Monday, May 11, 2009

Bakteria Diplococci penyebab meningitis di Melaka

Isnin Mei 11, 2009

MELAKA: Kementerian Kesihatan telah mengenal pasti bakteria jenis "diplococci" yang menyebabkan jangkitan meningitis kepada pelatih Akedemi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua di sini yang telah menyebabkan satu kematian pada minggu lepas.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata sehingga pukul 2 petang ini, sebanyak 20 pelatih telah dimasukkan ke Hospital Melaka termasuk dua dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 18 ditempatkan di wad pengasingan.

Katanya, enam pesakit baru telah dimasukkan ke Hospital Melaka petang semalam dan satu dimasukkan hari ini. "Bagaimanapun kita yakin keadaan jangkitan bakteria meningitis ini dapat dikawal dengan semua langkah pencegahan dan pemulihan yang dilakukan oleh Hospital Melaka (HM)," katanya kepada pemberita selepas meninjau dan melawat mangsa wabak itu di Hospital Melaka di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Dr Ghazali Othman.

Liow berkata jumlah pelatih yang dikuarantin di akademi JPJ seramai 93 orang dan mereka kini diawasi satu pasukan petugas khas tujuh orang yang diketuai oleh seorang doktor untuk langkah segera sekiranya berlaku kecemasan.

Beliau berkata, pelatih yang dikuarantin telah diberi antibiotik pencegahan jenis "ciprofloxacin" manakala mereka yang dirawat di hospital diberi antibiotik jenis "ceftnaxone" untuk rawatan penyembuhan.

"Saya tengok pesakit di wad ICU dan wad pengasingan berada dalam keadaan sihat dan lebih baik, antibiotik yang diberi nampaknya menyembuhkan mereka dan mereka perlu menjalani rawatan selama tujuh hari sebelum tindakan seterusnya," katanya.

Beliau juga berkata, orang ramai terutama penduduk di Tiang Dua tidak perlu panik dengan jangkitan bakteria meningitis kerana ia hanya berjangkit menerusi cara "titisan air" iaitu apabila pesakit itu batuk atau bersin pada jarak satu meter.

"Bakteria meningitis ini tidak akan menjadi satu wabak yang tidak terkawal," katanya mengulas kebimbangan orang ramai.

Katanya, contoh bakteria diplococci itu telah dihantar ke makmal mikro biologi di Sungai Buloh, Selangor untuk dikenal pasti jenisnya kerana bakteria itu terdiri daripada pelbagai jenis.

"Kita juga masih menyiasat punca bakteria itu dengan mengambil sampel di tempat pelatih berkenaan menjalani latihan praktikal iaitu di tiga tempat Pedas (Negeri Sembilan), Muar (Johor) dan Bukit Katil (Melaka).

Katanya, semua pelatih dan staf di JPJ Tiang Dua juga telah diberi antibiotik untuk mengawal wabak itu.

"Saya juga berharap tiada spekulasi jangkitan bateria meningitis ini dikaitkan dengan dengan wabak influenza A (HINI) yang kini semakin meruncing di dunia," katanya.

Beliau juga berkata, sehingga hari ini tiada kes influenza A dikesan di Malaysia.BERNAMA

Bercinta dengan bukan Islam

Soalan 1:

Apakah hukumnya bercinta dengan orang berlainan agama. Adakah haram atau sebaliknya?

Jawapan:

Islam tidak menafikan perasaan cinta kerana ia adalah satu perasaan yang fitrah dalam kehidupan manusia. Hidup seseorang manusia sentiasa diliputi dengan cinta dan kasih sayang.

Islam mengakui adanya rasa cinta yang ada dalam diri manusia. Ketika seseorang memiliki rasa cinta, maka hal itu adalah anugerah Allah SWT: Dijadikan indah pada manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang, itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik. (ali-'Imran: 14).

Namun, Islam sebagai al-Din memberi panduan lengkap bagi setiap lapangan hidup termasuklah dalam bab bercinta. Cinta itu harus diatur dengan sebaik-baiknya agar tidak salah dan tersasar daripada penerapannya yang sebenar.

Rasa cinta sebenarnya itu sewajarnya dipendam dalam hati, dan kelak baru diungkapkan setelah menjadi pasangan suami isteri yang sah menurut ajaran Islam.

Sebelum berlakunya akad nikah, Islam tidak membenarkan seorang wanita bercanda dengan lelaki yang bukan mahramnya untuk mengungkapkan perasaan cinta, baik secara langsung mahupun melalui komunikasi di telefon atau talian chatting.

Ini kerana pada hakikatnya ia bukan sebuah cinta, melainkan nafsu syahwat dan tarikan sepintas lalu sahaja. Sedangkan di luar dari ruang pernikahan, Islam tidak pernah membenarkan semua itu.

Firman Allah yang bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina, (zina) itu sungguh suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk. (al-Israk: 32).

Prinsip asas dalam adab bercinta dalam Islam ialah berpasakkan keredaan Allah, mematuhi segala suruhan-suruhan-Nya dan tidak boleh mengikuti kehendak makhluk-Nya sehingga mengingkari perintah atau larangan-Nya.

Pertama, seseorang yang benar-benar ingin mengamalkan Islam dalam dirinya perlu membetulkan niat apabila bercinta. Bercinta kerana Allah SWT dengan tujuan menghalalkan perhubungan itu daripada segenap sudut melalui perkahwinan yang sah.

Menjalin hubungan cinta antara lelaki dan perempuan yang bukan Islam tidak dibenarkan (haram) kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan daripada manfaat.

Seseorang muslim atau muslimah itu perlu berhati-hati dalam persoalan hati. Apatah lagi apabila jalinan perasaan tersebut melibatkan seorang yang berlainan agama. Sebabnya, seseorang Muslim hanya dibenarkan berkahwin dengan Muslim sahaja.

Jika salah seorang daripada pasangan bukan Islam tidak memeluk Islam, hukumnya mereka mestilah berpisah dan tidak boleh mengikat tali perkahwinan. Ini kerana seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya.

Larangan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 221 yang bermaksud:Dan janganlah kamu mengahwini wanita-wanita musyrik sehingga mereka beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang wanita musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Dan janganlah kamu mengahwini lelaki musyrik sehingga dia beriman (memeluk agama Islam). Dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman itu adalah lebih baik daripada seorang lelaki musyrik sekalipun kamu tertarik kepadanya. Sesungguhnya mereka itu menyeru kepada neraka. Manakala Allah menyeru kepada syurga dan keampunan dengan izin-Nya.

Selain ayat al-Quran di atas, terdapat hadis-hadis yang menyatakan bahawa baginda SAW telah memberi peringatan yang sangat keras dalam hadis baginda mengenai azab yang disediakan oleh Allah SWT kepada hambanya kerana menyentuh wanita yang bukan mahramnya (tanpa ikatan perkahwinan yang sah.)

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Lebih baik ditembusi dengan jarum dari besi yang panas dari dubur sampai kepalanya daripada menyentuh wanita yang bukan mahramnya". (riwayat Imam al-Tabrani dalam Mu'jam al-Kabir)

Soalan 2:

Bagaimanakah cara untuk tarik minatnya terhadap Islam dan bagaimana cara untuk dia memeluk Islam? Bagaimanakah cara untuk saya memberi keterangan mengenai Islam terhadap gadis tersebut dan keluarganya. supaya mereka juga memeluk Islam, insya-Allah?

Jawapan:

Dakwah ditujukan kepada seluruh manusia dalam keadaan umurnya yang berbeza-beza, serta tingkatan kedudukannya di kalangan masyarakat di samping kecerdasan dan alam lingkungannya, dan kemahuan serta jalan fikirannya.

Kesemuanya berlainan!

Hal ini menyebabkan para daie (pendakwah) harus menjadi orang-orang yang bijaksana. Mahir dalam menyampaikan pendapat dan pengertiannya kepada sasarannya iaitu manusia yang beraneka ragam itu. Para daie harus mengerti, dari mana pintu masuk ke tiap-tiap rumah, dan bagaimana caranya memasuki rumah itu!

Antara strategi yang perlu ada adalah berkenalan dengan seseorang sebelum menyampaikan dakwah kepadanya.

Adalah suatu kewajipan bagi seorang daie, supaya ia berkenalan lebih dahulu dengan seseorang yang akan menerima dakwahnya.

Ia harus memahami terlebih dahulu, bagaimana latar belakang kehidupan orang itu, bagaimana jalan fikirannya, dan bagaimana pengertian dan gambarannya terhadap alam raya ini.

Para pendakwah harus menyelidiki hal itu dengan mengadakan wawancara dan sebagainya, sehingga ia menemui apa kekurangan dan kesulitan yang sedang dialami orang yang diserunya itu.

Haruslah diambil perhatian bahawa pintu dakwah itu hanya satu saja, iaitu menyakinkan orang yang diseru tentang ajaran Islam. Bahawa dakwah harus dimulai dengan akidah, menetapkan adanya Allah SWT dan diakhiri dengan menetapkan agama Islam sebagai peraturan hidup dan bahawa memulai kehidupan menurut syariat Islam.

Untuk melaksanakan misi dakwah kepada orang bukan Islam, kebijaksanaan daie amatlah diperlukan bagi mencari pintu yang memungkinkan ia dapat memasuki jiwa mad'unya (orang yang didakwah), sehingga ia berhasil meyakinkan mad'unya tentang kebenaran ajaran Islam yang dikemukakannya itu dan dapat menarik mad'unya memeluk Islam.

Dalam masalah ini, seharusnya kita bersandarkan hukum-hukum syarak yang kita jadikannya sebagai panduan dalam tindakan kita.

Tuntunan Islam untuk melaksanakan usaha murni ini dapat dilihat dengan jelas di dalam al-Quran dan sunnah Nabi SAW dalam mengetengahkan dakwah di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Sebagai contoh, al-Quran berulangkali menarik perhatian orang-orang musyrik untuk mendengarkan ayat-ayat al-Quran itu. Beberapa surah dimulai dengan huruf-huruf Hija'iyyah (alif, lam dan mim) dan sebagainya.

Huruf-huruf yang terputus-putus ini mempunyai pengaruh yang besar dalam menggugah perhatian kaum Musyrikin, mendorong mereka untuk diam, tenang dan mendengarkan lanjutannya baik-baik. Walaupun sebenarnya kaum Musyrikin itu sering menutup telinganya dengan hujung jarinya, jika mereka mendengar ayat-ayat suci itu dibacakan!

Metod yang diterapkan oleh Rasulullah SAW berdakwah, tidak lain ialah penafsiran secara amali tentang pengarahan Allah dalam firman-Nya:

l Ajaklah umat manusia ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan dengan nasihat yang baik...

(al-Nahl: 125)

Barang siapa yang diberi nikmat kebijaksanaan, maka sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. (al-Baqarah: 269)

Kebijaksanaan Rasulullah SAW ialah berusaha menggerakkan jiwa orang yang diserunya secara tidak langsung.

Misalnya pernah ada seorang pemuda minta izin kepada beliau supaya dibolehkan berzina. Maka Nabi SAW bersoal-jawab dengan pemuda itu apakah ia suka, jika orang berzina dengan ibunya, dengan saudaranya yang perempuan, dengan anak perempuannya, sehingga akhirnya orang itu insaf.

Demikian juga, kebijaksanaan baginda dapat dilihat dalam cara baginda menarik perhatian orang kepada Islam. Seterusnya membimbing orang itu ke jalan yang benar, pada waktu seorang lelaki datang lalu mengatakan ia mahu masuk Islam, tetapi merasa berat untuk mengamalkan ajaran-ajarannya yang banyak.

Maka Rasulullah bersabda: Mahukah engkau berjanji dengan saya untuk meninggalkan berdusta?

Orang itu mengira, tentu senang sekali, ia diperintahkan meninggalkan satu dosa saja, iaitu berdusta. Orang itu bersedia lantas memeluk Islam.

Tetapi kemudian setiap kali dia teringat mengerjakan sesuatu perbuatan yang tidak baik, dia selalu teringat akan janjinya. Dia merasa, bahawa esok atau lusa, seandainya bertemu dengan Rasulullah SAW maka dia mesti mengakui perbuatannya di hadapan Rasulullah dan tidak boleh berdusta. Dia merasa segan dan malu, tidak jadi mengerjakan pekerjaan yang tidak baik itu!

Akhirnya dia betul-betul menjadi orang yang baik.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0508&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm

Kes selesema babi di Kanada

TORONTO 10 Mei - Kanada menjadi negara ketiga selepas Mexico dan Amerika Syarikat (AS) yang menghadapi kes kematian akibat selesema babi apabila seorang wanita disahkan maut akibat virus influenza A (H1N1).

Bagaimanapun pegawai kesihatan yang mengumumkan kematian tersebut semalam menjelaskan, wanita berusia 30-an itu memang menghidapi pelbagai masalah kesihatan sebelum dijangkiti virus tersebut.

Ketua Pegawai Kesihatan Alberta, Dr Andre Corriveau berkata, wanita itu meninggal dunia pada 28 April lalu dan kematiannya adalah yang pertama dikaitkan dengan influenza A di Kanada. - AP


http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_13.htm

Wanita Australia positif H1N1

MELBOURNE 10 Mei - Seorang wanita Australia diuji positif menghidap selesema babi, kes pertama yang disahkan di Australia.

Menteri Kesihatan Persekutuan Nicola Roxon mengesahkan wanita yang berasal dari Sydney itu diuji positif dijangkiti virus berkenaan.

Wanita terbabit menaiki penerbangan ke Brisbane dari Los Angeles dengan pesawat QF16 pada Khamis dan diuji "positif lemah" terhadap virus A H1N1, menurut laporan Australian Associated Press.

Menurut pakar, wanita itu tidak lagi boleh menjangkitkan penyakit itu dan mempunyai tanda-tanda virus yang lemah, bagaimanapun penumpang yang duduk berhampiran dengannya dan anggota keluarganya sedang dihubungi oleh pihak berkuasa.

Roxon berkata, wanita terbabit yang identitinya dirahsiakan, dijangkiti penyakit itu pada penghujung April ketika berada di luar negara dan telah pun sembuh sebelum pulang ke Australia. - BERNAMA

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_12.htm

Suu Kyi tidak dibenar terima rawatan

YANGON 10 Mei - Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) menggesa junta tentera membenarkan pemimpin mereka, Aung San Suu Kyi menerima rawatan perubatan selepas beliau dilaporkan tidak boleh makan, mengalami tekanan darah rendah dan dehidrasi pada Jumaat lalu.

Jurucakap NLD, Nyan Win berkata, gesaan itu dibuat ekoran tindakan pihak berkuasa Myanmar yang enggan membenarkan seorang pembantu perubatan Suu Kyi melawatnya sekali lagi di rumah beliau semalam, ketika pakar perubatan pemimpin pembangkang itu ditahan oleh polis atas dakwaan yang tidak ditentukan.

''Suu Kyi sebelum itu telah menjalani rawatan dan dimasukkan air ke dalam saluran darah. Kami amat risau dengan keadaan kesihatannya. Sepatutnya tidak perlu ada sekatan dalam mendapatkan rawatan perubatan kepadanya,'' kata Nyan Win kepada AFP.

Pembantu perubatan Suu Kyi, Pyone Moe Ei pada tengah hari Jumaat lalu telah merawat pemimpin berkenaan selama tiga jam di rumahnya di tepi tasik di mana beliau menjalani tahanan di rumah sejak hampir 19 tahun lalu, namun dia tidak dibenarkan menemui Suu Kyi semalam.

Sebelum itu, pakar perubatannya, Tin Myo Win tidak dibenarkan memasuki rumah Suu Kyi pada Khamis lepas setelah menunggu selama beberapa jam untuk menjalankan pemeriksaan biasa terhadap pemimpin NLD itu.

Sehari sebelum itu, pihak berkuasa menahan seorang rakyat Amerika Syarikat (AS) selepas dia berenang menyeberangi tasik dan memasuki kawasan yang tidak dibenarkan.

Media kerajaan melaporkan, lelaki berkenaan yang dikenali sebagai John William Yeattaw, 53, telah menghabiskan masa selama dua hari di rumah Suu Kyi dan ditangkap ketika sedang cuba meninggalkan rumah itu semasa waktu subuh.

Sumber rasmi berkata, lelaki itu telah tidur di bilik tingkat bawah yang menempatkan dua orang gaji Suu Kyi dan dia turut meminta pemimpin tersebut supaya tidak memberitahu kehadirannya di rumah berkenaan.

Motif lelaki tersebut masih belum diketahui, namun pegawai berkata dia ialah seorang veteran perang Vietnam. - AFP

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_03.htm

Korban selesema babi meningkat kepada 50



PEGAWAI kuarantin dan penumpang keluar dari sebuah pesawat yang baru tiba dari Mexico selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo, kelmarin. – AFP


SAN JOSE 10 Mei – Angka kematian akibat selesema babi meningkat kepada 50 orang dengan Costa Rica melaporkan kematian pertamanya, manakala Jepun dan Norway menambah lagi senarai kes yang disahkan.

Menteri Kesihatan Costa Rica, Maria Luisa Avila berkata, mangsa pertama selesema babi di negara ini adalah seorang lelaki berusia 53 tahun yang maut selepas seminggu terlantar di hospital San Jose.

Lelaki itu turut mengalami masalah kesihatan yang lain termasuk kencing manis dan kerosakan paru-paru.

Setakat ini, lapan rakyat Costa Rica dijangkiti virus tersebut sejak ia dikenal pasti.

Sementara itu, Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kes kematian ketiga selesema babi di Washington dan pegawai memberi amaran bahawa penyakit itu mewujudkan ancaman kesihatan.

Pegawai kesihatan negeri dalam kenyataannya berkata, seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dengan masalah jantung meninggal dunia pada minggu lalu dengan keadaan komplikasi serupa akibat jangkitan selesema babi.

Ia adalah kematian pertama dilaporkan di luar Texas yang bersempadan dengan Mexico iaitu tumpuan berlakunya wabak selesema babi.

“Penilaian kami di sini adalah penyebaran penyakit adalah berterusan kerana virus ini mudah berjangkit, sama seperti virus selesema bermusim,” kata Anne Schuchat dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS,

Di Tokyo, seorang pelajar sekolah tinggi yang baru-baru ini pulang dari Amerika Utara disahkan positif virus H1N1, sekali gus menjadi kes keempat di Jepun. Sebelum ini seorang guru dan dua rakan sekolahnya disahkan dijangkiti.

Norway pula mencatat kes pertama apabila dua orang dewasa disahkan positif.

Kini, Mexico mencatat 48 kematian, diikuti AS sebanyak tiga mangsa, manakala di Kanada dan Costa Rica, masing-masing mencatat satu kematian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), bagaimanapun masih belum mengesahkan tiga lagi kematian di Mexico dan satu kematian di Costa Rica. – AFP

Belanja sekeluarga tak lebih RM8 sehari

KUANTAN: “Perbelanjaan kami tidak boleh lebih RM8 sehari, jika tidak kami terpaksa mengikat perut bila tiba hujung bulan dan terpaksa mengharapkan bantuan keluarga dan jiran.

“Bagaimanapun, ada ketikanya perbelanjaan harian melebihi dari RM8 terutama untuk anak bongsu yang masih bersekolah kerana dia perlu membeli pelbagai keperluan pembelajaran,” kata seorang ibu tunggal, Zaini Majid, 39.

Zaini ketika ditemui di rumahnya di Jalan Bukit Palas, Cherating, kelmarin, berkata mereka kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kewangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri sebanyak RM200 yang diterima mulai Februari lalu selepas terbabit dalam kemalangan tahun lalu.

“Jumlah ini sebenarnya tidak mencukupi kerana saya perlu menjelaskan bil elektrik, bil air selain perbelanjaan dapur dan persekolahan anak,” katanya.

Sebelum kemalangan, Zaini yang mempunyai dua anak, Nurul Farhana Fauzi, 17 dan Faiz Iskandar Fauzi, 15, bekerja di kilang papan selepas kematian suaminya kerana komplikasi kanser hati, paru-paru berair dan lemah jantung, pada sambutan Aidilfitri tiga tahun lalu. 

“Walaupun bersedih dengan keadaan yang menimpa, saya amat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk terus hidup walaupun dengan sebelah kaki,” katanya.

Dalam kemalangan berhampiran Pondok Polis Cherating pada 13 Mac 2008 itu, kaki kiri Zaini hancur digilis tayar kereta dan ia gagal diselamatkan.

“Selama empat hari saya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kemaman kerana tidak sedarkan diri.

“Selain kaki dipotong, saya juga hampir hilang ingatan kerana berlaku pendarahan di bahagian kepala,” katanya yang kini menetap di rumah peninggalan arwah suaminya.

Katanya, kemalangan itu juga menyebabkan dia hilang punca pendapatan manakala anak perempuannya, Nurul Farhana terpaksa berhenti sekolah untuk menjaganya.

Zaini berkata, berikutan ketiadaan sumber kewangan, anak bongsunya, Faiz Iskandar nyaris berhenti sekolah kerana tidak mempunyai wang untuk bayaran yuran dan perbelanjaan sekolah.

“Dengan bantuan saudara dan jiran sekampung, sejumlah wang dikumpul dan anak saya dapat meneruskan persekolahan,” katanya.

Menular ke Pendang, Padang Terap

PENDANG: Wabak chinkungunya yang sebelum ini dikesan di empat kampung sekitar daerah Pokok Sena, kini dipercayai menular ke dua daerah baru iaitu Pendang dan Padang Terap sejak pertengahan April lalu. 

Lebih 100 penduduk dari lapan kampung di Pendang iaitu Kampung Bendang Baru, Kampung Banggol, Kampung Perupuk, Kampung Charok Tok Min, Kampung Kubang Lerek, Kampung Nandam, Kampung Budi dan Kampung Pokok Asam mengadu mengalami demam dan sakit sendi dipercayai terkena jangkitan penyakit itu. 

Penyakit bawaan nyamuk aedes itu juga dikesan di dua kampung di Padang Terap iaitu Kampung Kepala Batas dan Kampung Jalan Naka selepas beberapa penduduk mendakwa mengalami demam misteri dipercayai ada kaitan dengan chinkungunya. 

Tinjauan Harian Metro di Klinik Kesihatan Kubur Panjang mendapati lebih 10 pesakit yang mendapat rawatan di situ mengadu mengalami demam panas berterusan dan sakit sendi

Akhbar minggu lalu melaporkan Jabatan Kesihatan Kedah memeriksa 1,230 penduduk di empat kampung di daerah Pokok Sena selepas beberapa penduduk mengadu mengalami demam dan sakit sendi. 

Sumber Klinik Kesihatan Kubur Panjang berkata, setiap hari kira-kira 40 penduduk mendapatkan rawatan di situ selepas mengalami demam dan sakit sendi yang berterusan sejak dua minggu lalu. 

Seorang pesakit dari Kampung Gulau, Tualang, Shaharil Mohd Tab, 38, berkata dia terpaksa bergegas ke klinik selepas empat hari mengalami deman panas, sakit sendi dan belakang badan yang serius.

7 lagi pelatih masuk hospital

Oleh Ahmad Saufi Mansor 
opie@hmetro.com.my


MELAKA: Tujuh pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua menjadi mangsa terbaru apabila dimasukkan ke Hospital Melaka (HM) selepas dikesan menunjukkan tanda dijangkiti bakteria meningitis.

Enam daripada pelatih terbabit yang dikuarantin di akademi terbabit dimasukkan ke hospital sejak kelmarin, manakala seorang lagi kira-kira jam 1 tengah hari semalam selepas didapati demam menjadikan 20 orang menerima rawatan di HM ketika ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata orang ramai tidak perlu panik kerana keadaan adalah terkawal berikutan tindakan pantas pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) melakukan langkah pencegahan.

Menurutnya, pihaknya juga sudah mengenal pasti jangkitan berkenaan adalah disebabkan bakteria meningitis yang hanya boleh merebak menerusi titisan selesema, bersin dan batuk dalam jarak satu meter serta tidak berbahaya.

Malah, katanya, satu pasukan khas juga ditubuhkan membabitkan tujuh pegawai dan kakitangan jabatan kesihatan termasuk seorang doktor yang mana mereka ditempatkan 24 jam di akademi itu bersama sebuah ambulans.

“Saya sudah melawat pesakit terbabit dan keadaan mereka didapati semakin stabil dan sihat, tetapi mereka masih perlu menjalani rawatan sekurang-kurangnya bagi tempoh tujuh hari supaya bebas daripada virus berkenaan.

“Pelatih yang dirawat di HM diberi ubat antibiotik ceftnaxone yang didapati berkesan untuk memulihkan mereka, manakala ubat antibiotik pencegahan ciprotloxacin diberikan kepada 93 lagi pelatih yang dikuarantin di akademi terbabit.


“Justeru, saya ingin tegaskan kepada orang ramai supaya tidak mendengar khabar angin dan kematian seorang pelatih tidak ada kena mengena dengan wabak influenza A (H1N1) dan setakat ini, negara kita bebas wabak berbahaya itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas diberi taklimat dan melawat pesakit berkenaan di HM di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah JKNM, Dr Ghazali Othman dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan negeri, Chua Keng Hua.

Akhbar semalam melaporkan 13 pelatih akademi itu dihantar ke HM selepas dijangkiti demam, 10 daripadanya ditempatkan di wad pengasingan manakala tiga di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Manakala, seorang pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kampung Beris Jambu, Panji, Kota Bahru, Kelantan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu ketika dikejarkan ke HM, Selasa lalu. 

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan mengenal pasti bakteria jenis ‘diplococci’ sebagai punca menyebabkan jangkitan meningitis kepada pelatih terbabit.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511064418/Article/index_html

Pesakit beri reaksi positif

MELAKA: Tiga belas pelatih Akademi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tiang Dua, di sini, yang menerima rawatan di Hospital Melaka kerana dipercayai menghidap meningitis, menunjukkan perkembangan baik apabila memberi reaksi positif terhadap rawatan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kesihatan Melaka, Chua Keng Hua, berkata daripada jumlah itu tiga pelatih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 10 pelatih lagi di wad pengasingan dengan gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Semua kes (pesakit) menunjukkan gejala utama iaitu demam disertai dengan satu atau lebih tanda seperti sakit kepala, sakit sendi, keletihan, batuk, loya, kejang perut dan menggigil, katanya pada sidang media, semalam.

Menurut Chua, seorang pelatih, Mohd Hafiz Zainudin, 24, dari Kelantan, meninggal dunia dipercayai akibat meningitis ketika dalam perjalanan ke Hospital Melaka dan bukan meninggal dunia di hospital itu seperti dilaporkan media kelmarin.

Sebelum kejadian berkenaan, 100 pelatih akademi itu menjalani latihan di luarakademi dalam tiga kumpulan iaitu di Pedas, Negeri Sembilan, Muar, Johor dan Bukit Katil, Melaka selama tiga hari bermula 27 April lalu.

Chua berkata, sampel darah, air kencing, calitan tekak semua pelatih dihantar ke makmal Hospital Melaka dan Institut Penyelidikan Perubatan untuk siasatan lanjut dan keputusannya diharap dapat diketahui dalam tempoh terdekat.

Katanya, 85 pelatih lagi masih dikuarantin di akademi untuk pemantauan.

“Punca kejadian kes ini masih dalam siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka,” katanya.

Menurut Chua, Jabatan Kesihatan Melaka mengesan kes itu pada Khamis lalu apabila sembilan pelatih akademi itu datang ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan demam dan simptom lain.

Bawa dompet cegah ragut

SAYA cukup sakit hati apabila membaca berita mengenai kematian dua wanita mengandung di Johor dan Kelantan akibat diragut ketika menunggang motosikal minggu lalu.

Ini kerana saya sendiri pernah mengalami insiden sama ketika menunggang motosikal untuk pulang ke rumah di Bandar Baru Sentul, kira-kira jam 10 malam, empat tahun lalu.

Ketika kejadian, saya menyilangkan beg tangan di badan kerana percaya ia langkah paling selamat, lagipun saya tidak membawa banyak wang.

Tetapi rupa-rupanya tindakan itu mengundang padah apabila dua lelaki bermotosikal tiba-tiba dengan ganas menarik beg tangan hingga saya terjatuh dan menyebabkan saya menerima kira-kira 10 jahitan di atas bahagian bibir.

Parut kekal hingga kini menyebabkan saya cukup bencikan peragut. Hanya kerana terdesak untuk mendapat wang mudah, mereka sanggup mengambil kesempatan terhadap golongan lemah.

Apapun, kejadian itu mengajar saya supaya lebih berhati-hati pada masa depan. Saya masih tidak serik untuk menunggang motosikal, tetapi kini saya mengambil langkah selamat dengan hanya membawa dompet jika menunggang kenderaan itu berseorangan.

Dompet itu saya letakkan dalam poket seluar. Selain itu, jika saya menempah baju kurung, saya pastikan tukang jahit turut menyediakan saku untuk memudahkan saya menyimpan dompet ketika menunggang motosikal.

Bagi saya, kedua-dua cara itu boleh dipraktikkan golongan wanita yang menunggang motosikal berseorangan kerana sekurang-kurangnya ia tidak membuka ruang untuk penjenayah mengambil kesempatan.

Itu sebagai langkah pencegahan, tetapi dari sudut undang-undang, pihak bertanggungjawab seharusnya memikirkan jalan terbaik untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada peragut terutama kes membabitkan kematian.

Saya bertuah kerana hanya luka ringan dan berparut, tetapi bagaimana nasib anak-anak kecil yang tiba-tiba menjadi anak yatim gara-gara kekejaman peragut bermotosikal. 

Dua kes kematian dalam tempoh seminggu membuktikan gejala ragut itu perlu dipandang serius semua pihak. Polis perlu meningkatkan lagi penguatkuasaan, orang ramai wajar menjadi 'mata' dan 'telinga' kepada polis manakala golongan wanita bermotosikal perlu lebih berwaspada dengan tidak membuka ruang dan peluang kepada penjenayah.



MANGSA RAGUT,

Sentol, Kuala Lumpur


LPKP buru drebar teksi perogol

KUALA LUMPUR: “Siasatan kes itu sedang dijalankan dan kami akan mengesan pemandu teksi terbabit, sekali gus menamatkan perkhidmatannya secara serta-merta,” kata Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran.

Beliau mengulas kes seorang remaja perempuan berusia 17 tahun mendakwa dirogol pemandu teksi walaupun hanya mahu ke SS15 dari SS14, Subang Jaya, dalam satu kejadian minggu lalu.

Mangsa dibawa pemandu terbabit di sekitar Subang Jaya serta Shah Alam sebelum berhenti di Kelana Jaya dan diarah menanggalkan pakaian.

Remaja malang itu yang ketakutan cuba menawarkan wang dan telefon bimbit namun suspek bertindak menampar mangsa sebelum merogolnya.

Suspek kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan laporan perubatan mengesahkan remaja itu dirogol dan mangsa hanya mengingati kedua-dua lengan suspek mempunyai tatu kala jengking.

Markiman berkata, dia amat terkejut berikutan kes rogol itu kali pertama berlaku pada waktu siang iaitu sekitar jam tiga petang dan rata-rata kes membabitkan pemandu teksi berlaku pada waktu malam.

“Perkara ini membimbangkan LPKP kerana orang awam mula memberi persepsi negatif terhadap pemandu teksi yang kerap dikaitkan kegiatan jenayah.

“Berikutan itu, bagi memudahkan siasatan dan tindakan dilakukan, saya meminta penumpang mencatatkan nombor pendaftaran teksi dinaiki sekiranya berasa curiga dengan pemandu terbabit,”
katanya.

Beliau berkata, pemandu teksi perlu memberikan kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa membuat laporan sekiranya melihat teksi rakan mereka bukan dipandu pemilik sebenarnya.

‘Datuk muda’ nodai cucu

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


KOTA BHARU: Akibat nafsu binatang ‘datuk muda’, masa depan seorang kanak-kanak perempuan yatim piatu kian malap apabila dipercayai dirogol datuk tirinya yang selama ini menjadi tempat bergantung selepas mangsa kematian ibu. 

Insiden menjijikkan itu dipercayai dilakukan di rumah lelaki berusia 34 tahun itu di Machang, baru-baru ini.

Kejadian disedari pengasuh mangsa apabila melihat kanak-kanak itu berada dalam keadaan kesakitan ketika mahu membuang air kecil di tandas rumahnya kira-kira jam 8 pagi, 4 Mei lalu. 

Mengesyaki perkara buruk berlaku selepas mendapati cecair kuning mengalir di kemaluan mangsa, wanita itu membawanya ke Hospital Machang untuk membuat pemeriksaan lanjut.

Tindakan segera pengasuh membawa mangsa ke hospital bertujuan melakukan pemeriksaan doktor untuk memastikan sama ada kanak-kanak yang dijaganya itu dirogol atau sebaliknya.

Difahamkan, mangsa diajukan soalan berkaitan kesakitan dialami sebelum itu secara spontan berkata: ‘datuk buat ke kemaluan’ (perbuatan seperti dirogol) kepada pengasuhnya sehingga menimbulkan tanda tanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Asisten Superintendan Loo Lian Lay, berkata mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang, kira-kira jam 4.30 petang, 7 Mei lalu.

Katanya, mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada hari sama untuk melakukan pemeriksaan rapi terhadap kemaluannya.

“Hasil pemeriksaan, pakar mendapati mangsa dirogol kerana ada kesan koyakan di bahagian kemaluannya.

“Bagaimanapun, mangsa yang disoal siasat masih trauma dengan kejadian menimpanya kerana berada dalam keadaan ketakutan, selain ditahan di wad untuk rawatan lanjut,”
katanya.

Loo berkata, mangsa dijaga nenek dan datuk tirinya selepas ibunya meninggal dunia beberapa tahun lalu sebelum dihantar ke rumah pengasuh setiap pagi oleh datuk tirinya.

“Berdasarkan keterangan pengadu, suspek berusia 34 tahun dipercayai datuk tiri mangsa menghantar kanak-kanak itu ke rumah pengasuh kerana kedua-dua mereka bekerja,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, polis menahan lelaki disyaki kira-kira jam 12 tengah hari semalam di taman perumahan bagi membantu siasatan terhadap kes sumbang mahram.

Lelaki bekerja sebagai buruh disiasat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 30 tahun serta sebatan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511065014/Article/index_html

Akaun RM619 tinggal RM1.03

JOHOR BAHRU: “Saya keliru bagaimana wang dalam akaun simpanan saya berjumlah RM619 dipindah ke akaun individu lain secara online pada 4 Mei lalu, padahal ketika itu saya menjalani kursus berkaitan kerja di Bangi, Selangor,” kata seorang kakitangan kerajaan, Mohd Azmi Zakaria, 29, semalam.

Azmi berkata, kehilangan wang dalam akaun simpanannya itu bukan saja menimbulkan kekeliruan, malah dia terpaksa menanggung kerugian.

Menurutnya, dia hanya menyedari perkara itu apabila ingin membuat pengeluaran wang di mesin juruwang automatik (ATM) di stesen minyak di Taman Molek pada Khamis lalu.

“Saya terkejut melihat baki akaun hanya tinggal RM1.03 sedangkan saya tidak usik wang dalam akaun bank berkenaan sejak ia dimasukkan pada 2 Mei lalu.

“Ketika membuat semakan akaun, pihak bank menyatakan berlaku pindahan kredit daripada akaun saya ke akaun seorang wanita.

“Lebih pelik pindahan itu dilakukan secara online di Kuala Lumpur sedangkan ketika itu saya menjalani kursus bersama rakan setugas di Bangi,” katanya yang datang ke pejabat Harian Metro, semalam.

Azmi berkata, keluarganya keliru kerana sebelum ini dia tidak pernah mengaktifkan mahupun mempunyai kata laluan bagi menggunakan perkhidmatan online perbankan milik intitusi kewangan berkenaan.

Menurutnya, keluarganya khuatir perbuatan itu dilakukan pihak tidak bertanggungjawab kerana pemindahan wang dilakukan tanpa pengetahuannya.

“Saya tertekan apabila mendapati wang dalam akaun sudah tiada kerana bercadang memperbaharui insurans dan cukai jalan kereta yang bakal tamat tidak lama lagi.

“Saya terdesak menggunakan wang yang sepatutnya digunakan membayar sewa rumah bagi menampung pembayaran berkenaan,” katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Taman Johor Jaya pada Jumaat lalu.

Azmi bercadang mengadu masalahnya ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Intitusi kewangan sepatutnya menjamin keselamatan wang simpanan pelanggan dan mempunyai sistem sekuriti bagi membanteras sebarang aktiviti jenayah hingga boleh mengakibatkan kerugian,” katanya.

Mangsa culik ditemui mati

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my


PUNCAK ALAM: Mereka menjadi mangsa samun dan culik di Damansara, dekat sini, Jumaat lalu, sebelum seorang daripadanya menyelamatkan diri kelmarin, bagaimanapun seorang daripadanya ditemui mati di ladang kelapa sawit di sini, kira-kira jam 3.30 petang semalam dipercayai gagal membuka ikatan pada badannya.

Mayat mangsa yang dikenali sebagai Gan itu ditemui saudara-mara, penduduk kampung dan polis yang keluar mencarinya selepas rakannya melepaskan diri dengan membuka ikatan kaki dan tangannya sebelum meminta bantuan penduduk.

Ketika ditemui, mangsa dipercayai sudah meninggal dunia kira-kira 24 jam lalu dalam keadaan menyayat hati dengan tangan dan kakinya terikat manakala mulutnya disumbat kain serta mata ditutup.

Siasatan polis membawa kepada penemuan sebuah kereta Hyundai Sonata milik mangsa dengan kesan terbakar di Templer Park, Rawang.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Zahariah, 40-an berkata, kira-kira jam 7 malam kelmarin, dia tergamam selepas melihat seorang lelaki dalam keadaan comot dipenuhi lumpur manakala ibu jari kaki kirinya masih terikat kabel tiba-tiba muncul dan meminta air daripadanya.

“Pada mulanya saya ingatkan dia tak waras, tapi tak sampai hati selepas melihat dia dalam keadaan lemah sebelum saya masuk dalam rumah mengambil air.

“Saya lihat terdapat kesan calar dan lebam pada mulut manakala kakinya terdapat kesan ikatan kuat sehingga terdapat kesan hitam berdarah,”
katanya.

Menurutnya, dia yang ketika itu membakar sampah di halaman rumah mengejutkan suaminya, Nizam Baharuddin, 41, daripada tidur selepas memikirkan sesuatu berlaku kepada lelaki terbabit.

“Lelaki itu beritahu ada seorang lagi kawannya dalam hutan dan dia bertanya di mana dia berada sekarang dalam nada lemah dan sukar difahami.

“Malah, apabila saya tanya apa yang berlaku dia beritahu menjadi mangsa samun tiga lelaki berpistol,”
katanya menambah lelaki itu turut memberitahu namanya Kaa Chi.

Sementara itu, Nizam berkata, dia tidak sampai hati melihat keadaan lelaki itu sebelum memintanya memberi nombor telefon untuk dihubungi sebelum dijawab seorang wanita.

“Selepas yakin suara itu anaknya, saya menghantarnya ke sebuah pam minyak di Sungai Buloh bertemu saudara-maranya.

“Kemudian mereka bergegas membuat satu laporan polis di Sungai Damai, Sungai Buloh,”
katanya.

Mereka beramai-ramai keluar mencari mangsa sebelum ditemui sudah meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati. 

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin, berkata siasatan mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Batang kali dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis kenduri kahwin anak saudaranya di Kepong, dekat sini.

Menurutnya, ketika mangsa berehat dalam kereta di Damansara, tiga lelaki menghampiri kenderaan itu dan memperkenalkan diri sebagai polis sebelum membawa mangsa ke rumah kosong.

“Di situ mereka diikat kaki dan tangan manakala mulutnya disumbat kain serta mata ditutup sebelum kedua-duanya dimasukkan dalam bonet kereta dan dibuang di sini.

“Jarak mangsa pertama dan kedua dibuang ialah kira-kira 200 meter,”
katanya menambah mangsa yang juga pemilik sebuah restoran dipercayai menemui ajal akibat sesak nafas.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20090511070053/Article/index_html

Mat Rempit mabuk gagal lolos

SEREMBAN: Aksi gila seorang lelaki dipercayai Mat Rempit khayal apabila menunggang membabi buta termasuk melawan arus sebaik melihat sekatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membawa padah selepas motosikalnya bergesel kenderaan lain, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, Mat Rempit berusia 20-an panik sebaik melihat sekatan menyebabkan dia bertindak ‘gila’ hingga nyaris melanggar pegawai JPJ yang melakukan operasi.

Perbuatan itu bukan saja mengejutkan pegawai JPJ, malah beberapa pengguna lain yang melihat aksi luar biasa lelaki terbabit.

Beberapa pegawai JPJ bagaimanapun bersedia menghadapi tindakan seumpama itu dan mereka mengawasi jalan itu menyebabkan lelaki terbabit semakin gelabah dan sedaya upaya cuba memboloskan diri.

Lagak lelaki itu bagaimanapun berakhir apabila motosikalnya bergesel kenderaan lain menyebabkannya terjatuh dan ditahan pegawai JPJ.

Lebih mengejutkan apabila pemeriksaan mendapati lelaki itu ‘cukup syarat’ dengan dia mempunyai lesen memandu dan cukai jalan sah, sekali gus menimbulkan tanda tanya di kalangan pegawai JPJ.

Selepas disoal siasat, lelaki terbabit mengaku dia melarikan diri kerana baru saja meneguk ‘air setan’ menyebabkannya berada dalam keadaan mabuk.

Lelaki itu antara ratusan pengguna jalan raya yang diperiksa dan disaman dalam operasi malam minggu oleh JPJ Negeri Sembilan di sekitar pusat bandar dalam usaha membanteras kegiatan Mat Rempit.

Operasi bermula kira-kira jam 10.30 malam dan berakhir kira-kira lima jam kemudian itu mengejutkan golongan Mat Rempit yang membanjiri pusat bandar untuk menunjukkan lagak ngeri mereka.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Mohd Kamal Saad, berkata dalam operasi itu, 264 saman kerana pelbagai kesalahan dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.

Tangkal tak kebal

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

SUNGAI BULOH: Kekebalan lima anggota Geng Ipol, yang gemar memakai tangkal berbentuk gulungan kertas ketika melakukan jenayah, tumpas, petang semalam.

Penjenayah warga Indonesia terbabit yang menjadikan puncak Bukit Lagong, Kampung Bahagia, dekat sini, sebagai markas, mati dalam kejadian berbalas tembak dengan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Dalam kejadian jam 6.15 petang, mereka yang disyaki terbabit dengan 20 kes samun dan pecah rumah bersenjata di Selangor dan Perak melepaskan tembakan sebaik diarahkan menyerah diri dan mengetahui markas yang terletak dua kilometer dari Hospital Sungai Buloh itu dikepung polis.

Ketua kumpulan itu yang dikenali Ipol dipercayai cuba melarikan diri ke belukar berhampiran berdasarkan penemuan mayatnya yang agak jauh dari markas.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata sejurus menerima maklumat orang awam, sepasukan anggota dari bahagian itu bertindak mengepung pondok kecil terbabit di puncak bukit setinggi kira-kira 300 meter.

“Ingkar dengan arahan dikeluarkan polis, seorang daripada ahli kumpulan itu melepaskan tembakan ke arah anggota kami.

“Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan balas sebelum penjenayah terbabit panik dan berpecah,”
katanya. 

Menurutnya, ketua kumpulan itu dipercayai cuba meloloskan diri ke belakang markas, namun gagal dan dapat ditumpaskan tidak jauh dari lokasi diserbu.

Berikutan tumpasnya kumpulan ini, katanya, polis berjaya menyelesaikan 20 kes samun dan pecah rumah membabitkan geng berkenaan sekitar Sepang, Gombak, Kajang dan Kuala Selangor dan Setiawan, Perak.

Beliau berkata, polis merampas sepucuk pistol jenis Revolver .22 berserta beberapa butir peluru selain beberapa parang yang dipercayai digunakan ketika melakukan kegiatan jenayah mereka.

Anggota Geng Ipol berusia 25 hingga 40 tahun itu bergiat aktif sejak enam bulan lalu dengan menjadikan pondok kecil di puncak bukit itu sebagai markas persembunyian sementara dan perancangan jenayah.

“Mereka mensasarkan rumah berpenghuni pada awal pagi selain berhampiran hutan bagi mengelak dicekup mahupun dikesan dengan mudah,”
katanya.

Selepas menawan rumah mangsa, geng itu akan mengikat kaki dan tangan penghuni.

Mulut mangsa turut disumbat kain dan kepala ditutup dengan selimut bagi mengelakkan wajah mereka dicam sebelum melarikan barangan berharga. 

Sementara itu, tinjauan Harian Metro mendapati bangsal yang dijadikan markas kumpulan penjenayah terbabit lengkap dengan dapur.

Pelbagai barangan hasil kegiatan mereka turut ditemui seperti sejumlah wang tunai, barangan kemas pelbagai bentuk, termasuk rantai, gelang dan cincin.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...