Thursday, December 2, 2010

Nuklear Pakistan jadi kebimbangan


ORANG ramai melihat satu program mengenai WikiLeaks yang membocorkan maklumat sulit mengenai program nukelar Pakistan di Karachi semalam.


ISLAMABAD - Maklumat kabel diplomatik yang disiarkan WikiLeaks menunjukkan militan-militan Islam mungkin dapat mengakses bahan-bahan nuklear milik Pakistan.

Menurut maklumat itu, pemerintah Amerika Syarikat turut berasa ragu mengenai kemampuan pentadbiran Pakistan yang dianggap tidak popular.

Maklumat itu menyatakan, bahawa ketua tentera dilihat menjadi pemain politik di belakang tabir yang pernah bercakap mahu menyingkirkan Presiden Pakistan, Asif Ali zardari.

Presiden Pakistan itu turut menyatakan bahawa beliau bimbang kemampuan ketenteraan negaranya yang mungkin akan menyingkirkannya daripada jawatan.

Pendedahan itu disiarkan di beberapa buah akhbar kelmarin yang menjalin kerjasama dengan laman web WikiLeaks. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

Pengasas WikiLeaks diburu Interpol


LAMAN web polis Interpol menunjukkan pengasas laman WikiLeaks, Julian Assange dikehendaki atas dakwaan merogol dan mencabul.


PARIS – Polis Interpol semalam meminta pengasas WikiLeaks, Julian Assange, 39, ditangkap selepas dia membocorkan maklumat sulit kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut agensi itu yang beribu pejabat di sini, Assange yang berasal dari Australia dikehendaki di Sweden untuk disoal siasat berhubung dakwaan merogol dan mencabul dua wanita.

Ibu Assange, Christine memberitahu stesen Perbadanan Penyiaran Australia bahawa dia tidak mahu anaknya diburu polis.

“Dia (Assange) merupakan anak saya dan saya menyayanginya dan pastinya saya tidak mahu dia diburu dan dipenjarakan,” katanya dari rumahnya di Queensland.

Notis penangkapan yang disiarkan kelmarin itu dipercayai akan menyebabkan perjalanannya ke seluruh dunia menjadi sukar.

Setakat ini, lokasi tempat tinggal Assange tidak diketahui.

Dia menafikan melakukan dakwaan merogol dan mencabul dua wanita tersebut semasa melawat Sweden pada Ogos lalu.

Laman web yang diasaskan oleh Assange mencetuskan kontroversi sejak Ahad lalu selepas lebih 250,000 maklumat sulit kedutaan AS didedahkan kepada umum.

Pendedahan itu menyebabkan beberapa buah negara termasuk AS dan Perancis mengutuk perbuatan Assange yang membocorkan maklumat tersebut menerusi WikiLeaks. – Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Renungan terakhir bakal pengantin


ABDUL RAHMAN melakonkan semula bagaimana dia keluar selepas memecahkan cermin depan bas yang terbalik dalam kejadian di Kampung Pulau Kerengga, Marang semalam.


MARANG - Tindakan seorang bakal pengantin membelok ke simpang tanpa memberi isyarat membawa padah apabila dia mati dilanggar sebuah bas ekspres dalam kejadian di Kilometer 29 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran simpang Gong Beris, Pulau Kerengga dekat sini semalam.

Kejadian pukul 3.30 pagi itu mengakibatkan pekerja kilang yang bakal berkahwin pada Jun tahun depan, Shahabudin Sudin, 24, mati di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Kemalangan itu juga mengakibatkan 10 penumpang termasuk pemandu bas City Express cedera selepas kenderaan itu berpusing lalu merempuh sebatang tiang elektrik sebelum terbalik di tepi jalan laluan bertentangan.

Ia ekoran, pemandu bas, Abdul Rahman Daud, 52, sebelum itu cuba membrek dan mengelak motosikal yang ditunggang mangsa. Kesemua mereka dalam perjalanan ke Kota Bharu, Kelantan dari Melaka.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Tembelang Doktor Helmi pecah


MOHAMAD SHUKOR


KLANG - Kalau bukan kerana mencabul seorang pekerja, rahsia seorang bekas tentera yang menyamar sebagai doktor pasti tersimpan rapi.

Bayangkan, selama hampir tiga tahun 'berkhidmat' di tiga buah klinik di Klang, Rawang dan Batang Berjuntai, Kuala Selangor, dia yang tidak mempunyai kelayakan untuk bergelar doktor telah melaksanakan tugas menyambut kelahiran sebanyak sembilan kali.

Suspek, 41, yang kononnya mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Perubatan (MBBS) dari Turki terus memperdaya majikannya dengan menggunakan gelaran Doktor Helmi Abdul Hamid.

Bagaimanapun, semua itu terbongkar apabila dia sebenarnya hanya memiliki Diploma Perubatan selain pernah bertugas sebagai pembantu perubatan tentera sejak 1988 di Melaka sebelum berhenti pada 2006.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong berkata, pihaknya membongkar penyamaran doktor tersebut selepas melakukan semakan dengan Lembaga Perubatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1202&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Lapan tercampak

Lapan tercampak

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Raja Noraina Raja Rahim
am@hmetro.com.my

REMUK...keadaan bas  yang remuk selepas melanggar bahagian belakang bas ekspres lain di  kilometer 420.8 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Bukit Tagar,  petang semalam.
REMUK...keadaan bas yang remuk selepas melanggar bahagian belakang bas ekspres lain di kilometer 420.8 di Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur Bukit Tagar, petang semalam.
ROSAK...bahagian belakang bas ekspres selepas dilanggar bas ekspres lain.
ROSAK...bahagian belakang bas ekspres selepas dilanggar bas ekspres lain.

HULU SELANGOR: Seorang pemandu bas ekspres dan sembilan penumpangnya cedera parah selepas kenderaan dinaiki merempuh belakang sebuah bas ekspres lain yang turut terbabit dalam kemalangan di Kilometer 420.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Kuala Lumpur berhampiran susur Bukit Tagar, di sini, semalam.

Jurucakap polis berkata, kejadian membabitkan dua bas ekspres dan sebuah lori kira-kira jam 6.15 petang semalam berlaku selepas bas ekspres yang membawa sembilan penumpang dari Setiawan, Perak, cuba mengelak melanggar lori di hadapannya yang secara tiba-tiba memasuki laluannya.


“Pemandu bas terbabit terkejut apabila sebuah lori di lorong paling kiri lebuh raya tiba-tiba memasuki laluan hadapannya menyebabkan dia cuba mengelak sambil menekan brek.

“Pada masa sama, sebuah lagi bas ekspres lain yang mengekori belakang bas berkenaan gagal mengelak sebelum merempuh bas di hadapannya itu. “Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu bas di belakang sekali yang juga dari Setiawan, Perak menuju Lapangan Terbang Tambang Murah (LCCT) Sepang, cedera parah di kaki akibat tersepit,” katanya.


Menurutnya, lapan daripada 18 penumpang yang berada dalam bas di belakang sekali cedera apabila kebanyakan mereka tercampak di dalam bas yang remuk di bahagian hadapan.


“Kebanyakan mangsa yang cedera diselamatkan orang ramai sebelum dibawa keluar dari bas terbabit. Kebanyakan mangsa yang masih dalam keadaan terkejut dan kesakitan diberi rawatan kecemasan sementara menunggu ketibaan ambulans.

“Tidak sampai 15 minit kemudian empat ambulans dari Hospital Tanjung Malim, Hospital Kuala Kubu Baru dan Hospital Sungai Buloh tiba di lokasi kejadian sebelum membawa mangsa yang cedera ke hospital,” katanya.


Bagaimanapun, katanya semua penumpang bas ekspres yang melanggar bahagian belakang lori berkenaan terselamat.

Seorang mangsa yang cedera, Fauziah Abdilah, 41, berkata, dia terkejut dengan kejadian yang hampir meragut nyawanya dan penumpang lain.


Menurutnya, kejadian berlaku sekelip mata apabila bas berkenaan tiba-tiba bergegar sebelum berhenti mengejut.


“Akibatnya saya tercampak dan kepala melanggar kerusi di hadapan. Hentaman kuat menyebabkan kepala saya berpinar dan hampir pitam,” katanya sambil memegang dahinya yang lebam.


Fauziah berkata, keadaan mungkin menjadi tragedi lebih dahsyat sekiranya bas berkenaan dipandu laju atau tercampak ke laluan bertentangan.


“Walaupun bersyukur kerana terselamat, saya mungkin terlepas penerbangan pesawat Air Asia untuk ke Kota Kinabalu, Sabah, malam ini. Kemalangan ini boleh dielak jika bas berkenaan dipandu dalam jarak selamat,” katanya.


Sementara itu, pemandu bas, Muhammad Asraf Nordin, 36, yang terselamat berkata, dia cuba mengelak sebuah lori di hadapannya yang tiba-tiba memasuki laluannya tanpa memberikan lampu isyarat.


Menurutnya, dia cuba menekan brek, tetapi terlanggar sisi lori terbabit menyebabkan cermin hadapan bas pecah.


“Namun, belum sempat saya menarik nafas lega, sebuah lagi bas ekspres merempuh kuat belakang bas dipandu saya. Namun, saya dan sembilan penumpang lain bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan serius,” katanya.


Ketua Jabatan Ketenteraman Awam/Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya masih menyiasat punca kemalangan terbabit dan akan mengambil keterangan dua pemandu bas dan seorang pemandu lori berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/articles/Lapantercampak/Article

Ubah pelan buang bayi

Ubah pelan buang bayi

Oleh Rashidi Karim
am@hmetro.com.my


KANGAR: Cubaan sepasang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negeri ini untuk membuang bayi hasil hubungan sulit mereka di sebuah masjid di sini, gagal apabila rakan mereka yang diminta membantu rancangan itu enggan berbuat demikian, semalam.

Dalam kejadian awal pagi itu, pasangan berusia 22 tahun yang bersekedudukan dengan menyewa sebuah rumah kedai di bandar ini, mulanya dikatakan terkejut dengan kelahiran bayi lelaki berkenaan pada usia tujuh bulan kandungan sebelum meminta seorang rakan membuang bayi berkenaan di sebuah masjid.


Bagaimanapun, rakan pasangan pelajar terbabit dikatakan tidak tergamak berbuat seperti diarahkan, sebaliknya membawa bayi yang masih bertali pusat itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Difahamkan, pasangan pelajar terbabit menyewa sebuah rumah kedai di Jalan Jublee Emas di sini, dan sering berulang-alik bersama mengikuti pengajian di IPTA berkenaan di Arau.


Ibu bayi malang yang masih belajar itu dikatakan cuba menyembunyikan kehamilannya daripada pengetahuan keluarga yang menetap di sekitar Kangar.


Sumber polis berkata, bayi itu dilahirkan cukup sifat ketika usia kandungan tujuh bulan itu berjaya diselamatkan daripada risiko maut berikutan tindakan bijak rakan kepada bapa bayi berkenaan apabila membawanya ke HTF, bukan dibuang di masjid seperti diarahkan.

Katanya, bayi lelaki itu kini ditempatkan di wad kanak-kanak HTF dan dilaporkan sihat selepas dilahirkan kira-kira jam 1.30 pagi semalam.


“Pasangan pelajar lelaki dan perempuan itu dikatakan panik apabila mendapati bayi mereka dilahirkan awal daripada dijangkakan. “Mereka berdua dikatakan menguruskan sendiri proses kelahiran bayi itu di rumah kedai yang disewa dan sejurus dilahirkan, bapa bayi berkenaan menghubungi rakannya untuk membantu membuang bayi berkenaan,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, berikutan aduan diterima daripada rakan pasangan terbabit, polis menahan pasangan itu untuk siasatan lanjut sebelum merujuk kes itu kepada Jabatan Agama Islam Perlis (Jaips).


“Ibu bayi malang itu turut menerima rawatan di HTF dan keadaannya dilaporkan masih lemah,” katanya.


Sementara itu, Pengarah Jaips, Abdul Malik Hussin, ketika ditemui di pejabatnya mengesahkan menerima laporan berhubung kelahiran bayi luar nikah membabitkan pasangan pelajar berkenaan.


Pihaknya memandang serius kes itu dan sudah mengambil keterangan pelajar lelaki dipercayai bapa kepada bayi berkenaan tengah hari semalam manakala ibu bayi itu masih dirawat di HTF.


“Pelajar perempuan yang melahirkan bayi luar nikah dan pasangannya yang bersubahat melakukan perbuatan terkutuk itu akan diambil tindakan mahkamah mengikut Enakmen Jenayah Dalam Syarak Perlis 1991,” katanya.


Menurutnya, ibu bayi berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1) manakala teman lelakinya pula didakwa mengikut Seksyen 46 enakmen sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-dua sekali.

http://www.hmetro.com.my/articles/Ubahpelanbuangbayi/Article

Isteri mula lembut hati

Isteri mula lembut hati

Oleh Hadzlan Hassan
hadzlan@hmetro.com.my


CEDERA...Che Ku Zaimah bersama anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. Gambar kecil, Mohd Irfan Firdaus.
CEDERA...Che Ku Zaimah bersama anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. Gambar kecil, Mohd Irfan Firdaus.
MAT HAIZAN...tertuduh
MAT HAIZAN...tertuduh

KUALA TERENGGANU: Isteri tertuduh kes simbah asid yang mengakibatkan kecederaan kekal ke atas dirinya dan dua anak mengaku sudah berlembut hati terhadap suaminya selain mengaku membuat kunjungan terhadap tertuduh yang kini ditahan di Penjara Marang.

Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 28, mengaku perasaan marah terhadap suaminya itu tidak ada lagi seperti ketika kejadian pada 15 Ogos lalu, malah di hadapan Hakim M Bakri Abd Majid yang menyoalnya di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, sebelum menjatuhkan hukuman terhadap suaminya yang menghadapi dua lagi pertuduhan menyimbah asid terhadap dua anaknya pada kejadian sama, mengaku ada melawat tertuduh bersama anak-anaknya.


Bagaimanapun, ketika ditanya wartawan, dia memberitahu akan meneruskan tuntutan fasakh terhadap lelaki berkenaan, malah ketika diberi peluang bertemu tertuduh di mahkamah semalam, dia yang ditemani ibu dan dua anaknya menolak pelawaan untuk bersemuka dengan tertuduh.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen di sini, suaminya Mat Haizan Mat Yasin, 32, yang dibawa dari Penjara Marang mengaku salah terhadap dua pertuduhan menyimbah asid ke atas dua anaknya itu.


Mengikut pertuduhan pertama, Mat Haizan pada jam 1.45 pagi, 15 Ogos lalu, di sebuah rumah di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah ke atas Nurul Dahyatul Fazlinda, 9, dengan menggunakan benda melecur iaitu asid.


Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan pada Muhammad Irfan Firdaus, 2, pada tarikh, masa dan tempat sama dengan pertuduhan pertama.

Tertuduh kini menjalani hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan yang dijatuhkan mahkamah sama, 25 Ogos lalu, selepas mengaku menyimbah asid ke atas Che Ku Zaimah .


Semalam, dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan dua sebatan kerana mendatangkan parah pada anaknya, Nurul Dahyatul Fazlinda manakala bagi pertuduhan mendatangkan cedera pada anak bongsunya, Muhammad Irfan Firdaus, dia dihukum penjara dua tahun dan kedua-dua hukuman berjalan serentak dari tarikh dia ditangkap 16 Ogos lalu.

Hukuman itu diarahkan berjalan serentak selepas M Bakri mendengar pengakuan bersalah tertuduh, hujahan peguam bela serta melihat sokongan keluarga yang masih sanggup melawat mangsa di penjara walaupun menjadi mangsa perbuatan kejam tertuduh.


“Penjara dalam tempoh yang panjang tidak boleh memberi jaminan seseorang itu akan berubah, tapi kasih sayang keluarga akan memberikan peluang kepada pesalah memulakan hidup baru.


“Dalam kes ini, tertuduh bernasib baik kerana keluarga masih sudi melawatnya di penjara, tetapi soal isterinya mahu menerimanya semula atau tidak terpulang kepada beliau.


“Saya juga ingin mengingatkan di sini, orang yang kuat bukan orang yang mengalahkan puluhan musuh, tetapi orang yang kuat ialah orang yang boleh mengawal nafsu marahnya,” katanya dalam penghakimannya semalam.


Dalam prosiding semalam, peguam tertuduh, Faezahnoor Hassan turut mengejutkan mahkamah apabila memaklumkan keluarga tertuduh ada melawat mangsa di penjara.


Harian Metro pada 16 Ogos lalu melaporkan empat beranak iaitu isteri, dua anak dan ibu mentua Mat Haizan cedera akibat terkena asid dilempar tertuduh yang berang dengan keputusan isterinya berpindah ke rumah ibunya dan dalam proses memohon perceraian dengan tertuduh.


Dia memecah masuk rumah ibu mentuanya, Minah Omar, 56, dengan membawa bersama sebungkus plastik mengandungi asid.

http://www.hmetro.com.my/articles/Isterimulalembuthati/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...