Tuesday, December 23, 2008

Hamba seks lelaki Ghana


KUALA LUMPUR: Helah seorang lelaki warga Afrika untuk membantu seorang wanita dengan membawanya keluar dari rumah kebajikan cuma perangkap semata-mata apabila mangsa dikurung dan dijadikan hamba seks selama seminggu.

Wanita berusia 34 tahun yang tinggal di rumah kebajikan di sini, mengenali lelaki terbabit sebelum meninggalkan tempat itu dengan rela hati selepas suspek berjanji membantunya untuk memulakan hidup baru termasuk mencarikan pekerjaan.

Sejurus dibawa keluar pada 7 Disember lalu, lelaki warga Ghana berusia 30 tahun itu membawa mangsa ke sebuah apartmen di Kepong untuk tinggal sementara dengannya sehingga mendapat pekerjaan tetap dan rumah lain.

Menurut sumber, mangsa mendakwa lelaki berkenaan berkelakuan baik hanya seminggu sebelum mula menunjukkan belang apabila memaksanya masuk ke dalam bilik dan merogolnya.

Difahamkan, sepanjang dikurung, wanita itu tidak dapat berhubung dengan sesiapa untuk meminta bantuan kerana telefon bimbitnya dirampas dan biliknya dikunci setiap masa.

Malah, mangsa mendakwa terpaksa berlapar sehingga lelaki terbabit pulang ke rumah membawa makanan.

Sumber itu berkata, mangsa mendakwa tinggal di rumah itu dan diperlakukan seperti hamba seks apabila dirogol enam kali sepanjang seminggu dikurung.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa sentiasa berada dalam ketakutan dan tidak berani membantah kerana khuatir dibelasah kerana tubuh suspek yang sasa,” katanya.

Namun, pada Sabtu lalu, mangsa yang sudah tidak tahan dengan nasib malangnya yang dikurung dan dirogol itu memberitahu lelaki berkenaan untuk keluar daripada rumah itu.

“Lelaki terbabit membelasahnya dan ketika bergelut untuk melepaskan diri, wanita terbabit mendapat pisau sebelum mempertahankan dirinya.

“Mangsa juga mendapat telefon bimbit sebelum menghubungi polis untuk meminta bantuan,”
katanya.

Menurutnya, sepasukan polis menyerbu rumah suspek dan berlaku pergelutan sebelum menahan lelaki itu.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati tiada dokumen perjalanan sah dan lelaki terbabit ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223090227/Article/index_html

Rampas tanah penyebar Qadiani

Oleh Nazarali Saeril
nazarali@hmetro.com.my


SHAH ALAM: Tapak pusat penyebaran ajaran sesat Qadiani yang mempercayai ada nabi lain selepas Nabi Muhammad s.a.w di Kampung Nakhoda, Gombak, akan dirampas kerajaan negeri dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali, berkata Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini membenarkan tapak berkenaan digunakan untuk dijadikan kediaman.

“Bagaimanapun, kumpulan ajaran sesat itu melanggar peraturan ditetapkan MPS dan menggunakannya untuk membina pusat ibadat yang berfungsi seperti masjid,” katanya, semalam.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Taklimat Khas Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Turut hadir Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd Tamyes Abd Wahid.

Taklimat itu diadakan bagi memberi penerangan kepada orang ramai termasuk bukan Islam berkaitan enakmen yang diwartakan sejak 20 tahun lalu.

“Kerajaan negeri sedang meneliti peruntukan undang-undang dan peraturan MPS termasuk Kanun Tanah Negara bagi membolehkannya mengambil tindakan termasuk merampas tanah berkenaan.

“Ajaran Qadiani mempunyai kira-kira 500 pengikut dan mereka percaya tidak perlu mengerjakan solat, tidak berpuasa Ramadan atau mengerjakan haji,” katanya.

Hassan turut memaklumkan enakmen itu penting untuk difahami khususnya bukan Islam kerana ia memberi kefahaman usaha penyebaran agama lain kepada penganut Islam adalah salah di sisi undang-undang dan bertentangan dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20081223090409/Article/index_html

Othman dilantik Pengurus Besar PKNS Februari depan

Selasa Disember 23, 2008

Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB




Khalid (tengah) menyaksikan Othman bersalaman dengan Low pada sidang media mengumumkan pelantikan Othman sebagai Pengurus Besar PKNS yang baru di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.

PETALING JAYA: Bekas Pengarah Urusan sebuah firma pembangunan hartanah, Othman Omar (gambar), 49, dilantik sebagai Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berkuatkuasa 1 Februari depan, menggantikan pemangku jawatan itu, Datin Paduka Low Siew Moi.


Pelantikan itu diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang juga Pengerusi PKNS dalam satu sidang akhbar di pejabatnya di Shah Alam, hari ini.


Khalid berkata, pemilihan Othman adalah berdasarkan kelebihan pengalamannya yang menyeluruh dalam bidang pembangunan dan hartanah merangkumi pelbagai projek daripada pembinaan projek kos murah/sederhana hingga projek mega.


"Kerajaan negeri percaya, pengetahuan dan pengalaman beliau amat berguna bagi PKNS dalam usahanya memulakan projek pembangunan semula perumahan baharu (redevelopment of new townships) di Petaling Jaya, Kajang dan Klang," katanya dalam satu kenyataan, di sini.


Khalid berkata, kerajaan negeri yakin Othman dapat bekerjasama baik dengan semua pegawai kanan PKNS yang sedia ada sekaligus membawa PKNS mencapai matlamat asalnya.


"Kita yakin beliau akan membawa PKNS mencapai matlamat asal untuk memberi fokus kepada perniagaan pembangunan hartanah yang diceburi, selain meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi masyarakat terutama di kalangan kaum Melayu yang mahu bekerja keras dan berusaha tanpa ihsan daripada mana-mana pihak," katanya.


Othman sebelum ini mempunyai pengalaman 25 tahun dalam industri pembinaan dan hartanah di Malaysia, Australia dan United Kingdom.


Beliau mendapat ijazah kepujian daripada University of Tasmania, Australia dalam bidang kejuruteraan awam pada tahun 1984.


Sebelum dilantik menerajui PKNS, Othman adalah Pengarah KLWK Sdn Bhd, sebuah anak syarikat SP Setia Berhad.


Othman ketika mengulas mengenai pelantikannya itu berkata, beliau menerimanya sebagai tanggungjawab untuk merealisasikan aspirasi kerajaan negeri agar PKNS dapat terus menerajui pembangunan di Selangor.


Pelantikan Low memangku jawatan Pengurus Besar PKNS menggantikan Datuk Harun Salim yang bersara hujung Oktober lepas, telah menimbulkan bantahan pelbagai pihak termasuk kakitangan PKNS sendiri yang mahu seorang Bumiputera mengisi jawatan itu.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/23/mstar_berita/20081223162753&sec=mstar_berita

Bekas pramugara bebas tuduhan terbitkan VCD lucah



Selasa Disember 23, 2008

SHAH ALAM: Bekas pramugara Malaysia Airlines (MAS) yang dituduh menerbitkan video cakera padat (VCD) lucah dibebaskan dan dilepaskan semalam selepas Mahkamah Tinggi membatalkan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan terhadapnya.


Mahkamah, dalam membenarkan rayuan Mohd Rizal Mat Yusuf, memutuskan sabitan dan kesalahan yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen empat tahun lepas merupakan kegagalan keadilan.


Alasan utamanya ialah kegagalan pihak pendakwaan membuktikan bahawa Rizal yang telah membuat atau menerbitkan VCD bertajuk "Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau" bagi tujuan pengagihan dan pengedaran.


Rizal, 36, pada 17 Dis, 2004, dihukum penjara 18 bulan kerana membuat dan mengedarkan VCD yang memaparkan adegan lucah di Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang, antara 1999 dan Mei 2003.


Hakim P.Nallini, dalam penghakiman 21 muka surat berkata para saksi pihak pendakwaan telah gagal mengaitkan antara VCD lucah itu dan Mohd Rizal.


Beliau berkata, tiada bukti yang menunjukkan Rizal membuat atau menerbitkan VCD itu kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan hanya menunjukkan yang dia terbabit dalam beberapa adegan dan merakamkan pita kaset video menggunakan video handycam dan alat kawalan jauh.


"Tidak ada keterangan dikemukakan yang menunjukkan Rizal telah memindahkan isi kandungan pita kaset video itu ke dalam VCD. Begitu juga tiada keterangan yang menunjukkan dia memiliki, atau menggunakan peralatan khas yang diperlukan bagi tujuan pemindahan itu.


"Sekiranya pertimbangan dibuat sama ada wujud kes prima facie berhubung keterangan yang dikemukakan dalam kes pendakwaan dan jika undang-undang yang diperlukan telah diguna pakai dalam kes pembelaan, tidak mungkin keputusan untuk mensabitkan Rizal dapat dicapai.


"Dalam keadaan ini, sabitan terhadap perayu dilihat adalah akibat kegagalan keadilan, mendorong campur tangan di peringkat rayuan,"
katanya.


Beliau berkata alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen menunjukkan yang pemeriksaan dan penilaian menyeluruh tidak dilakukan terhadap kes pendakwaan dan sebaliknya semakan teliti dan menyeluruh dilakukan terhadap kes pembelaan.


"Kesan daripada gagal membuat penilaian maksimum terhadap kes pendakwaan, tetapi membuat penelitian menyeluruh terhadap kes pendakwaan ialah untuk menterbalikkan beban bukti.


"Menterbalikkan beban bukti seperti itu akan menyebabkan keadilan tidak dapat dilaksanakan. Undang-undang mensyaratkan yang penilaian maksimum patut dilakukan pada penutupan kes pendakwaan bukan sekadar ketetapan tetapi perlu diaplikasikan,"
katanya.


Rizal, dalam pembelaannya mengaku merakamkan perlakuan seksualnya dengan pramugari rakan sekerja dalam pita kaset video menggunakan kamera video bimbit bagi kegunaan peribadi.


Katanya apabila dia memutuskan hubungan dengan pramugari itu, dia berjanji untuk memusnahkan pita itu dan dia tidak memindahkan isi kandungannya ke dalam VCD kerana dia tidak mempunyai peralatan untuk berbuat demikian.


Dalam rayuannya, Rizal, diwakili peguam Rakhbir Singh, berkata hakim perbicaraan telah gagal mempertimbangkan yang tiada keterangan yang menunjukkan yang dia membuat atau menerbitkan VCD itu dan yang dia tahu atau memiliki alat khas untuk menerbitkan VCD itu.


Katanya hakim perbicaraan juga gagal mempertimbangkan bahawa semua saksi telah mengesahkan yang dia tidak mungkin terlibat dalam penjualan atau pengedaran VCD.


Ketika ditemui di luar mahkamah, Rizal, yang menutup mukanya dengan sapu tangan dengan hanya matanya saja yang kelihatan, memberitahu pemberita yang beliau bersyukur dan lega dengan keputusan itu."Saya sangat bersyukur, alhamdulilah. Terima kasih kepada ibu bapa yang sentiasa memberi sokongon dan peguam saya yang telah bekerja keras. Selepas ini saya hendak mencari kerja baru.


"Saya tutup muka kerana sebelum ini saya dah banyak kali dibuang kerja kerana kes ini," katanya. BERNAMA

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/23/mstar_berita/20081222193023&sec=mstar_berita

Mahfuz menang saman fitnah terhadap Utusan



Selasa Disember 23, 2008

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pokok Sena, Mahfuz Omar memenangi saman fitnah terhadap Utusan Melayu Berhad dan diberikan RM120,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini sebagai ganti rugi bagi perkataan fitnah yang diterbitkan terhadapnya.


Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan, perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac, 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz.


"Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas. Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh para defendan" katanya dalam penghakiman bertulis.


Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.


"Hakikat yang plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif. Para defendan, saya dapati, bukan sahaja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.


Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata, beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik, anggota Parlimen dan tokoh terkenal di kalangan rakannya.


Beliau juga berkata, perkataan fitnah itu telah menjejaskan kedudukan politik dan sosial dan reputasi plaintif kerana diterbitkan secara meluas kerana akhbar defendan mempunyai edaran 200,000 naskhah sehari termasuk 800,000 pelawat dan 7.8 juta pelayar laman webnya sebulan bagi penerbitan dalam talian akhbar itu.


"Lebih memburukkan lagi keadaan, para defendan tidak mengemukakan sebarang permohonan maaf untuk mengurangkan kesan buruk terhadap reputasi plaintif," katanya.


Mahfuz, diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, memfailkan saman pada 2001, menamakan ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ketika itu, Datuk Khalid Mohd, dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu Berhad, sebagai defendan.


Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Khalid secara sengaja dan berniat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac, 2001.


Beliau mendakwa perkataan itu telah mengaibkannya dan menjejaskan kredibilitinya di kalangan masyarakat.


Para defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, mendakwa artikel itu adalah betul daripada segi isi kandungan dan fakta dan menafikan ia satu fitnah.


Di luar mahkamah, Mahfuz memberitahu pemberita yang beliau berpuas hati dengan keputusan itu.


"Ini bukan soal amaun, tapi saya hendak membersihkan imej yang tercalar yang dipalitkan media sebelum ini," katanya.


Peguam M.Reza Hassan yang mewakili defendan berkata beliau akan mengkaji alasan penghakiman itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk merayu. BERNAMA


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/23/mstar_berita/20081223105022&sec=mstar_berita

Jangan swastakan IJN

Apakah keluhan dan pandangan orang ramai sekiranya institusi yang mempunyai tanggungjawab sosial itu diswastakan?



RAKYAT percaya lambat laun, kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun IJN diswastakan.
--------------------------------------------------------------------------------


JUMAAT lalu, kerajaan memutuskan penangguhan keputusannya terhadap permintaan Sime Darby untuk mengambil alih pengurusan Institut Jantung Negara atau lebih dikenali sebagai IJN.

Semasa mengumumkan keputusan Kabinet, Timbalan Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, keputusan kerajaan terhadap pengambilalihan tersebut ditangguhkan sehingga satu kajian menyeluruh dijalankan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Kesihatan serta Kementerian Kewangan.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, kajian tersebut akan memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat terutama jaminan kerajaan terhadap tanggungjawab sosialnya.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang bertanggungjawab terhadap penubuhan IJN menyambut baik keputusan tersebut.

Dalam blognya chedet.com, Dr. Mahathir berkata, pengurusan IJN sepatutnya dibiarkan seperti sekarang kerana institusi tersebut telah menjalankan tugasnya dengan baik kepada orang ramai.

Kata beliau, jika kerajaan berhasrat untuk meneruskan subsidinya terhadap IJN, maka tidak perlulah institusi tersebut diswastakan.

Bercakap kepada pemberita pada satu majlis di Petaling Jaya pada hari yang sama, Tun Mahathir berkata, pada pandangan beliau, IJN telah memberi khidmat yang amat baik kepada pesakitnya.

Pemandu teksi, A. Kumaresan, pula berkata, ramai dalam kalangan rakan sejawatnya berpendapat tidak sesuai bagi orang ramai jika syarikat swasta menguruskan institusi tersebut, lantas langkah untuk menswastakan IJN adalah tidak bijak.

"Kami terkejut mendengar berita tentang ura-ura penswastaan IJN. Saya dah bertanya ramai penumpang dan mereka menyatakan tidak bersetuju kalau IJN diswastakan," katanya.

Ahli akademik dan aktivis sosial, Fatimah Mansur bersetuju dengan pendapat Kumaresan.

Kata Fatimah, negara mempunyai banyak hospital dan pusat perubatan swasta yang cukup untuk keperluan orang ramai.

"Biarlah IJN seperti apa yang adanya. Memang betul, senarai menunggu untuk mendapat rawatan adalah panjang tetapi itu merupakan perkara biasa dan orang ramai memahami, asalkan mereka dapat rawatan di institusi ini," kata ibu kepada tiga orang doktor itu.

Bekas kakitangan kerajaan Wee Teck Seng, yang pernah menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN pada tahun 2000, berkata, IJN adalah satu institusi yang membuka pintunya kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira siapa mereka.

Wee berkata, ramai pesakit yang menerima rawatan di IJN ialah kakitangan kerajaan, mereka yang sudah pencen dan mereka yang tidak mampu.

Katanya, mereka yang kaya dan mampu berupaya mendapatkan rawatan di institusi perubatan swasta yang banyak di negara ini.

"Setahu saya, sebelum penubuhan IJN, ramai rakyat Malaysia terpaksa pergi ke Singapura untuk mendapat rawatan (pembedahan) dan perbelanjaannya memang mahal.

"Kalau IJN diswastakan, tidak mengira apa yang dijanjikan, kami percaya lambat laun, kos rawatan akan dinaikkan selepas dua atau tiga tahun.

"Kalaulah ini berlaku, ramai rakyat akan terjejas,"
kata beliau lagi.

Pensyarah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Abdul Rahman berpendapat konsep penswastaan adalah baik.

"Bagaimanapun, ia tidak sesuai untuk institusi perubatan awam, apatah lagi institusi seperti IJN.

"Lihat apa yang terjadi pada penswastaan Lembaga Letrik Negara dan Telekom. Memang perkhidmatan bertambah baik dengan begitu ketara tetapi pada harga yang lebih tinggi,"
kata beliau.



RAMAI rakyat akan terjejas jika Institut Jantung Negara diswastakan. - Gambar hiasan
--------------------------------------------------------------------------------


Menurut Abdul Rahman, beliau percaya kerajaan tahu apa yang terbaik untuk rakyat.

"Saya pasti kerajaan akan membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan rakyat," tambah beliau.

Seorang doktor pediatrik di sebuah pusat perubatan awam di Kuala Lumpur yang enggan namanya disiarkan, berkata:

"Saya rasa pakar dan doktor di IJN tidak kisah sangat dengan pendapatan mereka.

"Bagi saya, mereka puas hati dan komited terhadap tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

"Bagi mereka, pendapatan tinggi tidaklah penting tetapi apa yang lebih penting adalah tugas mereka kepada rakyat Malaysia. Bagi saya, mereka mempunyai hati yang murni,"
kata beliau.

Seorang doktor di klinik swasta di Shah Alam yang mahu dikenali sebagai Dr. Muzaffar, berkata:

"Saya pasti pakar dan doktor di IJN puas hati dengan keadaan sekarang. Saya berani kata khidmat yang mereka berikan adalah amat baik.

"Tidak pernah terdengar rungutan terhadap mereka dan saya percaya, mereka telah melaksanakan tugas dengan baik. Mereka sebenarnya adalah wira-wira negara,"
tambah beliau.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), pada Jummat lalu juga telah menyatakan bantahan terhadap rancangan penswastaan tersebut.

Seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Ida, 40, berkata, beliau amat terhutang budi kepada IJN.

Menurut ibu kepada tiga anak ini, anak bongsunya yang sekarang berumur 16 bulan, dilahirkan dengan masalah jantung berlubang yang serius.

Doktor mendiagnosis anak Ida sebagai mempunyai Total Anomalous Pulmonary Venous Drainage (TAPVD), Patent Foramen Ovale (PFA) dan Patent Ductus Arteriousus (PDA).

Pakar IJN berjaya melakukan pembedahan Total Intra Cardiac Repair ke atas bayi tersebut pada 23 November tahun lalu yang mengambil masa selama lapan jam.

"Doktor di hospital yang lain telah menyatakan masalah tersebut terlampau rumit dan tidak banyak boleh dilakukan untuk membantu bayi saya.

"Saya dinasihat mendapatkan pandangan kedua dari IJN, dan pakar di situ telah menyatakan satu pembedahan untuk membetulkan masalah tersebut boleh dilakukan,"
kata Ida, sambil menambah anaknya itu sekarang sudah sihat. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

Toyota alami kerugian sebanyak AS$1.69 bilion


TOKYO - Ikon permotoran Jepun, Toyota Inc. mengunjurkan syarikat itu akan mengalami kerugian operasi pertama sejak ditubuhkannya pada 1941 berikutan kemelesetan ekonomi global.

Syarikat Toyota yang memintas General Motor Inc. untuk menjadi gergasi automotif terbesar dunia, dijangka mengalami kerugian sebanyak AS$1.69 bilion (RM5.88 bilion).

Berikutan keadaan yang dihadapi oleh Toyota, kerajaan Jepun menyatakan pihaknya bimbang berhubung prospek ekonomi negara matahari terbit tersebut.

Ketua Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Angel Gurria berkata, sebanyak 20 juta hingga 25 juta penduduk dunia akan kehilangan kerja menjelang 2010.

Pakar kewangan menjangka 2009 merupakan tahun sukar berbanding tahun semasa walaupun banyak dana disuntik untuk mengimbangi kerugian.

Unjuran Toyota itu turut menjadi data baru untuk Jepun yang sebelum ini menghadapi penurunan eksport walaupun ia merupakan kuasa ekonomi kedua besar selepas Amerika Syarikat.

- AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Mahu baling kasut lagi



BEBERAPA anggota keluarga duduk di rumah Muntazer di Baghdad semalam.
--------------------------------------------------------------------------------


MUNTAZER
--------------------------------------------------------------------------------


BAGHDAD - Seorang wartawan Iraq, Muntazer al-Zaidi yang membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush mahu melakukannya lagi.

Abang Muntazer, Uday semalam mendakwa adiknya itu dipaksa menulis sepucuk surat bagi memohon maaf selepas didera di dalam penjara.

Muntazer, 29, dilabel sebagai hero dunia Arab selepas dia membaling sepasang kasut ke arah Bush sebelum ditangkap dalam satu sidang media di Baghdad pada 14 Disember lalu.

Bagaimanapun, kasut itu gagal mengenai Bush yang ketika itu berdiri di sisi Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki.

Seorang jurucakap mahkamah berkata, perbicaraan Muntazer berhubung tuduhan menyerang seorang pemimpin asing akan bermula pada 31 Disember ini.

Pejabat Perdana Menteri pada minggu lalu mendakwa Muntazer menulis sepucuk surat bagi memohon maaf dan merayu Nuri supaya membebaskannya.

Bagaimanapun, Uday mendakwa surat itu ditulis tanpa kerelaan Muntazer yang kini ditahan di sebuah penjara di Baghdad.

"Muntazer memberitahu saya bahawa dia tidak menyesal dengan apa yang dilakukannya dan akan melakukan perkara itu lagi," katanya.

Uday memberitahu bahawa dia melawat Muntazer di penjara kelmarin dan mendapati adiknya itu kehilangan sebatang gigi serta terdapat kesan terbakar di telinga akibat dicucuh api rokok.

Menurutnya, Muntazer juga memberitahu bahawa dia disimbah dengan air sejuk dalam keadaan bogel oleh beberapa pegawai penjara.
- AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Al-Zaytun bukan khayalan

Oleh MAZLINA MAJID
mazlina@kosmo.com.my




AHLI 'Ajaran MLM' melawat tapak projek tambahan Maahad Al-Zaytun di Indramayu, Jawa Barat baru-baru ini.
--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR - "Kerajaan Islam yang mahu dibangunkan di Maahad Al-Zaytun oleh pertubuhan 'Ajaran MLM' yang diuar-uarkan bukan sekadar khayalan kerana ia benar-benar berlaku."

Demikian tegas bekas pengikut ajaran sesat itu, Dian (bukan nama sebenar) yang mengaku pernah membuat lawatan ke tapak projek Al-Zaytun di Jawa Barat, Indonesia pada Jun lalu sebelum mengisytiharkan dirinya secara rasmi keluar daripada gerakan sesat itu baru-baru ini.

Sambil menunjukkan bukti bergambar, Dian berkata, kawasan yang dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 1,200 hektar di Haur Geulis, Indramayu, Jawa Barat itu merangkumi Universiti Maahad Al-Zaytun yang didakwa bakal menjadi pusat menyebarkan ajaran songsang itu.

"Saya ke sana bersama dengan rombongan yang mana ahlinya seingat saya lima hingga enam orang dengan kos bayaran ke sana lebih kurang RM4,000 seorang.

"Saya sebenarnya ke sana kerana ingin tahu akan bukti kewujudan kerajaan Islam seperti yang diperkatakan," katanya ketika ditemui di sini.

Menceritakan pengalaman kembaranya selama tiga hari dua malam di sana, Dian berkata, kawasan 'negara Islam' itu telah mula dibangunkan pada Ogos 2006.

"Ia bagaikan sebuah 'pulau setempat' dan pembangunannya begitu teratur.

"Ia dibahagikan kepada bangunan sektor pendidikan (merujuk kepada Universiti Maahad Al-Zaytun atau digelar pesantren), sektor pertanian dan penternakan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1223&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...