Friday, October 15, 2010

'Ameng pembohong'


Oleh Muhd Izawan Baharin

2010/10/15

KUALA LUMPUR: “Ameng pembohong!” Demikian dakwaan penerbit dan pelakon, A Aida menjawab tuduhan bekas suaminya itu kononnya dia bersama suami berkomplot merosakkan nama serta kerjaya Ameng ketika membela diri atas tuduhan memasukkan ganja ke dalam badan di Mahkamah Majistret di sini, Selasa lalu.


BINCANG...A Aida berbincang  dengan peguamnya, Zulkifli Yong, semalam.
BINCANG...A Aida berbincang dengan peguamnya, Zulkifli Yong, semalam.
A Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 39, berkata, dia membuat laporan polis terhadap Ameng yang juga bekas vokalis kumpulan Spring April lalu kerana ugutan jenayah dan ia tidak ada kena mengena dengan tuduhan mengambil dadah atau hak penjagaan anak.

“Saya terpaksa membuat laporan polis kerana dia berterusan menghantar SMS mengganggu saya, malah suami saya yang menghubunginya meminta menghentikan perbuatan itu turut dimaki-hamun.

“Saya ada saksi bagi membuktikan SMS itu, malah maki-hamun serta ugutan terhadap suami saya direkodkan kerana ketika menghubunginya, suami saya menggunakan telefon pejabat,”
katanya pada sidang media di sini, semalam. Hadir sama, peguamnya, Zulkifli Yong Azmi.

Aida berkata, dakwaan Ameng kononnya wujud konspirasi menjatuhkannya hanya sekadar meraih simpati.

“Siapa kami untuk masuk campur proses siasatan polis, malah saya yakin polis menjalankan siasatan secara profesional terhadap Ameng.

“Dia sebenarnya ada pilihan membuat laporan polis terhadap tuduhan (konspirasi) itu, tetapi kenapa dia tidak lakukannya,” katanya.

Menurutnya, tuduhan Ameng dihalang berjumpa dua anak juga satu pembohongan kerana pada Mac lalu, penyanyi itu ada mengambil anak mereka dan membawa sehingga ke Jerteh, Terengganu.
“Pada 2004 pula, anak sulung saya ditemui merayau di Subang Jaya selepas lari dari rumah ketika di bawah jagaannya sehingga pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengingatkan saya jangan benarkan mereka berjumpa Ameng.

“Pada Aidilfitri tahun itu juga, Ameng ada datang ke rumah tapi anak tidak mahu berjumpa dia kerana takut. Saya masih memberi peluang dan memujuk anak menemuinya kerana tak mahu memutuskan hubungan mereka. Malangnya, dia langsung tak tahu berterima kasih, malah memburukkan saya,” katanya.

Aida berkata, Ameng juga berbohong ketika meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan daripada RM5,000 kepada RM3,000 kerana mahu membayar nafkah anak di bawah jagaan saya.

“Selepas bercerai satu sen pun dia tidak pernah berikan. Saya terpaksa bekerja keras demi membesarkan anak. Memang pada mulanya saya tak peduli sangat kerana tahu dia tidak ada duit, tetapi sekarang saya sudah tidak dapat bersabar,” katanya.

Sehubungan itu, Aida berkata, dia akan mengemukakan saman malu, tuntutan nafkah dan tunggakan nafkah anak-anak daripada bekas suaminya itu.

“Selepas kami bercerai, saya fikir yang sudah itu, biarlah sudah tetapi dia tidak habis-habis mengaitkan keluarga dan mencemar nama saya. Saya terpaksa lakukan sesuatu untuk menegakkan kebenaran,” katanya.

Selasa, lalu Ameng memberitahu Mahkamah Majistret, Aida dan suaminya, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman melakukan konspirasi hingga menyebabkan dia ditahan polis kerana mengambil dadah pada April lalu.

Katanya, mereka berbuat demikian kerana mahu melihat menderita sekali gus merosakkan nama dan kerjayanya sebagai penyanyi.

Ameng dan Aida berkahwin pada 1995 serta dikurniakan dua anak, Wan Alissa dan Wan Natasha. Pasangan itu bercerai pada 2002.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...