Wednesday, April 28, 2010

Tidur ubat paling mujarab




"SAYA pernah hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu pulang ke kampung kerana mengantuk.

"Saya juga kerap bermimpi seperti lemas dan tiba-tiba terbangun," ujar Zulfikar Ali Bhatto Mohd. Sidik menceritakan masalah mengantuk yang dihadapinya.

Pada awalnya dia menyangka fenomena itu disebabkan dia kurang vitamin dan tidal bersenam. Namun, pemeriksaan doktor mendapati Zulfikar Ali menghidap sleep apnea (nafas terhenti ketika tidur) hingga kualiti tidurnya berada pada paras 30 peratus sahaja.

Dia sering terjaga secara tiba-tiba disebabkan otaknya telah memberikan signal supaya bangun. Jika tidak, keadaan itu boleh menyebabkan maut kerana nafas berhenti untuk tempoh yang lama.

Bagi mengatasi masalah itu, doktor menasihatkan Zulfikar supaya menjalani pembedahan.

Namun, memandangkan Zulfikar mempunyai masalah tonsil, doktor menyarankannya menggunakan mesin tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi membolehkannya mendapat tidur yang berkualiti.




Zul'Aida Zulkifli, 27, pula memberitahu dia baru sahaja mengalami gangguan tidur sejak bulan lalu kerana tekanan bekerja.

"Walaupun mengantuk, saya tidak boleh tidur. Pukul 5.30 pagi baru saya dapat melelapkan mata tetapi kemudian terpaksa bangun pada 7 pagi dan bersiap-siap ke tempat kerja.

"Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa sakit kepala selama satu jam sebaik bangun daripada tidur. Pernah juga terdetik untuk mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah ini tapi khuatir ia akan mendatangkan kesan sampingan pada badan saya kelak" katanya.

Sepanjang berjaga, Zul'Aida menghabiskan masa dengan membaca buku, melayari Internet dan menonton televisyen.

Tidur merupakan satu-satunya waktu privasi untuk merehatkan badan dan minda. Ia juga satu keperluan asas biologi manusia.

Seseorang yang tidak mempunyai waktu tidur yang men cukupi cenderung untuk mengantuk.

Mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi malah disebabkan gangguan tidur yang dialami oleh seseorang individu.

"Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.

"Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena," kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Lebih segar

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.


SLEEP apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur.


Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

"Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

"Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tidur tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan," ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Kemalangan

Adakah kemalangan yang berlaku pada dinihari di lebuh raya berpunca daripada mengantuk?

"Pemandu mengantuk adalah salah satu faktornya selain keadaan lebuh raya yang lurus agak membosankan sehingga pemandu memandu sambil lewa.


RAWATAN tradisional akupuntur boleh dicuba bagi mengatasi masalah tidur.


"Sebaiknya jika seseorang mahu memandu jauh pada waktu dinihari, sebaiknya latih diri seminggu lebih awal supaya tubuh dapat menyesuaikan keadaan," jelasnya kopi dan mengunyah gula-gula tidak membantu seseorang mengatasi rasa mengantuk.

Penawar terbaik untuk hilang mengantuk ialah tidur selain mendapat rehat yang mencukupi. Akibat tidak cukup tidur seseorang akan cepat letih, cepat marah, mengantuk dan kurang konsisten manakala pengeluaran hormon stres dan steroid semula jadi meningkat.

Seseorang yang mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

"Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

"Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang," katanya.


MENGANTUK sering dikaitkan sebagai punca kemalangan.


Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

"Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

"Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi," katanya.

Kegagalan organ

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.




Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

"Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

"Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

"Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu," jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0427&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Kedai jeruk asli terakhir


DUA remaja Yahudi ini membeli-belah di jeruk The Pickle Guys.


ADA banyak perkara yang menjadi sebahagian daripada New York, antaranya roti gelang atau bangunan Empire State Building tetapi hidangan tradisional timun jeruk yang semakin pupus meninggalkan kenangan kepada para penggemarnya.

Acar, herba, jeruk timun dan seumpamanya masih boleh didapati di kebanyakan kedai dan sandwic daging lembu salai sama seperti industri bekas tertutup yang dipenuhi bahan kimia dan air garam.

Salah satu lokasi terakhir yang menjual jeruk asli rangup yang dihasilkan dengan tangan ialah jeruk bangsa Yahudi dari New York. Ia terletak di sebuah kedai kecil The Pickle Guys di pinggir timur Manhattan.

"Ini ialah jeruk keluaran Mekah, Arab Saudi," kata Michael Dansky, 52, yang sanggup datang dari Boston dengan bekas penyejuk untuk menyimpannya. "Mereka merupakan pembuat jeruk asli terakhir yang boleh ditemui."

Kedai itu dipenuhi dengan balang jeruk yang masih kekal dalam industri pembuatan jeruk yang sebelum itu dikuasai oleh bangsa Yahudi. Kira-kira seabad yang lalu, terdapat lebih 150 tempat menjual jeruk yang boleh didapati dengan berjalan kaki.

Salah satu yang menjadi sebutan ialah Guss' Pickles, tetapi ia telah ditutup tahun lalu.

Kebanyakan kakitangan di The Pickle Guys pernah bekerja di Guss'. Mereka percaya gabungan kualiti dan kesanggupan untuk mencuba produk baru membolehkan mereka terus bertahan.

"Pelanggan datang ke sini kerana ibu bapa mereka pernah membeli jeruk dan ia merupakan satu tradisi," kata Mike Chu, yang mengendalikan perniagaan itu sejak 13 tahun lalu.


JERUK di The Pickle Guys digemari kerana rasanya yang rangup dan dihasilkan secara tradisi.


"Sebelum ini terdapat kira-kira 30 kedai jeruk di kawasan ini sehinggalah tahun 70-an," kata William Soo, 29, sambil menolak lobak putih mentah ke dalam mesin pengisar. "Kini hanya kami sahaja yang tinggal."

Walaupun mesin pengisar itu terletak di laluan pejalan kaki, Soo tetap mengeluarkan air mata akibat pedih terkena asap, manakala topeng gas yang tergantung di dinding di belakangnya hanya sekadar hiasan.

Pengunjung berbangsa Yahudi yang datang membeli-belah semasa perayaan Passover teruja melihat kedai yang halal untuk mereka, bakul mereka dipenuhi sos, jeruk manis, jeruk pedas, tomato, lobak pedas dan sebagainya.

Mereka turut melahirkan kebimbangan tentang masa depan industri berkenaan.

"Saya tidak tahu sama ada ia mampu bertahan atau tidak. Setiap hari kedai-kedai itu ditutup dan digantikan dengan bank atau kedai," kata jurugambar Andrew Federman, 35. "Ia sangat menyedihkan."

Kehadiran seseorang telah menyelamatkan industri jeruk di New York, beliau adalah Shamus Jones usahawan tatu dari Brooklyn.

Proses mengawet

Jones, 29, bukan berbangsa Yahudi. Jeruknya tidak pun mencapai piawaian halal atau peniaga jalanan seperti di The Pickle Guys. Kedainya langsung tidak mempunyai bahagian hadapan.

Kakitangannya seramai empat orang bekerja sepanjang malam di dapur restoran di Brooklyn. Mereka menjual barangan secara talian, meletakkannya di kedai organik dan di rangkaian Whole Foods.

Produk keluarannya terdiri daripada terung pedas, daun bawang putih, dan asparagus lavender.

Proses pengawetan yang dilakukan terhadap sayur-sayurannya hanya melibatkan air garam atau cuka.

Jones memberikan sayur-sayurannya ramuan mewah seperti lemon, pudina dan paprika salai, air garam untuk terung, cuka epal, gula, biji mustard dan cili.

Bahkan NYC Deli Style Cucumber juga menggunakan semua ramuan tersebut termasuk bawang putih, herba, gula, jintan dan biji lada sebagai perisa tambahan.


ORANG ramai beratur panjang untuk menempah jeruk di The Pickle Guys.


"Kami tidak menghasilkannya mengikut kelaziman, tetapi kami mengubahnya. Proses biasa telah dilakukan sebelum ini tetapi itulah keunikan makanan. Anda boleh buat apa saja," kata Jones.

Brooklyn menjadi tempat asal kepada permulaan makanan jeruk, tempat-tempat seperti Rick' Picks mengembalikan kehidupan di New York.

"Kesemua imej herba membuktikan kehadiran jeruk di sini. Walaupun ia tidak lagi wujud kini tetapi saya percaya ia merupakan sebahagian di atas kejayaan yang dicapai," kata Jones.

"Kami tidak melakukannya dengan pantas seperti di Idaho atau di tempat lain."

Sementara itu, bar-bar di New York mula meningkatkan hidangan Pickleback iaitu sejenis wiski yang diminum bersama air jeruk.

Brooklyn mendakwa ia merupakan tempat kelahiran kombinasi minuman yang memabukkan itu, namun ia kini sudah diiktiraf di peringkat nasional. Akhbar Washington Post pada April lalu menggelar Picklebacks sangat hebat iaitu salah satu kombinasi di antara semua yang hebat."

Nancy Ralph, Pengarah Muzium Makanan New York berkata semua inovasi mengenai jeruk kini berada di muzium itu.

"Itu antara perkara yang menarik mengenainya. Orang ramai kini mula bercakap semula tentangnya dan membawanya kembali," kata Ralph. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Ibu paling kecil di Britain


GAMBAR menunjukkan Amanda bersama anaknya yang berumur 14 bulan.


HINKLEY - Seorang bayi yang berumur 14 bulan di sini mempunyai ketinggian mengatasi ibunya, Amanda Moore di Britain, lapor sebuah akhbar semalam.

Keadaan itu berlaku kerana bayi itu dilahirkan oleh ibu paling kerdil di negara berkenaan, Amanda Moore yang berusia 25 tahun.

Bayi itu yang diberi nama Aidan dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean pada Februari tahun lalu.

Penyakit tulang yang dialami oleh Amanda menyebabkan dia setinggi 0.93 meter dan tidak lagi mampu untuk berdiri.

Namun, anaknya itu sudah setinggi 0.76 meter.

Menurut Amanda, Aidan mungkin akan menjadi tinggi seperti bapanya, Steven Fyfe, 20 yang memiliki ketinggian 1.85 meter.

Lahir dalam keadaan 14 tulangnya patah, wanita itu dinasihatkan supaya tidak mengandung kerana doktor bimbang kerangka tubuh yang kecil tidak mampu menampung kandungannya dan memintanya melakukan pengguguran.

"Namun, pada masa sama, saya merasakan perasaan kasih sayang terhadap anak ini. Kami mahukan dia," kata Amanda yang tidak bercadang untuk mempunyai anak kedua.

Menurutnya, Aidan sudah mula belajar bercakap dan sangat suka bergerak. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Kasino kedua Singapura dibuka


GAMBAR menunjukkan kasino Marina Bay Sands di Singapura semalam.


SINGAPURA - Kasino kedua Singapura dibuka semalam sekali gus meningkatkan reputasinya sebagai pusat perjudian untuk golongan kaya.

Kasino Marina Bay Sands yang dibina oleh syarikat perjudian gergasi Amerika Syarikat, Las Vegas Sands itu dibuka pada pukul 3.18 petang waktu tempatan. Ia yang bernilai AS$5.5 bilion (RM17.5 bilion) bakal meningkatkan sektor perlancongan sekali gus menjadi pusat peralihan perjudian dari Barat ke Asia.

Pengerusi Las Vegas Sands, Sheldon Gary Adelson memberitahu, penduduk Asia melihat perjudian sebagai satu hiburan manakala penduduk Barat lebih gemar berbelanja untuk makanan atau keluar dengan teman.

Kasino pertama Singapura, Resorts World Sentosa yang bernilai AS$4.4 bilion (RM14 bilion) dibina oleh Kumpulan Genting Malaysia dan dibuka pada 14 Februari lalu.

Kasino Marina Bay Sands yang setinggi empat tingkat itu mempunyai 600 meja judi, 1,500 mesin slot dan lebih 30 bilik perjudian peribadi.

Seorang rakyat Malaysia Lee Kim Lian, 68, menyatakan dia tiba kelmarin dengan wang tunai sebanyak S$10,000 (RM23,260) untuk bermain judi. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Polis lancar operasi banteras gigolo


GAMBAR menunjukkan dua pemuda berbual dengan pelancong asing di Pantai Kuta, Bali pada 31 Mac lalu.


JAKARTA - Polis Indonesia menahan 28 orang lelaki yang berbadan sasa dalam satu operasi membanteras gigolo pantai di kawasan pulau peranginan Bali minggu ini, kata pegawai-pegawai polis semalam.

Polis berkata, gigolo tersebut menyasarkan pelancong-pelancong wanita asing sebagai mangsa mereka.

Operasi itu bermula pada kelmarin selepas penayangan sedutan sebuah dokumentari peluncur air, Koboi-Koboi Kuta Bali. Cerita itu mengisahkan peluncur-peluncur berbadan sasa dan berkulit sawa matang menjalin hubungan cinta jangka pendek bersama wanita asing.

Seorang jurucakap majlis daerah kawasan itu, Gede Wijaya, berkata, 28 orang ditahan kerana mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang lengkap atau mengganggu ketenteraman dan keselamatan pantai. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Rayuan Penjahat Empat Jahanam ditolak


TIGA lelaki yang disyaki Penjahat Empat Jahanam berjalan keluar selepas Mahkamah Sesyen Ampang Jaya menolak rayuan mereka untuk ditawarkan jaminan semalam.


AMPANG JAYA - Mahkamah Sesyen di sini semalam menolak rayuan tiga penjenayah disyaki Penjahat Empat Jahanam yang memohon supaya ditawarkan jaminan untuk pembebasan sementara.

Penolakan tersebut dibuat walaupun ketiga-tiga tertuduh, Zulkefly Jamuin; 28, Mohd. Hafizzudin Abdullah, 20, dan Mohd. Azri Saidin, 22, telah melantik peguam bela, Datuk Taqiyuddin Yahya.

Zulkefly dan Mohd. Azri tidak bekerja manakala Mohd. Hafizzudin pula merupakan pekerja pemasaran.

Seorang lagi rakan mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas pihak berkuasa itu mendapati dia tidak terlibat dalam kejadian tersebut.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_11.htm

Bahtera Nabi Nuh ditemui


PEGAWAI Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh.


HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Minda: Wanita semakin galak jadi perokok

Oleh Neesa Azweera Mohd Salim

2010/04/28

MEROKOK kini bagaikan suatu kebiasaan yang diterima secara meluas dalam masyarakat sehingga kadangkala ia dipandang sebagai satu norma membanggakan.

Satu sedutan rokok boleh menjurus kepada pelbagai masalah kesihatan yang kurang selesa seperti sakit tekak dan seterusnya menjadi penyebab utama kepada pelbagai jenis kanser seperti barah mulut, tekak dan peti suara.


Walaupun ramai di kalangan perokok yang menyedari mengenai bahaya dan kesan merokok terhadap kesihatan, namun risiko dan impak tabiat buruk itu seakan tidak dihiraukan.

Hari ini merokok di kalangan wanita khususnya generasi muda dilihat sebagai satu perkara lazim. Gejala merokok yang dulunya lebih dikuasai lelaki kini mula menular di kalangan kaum hawa.


Seperti didedahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai di Dewan Rakyat baru-baru ini, peningkatan jumlah perokok baru di kalangan wanita menunjukkan trend membimbangkan. Wanita dan rokok semakin sinonim dan dianggap sebagai satu cara hidup.

Rokok diumpamakan sebagai aksesori yang penting kepada wanita untuk mereka bawa ke mana-mana. Antara sebab wanita merokok ialah kefahaman bahawa merokok boleh menurunkan berat badan dan mengurangkan tekanan perasaan.

Wanita yang obses terhadap kecantikan tidak akan melepaskan peluang memburu kecantikan luaran ini dengan merokok. Bagaimanapun, kefahaman ini sebenarnya tanggapan karut kerana merokok hanya akan menyebabkan tahap kecerdikan yang lebih rendah, malah satu tabiat membazir.

Wanita khususnya penuntut institusi pengajian tinggi perlu menyedari hakikat ini jika mereka mahu mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Kelemahan untuk mengendalikan emosi juga menjadi punca utama wanita mula merokok. Tekanan kerjaya yang membebankan menyebabkan wanita mencari idea lain untuk menenangkan perasaan.

Merokok di kalangan wanita juga dianggap sebagai satu kegiatan sosial bersama rakan sambil bersembang dan menceritakan pengalaman hidup.

Peningkatan jumlah wanita merokok hari ini sebenarnya meningkatkan lagi kadar risiko pesakit kanser di kalangan rakyat Malaysia. Kalau dulu hanya lelaki menghadapi bahaya penyakit ini, tetapi kini kadar risiko pesakit kanser meningkat dengan bertambahnya jumlah perokok wanita.

Apa yang lebih membimbangkan, wanita mengandung yang ketagihan rokok menghadapi risiko kerosakan janin dalam kandungan. Jika dulu, risiko ini diperoleh akibat terdedah kepada asap rokok suami namun janin dalam kandungan kini terdedah kepada kerosakan disebabkan asap rokok yang disedut ibu sendiri.

Kini, bukan saja masyarakat sekeliling terpaksa bergelumang dengan asap rokok, malah makhluk yang tidak berdosa pula perlu berdepan dengan azab merokok yang turut berkemungkinan mencacatkan proses pembesaran dan pertumbuhan paru-paru mereka.

Pembabitan wanita dalam gejala merokok sebenarnya adalah tanda awal terhadap runtuhnya institusi kekeluargaan di Malaysia. Wanita sebagai ibu adalah tiang dalam rumah tangga. Sebagai ibu wanita menjadi rujukan, idola dan ‘role model’ kepada anak-anak.

Jika ibu sendiri sudah bergelumang dengan tabiat yang tidak elok dan merugikan, bagaimana mungkin mereka mendidik anak-anak untuk menghindarkan diri daripada gejala tidak sihat itu.

Apa yang nyata, fenomena ini jika tidak dibendung akan membawa kerosakan akhlak dan moral yang lebih parah kepada generasi akan datang. Seperti yang diketahui, bahan utama dalam rokok adalah tembakau yang diperkenalkan secara menyeluruh termasuk ke dunia Islam oleh penjajah Barat.

Di kalangan masyarakat Barat, tembakau dihisap bukan saja untuk bersuka ria, tetapi sebagai satu acara dalam upacara kebudayaan dan keagamaan. Pada umumnya umat Islam tidak akan merokok melainkan kerana terpengaruh kepada budaya Barat.


Keutuhan dan kepentingan pendidikan agama yang kuat memainkan peranan sangat penting untuk berhadapan kehidupan zaman moden pada hari ini yang semakin membimbangkan. Sewaktu era kegemilangan Islam pada zaman Rasulullah s.a.w, baginda menunjukkan pelbagai contoh daripada segi pemantapan akidah dan akhlak yang harus diikuti pengikut agama Islam pada masa kini.


Walaupun banyak
kempen antimerokok dijalankan namun langkah bersepadu perlu dilunaskan terus bagi mengurangkan jumlah perokok di Malaysia. Antaranya, kerajaan bertanggungjawab dalam usaha menghapuskan perokok dengan menghentikan jualan rokok atau mengenakan cukai yang lebih tinggi untuk jualan rokok.

Langkah ini diharap akan dapat meningkatkan kesedaran terhadap bukan saja perokok, tetapi penjual rokok yang hanya mahu mengaut untung daripada mengambil berat akan akibat merokok terhadap pembeli.

Selain itu, kesedaran agama juga penting kerana dalam ayat At -Termidzi ada menyebut: “Bukan daripada golongan kita, siapa yang menyerupai orang yang bukan daripada kita. Jangan mengikut-ikut kaum Yahudi dan Nashrani.” Oleh itu, janganlah kita mudah terpengaruh dengan iklan hingga menjadikan kehidupan Barat sebagai panduan hidup kita.


Masalah sosial sebegini boleh dikurangkan dengan memperbanyakkan lagi kawasan larangan merokok. Setiap seorang daripada kita bertanggungjawab dalam menentukan masyarakat bebas daripada gejala merokok yang kian menular ini.

>Penulis adalah pelajar Perhubungan Awam, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Wanitasemakingalakjadiperokok/Article


Siasatan kes RM10j ditutup

2010/04/28

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia terhadapnya kerana didakwa menerima RM10 juta daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi Sdn Bhd, Datuk Seri Tiong King Sing ditutup dan tiada siasatan lanjut.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh SPRM dalam surat yang diterima pada 22 April lalu menyatakan bahawa tiada bukti yang dapat mengaitkan beliau dengan dakwaan berkenaan.


“Saya dimaklumkan siasatan kes saya sudah tamat dan tidak akan dilanjutkan. Tiada sebarang bukti yang membuktikan tuduhan liar itu,” katanya selepas melancarkan kempen Merah Tanda Berhenti anjuran Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bersama Sun Media Corporation Sdn Bhd di sini, semalam.


Tahun lalu, SPRM memanggil Ong untuk disoal siasat berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan dakwaan kononnya beliau menerima RM10 juta daripada Tiong untuk aktiviti MCA. Pada masa itu, Ong masih memegang jawatan Presiden MCA manakala Kuala Dimensi kontraktor utama bagi pembinaan PKFZ.


“Saya menerima berita berkenaan agak lewat kerana sedia maklum kes ini sudah tamat siasatan lebih awal.


“Walaupun kecewa, namun saya menerimanya dengan tabah kerana saya percaya yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah,”
katanya.


Menurutnya, ketika tuduhan itu dilemparkan, beliau dengan hati terbuka mengharapkan SPRM menyiasat perkara berkenaan secara mendalam.


“Ketika itu, liputan media cukup hebat, seolah-olah saya didakwa dan sudah disabit kesalahan. Malah, ia turut memberi kesan terhadap saya dalam pemilihan parti sejak tuduhan ini timbul.


“Kini, senario sebenar sudah jelas walaupun jawapan diterima agak lewat,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SiasatankesRM10jditutup/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...