa rogol seorang lelaki yang kononnya ingin membantu membawanya pulang ke rumah.


Menurutnya, perasaan kesal kerana menurut kehendak hati yang mahu mencari ketenangan dan kebebasan dengan lari daripada rumah menghantui dirinya apatah lagi bila mengenangkan dia terpaksa mengikat perut kerana tidak mempunyai wang untuk membeli makanan.

“Saya dan rakan terpaksa meminta wang daripada orang yang kami temui kerana ingin membeli makanan. Ketika itu baru saya tahu betapa susahnya bila berjauhan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.


Akhbar ini Ahad lalu melaporkan kehilangan Nur Hakimah dan rakannya yang dikenali sebagai Amylia,16 dan adiknya, Adila, 13 dan kebimbangan keluarga mengenai keselamatan mereka.


Nur Hakimah berkata, mereka merayau-rayau di pusat beli-belah dan pada jam 3 pagi mereka didatangi seorang lelaki ketika berada berhampiran Hentian Puduraya yang mahu menghantar mereka pulang ke rumah.

“Tetapi, kerana dia bermotosikal, lelaki itu memaklumkan akan membawa saya dan Amylia dahulu sebelum berpatah balik mengambil Adila kemudian.


“Bagaimanapun, sebaik memasuki rumah berkenaan, lelaki itu cuba merogol kami dan dalam keadaan kelam-kabut itu, kami berjaya melarikan diri,” katanya.

Namun, remaja terbabit bernasib baik apabila bertemu lelaki yang kemudian membawa mereka ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Sementara itu, ibunya, Nor Hazita Shaari, 44, melahirkan rasa syukur kerana doanya untuk menyambut Aidiladha bersama anaknya itu dimakbulkan Tuhan.


Katanya, sejak kehilangan Nur Hakimah, mereka sekeluarga bimbang keselamatannya hingga penyakit batuk kering yang dihadapinya semakin teruk.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gadislarinyarisdirogol/Article/index_html


Jais serbu bilik asmara

Oleh Shamsul Munir Safini
shamsulmunri@hmetro.com.my

TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
TAHAN...gadis yang ditahan bersama lelaki bukan Islam di biliknya, kelmarin.
BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.
BUKA...penguat kuasa MPSJ memecahkan pintu sebuah rumah dalam operasi, kelmarin.

SUBANG: Seorang gadis berusia 22 tahun ditahan bersekedudukan dengan seorang lelaki bukan Islam di sebuah bilik kecil yang disewanya di Kawasan Perindustrian Puchong Utama, di sini, malam kelmarin.

Gadis itu dicekup penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ketika berbaring bersama pasangannya dalam bilik berkenaan.


Dalam operasi bersepadu bermula kira-kira jam 11 malam itu, dua lagi wanita yang bersekedudukan dengan pasangan bukan Islam ditahan dalam bilik berasingan di kawasan sama.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Adnan Md Ikhsan ketika ditemui berkata, semua wanita itu dipercayai sudah dua tahun menginap di bilik berkenaan.


Katanya, mereka tinggal di bilik kecil yang diubah suai secara haram dari sebuah unit pangsapuri. “Setiap unit pangsapuri empat tingkat di Kawasan Perindustrian Puchong Utama itu memiliki tiga bilik tidur, namun pemiliknya mengubahsuai dengan meletakkan papan penghadang menjadikannya 10 bilik kecil.


“Kami mengesan taktik ini selepas mendapat maklumat jiran dan hasil pemeriksaan, tiga rumah di kawasan itu mengubah suai kediaman berkenaan kepada 10 bilik kecil setiap unit,” katanya.

Beliau berkata, tindakan pemilik rumah terbabit menyalahi Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda maksimum RM25,000.


Menurutnya, tindakan pemilik terbabit juga membahayakan nyawa penyewa di bilik kecil berkenaan sekiranya berlaku kebakaran atau struktur papan berkenaan runtuh.

Adnan berkata, penyewa hanya membayar RM150 sehingga RM170 sebulan dan ia tidak sepadan dengan risiko yang dihadapi mereka.


Katanya, semua bilik berkenaan akan diruntuhkan segera dan pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa tempatan jika ada unit kediaman di sekitar mereka yang diubah suai dengan cara sama.


Menurutnya, tiga gadis yang dicekup itu akan diserahkan kepada Jais untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Jaisserbubilikasmara/Article/index_html

Lupus hantaran

Lupus hantaran

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my


MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.
MENGAKU SALAH...pasangan warga Indonesia Nordin (kanan) dan Uswatun (dua dari kiri) diiringi penguat kuasa Jawi selepas perbicaraan semalam.

KUALA LUMPUR: Dua warga Indonesia yang terbabit dalam upacara pernikahan menggunakan sindiket diketuai ‘Pak Hashim’ empat hari lalu, terpaksa melupakan seketika hasrat mereka untuk bergelar suami isteri selepas kedua-duanya didenda RM800 setiap seorang atas tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar.

Hakim Syarie Khairul Azwadi Mohamed Noor menjatuhkan hukuman itu terhadap Uswatun dan Nurdin (umur tidak dinyatakan) di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam, selepas mahkamah menerima pengakuan salah mereka.


Bagaimanapun, kedua-dua mereka hanya perlu membayar RM150 setiap seorang kerana mereka dibenarkan menambah daripada wang jaminan yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini iaitu masing-masing RM650.

Kedua-dua tertuduh yang hanya menundukkan muka turut berdepan hukuman penjara 12 hari sekiranya mereka gagal membayar denda seperti yang diperintahkan mahkamah.


Mahkamah juga memerintahkan barangan hantaran milik pasangan itu dilupuskan.


Mengikut pertuduhan, mereka di dakwa melakukan di sebuah rumah di rumah No 51, Lot 2242, Jalan Kubur, Kampung Pantai Dalam dekat sini, jam 7.45 malam pada 13 November 2010.

Pasangan itu masing-masing didakwa mengikut Seksyen 39 dan Seksyen 40 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 40 (2) yang boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Dalam prosiding semalam, kedua-dua tertuduh memohon supaya hukuman yang dikenakan kepada mereka diringankan kerana masih menanggung keluarga. Bagaimanapun, Pendakwa Syarie Mohd Sohibul Kahfi daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana mereka bukan saja melakukan kesalahan berdasarkan undang malah turut melanggar hukum syarak.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Khairul Azwadi sempat menasihati kedua-dua tertuduh supaya tidak mengulangi perbuatan mereka dan mengikut prosedur serta undang-undang yang ditetapkan di negara ini.


“Perkahwinan adalah sesuatu digalakkan dalam Islam untuk menambahkan bilangan zuriat dan generasi yang akan mengembangkan Islam.


“Namun, perkahwinan itu perlu mengikut prosedur terutama hukum syarak. Jika kamu atau mana-mana pihak mempunyai masalah mengenai wali, kamu boleh merujuk kepada pihak bertanggungjawab untuk menyelesaikan perkara itu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Lupushantaran/Article

Atuk tembak mati perompak remaja

Atuk tembak mati perompak remaja

Oleh Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my

SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.
SIASAT...anggota Unit Forensik polis menjalankan siasatan di rumah mangsa, semalam.

PETALING JAYA: Cemas melihat dua cucunya diacu dengan parang, seorang datuk bertindak pantas mengambil senapang patah sebelum melepaskan tembakan ke arah seorang perompak berusia 17 tahun yang menceroboh rumah teres dua tingkat milik mereka di Sungai Way, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, lelaki berusia 70 tahun itu yang juga bekas mandur estet berada di tingkat atas rumahnya apabila terdengar bunyi bising di tingkat bawah sebelum terlihat seorang remaja lelaki mengacukan parang kepada pembantu rumah serta dua cucunya berusia lapan dan 10 tahun.


Warga emas itu masuk ke biliknya untuk mengambil selaras senapang patah dan ketika bergegas turun dia terserempak suspek yang pada masa sama menaiki tangga untuk ke tingkat atas.

Dengan pantas, dia melepaskan dua das tembakan dan satu daripadanya mengenai rusuk remaja itu sebelum rebah di atas tangga.


Timbalan Ketua Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata perompak remaja yang terkena tembakan itu mati ketika mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Menurutnya, ketika kejadian ada lima penghuni dalam rumah itu iaitu lelaki warga emas berkenaan, anak lelaki dan dua cucunya serta seorang pembantu rumah.

“Siasatan awal mendapati lima suspek terbabit kes itu. Tiga daripada mereka menunggu dalam kereta sementara seorang berkawal di pintu rumah. Hanya remaja yang mati ditembak itu masuk ke rumah.


“Sebaik memasuki rumah, remaja itu mengacu parang kepada pembantu rumah serta mengugut untuk membunuh dua kanak-kanak yang ketika itu berada di tingkat bawah sekiranya bapa kanak-kanak terbabit enggan memberi kerjasama menyerahkan barang berharga kepadanya,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Khaw berkata, selepas perompak remaja itu ditembak pemilik rumah menggunakan senapang patah miliknya, rakannya yang berkawal di pintu rumah segera lari masuk ke dalam kereta bersama tiga rakan yang lain sebelum memecut meninggalkan tempat kejadian.


Sehubungan itu, katanya, polis kini giat memburu keempat-empat suspek terbabit yang dipercayai berusia antara 17 dan 20 tahun.


“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata,” katanya.


Sementara itu, ibu suspek yang ditembak meraung ketika datang menuntut mayat anak sulungnya itu di PPUM di sini, petang semalam.


Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu dia tidak menyangka anaknya terbabit kegiatan samun berkumpulan berikutan selama ini dia diberitahu anaknya bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel kenderaan.


Menurutnya, dia cuba menghubungi anaknya kira-kira jam 11 pagi semalam, namun panggilannya tidak dijawab menyebabkan dia menghantar SMS bagi mengetahui keadaan anaknya itu.


“Saya amat terkejut apabila polis datang ke rumah dan memberitahu anak saya mati ditembak kerana melakukan rompakan.


“Saya sedih kerana suami saya masih meringkuk di penjara selepas terbabit kes pukul dan kini anak saya terbabit kes jenayah,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Atuktembakmatiperompakremaja/Article

Zaid sah tinggalkan PKR

Zaid sah tinggalkan PKR

KUALA LUMPUR: Bekas ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan, di sini, semalam, beliau akan meninggalkan parti itu.

Teka-teki mengenai pengundurannya daripada parti itu terjawab apabila beliau membuat penjelasan menerusi blognya.

Dalam pos terbarunya, Zaid menjelaskan pengundurannya daripada parti itu akan dianggap selesai, sebaik saja beliau menyerahkan surat rasmi kepada sekretariat parti.

“Saya merujuk kepada tajuk akhbar berbahasa Inggeris hari ini (semalam). Adalah benar saya akan meninggalkan parti itu tetapi saya belum menyerahkan surat pengunduran rasmi daripada parti.

“Semuanya akan dijelaskan menerusi siaran akhbar Jumaat ini,” katanya.


Akhbar itu melaporkan bahawa Zaid, yang menarik diri daripada bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR, memutuskan keluar parti, atas sebab tidak dapat menerima perkembangan dalam parti itu akhir-akhir ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mengumumkan pada 8 November lalu bahawa beliau menarik diri dari bertanding untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dan meletakkan semua jawatannya dalam parti.

Zaid berkata dalam blognya bahawa kepemimpinan PKR tidak berusaha mengatasi manipulasi dan penyelewengan dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung walaupun isu berkenaan beberapa kali ditimbulkan.

Sehari selepas pengumuman itu, Zaid mendesak penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan naib presiden, Mohamed Azmin Ali meletakkan jawatan kerana beliau mendakwa kedua-dua mereka adalah punca segala masalah dalam parti.

Zaid kini dipercayai berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi untuk ulasan lanjut.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata parti itu menghormati keputusan Zaid dan hasratnya menubuhkan sebuah parti politik.
Saifuddin berkata, walaupun PKR kehilangan seorang pejuang reformis, keputusan Zaid tidak akan memberikan impak negatif kepada parti itu.

“Saya doakan dia (Zaid) ‘best of luck’. Kami masih belum lagi terima surat keluar parti daripada beliau,” kata Saifuddin yang enggan mengulas lanjut perkara itu kepada pemberita di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.

Ditanya mengenai penubuhan sebuah ‘parti Keadilan baru’ oleh Zaid, Saifuddin menyifatkan ia perkembangan baik kepada politik negara.

“Ia meriah. Tetapi yang saya tahu, sudah ada parti politik baru ditubuhkan dan ada pemilihan untuk jawatan dalam parti itu...saya tahu Zaid sudahpun meletakkan orang-orangnya dalam parti baru itu,” katanya. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/articles/ZaidsahtinggalkanPKR/Article

Sedia fakta pertuduhan

Sedia fakta pertuduhan

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad

PUTRAJAYA: Selepas mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Syariah pada 3 November lalu, penyanyi dan pelakon Aman Shah yang dituduh berkhalwat dengan janda beranak dua di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, pada 26 September lalu, bakal dibicarakan pada 12 Januari depan.

Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) berkata, beliau yakin pihak pendakwaan bersedia mengemukakan fakta berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap artis lingkungan 50-an terbabit.

Menurutnya, artis terbabit mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 dibacakan terhadapnya.

“Mahkamah menetapkan 12 Januari bagi membolehkan perbicaraan dilakukan dan sudah pasti artis terbabit diminta membawa peguam untuk mewakilinya nanti,” katanya, semalam.

Muka depan Harian Metro 27 September lalu melaporkan mengenai penahanan seorang penyanyi veteran era 1980 dan awal 1990-an di rumah ‘kekasih gelapnya’ di kuarters kerajaan di Presint 15, di sini, selepas didapati berdua-duaan di rumah terbabit.


Artis terbabit dikatakan memasuki rumah kekasihnya yang juga kakitangan kerajaan kira-kira jam 10 malam sebelum sepasukan anggota penguat kuasa Jawi menyerbu rumah terbabit selepas mendapat aduan berlakunya perbuatan khalwat.

Walaupun memberikan alasan mengunjungi wanita beranak dua itu sempena Aidilfitri, alasan berkenaan tidak dipedulikan penguat kuasa Jawi, malah artis terbabit mengakui dia bukan mahram dengan wanita terbabit.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, tidak wujud sikap pilih kasih terhadap artis terbabit walaupun hanya dihadapkan ke mahkamah selepas hampir 40 hari dicekup berkhalwat dengan janda terbabit.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap mereka yang menghadapi pertuduhan syariah dijalankan tanpa mengambil kira latar belakang tertuduh.

Menurutnya, ia termasuk artis terbabit yang tetap dihadapkan ke mahkamah walaupun mengambil sedikit masa bagi membawanya ke mahkamah.

“Sebenarnya, masalah pilih kasih tidak berbangkit walaupun kes itu mengambil masa untuk dibawa ke mahkamah dan ia mungkin disebabkan beberapa masalah teknikal yang perlu diselesaikan, terutama apabila ia membabitkan pertuduhan jenayah syariah.

“Apa yang pasti, artis terbabit sudah dituduh di mahkamah syariah atas pertuduhan khalwat dengan janda beranak dua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sama ada artis terbabit mengaku salah atau tidak, ia adalah haknya mempertahankan diri di mahkamah.

Menurutnya, apabila mengaku tidak bersalah mahkamah akan menetapkan tarikh bagi membolehkan artis terbabit membawa peguam bagi menghadapi perbicaraan di mahkamah.

Artis terbabit didakwa mengikut Seksyen 27, Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997 kerana melakukan khalwat dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sediafaktapertuduhan/Article

Siram minyak hitam

Siram minyak hitam

Oleh Salman Hamat

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang wanita memutuskan hubungan cinta dengan kekasihnya bertukar mimpi ngeri apabila dia bukan saja dibelasah di sebuah rumah di Kulai, malah turut dimandikan dengan minyak hitam oleh teman lelakinya itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari Ahad lalu, lelaki terbabit hilang pertimbangan selepas mangsa yang tawar hati dengannya menyatakan hasrat berkenaan.

Berdasarkan laporan polis, mangsa dibelasah menggunakan kayu di belakang badannya selain disepak beberapa kali sehingga tersungkur.

Tanpa menghiraukan rintihan dan rayuan mangsa supaya tidak diperlakukan sedemikian, suspek yang berusia 18 tahun memijak badan gadis berkenaan sambil menarik rambutnya.

Suspek menyimbah minyak hitam ke atas mangsa selain melumur cecair terbabit di mukanya.


Mangsa cuba melarikan diri, tetapi gagal dan akibatnya dia dihumban ke dalam rumah dan ‘dihukum’ lebih teruk lagi oleh suspek.

Dalam laporannya, mangsa mengatakan kejadian itu bukan pertama kali menimpa dirinya, malah suspek kerap bertindak ganas setiap kali mereka bertengkar.

Mangsa mendakwa suspek turut mengugut hendak menikamnya jika membuat laporan polis berkaitan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mangsa, kelmarin.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan kami mengesan lokasi remaja lelaki terbabit untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan lokasi suspek diminta menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Siramminyakhitam/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...