Friday, August 28, 2009

Jangan gopoh laksana hukuman sebat - Presiden PAS

Zulkifli Sulong
Wed | Aug 26, 09 | 7:05:40 pm MYT

KUALA LUMPUR, 26 Ogos: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno sehingga memberi gambaran salah terhadap syariat Islam.

"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.

"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.

Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.

Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.

Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.

"Apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara sekarang adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam," katanya.

ImageMengikut Islam sebatan ini, perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.

Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.

Sebatan juga, menurut beliau, tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.

"Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.

"Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Ianya memerlukan pindaan supaya proses undang-undang Islam yang adil dapat dilaksanakan," katanya.

Bagi beliau, hukuman yang dirujuk sebagai pelaksanaan hukum Islam di bawah Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama (Pindaan) 1987 sebenarnya masih tidak mengikut prinsip syarat hukum Islam yang sebenar.

Di bawah hukum Islam, kesalahan meminum arak adalah diletakkan di bawah hukum hudud, iaitu satu hukum yang dinaskan mengikut Al-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

"Apabila asasnya adalah nas, maka ianya adalah aspek agama Islam yang wajib untuk dilaksanakan kepada penganutnya � kerana ianya berkait dengan tanggungjawab antara manusia dengan Tuhan, antara dosa pahala serta pembalasan di hari akhirat," katanya.

Jika bersandarkan kepada nas, maka hukuman ke atas peminum arak untuk penganut Islam setelah sabit kesalahan ialah sebatan antara 40 � 80 rotan jumlahnya, kata beliau.

Haramnya arak ini, katanya, adalah tidak mengira tempat � samada restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.

Bagi beliau juga, menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya � adalah seumpama menghadapi nyamuk aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi tempat pembiakan nyamuk yang membawa denggi! _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22268&Itemid=1

Tidak benar tiada tukang sebat: PGSM

Tidak benar tiada tukang sebat: PGSM
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
7:16pm

Tidak benar negara ini tidak mempunyai kemahiran melaksanakan hukuman sebat seperti kehendak syariah kerana ia pernah dilaksanakan di Kelantan, kata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) hari ini.

"Pada April lalu, satu persidangan anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mendengar makluman daripada pegawai-pegawai penjara yang menyatakan bahawa mereka telah dilatih untuk melakukan hukuman sebatan ini dan bersedia sekiranya ada apa-apa hukuman dan mereka akan laksanakan," kata Presiden PGSM Mohamad Isa Abdul Ralip dalam satu sidang media.


Beliau mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kelmarin yang menyebut bahawa hukuman ke atas Kartika Sari Dewi Shukarno tidak dapat dijalankan kerana tiada jurusebat untuk menjalankan hukuman berkenaan.

Mohamad Isa menambah, kegagalan melaksanakan hukuman tersebut berpunca daripada "kelemahan" Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana enakmen syariah Pahang telah lama berkuatkuasa dan mahkamah tentu mengetahui wujudnya kepakaran itu.

"Pihak mahkamah syariah Kuantan pula mengeluarkan perintah tersebut, mereka tentu sudah tahu (ada tukang sebat). Takkanlah lepas jatuh hukuman baru nak cari tukang sebat?" katanya.

"Kita kena tengok juga enakmen pentadbiran undang-undang Islam di negeri Pahang ini sudah lama, sejak 1987 lagi, tentang sebatan dan prosedur pelaksanaan hukum sebatan ini.

"Tidakkan selama ini KDN tidak menyedari tidak ada tukang sebat. Sebab itulah kami kecewa dengan kenyataan (Hishammuddin) tersebut,"
tambahnya.

Jelasnya, hukuman sebat secara syarie pernah dijalankan di Kelantan beberapa tahun lepas di penjara Pengkalan Chepa.

PGSM yang bergabung dalam Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengadakan sidang akhbar khas di Kuala Lumpur sebagai reaksi kepada kenyataan beberapa pihak berhubung hukuman terhadap model sambilan itu.

Selain PGSM, Pembela turut disertai antaranya Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Ketika dihubungi Malaysiakini selepas itu, seorang kakitangan Jabatan Penjara Kelantan mengesahkan sebatan secara syarie pernah dijalankan di penjara di negeri itu.

Beliau, yang enggan dikenali, bagaimanapun tidak dapat menyatakan tahun ia dilaksanakan tetapi yakin ia melibatkan seorang pesalah lelaki.


"Kalau ikut peraturan kita (peringkat persekutuan), memang tidak boleh sebat orang perempuan. Tapi kalau mahkamah syariah kata boleh, bolehlah," katanya lagi.

Ditanya sama ada penjara menyediakan kakitangan khas untuk menyebat pesalah wanita, sumber itu berkata: "Setakat ini kita tidak ada tukang sebat untuk pesalah wanita."

http://www1.malaysiakini.com/news/111577

Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah'

Gantung sebat Kartika 'langgar prosedur mahkamah'
Salhan K Ahmad
Ogos 27, 09
5:47pm

Tindakan ketua hakim syarie Pahang menggantung keputusan menyebat Kartika Sari Dewi Shukarno melanggar prosedur mahkamah syariah negeri berkenaan, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Timbalan presidennya Muhammad Burok berkata, campur tangan daripada pihak yang tidak berkaitan dalam kes berkenaan juga menggugat pentadbiran keadilan kes tersebut.


"Dengan hormatnya saya bertanya atas kapasiti apa ketua hakim Pahang menggantung perintah mahkamah tinggi (syariah)?

"Adakah dia duduk di situ sebagai ahli mahkamah rayuan (syariah). Mahkamah rayuan belum bersidang lagi, belum ada semakan,"
kata Muhammad dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

"Jadi dia beri perintah itu atas kapasiti apa? Ketua hakim? Tapi yang berhak untuk menggantung keputusan ini adalah mahkamah rayuan, yang mana ketua hakim boleh menjadi panel dalam mahkamah rayuan ini."

Jelasnya lagi, mahkamah yang berhak untuk membuat keputusan lanjut - termasuk menangguhkan hukuman - adalah mahkamah rayuan, dan bukannya ketua hakim.

"Jadi keputusannya nanti adalah keputusan mahkamah rayuan, bukan keputusan ketua hakim," katanya.

Malaysiakini semalam melaporkan panel hakim rayuan syariah "masih belum dilantik" di Pahang.

"Kalau semua tahu tentang prosedur ini, maka kemelut ini tidak berlaku sekarang," jelas Muhammad lagi.

Tambahnya, walaupun tempoh rayuan telah tamat, Kartika masih boleh memohon untuk melanjutkan tempoh rayuan.

"Ada prosedur untuk menyemak semula hukum itu kerana waktu rayuan sudah tamat. Jadi ada pilihan, apabila rayuan sudah tamat, dia boleh ke mahkamah untuk melanjutkan masa merayu," katanya.

Tambahnya, kedua-dua pihak pendakwaan dan pesalah juga boleh memohon untuk menyemak keputusan berkenaan, manakala hakim juga boleh menyemak keputusannya sendiri.

http://www1.malaysiakini.com/news/111562
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...