JAKARTA: Jumlah kematian akibat bencana tsunami di Kepulauan Mentawai sehingga tengah hari ini meningkat kepada 311 orang, namun bilangan itu dipercayai akan terus meningkat kerana pasukan mencari dan menyelamat masih belum sampai ke semua kawasan yang terbabit.
Ketua Bidang Maklumat Badan Nasional Pengurusan Bencana, Nelis Zuliasri berkata, pasukan penyelamat pusat yang dianggotai tentera laut dijadual sampai di lokasi menggunakan kapal setelah menempuh perjalanan sekitar 10 jam.
Mereka akan bergabung untuk membantu proses pencarian mangsa yang selama dua hari ini dilakukan oleh pasukan penyelamat dari Provinsi Sumatera Barat.
Selain 311 mangsa yang ditemui mati, sejumlah 261 mangsa lagi cedera parah, 137 cedera ringan manakala 379 masih hilang.
"Mereka sebahagian besar berasal dari desa Batorangan, Pagai Utara, kemungkinan terseret arus tsunami. Sampai sekarang belum ditemui oleh pasukan penyelamat," katanya.
Kesukaran pasukan penyelamat untuk sampai ke kawasan terjejas menyebabkan sekitar 2,400 mangsa di pusat pemindahan Desa Bulasak, Pagai Selatan belum mendapat bantuan.
Berdasarkan laporan pasukan penyelamat tempatan, pada masa ini mangsa-mangsa kini hanya bertahan dengan barang-barang keperluan mengikut kemampuan sendiri.
Pegawai Daerah Mentawai Edison Saleuleubaja sebelum ini berkata, masih ada berbelas-belas perkampungan yang belum terjangkau pasukan penyelamat dan penduduk di pusat-pusat pemindahan dianggar berjumlah 20,000 orang.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang memendekkan lawatan kerjanya ke Hanoi, Vietnam, hari ini dijadual tiba di lokasi bencana untuk meninjau keadaan.
-Bernama
http://www.hmetro.com.my/articles/JumlahkorbantsunamiMentawaimeningkatkepada311orang/Article