Showing posts with label Missionaries - Pendakwah. Show all posts
Showing posts with label Missionaries - Pendakwah. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Penerima tauliah Jais tidak langgar syarat







Saidah Hairan

KUALA LUMPUR, 13 Sept: AJK PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh (gambar) berkata penceramah yang mendapat tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) amat mematuhi peraturan yang ditetapkan dan tidak pernah melanggar syarat tersebut.

Beliau yang pernah digantung tauliahnya mengingatkan pihak Jais supaya jangan bertindak sewenang-wenangnya untuk menggantung tauliah penceramah.

Justeru tegas beliau, Jais tidak wajar bertindak menggantung tauliah yang telah diberikan kepada penceramah atau pendakwah bebas.

Dalam hal ini katanya, Jais tidak konsisten sebab perkara menarik balik tauliah itu bukan baru tetapi sering dilakukan tanpa sebarang alasan.

"Jais seolah-olah main tarik tali dalam isu ini, apa sebenarnya yang berlaku, kenapa jadi begini dan siapa tangan di belakang Jais sebenarnya?" soal beliau.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasharuddin Hasan pula berharap Jais dapat membaiki segera kelemahan berhubung pemberian tauliah bagi menggelak sebarang pandangan serong sebagai institusi agama yang tidak dihormati lagi oleh rakyat.

Tindakan menarik balik tauliah yang dilakukan oleh Jais terhadap penceramah atau pendakwah bebas di Selangor mengundang rasa tidak puashati dan pandangan negatif terhadap institusi agama itu.

Sehubungan itu, menyifatkan tauliah sudah menjadi igauan dan hambatan yang menyulitkan pendakwah dan ilmuan untuk menyampaikan Islam.

Beliau berkata, umat Islam sekarang telah terperangkap dengan jenayah sosial sehingga rosak akhlak, pemikiran seterusnya akidah.

"Apakah pihak berkuasa agama khususnya Jais tidak peka perkara ini, jika tauliah menjadi isu, kenapa tidak ditauliahkan mereka yang boleh menyampaikan Islam dengan baik dan berkesan," tegasnya.

Beliau terkilan jika Jais mengambil tindakan undang-undang kepada penceramah hanya semata-mata berceramah tanpa tauliah.

Seharusnya tambah beliau, pihak Jais membantu, membiayai, menyokong dan memudahkan urusan murni yang dilakukan oleh penceramah atau pendakwah bukan mengambil tindakan terhadap mereka.

"Pihak berkuasa agama mesti mempunyai suatu mekanisme yang berkesan bagaimana menguruskan tauliah dengan baik," tegas beliau.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5384-penerima-tauliah-jais-tidak-langgar-syarat

Friday, February 18, 2011

Bawa pendakwah China ke Malaysia

Ismail Hashim

Badan-badan Islam disaran berusaha membawa pendakwah dari Negara China terutama golongan Ahong yakni imam yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas di dalam mengamalkan kehidupan beragama untuk tujuan dakwah kepada masyarakat Cina di negara ini.

Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof Dr Awang Sariyan (gambar) berkata, Islam yang dibawa ke negara itu sekitar pertengahan abad ke 7 oleh Sahabat Nabi Muhammad bernama Saad Abi Waqas diterima baik oleh Maharaja China dewasa itu.

Menurutnya, sehingga kini jumlah umat Islam di negara Asia Timur itu sekitar 70 juta dengan nilai keIslaman dan syiar agama yang hebat seperti pintu gerbang ke kediaman mereka yang bertulis Basmallah dan Allah Muhammad.

Prof Awang menyampaikan ucapan itu dalam majlis Syarahan Sarjana Pelawat anjuran Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam di sebuah pusat pengajian tinggi di Shah Alam, 16 Februari lalu.

Ucapan sekitar dua jam bertajuk Kembara Bahasa di China; Memupuk Kerjasama Ketamadunan Melayu-China itu banyak memberikan input baharu kepada khalayak pendengar dengan bentuk penyampaian beraudio visual.

Turut hadir di dalam majlis itu adalah ketua jabatan, pensyarah kanan, pensyarah dan staf yang kelihatannya sangat berpuas hati dengan pendedahan maklumat termasuk hubungan Malaysia China, perkembangan agama dan kemajuan Bahasa Melayu mutakhir.

Prof Dr Awang Sariyan adalah Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) sejak awal 2008.

Sebelumnya Pengarah Jabatan Bahasa DBP, Profesor Bahasa di UPM dan di UM; tenaga akademik UIAM, Universiti Brunei Darussalam dan UPSI; Profesor Tamu Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman dan Universiti Sumatera Utara; Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (2000-2008) dan anggota Kumpulan Perihatin; pernah aktif dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Penyampai lebih 200 ucap utama, syarahan, kertas dasar dan kertas kerja di dalam dan di luar negara (Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Rusia, Republik Rakyat China, Singapura, Sri Lanka, Thailand); penatar kurus bahasa dan penulisan profesional; penulis lebih 50 judul buku bahasa, pendidikan, kamus serta Profesor Adjung UPSI.

Menjawab satu soalan, Prof Awang berkata, kedatangan Islam pada abad ketujuh itu diterima baik sehinggakan Maharaja China menaja pembinaan banyak masjid sebagai lambang agama Islam.
Kerana itu, ujarnya, bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke negara itu, jangan terkejut jika melihat terdapat colok gaharu diletakkan di mimbar-mimbar masjid dan ukiran binatang di tempat ibadat.


"Colok gaharu dan ukiran binatang itu adalah budaya masyarakat China yang sedikit pun tidak mencacatkan aqidah umat Islam," tegasnya.

Beliau berkata, terdapat perbezaan besar antara orang China yang datang ke Melaka bersama gerombolan Laksamana Cheng Ho yang membawa Islam dengan mereka yang dibawa datang ke Tanah Melayu oleh penjajah Inggeris.

Katanya, Laksamana Cheng Ho atau dalam Bahasa Chinanya disebut sebagai Zheng He adalah seorang pahlawan utusan Maharaja China yang datang ke Melaka adalah seorang Islam.
Cheng Ho pula jelasnya mengikut kajian absah, merupakan seorang pahlawan hebat yang mempunyai susur galur darah keturunan Saidina Hassan, cucu Rasulullah SAW. yakni anak kepada Saidina Ali dan Fatimah.


Bercakap tentang Ahong, beliau berkata, setiap orang daripada mereka mempunyai kelayakan hebat kerana mereka diwajibkan mengikuti Pengajian Agama Islam selama tiga tahun.

Mereka mempunyai kemahiran berbahasa etnik termasuk Bahasa Arab yang fasih, jelasnya, mereka juga merupakan penghafaz Al-Quran yang dilatih khas bagi memenuhi keperluan agama dan umat.

Tamadun China sangat hebat dengan usianya melebihi 5,000 tahun dengan 56 kumpulan etnik berbanding dengan tamadun Melayu yang baharu berusia 2,000 tahun, jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, interaksi tamadun Malaysia China bukan hanya berlaku pada 1974 tetapi bermula sejak Zaman Han Shu pada 140 S.M. ekoran pelayaran utusan Maharaja Wu Di ke India melalui Tanah Melayu.

Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7.

Dalam majlis itu, Prof Awang banyak mengemukakan saranan bernas antaranya; penyelidikan hubungan Malaysia/alam Melayu dengan China dalam pelbagai aspek, ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran dari zaman dahulu hingga kini berdasarkan sumber China dan Melayu sendiri.

Begitu juga dengan perkembangan Islam di Tanah Besar China dan kaitannya dengan pengIslaman di alam Melayu, kajian-kajian perbandingan dengan pelbagai aspek dalam tamadun China dan Islam termasuk budaya dan bahasa.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30923:bawa-pendakwah-china-ke-malaysia&catid=99:seni-budaya&Itemid=143

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...