Friday, March 4, 2011

Haris Zalkapli: Erbakan, Islamis yang menggugat sekularisme Turki


Haris Zalkapli

Necmettin Erbakan, tokoh gerakan Islam Turki yang meninggal dunia pada Ahad, 27 Februari lalu merupakan seorang yang telah mencatat sejarah penting politik Islam di negara sekular itu.

Turki secara rasmi menjadi republik pada 1923 dan menegaskan identiti sekular berasaskan ide Mustafa Kamal Ataturk pada 1928 dengan klausa Islam sebagai agama negara dipadamkan daripada perlembagaan.

Sejak itu, Kamalisme menjadi satu tunjang penting republik Turki, menegaskan identiti sekular Turki yang memisahkan agama daripada ruang politik.

Sekularisme di Turki jauh sekali daripada definisinya yang sepatutnya menjadikan negara neutral terhadap agama, tetapi menjadikan negara mengambil sikap memusuhi agama Islam.

Erbakan mencatat sejarah sebagai pemimpin parti Islam yang pertama berjaya membentuk kerajaan dan menjadi perdana menteri, walaupun untuk satu tempoh yang singkat.

Erbakan menyaksikan laluan sukar sejak terlibat secara aktif dalam politik pada 1969, apabila memenangi wakil bebas untuk Konya di Parlimen Turki.

Pada 1970, beliau menubuhkan Parti Orde Nasional, yang diharamkan pada tahun berikutnya kerana didakwa menentang asas sekular negara Turki.

Pada 1972, Erbakan menubuhkan Parti Penyelamat Nasional dan menunjukkan prestasi cemerlang dalam pilihan raya 1973 dan 1977. Beliau malah pernah menjawat jawatan timbalan perdana menteri dalam tiga kerajaan pakatan bersama parti lain.

Parti itu turut diharamkan pada 1980 dan Erbakan dipenjarakan, ekoran satu rampasan kuasa oleh pihak tentera. Erbakan dan beberapa ahli politik lain diharamkan daripada terlibat dalam politik, sehingga larangan itu ditamatkan pada 1987.

Pada 1983, Parti Kebajikan (Refah) ditubuhkan dan Erbakan mula memimpin Refah pada 1987 selepas pengharaman penglibatannya dalam politik ditarik balik. Refah berjaya meletakkan 40 orang wakil di Parlimen Turki dengan pakatan bersama Parti Rakyat.

Kemudian, Parti Kebajikan menyaksikan kemenangan terbesarnya pada 1995 apabila menjadi parti pertama mendapat 21 peratus undi, menjadi kumpulan terbesar dalam parlimen.

Dengan pakatan bersama parti pimpinan Tansu Ciller, sebuah kerajaan ditubuhkan pada 1996 dengan Erbakan menjadi perdana menteri Islamis pertama Turki. Erbakan hanya menjadi perdana menteri selama setahun, bermula Jun 1996 hingga Jun 1997.

Kemunculan parti Islam pimpinan Erbakan mencetuskan satu debat hangat di Turki yang sekular itu, debat yang masih berjalan sehingga ke hari ini, walaupun selepas parti yang lebih sekular mengetuai kerajaan.

Pihak tentera, penjaga sekularisme Turki kemudian bertindak sekali lagi terhadap parti pimpinan Erbakan dan memaksanya meletak jawatan.

Parti Kebajikan kemudian diharamkan pada 1998 dan Erbakan diharamkan daripada terlibat dalam politik selama lima tahun.

Erbakan menamatkan hayatnya sebagai pemimpin sebuah parti Islam, mencatat sejarah tersendiri sebagai Islamis Turki dan dalam perjuangan Islam di negara yang paling fanatik dalam mempertahankan apa yang ditafsir sebagai sekularisme, lebih daripada apa yang dilihat di Eropah.

Oktober tahun lalu, Parti Kebahagiaan (Saadet) melantik Erbakan sebagai pemimpin parti dalam satu konvensyen diadakan untuk memilih pimpinan baharu.

Kepimpinan Erbakan dalam Parti Kebahagiaan mencatatkan parti keempat yang dipimpin beliau selama hayatnya.

Episod perjuangan Erbakan menyaksikan satu persaingan sengit merentasi tekanan sekularisme yang kuat di Turki, sehingga asas-asas demokratik dilanggar untuk memenangkan sekularisme.

Sejarah penglibatan Erbakan dalam politik telah menyaksikan kemampuan parti Islam untuk terus terlibat dan menerima sokongan, termasuk pada masa ini ketika parti pasca-Islamis pimpinan Recep Tayyip Erdogan memimpin Turki.

Kes Islamis di Turki telah mengukuhkan hujah untuk menyokong pilihan fasa pasca-Islamisme dalam perjuangan parti-parti Islam.

Parti Erbakan dilihat sebagai tidak berupaya meneruskan perjuangan di Turki dengan wajah Islamis, berbanding Parti Keadilan dan Pembangunan, AKP.

AKP muncul dengan lebih berupaya bercakap dalam bahasa semasa, menyentuh isu-isu yang mudah diterima ramai.

Walaupun sentiasa diberi amaran supaya tidak mengulangi sikap dan tindakan Islamis di Turki, AKP diterima Barat sebagai model bagi gerakan Islam dan peranan Islam dalam politik.

Di peringkat antarabangsa, usaha AKP mendekatkan Turki dengan Kesatuan Eropah dengan tindakan-tindakan yang menyelaraskan amalan di Turki dengan Eropah menerima pujian dari Barat.

Terbaharu, tindakan melibatkan Israel melonjakkan lagi nama AKP dan Turki, menyumbang kepada peningkatan dan pengukuhan kedudukan Turki sebagai kuasa serantau di Timur Tengah.

Erbakan, di penghujung hayatnya memperlihatkan sikap kritikal terhadap AKP dan kepimpinan Erdogan.

Ekoran episod serangan ke atas kapal Mavi Marmara, Erbakan mengkritik keras kerajaan Erdogan yang didakwa bersikap hipokrit apabila mengamalkan dua amalan berbeza dalam urusan melibatkan Israel.

Menurut Erbakan, Turki terus berurusan berbilion dolar melibatkan senjata dengan Israel, walaupun apa yang terjadi di Forum Ekonomi Dunia di Switzerland pada 2009 melibatkan Erdogan dengan Shimon Peres memperlihatkan hal yang berbeza.

Dalam konvensyen yang menyaksikan pemilihannya sebagai pemimpin parti baharunya, Erbakan turut mengkritik AKP dan menyatakan Parti Kebahagiaan sebagai parti Islam sebenar.

Menjelang pilihan raya Turki akan datang pertengahan tahun ini, parti Islam pimpinan Erbakan dijangka mengadakan aliansi dengan parti Islam lain.

Parti Kebahagiaan yang ditinggalkan Erbakan akan meneruskan perjuangan Islamis Turki, yang kini menjadi satu legasi penting tokoh yang dianggap “guru gerakan Islam” itu.

Dalam suasana pasca-Islamisme dilihat sebagai pilihan yang tidak dapat dielakkan lagi untuk gerakan Islam, Erbakan telah memperlihatkan kelangsungan hidup Islamis, yang terus mengambil bahagian dalam politik Turki.

Perjuangan panjang politik Erbakan telah mencatat sejarah dalam perjuangan Islamis menghadapi sekularisme Turki.

Erbakan telah mencatat sejarah sebagai Islamis yang terus menjadi pencabar utama fahaman Kamalisme Turki yang meletakkan sekularisme sebagai asas utama negara.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31167:haris-zalkapli-erbakan-islamis-yang-menggugat-sekularisme-turki&catid=94:global2&Itemid=135

Betul ke PAS tak ada isu di Kerdau


Dr Dzulkefly Ahmad

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, sama ada sememang hidup dalam penafian atau memang tidak tahu. Apabila beliau dengan sombong menyatakan bahawa pembangkang tak ada isu, beliau sememangnya mahu berbohong kepada rakyat amnya dan pengundi Kerdau khususnya.

Kalau benar bagai dek kata, beliau wajar menggunakan ruang kempen di PRK N28 Kerdau ini untuk memperagakan segala kejayaan kerajaan Pahang. Kalau kerja dah dibuat dan rakyat dah diberi khidmat yang cemerlang, apa perlu sibuk untuk mengumumkan projek-projek ‘mee-segera’ termasuk yang perlu diumumkan oleh Perdana Menteri sendiri yang terpaksa turun pada hari pertama lagi sehingga terpaksa mengumumkan peruntukan berjumlah RM10 juta kepada warga Felda di Kerdau.

Adnan sepatutnya perlu sedar dan insaf bahawa di bawah kepimpinannya Pahang telah mengalami defisit belanjawan untuk 13 tahun berturut-turut. Rakyat Pahang juga mengingatkan Menteri Besarnya bahawa kerajaan negeri sedang menganggung bebanan hutang sebanyak RM2.17 bilion mengikut Laporan Ketua Audit Negara yang mutakhir.

Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan baru-baru ini banyak menyentuh tentang kelemahan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Adnan Yaakub. Ianya merangkumi pelbagai skop. Ayat yang kerap diulangi dalam Laporan tersebut ialah..Pada pendapat Audit…..adalah tidak memuaskan kerana…..Ini menyangkut pelbagai skop dan aspek pembangunan, sama ada yang berkaitan projek sakit dan lewat di bawah Projek Perumahan Rakyat Dimiliki (PPRD), prestasi agensi-agensi kerajaan, aktiviti pengambilan pasir sungai dan kesannya kepada alam sekitar di Sungai Benus, Bentong, pengurusan air tidak berhasil (NRW), pengurusan premis perniagaa sehinggalah kepada urusan pengendalian kes di Mahkamah Syari’ah Negeri Pahang. Pada pendapat Audit ..tidak memuaskan ..kerana.. Rakyat seharusnya telah lama pecat CEO syarikat ini atau MB kerajaan negeri ini.

Cukup mengaibkan.. Tak ada isu kata Adnan!

Sekadar mengambil contoh antara yang terbesar mengikut Laporan Ketua Audit Negara adalah kelemahan-kelemahan pentadbiran dan pengurusan yang mengakibatkan kerajaan negeri kehilangan sumber pendapatan sebanyak RM227.9 juta bila mana empat (4) buah syarikat-syarikat berkaitan negeri (GLCs) gagal membayar balik pinjaman mengikut jadual. Laporan juga mendedahkan bahawa tidak wujud peruntukan dalam perjanjian yang membolehkan kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap GLCs (contoh ASPA dan PKNP dll) apabila GLCs gagal membuat bayaran balik.

Dalam suasana anak-anak syarikat kerajaan ini mengalami kerugian, Menteri Besarnya masih boleh mengarahkan serta mengharapkan 50% dari keuntungan GLCs ini disumbangkan kepada kerajaan negeri. Jelas dan nyata bahawa Adnan sudah tidak peka dan hilang ‘touch’nya dengan realiti. inilah antara sebabnya mengapa pihak penganalisis mengwar-warkan bahawa kerajaan negeri Pahang berpotensi bankrap.

Oleh kerana Laporan Audit Negara adalah maklumat awam (public information), maka sewajarnyalah Kerajaan Negeri bersikap bertanggungjawab dan menerangkan kepada rakyat langkah-langkah yang telah diambil bagi membanteras kepincangan-kepincangan tersebut sebagai satu langkah ‘Pertanggungjawaban Awam”.

PAS menuntut kerajaan negeri di bawah kepimpinan Barisan Nasional mendedahkan prestasi semasa GLCs negeri sebagaimana dilakukan oleh negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat.

Berdasarkan secebis pendedahan di atas, maka PAS/Pakatan Rakyat menyeru seluruh pengundi dalam PRK N28 Kerdau supaya membuat pilihan yang wajar dan tepat bagi membongkar segala kepincangan pengurusan kewangan negeri demi memperjuangkan kepentingan penduduk Kerdau khasnya dan seluruh negeri Pahang amnya.

Maka calon yang paling wibawa bagi merealisasikan tujuan dan menggalas tanggungjawab ini tentunya adalah mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang tersebut. Apakah seorang calon yang berlatar belakang di bidang bahasa ’Arabkah atau yang berlatarbelakang di bidang ‘profesional’ dengan kemampuan serta pengalaman kerjayanya di luar negara dan dalam negeri?

Rakyat wajar menilai siapakah yang lebih wajar mewakili suara rakyat di Dewan Undangan Negeri Pahang bagi suara ‘semak-imbang’ pelbagai kepincangan pengurusan kerajaan negeri Pahang ini yang di bawah Umno/BN.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31122:betul-ke-pas-tak-ada-isu-di-kerdau&catid=97:pendapat-dan-analisis&Itemid=131

Saman ekor: Keluhan pengundi kepada Yuhaizad

Hazayani Zakaria

JASIN, 4 Mac: Sepanjang enam hari berkempen, calon PAS bagi pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah hari ini tampil menjelaskan permasalahan rakyat yang diadukan kepada beliau.

Beliau memberitahu, antara masalah yang turut menjadi keluhan rakyat adalah isu saman ekor yang dilaksana kerajaan.

Rata-rata pengundi yang ditemui melahirkan rasa tidak puas hati dengan saman ekor yang disifatkan cuba mengikis wang rakyat.

Selain itu, masalah kemudahan asas termasuk kekurangan lampu isyarat dan sistem perparitan yang tidak sempurna turut diadu kepadanya.

Menurutnya, rentetan daripada permasalahan itu, Umno BN segera menjalankan "projek mi segera" semata-mata untuk meraih sokongan pengundi.

"Menyedari masalah penduduk yang tertangguh dan menampakkan kelemahan, "projek mee segera" telah dilaksanakan secara tergesa-gesa untuk mengatasi masalah di atas bagi memancing undi, sebenarnya tidak ikhlas dan mencabar keadilan proses pilihan raya," katanya.

Justeru, beliau menyeru pengundi-pengundi di Merlimau agar memberi peluang kepadanya untuk membawa permasalahan mereka ke peringkat lebih tinggi.

"Walaupun saya belum diberi mandat, saya telah mendapat aduan dan mengenalpasti masalah rakyat di kawasan Dun Merlimau.

"Oleh itu, saya menyeru seluruh lapisan rakyat khususnya pemilih di Dun Merlimau ,membuat keputusan yang tepat dengan memilih PAS pada PRK kali ini.

"Insya Allah bertambahnya suara pembangkang di Dun Melaka akan menguatkan lagi proses "check and balance" dan menyebabkan kerajaan Melaka akan lebih stabil kerana sentiasa meletakkan diri dalam landasan yang betul dan berwaspada, mengelakkan diri dari melakukan kesilapan kerana kekhuatiran terhadap kelantangan suara pembangkang," katanya.

Berikut adalah keluhan dan permasalahan yang diadukan penduduk Melimau kepada Yuhaizad:

1. Kekurangan lampu jalan Ayer Merbau dan Jasin Lalang.

2. Keperluan lampu isyarat persimpangan masuk kampung Ayer Merbau.

3. Penduduk Taman Sri Chin Chin mendakwa kadar cukai pintu tinggi.

4. Penduduk di Pengkalan Samak (Solok Pengkalan Samak) dan Ayer Merbau tidak dibaik pulih. Kelemahan prasarana ini juga mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di Ayer Merbau.

5. Longkang dan perparitan yang tersumbat di Taman Debunga (Pengkalan Samak) dan Permatang Serai yang longkangnya tidak diselenggara (dipenuhi rumput).

6. Rumah terbiar dan persekitaran yang kotor di Merlimau Utara. Ini membimbangkan penduduk yang terancam dengan penyebaran denggi.

7. Penduduk Jasin Lalang tidak mempunyai dewan serbaguna.

8. Pendudk Kampung Ayer Merbau memohon pembinaan semula balai raya yang kini telah rosak dan terlalu kecil bagi menampung keperluan penduduk.

9. Kemudahan jalan yang tidak diturap dan dinaik taraf.

10. Permohonan untuk mendapatkan kelengkapan khemah yang tidak dipenuhi di Ayer Merbau dan Chin Chin.

11. Waktu pungutan sampah yang tidak sesuai di Permatang Serai.

12. Pokok yang dipotong oleh Majlis Perbandaran Jasin tidak dibersihkan di Taman Muhibah dan Merlimau Pasir.

13. Keluarga dan individu miskin, orang kurang upaya, sakit yang memerlukan bantuan di Chin Chin, Merlimau Pasir dan Taman Muhibah.

14. Masalah pencemaran Sungai Merlimau.

15. Tanah rizab Melayu yang diambil kerajaan tidak diganti semula.

16. Tidak berpuas hati dengan sistem saman ekor.

17. Peningkatan kes jenayah terutamanya kecurian motosikal.

18. Harga rumah di Merlimau yang mahal dan tidak mampu dimiliki penduduk.

19. Kaum India menghadapi masalah peluang pekerjaan, perumahan selepas berkhidmat di ladang dan masalah bantuan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) dan Sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina(SRJKC).

20. Resah dengan kenaikan harga minyak dan harga barang.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31204:saman-ekor-keluhan-pengundi-kepada-yuhaizad&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Calon, pimpinan PAS terima ugutan

Hazayani Zakaria

JASIN, 4 Mac: Calon PAS, Yuhaizad Abdullah di Dun Merlimau dan beberapa pimpinan PAS menerima khidmat pesanan ringkas (sms) ugutan daripada individu yang tidak dikenali, dipercayai daripada Umno BN.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat Setiausaha Pehubungan PAS Melaka, Haurun Mohamed yang turut menerima sms yang sama.

Penghantar sms berkenaan menamakan dirinya sebagai Geng Jebat Derhaka dan menghantar sms berbunyi "Geng Jebat Derhaka akan terus mengganas di ceramah-ceramah PR yang menjadi pentas memecah belahkan Melayu. Sekiranya anda mahu kejadian pecah kenderaan di Chinchin dan Jalan Pahlawan berulang, hadirla ke ceramah2 PR pd mlm ini dan seterusnya. awas keselamatan kenderaan anda tidak dijamin”

Haurun menerima sms berkenaan jam 7.20 malam semalam dan membuat laporan polis di Balai Polis Merlimau jam 12.35 pagi tadi.

Menurut Haurun, beliau yakin sms itu datang daripada puak Umno BN kerana sebelum ini pernah menerima sms dari nombor yang sama berbunyi "TPM bayau makan minumnya di chinchin supaya halal dan dia x amik kesempatan bukan macam nik aziz...naik haji pun nak free...nak org sponsor...itu rasuah namanya dan tak ikut sunnah nabi..sah ke hajinya?"

“Saya membuat laporan ini demi keselamatan pimpinan dan penyokong PR serta orang awam, dan menggesa polis menyiasat ugutan ini dengan kadar segera,” kata beliau dalam laporan polis yang dibuat.

Mengulas mengenai perkara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, pihak polis hanya bersikap sambil lewa twerhadap laporan yang dibuat.

"Ini satu ugutan yang secara nyata diteruskan tapi setakat ini tak ada tindakan yang dilakukan oleh pihak keselamatan terhadap isu-isu seperti ini.

"Kita buat laporan polis rasmi berhubung sms ugutan ini tapi tak ada lagi tindakan yang kita lihat drastik daripada pihak keselamatan dan kehadiran pihak polis yang begitu ramai hanya melihat sahaja insiden kekacauan yang berlaku,” kata belia pada sidang media di markas induk PAS, dekat sini hari ini.

Selain Haurun dan Yuhaizad, turut menerima SMS sama ialah Yang Dipertua PAS Jasin, Jasme Tompang.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31206:calon-pimpinan-pas-terima-ugutan&catid=1:utama&Itemid=50

MB Pahang perlu jawab pendedahan PAS

Harakahdaily

TEMERLOH, 4 Mac: PAS mahu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menjelaskan kemana peruntukan RM1 juta setahun kepada setiap ahli parlimen dan RM500 ribu kepada ahli dewan undangan negeri (Adun) itu disalurkan.

Pengarah Pilihan Raya Kecil PAS bagi PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu dipersoal kerana melihat kepada kegagalan pembangunan kawasan-kawasan di negeri ini termasuk Kerdau yang masih ketinggalan dari pelbagai aspek.

"Berapakah peruntukan kerajaan negeri bagi pembangunan setiap Dewan Undangan Negeri?

"Ternyata bahawa kegagalan pembangunan adalah akibat ketidaktelusan, ketirisan, kebocoran dan amalan kronisme," katanya pada sidang media markas induk PAS di sini.

Turut serta pada sidang media hari ini, Pengerusi Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman.

Tambahnya, Kerdau telah ketinggalan dalam arus pembangunan sejak 53 tahun lalu dan jika calon BN dibiarkan menang lagi, maka Kerdau akan terus mengalami zaman kemunduran.

Beliau turut membawa fakta yang dikeluarkan Yayasan Pahang, bahawa sebanyak 25 ribu pelajar miskin telah diberi bantuan di seluruh negeri.

Selain itu, terdapat 8,000 pelajar di negeri ini dilaporkan buta huruf berpunca dari faktor kemiskinan.


"PAS mahukan menteri besar Pahang supaya berterus terang masalah-masalah yang gagal diselesaikan.

"Dalam tempoh tujuh hari berkempen, PAS telah mendedahkan pelbagai urus tadbir yang lemah dan tempang khususnya dari segi kewangan dan belanjawan, ketirisan serta hutang yang ditanggung oleh kerajaan negeri dibawah kepimpinan Umno BN," katanya.

Sebelum ini, Adnan mendakwa PAS akan ketandusan isu di Kerdau namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Sehingga hari ini, pelbagai isu yang didedahkan PAS namun tidak dijawab oleh menteri besar itu.

Sehubungan itu, PAS mahu Adnan mengakui kelemahan urus tadbirnya atau berdepan kemarahan rakyat dalam undi mereka di PRK Kerdau, 6 Mac ini.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31202:mb-pahang-perlu-jawab-pendedahan-pas&catid=1:utama&Itemid=50

Penduduk Kerdau mahu tanah bukan wang

Harakahdaily

TEMERLOH, 4 Mac: Penduduk Kerdan mendedak Kerajaan tidak sahaja mencurahkan projek segera dan pemberian wang tunai dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau ini tetapi hendaklah memberi sesuatu yang menjamin masa depan generasi muda di sini.

Beberapa orang pemuda yang ditemui berkata, mereka mahu kerajaan memberikan tanah untuk dibangunkan bagi sumber pendapatan dan kediaman supaya dapat membina keluarga dengan lebih baik.

Ibrahim Husin, 43, dari Kampung Ketam dekat sini, berkata 80 peratus kawasan dalam Dun Kerdau adalah merupakan kawasan pertanian dan sebahagian besar sumber pendapatan penduduknya dengan pertanian.

Katanya, menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 dan 2008 kerajaan telah membuka permohonan tanah kepada generasi muda terutama yang telah berkahwin dalam projek perkembangan kampung.

“Kami generasi kedua kampung sudah beberapa kali ditemuduga untuk diberi tanah dalam projek perkembangan kampung yang melibatkan penghulu dan wakil rakyat.

“Antara tempat yang dicadangkan ialah tanah rizab seluas 80 ekar di Kampung Paya Taram dan Kelebang. Begitu juga dengan di Kampung Lipat Kajang, Kuala Kerdau dan Bukit Lada di mana pemuda-pemuda yang sudah berkeluarga telah ditemuduga.

“Tetapi sehingga kini tidak ada jawapan yang diberikan. Sedangkan pada masa inilah paling sesuai jika kerajaan meluluskan tanah tersebut berbanding pemberian wang,” katanya.

Tambah Ibrahim, jika kerajaan berfikir untuk menumpukan pembangunan generasi muda sepatutnya lebih memikirkan pemberian tanah yang lebih memberi manfaat daripada wang yang tidak tahan selama mana.

“Sebenarnya tidak ada masalah jika kerajaan mahu membantu sebab tanah terbiar yang melibatkan kawasan paya di Paya Taram, Kelebang, Paya Rambai dan Ketam seluas 300 ekar. Apakah kerajaan tidak ada inisiatif?,” soalnya.

Kempen dalam PRK Kerdau menyaksikan pelbagai pemberian wang oleh menteri-menteri dalam bentuk bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah, peneroka Felda selain jamuan makan sepanjang masa.


Sementara itu seorang penduduk lagi, Zulhazmi Yahya, 41, dari Kelebang, berkata orang Kerdau sudah banyak rugi kerana pernah ada tanah kerajaan di belakang bandar Kerdau seluas 17,000 ekar untuk dimajukan Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian (LKPP).

“Tetapi entah macam mana 12,000 ekar telah terlepas ke tangan Sime Darby. Melepaslah orang Kerdau, cuma adalah 4,000 ekar yang dimajukan oleh Felcra melalui sistem saham. Itu pun orang tertentu saja yang dapat.

“Sebab itu kalau kerajaan betul-betul nak menolong, ikutlah perancangan asal iaitu setiap keluarga generasi kedua diberi lot tanah untuk pertanian dan kediaman masing-masing,” ujarnya.

Di tanah rancangan Felda pula, para peneroka di gesa menuntut janji-janji kerajaan seperti hak milik tanah, rumah untuk generasi kedua dan apa sahaja bayaran sebelum 6 Mac.

"Inilah peluangnya, minta kerajaan lunaskan janji-janji tersebut hari mengundi atau lingkupkan calon BN kali ini," kata Presiden Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan, Mazlan Aliman.

Kata Mazlan selama ini ramai peneroka di seluruh negara percaya dengan janji-janji mulut pemimpin Umno sekiranya berlaku PRK di kawasan mereka tetapi terbukti pemimpin BN hanya berbohong.

Jesteru katanya, peneroka perlu berani menekan kerajaan dengan kuasa undi yang ada.

"Kalau janji mereka untuk membina rumah pastikan ada perjanjian hitam putih yang sah antara kerajaan dan peneroka," katanya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31199:penduduk-kerdau-mahu-tanah-bukan-wang&catid=1:utama&Itemid=50

Kereta Anwar dikepung dan dibaling batu

Rusly Yasmin

TEMERLOH, 4 Mac: Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengecam tindakan ganas yang didakwa dilakukan petugas Umno BN dengan mengepung dan membaling batu ke arah kereta yang dinaiki Datuk seri Anwar Ibrahim semalam.

Menceritakan kejadian itu, Ketua PKR Cabang Temerloh, Ahmad Nizam Hamid, berkata, kira-kira 30 orang pemuda, memegang sepanduk dan bendera BN menyekat kereta Anwar di Jengka 22 sambil menjeritkan perkataan lucah kepada ketua umum parti itu.

Dari kelibat dan gaya percakapan mereka, Ahmad Nizam berkata beliau yakin kesemua mereka adalah orang luar dan bukan masyarakat tempatan.

"Ini budaya baru yang dibawa, kerana dipahang tak pernah berlaku sebelum ini" kata Nizam pada sidang media di markas induk PAS bagi Pilihan Raya kecil Kerdau.

Sebelum itu katanya, sejumlah paku turut ditaburkan di atas jalan raya khususnya di jalan jengka 22 menuju ke tapak ceramah ketua pembangkang itu menyebabkan kira-kira 50 buah motorsikal dan beberapa kereta mengalami kerosakan tayar.

"Kami mengecam perbuatan biadap dan tidak bertamadun penyokong Umno BN tersebut yang jelas bukan sahaja melanggar tatasusila bangsa malah bersalahan dengan undang-undang.

"Pilihanraya sewajarnya diraikan sebagai pesta demokrasi namun Umno kelihatannya tidak menjadi matang dan meletakkan diri di tingkat paling bawah," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, walau apa sekalipun provokasi yang dibuat pihak lawan, petugas Pakatan Rakyat tetap tidak akan termakan.

Belaiu turut berterima ekoran tindakan pantas pihak polis menyuraikan para penyokong BN yang menunggu rombongan Datuk seri Anwar Ibrahim keluar dari jengka 22.



http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31197:kereta-anwar-dikepung-dan-dibaling-batu&catid=1:utama&Itemid=50

6 tahun dengan Felda, hutang RM85 ribu

Nazri Abdullah

TEMERLOH, 3 Mac: Seorang peneroka terpaksa menanggung hutang lebih RM85 ribu selepas enam tahun menguruskan ladang tanaman mereka bersama Felda.

Hutang yang begitu besar dalam tempoh singkat itu didakwa akibat menyerahkan urusan tanam semula kepada Felda yang dikendalikan anak syarikatnya Techno Plant sdn Bhd.

Perkara itu didedahkan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) pada sidang media PAS di markas induk PRK Kerdau di sini.

"Sebagai bukti kegagalan Felda, saya bawa satu contoh, seorang peneroka Felda, hutangnya pada ketika ini setelah lebih kurang enam tahun diurus Techno Plant Sdn Bhd, hutangnya mencecah
RM85,441.63 sen," katanya sambil menunjukkan slip penyata hutang yang dikeluarkan Techno Plant.


Beliau bagaimanapun tidak menyertakan maklumat lanjut berkenaan peneroka tersebut.

Mazlan mendakwa, Felda melalui anak syarikatnya yang diwujudkan sejak tahun 200d itu mengaut keuntungan melampau di atas usaha dan titik peluh peneroka berbanding syarikat swasta lain.

Sebagai contoh tambahnya, kos tanam semula dengan Felda adalah sebanyak RM10,503 sehektar berbanding Sime Darby (RM3,120) dan Kumpulan IOI (RM1,998) sekaligus membuktikan dakwaan tanam semula dengan Felda murah adalah bohong.

Akibat kos yang mahal itu kata beliau, peneroka terpaksa menanggung hutang yang besar setiap tahun.

Kos yang besar itu pula kata Mazlan langsung tidak sepadan dengan untung bersih yang diperolehi peneroka berbading menanam semula dengan syarikat lain.

Beliau membandingkan keuntungan Felda yang hanya RM40.50 seekar untuk sebulan dengan Wilmar International (RM1050), IOI Group (RM366.30) dan Sime Darby (RM114).


"Kalau diurus secara profesional, tentu lah keuntungannya lebih besar dari syarikat-syarikat lain," katanya menempelak Felda yang juga turut mendakwa kebun dibawah seliaan mereka diurus secara profesional.

Turut hadir salam sidang media itu Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad dan anggota parlimen Padang Terap Nasir Zakaria.

"Kenapa Felda jadi begini, jadi begini? Kerana disebalik mereka yang menguruskan ini adalah kroni-kroni mereka.

"Mereka inilah yang mengaut keuntungan dan memperalatkan anak-anak peneroka yang bekerja dengan Techno Plant," jelasnya.

Sehubungan itu beliau menggesa perkhidmatan Techno Plant dihentikan serta merta demi masa depan peneroka.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31188:6-tahun-dengan-felda-hutang-rm85-ribu&catid=1:utama&Itemid=50

P Pinang bagi RM2,000 pelajar kembali ke Mesir

Mohd Sabri Said

GEORGETOWN, 2 Mac: Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini menyerahkan RM2,000 kepada 318 pelajar Mesir dari negeri ini termasuk anak kepada Yang bekas Dipertua Majlis Agama Islam (Maipp), Shabudin Yahya.

Sumbangan tersebut adalah pembuka tirai negeri pertama menyerahkan sumbangan berbanding negeri lain di Malaysia.

Sebelum ini Pulau Pinang juga mendahului mengumumkan peruntukan dan mengadakan perjumpaan antara pelajar dan waris pada Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri yang diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini.

Pada peringkat awal Yang Dipertua Maipp, Ustaz Elias Zakaria telah bertekad memberi keringanan kepada ibu bapa dengan mengeluarkan wang menerusi Pusat Urus Zakat (PUZ) sekurang-kurangnya RM1,000 seorang.

Tetapi, setelah perbincangan dalam mesyuarat Exco semua sepakat menambah RM1,000 lagi daripada kerajaan negeri menjadikan RM2,000 semuanya.

Pada program yang dimulai meraikan pelajar dan ibu bapa dengan makan tengah hari itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, hasil penjimatan akhirnya banyak perkara boleh Kerajaan Pakatan Rakyat melaksanakannya termasuk bantuan berkenaan sebagai meringankan tanggungan ibu bapa.

Slogan Cekap, Akautabiliti dan Telus (CAT) membawa kebaikan walaupun pada awal pemerintahan terpaksa berhadapan cercaan dan hutang peninggalan Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Selepas mempekenalkan dasar CAT pada umum ia terus melonjak terutamanya para pelabur yang bertambah sejak kebelakangan ini.

"Tentu pelajar tertanya-tanya apakah CAT. Ia bukan kucing sepertimana yang selalu dihebohkan oleh Umno sebaliknya pentadbiran yang menjurus kepada kebebasan, keadilan dan jauh daripada sikap rasuah," ujar Guan Eng.

Sementara itu, Yang Dipertua Badan Kebajikan Pelajar Pulau Pinang Mesir, Muhamad Hilmi Mohd Yusuf menyifatkan, bantuan itu sebagai galakan terhadap pelajar untuk teruskan belajar di serata univesiti di Mesir.

"Saya mewakili keseluruhan pelajar ucap terima kasih yang tidak terhingga dan berharap kerajaan negeri dapat pula ke sana menziarahi kami sebab sampai saat ini belum ada seorang pun kepimpinan negeri yang berbuat demikian," katanya.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31169:p-pinang-bagi-rm2000-pelajar-kembali-ke-mesir&catid=55:negeri-pulau-pinang&Itemid=100

Rockers pun kena ikut Rasulullah

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 27 Feb: Jadilah sebagai sesiapa pun di dunia ini termasuk anggota kumpulan dan peminat rockers, namun setiap orang mestilah ingat bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah contoh ikutan terbaik kepada semua.

Ingatan itu dititipkan oleh Exco Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Riduan Mohd Nor yang bercakap di dalam majlis tazkirah sempena Ijtima' Rockers yang diadakan di pekarangan Stadium Malawati, malam tadi.

Majlis Green Zone itu diadakan sebagai aktiviti sampingan ketika mana peminat Maher Zain yang sempat membeli tiket menikmati dendangannya di dalam stadium, mereka yang datang namun tidak dapat masuk boleh mengikuti hiburan di luar.

Beberapa kumpulan rock telah mengadakan persembahan namun terbaiknya kerana boleh dikatakan setiap lagu dimasukkan unsur ketuhanan dengan lirik puitis dilagukan mereka sama ada secara solo atau berkumpulan.

Berselang seli dengan nyanyian rock itulah, Riduan menjelaskan keperluan semua manusia kembali kepada Allah dan Rasulnya dalam usaha menjayakan kehidupan sebagai Muslim di atas dunia penuh cabaran ini.

"Rabiul Awwal yang kita sambut bukan sahaja merupakan tarikh kelahiran Nabi kita, ia juga adalah bulan kewafatan dan peristiwa hijrah Nabi Muhammad daripada Makkah ke Madinah dalam usaha penegakan sebuah Negara Islam," tegasnya.

Beliau juga menyatakan keperluan menjadikan Nabi sebagai ikutan walaupun mereka berambut panjang atau pendek, berjanggut atau bermisai, suka kumpulan Loudness, Scorpion atau Deep Purple, mereka wajar ingat cintai Nabi adalah wajib.

Sebagai orang muda, jelasnya, boleh mendengar lagu namun mereka hendaklah berikan masa untuk mengkaji bagaimana Nabi mengubah sistem kehidupan jahiliah daripada buruk kepada terlebih baik.

"Sebagai orang muda, kita hendaklah menjadikan kehidupan kita menjadi lebih manfaat, ya kita berhenti sekejap untuk beri laluan kepada adik kita untuk meneruskan persembahan dan kita jumpa lagi selepas ini," jelasnya.

Banyak acara lagi yang diadakan sepanjang sehari program Green Zone ini termasuklah acara pertandingan nyanyian lagu Maher Zain dan sebagainya di mana hadiah kepada pemenang disampaikan sendiri oleh Maher.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31094:rockers-pun-kena-ikut-rasulullah&catid=58:negeri-selangor-darul-ehsan&Itemid=103

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...