Monday, January 12, 2009

Jangan politikkan harga barang mahal



Jan 10, 09 5:42pm

Jangan jadikan isu kenaikan harga barangan sejak tahun lepas sebagai bahan kempen PAS untuk meraih undi dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu, pesan Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini.

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata harga barangan tidak mampu dikawal sepenuhnya oleh kerajaan walaupun pelbagai langkah menanganinya telah diambil, lapor Bernama.

Langkah-langkah seperti kawalan harga bagi barangan keperluan dan kempen penurunan harga telah dibuat tetapi terpulang kepada peniaga untuk menurunkan harga secara sukarela, manakala terserah kepada pengguna menggunakan kuasa membeli mereka.

"Kita mesti ingat bahawa kawalan harga dan bekalan barang-barang yang dilakukan secara undang-undang pun terhad kepada barangan yang perlu seperti beras, tepung, gula dan minyak.

"Yang kita (kerajaan) tak boleh kawal ialah barangan makanan segar seperti sayur atau ikan yang bergantung kepada keadaan bekalan atau cuaca dan juga barang makan yang dimasak yang ditetapkan harganya oleh pengusaha masing-masing.

"Kalau kita nak turunkan, ia lebih bergantung kepada kuasa kepenggunaan itu,"
katanya selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.

Shahrir menambah, beliau yakin pengundi tidak akan terpedaya dengan helah PAS untuk mempolitikkan isu kenaikan harga barang kerana mereka lebih faham dan sedar tentang keadaan ekonomi ketika ini.

"Kalau cakap politik, kita nak cari kelemahan orang atau kerajaan memang mudah, tapi kita kena sedar apa yang mampu dan yang tak mampu kita buat dan kita kena ambil tindakan yang rasional untuk menambah baik keadaan seperti bekalan barang dan sebagainya," beliau dipetik berkata.

Pilihanraya kecil parlimen pada 17 Januari ini menyaksikan persaingan tiga penjuru antara calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Azam.

http://www1.malaysiakini.com/news/96202

Projek kelas F 'bukan rasuah BN'



Muda Mohd Noor Jan 10, 09 6:18pm

Datuk Seri Mohd Najib Razak menafikan pemberian projek kepada 583 kontraktor kelas F di Terengganu pagi tadi sebagai rasuah politik demi memenangkan BN dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

"Ia bukan rasuah, apa yang kita (kerajaan BN) buat sehari dua ini adalah sebahagian pakej rangsangan fiskal saya umum (dulu)," kata timbalan perdana menteri.

Mohd Najib mengumumkan pengagihan kontrak projek kecil berjumlah RM15.8 juta di Kuala Terengganu - sebahagian RM900 juta peruntukan tahun ini untuk kontraktor kelas F di seluruh negara daripada pakej RM7 bilion yang diumumkan di Dewan Rakyat, November lepas.

"(Pengagihan) itu bukan pembelian undi tetapi pelaksanaan projek yang telah dirancang sebelum (bekas ahli parlimen) Datuk Razali Ismail meninggal dunia.

"Pemberian projek kepada kontraktor kelas F terbabit adalah sebahagian rangsangan fiskal pembangunan ekonomi seluruh negara,"
katanya petang ini selepas menyampaikan bantuan kepada sekolah agama rakyat yang berdaftar dengan Kementerian Pelajaran di pantai timur.

Mohd Najib diminta mengulas dakwaan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa pagi ini bahawa projek-projek pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan sewaktu pilihanraya kecil ini sebagai taktik lama untuk merasuah pengundi.

Pagi tadi, beliau merasmikan majlis pelancaran pengundian Projek Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS) daerah Kuala Terengganu untuk tahun ini di Wisma Darul Iman.

Setiap projek bernilai RM30,000 hingga RM200,000 diberikan kepada semua 583 kontraktor kelas F yang hadir melalui undian berkomputer.

Pada pilihanraya kecil parlimen Sabtu depan, calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh bersaing dengan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dan calon bebas Azharudin Mamat @ Azam.

http://www1.malaysiakini.com/news/96205

Penuntut IPTA dikurung dan dipukul bekas teman lelaki

Ahad Januari 11, 2009

KUALA LUMPUR: Seorang penuntut institut pengajian tinggi awam hari ini ditahan polis bagi membantu siasatan kes memukul dan mengurung bekas teman wanitanya di sebuah apartmen di Mutiara Damansara, di sini malam tadi.


Seramai enam anggota polis dalam pakaian biasa yang pergi ke apartmen penuntut lelaki yang berumur 25 tahun itu, berjaya memujuknya agar menyerah diri 1 petang ini.


Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Talib yang mengesahkan mengenai kejadian itu memberitau Bernama, suspek dan pelajar wanita yang berumur 24 tahun itu telah dibawa ke IPD Brickfields untuk diambil keterangan.


"Kejadian ini akan disiasat mengikut Seksyen 323 iaitu kesalahan membawa kecederaan kepada mangsa. Kita akan lakukan siasatan terperinci," katanya.


Wan Abdul Bari berkata, pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh rakan pelajar wanita itu yang membuat laporan polis di IPD Brickfields.


Suspek dikatakan merupakan anak angkat seorang bekas menteri.


Difahamkan pelajar wanita yang berasal dari Ipoh itu, telah memutuskan hubungan dengan teman lelakinya itu sejak Julai tahun lepas kerana perselisihan faham, dan semenjak itu mangsa mendakwa dia sering diugut dan dipukul suspek beberapa kali di beberapa lokasi kerana kecewa ditinggalkan.


Seorang rakan kepada mangsa yang dikenali sebagai Faiz berkata, dalam kejadian malam tadi, beliau dan mangsa keluar untuk makan malam, dan sekembali mereka di rumahnya di Bangsar pada pukul 9 malam, suspek yang berada di situ telah memasuki kereta mangsa semasa dia sedang menghidupkan enjin keretanya lalu mengarahkan mangsa untuk terus memandunya keretanya ke tempat lain.


"Pada mulanya saya sangka lelaki itu ingin bertemu rakan saya itu. Tetapi setelah mereka tidak muncul-muncul selepas beberapa jam, saya cuba menghubungi rakan saya dan rakanrakannya lain tetapi gagal," katanya kepada Bernama.


Tiba-tiba pada pukul 9 pagi ini, Faiz berkata beliau menerima satu pesanan khidmat ringkas (SMs) daripada rakannya itu meminta bantuan.


Beliau kemudian membuat laporan ke IPD Brickfields.


Difahamkan wanita tersebut cedera di kepala, muka dan tangan dipercayai dipukul suspek. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/11/mstar_berita/20090111204300&sec=mstar_berita

2 'bom' baru Ezam, Anwar arah urus damai dengan Dr. M



Ahad Januari 11, 2009

Oleh G. MANIMARAN



KUALA TERENGGANU: Bekas 'orang kuat' Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor malam tadi mendedahkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu pernah memintanya supaya menguruskan langkah berdamai dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak sampai seminggu selepas dipecat.


Malah, Ezam bekas Setiausaha Politik kepada Anwar juga mendedahkan tarikh tepat beliau melihat kandungan enam kotak rahsia yang dikaitkan dengan kononnya bukti gejala rasuah pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) semasa berada dalam kerajaan.


Justeru, beliau turut mencabar Anwar sendiri menjawab pendedahan-pendedahan tersebut sebelum memperincikan kedua-dua perkara itu kelak.


Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 20 September.


"Hari ini (malam tadi) saya mendedahkan dua perkata penting... saya selama ini tidak mahu mendedahkan, memalukan dan menelanjangkan Anwar.


"Saya tidak mendedahkan perkara ini di Permatang Pauh (ketika pilihan raya kecil Ogos lalu ditandingi Anwar).


"Tetapi saya terus dicabar untuk mendedahkan (di mana beradanya enam kotak)... hari ini saya mendedahkan perkara ini," kata beliau ketika berucap di pusat bandar Kuala Terengganu malam tadi.


Mengulas lanjut tentang dua pendedahan itu, Ezam yang juga bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, selepas berucap mengecam kepimpinan Dr. Mahathir (bekas Perdana Menteri) pada 7 September, Anwar pada hari berikutnya meminta menguruskan langkah berdamai.


"Pada 7 September, Anwar mengkritik dan mengecam Dr. Mahathir, kata macam-macam tentang Dr. Mahathir, tetapi pada hari esok beliau minta saya menguruskan cara untuk berdamai dengan Dr. Mahathir.... macam mana punya pemimpin ini?' katanya.


Ezam menyertai Umno pada Mei lalu.


Ezam sebelum ini juga pernah mendakwa bukti-bukti itu tidak ada pada beliau, sebaliknya disimpan Anwar.


"Kalau ada pada saya, sudah tentu saya telah tunjukkan. Saya konsisten dengan perjuangan membanteras rasuah," katan beliau bulan lalu.


Ezam berkata, ketika masih bersama PKR, beliau pernah menyuarakan kepada Anwar yang juga Penasihat PKR supaya mendedahkan kandungan kotak-kotak itu, tetapi Anwar meminta beliau supaya menunggu.


"Saya tidak setuju. Itu antara sebabnya saya keluar PKR," katanya.


Bulan lalu, Angkatan Muda PKR Terengganu telah mencabar Ezam agar mendedahkan kandungan kotak rasuah itu sewaktu berkempen dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu.


Ketika ditemui selepas ucapannya, Ezam mengakui bahawa beliau telah berusaha untuk menunaikan permintaan Anwar itu.


"Saya telah menghubungi beberapa orang Dr. Mahathir, tetapi saya tunggu biar Anwar menjawab apa yang saya dedahkan ini dulu.


"Yang lain saya akan keluarkan kemudian.... saya cabar Anwar jawab perkara ini dulu, saya tidak mahu orang-orang dia jawab, biar Anwar jawab sendiri,"
katanya.


Ezam juga berkata, selain berusaha untuk mendamaikan kedua-dua mereka, beliau juga pernah menguruskan usaha damai dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum dibebaskan pada 2004.


Mengenai enam kotak berkenaan, Ezam mengulangi bahawa ia masih berada dalam simpanan Anwar yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat dan Ketua Pembangkang di Parlimen.


Jelas beliau, menurut Anwar kotak-kotak berkenaan berada di dalam dan di luar negara.


"Ada satu ketika saya pernah bertanya di mana kotak-kotak itu, Anwar memberitahu bahawa jangan takut, ia berada di tempat yang selamat di dalam dan di luar negara," katanya lagi.


Kata Ezam, beliau masih ingat dengan tepat tarikh kali terakhir melihat kotak dan dokumen-dokumen berkenaan.


"Tarikhnya saya dedahkan hari ini iaitu 8 September, hari anak sulung saya lahir... hari isteri saya dimasukkan ke hospital dan saya tidak berada bersamanya.


"Saya tidak ada bersamanya kerana saya diminta menguruskan kotak ini dan usaha damai dengan Dr. Mahathir... ini pengorbanan saya, saya masuk penjara (selama dua tahun) disebabkan mendedahkan soal rasuah," katanya.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/11/mstar_berita/20090111093329&sec=mstar_berita

Terlalu percaya hingga dirogol

SEREMBAN: Sikap baik seorang lelaki yang beria-ia mahu membantu mencarikan pekerjaan berjaya memperdaya seorang gadis apabila mengambil kesempatan merogol mangsa.

Mangsa berusia 19 tahun terpengaruh dengan usaha gigih kenalannya berusia 33 tahun yang membantunya mencari pekerjaan di sebuah kilang di Nilai.

Lelaki itu membawa mangsa ke kilang berkenaan untuk menghadiri sesi temu duga beberapa hari lalu, namun mangsa dikatakan gagal.

Berikutan kegagalan itu, suspek dikatakan bersungguh-sungguh mendapatkan pekerjaan lain untuknya.

Rabu lalu, suspek sekali lagi memberitahu sudah mendapatkan pekerjaan yang sesuai kepada mangsa dan membawanya untuk menghadiri sesi temu duga.

Difahamkan, wanita malang yang tidak menyedari niat sebenar suspek keluar bersama lelaki itu untuk menghadiri temu duga seperti dijanjikan.

Sumber berkata, suspek yang mendapati mangsa termakan dengan helahnya kemudian membawa wanita berkenaan ke sebuah rumah di sekitar kawasan Seremban dan bukan ke tempat temu duga.

“Ketika tiba di rumah itu, enam lelaki dipercayai rakan suspek yang mabuk ada di situ dan mangsa dipelawa untuk pergi ke sebuah pusat hiburan.

“Wanita itu bagaimanapun menolak pelawaan itu, tetapi dipaksa masuk ke sebuah bilik lalu dirogol sebelum dihantar pulang ke rumahnya,”
katanya.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis mengenai kejadian itu sehingga membawa kepada penangkapan suspek.

“Sepasukan polis yang menerima laporan mengenai kejadian itu menjalankan pemeriksaan dan rondaan bagi menjejaki suspek dan berjaya menahannya di Terminal One, kira-kira jam 2.30 petang kelmarin.

“Berdasarkan laporan wanita itu, hanya suspek yang merogolnya,”
katanya.

Sumber itu berkata, siasatan mendapati lelaki itu dikatakan membantu mangsa mendapatkan pekerjaan dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Mereka yang ada maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6013222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20090111103714/Article/index_html

Akibat cinta isteri orang


PETALING JAYA - Gara-gara dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang, seorang lelaki bukan sahaja kehilangan kereta malah cedera apabila dilanyak 20 lelaki termasuk suami wanita itu di Mentari Court Kelana Jaya di sini Isnin lalu.

Kejadian pukul 4 pagi itu berlaku apabila peniaga berusia 40 tahun itu pergi ke kawasan perumahan berkenaan selepas dihubungi dua lelaki. Salah seorang lelaki itu merupakan suami kepada wanita tersebut.

Satu sumber memberitahu, sebaik menerima panggilan lelaki yang kononnya ingin menyelesaikan masalah hubungannya dengan isteri orang itu mangsa telah pergi ke sana dengan menaiki sebuah kereta Proton Perdana V6.

"Bagaimanapun, sebaik tiba, dia melihat dua lelaki itu menunggunya bersama 20 pemuda lain yang terus membelasahnya kerana didakwa mengadakan hubungan sulit dengan isteri suspek.

"Mangsa kemudian 'lunyai' dikerjakan termasuk disepak hingga mengalami kecederaan parah di muka, tangan, kaki dan rusuk kiri,"
katanya di sini semalam.

Sumber itu berkata, tidak cukup dengan itu, suspek kemudian telah menyamun mangsa dengan melarikan dompet berisi wang dan kereta yang dipandunya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Lelaki seksa remaja dikenal pasti


KEADAAN Mohamad Akhir yang masih dirawat di Hospital Pulau Pinang semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


LAKARAN wajah lelaki yang disyaki menculik Mohamad Akhir.
--------------------------------------------------------------------------------

PULAU PINANG - Polis telah mengenal pasti salah seorang daripada dua lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes seorang remaja lelaki dilarikan dan diseksa 1 Januari lepas. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Ayub Yaakob berkata lakaran wajah atau fotofit lelaki berusia lingkungan 20-an itu juga telah diedarkan bagi mengesannya untuk membantu siasatan.

"Polis juga tidak menolak kemungkinan lelaki itu ialah warga tempatan yang boleh bertutur dalam bahasa Siam (Thai)," katanya selepas melawat remaja berkenaan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini semalam.

Sabtu lepas, akhbar melaporkan remaja berkenaan, Mohamad Akhir Idris, 16, ditahan lebih empat jam selepas dilarikan dan diseksa oleh tiga lelaki.

Dia yang trauma dengan kejadian itu, mendakwa dipaksa minum sejenis cecair sehingga menyebabkan mulutnya bengkak dan tidak boleh bercakap serta terpaksa mendapatkan rawatan di HPP. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0111&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...