Monday, June 28, 2010

Mustapha Maarof dikenang


MUSTAFA MAAROF menerima Anugerah Tokoh Perfileman Finas daripada Joseph Salang sambil diperhatikan Mohd. Mahyidin Mustakim.


BAKAT yang dimiliki Datuk Mustapha Maarof sememangnya tidak dapat disangkal lagi oleh semua penggiat seni tanah air sejak dia menjerumuskan diri dalam industri seni kira setengah abad yang lalu.

Pemilik nama sebenar Mustapha Azhari Maarof yang kini berusia 75 tahun itu telah dipilih untuk menerima Anugerah Tokoh Perfileman Finas pada tahun ini.

Anugerah yang disampaikan pada Malam Penghargaan Industri Filem 2010 itu berlangsung di Dataran Karyawan Finas, Hulu Kelang, Selangor baru-baru ini.

Menurut Mustapha, anugerah yang diterima itu akan membuatkan dirinya lebih bertanggungjawab demi memartabatkan industri. Beliau memberitahu, impak daripada anugerah tersebut, beliau bakal memikul jawatan-jawatan yang diamanahkan dengan lebih baik lagi selepas ini.


MUSTAPHA MAAROF


"Saya tidak pernah mimpi pun untuk mendapatkan anugerah seumpama ini. Saya mahu ucapkan jutaan terima kasih kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim kerana mewujudkan Hari Seniman yang jatuh pada 29 Mei setiap tahun," katanya ketika ditemui selepas usai majlis.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang. Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim. - AFIFI HAFIZ MOHD. NOR

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0628&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_03.htm

Pelakon komedi S Shamsudin cedera jatuh katil

2010/06/28

SINGAPURA: Pelakon komedi terkenal filem Melayu S Shamsudin cedera di tulang pinggul selepas terjatuh dari katil sewaktu tidur di rumah anaknya di sini pagi semalam.

Beliau dihantar ke sebuah hospital di sini selepas kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 3 pagi Ahad kata anaknya Noredah Shamsudin kepada Bernama hari ini.


Noredah berkata, beliau perlu memaklumkan mengenai perkara itu kerana keluarganya menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang mendapat khabar angin bahawa bapanya meninggal dunia.


"Ayah saya mengalami retak di tulang pinggul, dan kini doktor sedang membuat pemeriksaan ke atasnya," katanya yang kesal dan sedih dengan khabar angin itu.


Shamsudin, 81, adalah seniman komedi seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Allahyarham A R Tompel dan Datuk Aziz Satar, dan terkenal dalam filem siri ''Bujang Lapok''. Sabtu lalu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menziarah Shamsudin yang uzur di rumah anak bongsunya di flat di Bukit Batok di sini.


Ketika kunjungan Rais, Shamsudin kelihatan kurus dan kurang bermaya, dan menurut isteri Shamsudin, Puteh Esmoon, suaminya demam sejak tiga hari lepas.


Dalam pertemuan dengan Rais, Shamsudin banyak mendiamkan diri dan hanya menjawab sepatah dua apabila ditanya Rais mengenai perkembangan dirinya.


Noredah berkata, sikap ayahnya kini sudah berubah daripada seorang yang periang dan suka bercakap tanpa henti apabila berjumpa dengan seseorang kepada seorang yang amat pendiam.


Noredah berharap orang ramai mendoakan agar bapanya cepat sembuh kerana keluarganya bimbang Shamsudin mungkin akan sukar berjalan lagi selepas kejadian ini.-Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PelakonkomediSShamsudincederajatuhkatil/Article

S. Shamsudin Kritikal Selepas Jatuh Bilik Air

Published: Isnin Jun 28, 2010 MYT 11:38:00 AM
Updated: Isnin Jun 28, 2010 MYT 1:35:36 PM

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim bergambar kenangan bersama keluarga pelakon komedi terkenal filem Melayu S. Shamsudin (duduk, dua kiri) ketika berkunjung ke rumah pelakon komedi itu di Singapura Sabtu lalu. Turut hadir rakan seniman pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Datuk Aziz Satar (berdiri, dua kiri). - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Pelawak veteran terkenal S. Shamsudin, 81, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alexandra di sini hari ini selepas terjatuh di bilik air pada malam Sabtu lalu.

Ketika mStar Online menghubungi rakan baiknya, pelawak veteran tersohor Datuk Aziz Sattar, dia berkata Shamsudin terjatuh daripada bilik air sehingga menyebabkan tulangnya retak.

“Waktu dia (Shamsudin) jatuh tulang dia dah retak. Lagipun, faktor usianya juga menyebabkan dia kritikal.

“Anaknya juga beritahu ayahnya itu akan dibawa ke Unit Rawatan Rapi (ICU),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Aziz, dia baru sahaja menziarahi sahabatnya itu bersama-sama Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim, pelakon Datuk Mustafa Maarof dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Mohd. Mahyidin Mustakim di rumah anak bongsunya di flat Bukit Batok, Singapura pada Sabtu lalu.

Rais menyampaikan sumbangan RM10,000 kepada Shamsudin daripada dana bantuan untuk seniman yang dikendalikan oleh kementerian dan Finas.

“Saya baru sahaja melawat dia pada Sabtu lalu. Tetapi dia jatuh pada malam selepas kami datang ke rumahnya.

“Doktor ada maklumkan kepada anaknya, kalau dia tak stabil dalam satu hingga dua jam ini, pihak hospital akan minta isteri dan anak-anaknya datang ke hospital,” ujarnya lagi.

Tambahnya, dia akan memaklumkan perkembangan lanjut tentang Shamsudin selepas ini.

Shamsudin adalah pelakon komedi sepanjang zaman yang seangkatan dengan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Allahyarham A. R Tompel dan Datuk Aziz Satar. Dia telah berlakon dalam lebih 30 buah filem.

Anak kelahiran Singapura ini mula berlakon pada tahun 1948 dalam filem-filem Melayu terbitan Studio Jalan Ampas dan namanya mula memuncak setelah berlakon bersama P.Ramlee dan Aziz dalam filem Bujang Lapok.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/6/28/mstar_hiburan/20100628113637&sec=mstar_hiburan

RM300 suap 12 mulut

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
maiamalina@hmetro.com.my
2010/06/28

KUALA LUMPUR: “Biar saya turun naik bas setiap hari dan menjual kerepek ini di pejabat swasta serta kerajaan, asalkan hasil jualannya mampu memberi makan 10 anak yang masih belajar,” kata Salmah Mat Hasan, 40.

Wanita gigih itu yang terpaksa menjadi ketua keluarga menggantikan suaminya, Ibrahim Mohamad, 51, yang menderita sakit belakang, berkata hanya mampu menjual makanan ringan itu secara kecil-kecilan demi menyara kehidupan mereka sekeluarga.


Katanya, pendapatan diperoleh berdasarkan permintaan pelanggan di beberapa pejabat sekitar ibu kota mencecah RM300 sebulan selepas ditolak modal bagi mendapatkan bekalan daripada pembekal di Sungai Buloh.


“Itu sudah mencukupi buat kami 12 beranak daripada tiada pendapatan langsung. Kadangkala jumlah diperoleh tidak mencecah angka terbabit, tapi kami bersyukur dengan rezeki yang ada asalkan cukup untuk belanja harian persekolahan anak.


“Memanglah penat bila terpaksa bersusah payah menaiki pengangkutan awam untuk ambil bekalan dan hantar pula kepada pelanggan, tapi demi anak-anak, saya gagahkan juga dan suami sendiri walaupun tak mampu bekerja tetap membantu kerana ini saja punca rezeki kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu, Jalan Ipoh, di sini, semalam.


Meskipun tinggal di rumah perumahan rakyat dengan sewa bulanan RM124 sebulan, 12 beranak itu hidup dalam kedaifan dan bernasib baik apabila semua perabot di rumah disedekahkan jiran tetangga seperti kerusi dan meja makan serta katil selain pakaian.


Salmah berkata, dia tidak menolak pemberian orang yang mahu membantu kerana mengenangkan anaknya berusia tiga tahun hingga 20 tahun masih memerlukan jagaan rapi lebih-lebih lagi dua daripada mereka yang menghidap sakit kulit. “Anak kedua, Mohd Ikmal Hakimi, 17, menghidap penyakit kulit sejak berusia tujuh tahun, manakala Nurul Elyani (anak ketiga), 15, disahkan berpenyakit sama sejak dua tahun lalu dan masing-masing bergantung kepada bantuan hospital untuk rawatan percuma.


“Ibu mana tak sedih melihat anak sakit begitu, malah Mohd Ikmal Hakimi yang berdaftar sebagai orang kurang upaya (OKU) pernah dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatrik, gara-gara tertekan dengan cemuhan kawan-kawannya,” katanya.


Apapun, katanya, dia bersyukur semua anaknya masih membesar di depan mata dan berazam tidak akan sekali-kali menyerah anak kepada pihak lain semata-mata kerana kedaifan hidup.


Selain Mohd Ikmal Hakimi dan Nurul Elyani, pasangan itu mempunyai lapan lagi anak iaitu Nurul Azua Liana Zawawi (20) yang menuntut di Universiti Teknologi Mara, Seremban, Nurul Fatihah (13), Mohamad Asrie Ibrahim (11), Mohamad Aizat (9), Mohamad Hafiz (8), Muhamad Zakwan (6), Nurul Suraya (4) dan Mohamad Hafizul (3).


Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Salmah di talian 019-6402471 atau menyalurkan terus ke akaun Bank Islam 03-090-02-012062-5.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RM300suap12mulut/Article

Perlu reda, belajar berkongsi suami

2010/06/28

KUALA LUMPUR: “Setiap orang Islam termasuk isteri yang bermadu perlu ingat dunia ini tidak kekal, maka mereka perlu reda dan belajar berkongsi suami kerana pasangan hidup mereka itu boleh diambil semula Allah pada bila-bila masa.

“Selagi mereka tidak sedar perkahwinan itu adalah hadiah daripada Allah, selagi itulah masih ada isteri berhasad dengki sesama madu mereka hanya kerana berebutkan kasih sayang suami,” kata Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata, hanya mereka yang hidupnya tidak berpegang kepada keyakinan terhadap Allah, sanggup melakukan apa saja termasuk mengamalkan perbuatan syirik semata-mata memuaskan perasaan tamak dan nafsu masing-masing.


Katanya, orang yang menggunakan ilmu hitam bagi mencapai hajatnya sebenarnya tidak yakin bahawa segala keputusan berkaitan kehidupan manusia ditentukan Allah, selain menganggap diri sendiri lebih berkuasa daripada segala-galanya.


“Selain itu, suami menjadi antara punca utama jika isteri berkelakuan seumpama itu kerana ia menunjukkan suami gagal berlaku adil, selain tidak mampu membimbing isteri sehingga mereka bermusuhan.


“Ini menunjukkan suami sendiri tidak mengikut perintah Allah dan berkahwin atas dasar nafsu sehingga menzalimi diri sendiri serta isterinya,” katanya.


Dr Robiah berkata, setiap insan perlu ingat bahawa sesiapa memusnahkan hidup orang lain, mereka juga menerima nasib yang sama. Katanya, isteri perlu bersikap berdikari dari segi harapan dan jangan terlalu bergantung pada suami tetapi meletakkan harapan pada Allah kerana Tuhan menentukan segala-galanya sedangkan suami tidak kekal.


“Bagi isteri yang rasa dirinya teraniaya pula, mereka jangan cepat melatah dan membuat tuduhan melulu atau percaya kepada ramalan bomoh kerana belum sahih lagi mereka disihir madu.


“Mungkin mereka memang menghidap sejenis penyakit, jadi janganlah terlalu cepat menuding jari, sebaliknya ambil pendekatan bersihkan hati, cari rawatan sesuai dan pasrah serta tanam keyakinan yang tinggi pada Allah,”
katanya.


Metro Ahad semalam melaporkan seorang isteri muda dikenali Rafidah mendakwa dia disihir madu kerana mengalami perkara ganjil seperti badannya mengeluarkan bau busuk yang memualkan setiap kali ingin menjalin hubungan intim dengan suami.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perlureda_belajarberkongsisuami/Article

Hamba arak

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/06/28

JOHOR BAHRU: Akibat kemaruk minum arak seorang wanita awal 20-an membelanjakan separuh daripada pendapatan bulanannya RM1,500 semata-mata membeli minuman keras dan berhibur.

Walaupun hanya bekerja kilang, remaja wanita yang hanya mahu dikenali Rosnah berusia 22 tahun itu juga sanggup merelakan tubuhnya ‘diratah’ untuk semalaman asalkan ketagihan minum minuman keras dipenuhi.


Anak kedua daripada tujuh beradik itu ibarat tertutup pintu hatinya untuk bertaubat apabila mengaku memilih hidup ala barat kononnya tidak mahu dilihat ketinggalan zaman atau kolot.


Rosnah antara 100 wanita dan lelaki Melayu ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) dalam serbuan di beberapa premis hiburan di sekitar bandar raya ini, Ahad lalu. Dalam operasi berkenaan pegawai serta anggota penguat kuasa Jaij terkejut melihat kumpulan remaja Melayu seolah-olah hilang pertimbangan diri dengan puluhan bekas minuman keras bertabur di meja.


Lebih mengejutkan, ada yang sudah terlalu mabuk sehingga gagal menjawab soalan ringkas, malah masih mahu berhibur kerana menyangka tiada apa berlaku.


Sumber Jaij berkata, mereka seolah-olah dalam dunia lain selepas mengambil minuman keras, malah wanita ditahan turut berpakaian seksi.


“Ada cuba melepaskan diri dengan membuat alasan mereka mengambil minuman berkarbonat, tetapi kami sedar ia sebaliknya berdasarkan bau arak yang kuat dari mulut mereka.


“Selain itu, kami juga jalankan ujian pengesan kandungan alkohol dan mereka tidak mampu memberikan apa-apa alasan lagi selepas hasil ujian dikeluarkan,”
katanya.


Beliau berkata, pengunjung premis hiburan terbabit pula bukan saja terdiri golongan atasan, malah membabitkan pelbagai latar belakang termasuk pekerja kilang di sekitar bandar raya ini.


Katanya, walaupun berpendapatan kecil, golongan pekerja kilang terbabit seolah-olah tidak kisah atau kesal menghabiskan pendapatan mereka asalkan dapat meneguk arak.


“Mereka yang ditahan memberikan alasan datang ke sana untuk bersuka ria dan mengambil minuman keras kononnya bagi melepaskan tekanan kerja serta masalah peribadi.

“Serbuan kali kedua dalam tempoh sebulan selepas Jaij menerima aduan awam berkaitan tingkah laku remaja Melayu yang tidak segan silu mengambil minuman keras, selain berpakaian seksi,” katanya.


Hasil kecekapan penguat kuasa, tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku walaupun ada pengunjung cuba melakukan provokasi.


Dalam serbuan berkenaan, 103 pengunjung ditahan membabitkan 70 lelaki dan 33 wanita berusia antara 20 tahun dan 30-an.


Turut serta dalam operasi itu sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pengunjung.

Hasilnya, empat pelanggan dua lelaki dan dua wanita, disahkan di bawah pengaruh dadah dan ditahan untuk siasatan lanjut.


Semua pengunjung yang disahkan berada di bawah pengaruh alkohol pula di bawa ke pejabat Jaij sebelum dibebaskan. Mereka bagaimanapun diminta melaporkan diri pada hari berikutnya untuk tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hambaarak/Article

Ibu desak jual tubuh



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/06/28

KUALA LUMPUR: “Jika bukan kerana desakan ibu mengatakan kerjaya melacur saka dan warisan keturunan kami, tak mungkin saya sanggup menjual tubuh pada usia muda,” kata seorang pelacur jalanan yang menjalankan kegiatan sambilan di sekitar ibu kota.

Dia yang menjalankan kegiatan tidak bermoral itu pada harga RM30 untuk sekali perkhidmatan sejak tiga tahun lalu mendakwa dipujuk ibu supaya tidak segan-silu melakukan kerja terkutuk itu dengan alasan ia tidak akan merugikan apa-apa pun.


Gadis terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Ila, 21, hanya berjaya dipujuk membuka mulut dan mendedahkan pengalaman hidupnya selepas diyakini wartawan yang menemuinya ketika berpeleseran mencari pelanggan di hadapan sebuah hotel murah di Jalan Raja Laut di sini, semalam.


“Saya tak salahkan ibu kerana dia selama ini menghantar saya ke sekolah dan membesarkan kami adik beradik selepas bapa lari dari rumah ketika saya masih di bangku sekolah.


“Ibu mendakwa ayah seorang penagih dadah tegar dan sering keluar masuk pusat serenti sebelum hilang dari rumah sekitar 2002 dipercayai ada kaitan dengan samseng dadah yang mahu memungut hutang,”
katanya.


Menurut Ila, sejak ketiadaan bapa, ibu kerap keluar waktu Maghrib dengan alasan pergi bekerja di kilang elektronik di Keramat sebelum pulang ke rumah sekitar jam 3 atau 4 pagi setiap hari.


“Mulanya saya percaya dia pergi bekerja, namun lama kelamaan saya mula mengesyaki ada yang tidak kena apabila kerap kali ibu dihantar pulang lelaki berasingan.


“Malah, pakaian seksi lengkap dengan kasut tumit tinggi digunakan ibu setiap kali keluar rumah jelas tidak menunjukkan langsung ciri penampilan seorang operator pengeluaran kilang,”
katanya.


Namun, menurutnya, misteri pekerjaan ibunya terjawab apabila dia diminta menghantar wanita itu dengan kereta ke sebuah bangunan rumah kedai usang di Jalan Petaling di sini, empat tahun lalu. “Ketika itu saya yang sudah berhenti sekolah dan mempunyai lesen memandu tergamam apabila ibu memperkenalkan saya kepada seorang lelaki Cina serta beberapa wanita berusia hampir separuh abad didakwa rakan ‘sekerjanya’.


“Selepas 10 minit memerhati baru saya sedar, ibu seorang pelacur yang menjual tubuh kepada lelaki yang memasuki rumah usang terbabit melalui pintu belakang. Ibu hanya perlu menunjukkan tiga jari tangannya sebagai simbol harga RM30 ditawarkan untuk perkhidmatan seks,”
katanya.


Ila berkata, ibunya mungkin tidak mahu lagi menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuannya kerana dia sudah dewasa, apatah lagi pernah terlanjur beberapa kali dengan teman lelaki juga jirannya di Sentul.

“Namun, ibu tak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya sehinggalah setahun selepas itu apabila dia mula kerap kali sakit akibat darah tinggi. Saya sebaliknya disuruh menjual tubuh di pusat pelacuran murahan itu bagi menggantikannya.


“Mulanya saya enggan kerana jijik, namun ibu mengatakan saya tiada pilihan kerana itu saja pekerjaan yang mampu menanggung kehidupan kami sekeluarga. Malah, dia mendakwa pekerjaan itu tidak ubah seperti saka yang perlu saya ikuti generasi demi generasi,”
katanya.


Menurut Ila, walaupun tertekan, dia terpaksa akur selepas didesak berulang kali selain diminta melapor diri untuk bertugas dengan bapa ayam yang menyelia rumah pelacuran terbabit.


Dia yang bertubuh sedikit gempal mendakwa meletakkan syarat awal dengan hanya mahu melayan lelaki tempatan dan muda saja berikutan hilang selera dengan bau badan lelaki asing.

“Dengan RM40 dikenakan kepada setiap pelanggan, saya memperoleh bahagian RM30 ringgit. Jika bernasib baik dan ramai pelanggan, saya mampu memperoleh sehingga RM2,000 sebulan.


“Bagaimanapun, selepas dua tahun dijaga bapa ayam, saya mengambil keputusan bergerak bersendirian dengan menawarkan seks di kaki lima setiap waktu petang dan malam,”
katanya.


Namun, menurutnya, tindakan tegas anggota polis Kuala Lumpur yang berterusan menggempur dan menahan puluhan pelacur dan pondan di kawasan terbabit beberapa bulan lalu menyebabkan pendapatannya kini terjejas teruk.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ibudesakjualtubuh/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...