Monday, August 3, 2009

H1N1: Sabah tubuh jawatankuasa khas

Isnin Ogos 3, 2009

KOTA KINABALU: Sabah akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan penularan Influenza A (H1N1) yang semakin membimbangkan di negeri ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata jawatankuasa tersebut akan dipengerusikan oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Masidi Manjun dan Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Edward Khoo selaku timbalan pengerusi.

"Jawatankuasa khas ini akan memantau dan melaporkan perkembangan wabak Influenza A (H1N1) kepada Kabinet Negeri dari semasa ke semasa," katanya ketika menjawab soalan Datuk Rubin Balang (BNKemabong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya sehingga semalam, seramai 273 orang dilaporkan positif virus H1N1 di Sabah dengan Kota Kinabalu mencatat jumlah kes tertinggi sebanyak 164 kes.

"Negara kini memasuki fasa mitigasi dalam menangani pandemik Influenza A(H1N1). Dalam fasa ini, penularan jangkitan akan cuba diperlahankan dan ini amat memerlukan kerjasama daripada semua pihak," katanya.

Masidi pula berkata berlaku penurunan ketibaan pelancong ke Sabah dalam lima bulan pertama tahun ini dan ia berpunca daripada faktor kegawatan ekonomi global dan bukan kerana wabak.

"Namun penurunan ketibaan pelancong hanya 0.8 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas" katanya. BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803131935&sec=mstar_berita

A(H1N1): Ibu meninggal dunia, bayi 2 minggu sihat

Isnin Ogos 3, 2009

MIRI: Seorang wanita berusia 24 tahun meninggal dunia pada pukul 4 pagi tadi ekoran jangkitan influenza A(H1N1) - menjadikan kematian yang ketujuh di negara ini setakat ini.

Wanita berkenaan melahirkan bayi perempuan - anak sulungnya dua minggu yang lalu. Bayi tersebut sihat.

Ia disahkan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan.

Kematian itu merupakan kes pertama di negeri Sarawak.


http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803111210&sec=mstar_berita

H1N1: Sabah tidak bercadang tutup ladang ternakan babi

Isnin Ogos 3, 2009

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah tidak bercadang menutup ladang ternakan babi di negeri itu berikutan penularan virus selesema babi atau Influenza A(H1N1) yang semakin membimbangkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri, berkata kes jangkitan virus itu berlaku dari seseorang kepada orang lain dan bukan daripada ternakan haiwan itu.

Bagaimanapun, tindakan menutup ladang tersebut hanya boleh dilakukan sekiranya ladang ternakan itu tidak memenuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan, katanya ketika menjawab soalan Datuk Abdul Rahim Ismail (BNPantai Manis) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.

Yahya berkata, sejak penularan virus itu April tahun ini, kementeriannya, melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak, telah mengambil langkahlangkah bagi memastikan ternakan babi di Sabah tidak membawa virus itu.

Antaranya ialah dengan mengambil sampel darah dan calitan hidung dari ternakan babi untuk dianalisis, katanya.

"Sebanyak 1,411 sampel calitan hidung dan 1,371 sampel darah telah diambil dari 63 ladang ternakan babi di seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Pada masa yang sama, pemantauan klinikal juga dilaksanakan di semua daerah di mana tidak ada kes positif didapati pada ternakan babi mahupun di kalangan pekerja di semua ladang-ladang tersebut," katanya.BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_berita/20090803131617&sec=mstar_berita

Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu

Ahad Ogos 2, 2009

SAYA hanya sempat mengikut dari jauh isu dan secebis ‘hukuman sebat ke atas peminum arak’ di Pahang.

Banyak juga email mengenainya meminta saya mengulas isu tersebut, termasuk email seorang tokoh politik dan ahli Parlimen ternama.

Banyaknya urusan menjadikan saya ‘ketinggalan bas’ kebelakang ini. Rasanya, sikap rela model berkenaan patut dipuji.

Ya, arak itu haram di sisi Islam, tiada siapa pun yang beriman berbeza pendapat mengenainya.

Namun apabila hukuman ke atas pesalah itu dilaksanakan, ia membabitkan dua aspek utama; pertama, hukuman yang dikenakan, kedua, individu yang dihukum.

Para sarjana hukum, walaupun ramai yang berpendapat kesalahan minum arak di bawah hudud, mereka berbeza pendapat pula tentang jumlah sebatan.

Ini kerana al-Quran tidak menyebut hukumannya, cuma hadis ada menunjukkan dipukul empat puluh kali. Namun pada zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau beliau berbincang kadar hukuman tersebut, lalu beliau menerima pandangan ‘Abd Rahman bin al-‘Auf untuk melaksanakannya sebanyak lapan puluh kali (lihat: Riwayat Muslim).

Tindakan Khalifah ‘Umar ini menyebabkan sarjana berbincang apakah hukuman untuk peminum arak ini hudud atau takzir (discretionary punishment)? Ini kerana jika ia hudud, sepatutnya, tidak ditambah. Apatah lagi, Nabi s.a.w semasa melaksanakan hukuman ini tidak pula menjelaskan apakah ia hukuman yang ditetapkan oleh Allah (hudud) atau ia hanya ketetapan pemerintahan berdasarkan kepada keperluan (takzir).

Lebih daripada itu, dalam hadis menunjukkan pesalah minum arak ada yang dipukul dengan tangan, kain, dan selipar sahaja. Tiada ketegasan yang jelas dalam kaedah pukulan.

Pun memang hukuman sebat dalam Islam bukan seperti sebat yang ngeri di penjara sivil yang biasa kita dengar dan lihat.

Sebatan Islam sama sekali bukan untuk mencederakan, sekadar mengingat dan mengajar. Lebih daripada itu, Islam tidak benarkan kita mengutuk pesalah yang dihukum.

Dalam riwayat al-Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah, beliau berkata: “Dibawa kepada Nabi s.a.w seorang yang mabuk (minum arak), maka baginda memerintahkan agar dipukul, maka dalam kalangan kami ada yang memukulnya dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar dan ada pula yang memukulnya dengan kainnya.

Apabila selesai, seseorang berkata: “Allah telah menghinanya”. Maka Rasulullah s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu menjadi pembantu syaitan (merosakkan) saudara kamu”.

Maksudnya, mencercanya menyebabkan syaitan mudah untuk merosakkannya lagi. Dalam hadis ini menunjukkan hukuman itu berjalan hanya sekadar dengan kain atau tangan atau selipar, tujuannya bukan untuk menyeksa, tapi mengingatkan.

Janganlah pula berlebihan, hukumannya hanya pukulan tersebut maka tidak perlu diikuti dengan cercaan.

Maka sesiapa yang merasakan dirinya pejuang Islam, janganlah menokok tambah dengan makian kerana itu tidak serasi dengan tabiat perlaksanaan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w.

Hudud

Ramai yang bercakap tentang hudud. Namun ramai juga, sama ada yang bersetuju atau membantah tidak mempunyai pengetahuan yang jelas dalam banyak perkara mengenainya. Ramai yang blind imitation dalam memperkatakan hukuman jenayah dalam Islam ini.

Sama ada hanya terikut-ikut dengan media, atau terikut-ikut teks kitab-kitab lama. Ramai yang tidak menyemak tentang maksud, kaedah, keadaan, suasana dan keluasannya.

Seseorang muslim yang faham tidak mungkin menentang hudud, tetapi mungkin bertanya adakah suasana yang menyebabkan perlaksanaan hudud yang adil dan berkesan wujud pada sesuatu tempat dan masa untuk menjadikan ia mencapai tujuannya?

Apabila syarat dan suasana itu wujud, maka hudud dilaksanakan. Ketika itu akan dapat dilihat keadilan, keindahan dan kesan hukuman tersebut yang bertujuan untuk kebaikan manusia.

Untuk melihat hudud secara lebih luas dan tidak fanatik mazhab atau pandangan tertentu, karya Mohamed S. El-Awa, Punishment In Islamic Law antara yang baik untuk dibaca di zaman kini.

Dalam hadis sahih, Nabi s.a.w bersabda: “Jangan dipotong tangan (pencuri) ketika dalam peperangan” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Darimi). Al-Imam Tirmizi (297H) ketika meriwayat hadis ini menyebut: “Sebahagian ilmuwan berpegang dengan nas ini, antara mereka al-Auza’i, mereka berpendapat tidak dilaksanakan hudud ketika peperangan, berhadapan dengan musuh kerana dibimbangi individu yang dihukum itu akan pergi menyertai musuh…”.

Saya melihat, jika kebimbangan musuh mengambil kesempatan atau orang Islam meninggalkan Islam itu adalah sebab yang dilihat oleh sebahagian sarjana mengapa Nabi s.a.w melarang hukuman tersebut dilaksanakan, maka pada zaman yang fitnah terhadap Islam di pelbagai penjuru dan kerapohan iman umat Islam begitu nyata, penelitian tentang perlaksanaan hudud itu mestilah lebih berhati-hati.

Perlaksanaan hudud mestilah membawa natijah yang positif, bukan negatif kepada Islam. Maka perjuangan mengujudkan suasana yang conducive itu mendahului usaha perlaksanaan hudud.

Setelah wujudnya masyarakat adil; pemerintah dan rakyat, suasana iman dan Islam, kehidupan yang aman dan bahagia, tiba-tiba ada yang mencetuskan jenayah yang mencemarkan itu semua, ketika itu apabila dilaksanakan hudud tertonjollah kesan dan keindahannya.

Suasana

Ada beberapa email yang menarik perhatian saya mengenai hukuman arak di Pahang itu. Ada yang menyatakan kepada saya, mengapakah peminum arak sahaja dihukum, sedangkan taukeh-taukeh arak yang beragama Islam dibiarkan?

Sedangkan mereka ini ada memakai gelaran yang hebat-hebat dan ‘disembah hormat’ oleh rakyat. Ada pula berkata: “Mengapa kes model itu begitu cepat diproses, sedangkan saya yang menderita kes rumah tangga saya sudah bertahun lamanya, mahkamah syariah belum putus apa-apa?”.

Berbagai lagi sungutan yang lain. Memang itu semua bukan justifikasi untuk peminum arak dibiarkan, tetapi hukuman apabila tidak kelihatan adil atau serakam, manusia akan membuat berbagai alasan dan akhirnya tujuan dan keindahan hukum itu hilang.

Para ulama dan pejuang Islam mempunyai tugasan yang berat untuk memboleh Islam dalam bentuk dakwah dan pendidikan itu menjelma dalam bentuk hukuman dan perlaksanaan yang adil dan saksama.

Maka tidak munasabah dipotong tangan pencuri dalam masyarakat yang lapar dan terdesak. Tidak munasabah dihukum hudud orang berzina dalam masyarakat yang unsur zina bertebaran, perkahwinan disusah-susahkan, kes perceraian ditangguh-tangguhkan dan berbagai keadaan yang mendorong kepada zina.

Munasabahkah dilaksanakan hukuman murtad dalam dunia yang penuh keliru dan kegagalan golongan agama dan pemerintah merongkaikan kekeliruan secara berkesan. Apatahlagi hukuman murtad itu sendiri mempunyai berbagai penafsiran.

Perjuangan penting para pendakwah Islam masakini adalah memberikan pendidikan dan kefahaman yang jitu mengenai Islam. Generasi kini terdedah kepada berbagai perkara.

Sudah banyak email saya terima daripada anak-anak muda melayu yang bukan sahaja tidak percayakan Islam, bahkan meragui kewujudan Tuhan.

Inilah epidemic yang sedang meningkat dalam dunia ini iaitu atheism yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, atau seperti pelakon Brad Pitt yang tidak dapat membuat keputusan Tuhan wujud atau tidak yang disebut sebagai agnosticism.

Mereka ini sedang memenuhi Dunia Barat hari ini dengan peningkatan yang menakjubkan. Laman-laman web mereka mengganggu minda sebahagian orang Islam yang tidak terdedah kepada Islam yang berteraskan hujah dan fakta.

Hanya sekadar pernah mendengar ceramah kartun dan lawak oleh sesetengah penceramah. Ceramah atau pengajaran agama yang tidak memenuhi piawaian cabaran zaman kini akan gagal menyelamatkan generasi kita.

Ya, kita mahu Islam, kita mahu suasana Islam dan kita mahu hukum berteraskan Islam. Namun itu semua tidak boleh capai dengan mudah, memerlukan pengembelingan tenaga yang serasi dengan suasana kita.

Pemerintah dan rakyat hendaklah ada kesungguhan. Islam yang hendak ditonjolkan hendaklah membawa kepada sangkaan baik manusia terhadap Allah dan RasulNya, bukan mengelirukan mereka. Bak kata Nabi s.a.w: “Jangan bantu syaitan rosakkan saudaramu”.

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2009/8/2/mstar_kolum_minda_mufti/20090802015212&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Sejahat-jahat makhluk

Isnin Ogos 3, 2009

DARI Aisyah r.a. katanya,:”Sesungguhnya ummu Habibah dan Ummu Salamah ada menyebutkan kepada nabi gereja yang dilihatnya di negeri Habsyah, bahawa di dalam gereja itu ada sejumlah patung.

Sabda nabi s.a.w,:”Sesungguhnya orang-orang itu jika yang meninggal di antara mereka orang soleh, mereka membuatkannya masjid di atas kuburannya dan mereka buatkan patungnya. Mereka itulah sejahat-jahat makhluk di sisi Allah pada hari kiamat.” (al-Bukhari)Huraian

Islam tidak meredhai umatnya menyimpan patung di dalam rumah kerana ia mirip kepada sembahan-sembahan yang biasa dipertuhankan oleh orang-orang kafir.

Sekalipun seseorang itu tidak menganggap patung tersebut sebagai tuhan dan tidak menyembahnya, ia tetap ditegah kerana Islam bukan sekadar melarang seseorang dari melakukan syirik tetapi ia juga menghalang dan menutup segala jalan-jalan yang mengarah, menyerupai dan memiliki unsur syirik.

Lebih dari itu malaikat juga enggan memasuki rumah yang mempunyai patung di dalamnya dan ketiadaan para malaikat ini akan menjauhkan rahmat dan keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala daripada penghuni rumah tersebut.

Akan tetapi Islam sedia memberi kelonggaran dan kemudahan hukum kepada anak-anak kecil yang memiliki patung sebagai alat mainan kerana bagi anak-anak, patung-patung tersebut tidaklah memiliki sebarang nilai sembahan kecuali sekadar alat mainan sahaja.

Namun begitu di zaman kini agak sukar dibezakan antara patung (al-Tamathil) yang dibenarkan atau dilarang kerana ia kini diperbuat dari pelbagai bahan-bahan yang berbeza dengan zaman Nabi s.a.w. Ada patung dari aloi logam, bahan gentian plastik, kaca dan sebagainya.

Maka langkah terbaik dan selamat ialah tidak menyimpan patung-patung tersebut sama ada di dalam rumah, pejabat, kereta atau di mana-mana sekalipun kerana ditakuti ia menjebakkan kita di dalam perbuatan syirik tanpa sedar. Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2009/8/3/mstar_agama/20090728170559&sec=mstar_agama

Lelaki rogol anak dibelasah penduduk

KUANTAN: Sekumpulan penduduk kampung nekad membelasah seorang lelaki selepas mengetahui perbuatan terkutuk lelaki itu yang merogol anak kandungnya sejak Disember tahun lalu di Balok, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, sekumpulan penduduk kampung mengepung rumah lelaki berusia 40 tahun itu sebaik mendengar cerita sedih mangsa.

Sebelum itu, mangsa berusia 14 tahun dan sudah tidak bersekolah duduk bersendirian di tepi pantai Balok dalam keadaan sedih dan enggan bertegur sapa dengan rakan sekampungnya walaupun dia disapa.


Bagaimanapun, pujuk rayu penduduk kampung yang bersimpati melihat keadaan mangsa akhirnya membongkar cerita mengejutkan apabila mangsa mendakwa menjadi hamba seks bapa sendiri sejak Disember tahun lalu.

Terkejut dengan luahan isi hati mangsa, sekumpulan penduduk kampung kemudian merancang menangkap bapa mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap sebelum membelasah lelaki terbabit bergilir-gilir.

Lelaki terbabit dikatakan cuba melarikan diri tetapi gagal sebelum diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk siasatan, kelmarin.

Difahamkan, lelaki bernafsukan binatang itu sudah bercerai dengan isteri pertama yang juga ibu mangsa sebelum berkahwin dengan wanita lain.

Namun, isteri kedua lelaki itu melarikan diri tanpa diketahui sebabnya pada Oktober tahun lalu.

Mangsa sebelum ini tinggal bersama ibunya kemudian berpindah ke rumah bapanya sejak dua tahun lalu dan dipaksa melakukan hubungan seks berulang kali selepas ibu tirinya menghilangkan diri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis daerah, Superintendan Zulkifli Taha, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Pelajar gempar

Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Pelajar sebuah sekolah menengah agama di Gurun dekat sini, gempar, dengan penemuan mayat seorang bayi perempuan dipercayai sudah dua hari meninggal dunia di dalam mangkuk tandas di sekolah itu, semalam.

Bayi yang cukup sifat dan lengkap bertali pusat itu ditemui tersangkut dalam saluran lubang najis di mangkuk tandas berkenaan kira-kira jam 10 pagi.

Bayi seberat tiga kilogram itu ditemui dalam keadaan bogel dan dipercayai dibuang ke dalam mangkuk tandas itu sejurus selepas dilahirkan.


Difahamkan, mayat bayi malang itu ditemui seorang guru wanita sebelum memaklumkan kepada pengetua sekolah berkenaan yang melaporkannya kepada polis.

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dipanggil ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mayat bayi yang tersepit dalam mangkuk tandas.

Difahamkan, seorang wanita berusia berusia 30-an yang mendapatkan rawatan di Hospital Yan dekat sini, kerana mengalami pendarahan teruk dipercayai akibat melahirkan anak, berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Wanita itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star kerana pendarahan yang dialaminya bertambah serius.

Wanita berkenaan juga tidak memaklumkan mengenai keadaan anaknya yang baru dilahirkan sekali gus menimbulkan persoalan kerana bayinya tiada bersama ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, berkata sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian kira-kira jam 10 pagi sebaik pengetua sekolah terbabit membuat laporan di Balai Polis Gurun.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal polis, bayi berkenaan sudah dua hari meninggal dunia berdasarkan bentuk fizikalnya.

“Kami dapati darah dan tali pusat pada badan bayi itu sudah kering, menunjukkan bayi berkenaan sudah meninggal di dalam mangkuk tandas berkenaan sejak dua hari lalu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Hashim berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini, untuk bedah siasat.

Tepuk bahu tukar kad ATM

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM3, seorang lelaki mendapat untung RM1,500 apabila menggunakan taktik menukar kad pengeluaran wang tunai automatik (ATM) ketika mangsa sedang mengutip wang yang sengaja ditabur penjenayah terbabit di atas lantai kerana menyangka itu wangnya.

Kejadian itu menimpa seorang penjawat awam berusia 27 tahun di Taman Melawati di sini, ketika sedang mengeluarkan wang menggunakan kad ATM isterinya.

Sumber berkata, ketika selesai mengeluarkan wang berkenaan tetapi kad masih berada di mesin ATM, bahu lelaki itu tiba-tiba ditepuk lelaki di belakangnya yang bertanyakan mengenai tiga keping wang kertas RM1 yang berada di atas lantai berhampiran kakinya.


“Mangsa yang menyangka itu wangnya, terus membongkok untuk mengutip duit terbabit dan ketika itu penjenayah berkenaan menukar kad ATM isteri lelaki itu dengan kad lain,” katanya.

Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa terus mengambil kad dan pulang ke rumahnya di Hulu Klang.

Bagaimanapun, Khamis lalu, selepas beberapa hari kejadian berkenaan, isterinya yang mahu membuat pengeluaran wang terkejut apabila nama yang terpapar pada mesin itu milik orang lain dan tidak aktif.

“Pada mulanya isteri mangsa menyangka mesin terbabit mengalami kesilapan teknikal, namun selepas dua kali mencuba dan masih menunjukkan nama orang lain, dia mensyaki ada sesuatu yang tidak kena.

“Mangsa dan isterinya kemudian ke ibu pejabat bank berkenaan untuk mengetahui hal sebenar,”
katanya.

Sumber itu berkata, pemeriksaan transaksi di bank mendapati baki wang pada bank isterinya ‘lesap’ dan ada individu membuat dua kali pengeluaran RM1,500.

“Mangsa teringat semula kejadian yang bahunya ditepuk individu sebelum dia mengutip wang dianggap miliknya jatuh di atas lantai,” katanya.

Pasangan terbabit yang berasa tertipu dengan kejadian itu kemudian membuat laporan polis.

Kejadian sama pernah dialami See Teck Huan, 32, apabila sekumpulan lelaki dan wanita warga Timur Tengah menunjukkan sejumlah wang kertas di atas lantai ketika mangsa ingin membuat pengeluaran wang di ATM Seri Gombak, Selasa lalu.

Mangsa yang tidak mensyaki sesuatu mengutip wang berkenaan dan menyerahkan kepada warga Timur Tengah berkenaan, tetapi mereka enggan menerimanya lalu meninggalkan mangsa.

See hanya menyedari terperdaya apabila mendapati kad ATM miliknya yang digunakan untuk mengeluarkan wang sebelum kejadian itu milik seorang wanita.

Apabila dibuat semakan semula didapati RM5,100 wang mangsa dikeluarkan dan mangsa mengesyaki ia perbuatan warga Timur Tengah terbabit.

Mangsa pukau ‘tauke kantin’

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang wanita mualaf dikesan bergiat aktif menawarkan pekerjaan sebagai pembantu kantin di sebuah sekolah menengah kepada suri rumah sebelum melarikan barangan kemas milik mangsa.

Wanita dipercayai berusia 40-an itu mulanya datang ke rumah mangsa ketika suami masing-masing bekerja sebelum menawarkan pekerjaan berkenaan.

Mangsa turut ditaburkan janji manis mengenai gaji diberikan lumayan selain tidak perlu risau hal anak kerana mereka boleh membawa mereka ke kantin berkenaan.


Dalam kes terbaru Sabtu lalu, seorang suri rumah dikenali sebagai Fina berusia awal 30-an, berkata dia didatangi wanita itu ketika menjemur kain di rumahnya di Klang, Selangor.

Katanya, wanita berkenaan yang mempunyai empat anak berusia dua hingga enam tahun itu mengaku sebagai pengusaha katering dan sedang mencari pekerja kantin bagi sebuah sekolah menengah di kawasan berhampiran.

“Wanita itu bersungguh-sungguh menawarkan kerja berkenaan kononnya gaji yang diperoleh boleh membantu suami.

“Selain itu, wanita terbabit turut memaklumkan tiada apa perlu dirisaukan kerana saya boleh membawa anak ke sekolah berkenaan ketika bertugas,”
katanya di sini, semalam.

Katanya, dia kemudian menghubungi suaminya untuk meminta kebenaran bekerja dengan wanita terbabit sebelum turut mengajak seorang lagi jirannya yang kebetulan mahu turut bekerja.

Mereka dibawa menaiki kereta milik wanita itu ke sebuah hospital di sini, kononnya untuk melakukan pemeriksaan kesihatan.


Beliau berkata, dia dan rakannya berasakan seolah-olah terkena ilmu ‘pukau’ apabila hanya mengikuti arahan wanita berkenaan agar menanggalkan barangan kemas dipakai dan barangan berharga serta memasukkannya ke dalam satu beg tangan.

“Kami berdua tidak mengesyaki apa-apa ketika itu dan hanya menuruti arahan wanita berkenaan seolah-olah ‘dipukau’,” katanya.

Selepas tiba di hospital, Fina melakukan pemeriksaan kesihatan dulu sementara rakannya menunggu di luar bersama wanita itu.

Bagaimanapun, rakannya yang menunggu di luar pergi ke tandas dan meninggalkan beg tangan itu kepada wanita berkenaan tanpa menyedari niat jahatnya.

“Namun, sebaik selesai melakukan pemeriksaan, saya mendapati wanita terbabit sudah tiada dan rakan saya pula baru keluar dari tandas.

“Apabila bertanya kakitangan di hospital berkenaan, saya dimaklumkan wanita terbabit sudah keluar dari hospital dalam keadaan tergesa-gesa,”
katanya.

Fina berkata, beg yang dilarikan suspek tidak dijumpai hingga kini dan laporan polis sudah dibuat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090803084749/Article/index_html

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...