Tuesday, December 28, 2010

Nekad beri anak dalam kandungan

Nekad beri anak dalam kandungan

Oleh Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.
SEMPIT...Shahrul bersama isteri, Aishah Ismail dan anak mereka di bilik tidur yang disewa di Kota Damansara.

KUALA LUMPUR: “Maafkan ayah nak...walaupun hati ayah berat untuk membuat keputusan ini, namun demi kebaikan masa depanmu, ayah terpaksa,” rintih seorang lelaki yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.

Shahrul Rahman, 33, berkata dia nekad mengambil tindakan itu selepas mengalami masalah kewangan yang teruk dan tidak mahu anak-anaknya mengalami nasib sama.


Katanya, kehidupannya bermula dengan baik selepas mengahwini isterinya, Aishah Ismail, 26, pada 2006 dan dikurniakan tiga anak berumur antara tiga tahun hingga enam bulan. Selain itu, katanya, dia mempunyai seorang anak tiri hasil perkahwinan isterinya dengan suami terdahulu yang kini berusia enam tahun dan tinggal bersamanya sejak berusia empat bulan.

Namun, episod sedih hidupnya bermula selepas perniagaannya sebagai pengendali makanan di kantin sekolah di Kedah mengalami kerugian.


“Hidup saya menjadi susah dengan bebanan hutang yang semakin bertambah. Saya meminjam daripada bank untuk memulihkan kembali perniagaan, namun tidak berhasil.


“Keadaan bertambah kusut apabila saya membuat pinjaman daripada ceti haram (along) untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan, tapi segala-galanya tidak menjadi,” katanya ketika ditemui semalam.

Runsing memikirkan masalah dihadapi, Shahrul berkata, dia pernah cuba membunuh diri dengan menelan 60 ubat tidur dan minum cecair peluntur, namun digagalkan isterinya yang menyedari tindakannya itu.


“Tidak cukup dengan itu, saya juga pernah terdorong untuk menukar agama kerana terpengaruh seorang rakan yang hidup senang selepas berhijrah menganuti agama lain. Mujur saya masih ingatkan Allah. Jika tidak saya pun tak pasti apa akan berlaku,” katanya.

Shahrul berkata, kehidupannya tidak banyak berubah selepas itu dan pernah satu ketika dia sekeluarga mengisi perut dengan menjadikan ubi kayu yang ditanam di belakang kantin sekolah sebagai menu hidangan.


“Saya sedih dan tertekan apabila melihat anak-anak hanya minum air sejuk dan terpaksa mengharungi hidup yang sukar hanya kerana saya tidak mampu memberi kesenangan kepada mereka.


“Anak kedua dan ketiga tidak pernah minum susu seperti kanak-kanak lain. Saya hanya mampu memberikan air sejuk sebagai minuman. Mujur anak-anak tidak memilih sebaliknya makan dan minum apa yang diberikan,” katanya.


Menurutnya, anak keempatnya sudah diserahkan kepada seorang penjawat awam selepas dua hari dilahirkan di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, dan sebagai ganjaran, dia diberikan wang sagu hati RM2,000.


“Waktu itu hanya Tuhan yang tahu betapa sedihnya hati melihat anak yang tersayang berada dalam pangkuan orang lain, tapi apa boleh buat, hanya itu yang terdaya.


“Isteri saya juga seperti tertekan dan menerima hakikat kami terpaksa menyerahkan anak untuk dijaga keluarga lain,” katanya.


Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Kuala Lumpur sejak sebulan lalu, hanya mampu membawa keluarganya tinggal menumpang sebuah bilik di rumah rakannya di Kota Damansara.


“Setiap hari hidup isteri dan anak-anak terkurung dalam bilik itu. Di situ mereka main, tukar baju dan tidur. Ikutkan hati ingin saja saya mencari rumah sewa yang luas sedikit, tetapi saya tidak mampu. Gaji saya sebagai pengawal keselamatan hanya RM780 sebulan,” katanya.


Shahrul berkata, dia bertambah tidak keruan apabila mendapati isterinya mengandung lagi bulan lalu dan dia bimbang dengan nasib menimpa keluarganya akan menjejaskan kehidupan anak yang bakal lahir nanti.


“Isteri berkali-kali mendesak saya supaya digugurkan saja kandungannya itu, tapi saya tidak tergamak untuk melakukan sedemikian kerana anak tidak bersalah, tapi saya yang perlu membela nasib keluarga.


“Sebab itu saya buat keputusan untuk serahkan anak ini kepada keluarga yang mahu menjaganya. Saya juga mohon supaya keluarga barunya akan menjaga anak ini dari dalam kandungan lagi termasuk membiayai rawatan dan pemeriksaan sehingga dia lahir,” katanya.


Katanya, dia berharap anak yang bakal lahir akan selesa dengan kehidupannya bersama keluarga baru dan hubungan kekeluargaan mereka tidak akan terhenti di situ saja.


“Kepada keluarga baru yang akan mengambil anak ini, saya hanya mohon satu perkara iaitu jangan putuskan hubungan kekeluargaan kami. Saya reda dengan apa yang berlaku dan hanya mahukan yang terbaik untuk anak-anak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Nekadberianakdalamkandungan/Article

Beri madu dibalas racun

Beri madu dibalas racun

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my


 BUKTI ...Zahrah dan Abdul Aziz menunjukkan laporan polis dibuat berkaitan penipuan anak perempuan mereka.
BUKTI ...Zahrah dan Abdul Aziz menunjukkan laporan polis dibuat berkaitan penipuan anak perempuan mereka.


JOHOR BAHRU: Niat murni sepasang suami isteri warga emas menerima kembali anak perempuan mereka, seorang bekas banduan yang mengaku sudah insaf, ibarat memberi madu dibalas racun apabila wanita itu memperdaya mereka sehingga rumah bakal dilelong manakala tanah dan barang kemas turut tergadai.

Menceritakan nasib malangnya, Zahrah Mohamad, 68, berkata, anak tirinya itu yang dikenali sebagai Maria sebelum ini terputus hubungan dengan keluarga selama hampir lima tahun dan pernah menjalani hukuman penjara dua tahun pada akhir 90-an atas kesalahan menggelapkan wang.


Menurut Zahrah, Maria adalah anak suaminya hasil perkahwinan pertama dan adik Maria, Aziham, 34, turut tinggal bersamanya dan suami, Abdul Aziz Ibrahim, 74.

“Sebelum ini, dia terputus hubungan dengan saya dan suami selepas memberitahu mahu berdikari dan tidak mahu membebankan keluarga.


“Bagaimanapun, dia kembali ke pangkuan keluarga pada 2008 dan menyatakan sudah insaf. Jadi, kami menerimanya dengan hati terbuka kerana yakin dengan kejujurannya,” katanya.


Bagaimanapun, katanya, belang Maria mula kelihatan apabila dia memujuk Aziham membuat permohonan pinjaman semula kediaman keluarga itu di bank dengan alasan mahu menyelesaikan masalah kewangannya.

Malah, Maria yang namanya sudah disenaraihitamkan bank turut mempengaruhi Zahrah supaya menyerahkan barang kemas bernilai RM3,000 dan berjanji menyelesaikan hutang berkenaan dalam tempoh beberapa bulan.


“Dapat saja wang pinjaman semula perumahan kira-kira RM100,000 dia terus menghilangkan diri dan kami dimaklumkan pihak tertentu dia bekerja sebagai kerani, tetapi menyeleweng duit syarikat RM100,000.

“Jadi, dia gunakan wang pinjaman semula rumah kami untuk bayar sebahagian daripada wang yang diselewengnya. Masalahnya, kini kediaman kami di Taman Universiti hampir dilelong bank kerana ansuran bulanan tidak berbayar sejak dua tahun lalu,” katanya.


Bagaimanapun, kata Zahrah, keluarganya bernasib baik kerana rumah dihuni itu masih tiada pembeli, namun bagi mengelak tindakan susulan bank, pasangan itu bercadang menjual tanah pusaka bagi melangsaikan hutang yang ditanggung.


“Namun kami sekali lagi terkejut apabila mendapati dia (Maria) sudah mencagar geran tanah itu kepada seorang kenalan tanpa pengetahuan saya mahupun keluarga. Apa daya saya dan suami yang sudah tua, kami hanya berendam air mata memikirkan dugaan dialami akibat sikap dia,” katanya.


Zahrah kemudian membuat laporan berkaitan penipuan Maria di Balai Polis Taman Universiti pada 8 Julai lalu manakala Aziham yang bekerja sebagai pengawal keselamatan turut membuat laporan di Balai Polis Seri Alam, 12 Julai lalu.


Zahrah turut berharap ada pihak tampil membantu keluarganya bagi menyelesaikan masalah itu.


“Kami tidak mampu berpindah ke rumah lain sekiranya kediaman ini dilelong bank memandangkan saya mengalami masalah kaki bengkak selain suami berdepan masalah pendengaran.


“Kami tidak sanggup kehilangan rumah ini. Aziham juga bukan hidup senang, dengan pendapatan RM1,500 sebulan, dia perlu menampung perbelanjaan perubatan isterinya yang menghidap penyakit buah pinggang,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Roslan Hassan yang dihubungi, semalam mengesahkan pihaknya menerima laporan polis yang dibuat Zahrah serta Aziham dan siasatan mengenainya masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Berimadudibalasracun/Article

Sejam celah eskalator

Sejam  celah eskalator

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my

SELAMAT...anggota bomba membantu mangsa.
SELAMAT...anggota bomba membantu mangsa.

MELAKA: Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun hanya mampu mengerang menahan kesakitan selama lebih sejam kerana kaki kirinya tersepit di bahagian sisi tangga bergerak (eskalator) ketika bersiar-siar di sebuah pusat beli- belah di Peringgit, dekat sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.30 malam itu, Chrisanta Geron Lee, 10, berada di depan ketika menuruni eskalator bersama keluarganya apabila kasut dipakainya tiba-tiba tersangkut menyebabkan kaki kirinya terselit di celah eskalator bergerak.


Menurut ibunya yang hanya mahu dikenali Juliet, 46, dari Bertam Jaya, dekat sini, dalam kejadian antara jam 8 malam hingga 9 malam itu, mereka sedang menuruni eskalator itu dari tingkat satu ke tingkat bawah.

“Dia (Chrisanta) berada di depan saya dan suami serta adik-beradiknya yang lain. Tiba-tiba dia menjerit sakit sambil memegang kaki kirinya. Suami terus berlari ke arahnya untuk menolong.


“Saya pula berlari cuba menghentikan eskalator itu dengan menekan butang di bawah, namun tidak berjaya sebelum beberapa kakitangan pasar raya datang membantu memberhentikannya,” katanya di temui di wad pediatrik Hospital Melaka petang semalam.


Beliau yang enggan wajah anaknya dirakam bagaimanapun bersyukur kerana Chrisanta tidak mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Jalan Kubu tiba beberapa minit kemudian dan berjaya mengeluarkan kaki anaknya yang tersepit sambil dibantu kakitangan bahagian penyelenggaraan pusat beli belah itu.


“Kaki anak saya hanya dapat dikeluarkan kira-kira sejam dan saya terkejut apabila melihat kecederaan dialaminya kerana menampakkan tulang kakinya.

“Anak saya kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan. Syukur apabila doktor menjelaskan dia tidak mengalami sebarang keretakan tulang atau tisu otot terkoyak, sebaliknya hanya cedera kulit,” katanya.


Suaminya kemudian membuat laporan polis kejadian, namun tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pusat beli-belah itu.


“Pihak pengurusan dan kakitangan pasar raya memberi kerjasama dan bantuan dengan penuh tanggungjawab. Malah pengurusnya turut melawat anak saya dan menawarkan bantuan termasuk ketika pendaftaran masuk ke hospital.


“Mereka juga berjanji bertanggungjawab atas apa yang berlaku dan berdasarkan semua ini, saya tidak bercadang mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Sejamcelaheskalator/Article

Dapat semula wang selepas berat badan bertambah

PUTRAJAYA: “Saya amat lega kerana dapat kembali duit dan lebih penting kes ini cepat diselesaikan dan tidak mengganggu tugasan saya sebagai pembantu undang-undang,” kata Sarijah Saman, 45.

Sarijah mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), di sini, selepas mendapati program pelansingan yang dijalaninya di sebuah pusat kecantikan di Kajang, Selangor pada 14 Disember tahun lalu tidak menunjukkan penurunan yang dijanjikan iaitu antara 10 hingga 15 kilogram (kg) dalam tempoh empat bulan.


Sebaliknya, berat badan Sarijah hanya turun tiga kg sebelum naik kembali kepada berat badan asalnya, dan lebih menyedihkan dia turut mengalami tekanan darah tinggi selepas menjalani program berkenaan.

Katanya, ketika memulakan program itu berat badannya adalah 71.5 kg, dan turun dua kilogram kepada 69.6 kg selepas empat sesi menjalani rawatan.


Namun, selepas memberhentikan seketika sesi rawatan kerana bercuti, berat badannya naik semula dua kilogram dan tidak turun walaupun sudah menjalani program itu hampir 80 sesi, menyebabkan dia mula hilang keyakinan dan terasa tertipu dengan program berkenaan.


“Saya membayar RM3,688 untuk 84 sesi, tetapi selepas menjalani beberapa sesi saya diminta membayar RM376 sebagai bayaran produk minuman yang kononnya untuk mempercepatkan proses pelansingan.

“Sedangkan, pada awal sesi perundingan, perunding kecantikan di pusat berkenaan memaklumkan saya tidak perlu membuat pembayaran lain kerana pakej yang dibayar sudah lengkap.


“Saya tidak berpuas hati kerana berat badan saya tidak turun seperti dijanjikan, malah saya turut mengalami tekanan darah tinggi selepas mengikuti program berkenaan, dan saya rasa tertipu dengan program itu sebelum mengemukakan tuntutan kepada TTPM,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pendengaran di TTPM di sini, semalam.

Sarijah berjaya dalam tuntutannya apabila Presiden TTPM, Mohd Nasrim Mohd Salleh mengarahkan pusat menguruskan badan yang beribu pejabat di Hulu Langat, Selangor membayar balik tuntutan berkenaan dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan dikeluarkan semalam.


Mohd Nasrim ketika membuat keputusan mengatakan, tanpa mengakui apa-apa liabiliti dan tanggungan, penentang bersetuju untuk membayar balik kepada pihak yang menuntut (PYM) sebanyak RM4,060 dalam tempoh berkenaan.


Jika gagal berbuat demikian, tindakan lanjut boleh diambil terhadap syarikat terbabit.


Ibu tunggal itu berkata, pengguna yang ingin mengikuti mana-mana program pelansingan daripada pusat kecantikan perlu memastikan mereka mendapatkan pengesahan daripada pusat berkenaan sebagai persediaan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini.


“Apa-apa pun yang kita nak buat, mesti pastikan ada dokumen lengkap,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dapatsemulawangselepasberatbadanbertambah/Article/index_html

SOROTAN 2010: Suratan Takdir, Berpisah Jua

Selasa Disember 28, 2010

PETALING JAYA: Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Tahun 2010 meninggalkan satu kenangan pahit buat golongan artis kita apabila rumah tangga yang dibina tidak kekal lama.

1. DIRA ZAHAR: Keretakan rumah tangga pelakon muda ini membuka tirai perceraian artis tanah air 2010 apabila Dira dan suaminya Tengku Shafiz-Rullah Tengku Mohd Shahid (Ash) disahkan bercerai pada 8 April 2010.

Pasangan ini berkahwin pada 31 Ogos 2003. Hasil perkahwinan selama empat tahun, mereka dikurniakan seorang anak perempuan Tengku Anggun Deandra, 2.

Timbul juga desas-desus yang mengaitkan perceraian mereka dengan badi menyertai program Sehati Berdansa (SB) musim ketiga.

2. SABRINA ALI: Pelakon berdarah kacukan Melayu-Afganistan ini berpisah dengan suaminya Shahrin Abdul Halim, 38, pada sekitar Jun 2010. Pasangan yang berkahwin pada 21 Mei 2006 itu dikurniakan seorang puteri Ariyana, 2.

Perceraian Sabrina dan Shahrin menjadikan mereka pasangan ke-enam yang dikaitkan dengan badi program SB.

Punca perceraian enggan dikongsikan oleh Sabrina demi menghormati keluarga kedua belah pihak.

Terbaru, pelakon filem Khurafat ini sedang berbahagia dengan kekasih baru dan dijangka melangsungkan perkahwinan pada 2011.

3. RADHI OAG: Vokalis kumpulan OAG, Radhi atau nama sebenarnya Muhd Radhi Razali bercerai dengan Shazlin Shariff pada 8 Jun 2010 selepas lima tahun melayari bahtera perkahwinan.

Mereka berkahwin pada 1 Januari 2005 dan dikurniakan seorang anak lelaki Rifdhi Muslim, 5.

4. ANNE NGASRI: Pelakon Anne Ngasri atau nama sebenarnya Nasriah Ngasri, 25, dan pasangannya Abdul Wafi Hassan bercerai pada 25 Jun 2010.

Mereka yang berkahwin pada 26 Mei 2006 dikurniakan tiga orang anak Abdul Warits, 2, Abdul Wafri, empat bulan, dan Nazharah Afrozah, satu bulan.

Maya Karin.

5. MAYA KARIN: Pelakon berdarah kacukan Melayu-Jerman ini bercerai dengan suami Steven David Shortose pada 16 Julai 2010. Pasangan itu berkahwin dalam suasana romantis pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali. Majlis resepsi mereka diadakan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pada 26 Ogos tahun yang sama.

6. AIDA RADZWILL: Dramatis terkenal Khalida Adibah Ahmad, 53, atau Aida Radzwill bercerai dengan suami Ismail Ahmad@Mohd Radzwill, 39, (Joe Radzwill) pada 26 Ogos 2010 selepas lapan tahun berkahwin. Pasangan yang tidak dikurniakan anak itu berkahwin pada 6 November 2002.

Selepas bercerai, Aida mengumumkan dia kini menggunakan nama Aida Khalida. Menariknya, sebelum ini Aida turut dikenali sebagai Aida Rahim.

Raja Azura.

7. RAJA AZURA: Perceraian penyampai radio dan pengacara popular Raja Azura dan suami Adzmin Tan Sri Osman merupakan kes penceraian artis paling panas untuk tahun 2010.

Pada 28 September lalu, terputuslah ikatan mereka sebagai suami isteri selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga. Mereka berkahwin pada 10 Mac 2001 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, 8, Megat Luqman Hakim, 4, dan Puteri Mia Maizurah, 4.

Aleeza Kassim.

8. ALEEZA KASIM: Peragawati dan pelakon Aleeza Kasim dan suami Datuk Mohd Fauzi Che Ros bercerai pada 27 Oktober 2010 selepas empat tahun berkahwin. Mereka berkahwin pada 15 Julai 2006.

9. SEIN: Anggota kumpulan Ruffedge, Sein atau sebenarnya Syed Hussein Syed Mustafa, 27, disahkan bercerai pada 8 Disember lalu dengan isteri Noor Diyana Muhammad atau Nana, 26.

Sein dan Nana.

Hasil perkahwinan selama empat tahun, pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syed Tamriz Al-Qudsy, 3, dan Sharifah Inaiya Al-Qudsy, 1.

Sein menjelaskan perceraian mereka bukan disebabkan oleh badi program realiti Sehati Berdansa atau kemunculan orang ketiga.

Suratan atau kebetulan, perceraian Sein dan Nana menjadikan mereka pasangan ke-tujuh daripada program tersebut yang mengalami episod duka itu.

Pasangan lain yang turut mengalami nasib serupa termasuk Asheed (Def Gab C) dan Shima (SB1), Atilia dan Ariff (SB1), Dira dan Ash (SB3), Radhi (OAG) dan Shazlin (SB1), Sabrina dan Shahrin (SB2) dan Anne dan Wafi (SB1).

10. IDA NERINA: Aktres berkarisma ini disahkan bercerai dengan Sha'arin Mohd Razali (Shahrin) yang juga bekas pemain dram kumpulan Blackrose pada 13 Disember 2010 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Perceraian ini berlaku lebih enam bulan selepas mahkamah sama memutuskan bahawa pasangan itu masih sah bergelar suami isteri apabila menolak permohonan pengesahan lafaz cerai yang didakwa berlaku di luar mahkamah.

Permohonan pengesahan lafaz cerai itu difailkan oleh Shahrin kerana mendakwa dia telah melafazkan cerai terhadap Ida pada Hari Raya Aidilfitri kedua, 22 September 2009.

Pasangan itu berkahwin pada 2 Jun 2006 dan tidak dikurniakan anak.

Biarpun perpisahan sudah terjadi, yang penting perlu ada hormat-menghormati. Esok jangan lupa membaca mStar Online untuk mengikuti pelbagai kisah kontroversi dan kerinduan terhadap orang tersayang yang pergi buat selama-lamanya.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/12/28/mstar_hiburan/20101227190925&sec=mstar_hiburan

Syiah masih berkembang walau ditahan ISA

Syiah masih berkembang walau ditahan ISA
Fadzly Esa
Dis 28, 10
12:27pm

Masih ada segelintir pemimpin dan pengikut ajaran sesat di negara ini masih mengamalkan ajaran mereka walaupun sebelum ini mereka telah ditahan dibawah akta keselamatan dalam negeri (ISA).

Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohamad Rais Rasid bagaimanapun berkata, mereka terus memantau aktiviti kumpulan itu walaupun ia tidak dapat menghapuskannya secara keseluruhan.

NONE"Sebelum ini ada di antara mereka yang telah ditangkap dibawah akta ISA, masih lagi ada kegiatan mereka.

"Walaupun begitu kita sentiasa pantau mereka, walaupun tindakan-tindakan itu mungkin tidak dapat menghapuskan, tetapi setidak-tidaknya masyarakat awam tahu yang Syiah itu apa.

"Beerti kalau dah ada tindakan daripada pejabat agama, kalau mereka benar-benar faham mengenai Islam itu sendiri dan juga akidah kita sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah maka mereka akan tinggalkan," katanya.

Antara tindakan paling 'agresif' terhadap pengikut ajaran itu diambil pada tahun 1997 yang menyaksikan sepuluh ditahan di pelbagai negeri bawah akta ISA selama dua tahun atas alasan mengancam keselamatan negara.

Antara ditahan dua pensyarah universiti, Profesor Lutpi Ibrahim (Universiti Malaya) dan Fadzullah Shuib (Universiti Teknologi Mara).

Kesemua mereka dibebaskan setahun kemudian, kecuali Che Kamarulzaman Che Ismail yang dibebaskan pada awal tahun 1999, tetapi dilaporkan kekal bawah pengawasan ketat.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini, Mohamad Rais juga berkata, penahanan yang dibuat bertujuan supaya masyarakat secara tidak langsung faham mengenai ajaran Ahli Sunnah wal Jamaah.

Cinta keluarga nabi

Pada masa yang sama, beliau menasihati masyarakat awam supaya peka kerana "maksiat akidah", termasuk ajaran sesat yang lain, amat sukar untuk ditangani.

NONE"Walaupun ada antara kumpulan itu sudah bertaubat (kononnya) tetapi mereka masih juga mengamalkan ajaran tersebut, sebagai contoh pemimpin ajaran sesat Kahar.

"Kahar yang kita dakwa sampai sekarang pengikutnya masih mempercayainya sebagai rasul berdasarkan pemantauan dan bila bersembang-sembang bersama mereka.

Mengulas pengembangan ajaran sesat di kalangan umat Islam negara ini, Mohamad Rais berkata perkara itu dapat dilihat dengan kemunculan laman web dan blog bertentangan dengan syariah dan akidah.

"Tetapi kita masih belum dapat pastikan di mana tempatnya (beroperasi), kerana di blog payah untuk menanganinya. Kalau ada alamatnya itu (memudahkan) kita akan siasat satu persatu secara keseluruhannya," katanya.

Diminta menjelaskan ciri-ciri ajaran Syiah, Mohamad Rais menjelaskan, secara ringkasnya, ajaran itu lebih menekankan perasaan cinta kepada keluarga Nabi Muhammad.

Manakala, daripada amalannya pula lebih untuk mengingati perjuangan cucu Nabi Muhammad, Hassan dan Hussein, antaranya dengan meratap.

Wahabi sama seperti kita

Menurutnya, kalau dilihat di laman perkongsian video Youtube, ada pengikutnya terlibat mencederakan diri sendiri sehingga berdarah.

Malah, Mohamad Rais berkata, mereka menggunakan banyak perkara yang boleh menarik belia-belia sebagai contoh dalam ajaran Syiah, nikah mutaah (kontrak) dihalalkan.

NONE"Sedangkan dalam mahzab Imam Shafie dan (mazhab fekah dalam) Ahli Sunnah wal Jamaah itu sendiri tidak membenarkan dan mengharamkan.

"Walaupun sebelum zaman Nabi Muhamad SAW itu ada, selepas nabi wafat, ia diharamkan," jelasnya.

Bagaimanapun, katanya, perbezaaan akidah lebih baik dijelaskan oleh pihak mufti.

Sementara itu, ditanya tentang ajaran lain seperti Wahabi pula, Mohamad Rais berkata ajaran itu adalah berdasarkan kepada Al-Quran dan Sunnah serta "sama seperti kita".

Cuma, katanya, terdapat perbezaan kecil dalam tafsiran bidaah dalam agama.

"Tentang tafsiran (wahabi) itu biarlah pihak lain yang menjawab mengenainya," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151804

S'gor, KL kekal bawah Najib, Muhyiddin

Salhan K Ahmad
Dis 27, 10
3:52pm

Setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor hari ini mengumumkan pelantikan tiga pengerusi perhubungan Umno negeri.

Pelantikan itu melibatkan negeri Kedah yang kini diketuai bekas timbalan pengerusi perhubungannya Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan juga negeri Terengganu yang kini dipengerusikan menteri besarnya Datuk Seri Ahmad Said.

Ketua bahagian Umno bahagian Nibong Tebal NONEDatuk Zainal Abidin Osman pula kini dilantik mengetuai badan perhubungan Umno Pulau Pinang.

Pelantikan itu akan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2011, kata Tengku Adnan dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur.

Tengku Adnan (kanan) turut mengumumkan empat timbalan pengerusi baru bagi tiga negeri berkenaan dan juga negeri Perlis.

Ia melibatkan Datuk Seri Shahidan Kassim (Perlis), Datuk Mukhriz Mahathir (Kedah), Yahya Khatib Mohamad (Terengganu) dan Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir (Pulau Pinang).

Pulihkan sokongan pengundi

Tengku Adnan turut mengumkan bahawa presiden parti itu Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing akan kekal mempengerusikan badan perhubungan Umno negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan.

NONEJelasnya, langkah itu adalah bagi mengembalikan sokongan pengundi di negeri-negeri berkenaan.

Pelantikan pengerusi perhubungan baru di dua lagi negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat – Pulau Pinang dan Kedah – dibuat bagi membolehkan pengerusi terdahulu menumpukan tugas di peringkat biro pusat, kata Tengku Adnan lagi.

Perlantikan baru itu juga melibatkan badan perhubungan negeri Terengganu yang sebelum ini diketuai pengerusi biro latihan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Sementara itu, ditanya sama ada pelantikan berkenaan akan menyelesaikan masalah di kalangan pemimpin parti di negeri berkenaan, Tengku Adnan berkata masalah seperti itu tidak wujud.

"Tak ada masalah, (media) yang kata ada masalah," katanya secara berseloroh.

Tambahnya, beliau juga yakin Shahidan akan dapat membantu parti itu di negeri Perlis sebagai timbalan pengerusi perhubungan.

Mukhriz tarik pengundi muda

Katanya lagi, pelantikan Mukhriz yang juga timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri sebagai timbalan pengerusi Umno Kedah pula akan dapat menarik sokongan pengundi muda.

mukhriz mahathir and umno youth pemuda"Kita yakin dengan Datuk Mukhriz sebab dia ada pengaruh tertentu," katanya lagi.

Tambahnya, beliau akan mengutuskan surat kepada pengerusi perhubungan berkenaan supaya segera melantik setiausaha, ketua penerangan dan bendahari negeri.

"(Umno) akan beri input kepada mereka supaya lantik orang yang berkewibawaan yang boleh bekerja untuk parti," katanya.

Jawatankuasa perhubungan negeri berkenaan juga diharapkan akan dapat mengadakan mesyuarat setiap dua bulan sekali, katanya lagi.

http://malaysiakini.com/news/151754

Felda: Patutlah usaha perangi rasuah gagal

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Dis: Perlantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda menggambarkan watak sebenar Datuk Seri Najib Razak dalam memerangi rasuah.

“Patutlah usaha untuk memerangi rasuah tidak berjaya, malahan semakin parah,” ujar Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris ahmad.

Beliau berkata, pemilihan itu seolah-olah Najib tidak nampak di kalangan ahli Umno seramai 3.5 juta orang, melainkan hanya nampak insan yang bernama Isa Samad sahaja.

“Apa rahsianya beliau dipilih, hanya Allah dan Datuk Seri Najib sahaja yang tahu,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

PAS, ujarnya menyifatkan perlantikan Isa Samad sebagai pengerusi Felda, berkuat kuasa 1 Januari 2011, sebagai satu lagi pencapaian Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diuar-uarkan oleh yang dilancarkan pada 20 Januari 2010.

Antara NKRA telah diputuskan oleh Kabinet ialah membanteras rasuah melalui Bahagian Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

“PAS merasa hairan Perdana Menteri yang terkenal dengan berbagai-bagai slogan retorik, untuk membuat pembaharuan (transformasi), tiba-tiba boleh melantik Tan Sri Isa Samad yang pernah disabitkan dengan rasuah pada 24 Jun 2005 oleh Panel Lembaga Disiplin Umno yang dipengerusikan oleh Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Ismail,” katanya lagi.

Isa telah dijatuhkan hukuman penggantungan keahlian selama 6 tahun. Mohd Isa telah disabitkan bersalah atas 5 pertuduhan daripada 9 pertuduhan. Antara pertuduhan yang dikemukakan adalah berhubung amalan rasuah termasuk membabitkan penganjuran pertemuan, mengadakan majlis makan dan memberi wang untuk membeli undi.

Perbuatan rasuah itu telah dilakukan oleh Mohd Isa melalui agennya merangkap setiausaha politik beliau, Salim Shariff ketika bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan September tahun 2004.

Idris berkata, Malaysia masih kekal di tangga ke-56 pada Indeks Persepsi Rasuah yang dijalankan oleh Transparency International (TI) tetapi mata yang dikutipnya terus merosot daripada 4.5 kepada 4.4.

Markah itu, ujarnya membuktikan bahawa negara telah gagal mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang meletakkan sasaran mereka daripada 4.5 kepada 4.9 daripada markah maksimum -10 mata.

“Memang kita jarang kedengaran Presiden Umno sekarang ini bercakap tentang memerangi rasuah secara agresif, berbanding dengan zaman Tun Abdullah,” ujarnya.

Katanya, Walaupun nampak lembut, sekurang-kurangnya zaman Tun Abdullah ada juga daya usaha menubuh Institut Integriti Malaysia, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditukar kepada SPRM Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30051:felda-patutlah-usaha-perangi-rasuah-gagal&catid=1:utama&Itemid=50

Syiah serah memo, tuntut maaf terbuka

Syiah serah memo, tuntut maaf terbuka
Fadzly Esa
Dis 27, 10
3:32pm

Sekumpulan pengikut Syiah hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), mendakwa berlaku pencabulan hak asasi manusia terhadap mereka.

Kumpulan 30 orang itu mendakwa serbuan terhadap pusat mereka di Gombak pada 15 Disember lalu bercanggah dengan pelbagai peruntukan, antaranya Piagam Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Perlembagaan Persekutuan.

NONE"Kami Komuniti Pencinta Ahlul Bait (Syiah) di Malaysia memohon perlindungan hak daripada Suhakam berpaksikan Perlembagaan Malaysia agar hak minoriti kami sebagai rakyat Malaysia dilindungi pihak-pihak berwajib," kata jurucakapnya Kamil Zuhairi Ab Aziz.

"Sekiranya hak kebebasan beragama dan kepercayaan telah diberikan kepada minoriti yang beragama Hindu, Buddha, Kristian, Sikhisme atau lain-lain agama, mengapa kami dicaci, dihina, difitnah dan kini diugut semata-mata kerana mengamalkan kepercayaan kami turun-temurun sejak nenek moyang kami, iaitu Mazhab Ahlul Bait atau Syiah Imamiah yang dianuti lebih 200 hingga 500 juta umat Islam seluruh dunia."

Sebahagian daripada kumpulan itu antara 128 orang yang ditahan dua mingg lalu di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Dua daripada mereka telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuang bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

NONEKali pertama tampil mengadakan sidang media di ibu pejabat baru Suhakam di Kuala Lumpur, Kamil menjelaskan, ketika serbuan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tiada usaha penyebaran fahaman, sebaliknya hanya majlis tahlil untuk arwah cucu Nabi Muhammad.

Mengakui mempunya jati diri yang khusus, Kamil menolak generalisasi yang menyamakan fahaman mereka - Syiah Imamiah - di negara ini dengan kumpulan yang sama di negara lain.

"(Kami) tidak akan menumpahkan darah, tidak akan bersubahat, tidak akan terlibat dalam sebarang kegiatan militan, keganasan dan persenjataan yang dapat meletakkan negara tercinta dalam kedudukan bahaya," katanya sambil menegaskan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membendung elemen itu.

Sehubungan itu, mereka menuntut pihak yang terlibat dalam tangkapan mereka, terutamanya JAIS, pengarahnya Datuk Khusrin Munawi dan penguatkuasa jabatan itu membuat permohonan maaf secara terbuka kerana "mengakibatkan fitnah dan kekeliruan terhadap mereka".

Tuntutan itu turut dibuat kepada pihak media dan penceramah popular Datuk Dr Hassan Din yang dilaporkan berkata, perkahwinan dengan pengikut Syiah boleh mengakibatkan perkahwinan tidak sah dan anak yang lahir boleh dikategorikan sebagai anak zina atau anak tidak sah taraf.

Mengulas 'kekeliruan' terhadap fahaman mereka, Kamil menjelaskan perkara itu berlaku ekoran tiada dialog dan kajian yang tersusun daripada sarjana berhubung fahaman itu.

http://malaysiakini.com/news/151753

Pakar: Universiti tempat 'panas' rekrut pengganas

Pakar: Universiti tempat 'panas' rekrut pengganas
Dis 27, 10 11:53am

Universiti di negara ini dilaporkan kini menjadi tempat militan Islam merekrut golongan muda menyertai rangkaian pengganas, dakwa beberapa pakar keselamatan.

AFP melaporkan tidak seperti negara jiran Indonesia dan Thailand, Malaysia yang bebas daripada serangan pengganas kini menjadi sarang pembiakan pengganas untuk melancarkan 'jihad' kerana kekurangan kawalan ketat oleh pihak berkuasa.

NONEBeberapa siri tangkapan dan penahanan sepanjang tahun ini dikatakan bukti bahawa peningkatan golongan radikal yang menjadikan negara ini sebagai markas mendapatkan ahli dan tempat melancarkan serangan.

"Ancaman pengganas kepada Malaysia adalah membimbangkan kerana ada yang datang ke negara ini sebagai penuntut,” kata timbalan ketua, Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin.

"Mereka di bawah radar supaya mereka boleh merekrut dan mewujudkan rangkaian pengganas,” kata Zamihan, antara ulama Islam yang diambil kerajaan bagi memulihkan suspek pengganas yang ditahan.

Pada Jun lalu, pihak berkuasa menghantar pulang seorang sarjana Syria yang dikaitkan dengan Al-Qaeda - Aiman Al Dakak, 45 bersama lapan lagi yang kebanyakan mereka pelajar asing dari Syria, Yemen, Nigeria dan Jordan.

Noordin Mohammed Top terror suspect JI indonesia hideoutAl Dakak memberi ceramah kepada pelajar Malaysia dan juga negara lain di kediamannya di Kuala Lumpur. Dia didakwa menyemaikan bibit ideologi 'jihad' dan menggesa pelajarnya mengebom tempat ibadat agama lain.

Bulan berikutnya, seorang jurutera - Mohamad Fadzullah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negara kerana cuba merekrut pelajar di universiti tempatan bagi menganggotai kumpulan pelampau Jemaah Islamiyah (JI).

"Di sebalik tangkapan itu, kami percaya masih ramai lagi yang terlibat dan proses memburu mereka akan berterusan,” kata Zamihan, yang diberikan kebenaran untuk mewawancara kesembilan-sembilan suspek pengganas yang ditahan itu.

jakarta terror suspects bomb"Sesetengah ahli Al-Qaeda itu ditangkap di luar negara tetapi tidak didakwa kerana kekurangan bukti atau terlepas kerana mempunyai peguam yang cekap. Jadi mereka datang ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di bidang Sarjana atau PhD, tetapi pada masa yang sama sibuk merekrut mahasiswa lain menyertai rangkaian mereka.

"Selepas merekrut, sama ada pelajar tempatan ataupun luar negara yang belajar di sini, mereka akan merancang membuat serangan serantau. Ramai yang mengakui perkara ini,” katanya.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/151732

JAIS: Tak sangka begitu banyak Syiah

JAIS: Tak sangka begitu banyak Syiah
Fadzly Esa
Dis 27, 10
11:57am

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mempertahankan serbuan dan tangkapan besar-besaran baru-baru ini terhadap pengikut Syiah dibuat berdasarkan aduan diterima daripada masyarakat awam.

NONE"Sehubungan itu, kita membuat pemantauan siasatan dan juga risikan berhubung kegiatan dijalankan di kawasan tersebut," kata ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohamad Rais Rasid (kanan).

Malah, katanya, serbuan mereka juga dilakukan hasil pemantauan bahagian bahagian penyelidikan dan pembangunan (R&D) jabatan itu.

Pada 15 Disember lalu, seramai 128 orang, dipercayai pengikut Syiah ditahan JAIS ditahan di sebuah rumah kedai di Taman Seri Gombak, Batu Caves.

Daripada jumlah itu, dua telah didakwa di Mahkamah Rendah Syariah Kuang bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

NONEKetika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini, Mohamad Rais menjelaskan, serbuan pada malam 10 Muharam yang dibuat bersesuaian dengan upacara keraian bagi memperingati Saidina Ali pada malam tersebut.

Pada malam itu, tambahnya, memang wujud perkumpulan beramai-ramai yang tidak dijangkakan "begitu banyaknya".

Beliau juga mendedahkan, pada malam tangkapan itu terdapat pertelingkahan lidah antara penguatkuasa JAIS dan pengikut ajaran itu.

"Secara berkrompomi kita bertolak ansur dan cara kita untuk bekerjasama itu dengan menahan dua orang pemimpin utamanya dengan jaminan polis untuk hadir ke mahkamah manakala selebihnya di minta hadir pada 16 Disember hingga 23 Disember lalu," katanya.

Kebanyakan mereka mengaku mempunyai pendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja, kata Mohamad Rais yang juga seorang ustaz.

"(Mereka) pelajar sekolah menengah (dua orang), penuntut institut pengajian tinggi (seorang), kakitangan kerajaan (seorangan) dan pegawai bank (seorang) manakala selebihnya bekerja sendiri dan suri rumah tangga," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151731

Dirompak polis: Peniaga timbang tindakan lanjut

Dirompak polis: Peniaga timbang tindakan lanjut
Hazlan Zakaria
Dis 26, 10
7:08pm

Ahli perniagaan Chia Buang Hing sedang menimbangkan untuk mengambil tindakan lanjut terhadap anggota polis yang dikatakan menyerang dan merompak wang tunai RM13,000 daripadanya awal bulan ini.
NONESatu siasatan polis telah dimulakan, dengan Chia mengenal pasti beberapa anggota polis dalam kawat cam semalam.

Chia (kiri) dipanggil ke balai polis daerah Petaling Jaya pagi semalam untuk mengecam mereka yang menyerangnya dan untuk dirakam kenyataannya.

Ahli perniagaan berusia 34 tahun itu mengecam empat anggota polis yang merupakan antara orang yang menyerangnya.

Ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng - yang mengiringi Chia ketika dia membuat laporan polis - ketika dihubungi Malaysiakini berkata ahli perniagaan itu akan memaklumkan tindakan lanjutnya dalam satu sidang akhbar esok.

"Beliau akan memaklumkan tindakan lanjut yang akan diambilnya. Itu adalah bahagian pertama," kata Lim.

NONE"Bahagian kedua, beliau akan menyangkal tuduhan polis terhadapnya
berkaitan tuduhan memiliki dadah dan parang ketika ditangkap," kata ahli parlimen DAP itu lagi.


Lim berkata, Chia yang menjalankan perniagaan membuat bingkai gambar, tidak ada hari ini, kerana pulang ke kampungnya di Tanjung Sepat, Selangor tetapi akan mendedahkan maklumat terperinci mengenainya dalam sidang akhbar jam 2 petang esok.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/151709

Dua polis ditahan disyaki belasah lelaki

Dis 26, 10 9:25pm

Dua anggota polis, dipercayai memukul seorang lelaki yang ditahan semasa sekatan jalan raya kerana disyaki membawa dadah Sabtu lalu, ditahan hari ini.

NONEKetua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata kedua-dua anggota berpangkat konstabel serta berumur 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Kota Damansara itu ditahan selepas kawad cam oleh lelaki berkenaan semalam.

"Dalam kawad cam itu, enam orang telah dibuat kawad cam dan daripada jumlah itu, dua telah ditahan," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Beliau berkata sebelum itu, satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat laporan yang dibuat mangsa berhubung kejadian tersebut.

"Polis melihat kes ini adalah serius dan wujudnya penyalahgunaan kuasa di kalangan anggota polis, dan tiada sebarang diskriminasi jika mereka bersalah," katanya.

Bagaimanapun, Tun Hisan berkata siasatan mendapati terdapat elemen palsu dalam laporan polis lelaki itu.

"Selepas itu, satu laporan telah dibuat oleh pasukan itu tentang laporan lelaki tersebut yang dipercayai mempunyai elemen palsu.

NONE"Seramai 20 orang telah direkodkan percakapannya, termasuk doktor yang menjalankan pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis yang ditahan serta orang awam," katanya.

Beliau berkata penahanan kedua anggota polis yang berkhidmat selama empat tahun itu bukan bermakna mereka bersalah tetapi bagi membantu siasatan, dan mereka akan ditahan reman mulai esok.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Sabtu lalu, seorang lelaki mendakwa dipukul beberapa anggota polis ketikaditahan dalam sekatan jalan raya di Petaling Jaya Utara kerana disyaki membawa dadah, dan wangnya sebanyak RM13,000 telah diambil anggota polis berkenaan.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151717

‘Tiada jaket keselamatan’

Oleh Salman Hamat dan Sahlina Sahkirin
am@hmetro.com.my

MERSING: “Kami mula runsing apabila air mencurah masuk di bahagian belakang bot, kami maklumkannya kepada tekong tetapi dia meminta kami berganjak ke depan.

“Pada masa sama, tekong meminta kami supaya tidak berasa bimbang, bagaimana kami mahu melegakan perasaan itu kerana jaket keselamatan juga tidak disediakan,” kata wanita warga Singapura yang hanya dikenali sebagai May di sini, semalam.


May yang berusia lingkungan 40-an ditemui di Balai Polis Sungai Ambat, di sini. Beliau antara 24 mangsa terselamat dalam tragedi bot karam di perairan Tanjung Leman, kira-kira jam 1.30 tengah hari, semalam.

Dalam kejadian itu, lima warga Singapura lemas manakala dua lagi masih hilang.


Identiti mereka yang lemas Low Lee Jun, 33, Chua Lim Khoon, 45, dan Adrian Tan, 67, manakala yang masih hilang dikenali sebagai Eng Kian Tek, 44, dan Tor Soon Kwee, 41.


Menurutnya, penumpang juga memberitahu tekong bot itu terlebih muatan tetapi tekong memberi jaminan tiada apa akan berlaku.

“Walaupun bimbang, kami terpaksa menurut saja dan kami cukup bernasib baik kerana ketika kejadian, beberapa bot nelayan tempatan berada berhampiran lokasi kejadian.


“Apabila bot mula tenggelam, bot nelayan berhampiran datang menyelamatkan kami, bayangkan apa bakal berlaku jika nelayan itu tiada di sini, pasti lebih ramai menjadi mangsa,” katanya.

May mengatakan dia menghabiskan cuti sambutan Hari Natal selama sehari di kelong itu bersama rakan kenalannya.


“Pengalaman itu sungguh menakutkan tetapi syukur kerana ramai yang selamat,” katanya.


Seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Bob, 24, mengatakan mereka cuba memberikan bantuan pernafasan kepada tiga yang lemas.


“Kami berusaha untuk menyelamatkan mereka sebelum ketibaan ambulans tetapi gagal berbuat demikian,” katanya.


Sementara itu, pasangan anak beranak yang tidak menaiki bot berkenaan, Solaino Sujak, 25, dan ibunya yang hanya dikenali sebagai Mas, 40, mengatakan mereka bernasib baik kerana kenderaan laut itu sudah penuh.


“Saya dan ibu bernasib baik kerana tidak dapat menaiki bot berkenaan, jika sebaliknya, kami pasti menjadi sebahagian daripada mangsa, lebih teruk lagi mungkin lemas.


“Kami beratur bersama puluhan pelancong lain tetapi apabila tiba giliran kami, ia sudah penuh,” katanya.


Kedua beranak itu kemudian menaiki bot lain dan hanya mengetahui berkaitan kejadian sejurus tiba ke jeti.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2010122701431820101227014318/Article/index_html

Feri karam di Mersing, tiga maut

Dis 26, 10 6:03pm

Tiga maut, dua lagi masih hilang apabila feri yang membawa 29 penumpang karam ketika dalam perjalanan dari Pulau Sibu ke Terminal Feri Tanjung Leman di Mersing Johor.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff kejadian itu berlaku pada 1.30 tengahari tadi.

Menurut salah seorang penumpang yang terselamat, Lim Tai Wee, 35, bot kayu yang membawa 29 penumpang dari sebuah kelong di Sibu, Sarawak terumbang-ambing akibat dipukul ombak sejurus sebelum ia terbalik kira-kira 300 meter dari jeti Tanjung Leman.

Dalam kejadian hari ini tiga orang terkorban manakala dua lagi masih hilang.

Warga Singapura itu berkata beliau sempat berpaut pada serpihan kayu bot yang pecah, sebelum diselamatkan tidak lama kemudian.

"Cuaca ketika itu agak tidak berapa baik. Apa yang saya ingat, keadaan ketika itu amat kelam-kabut. Bot yang kami naiki terumbang-ambing sebelum ia tiba-tiba terbalik," katanya ketika ditemui di Mersing hari ini.

Seorang rakyat tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Ah Yap, 19, pula berkata beliau bernasib baik apabila sempat berpaut pada tong ikan sejurus selepas bot itu terbalik.

Katanya, beliau sempat mendengar jeritan meminta tolong, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana keadaan laut yang bergelora.

Penumpang bot itu terdiri daripada sembilan rakyat tempatan, 19 warga Singapura dan seorang warga China.

Mereka ke kelong berkenaan pagi semalam dan dalam perjalanan pulang ke jeti Tanjung Leman hari ini ketika bot itu terbalik.

Berikutan kejadian itu, polis kini menahan seorang tekong bot berusia 67 tahun dan pengusaha kelong berumur 58 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151705

Kicap bangkai

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my

KANGAR: Lapan beranak di Taman Merpati, di sini, hampir termuntah apabila menemui bangkai cicak terjulur keluar dari botol kicap digunakan bagi menambah perisa nasi goreng untuk hidangan makan malam, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, bangkai cicak sepanjang dua sentimeter itu terkeluar daripada botol kicap soya pekat ketika seorang guru, Norazura Arip, 32, menuangnya di atas senduk bagi menggoreng nasi.


Norazura berkata, kicap itu sudah hampir habis digunakan bagi menambah perisa pelbagai masakan di rumahnya sejak dibeli dari sebuah kedai runcit di Pasar Borong, dekat sini, sebulan lalu.

Menurutnya, keluarganya sudah menggunakan kicap berharga RM4.80 sebotol mengandungi bangkai cicak sejak sebulan lalu dan sudah banyak masakan menggunakan kicap itu dengan yang terakhir ketika menggoreng nasi untuk hidangan makan malam.


“Saya terkejut dan menjerit apabila bangkai cicak terjulur keluar daripada botol kicap hingga mengejutkan tujuh ahli keluarga termasuk suami, anak dan adik yang menunggu nasi goreng.


“Sebelum itu, saya menyiapkan satu balang rojak menggunakan kicap sama dan makanan berkenaan sudah habis dimakan keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Katanya, dia yakin cicak yang cukup sifat sudah menjadi hitam dan keras sejak bahan itu dibotolkan pengusahanya.


“Sebaik menyedari bangkai cicak itu, ahli keluarga mula loya dan hampir termuntah kerana menyedari sudah menggunakan bahan perisa itu agak lama, malah satu belanga nasi goreng untuk hidangan malam terpaksa dibuang,” katanya.

Norazura yang juga penolong kanan sebuah sekolah rendah di sini berkata, tidak mungkin cicak itu masuk ke dalam botol kerana dia sentiasa menutup botol dan menyimpan dalam peti sejuk selepas digunakan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kicapbangkai/Article/index_html

Tidur bersama kawan abang

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR SETAR: Harapkan pagar, pagar makan padi. Begitu perumpamaan layak diberi kepada seorang abang yang sepatutnya menjaga maruah adik perempuannya daripada terjebak dengan gejala sosial, namun sebaliknya apabila dia pula membenarkan adiknya itu ditiduri rakannya di sebuah bilik hotel murah di Jalan Alor Mengkudu, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 24 tahun, seorang nelayan berasal dari Kuala Kedah itu dikatakan turut membawa rakan adik perempuannya berusia 22 tahun menyewa sebuah bilik di hotel sama walaupun baru pertama kali bertemu kelmarin untuk memuaskan nafsunya.


Lelaki berkenaan dikatakan mengajak adik perempuannya berusia 21 tahun menyewa bilik bersama rakannya yang juga nelayan berusia 18 tahun dan masing-masing datang ke hotel itu sejak petang Jumaat dengan menunggang motosikal berasingan.

Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) membuat serbuan di dua bilik berasingan hotel itu dalam ‘Ops Krismas’, kira-jam 4 petang.


Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali berkata, dalam pemeriksaan di bilik pertama hotel itu, seorang lelaki yang hanya berseluar denim tanpa baju terkejut melihat kehadiran anggota penguat kuasa Jaik ketika membuka pintu dan membenarkan pemeriksaan dilakukan.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui seorang wanita memakai baju labuh nipis dan bertali halus tanpa coli dan seluar dalam berselimut di atas katil di bilik berkenaan dalam keadaan takut.

“Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan mahram atau suami isteri sah dan memberi alasan hanya untuk makan bersama di bilik itu.


“Mereka mengaku baru berkenalan dan bertemu di hotel berkenaan. Mereka terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui, kelmarin.

Katanya, si adik mendakwa dia mengikut abangnya keluar dari rumah mereka kerana bergaduh dengan seorang lagi abang dan mahu mencari ketenangan sebelum dicekup berkhalwat di hotel itu.


Beliau berkata, pemeriksaan di bilik kedua menemui seorang lelaki dan seorang wanita berpakaian lengkap berdua-duaan tanpa sebarang ikatan hingga menimbulkan syak.


Menurutnya, wanita itu mengaku yang dia adik kepada lelaki yang ditahan di bilik pertama dan datang ke hotel itu bersama rakannya yang juga pasangan abangnya.


“Kita mengesyaki sesuatu mencurigakan dan lebih mengejutkan apabila abang wanita itu sanggup membiarkan adiknya bermalam dengan rakannya di bilik hotel itu sedangkan dia sepatutnya menjaga kehormatan wanita itu.


“Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 9(1) dan (2) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kedah 1988 kerana berkurung hingga mendatangkan syak kepada orang ramai yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali,” katanya.


Pasangan adik beradik itu kemudian diikat jamin ibunya yang datang ke Pejabat Agama Islam Kota Star selepas dimaklumkan penahanan mereka oleh anggota penguat kuasa manakala pasangan mereka dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.


Md Nasir berkata, dalam operasi sempena Krismas kelmarin, tiga pasangan berusia 18 hingga 24 tahun ditahan dalam pemeriksaan di beberapa hotel murah sekitar bandar raya ini bermula jam 2 hingga 7 petang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tidurbersamakawanabang/Article/index_html

Dua parah bas ekspres terbalik

RAUB: Seramai 39 penumpang bas dua tingkat Mahligai Ekspres yang dalam perjalanan ke Klang dari Kota Bharu, Kelantan, menempuh detik cemas apabila bas itu terbabas dan terbalik, di Kilometer 363, Jalan Raub-Bentong, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, dua penumpang, Wan Roshani Yacoob, 32, serta Muhamad Yusri Abdul Latif, 34, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Raub (HR) untuk rawatan.


Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Shamsuddin Wan Osman, berkata bagaimanapun, Wan Roshani terpaksa dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas), Temerloh untuk menerima rawatan akibat kecederaan di perut.

Menurutnya, Muhamad Yusri dikatakan masih menerima rawatan lanjut di HR akibat kecederaan di kepala dan patah tulang rusuk manakala baki penumpang bas berkenaan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.


Katanya, siasatan awal mendapati, polis tidak menolak kemungkinan kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kerana ia berlaku di permukaan jalan yang lurus manakala keadaan cuaca ketika itu baik.


Wan Samsuddin berkata, siasatan turut mendapati bas berkenaan baru sebulan beroperasi.

“Ujian air kencing turut dilakukan ke atas pemandu berusia 46 tahun itu dan keputusannya didapati negatif namun siasatan berhubung kejadian itu masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.


Menurutnya, pada masa sama, tiga penumpang bas ekspres sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Benta, Lipis, kira-kira jam 4 pagi.

Katanya, tiga penumpang terbabit didapati positif dadah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duaparahbasekspresterbalik/Article/index_html

Bas ekspres terbabas, enam cedera

Dis 26, 10 5:00pm

Enam cedera, dua daripadanya patah tulang rusuk apabila sebuah bas ekspres dua tingkat terbabas di KM363, Jalan Raub-Bentong, awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Wan Mohd Samsuddin Wan Osman berkata dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi itu, bas ekspres Mahligai berkenaan sedang dalam perjalanan dari Kota Baharu, Kelantan ke Kuala Lumpur dengan membawa 39 penumpang.

Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian, bas terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke tebing bukit berdekatan.

Katanya penumpang yang mengalami patah tulang rusuk dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh sementara empat lagi penumpang menerima rawatan di Hospital Raub.

"Penumpang selebihnya tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi di Temerolh hari ini.

Katanya hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemandu bas mendapatinya bebas dadah.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/151708

Tambahan RM500: Kenapa Muhyiddin takut sangat?

Dis 26, 10 11:34am

PAS hari ini mengingatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar jangan mudah melatah jika tidak mahu sikap takut dan gelabah beliau terhadap janji Pakatan Rakyat terbongkar, lapor Harkahdaily.

idris ahmad information chief pas muktamar in kota bharuKetua Penerangan PAS, Idris Ahmad berkata, parti Islam itu berasa pelik dengan sikap Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno yang sangat emosi terhadap komitmen Pakatan Rakyat untuk menaikkan RM500 sebulan kepada guru jika Pakatan Rakyat menerajui negara seperti diumum Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"PAS merasa pelik seorang Timbalan Perdana Menteri mencabar Datuk Seri Anuar Ibrahim menaikkan gaji guru-guru di negeri Pakatan Rakyat.

"Iltizam Pakatan Rakyat kepada guru-guru jika Pakatan Rakyat memerintah di peringkat pusat, bukannya sekarang.

"Kenapa perlu takut dengan janji Pakatan Rakyat? Janganlah buat tuduhan yang tidak menentu," katanya.

azlanBeliau mengulas kenyataan Muhyiddin yang mendakwa tawaran Pakatan Rakyat untuk pendidik itu hanya janji politik dan sukar dilaksana untuk guru sahaja dan memberi alasan dengan mempersoal imbuhan kepada kakitangan awam lain.

Menurut Idris, untuk peringkat awal janji berkenaan hanya diberikan kepada guru namun semua kakitangan awam akan diambil perhatian juga selepas itu.

"Pakatan Rakyat mengambil tindakan awal untuk guru-guru sebagai satu penghargaan dan pengorbanan mereka mendidik rakyat di negara ini.

NONE"PAS menasihatkan Tan Sri Muhyiddin dapat turun ke bawah, memerhatikan bagaimana beban guru-guru yang berat, jangan hanya mendesak guru-guru melakukan macam-macam tugas," katanya.

Idris, sehubungan itu, menasihatkan Muhyiddin supaya sabar dan tidak emosi. Beliau juga mahu timbalan perdana menteri itu meneliti ayat-ayat yang terkandung dalam buku jingga yang merupakan manifesto Pakatan yang telah diedar di Konvensyen Pakatan Rakyat 19 Disember lalu.

Selaku Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin juga katanya, Muhyiddin tentu lebih arif dalam hal kewangan negara berbanding pendapatan kerajaan negeri yang terlalu kecil.

azlan"Jangan beliau bercakap macam ketua cawangan Umno sahaja.

"Pakatan Rakyat hanya berjanji untuk menaikkan taraf hidup rakyat dan meletakkan rakyat di tempat yang sepatutnya setelah 53 tahun rakyat dipinggirkan.

"Sekarang ini pun dengan kekangan kewangan negeri, Pakatan Rakyat telah membuat yang terbaik untuk rakyat, seperti skim kifalah, air percuma, bantuan pendidikan," katanya.

http://malaysiakini.com/news/151695

Wanita 292.1 kg makan 30,000 kalori



DONNA SIMPSON makan makanan 30,000 kalori pada Sabtu lalu.


NEWARK - Seorang ibu yang mempunyai dua anak di negeri New Jersey, Amerika Syarikat (AS), Donna Simpson memakan makanan mengandungi 30,000 kalori yang boleh mengenyangkan lebih 12 orang, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia mengambil masa dua jam dan membelanjakan AS$231(RM717) untuk menghabiskan dua ayam belanda seberat 11.3 kilogram (kg), sejumlah daging, 6 kg kentang, lima buku roti, 2.2 kg herba, 1.8 liter kuah, 1.8 liter sos kranberi dan 9 kg sayur ketika makan malam Hari Krismas pada Sabtu lepas.

Simpson yang seberat 292.1 kilogram dan tinggi 1.57 meter itu merupakan ibu paling gemuk di dunia tetapi dia mahu menambahkan berat badannya sehingga 453.6 kilogram untuk bergelar wanita paling gemuk di dunia. - Agensi

Individu gemar bersosial miliki saraf otak besar

NEW YORK - Satu kajian di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang gemar bersosial dan memiliki ramai kenalan memiliki kelompok saraf yang besar dikenali sebagai amigdala, lapor sebuah akhbar semalam.

Amigdala merupakan kelompok saraf berbentuk seperti kacang di dalam otak manusia. Kajian itu melibatkan imbasan ke atas 58 otak sukarelawan.

Dalam kajian itu, kumpulan yang menemui lebih ramai anggota keluarga dan rakan-rakan memiliki amigdala yang lebih besar berbanding mereka yang kurang bersosial.

Seorang penulis kajian berkenaan, Lisa Feldman Barrett dari Universiti Northeastern menyatakan, penemuan tersebut tidak memeranjatkan kerana amigdala berfungsi untuk membantu manusia mengenali sama ada seseorang itu merupakan rakan, orang asing atau musuh.

"Amigdala merupakan pusat kepada jaringan otak yang penting untuk aktiviti sosial," katanya.

Menurutnya, setiap orang mempunya satu amigdala yang sebahagiannya berada di sebelah kiri dan sebahagian lagi di kanan.

Kajian amigdala menjadi tumpuan pada awal bulan ini apabila beberapa penyelidik melaporkan mengenai seorang wanita yang memiliki amigdala yang tidak berfungsi.

Wanita berkenaan didapati tidak berasa takut dengan haiwan berbisa dan situasi yang mengancam dirinya. Seorang pakar otak, Arthur Toga dari Universiti California, Los Angeles menganggap kajian itu dilakukan dengan sempurna manakala keputusan yang dihasilkan adalah kukuh.

Menurutnya, idea untuk mengaitkan struktur otak dengan kelakuan manusia merupakan sesuatu yang menarik dan penting. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Bekas isteri mengaku lelaki mirip Ariel


GAMBAR yang disiarkan akhbar Tribun Jabar semalam menunjukkan Sarah Amalia (tengah) duduk di ruang bangunan sebuah mahkamah di Bandung semalam.


BANDUNG - Vokalis kumpulan pop-rock popular Indonesia Peterpan, Ariel (gambar) agak gugup apabila bertemu dengan bekas isterinya, Sarah Amalia semasa perbicaraan kesnya berhubung dakwaan dia mengedarkan klip video lucah di sebuah mahkamah di sini semalam, lapor sebuah akhbar semalam.

Sarah sebelum ini tidak hadir sebanyak dua kali dalam perbicaraan itu melibatkan kes penyebaran beberapa klip video seks yang menampilkan individu mirip Ariel.

Sebaik duduk di kerusi saksi, Sarah sempat memandang Ariel.

Mereka dikurniakan seorang anak perempuan hasil perkahwinan sebelum ini yang berakhir pada Mei 2008.

Ariel kemudian mengalih daripada melihat bekas isterinya itu dengan berbincang dengan peguamnya, Afrian Bondjol.

Semasa keluar dari kamar mahkamah, Sarah tidak menjawab sebarang pertanyaan daripada wartawan.

Dia hanya bertindak mendiamkan diri.

Bagaimanapun, pendakwa raya, Rusmanto SH menyatakan, Sarah menjelaskan bahawa lelaki dalam klip video seks yang dilihatnya mirip Ariel.

Menurut Rusmanto, bekas isteri Ariel itu tidak menonton dua klip video yang menampilkan lelaki mirip penyanyi tersebut sedang melakukan hubungan seks dengan Cut Tari dan seorang wanita mirip Luna Maya.

Pendakwa raya itu berkata, Sarah pernah menonton klip video tersebut semasa dia disoal siasat di ibu pejabat polis sebelum ini.

Ariel dituduh mengedarkan dua klip video itu tetapi dia mengaku tidak bersalah.

Cut Tari yang merupakan seorang pengacara dan pernah menjadi kekasih Ariel pernah menyatakan di mahkamah sama bahawa dia memang melakukan hubungan seks dengan penyanyi itu sekurang-kurangnya tiga kali.

Sementara itu, Ariel mengaku dia menonton perlawanan bola sepak antara Malaysia dengan Indonesia yang berlangsung pada Ahad lalu dari dalam penjara.

"Saya menonton dengan teman-teman di dalam penjara. Awalnya semangat, tapi ketika skuad kalah, saya jadi lemas," katanya ketika ditemui pemberita sebelum kes video seksnya dibicarakan.

Dalam perlawanan tersebut, skuad Indonesia kalah 3-0.

Ariel turut menganggap kekalahan skuad Indonesia itu adalah kerana kurangnya tumpuan para pemain dan sinaran lampu laser ke arah pemain Indonesia. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1228&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...