Thursday, May 27, 2010

Temui jalan penyelesaian

2010/05/27

KUALA LUMPUR: Proses tuntutan nafkah edah dan tertunggak bekas isteri Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Muar, Datuk Kadar Shah Sulaiman Ninam Shah dijangka menemui jalan penyelesaian pada 19 Jun ini.

Ia berikutan kedua-dua pihak iaitu Datin Fauziah Haron, 53, yang diwakili peguam syarie Kamar Ainiah Kamaruzaman dan Kadar Shah, 62, diwakili Sulaiman Abdullah memaklumkan mereka kini dalam proses perbincangan di peringkat akhir.


Kamar Ainiah berkata, kedua-dua pihak kini dalam proses untuk meneliti perjanjian yang akan ditandatangani dan butiran pelaksanaan serta akan mengemukakan kepada mahkamah secepat mungkin sebelum tarikh sebutan yang akan datang, Hakim Syarie Mohd Shukor Sabudin menetapkan 19 Julai ini untuk merekodkan penyelesaian kedua-dua pasangan itu.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan Fauziah menuntut haknya termasuk nafkah edah, mutaah dan harta sepencarian hasil perkahwinannya dengan Kadar Shah.

Kadar Shah sebelum ini membantah permohonan wanita itu atas dakwaan Fauziah tidak mempunyai locus standi (hak) selain mendakwa perkahwinan pada 20 Januari 1980 di Jakarta Timur, Indonesia, sebagai tidak sah kerana tiada dokumen atau sijil pernikahan.

Tetapi, mahkamah memutuskan Fauziah mempunyai locus standi kerana selepas 27 tahun perkahwinan kedua-dua pihak dalam keterangan mengakui dengan suci hati wujud ikatan sah.

Fauziah menuntut tuntutan mutaah, edah, wang yang diserahkan kepada defendan RM1.8 juta serta nafkah tertunggak dari November 2002 hingga November 2007 berjumlah RM600,000.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Temuijalanpenyelesaian/Article

Remaja bersalah perkosa rakan sekolah

2010/05/27

JOHOR BAHRU: Seorang pelajar berusia 17 tahun didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan merogol rakan sekolahnya yang berusia 14 tahun.

Remaja berkenaan dituduh merogol rakan sekolahnya di rumah keluarganya di Bandar Tasik, Seri Alam di sini, kira-kira jam 12 tengah hari 16 September lalu.


Mengikut fakta kes, mangsa dikatakan pergi ke rumah tertuduh untuk melepak bersamanya, namun remaja lelaki itu mengajak mangsa memasuki biliknya sebelum dikatakan merogol mangsa selama kira-kira 15 minit.


Mangsa yang pulang ke rumah tidak melaporkan kejadian berikutan ibunya sakit dan hanya memberitahu keluarganya sebulan kemudian selepas ibunya pulih.


Remaja lelaki itu didakwa pada 15 Oktober tahun lalu, mengaku tidak bersalah namun Majistret Nor Shahid Abd Malik mensabitkan kesalahan terhadap tertuduh selepas pihak pembela gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.


“Bagaimanapun, laporan pemerhatian terhadap tertuduh yang akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diperlukan sebelum hukuman dijalankan berikutan tertuduh adalah pesalah juvana,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajabersalahperkosarakansekolah/Article

Along ‘penjara’ pemiutang gagal bayar duit bunga

2010/05/27

AMPANG: Berang kerana duit ‘bunga’ diminta gagal dibayar pemiutang, sekumpulan ceti haram bertindak kejam ‘memenjarakan’ mangsa di dalam rumah dengan memasang mangga kunci pada jeriji pintu rumah mangsa.

RAMPAS...Abdul Jalil (kanan) menunjukkan kain rentang iklan sindiket along terbabit.
RAMPAS...Abdul Jalil (kanan) menunjukkan kain rentang iklan sindiket along terbabit.
Sindiket along itu menggunakan kekerasan dan mengenakan faedah tinggi kepada mangsa kerana yakin mangsa tidak akan membuat laporan polis kerana takut ugutan itu.


Bagaimanapun, seorang daripada mangsa along terbabit yang giat menjalankan kegiatan mereka sekitar Ampang Jaya membuat laporan polis pada 20 Mei lalu selepas menerima beberapa ugutan sindiket itu.


Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata mangsa meminjam wang RM2,000 daripada seorang along daripada kumpulan itu dan sudah menjelaskan hutangnya RM6,000.


“Mangsa bagaimanapun dimaklumkan bayaran itu hanya kadar faedah,” katanya.


Menurutnya, mangsa yang berterusan menerima ugutan mendiamkan diri menyebabkan along terbabit berang dan mengurungnya dalam rumah mangsa.


Abdul Jalil berkata, bertindak daripada aduan, pasukan khas ditubuhkan Jabatan Siasatan Jenayahnya untuk menangkap sindiket terbabit.


“Kami menyerbu sindiket itu ketika mereka dalam perjalanan menaiki Toyota Vios untuk berjumpa peminjam yang gagal membayar pinjaman mereka di sebuah restoran berdekatan Pandan Perdana di sini.


“Kami menahan empat lelaki termasuk ketuanya dikenali sebagai Yong. Mereka bergiat aktif memberi pinjaman wang tanpa lesen di Ampang Jaya,”
katanya.


Dipercayai keempat-empat mereka yang berusia 24 hingga 29 tahun itu turut terbabit kegiatan menyimbah cat merah dan menggunakan senjata untuk mengugut mangsa membayar pinjaman mereka.


Abdul Jalil berkata, polis merampas lapan telefon bimbit, wang tunai RM1,424, buku cek bank, tujuh kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan 237 gulung kain rentang iklan dipercayai untuk digantung di tepi jalan dan kawasan perumahan serta kereta Vios terbabit.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Along__8216_penjara__8217_pemiutanggagalbayarduitbunga/Article

Kosmetik popular beracun

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/05/27

DAMANSARA: Impian segelintir wanita mahu kelihatan cantik dalam tempoh singkat boleh bertukar menjadi igauan ngeri apabila sejenis produk kosmetik terkemuka jenama tempatan yang dijual di pasaran dikesan mengandungi kimia beracun tretinoin.

Produk kosmetik itu didakwa dihasilkan menerusi kepakaran pengusaha tempatan sebaliknya hanya pembohongan semata-mata kerana siasatan pegawai Bahagian Penguat kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati ia diseludup masuk dari Filipina secara besar-besaran.


Malah produk terbabit yang dipasarkan ahli perniagaan Bumiputera didapati cuba menipu pengguna apabila sengaja diuar-uarkan sudah memperoleh kelulusan KKM selain mendapat perakuan sijil halal daripada badan tertentu.


Pendedahan mengejutkan itu dinyatakan Pengarah Penguat kuasa Farmasi KKM, Mohd Hatta Ahmad selepas melakukan serbuan di sebuah gudang di Bandar Pinggiran Subang, di sini, semalam. Dalam operasi jam 11.30 pagi, sepasukan pegawai penguat kuasa Farmasi KKM disertai Timbalan Pengarahnya, Wan Hamid Wan Ibrahim, bertindak menyerbu gudang yang digunakan syarikat pengimport untuk menyimpan bekalan produk kosmetik berjenama terkenal itu.


Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan seorang wanita berusia 30-an dipercayai penyelia gudang berkenaan bersama beberapa pekerja lain sedang sibuk melakukan tugas membungkus produk kosmetik yang dijual secara pakej tiga dalam satu.

“Siasatan mendapati syarikat milik bukan Bumiputera itu bertanggungjawab menjadi pengimport produk kosmetik beracun dari Filipina sebelum dibekalkan kepada sebuah syarikat Bumiputera yang memasarkan produk kosmetik menggunakan jenama terkemuka.

“Namun akibat panik selepas menyedari diserbu pegawai farmasi, penyelia wanita terbabit hilang pertimbangan lalu menuduh pegawai penguat kuasa farmasi cuba memeras ugutnya. Malah dia mendakwa diganggu secara seksual sedangkan terdapat ramai pegawai penguat kuasa wanita yang menyertai serbuan itu,” katanya.


Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati produk krim malam yang dijual dengan harga sekitar RM16 itu mengandungi kimia berbahaya tretinoin.


“Susulan itu, pegawai KKM merampas produk itu lebih 15,000 kotak dengan anggaran nilai pasaran kira-kira RM344,000,” katanya.


Menurutnya, produk kosmetik yang mengandungi kimia tretinoin itu dianggap berbahaya apatah lagi jika kandungan kimianya terlalu tinggi sehingga boleh mendatangkan barah kulit.


“Kimia ini diharamkan penggunaannya kerana mempunyai kesan sampingan seperti rasa terbakar pada kulit, gatal, kulit menggelupas dan kekeringan, jeragat hitam bertambah dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya lampau ungu.

“Malah lebih ditakuti apabila krim produk kosmetik dirampas ini mengandungi sehingga lebih lima peratus kimia tretinoin di dalamnya. Saya bimbang jika kesan jangka panjang boleh menyebabkan wanita yang menggunakannya berisiko terkena barah kulit,”
katanya.


Menurutnya, pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan sesuatu produk sekiranya berasa kesan pedih atau kulit muka menjadi kemerah-merahan selepas memakainya.

Serang ibu, bapa tiri1

Oleh Khairulmizan Yahya
am@hmetro.com.my
2010/05/27

KUANTAN: Hanya kerana terganggu dengan bunyi hon kereta bapa tirinya, seorang lelaki naik berang sebelum menyerang lelaki itu serta ibunya sendiri dengan tukul besi, kerusi dan topi keledar dalam satu kejadian amuk di Taman Cenderawasih, Bukit Setongkol, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, lelaki berusia 31 tahun yang juga seorang penagih dadah turut mengugut membunuh kedua-dua orang tuanya itu sehingga memaksa mereka berlindung di rumah seorang jiran.


Pegawai Turus di Jabatan Urusetia, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri berkata, bapa tiri suspek berusia 84 tahun, manakala ibunya berusia 57 tahun baru tiba di rumah selepas pulang dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).


Menurutnya, ketika tiba di hadapan rumah, kereta milik jiran menghalang laluan kenderaan mereka untuk masuk ke pekarangan rumah.


“Berikutan itu, bapa tiri suspek membunyikan hon berulang kali sebelum pemilik kereta berkenaan mengalihkan keretanya bagi membolehkan bapa tiri suspek masuk ke pekarangan rumah.

“Bagaimanapun ketika mereka keluar dari kereta, suspek keluar dari rumah dalam keadaan marah kerana mendakwa terganggu dengan hon bertalu-talu dibunyikan bapa tirinya itu,” katanya, semalam.

Katanya, suspek mula bertindak agresif dengan membaling topi keledar ke arah bapa tirinya, namun mangsa sempat mengelak.

Tak tahan bersuami kasanova

Oleh Nur Ain Musdad
am@hmetro.com.my
2010/05/27

MELAKA: Sekali pandang tingkah lakunya tidak ubah seperti pegawai kerajaan termasuk pegawai jabatan agama, namun berbekalkan ayat `power’ tiada siapa menyangka dia sebenarnya adalah seorang penganggur yang gemar berlagak duda walaupun masih mempunyai isteri.

Berbekalkan kata-kata manis, berpakaian kemas dan wang hasil titik peluh isteri serta anak perempuannya sudah cukup untuk dijadikan modal buat seorang warga emas hidung belang berusia 50-an untuk menjerat wanita lain tanpa pernah mengenal sama ada berstatus janda mahupun anak dara.


Akibat tidak tahan dengan perlakuan lelaki berkenaan, isterinya, Hashimah (bukan nama sebenar), 50-an, tekad membawa masalah rumah tangganya ke Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) selepas bosan dengan sikap suaminya yang sering kali menghilangkan diri dan tidak menunaikan tanggungjawab.


Ibu kepada dua anak berusia 17 dan 15 tahun itu, berkata ketika berkahwin dengan lelaki terbabit dan menetap di Parit Buntar, Perak, dia sedia maklum mengenai status dirinya sebagai isteri kedua dan pernah diperkenalkan dengan anak sulungnya berusia tiga tahun dengan isteri pertama, ketika itu.


Menurutnya, dia pernah meminta diperkenalkan dengan isteri pertama suaminya, tetapi lelaki terbabit enggan berbuat demikian sebelum mereka bernikah dan kini mempunyai dua anak termasuk anak lelaki yang kini terpaksa bekerja untuk menampung keluarga. Katanya, suaminya pada ketika itu bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah kem tentera di utara tanah air, namun secara tiba-tiba menamatkan kerjayanya pada 1991.

“Bermula daripada detik itu, segalanya mula berubah dan kehidupan saya menjadi semakin terhimpit dengan perangainya yang semakin menjadi-jadi dan difahamkan isteri pertama suami akhirnya turut meminta dilepaskan kerana tidak tahan menanggung derita.

“Saya hanya menyedari perangai suami itu sebaik saja melihat perlakuan peliknya yang gemar berpakaian kemas ketika keluar rumah dan tingkahnya seperti senang hati dengan telefon bimbit yang sentiasa di tangan seolah-olah masih berusia muda,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, dia langsung tidak menyangka suaminya tergamak bertindak sedemikian sehinggalah mula sedar apabila terdapat perubahan ketara pada diri lelaki berkenaan.


“Dia tidak bekerja, namun hampir setiap hari akan bersiap dengan kemas untuk keluar dan pulang sebaik siang bertukar malam. Lagaknya juga selamba seolah-olah tidak pernah malu atau segan meminta wang perbelanjaan daripada saya dan anak.


“Nasib saya tidak ubah seperti membela seekor biawak hidup kerana dengan berbekalkan wang gaji saya sebagai pengasuh pada siang hari dan bekerja di kedai makan pada waktu malam, sudah cukup menjadi modal hariannya.



“Saya pernah menegur tingkah lakunya kerana wang gaji saya peroleh sering kali tidak mencukupi menampung perbelanjaan kami sekeluarga dan juga persekolahan -anak, namun dia langsung tidak ambil peduli,” katanya.


Hashimah berkata, setiap kali keluar dari rumah, suaminya akan berpakaian sama ada kemas seperti pegawai kerajaan mahupun berbaju Melayu dan bersongkok seperti pegawai jabatan agama dipercayai memperdayakan mana-mana wanita yang bakal menjadi mangsanya.

Katanya, lebih menjelikkan apabila jika wang yang diminta daripadanya tidak cukup maka suaminya tidak akan teragak-agak untuk mengambil wang gaji anak keduanya ketika itu mengambil upah bekerja di kedai pakaian selepas waktu sekolah.


“Namun pada awal Mei lalu, suami menghantar berita melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menyatakan dia meminta maaf kerana banyak melakukan kesilapan dan meminta saya membuat tuntutan di mahkamah,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Kandang berhubung SMS berkenaan.

Tak tahan bersuami kasanova

Padah cinta suami orang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/05/27

KUALA LUMPUR: Akibat menjalin cinta dengan suami orang, seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen menerima padah apabila dia diserang isteri dan ibu mentua teman lelakinya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Sabtu lalu.

Akibatnya, wanita berusia 34 tahun itu cedera di muka serta kepala dan kini terpaksa mengambil cuti berikutan tidak mahu kejadian memalukan itu dihidu rakan sekerja. Teman lelakinya turut cedera selepas diserang isterinya yang juga seorang warga Uzbekistan.


Difahamkan, serangan terbabit berlaku di hadapan dua anak lelaki penyampai berita terbabit ketika dia yang berusia 34 tahun berada di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah berkenaan.


Malah, penyampai berita berkenaan turut dihamburkan pelbagai kata kesat oleh dua beranak warga asing terbabit yang tidak puas hati kerana mendakwa dia cuba merampas suami.


Menurut sumber polis, sebelum tercetusnya serangan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dicalar dan dipecahkan cermin yang dipercayai dilakukan individu sama.


“Mangsa ketika itu meletakkan kereta di parkir kondominium sewanya di Jalan Duta di sini dan terkejut apabila mendapati kenderaannya calar dan cerminnya pecah.


“Kejadian itu dipercayai turut dilakukan dan didalangi dua beranak terbabit yang tidak puas hati dengan penyampai berita berkenaan,” katanya.


Berikutan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dirosakkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebelum kes berkenaan dipindahkan ke IPD Sentul.


Sumber itu berkata, belum selesai kes keretanya dirosakkan disiasat, keesokannya kira-kira jam 5 petang mangsa yang ketika itu bersama pembantu rumah menghantar dua anaknya ke sebuah gimnasium kanak-kanak ‘diserang’.


“Mangsa yang juga seorang ibu tunggal didatangi dua wanita warga asing terbabit yang menyerbu sebelum menghamburkan pelbagai kata kesat.


“Malu dengan kejadian tidak disangka itu, mangsa cuba menjauhkan diri daripada mereka, namun dia dikejar dua beranak terbabit sebelum mereka membelasahnya,” katanya.

Akibatnya, mangsa yang baru bercerai dengan suaminya dibelasah teruk di kepala dan beberapa anggota badan termasuk kesan cakar di muka sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


Penyampai berita terbabit yang masih trauma dengan kejadian berkenaan membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Damansara untuk tindakan susulan dan meminta dirinya dilindungi.


Difahamkan, teman lelakinya seorang warga tempatan dan wanita berkenaan kini mengambil cuti panjang bagi menenangkan fikiran selain menyelesaikan kes terbabit.


Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan dan 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Padahcintasuamiorang/Article

Imam ‘simpan’ kekasih

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/05/27

PUTRAJAYA: Seorang imam yang juga guru agama di dua surau di sebuah taman perumahan di Klang, Selangor, bukan saja selesa melakukan maksiat dengan bersekedudukan lebih sebulan dengan ‘buah hati’ di rumahnya, malah turut bijak menipu jemaah surau kononnya wanita berkenaan isterinya yang sah.

Kegiatan imam ‘nakal’ berusia 26 tahun terbabit terbongkar apabila sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu rumahnya, kira-kira jam 2 pagi kelmarin.


Sebelum serbuan, penguat kuasa Jais yang mendapat maklumat awam melakukan intipan dan siasatan lanjut mendapati rumah itu dihuni imam terbabit dan wanita berusia 27 tahun dipercayai kekasihnya dan menjadi pasangan ‘suami isteri’, sejak lebih sebulan lalu.


Walaupun pintu rumah terbabit diketuk berulang- kali, penghuninya mengambil tempoh lama kononnya tidak terjaga daripada tidur sebelum membuka pintu dan penguat kuasa mendapati pasangan itu sudah lengkap berpakaian.


Imam terbabit dipercayai menipu jemaah surau dan penghuni di taman perumahan itu dengan penampilan alim termasuk memberikan ceramah agama kepada warga emas di kedua-dua surau di taman berkenaan.


Bukan itu saja, imam terbabit yang mendakwa memiliki ilmu hasil pengajian di sekolah pondok selain dipercayai menggunakan taktik mencedok hasil ceramah tokoh agama terkenal dalam kaset dan cakera padat bagi meyakinkan orang ramai mengenai ketinggian ilmu agama dimiliki.


Putar belit imam muda terbabit semakin ‘menjadi’ apabila penghuni dan jemaah surau mudah mempercayainya selepas lelaki terbabit memberitahu wanita yang tinggal bersama di rumahnya adalah isteri yang sah.


Bagaimanapun, kegiatan tidak bermoral imam itu terbongkar selepas segelintir penghuni taman yang curiga membuat laporan kepada Jais yang mendapati wanita terbabit bukan isteri, tetapi teman wanita lelaki berkenaan dan sudah tinggal bersama tanpa ikatan sah.


Tanpa berselindung, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik Jais, Shahrom Maarop, tidak menolak kemungkinan sudah berlaku hubungan kelamin di antara imam terbabit dengan teman wanitanya itu berdasarkan tempoh lebih sebulan mereka tinggal bersama di rumah itu.


Beliau berkata, apabila seorang lelaki dan wanita yang tidak ada hubungan sah berdua-duaan, sudah pasti ada iblis yang menggoda dan tidak masuk akal jika mereka tidak melakukan sebarang perbuatan tidak bermoral sepanjang lebih sebulan tinggal bersama di rumah itu.


“Kami sebenarnya hairan bagaimana seorang imam yang turut diberi kepercayaan mengajar agama di surau berkenaan boleh melakukan maksiat dan dan menipu orang ramai menggunakan penampilan alimnya.

“Perbuatan ini cukup memalukan apabila penampilan alim imam terbabit dan kononnya ada ilmu digunakan untuk melindungi kegiatan maksiat yang dilakukan dengan ‘buah hati’ bagi mengelak tindakan pihak berkuasa,” katanya, semalam.


Bukan itu saja, Shahrom berkata, imam terbabit memperdayakan jemaah surau dan penghuni taman perumahan berkenaan dia sudah berkahwin di luar negara.


Bagaimanapun, katanya, siasatan mendapati wanita itu yang juga pekerja swasta bukan isterinya dan mereka bersekedudukan sejak lebih sebulan lalu berdasarkan maklumat awam diperoleh.


“Walaupun imam berkenaan memberi pelbagai alasan kononnya datang ke rumah itu pada waktu tertentu bagi melihat ‘buah hatinya’, siasatan mendapati dia memang tinggal di rumah itu bersama wanita berkenaan,” katanya Shahrom berkata, imam terbabit dan pasangannya sudah diambil keterangan awal sejurus mereka ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan Jais.

Menurutnya, mereka akan dipanggil ke Ibu Pejabat Jais di Shah Alam bagi merekodkan keterangan lebih teliti sebelum dihadapkan ke mahkamah berhubung kesalahan dilakukan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Imam__8216_simpan__8217_kekasih/Article

Wakil rakyat mengundi untuk rakan yang ponteng

MOSCOW - Beberapa imej televisyen menunjukkan sejumlah Ahli Parlimen di Rusia dirakamkan berlari dari satu kerusi ke kerusi lain dan menekan butang undian untuk membantu rakan mereka yang ponteng sesi sidang Parlimen negara berkenaan.

Skandal politik itu merupakan episod terbaru yang mencemarkan nama baik Dewan Rendah Parlimen yang dikenali sebagai Duma di Rusia.

Sebelum ini, dewan tersebut dikritik kerana cuma berperanan sebagai pak turut dan jarang menghalang sebarang inisiatif daripada pemerintah Rusia di Kremlin.

Apabila satu undang-undang baru mengenai memandu dalam keadaan mabuk dibahaskan di Duma, ia diluluskan pada bacaan pertama oleh lebih 440 wakil rakyat sedangkan cuma 88 orang hadir pada sesi berkenaan.

Keadaan itu berlaku kerana wakil-wakil rakyat berlari dari satu kerusi kosong ke kerusi lain dengan menekan butang pengundian elektronik bagi mewakili wakil rakyat yang ponteng.

Gelagat pada sesi pengundian itu berlaku pada 19 Mei lepas dan pertama kali didedahkan dalam program berita rangkaian televisyenRen TV di Rusia dan ditonton lebih 180,000 kali di laman perkongsian video YouTube.

"Seorang wakil rakyat sempat menekan sembilan butang undian semasa sesi pengundian selama 20 saat itu berlangsung," lapor rangkaian televisyen Ren TV. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Bapa dipukul jual anak


SEORANG lelaki memukul bapa yang mahu menjual anaknya (kanan) yang dirantai pada tiang lampu di bandar Wuhan China, baru-baru ini.


WUHAN - Seorang bapa di China mengadakan lelongan hamba zaman moden selepas dia merantai anak lelakinya di sebatang tiang lampu dan mengambil bidaan daripada beberapa orang yang tidak dikenali, lapor sebuah akhbar semalam.

Akibat kemiskinan, bapa tersebut, Yong Tsui mahu melepaskan tanggungjawab memelihara anaknya yang berusia lapan tahun itu dengan menjualnya, baru-baru ini.

Dia meletakkan sebuah meja kecil lengkap dengan dengan sekeping kertas yang menyatakan umur, nama dan keupayaan kanak-kanak itu untuk melakukan kerja berat.

Bagaimanapun, kejadian yang berlaku di sini, tengah China itu menyebabkan sekumpulan lelaki naik berang dan memukulnya.

Budak itu yang dikenali sebagai Fai, kemudian diletakkan di bawah jagaan polis.

Bapa budak itu memberitahu polis bahawa ibu anaknya itu mati tiga tahun lalu dan dia tidak mampu untuk membesarkannya.

"Dia (bapa budak itu) tidak mempunyai pekerjaan. Dia tidak berminat dengan wang tetapi cuma untuk mencari sebuah tempat kediaman untuk anaknya," kata seorang pegawai polis. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...