AMPANG: Hospital Ampang menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam perubatan leukemia, malah dengan penggunaan teknik perubatan terkini membolehkannya mencapai pada kadar 70 peratus kejayaan merawat pesakit penyakit itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, hospital awam itu dikenali sebagai sebuah hospital yang mempunyai sub kepakaran canggih dalam hematologi, khususnya dari aspek penyimpanan dan penggunaan sel stem untuk rawatan leukemia.
“Kami mempunyai sebanyak 70 peratus kadar kejayaan dari segi perubatan leukemia. Kalau dulu kita dengar pesakit yang kena leukemia susah nak ubat, tetapi sekarang dengan adanya perubatan lebih canggih, kami boleh menggunakan sel stem untuk mengubati pesakit. “Ini semua kejayaan dari segi perubatan dalam negara kita. Dalam 10 tahun ini kami berjaya dalam banyak bidang, termasuk pemindahan jantung, hati dan sum-sum tulang,” katanya pada majlis perasmian Hospital Ampang, di Pandan Mewah, di sini, semalam.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin mencemar duli bagi menyempurnakan majlis perasmian hospital itu. Mengiringi baginda ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.
Hospital awam yang dibina di atas tanah berkeluasan empat hektar dengan kos RM404 juta pada 1999 dibuka kepada orang ramai mulai April 2006. Jumlah pesakit ke hospital itu semakin bertambah, malah dari Januari hingga 31 Ogos lalu, jumlah pesakit luar klinik pakar mencecah 50,994 orang, dengan purata 290 orang sehari manakala pesakit ke Jabatan Trauma & Kecemasan 65,771 orang (purata sehari 274 orang).
Satu ciri moden di hospital itu ialah Sistem Maklumat Hospital Bersepadu yang merekodkan maklumat klinikal pesakit dalam bentuk elektronik seperti sejarah klinikal, hasil pemeriksaan fizikal, keputusan ujian makmal, pemeriksaan X-ray dan pengimejan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/70_kejayaan/Article/index_html