Saturday, December 27, 2008

Kes menurun


Oleh Hayati Ibrahim


PUTRAJAYA: Sebanyak 119 kes chikungunya dilaporkan sepanjang minggu lalu membabitkan 91 kawasan di 10 negeri termasuk Kedah, Perak, Kelantan, Johor, Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Perlis.

Pengarah Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata bilangan kes terbabit menurun daripada 158 kes pada minggu sebelumnya menjadikan keseluruhan kes chikungunya sepanjang tahun ini sebanyak 3,984, tanpa kematian.

Katanya daripada jumlah itu, 79 peratus disahkan melalui ujian serologi dan majoriti kes chikungunya dirawat sebagai pesakit luar (77 peratus).

“Hanya 933 kes atau 23 peratus yang memerlukan rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Dr Hasan berkata, antara kes yang dilaporkan minggu lalu termasuk 35 kes di Kedah, 10 (Perak), 21 (Kelantan dan Johor), 20 (Selangor), empat di Pahang, masing-masing dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Perlis serta satu kes di Putrajaya.

Pemeriksaan di kawasan yang dilaporkan mendapati ia mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi iaitu melebihi satu peratus, sekali gus menyebabkan penularan chikungunya.

“Tempat biasa yang ditemui di dalam pasu bunga, alas pasu bunga, tong drum dan tin kosong,”
katanya.

Beliau berkata, pada minggu sama sebanyak 11,189 rumah sepatutnya disembur kabus, tetapi hanya 3,312 rumah atau 29.6 peratus dapat dijalankan, berikutan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

“Pada masa sama, kerjasama penduduk tempatan untuk bersama-sama mengawal jangkitan chikungunya belum mencapai tahap optimum apabila hanya 16 daripada 22 gotong-royong yang dirancang dapat dilaksanakan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227100035/Article/index_html

Tiada masalah


KUALA LUMPUR: Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) mengumpul dana RM3 juta pada tahun ini hasil keprihatinan masyarakat, organisasi dan syarikat swasta yang konsisten ingin membantu pesakit jantung yang kurang berkemampuan.

Pengurus Yayasan IJN, Alawiyah Yussof, berkata enam syarikat swasta menghulurkan dana secara tetap setiap tahun kepada yayasan itu, manakala organisasi lain dan individu pula akan menghulurkan sumbangan pada bila-bila masa.

Antara syarikat dan organisasi yang menyumbang kepada yayasan itu ialah Pfizer Malaysia, AirAsia dan Yayasan Tenaga Nasional.

“Bantuan yang dihulurkan bukan saja berbentuk wang ringgit, malah ada yang menjadi rakan kongsi pada setiap program yang dianjurkan,” katanya.

Yayasan IJN ditubuhkan pada 1995 bertujuan mengumpul dana bagi memberi rawatan kepada pesakit jantung di institut berkenaan.

Pada tahun lalu, yayasan itu membiayai 85 orang pesakit dengan kos lebih RM2 juta.

Alawiyah berkata, dengan bantuan seperti ini, yayasan tidak pernah mengalami masalah tidak cukup dana terutama apabila pesakit yang berkelayakan datang memohon bantuan yayasan secara kecemasan.

“Pada asalnya yayasan ini untuk membantu pesakit miskin yang mengalami kes kecemasan dan membiayai program penyelidikan di IJN. Begitupun, ada masanya dari segi peralatan kami cuma bantu beli sebagai barang tambahan sahaja, katanya.

Menurutnya, IJN merawat tiga golongan pesakit iaitu kakitangan atau pesara kerajaan, pesakit mampu bayar dan pesakit kurang mampu bukan kakitangan kerajaan seperti pesawah dan nelayan.

Yayasan IJN tidak menerima aduan daripada pesakit mahupun keluarga pesakit berhubung kekurangan peralatan ataupun ‘kecacatan’ terhadap perkhidmatan yang disediakan.

Mengenai cadangan penswastaan IJN, Alawiyah berkata jika kerajaan memutuskan untuk menswastakan institut ini mungkin sokongan daripada penderma akan berkurangan.

“Keadaan ini dijangka berlaku mungkin kerana stigma masyarakat yang sudah lama beranggapan badan swasta hanya bergantung kepada keuntungan untuk mendapatkan pusingan modal,” katanya.

Baru-baru ini, Sime Darby Bhd dilaporkan merancang untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan IJN Holdings Sdn Bhd, pengendali IJN.

Pada masa ini, IJN adalah pusat perubatan jantung terkemuka di rantau ini, dimiliki 99.99 peratus oleh Kementerian Kewangan. — Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227100849/Article/index_html

Tak tahu mengucap

Oleh Shahrul Nizam Mohamad



TAHAN...anggota polis trafik menyusun motosikal yang
ditahan dalam Ops Krismas, malam kelmarin.


KUANTAN: Amat menyedihkan apabila dua remaja Islam dipercayai Mat Rempit bukan saja tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah malah dikatakan tidak pernah belajar mengaji al-Quran sejak kecil.

Dua remaja berusia 19 dan 20 tahun dari Beserah dan sebuah tanah rancangan Felda, di sini, ditahan bersama pasangan masing-masing berusia 16 dan 19 tahun selepas dipercayai menunggang dalam keadaan membahayakan nyawa.

Mereka ditahan dalam Ops Krismas yang dijalankan sepasukan polis trafik yang membuat pemantauan di sekitar Taman Esplanade, di sini, kelmarin.

Ketika dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Trafik Kuantan untuk siasatan lanjut, dua Mat Rempit terbabit bersama pasangan masing-masing kelihatan seperti gelisah sebelum polis memeriksa motosikal.
Polis menahan motosikal Mat Rempit terbabit untuk siasatan lanjut sebelum meminta remaja itu sedar atas kesalahan yang dilakukan kerana membuat gangguan lalu lintas selain motosikal tidak memiliki cermin sisi.

Pada masa sama, anggota polis menceritakan serba sedikit mengenai kemalangan maut yang membabitkan penunggang motosikal kerana mereka adalah penyumbang paling tinggi.

Dua Mat Rempit itu kelihatan terkedu lidah seketika apabila disuruh mengucap dua kalimah syahadah jika berada dalam keadaan nazak sekiranya terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Selepas menunggu agak lama, akhirnya dua remaja terbabit mengakui tidak pandai mengucap dua kalimah syahadah selain tidak pernah mengaji al-Quran.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227101124/Article/index_html

Padah gila isteri orang


Oleh Riadz Radzi


BUKIT KAYU HITAM: Gara-gara bermain cinta dengan isteri orang, seorang lelaki parah dibelasah suami dan adik lelaki wanita terbabit di kuarters kelab golf, dekat sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, mangsa berusia 20-an, parah di kepala selepas dipercayai dipukul dengan objek keras oleh dua lelaki terbabit di rumah mereka.

Difahamkan, wanita berusia 20-an itu menjalin hubungan sulit dengan mangsa sejak beberapa bulan lalu.

Menurut sumber, suami wanita berkenaan berusia 30-an dikatakan mula mengesyaki perbuatan curang isterinya lalu memasang perangkap bersama adik wanita terbabit.

“Pada hari kejadian, suaminya pura-pura keluar bekerja sebelum kembali semula ke rumah bersama adik iparnya.

“Dia amat terkejut apabila mendapati isterinya bersama lelaki lain dalam keadaan bogel dipercayai melakukan hubungan seks di sebuah bilik di rumah itu,” katanya.

Difahamkan, akibat berang dengan tindakan itu, mereka dipercayai membelasah mangsa menyebabkannya parah di kepala dipercayai dihentak dengan objek keras.

Jiran yang terkejut dengan kejadian itu kemudian menghubungi ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star.

Mangsa yang parah kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.

“Kita sudah mengambil keterangan daripada dua lelaki itu dan masih menjalankan siasatan,” katanya enggan mengulas lanjut.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227101917/Article/index_html

Diperkosa ketika hamil


Oleh Ibrahim Isa

JOHOR BAHRU: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, seorang remaja berusia 16 tahun, bukan saja mengandung empat bulan hasil hubungan haram dengan teman lelakinya, malah menjadi habuan seks bapa tirinya sejak dua bulan lalu.

Remaja terbabit yang tidak bersekolah, dikatakan mengadakan hubungan seks dengan teman lelakinya di rumah keluarganya di pekan Kulai di sini, setiap kali ibu dan bapa tirinya itu keluar bekerja.

Bagaimanapun, aktiviti mereka terbongkar apabila remaja terbabit dikatakan mengandung dua bulan menyebabkan keluarganya membuat laporan polis .

Selepas itu, dia dikatakan lebih banyak tinggal di rumah.

Namun, bapa tirinya yang juga warga Indonesia berstatus penduduk tetap bukan saja tidak menjalankan tanggungjawab menjaga anak tirinya yang dalam kesusahan, malah mengambil kesempatan atas keadaan remaja terbabit dengan mengadakan hubungan seks ketika ibu mangsa keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Kulaijaya, Superintendan Zulkefly Yahya, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kira-kira dua bulan lalu, remaja terbabit ditemani ibunya datang ke balai polis membuat laporan dia dirogol teman lelakinya hingga mengandung.

Berikutan itu, katanya, pihaknya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti teman lelaki remaja terbabit.

Namun, pada 24 Disember lalu, remaja terbabit datang lagi bersama keluarganya untuk membuat laporan bapa tirinya pula merogolnya.

“Berikutan laporan itu, kami ke rumah remaja terbabit di sekitar pekan Kulai dan menahan bapa tiri remaja terbabit yang berusia 35 tahun pada hari sama.

“Remaja terbabit mendakwa bapa tirinya yang bekerja sebagai buruh kontrak itu merogolnya dua kali di rumah ketika ibunya tiada.

“Bagaimanapun, kami masih menyiasat dakwaan remaja terbabit dan siasatan masih dijalankan,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu masih ditahan reman bagi membantu siasatan hingga 29 Disember ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, remaja terbabit kini masih tinggal di rumah keluarganya di pekan Kulai.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227102500/Article/index_html

`Saya buat...tapi saya mabuk’


Oleh Erywan Norshal

SHAH ALAM: “Saya melakukan perbuatan itu, tetapi pada masa itu saya mabuk,” kata seorang pekerja kilang yang didakwa melakukan persetubuhan luar tabii terhadap anaknya berumur lima tahun di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Lelaki berumur 26 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia yang memakai kemeja-T biru dan seluar kelabu tenang ketika mendengar jurubahasa membaca pertuduhan itu terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap anaknya yang berumur lima tahun empat bulan.

Dia yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Padang Jawa, dekat sini, Disember lalu.

Lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Noora Nisa Ngadirin yang mengendalikan kes terbabit tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.

Hakim Hasbi Hasan menetapkan 28 Januari tahun depan untuk jatuh hukum dan memerintahkan Wan Noora menyiapkan dokumen termasuk fakta kes berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Setempat/20081227103448/Article/index_html

Tembelang Legenda Wall Street akhirnya terbongkar


SEPANJANG bulan ini, bekas Pengerusi Pasaran Saham Nasdaq di New York, Bernard Madoff menjadi tumpuan selepas beliau mengaku menipu pelabur-pelabur skim pelaburannya.

Madoff mengaku kepada pihak berkuasa bahawa beliau menipu pelabur menerusi satu skim cepat kaya melibatkan kerugian bernilai AS$50 bilion (RM171.89 bilion).

Pelabur-pelabur Madoff bukan sebarangan orang kerana antaranya ialah pewaris syarikat kosmetik L'Oreal, Liliane Bettencourt, tunang aktres Uma Thurman, Arpad Busson dan pengarah filem terkenal, Steven Spielberg.

Beberapa bank di luar Amerika Syarikat (AS) turut terlibat dalam pelaburan Madoff itu dan kini berdepan risiko kerugian.

Korban pertama skim anjuran Madoff itu ialah pengurus dana kelahiran Perancis, Thierry Magon De la Villehuchet yang membunuh diri di pejabatnya di New York, Selasa lalu.

Menerusi skim anjuran Madoff itu, pelabur akan mendapat pulangan luar biasa.

Namun, pulangan luar biasa itu sebenarnya dibayar dengan wang pelabur baru dan ia bukan hasil keuntungan perniagaan.

Apa yang menjadi isu adalah kenapakah golongan yang sudah kaya dan terkenal boleh melabur dan tertipu menerusi skim pelaburan anjuran Madoff itu?

Golongan kaya dan selebriti itu melabur kerana mereka terpengaruh dengan reputasi Madoff yang digelar sebagai legenda Wall Street.

Madoff digelar legenda Wall Street kerana beliau dipuji berikutan peranannya mengubah cara saham diniagakan iaitu menerusi dagangan elektronik.

Skim anjuran Madoff itu sudah berlanjutan sejak sekian lama tetapi akhirnya terbongkar sama seperti kata pepatah sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

Ada ketikanya apabila seseorang itu sudah berjaya, rasa bangga diri wujud sehingga lupa kesilapan kecil mampu membawa padah besar.

Madoff ditangkap selepas ejen-ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) mendapat maklumat penipuan itu daripada dua anak lelakinya sendiri iaitu Mark dan Andrew.

Moral ceritanya adalah mangsa skim cepat kaya tidak mengenal bangsa dan agama manakala nafsu untuk menjadi kaya dengan cepat berada dalam diri kebanyakan manusia.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_09.htm

Langit Kutub Utara


PEMANDANGAN langit di Teluk Inglefield, Greenland baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------


FENOMENA ANEH. Adakah penglihatan anda kabur atau langit betul-betul bertukar menjadi ungu?

Gambar menakjubkan ini menunjukkan satu ribut ganas sedang melanda Greenland di Kutub Utara.

Imej tersebut dirakam oleh pasangan suami isteri, Brian dan Cherry Alexander pada waktu subuh di Teluk Inglefield.

"Kami telah bekerja selama 37 tahun di Artik dan tidak pernah melihat fenomena seperti ini," kata Brian. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Dakwat merah guru jejas motivasi murid sekolah


SEORANG murid menghadiri kelas di sebuah sekolah di China. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


LONDON - Beratus-ratus buah sekolah di Britain mengambil pendekatan melarang guru-guru daripada menggunakan pen dakwat merah untuk menanda kerja sekolah, lapor sebuah akhbar semalam.

Pelaksanaan larangan tersebut dilakukan selepas golongan pelajar berasa lebih tenang jika kerja sekolah mereka ditanda dengan pen berwarna hijau, biru, merah jambu dan kuning selain pengunaan pensel.

Warna merah dianggap bersifat 'konfrontasi' dan 'menggugat' emosi pelajar,

Sekolah Rendah Crofton di Kent, England yang mempunyai murid-murid berusia 7 hingga 11 tahun merupakan antara sekolah yang melarang penggunaan warna merah bagi tujuan tersebut.

"Pen merah akan menjejaskan motivasi kanak-kanak. Warna itu membawa maksud negatif seperti 'jumpa guru' atau 'tidak cukup bagus'," kata guru besarnya, Richard Sammonds.

"Kita tidak lagi mendidik pelajar untuk menjadi kerani atau penyimpan kira-kira seperti pendidikan dahulu. Kita cuba membekalkan pendidikan untuk kanak-kanak yang bakal memasuki alam pekerjaan pada kurun ke-21," tambahnya.

Walaupun disifatkan kontroversi, pendekatan baru itu turut mendapat lampu hijau daripada institusi-institusi pendidikan negara itu.

"Pengharaman warna merah merupakan reaksi setelah bertahun-tahun melihat kanak-kanak mengalami tekanan apabila kerja sekolah mereka ditanda dengan pen merah. Apabila pelajar terutama pada peringkat awal sekolah melihat setiap kesilapan diwarna merah, mereka berasa rendah diri dan putus asa," kata seorang pakar pendidikan, Shirley Clarke.

Bagaimanapun, masih terdapat para pendidik yang menentang langkah tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

"Pengharaman itu karut. Akal fikiran menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui kesilapan dan mereka perlu disedarkan supaya dapat memperbaiki diri," kata Pengerusi Kempen Untuk Pendidikan Sebenar, Nick Seaton. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Armada China bergerak ke Somalia


KAPAL pemusnah China, Haikou (kiri) dan kapal logistik Weishanhu diberi tabik hormat sebelum berlepas ke Somalia di Hainan semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


BEIJING - Tentera laut China semalam melancarkan satu misi bersejarah bagi menentang kumpulan lanun di perairan Teluk Aden, Somalia, lapor media negara berkenaan.

Penghantaran kapal tersebut mungkin menjadi misi pertempuran pertama negara kuasa besar itu di perairan asing dalam tempoh beberapa abad.

Tiga buah kapal negara itu yang dihiasi dengan bunga dan reben memulakan pelayaran dari pangkalan tentera laut di Teluk Yalong, Hainan menuju ke Somalia pada pukul 1.50 tengah hari waktu tempatan.

Seramai 1,000 krew dua kapal pemusnah dan sebuah kapal logistik tentera laut China memberikan tabik hormat kepada para tetamu sebelum belayar dalam satu misi yang dijangka berlarutan selama tiga bulan.

Misi tersebut juga menandakan permulaan tentera laut China moden yang sebelum ini hanya lebih tertumpu terhadap kawalan di perairan negara itu.

Komander tentera laut China, Wu Shengli berkata, buat pertama kalinya negara itu menggunakan kekuatan tentera bagi melindungi kepentingan di luar negara.

"Ini adalah kali pertama kita menyusun satu angkatan tentera laut untuk satu misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

"Buat pertama kalinya tentera laut kita melindungi laluan perkapalan penting yang jauh daripada pantai China,"
katanya. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Pakistan, India diambang perang


SEKUMPULAN penunjuk perasaan membakar bendera India sebagai tanda protes di Karachi semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


ISLAMABAD - Pakistan mengerah sejumlah askar yang ditempatkan berhampiran Afghanistan supaya bergerak ke sempadan India ketika ketegangan dengan New Delhi semakin memuncak, kata beberapa pegawai kanan semalam.

Hubungan dua negara jiran Asia Selatan itu bertambah buruk sejak serangan di Mumbai pada bulan lepas apabila New Delhi menyalahkan militan-militan berpangkalan di Pakistan sebagai dalang.

Bagaimanapun, Islamabad memberitahu, India sehingga kini gagal mengemukakan sebarang bukti bagi membolehkan negara itu mengambil tindakan.

"Kami tidak mahu mencetuskan perasaan panik mengenai peperangan tetapi kami perlu melaksanakan langkah keselamatan bagi menghalang sebarang ancaman," kata pegawai kanan tentera tersebut yang enggan mendedahkan jumlah sebenar anggota tentera yang terlibat.

Namun, seorang pegawai kanan lain memberitahu kerahan tersebut hanya terhad di beberapa lokasi di sempadan di mana terdapat pertambahan bilangan askar India.

Pegawai berkenaan menambah, kerahan tentera itu dilakukan selepas Islamabad menyedari terdapat pergerakan tentera India ke arah kawasan sempadan berdekatan bandar Lahore, timur Pakistan.

Dalam perkembangan berkaitan, kumpulan-kumpulan militan Pakistan mengambil sikap untuk melupakan persengketaan dengan kerajaan dan bersetuju membekukan serangan terhadap tentera negara itu.

"Kami bukan sahaja akan mengelakkan sebarang tindakan agresif di wilayah-wilayah ketua puak tetapi kami juga akan menggantung serangan lintas sempadan keatas tentera asing di Afghanistan," kata jurucakap sebuah kumpulan serpihan Taliban, Maulvi Omar.

India dan Pakistan sudah tiga kali berperang sejak kedua-dua negara itu mencapai kemerdekaan daripada Britain pada tahun 1947 di mana dua peperangan itu melibatkan wilayah Kashmir.

Sementara itu di New Delhi, kerajaan Perdana Menteri Manmohan Singh memberi amaran terhadap rakyat negara itu agar berhenti daripada melawat Pakistan.

Semua cuti anggota dan pegawai tentera turut dibeku atau dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga terhadap perkembangan terbaru berkenan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Pengemis kutip RM460 sehari ditahan JKM

Oleh ROSLI HASSAN
rosli@kosmo.com.my



ANTARA pengemis yang ditahan dalam operasi bersepadu di bandar Melaka semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


MELAKA – Percaya atau tidak, seorang pengemis lelaki yang ditahan dalam satu operasi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka di sini semalam memiliki wang tunai di tangan RM460.

Jika jumlah itu merupakan pendapatan sehari pengemis berkenaan, ini bermakna pengemis berusia 40-an itu mampu mengutip kira-kira RM14,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Perpaduan Belia dan Sukan negeri, Datuk Ab. Karim Sulaiman berkata, sejumlah 25 pengemis ditahan di sekitar bandar ini sepanjang dua hari operasi bersepadu itu yang berakhir semalam.

Menurutnya, salah seorang pengemis yang ditahan mempunyai wang tunai berjumlah RM460 dalam poket seluarnya ketika ditahan.


“Ketika ditanya, lelaki kurang upaya ini mengaku wang berkenaan merupakan hasil kutipannya pada hari itu dengan mengemis di kaki lima di kawasan tumpuan pelancong,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas operasi itu berakhir semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm

Kaya kelentong sahaja

Oleh JUNHAIRI ALYASA
berita@kosmo.com.my



SEORANG lelaki kecewa apabila barangan skim MLM yang disertainya tidak terjual. – Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR – “Jika ada yang mendakwa mampu meraih RM500,000 sebulan dalam tempoh singkat dengan menyertai skim jualan langsung (MLM), orang itu pasti seorang penipu dan ada unsur penyelewengan. Jadi hati-hatilah.”

Demikian ingatan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, (KPDNHEP), Daud Tahir mengenai kewujudan aktiviti penipuan yang melibatkan syarikat MLM.

“Jika ada peningkatan mendadak dalam jualan, itu mesti ada sesuatu yang tidak kena dan syarikat MLM yang terlibat perlu memastikan ejen-ejennya melakukan kegiatan jualan langsung dengan cara yang betul,” ujarnya ketika dihubungi semalam.

Menurut Daud, kini terdapat banyak aduan mengenai penipuan skim-skim MLM kerana kewujudan ejen-ejennya yang tamak dan ingin cepat kaya. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah kes-kes terbabit.

“Masalahnya ialah sistem sudah cantik tetapi ejen MLM itu sendiri yang ubah dan buat sendiri sistem pemasaran yang akhirnya melanggar garis panduan yang kita tetapkan,” jelas Daud.

Hanya syarikat MLM yang mempunyai premis dan cawangan dilesenkan dan perniagaan MLM berbentuk Internet tidak dilesenkan di bawah Akta Jualan Langsung 1993.

Sementara itu. Ketua Pegawai Eksekutif De Classic Life (M) Sdn. Bhd. (DCL), Datuk Stapa Omar menegaskan bukan mudah untuk mencapai taraf jutawan melalui perniagaan MLM malah ia memakan masa bertahun-tahun.

“Jika ada yang mendakwa boleh bergelar jutawan dalam tempoh tiga bulan dengan menjalankan perniagaan MLM, dia sudah pasti kelentong sahaja,” ujarnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1227&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Zahar sertai PAS, kempen di KT


Muda Mohd Noor Dec 24, 08 10:48am


Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim - yang mendedahkan isu pembelian helikopter Eurocopter - secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Beliau telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini.

Turut hadir pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Zahar (foto) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Dalam ucapannya di majlis tersebut, Zahar berkata, seramai 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan juga akan mengikut jejak langkahnya menyertai PAS.

Zahar juga menyumbangkan pejabat Umno bahagian - dipercayai milik beliau sendiri - kepada PAS kawasan tersebut.

Pejabat itu, yang telah ditutup selama tiga minggu, akan dibuka semula besok dan kakitangan di situ akan turut bekerja bagi pihak parti barunya.

Zahar berkata beliau akan bersama jentera PAS untuk membantu kempen pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, yang berlangsung antara 6 sehingga 17 Januari ini.

Tambahnya, beliau akan mula berkampung di kawasan itu sepanjang kempen mulai 5 Januari, sehari sebelum penamaan calon.

Kapten tentera bersara juga menafikan tindakan penggantungan yang diambil oleh Majlis Tertinggi Umno pada 2 Disember lalu sebagai punca yang menyebabkan beliau melompat parti.

PAS lebih baik...

Sejak keputusan pilihanraya umum 8 Mac lepas yang menyaksikan ketewasan besar BN di beberapa negeri termasuk Selangor, kata Zahar lagi, beliau bersama para penyokongnya sering memikirkan untuk meninggalkan Umno.


Dalam ucapannya, Zahar berkata, beliau tidak lagi menghormati pemimpin tertinggi Umno kerana keputusannya tidak mengambil kira kepentingan dan kehendak rakyat, khasnya orang Melayu.

Katanya, PAS dan Umno adalah sama tetapi PAS lebih baik dari Umno.

"Umno hari ini banyak berbeza dengan Umno yang saya sertai 26 tahun lalu," katanya.

Menurut Zahar lagi, tahun lalu beliau ditawarkan mengambil alih jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, untuk menggantikan Tan Sri Onn Ismail yang uzur, tetapi beliau menolaknya.

"Saya tiga kali berturut-turut ditawarkan bertanding dalam pilihanraya umum, saya juga menolaknya kerana perlu memberi peluang kepada pemimpin lain di peringkat bahagian," katanya.

Sementara itu Nasharuddin (foto, kanan) ketika berucap di majlis tersebut berkata, program pertama Zahar sebagai ahli PAS ialah menemui presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Masjid Rusila dalam masa terdekat.

"Zahar sudah bersama kita sekarang sebagai jentera penggerak dan anggota parti untuk membela bangsa, agama dan negara.

Zahar ke KT

"PAS bergerak di Selangor kerana hendak melaksanakan perubahan untuk membela orang Melayu dan orang bukan Melayu," katanya.

Manakala Dr Hasan (foto, kiri) dalam ucapannya berkata, Zahar dan yang lain-lainnya menyertai PAS bukan untuk mendapat projek dan kekayaan.

Tetapi, katanya, mereka berbuat demikian untuk mendapatkan keredhaan Allah.

"Walaupun PAS kalah dalam pilihanraya, ahli PAS tetap bertambah. Kini sudah (mencecah) satu juta orang," katanya.

Dr Hasan juga berkata, Zahar akan turun ke Kuala Terengganu pada 5 Disember sehingga selepas pilihanraya kecil tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/95366

'Tidak patut, selepas Zahar kaut kekayaan'

Abdul Rahim Sabri Dec 24, 08 12:10pm

kemaskini 2:38pm Bekas ketua bahagian Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim tidak sepatutnya menyertai PAS selepas mendapat kekayaan selama lebih 20 tahun berkecimpung dalam Umno, dakwa seorang pemimpin Pemuda Umno Selangor.

"Tidak seharusnya beliau masuk PAS setelah mendapat kekayaan dan manfaat daripada parti (Umno)," kata exco penerangan Pemuda negeri Nor Azman Mohd Nor.

"Selama lebih 20 tahun beliau berkhidmat dalam parti dan mendapat manfaat daripada parti. Beliau sepatutnya mengenang budi dan jasa (Umno)."

Mengulas tindakan Umno awal bulan ini yang didakwa punca Zahar meninggalkan parti itu, Nor Azman berkata penggantungan Zahar selama tiga tahun bukan diambil sewenang-wenangnya.

"Selama 62 tahun, Umno tidak membuat keputusan sewenang- wenangnya, mesti ada sebab-musabab," katanya, yang juga ketua Pemuda Umno bahagian itu penggal lepas.

Selain mendedahkan isu kontrak pembelian helikopter Eurocopter, Zahar digantung jawatan ketua Umno bahagian mulai 2 Disember kerana mengkritik pemimpin utama parti parti termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa.

Menurut Nor Azman lagi, tindakan Zahar mendedahkan isu pembelian Eurocopter oleh Kementerian Pertahanan bersifat peribadi dan ia di luar pengetahuan ahli-ahli jawatankuasa bahagian.

"Tindakan Majlis Tertinggi (menggantung beliau) perlu kerana ia boleh merosakkan parti dan (merupakan) satu kesalahan. Ahli Umno perlu setia kepada parti," katanya kepada Malaysiakini.

Tidak wajar Zahar meninggalkan Umno dan mengajak sebahagian penyokongnya turut menyertai PAS, tambahnya.

"Tindakan keluar parti dan menyertai PAS, dan meninggalkan ahli adalah satu tindakan peribadi yang tidak patut dilaksanakan," kata Nor Azman, sambil menjelaskan beliau tidak ada permusuhan atau perselisihan faham dengan bekas ketuanya itu.

Bagaimanapun, katanya, beliau yakin bahawa ahli-ahli Umno bahagian tidak terpengaruh untuk bersama-sama dengan mantan ketua bahagian itu kerana menyifatkan mereka sudah berfikiran matang.

Dalam ucapannya hari ini sewaktu menyerahkan borang kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa di satu majlis yang diadakan di sebuah hotel di Ampang pagi ini, Zahar berkata 28 ketua cawangan, dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan akan mengikut jejak langkahnya.

Umno Petaling Jaya Selatan mempunyai 38 ahli jawatankuasa bahagian dan 101 cawangan dengan jumlah keanggotaan lebih kurang 20,000 orang.

Nor Azman juga menjelaskan, bahawa Zahar tidak sepatutnya menyertai PAS tetapi "sepatutnya dia tubuh parti baru".

"Beliau boleh bercakap apa yang beliau suka, dan buat apa yang beliau suka. Selama ini beliau hentam PAS, lepas tu (sekarang) jilat ludah balik," tambahnya.

http://www1.malaysiakini.com/news/95379

Umno khianati saya, kata Zahar


Muda Mohd Noor Dec 24, 08 4:44pm
Bekas ketua bahagian Umno Petaling Jaya Selatan, Datuk Zahar Hashim berkata, beliau tidak mengkhianati Umno, tetapi sebaliknya Umno yang mengkhianatinya.

“Orang Melayu hanya mendapat projek yang kecil sahaja kerana projek besar diberi kepada kroni yang boleh memberi wang semula kepadanya,” katanya.

Zahar berkata, beliau tidak kesal meninggalkan Umno kerana orang Melayu meluat dengan kepimpinan termasuk di Selangor.

“Bagaimana Tan Sri Muhammad Muhd Taib boleh menjadi menteri, ketua penerangan Umno dan Senator, tidak ada orang lain lagikah yang layak.

“Para pemimpin Umno sudah tidak ada kualiti, orang yang terlibat dengan politik wang, boleh menjadi menteri,” katanya.

Zahar berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai PAS dalam satu majlis di sebuah hotel di Ampang hari ini.

Zahar (foto, tengah) digantung jawatan ketua Umno bahagian awal bulan ini kerana mengkritik pemimpin utama Umno, termasuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan kuasa dalam satu pertemuan dengan ketua-ketua bahagian di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau mendakwa, Muhd Taib bersama tujuh atau lapan ketua Umno bahagian di Selangor telah menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, meminta supaya beliau (Muhd Taib) dilantik sebagai ketua perhubungan Umno baru Selangor, menggantikan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Tak calon Mat Taib

Zahar mendakwa, Muhd Taib telah menyalahkan Dr Mohd Khir di atas kekalahan teruk (Barisan Nasional) di Selangor.

"Hubungan saya dengan Tan Sri Muhd Taib sudah renggang," katanya.

Beliau mendakwa, satu ketika dulu, beliau yang mempertahankan Muhd Taib apabila menteri besar Selangor ketika itu, meminta Tan Sri Muhd Taib tidak dicalonkan bertanding dalam pilihanraya.

Zahar juga mendakwa, banyak kesilapan yang dilakukan oleh Muhd Taib dalam Umno.

"Kerana itu, bahagian saya - Petaling Jaya Selatan (PJS) - tidak mencalonkan beliau (Muhd Taib) untuk bertanding jawatan timbalan presiden Umno.

"Dia (Muhd Taib) marah saya kerana saya bercakap bahagian PJS tidak akan mencalonkan beliau, semasa berada di rumah Muhd Taib," katanya.

Sebab itulah, dakwa Zahar, Muhd Taib mensabotaj mesyuarat Pemuda Umno PJS, tetapi beliau tidak mengulas lanjut mengenainya.

Ketika diminta mengulas tawarannya pejabatnya kepada PAS, Zahar berkata, bangunan tersebut adalah miliknya.

Serah pejabat Umno

Beliau mendakwa kesemua pekerja di pejabat Umno bahagian tersebut, juga turut menyertai PAS bersamanya.

"Setiap hari, sekurang-kurang terdapat lima orang pekerja di pejabat tersebut," tambahnya.

Kini, katanya, pejabat tersebut telah menjadi pejabat PAS dan pekerja PAS juga akan turut ditempatkan di situ.


Mengenai dakwaannya bahawa 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa Umno bahagian turut menyertai PAS, Zahar berkata, Umno PJS kini berdepan dengan masalah besar ekoran tindakan mereka itu.

Kira-kira 70 orang menghadiri majlis tersebut, dan sebahagian daripadanya difahamkan adalah ketua cawangan dan AJK berkenaan.

Zahar juga meminta ahli-ahli PAS di kawasan berkenaan supaya jangan memandang serong niatnya untuk menyertai PAS.

"Niat saya adalah untuk membantu parti (PAS) dan orang-orang Melayu, khususnya di Petaling Jaya Selatan," katanya.

Pada masa ini, katanya, Umno PJS memberi sumbangan bulanan sebanyak RM150 seorang kepada orang miskin di kawasan tersebut, selain bantuan makanan seperti gula, beras dan minyak.

Zahar berkata memandangkan beliau yang membiayai sumbangan dan bantuan tersebut, maka ianya akan diteruskan walaupun beliau kini bersama PAS.

Isu Eurocopter

Ditanya mengapa beliau memilih PAS, Zahar berkata: "Ia kerana PAS adalah satu-satunya parti (orang) Melayu".

Ditanya mengapa beliau bertindak meninggalkan Umno selepas mendapat kemewahan dari parti tersebut, Zahar berkata: "Mula-mula saya masuk parti (Umno), saya sudah pun ada sebuah kereta mercedes".

Mengenai kes Eurocopter, Zahar berkata beliau mahu mendedahkan lebih banyak bukti mengenai penyelewengan kes Eucopter tetapi sukar berbuat demikian kerana ia membabitkan pegawai kementerian pertahanan dan kementerian kewangan.

"(Bagaimanapun) saya juga tidak tahu adakah kandungan pendedahan tersebut tertakluk dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA)," tambahnya.

Zahar berkata, beliau adalah jurucakap kepada tiga syarikat yang memasuki tender untuk mendapatkan kontrak tersebut.

“Mereka anggap saya jurucakap kerana mereka tidak berani bersuara. Kita marah kerana penender membayar RM1 juta untuk memasuki tender, sedangkan kerajaan telah menetapkan syarikat yang memperolehi tender tersebut,” katanya.

Zahar berkata, keputusan kerajaan menangguhkan pembelian Eurocopter semata-mata untuk mengaburi mata orang ramai.

http://www1.malaysiakini.com/news/95409

Apa makna penswastaan

Thursday, December 25 @ 12:10:10 MYT

Artikel Oleh restless

Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 80'an dahulu. Ini adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ini adalah dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrim.

Sebelum dasar penswataan di perkenalkan banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat awam. Banyak syarikat-syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.

Kaum pemodal meleleh air lior apabila melihat syarikat air, syarikat api, pejabat pos, syarikat talipon, syarikat kapal terbang, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat ini diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksima. Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.

Khidmat untuk orang ramai ialah shahadah untuk semua syarikat-syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan - khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai. Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada orang ramai.

Tiba-tiba Mahathir Muhamad melancar skim cepat kaya pada tahun 80an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, Pembeklan Air, Pejabat Pos, Hospital, Taman Negara, Jalan Raya, Balai Raya, Dewan Orang Ramai, Rumah Rehat – semua ini adalah contoh-contoh syarikat dan harta orang yang ditelah diagih-agihkan oleh Mahathir Muhamad kepada kaum kerabat dan kroni-kroninya.

Inilah skim cepat kaya Mahathir Muhamad yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Di tahun-tahun itu, ketika Mahathir ditahta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi towkay gedung-gedung perniagaan. Kita mendengar Mat Driber Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.

Semua harta-harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk di jadikan milik pribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni. Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada badan Unit Perancangan Ekonomi - EPU. Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan Perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.

Hasilnya di zaman Mahathir Muhamad banyak lanun dan perompak menjadi kaya raya.

Bayangkan berpuluh puluh tahun syarikat dan harta-harta ini telah dibangunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa dari BOAC akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa. Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya Pejabat Pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara. Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka dan jalan raya dan landasan keretapi dibuat.

Berapa bilion ringgit pelaboran telah di curahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat yang telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini? Dalam sekelip mata sahaja semua harta-harta ini telah dirompak oleh Mahathir Muhamad. Harta-harta milik kita semua ini dengan bagitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.

Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar pengswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar globalisasi ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.

Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom. Tidak kah kita merasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar. Tidak kah kita merasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika? Tidak kah kita terganggu apabila syarikat talipon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea dan Australia?

Dasar penswastaan ini telah berjalan lebih dari 20 tahun. Porak peranda hasil dari dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung 'menipu' untuk membuat duit. Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang 'tidak bermutu' tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar. Jika tidak ada duit maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.

Lihat pula berapa banyak jalan-jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan harga saban tahun. Talipon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat swasta ini.

Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung – keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Bila syarikat ini di swastakan bila ada untung maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini. Ini bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.

Minggu lalu Najib Razak telah cuba melakukan rompakan di siang hari. Najib Razak sedang mula membuat jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby adalah kroni pertama Najib Razak. Jika di selidik dan di halusi maka pasti akan kita ketemui bahawa Najib Razak dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan dalam syarikat Sime Darby ini. Atau telah ada 'persetujuan' yang syarikat Sime Darby ini akan memperkukuhkan kedudukan Najib dari segi sokongan politik dan kewangan.

Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara. Ini telah di persetujui oleh Najib Razak. Najib Razak sendiri membuat kenyataan - DIA TIDAK AKAN MENGHALANG NIAT SIME DARBY.

Lihat dengan jahat dan licik Najib Razak telah 'membocorkan' berita rancangan rompakan ini sesudah perlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Ini niat jahat.

Najib Razak tidak mahu projek rompakan IJN ini dibincangkan di parlimen. Pasti perancangan rompakan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap. Secara sulit pasti ada 'deal' yang telah dibuat. Kenapa projek rompakan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib besetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu di warwarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?

Semua rompakan penswastaan di buat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan. Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang di janjikan.

Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengkayakan kroni dan kaum kerabat. Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai dari kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.

Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran. Selagai mereka berkuasa rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan –hentikan dasar ini dan mereka kita nyahkan dari tampok kuasa.

http://eforum2.cari.com.my/viewthread.php?tid=392030&pid=27973787&page=2&extra=page%3D1#pid27973787

MP Kapar keluar PKR minggu ini?

Sabtu Disember 27, 2008

Manikavasagam: Hadiah tahun baru bagi parti

Oleh G. MANIMARAN


DATUK Seri Anwar Ibrahim berbual dengan dua ahli Parlimen PKR di bangunan Parlimen (dari kiri) N. Gobalakrishnan (Bagan Serai) dan S. Manikavasagam (Kapar) pada Oktober lalu.

PETALING JAYA: Permulaan tahun baru 2009 - hanya sembilan bulan selepas pilihan raya umum 8 Mac, bakal disambut dengan 'gegaran' dengan seorang pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor dipercayai sudah hampir pasti keluar parti ituBold.


Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam yang sejak beberapa hari lalu menyatakan hasrat keluar PKR jika itu yang sesetengah pihak mahukan, berkata, "kali ini saya serius untuk mengambil tindakan keras."


Beliau dijadual mengumumkan pendiriannya secara rasmi sebelum Rabu ini.


"Saya sudah membuat keputusan muktamad. Saya tidak bergurau, saya memang serius, saya memang serius kali ini.


"Keputusan ini memang satu tindakan yang keras... ia akan menjadi hadiah tahun baru kepada parti,"
kata Manikavasagam ketika ditemui mStar Online di sini.


Manikavasagam, 43, juga merupakan anggota Majlis Tertinggi PKR dan salah seorang daripada tiga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Selangor.


Anggota Dewan Rakyat penggal pertama itu memenangi kerusi Parlimen Kapar pada 8 Mac lalu menewaskan penyandangnya, yang juga Ketua Wanita MIC, Komala Devi Perumal dengan majoriti 12,297 undi.



DIPUJUK ANWAR


Manikavasagam, yang kelihatan antara pemimpin lantang bersuara dalam PKR, mengakui beliau pernah menyatakan hasrat untuk keluar parti dan meletakkan jawatan sebelum ini tetapi telah dipujuk oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa kali.


"Tetapi kali ini, saya sudah buat keputusan dan tidak bercakap dengan mereka (Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR yang lain).


"Saya tidak mahu bercakap dengan mereka, saya sudah membuat keputusan muktamad saya," kata beliau dalam nada sambil memperlihatkan kekecewaan dengan perkembangan semasa dalam parti tersebut.


KECEWA


Dua hari lalu, Manikavasagam melahirkan hasrat untuk keluar PKR dan mahu menjadi Ahli Parlimen Bebas kerana kecewa dengan sikap pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor yang didakwanya cuai menjaga kepentingan rakyat.


Menurutu Manikavasagam, pemimpin Pakatan Rakyat di Selangor juga didakwa tidak sepakat dan rapuh dari segi hubungan sesama mereka, selain segelintir berlagak sombong serta enggan berbincang mencari penyelesaian terhadap isu yang diketengahkan.


Manikavasagam menambah, beliau sudah kecewa dengan perkembangan sejak sembilan yang lalu.


"Saya sudah kecewa. Pengundi-pengundi saya tahu saya bekerja untuk mereka, saya tidak mahu ditipu lagi selepas mengalami nasib yang sama selama 50 tahun yang lalu," katanya.


Selain tidak mendapat sokongan daripada pemimpin PKR sendiri, jelas Manikavasagam, wakil rakyat PKR juga dikecam dan dikritik oleh pemimpin parti komponen Pakatan Rayat khususnya DAP.


TIADA SOKONGAN PEMIMPIN PKR


Kata Manikavasagam lagi, apabila dikritik oleh pemimpin parti komponen, tiada pemimpin PKR yang tampil mempertahankan beliau dan wakil-wakil rakyat yang lain.


Dalam penjelasan itu, Manikavasagam secara langsung merujuk kepada kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim, yang didakwa menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong kerana terbabit dalam bantahan pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru, di Klang Sentral, Kapar.


Dua bulan lalu Manikavasagam juga pernah mengugut akan melepaskan jawatan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri jika kerajaan negeri tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya.


Sebelum ini, Manikavasagam mencetuskan kontroversi apabila mengkritik secara terbuka dan menuduh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid sebagai tidak prihatin kerana tidak turun padang melawat mangsa ribut Oktober lalu.


Khalid merupakan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Selangor.


AMARAN TIMBALAN PRESIDEN


Dalam pertemuan dengan mStar Online, beliau juga memaklumkan bahawa menerima SMS daripada Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali yang antara lain menyatakan Manikavasagam sering memburukkan parti melalui media.


Syed Husin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR menasihatkan Manikavasagam agar menghentikan perbuatan itu.


Manikavasagam berkata, beliau menjawab SMS itu dengan menjelaskan bahawa pemimpin PKR termasuk Timbalan Presiden seharusnya meneliti tohmahan yang dilemparkan ke atasnya oleh Teng dari pelbagai sudut dan kesukaran yang dialami selama ini.


Katanya, pemimpin PKR tidak menghulurkan bantuan dan sokongan apabila diharapkan dan tidak melihat isu itu dari satu sudut semata-mata.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/27/mstar_mutakhir/20081226140818&sec=mstar_mutakhir

Umno PJ Selatan lumpuh


Zahar juga menyumbangkan pejabat Umno bahagian (dipercayai milik beliau sendiri) kepada PAS kawasan tersebut

25 Dec 2008 1:31AM
Oleh Mohd Sayuti Omar


UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan mungkin tutup kedai dan lumpuh ekoran bekas ketuanya Kept (B) Zahar Hashim, 60 berhijrah ke dalam Pas dan telah menyerahkan borang keahliannya kepada Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa di satu majlis khas diadakan di sebuah hotel di Ampang Jaya pagi ini.

Bersama Zahar turut berhijrah ialah 13 ahli jawatankuasa bahagian dan 28 ketua cawangan bahagian berkenaan. Penghijrahan beramai-ramai itu menyebabkan Umno Bahagian Petaling Jaya terus lumpuh.

Penyertaan Zahar bersama kepimpinan bahagian dan cawangan itu juga memberi pukulan hebat kepada Umno yang akan menghadapi pilihan raya kecil Kuala Terengganu minggu depan.

Zahar dalam majlis penyerahan borang itu menjelaskan penyertaannya ke dalam Pas kerana yakin Pas adalah parti terbaik untuk orang Melayu dan mampu membela agama di masa depan.

"Pas bukan lagi parti alternatif kepada Umno tetapi parti yang lebih baik daripada Umno," tegasnya.

Jelasnya penyertaan itu bukan mengejar kedudukan dan pangkat di dalam Pas melainkan untuk memberi sumbangan kepada Pas dalam membantu rakyat, khasnya rakyat miskin.

Menurutnya beliau pernah ditawarkan jawatan Speaker DUN Selangor namun beliau tolak, penolakan itu menunjukkan beliau tidak mengejar kedudukan.

Kerana itu katanya kemasukan beliau dalam Pas hendaknya tidak dicurigai kerana beliau ikhlas untuk berjuang bersama Pas bagi memberi khidmat kepada rakyat.

"Saya masuk bukan hendak pangkat dan kedudukan tetapi untuk bersama Pas membantu rakyat miskin dan perkara ini saya sudah jelaskan kepada Pas kawasan Petaling Jaya Selatan," jelasnya.

Mengenai desas desus mengatakan beliau mengambil tindakan itu setelah keahliannya digantung, Zahar menjelaskan desas desus itu tidak betul.

Katanya sejak awal tahun lalu beliau sudah merasa tidak selesai dengan Umno ekoran peralihan kuasa dalam Umno Selangor. "Jadi kebetulan Umno pecat saya ia memberi jawaban kepada apa yang sedang difikirkan," tegasnya.

Zahar telah menyertai Umno menerusi cawangan Subang Jaya pada tahun 1981 menjadi Timbalan Ketua Umno Bahagian Subang Jaya merangkap Bendahari Umno Bahagian Puchong tahun 1982 - 1987.

Pada tahun 1994 - 1999 beliau menjadi Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan dan juga Adun kawasan Taman Medan. Ekoran persempadanan semula bahagian Umno pada tahun 1999 - 2008 beliau memimpin Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan sehingga keahliannya digantung baru-baru ini.

Menjelas lanjut kenapa beliau bertindak meninggalkan Umno ekoran timbul peralihan kepimpinan Umno Selangor awal tahun lalu.

Ekoran penyertaan Zahar itu juga Pejabat Umno Bahagian Petaling Jaya Selangor ditutup dan ia akan menjadi pejabat Pas kawasan berkenaan.

Nasharudin dalam ucapan mengalu-alukan kemasukan Zahar menyifatkan ia satu penghijrahan sekumpulan manusia yang ingin mencari kebenaran bersama Pas dan ia dialu-alukan Pas yang menganggapnya hadiah sempena menjelang tahun baru hijrah.

Nasarudin berharap kemasukan itu akan memberi sumbangan besar kepada Pas dalam usaha untuk memartabat bangsa Melayu dan Islam.

Turut hadir meraikan kemasukan Zahar ke dalam Pas ialah Pesuruhjaya Pas Selangor Dr Hassan Mohd Ali, timbalannya Dr Che Musa, Ketua Penerangan Mohd Roslan Mohd Shahir, ahli Exco Selangor dari Pas, Dr HalimahAli, Dr Rani Osman serta lain-lain pemimpin tertinggi Pas. / msomelayu.blogspot.com

KRONOLOGI PAPARAN KLPOS KISAH KAPTEN ZAHAR LOMPAT PAS

25 Disember 2008: UMNO PJ Selatan lumpuh
24 Disember 2008: Muhammad ucap tahniah kepada PAS terima orang bermasalah
24 Disember 2008: Khabar angin jadi nyata, tabik PAS untuk Kapten Zahar
23 Disember 2008: Ketua Umno PJ Selatan akui kemungkinan besar 'join' PAS
22 Disember 2008: Tokoh Umno bersama 30 ketua cawangan akan serah borang masuk PAS Rabu?
20 Disember 2008: Tokoh Umno umum 'join' PAS esok

http://www.klpos.com/news/2008/12/25/2.html

Pemilihan Umno: Tiada tindakan ahli minta sogokan



Dec 26, 08 12:38pm

Ahli Umno yang meminta sogokan untuk diri sendiri bagi menyokong calon jawatan parti, masih boleh terlepas daripada tindakan disiplin akibat kelemahan Tataetika Ahli Umno walaupun peraturan itu baru saja dipinda Mac lalu.

Sambil mencadangkan agar tataetika itu dipinda sekali lagi, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail, berkata pada masa ini tidak ada peruntukan bahawa ahli yang meminta imbuhan, sama ada dalam bentuk kewangan ataupun lain-lain sebagai bayaran bagi undi atau sokongan, dikenakan tindakan.

"Kalau boleh kita pinda dan tambah perkara ini agar yang minta duit pun bersalah. Sekarang tak ada," katanya kepada Bernama di sini.

Perkara 5 tataetika itu, yang dipinda pada Mac lalu, menetapkan bahawa salah laku berkaitan rasuah/sogokan politik dibahagikan kepada tiga kategori iaitu:

* Menyalahguna kuasa secara langsung atau tidak langsung sama ada secara sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, untuk mendorong atau memaksa orang mengundi atau tidak mengundi mana-mana orang dalam mana-mana pemilihan parti, sama ada bagi pihaknya atau bagi pihak lain;

* Memberi, meminjam, meminta atau bersetuju untuk memberi, meminjam, meminta atau menawarkan, menjanjikan atau berjanji untuk mendapatkan wang atau apa-apa balasan bernilai bagi seseorang ahli parti atau orang lain dengan tujuan mendorong ahli supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau bagi pihak lain; dan

* Memberi atau menerima, atau membenarkan anggota keluarganya atau mana-mana orang untuk memberi atau menerima bagi pihaknya secara langsung atau tidak langsung kepada atau daripada mana-mana anggota Umno hadiah, benda atau faedah sama ada secara zahir atau sebaliknya, bagi mendorong seseorang anggota parti supaya mengundi atau tidak mengundi pada mana-mana pemilihan parti bagi pihaknya sendiri atau pihak lain.


Beberapa pegawai kanan Umno mengesahkan bahawa pihak yang dimaksudkan dalam salah laku ini ialah calon dan ejen bagi pihak calon atau bagi pihak perwakilan dan bukan merujuk kepada ahli yang meminta sogokan untuk diri sendiri.

Pemerhati politik berpendapat pindaan yang dicadangkan itu adalah relevan kerana ramai ahli peringkat akar umbi mendakwa perbuatan ahli meminta sogokan untuk diri sendiri menjadi semakin berleluasa semasa mesyuarat agung cawangan dan bahagian Umno baru-baru ini.

Penasihat Undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun dalam satu temubual dengan Bernama bulan lepas turut mengakui mendengar dakwaan semakin ramai ahi yang mendekati bakal-bakal calon meminta sogokan jika mahukan undi mereka.

Perkembangan ini, katanya, telah meletakkan sebahagian daripada bakal calon dalam keadaan serba salah dalam usaha mereka mendapatkan pencalonan yang mencukupi untuk melayakkan diri bertanding jawatan parti.

Bagaimanapun beberapa pemimpin Umno, walaupun mengalu-alukan cadangan itu, berpendapat Lembaga Disiplin tidak perlu peraturan khusus untuk mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar disiplin parti kerana ia boleh bertindak mengikut budi bicara seperti yang pernah dilakukan dalam beberapa kes disiplin sebelum ini.

Ketua Pemuda Umno Johor Datuk Razali Ibrahim memberi contoh penggantungan hak keanggotaan Datuk Ahmad Ismail yang dibuat atas dasar budi bicara selepas ketua bahagian Umno Bukit Bendera itu didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman tidak lama dulu.

Dalam tataetika, peruntukan mengenai kesalahan (Ahmad) itu tak ada. Tetapi tindakan tetap diambil sebab yang salah tetap salah.

"Jadi jangan beritahu kita disebabkan tak ada peruntukan dalam tataetika maka tindakan tidak boleh diambil sebab dalam isu rasuah politik ini yang memberi salah, yang meminta pun salah," katanya.

Razali, yang juga Ahli Parlimen Muar, berpendapat dalam isu anggota Umno meminta sogokan untuk diri sendiri, mereka boleh dikenakan tindakan menerusi peruntukan salah guna kuasa, iaitu perwakilan menyalahgunakan kuasa mereka sebagai pemberi undi.

"Cadangan itu memang baik tapi pada saya pindaan ini tidak penting kerana yang penting adalah tindakan diambil terhadap mereka yang memang benar-benar bersalah," katanya.

Beliau juga berkata saranan itu boleh menimbulkan kesan buruk terhadap lembaga disiplin dan Umno.

"Saya bimbang sebab banyak sangat kenyataan nak buat macam-macam, tapi bila orang tak nampak tindakan, mereka akan mencemuh. Selain itu kenyataan yang dibuat oleh Lembaga Disiplin ini juga membawa persepsi seolah-olah gejala rasuah politik berleluasa dalam Umno," katanya.

Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Syed Ali Alhabshee yang bersetuju dengan pandangan itu berpendapat lembaga disiplin sepatutnya menumpukan perhatian untuk menyelesaikan setiap aduan salah laku disiplin dengan lebih cepat dan telus.

"Saya tak ada masalah dengan cadangan itu jika ia membawa kebaikan kepada Umno tetapi janganlah sampai Umno ini dibenci, punah, sebab kenyataan sedemikian membawa implikasi parti ini terlalu korup," katanya.

Beliau berpendapat masalah rasuah politik dalam Umno tidak seburuk seperti yang dianggap oleh orang ramai memandangkan gejala itu cuma melibatkan segelintir sahaja.

Syed Ali tidak menolak kewujudan budaya yang melibatkan perwakilan meminta sogokan.

"Pada saya ini terpulang kepada calon yang nak bertanding. Dia tahu rasuah politik ini salah dan jika dia berhemah dia patut buat aduan bahawa ada perwakilan minta sogokan daripada dia, habis cerita," katanya.

Pemilihan Umno bagi peringkat majlis tertinggi yang dijadual berlangsung semasa perhimpunan agung parti dari 24 hingga 28 Mac tahun depan melibatkan pertandingan bagi semua peringkat kecuali untuk jawatan presiden yang telah dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran pengunduran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

http://www1.malaysiakini.com/news/95468

Gobalakrishnan: Saya tahu mengapa saya dilarang...


Rahmah Ghazali Dec 26, 08 6:42pm


Terdapat dua sebab mengapa ahli Parlimen dari Semenanjung, N Gobalakrishnan dilarang masuk ke Sarawak Rabu lalu.

Menurut ahli Parlimen Padang Serai, Kedah itu, beliau dilarang masuk ke negeri itu kerana pembangkang semakin menjadi ancaman kepada kerajaan Sarawak dan juga ucapannya di Dewan Rakyat yang menghentam Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Gobalakrishnan berkata, beliau sudah banyak kali ke Sarawak sebelum ini dan tidak pernah menghadapi sebarang masalah dengan pihak imigresen negeri tersebut sehinggalah dua hari lalu. Pihak berkuasa bagaimanapun tidak memberi sebab berhubung larangan tersebut. larangan tersebut.

Gobalakrishnan berkata, kunjungan terbarunya ke Sarawak ialah minggu lalu di mana beliau pergi ke Lubok Antu, yang terletak di selatan bandar Kuching, untuk membantu penduduk di situ membuat persediaan untuk menyambut Krismas.

"Mengapa larangan dikena ke atas saya sekarang? Ini sudah pastinya (bermotif) politik," katanya.

"Sejak beberapa bulan lalu, saya sudah beberapa kali mengunjungi rumah-rumah panjang dan saya mengumpul sokongan dari kalangan penduduknya, terutama dari kaum Dayak," tambah Gobalakrishnan.

Tambahan lagi, katanya, kerajaan negeri tersebut turut menjemputnya untuk menghadiri perayaan Hari Gawai pada bulan Jun.

"Mengapa tiba-tiba saja ini berlaku?" soalnya.

'Cabar di mahkamah'

Gobalakrishnan berkata beliau tidak akan membiarkan perkara itu begitu sahaja.

Beliau mahu mencabar larangan ke atasnya itu di Mahkamah Tinggi Kuching. Menurutnya, pihak berkuasa negeri tersebut telah melanggar Akta Imigresen.

"Mereka telah menggunakan Artikel 66 (1) di mana ketua menteri mempunyai hak untuk melarang sesiapa sahaja masuk (ke Sarawak). Tetapi di bawah artikel 66 (1)(c), sebarang individu dari sebuah badan yang ditubuhkan di bawah perlembagaan persekutuan tidak boleh dilarang masuk. Dewan Rakyat adalah di bawah perlembagaan persekutuan," hujahnya.

Rabu lalu, Gobalakrishnan dilarang masuk ke Sarawak oleh pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Beliau ke sana untuk menghantar satu seminar anjuran PKR di luar bandar Kuching dan untuk menziarahi keluarga angkatnya (Iban) di Kapit, sebuah pekan yang terletak di tengah-tengah Sarawak, sempena perayaan Krismas.

PKR telah meningkatkan kempennya di menjelang pilihanraya negeri - diura-urakan akan diadakan pada 2010.

Pemimpin utamanya Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdul Taib.

Anwar juga telah meminta barisan pemimpin kanan parti itu termasyk ahli-ahli parlimennya setiap minggu melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat, yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak, sewaktu perbahasan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM, minggu lalu.

Ketika membahaskan, Chong mendakwa Taib telah memberi projek pembinaan jalan bernilai jutaan ringgit kepada syarikat milik keluarganya CMS Group - yang pengerusinya terdiri daripada anak Taib - Datuk Sulaiman Abdul Rahman Taib, yang kini menjadi menteri pelancongan.


Pemegang saham utama syarikat tersebut, termasuklah seorang lagi anak Taib - Abu Bakar Taib - selaku timbalan pengerusi - serta isteri Taib, yang menguasai syarikat tersebut.

Chong turut mengecam Badan Pencegah Rasuah (BPR) yang didakwanya gagal menyiasat perkara itu ekoran banyak projek-projek pembinaan telah diberikan kepada syarikat berkenaan oleh kerajaan negeri tanpa melalui tender terbuka.

Gobalakrishnan kemudiannya bangun menyokong Chong.

Katanya, beliau akan membangkitkan insiden larangan terhadapnya untuk memasuki Sarawak apabila Dewan Rakyat bersidang lagi pada Februari depan.

http://www1.malaysiakini.com/news/95482

Wakil rakyat PKR dihalang masuk S'wak


Muda Mohd Noor Dec 24, 08 7:17pm

Ahli parlimen PKR bagi Padang Serai, N Gobalakrishnan mendakwa beliau dihalang masuk ke Sarawak oleh kerajaan negeri sewaktu tiba di lapangan terbang antarabangsa Kuching petang ini.

Dalam insiden kira-kira jam 5.30 petang tadi, tambahnya, beliau diberikan sekeping notis larangan oleh pihak imigresen.

"Sebaik tiba di lapangan terbang, pegawai imigresen memberitahu saya yang saya tidak dibenarkan masuk atas arahan kerajaan negeri.

"Pegawai imigresen memberi sekeping notis yang tertulis 'Tuan bukan rakyat Sarawak, tidak berhak untuk masuk ke Sarawak tanpa permit atau pas Akta Imigresen 1959-1963'.

"Kini saya masih berada di bilik imigresen lapangan terbang berkenaan menunggu untuk dihantar (ke Kuala Lumpur) pulang jam 7.25 malam ini," katanya kepada Malaysiakini pada 6.30 petang tadi.

Gobalakrishnan berkata, walaupun beliau bertanyakan alasan mengapa tidak dibenarkan masuk, pegawai berkenaan memberitahu ia atas arahan kerajaan negeri.

Beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan tindakannya mempertahankan seorang ahli parlimen DAP bagi Kuching, Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat yang mempersoalkan peranan sebuah syarikat milik kerajaan Sarawak.

Pada 16 Disember lalu, Gobalakrishnan turut serta dalam perbahasan wakil pembangkang itu yang menggesa Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud disiasat apabila Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diluluskan.

Chong mendakwa rakyat Sarawak mengetahui perkara tersebut tetapi Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak menyiasat dakwaan terhadap Abdul Taib dan ahli keluarganya.

Sewaktu dihubungi tadi, Gobalakrishnan berkata beliau mahu masuk ke Sarawak untuk menghadiri satu program PKR.

Berikutan itu, katanya, beliau akan membangkitkan perkara itu dalam sesi sidang Dewan Rakyat yang akan datang.

Bagaimanapun, tiada reaksi rasmi kerajaan Sarawak setakat ini berhubung insiden tersebut.

PKR telah meningkatkan kempennya di menjelang pilihanraya negeri - diura-urakan akan diadakan pada 2010.

Pemimpin utamanya Datuk seri Anwar Ibrahim mendakwa pembangkang semakin kuat untuk menumbangkan kerajaan BN pimpinan Abdul Taib.

Anwar juga telah meminta barisan pemimpin kanan parti itu termasyk ahli-ahli parlimennya setiap minggu melawat Sarawak untuk menemui rakyat negeri tersebut.

http://www1.malaysiakini.com/news/95434

Pindah operasi hentian Bas Klang Utara

KLANG: Operasi Hentian Bas Klang Utara di Jalan Pos Baharu dan Hentian Bas Ekspres serta Kereta Sewa di Lorong Kepayang akan dipindahkan sepenuhnya ke Terminal Bas Klang Sentral di Jalan Meru mulai Sabtu ini.

Anggota Majlis Perbandaran Klang (MPK) Razali Hassan, berkata keputusan memindahkan operasi kedua-dua hentian bas itu dilakukan selepas mendapati pemaju terminal baru berkenaan, NPO Development menepati hampir semua spesifikasi ditetapkan MPK.

“Mungkin pemaju perlu memperbetulkan satu dua perkara sebelum terminal dibuka,” kata Razali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemindahan Stesen Bas Klang Utara ke Terminal Bas Klang Sentral, kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat bulanan MPK di sini, semalam. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081225010021/Article/index_html

Pesara dapat durian runtuh


Oleh Hayati Ibrahim
yati@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Lebih 300,000 pesara dan penerima pencen bakal menerima durian runtuh mulai Januari depan berikutan penyelarasan dasar baru pencen dan persaraan tahun 2008 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.

Pengarah Bahagian Pasca Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Datuk Yeow Chin Kiong berkata penyelarasan baru itu menyaksikan segolongan besar pesara dan penerima pencen akan menikmati kadar pencen lebih tinggi.

“Ketika ini, terdapat kira-kira 590,000 pesara dan penerima pencen. Daripada jumlah itu seramai 334,783 akan menerima kenaikan kadar pencen berkuatkuasa 1 Januari depan.

“Kenaikan itu membabitkan bayaran tambahan RM1.3 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM9 bilion,”
katanya pada sidang media menjelaskan mengenai Opsyen Semula Skim Pencen dan Ex-Gratia Terbitan di pejabatnya, di sini, semalam.

Yeow berkata, bayaran pencen itu akan dikreditkan ke dalam akaun masing-masing lebih awal iaitu pada 16 Januari 2009 berikutan sambutan Tahun Baru Cina.

“Bagaimanapun, hampir dua peratus atau kira-kira 4,000 penerima pencen dan pesara mungkin tidak menerima bayaran pada tarikh berkenaan berikutan beberapa masalah, termasuk pertukaran akaun bank atau terdapat pertikaian tempoh waktu perkhidmatan,” katanya.

Pembayaran pencen berkenaan dibuat menerusi dasar baru pencen merangkumi pemansuhan syarat pemastautin membabitkan kos RM32 juta, perkiraan pencen sehingga maksimum 360 bulan atau 30 tahun tempoh perkhidmatan (RM718 juta) dan pemansuhan penyusutan pencen terbitan kepada 70 peratus selepas tempoh 12 setengah tahun (RM316 juta).

Selain itu, pembayaran ex-gratia kepada ibu bapa anggota bujang yang meninggal dunia dalam perkhidmatan (RM112 juta) dan peningkatan kadar pencen terendah kepada RM720 sebulan bagi pegawai yang mempunyai sekurang-kurangnya 25 tahun perkhidmatan yang boleh dikira (RM140 juta).

Abdullah ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 2008 Mei lalu mengumumkan pencen akan dikira mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2009 selain had umur persaraan wajib bagi kakitangan awam yang dilanjutkan daripada 56 kepada 58 tahun.

Selain itu, kerajaan bersetuju menghapuskan syarat penyusutan pencen terbitan juga mulai 1 Januari ini.

Sementara itu, bagi pemberian opsyen semula kepada pegawai yang memilih skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Yeow berkata, lebih 66,000 penjawat awam yang sudah memilih skim itu diberi peluang kembali kepada skim pencen.

“Mereka yang ingin kembali kepada skim pencen yang kebanyakannya terdiri daripada guru wanita dan pengamal perubatan boleh berbuat demikian mulai 1 hingga 31 Januari 2009,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081225010244/Article/index_html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...