Saturday, February 7, 2009

Semua pulangkan Camry kecuali Nizar


MOHAMMAD Nizar masih menggunakan kenderaan rasmi Toyota Camry semalam walaupun beliau bukan lagi Menteri Besar Perak.


IPOH - Setelah kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, bekas Menteri Besarnya, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menjadi satu-satunya bekas pemimpin kerajaan negeri itu yang masih belum memulangkan kenderaan rasmi, Toyota Camry 2.4 bernombor plat AGS 10.

Beliau bertegas untuk terus menggunakan kereta itu kerana mendakwa masih lagi Menteri Besar yang sah.

"Saya akan terus menggunakan kenderaan rasmi dan duduk di kediaman rasmi Menteri Besar sehingga saya menghantar surat rasmi peletakan jawatan atau hilang majoriti pada sidang Dewan Undangan Negeri.

"Esok (hari ini) saya akan terus menggunakan Toyota Camry tersebut untuk ke pejabat," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar di sini semalam.

Terdahulu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Abdul Rahman Hashim telah mengarahkan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri memulangkan aset milik kerajaan termasuk kenderaan rasmi yang baru dibeli kira-kira sebulan lalu.

Arahan itu sudah dipatuhi oleh 10 bekas Exco Pakatan Rakyat (PR) yang telah memulangkan kenderaan mereka melainkan Mohammad Nizar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Usaha halang Zambry gagal - ADUN Pangkor angkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak Ke-11


ZAMBRY menandatangani watikah pelantikan sebagai Menteri Besar Perak yang baru di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar semalam.





KUALA KANGSAR - Biarpun pelbagai usaha dibuat untuk menggagalkan pelantikan Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir akhirnya secara rasmi mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini kira-kira pukul 4 petang semalam.

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV1.

Hadir pada majlis itu ialah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak, bekas-bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali serta kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dan tiga ADUN Bebas yang menyokong BN.

Bagaimanapun, tiada seorang pun ADUN Pakatan Rakyat termasuk ADUN Pasir Panjang, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kelihatan pada majlis itu.

Difahamkan mereka memboikot upacara tersebut sebagai membantah cara Zambry diangkat sebagai Menteri Besar yang baru.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Perusuh kepung Raja Nazrin, Zara


BEBERAPA penyokong Pakatan Rakyat bertindak mengepung kenderaan yang membawa Raja Nazrin ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar semalam.


KUALA KANGSAR - Benarkah sebilangan rakyat Perak kini sudah tidak menghormati raja mereka dek mengikut emosi selepas dihasut oleh sesetengah pemimpin politik?

Namun itulah yang berlaku di bandar diraja ini petang semalam apabila 3,000 penyokong Pakatan Rakyat mengikut kata hati bertindak liar merusuh termasuk tergamak menghalang kereta Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada meneruskan perjalanan ke Istana Iskandariah.




Ada yang bagaikan hilang pertimbangan dengan sanggup berbaring di depan kereta Raja Nazrin kerana sukar menerima hakikat bahawa Pakatan Rakyat kini sudah kehilangan kuasa di Perak. Isteri Raja Nazrin, Raja Puan Besar Zara Salim turut berada dalam kenderaan itu.

Kekecohan berlaku ketika Raja Nazrin dan beberapa kereta rasmi orang kenamaan sedang dalam perjalanan ke upacara angkat sumpah Menteri Besar baru Perak di laluan utama menuju ke Istana Iskandariah berhadapan Masjid Ubudiah di sini semalam.

Perhimpunan haram Pakatan Rakyat tersebut dipercayai dirancang bagi menghalang upacara mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang dijadualkan berlangsung pukul 3.30 petang.




Meskipun pihak polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) telah pun berkumpul di kawasan tersebut termasuk mengadakan sekatan lalu lintas di pintu gerbang Bukit Chandan di sini sejak pukul 11 pagi, kira-kira 3,000 individu terbabit secara tiba-tiba 'menyerbu' laluan utama tersebut.

Perhimpunan itu yang kemudian bertukar rusuhan dilakukan sejurus selesai solat Jumaat di masjid berkenaan kira-kira pukul 2.15 petang.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

"Mas ajak saya kahwin "







MINGGU ini, nama penyanyi Asma Ghani atau Mas, ibu tunggal kepada dua orang anak yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasiamusim kedua (AF2) tiba-tiba menjadi popular.

Bukan kerana kerjaya seninya yang cemerlang tetapi Mas dikatakan kurang waras sehingga dimasukkan ke Wad Psikiatri Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Rabu lalu. Penyanyi berdagu runcing ini dikatakan telah membuat kecoh dan meracau-racau di Balai Polis Pandan Indah selepas membuat satu laporan polis tanpa menandatangani laporan tersebut.

Kononnya tindakan Mas itu ada kaitan dengan masalah album yang asyik tertangguh, tetapi kata penerbit album berkenaan, Joe Wings adalah sesuatu yang mustahil seorang artis boleh jadi 'seteruk' itu hanya semata-mata kerana masalah album.

Rupa-rupanya hubungan cintanya yang bagai retak menanti belah dengan duda beranak tiga yang dipanggil Rock atau nama sebenarnya Shahrul Azman Mohd. Shahril, 36, juga menjadi salah satu sebab kenapa emosi Mas terjejas teruk.

Bagi mendapatkan cerita yang lebih jelas perihal Mas dan masalah cinta mereka, Kosmo! menyelami dasar hati Rock yang juga seorang pelakon. Ikuti perbualannya bersama Kosmo! semalam.

Bagaimana berkenalan dan sudah berapa lama hubungan cinta ini terjalin?

Secara tidak sengaja. Pada awal perkenalan saya memang tidak mengenalinya sebagai Mas AF2 kerana saya jarang tengok TV. Saya berkawan dengannya hampir setahun, tetapi cukup untuk saya kenal siapa diri Mas.

Apa yang menarik tentang Mas?

Dia seorang yang jujur dan lurus, malah, saat pertama kali bertemu dengannya saya sudah terpikat dan merasakan dialah wanita pilihan. Percintaan kami bukan seperti pasangan lain, bukanlah jenis 'jiwang-jiwang', tetapi cinta kami cinta rock dan selamba.

Ada yang mendakwa, emosi Mas terjejas teruk kerana keengganan Rock untuk berkahwin dengannya. Betul ke?

Saya sayangkan dia, begitu juga dengan Mas, saya tahu dia terlalu sayangkan saya. Memang Mas ada ajak saya kahwin.

Jadi Mas yang ajak kahwin?

Memang dia hendak menamatkan hubungan kami ke jinjang pelamin. Ikut perancangan Mas mungkin bulan Mac ini dia mahu kahwin.

Apa reaksi Rock?

Saya beritahu dia, biarlah kerja seninya stabil terlebih dahulu. Tujuan utama dia datang Kuala Lumpur pun untuk cari rezeki bagi menyara anak-anak dia di kampung. Lepas ekonomi stabil, baru kami akan memikirkan tentang perkahwinan.

Memandangkan Rock pernah mahu putuskan hubungan dengan dia, apakah Rock sedia terima Mas semula selepas tengok keadaan dia sekarang?

Tentang itu saya tidak boleh jawab.

Kenapa?

Tanyalah Mas. Kalau dia masih mahukan saya dalam hidup dia, okeylah. Saya tidak boleh buat keputusan seorang diri. Apa yang penting dia harus pulang ke Tawau, Sabah, untuk tenangkan diri terlebih dahulu.

Rock sudah jumpa ibu bapa Mas di Tawau?

Belum pernah. Sebab itu, saya tidak berani untuk bercakap tentang perkahwinan kerana saya belum jumpa ahli keluarganya lagi, hanya berbual menerusi telefon saja. Tetapi keluarganya tahu akan hubungan kami. Kalau selepas ini ibu bapanya datang ke Kuala Lumpur untuk melawatnya, saya pasti pergi untuk bertemu mereka.

Rock dilihat lebih banyak bercakap dengan media, secara tidak langsung meraih publisiti secara percuma, adakah Rock senang dengan keadaan ini?

Saya bukannya cari publisiti, sebelum ini tidak ada orang yang kenal saya walaupun saya terlibat dalam industri seni. Memang kawan saya ramai artis, tetapi saya bukannya jenis mencari publisiti murahan. Apa yang saya luahkan hanya luahan isi hati sebagai orang yang rapat dengan Mas bukannya nak tumpang glamor.

Sekarang ini apa harapan Rock terhadap hubungan kalian dan nasib Mas?

Apa yang saya harapkan ialah dia dapat keluar dari wad dan saya berusaha keluarkan dia. Kalau boleh saya ingin berada di sisi Mas supaya dia tahu ada orang yang ambil berat akan dirinya. Saya risau kalau dia jadi teruk kerana keadaan di wad itu. Pada peminatnya, tolong doakan agar kesihatannya pulih dan dia dapat keluar dari wad dengan segera.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

Freddie dan Rock tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik yang menempatkan Mas AF2 di wad Neurologi HKL semalam.Foto mStar oleh:NURUL AIN MOHD HUSSAIN.

KETIKA ada pihak yang menyatakan Mas AF2 ditempatkan di wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur sejak Isnin lalu gara-gara tertekan dengan penangguhan albumnya yang diterbitkan oleh syarikat yang dinaunginya, Maestro tidak menafikan perkara tersebut.

"Saya pernah berjumpa dengan Mas dua tiga bulan lepas, masa tu dia ok,cuma dia agak emosional sikit masa cakap pasal album dan dia tiada show. Tapi saya pun tak boleh aturkan persembahan begitu sahaja sebab kena ada permintaan dahulu baru kita boleh beri dia," katanya.

Menurut Freddie lagi, apa yang dirisaukan oleh anak buahnya itu adalah kelewatan albumnya disiapkan.

"Saya tak nafikan dia ada mengadu mengenai kelewatan mini album dia disiapkan. Pihak kami bukan sengaja berbuat demikian sebab penerbit album Mas, Joe Wings sakit ketika itu. Oleh sebab itu album Mas agak lambat sikit disiapkan.

"Tiga, empat hari lalu pegawai Maestro ada berjumpa dengan Mas dan berbincang mengenai kelewatan album ini. Ketika itu dia puashati dan menerima penerangan pihak kami," katanya.

Tegasnya, masalah penghasilan album bukan hanya dihadapi oleh Mas seorang malah artis-artis di bawah pengawasan Maestro juga mengalami masalah yang tersendiri.

"Ada benda-benda yang menghalang persiapan album ini. Lagipun lagu duet dengan Aswad tetrangguh sebab Aswad punya komitmen lain mengakibatkan album tersebut agak lambat disiapkan," katanya.

Namun jelas Freddie lagi Mas dimasukkan ke dalam wad Neurologi tersebut gara-gara berlakunya kemalangan dan anak buahnya itu telah menimbulkan kekecohan di balai polis sehingga mengakibatkan dia akhirnya ditempatkan di wad berkenaan.

Dibelakang Freddie merupakan wad yang menempatkan Mas AF2, pintunya diikat dengan mangga.

"Saya pun tidak tahu masalah dia (Mas), sama ada dia ada masalah peribadi atau tidak.

Freddie mengakui kelewatan album mungkin salah satu sebab Mas AF2 tertekan.

"Tapi berdasarkan apa yang saya tahu itulah, ada berlaku kemalangan dan timbul sedikit kekecohan di balai polis, yang lain-lain saya tidak tahu," tambah Freddie lagi.

Bagi Freddie, dia sebagai bosskepada Mas akan cuba mencari jalan penyelesaian dengan menulis surat kepada pihak hospital untuk minta mereka melepaskannya.

"Kami akan cuba cari jalan yang terbaik untuk keluarkan dia. Kita pun tak nak kesihatan dia terganggu selepas ini. Kalau boleh kita mahu dia berehat dan bersama keluarganya buat sementara waktu," katanya.

Joe Wings bertindak sebagai penerbit mini akbum Mas AF2 mengalami kecederaan dibahagian matanya.

Jelas Freddie lagi, usaha mereka gagal kerana seorang Ketua Jururawat yang dikenali sebagai Siti Aminah memberitahu mereka Mas enggan menemui sesiapa pada ketika ini.

"Memang kami tak nak percaya, tapi kena percaya sebab kenyataan itu datang dari seorang pegawai kerajaan," ujarnya dalam nada kecewa.

Tambah Freddie lagi, apa yang boleh dilakukannya sekarang adalah menghubungi keluarga Mas untuk membincangkan dan melihat keadaan Mas sendiri.

Kenyataan Freddie itu turut disahkan oleh Joe Wings yang bertindak sebagai penerbit album Mas.

Joe mengakui kelewatan album Mas AF2 turut berpunca daripadanya.

"Sebenarnya album dia tinggal lagi satu lagu nak masuk vokal. Itu pun lagu duet dia dengan Aswad itu saja. Minggu lepas saya ada jumpa dengan dia (Mas) dan bincang tentang penyanyi lelaki untuk ganti Aswad.

"Saya memang cakap dengan dia album dia lewat sebab masalah-masalah begini. Saya juga ada pujuk dia cakap dia bernasib baik album dia dapat diterbitkan dan ada penyanyi yang tak ada album langsung," kata Joe yang menyatakan albumnya sepatut siap penghujung minggu ini.

Ketika ditanya bagaimana keadaan ketika proses rakaman album mininya itu berlangsung Joe berkata proses tersebut berlaku agak perlahan.

"Saya tak nafikan proses masukkan vokal dia (Mas) dalam album ini agak lambat sebab dia tak banyak pengalaman dan perlu masa belajar vokal masa mula-mula. Kita pun nak dia beri yang terbaik.

"Lagu duet ini yang ambil masa kerana nak mantapkan album ini. 4 buah lagu Mas yang lain dah siap direkodkan pun. Semua artis ada masalah album lambat siap. Itu perkara biasa," luah Joe dengan matanya yang cedera.

Tambah Joe lagi, Mas perlu menghadapi kelewatan albumnya dengan tenang kerana apabila album itu keluar masalahnya lain pula akan timbul dari aspek lain pula.

"Dia (Mas) dah tunggu dua tahun, apa salahnya dia tunggu dua minggu je lagi. Kalau betul pasal album dia boleh jadi macam ini boleh ke dia tempuh kalau album dia keluar nanti?" ujarnya yang mula menerbitkan mini album Mas sejak awal tahun 2007 lagi.

Tambah Joe lagi, kalau betul Maestro tidak mahu menerbitkan album Mas syarikat rakaman itu tidak akan mengeluarkan budget untuk menyiapkan kulit album penyanyi itu.

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_hiburan/20090205211421&sec=mstar_hiburan

Rock: Saya masih kekasih Mas!

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN

Rock, yang juga kekasih Mas AF2 kecewa setelah pihak hospital tidak membenarkannya berjumpa dengan Mas.Foto mStar Oleh:NURUL AIN MOHD.HUSSAIN.

HATI kekasih mana tidak sayu apabila menyaksikan sendiri wanita yang dicintainya dimasukkan ke wad Neurologi atau lebih dikenali sebagai wad gila.

Itulah yang dialami oleh Shahrul Azman atau lebih dikenali sebagai Rock. Kekasih bintang Akademi Fantasia musim ke-2 Mas ini dengan penuh emosi melahirkan rasa yang terbuku akibat tidak dibenarkan masuk menemui Mas di wad tersebut semalam.

“Mas tak gila. Saya perlu jumpa dengan Mas kerana dia nak jumpa Freddie,” itulah rayuan Rock kepada Ketua Jururawat, Siti Fatimah di wad Neurologi, Hospital Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Biarpun puas dipujuk pihak hospital tetap enggan melayani permintaan Rock, walaupun pada mulanya hampir timbul kekecohan antara pengawal keselamatan dan dia, akhirnya Rock berjaya ditenangkan.

Rock menjadi tempat Mas AF2 mencurah isi hati tentang perjalanan hidupnya.

“Mas menangis masa peluk saya kelmarin. Dia cakap dengan saya tolong bawa dia keluar dari sini. Dia cakap dia tak gila.

“Saya ada dua saksi semalam, dua orang Datuk. Mas cakap dia penyanyi kenapa letak dia ditempat macam ni dan dia mintak tolong keluarkannya dari sini.

“Kenapa dia digari, niat dia nak jumpa Freddie. Dia tak ada masalah lain, dia cuma tertekan sebab album tak siap lagi.

“Semalam saya dan Melodi dapat jumpa dia. Saya pasti dan tak yakin dia tak nak jumpa saya hari ini (semalam). Semalam (kelmarin) masa jumpa saya, dia cakap tolong bawak Freddie datang jumpa dia.

“Masa borak-borak dengan dia semalam ok je. Kalau dia gila dah lama dia godok dengan saya dengan pisau. Dia memang tak gila, saya kenal sangat dia.

“Kami pun ada jumpa dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid kelmarin pun polis dah beritahu Mas tak gila. So, kenapa pihak hospital nak tahan dia kat sini (hospital). Cuma satu perkara yang buat saya betul-betul kesal kenapa mereka nak tempatkan Mas di sini?,” kata Rock dalam nada kecewa.

Semuanya dikatakan bermula daripada insiden penyanyi berstatus janda itu dikatakan mengamuk di balai polis gara-gara disaman selepas memandu tanpa lesen dan membuat pusingan ‘U’ di tempat yang dilarang.Sumber itu juga menambah, ini merupakan kali kedua Mas membuat hal dan mengamuk di balai polis.

Mas adalah ibu tunggal kepada Nurfadilah, 10, dan Mohd. Fadzil, 8.

Ditanya bagaimana dia mengenali bintang realiti tv itu, Rock pada mulanya enggan bercerita mengenainya, namun setelah dipujuk berkali-kali akhirnya dia akur.

“Saya kenal Mas lebih kurang setahun. Bukan senang nak faham dia, kecuali orang yang betul kenal baru boleh kawan dengan dia. Lagipun Mas tak ramai kawan dan dia tak suka bercerita masalah dia dengan orang.

“Kami berkongsi minat yang sama. Selalu lepak dan pergi karaoke dan nyanyi lagu Rock sama-sama. Saya ni tempat dia melauhkan masalah dan mencurah isi hati tentang kisah hidup dia,” kata Rock yang pernah berlakon satu ketika dahulu.

Bercerita lebih lanjut mengenai percintaannya dengan Mas, Rock berkata Mas sering meluahkan rasa kecewanya kerana kelewatan penerbitan albumnya.

“Mas nak hak dia. Dia tertekan sebab keluarga dia di Tawau, anak-anak dia pun jauh, sebab mak dan ayah Mas jaga mereka.

“Memang Mas mengamuk masa kejadian tu sebab tangan dia kena gari dan sakit. Mas pun masa tu mintak saya tolong lepaskan dia.

Ketika ditanya lanjut mengenai insiden yang terjadi Isnin lalu, Rock dia enggan memberi sebarang kenyataan.

Ditanya adakah pertengakaran yang berlaku disebabkan duit atau hubungan cinta antara mereka berakhir kerana Rock mahu menamatkan hubungan tersebut, dia berkata:

“Mengenai duit saya hanya boleh cakap no komen. Mana ada saya mintak putus. Mas Cuma cakap jangan tinggalkan dia itu sahaja.

“Bukan saya sengaja nak suruh dia nak balik Tawau, saya Cuma nak dia berada dekat dengan keluarga ketika dia memerlukan mereka.”

Menurut Rock lagi, apa yang dia tahu pada ketika ini dia masih lagi kekasih kepada bintang realiti itu.

“Tapi tak tau la kalau Mas yang cakap saya ni bukan kekasih dia lagi,”ujarnya.

Namun satu perkara yang betul-betul mengecewakan Rock adalah apabila pihak hospital memaklumkan kepadanya Mas mungkin ditahan untuk tempoh dua minggu untuk pemeriksaan lanjut.

“Bagi saya ini kelakar sangat. Kenapa mereka (hospital) nak tahan dia begitu lama. Dia tak sakit, dia normalmacam orang lain cuma dia tertekan masa itu. Dia ingat anak, orang tak tahu hidup dia, hanya saya sorang yang tahu dia macam mana,"katanya.

Kakak Tua: Mata tahu memandang saja...



Populariti yang dimiliki Zaiton Sameon hanya singgah sebentar dalam hidup glamornya.

HIDUP 'bersendirian' seperti penyanyi berstatus janda, Zaiton Sameon dan Mas AF2 memang banyak dugaannya. Fitnah yang melanda juga bertambah hebat.

Begitulah pasang surut dan populariti seseorang artis yang tidak menjanjikan kebahagiaan yang lama.

Terlalu keras rintangan di hadapan bila diduga dengan bermacam kejadian yang tidak tercapai oleh akal.

Dari kemalangan jiwa hinggalah keruntuhan rumahtangga, semuanya seperti kena badi.

Nasib yang dilalui oleh penyanyi lama yang pernah popular Zaiton Sameon dan penyanyi 'mi segera' yang masih mencari arah tuju dalam industri Mas AF2, kedua-dua bagai terpukul apabila bencana datang bertimpa-timpa.

Belas melihat nasib yang 'ditempah' mereka. Kebetulan pula, mereka di bidang yang sama, hanya mengharapkan populariti pentas untuk melariskan diri.

Kalau tidak ada album, undangan sepi, tidak adalah gaji.

Kalau hidup sendirian pun tak lepas, masakan dapat menyuap anak-anak di bawah tanggungan. Memang itulah liku-liku wanita berstatus 'janda' yang susah harta.

Banyak tidak molek dari molek. Perlakuan, tutur kata mesti dijaga. Terlebih, terkurang ada saja lidah yang ringan akan mengata.

Lebih dirasai kesan dari kesepian seorang janda apabila kecelaruan mental tiba-tiba berlaku. Kak Eton dan Mas di dalam kancah yang sama.

Bila keluar laporan mereka 'sakit' dan perlukan rawatan, ramai akan tersenyum sinis.

Kakak Tua masih ingat lagi peristiwa Kak Eton, penyanyi paling popular satu ketika dulu ketika terlibat dengan kemalangan yang turut meragut nyawa anaknya yang berusia 6 tahun di Kuala Ketil, Kedah pada tanggal 21 Februari 1990.

Selepas satu persembahan, Kak Eton dan budak-budak band pergi makan dan bertolak pulang ke Kuala Lumpur dengan menaiki van.

Di dalam van itu, Zaiton meriba anaknya, Irwan yang turut sama menemaninya ke pertunjukan tersebut.

Lenguh meriba, dia menyuruh Irwan duduk di sebelahnya. Dan akhirnya Zaiton tertidur dan terjadilah kemalangan yang menyayat hati itu…

Sebelas tahun lamanya, dia tidak sedarkan diri (Feb 1990-Julai 2001). Selepas pulih ingatan, beliau kembali aktif menyanyi semula. Kenapa perlu nyanyi semula? Mungkin itu saja pencarian yang dia tahu.

Mas pula, dek sebab tekanan dan hilang kawalan tiba-tiba mengamuk di balai polis dan terus di tahan di Wad Psikiatrik, HKL.

Bak kata, Freddie Fernandez sepatah, ini soal imej artis dan keluarganya.

Apabila sudah ada rekod masuk wad psikiatrik, orang di luar akan memandang serong. Walau macam mana imej dipulihkan, terpalit juga cakap-cakap sumbang.

Kita di luar hanya mampu membuat ulasan, yang menanggung tuan punya badan dan famili.

Perjalanan kedua artis ini banyak ranjau ditempuhi. Belumpun sempat sampai ke penghujung karier, mereka tersadung dan tersungkur di pintu kejayaan.

Apa peduli pada kukur, nyiur juga yang binasa? Apa ada pada orang, diri sendiri yang kena menanggung derita.

Tapi kita tidak perlulah hendak memadankan muka. Bahagian Mas dan Kak Eton sudah jelas di hadapan mata. Bahagian kita belum tahu lagi. Kalau kita tidak dapat membantu, tidak perlulah melukakan lagi parut yang mereka ada.

Kesilapan masa lalu adalah pendorong untuk menjadi insan yang lebih baik. Siapalah kita hendak mencemuh Mas atau Kak Eton? Insaf itu perlu untuk muhasabah diri.

Janganlah menghina dan menjadikan masa lampau atau 'jahiliyah' mereka sebagai modal. Ketenangan jiwa mereka diragut buat masa ini. Kenapa dan mengapa? Andaian berbagai dibuat tapi yang tahu kebenarannya hanya tuhan saja. Mata hanya tahu memandang saja, bahu juga yang tahu beratnya. Fasa yang sedang dilalui oleh Kak Eton dan Mas ibarat kifarah dosa. Susahnya bukan selama tapi bekasnya membawa sampai ke mati.

KAKAK TUA: Tahu macam mana peritnya bila antah patah, lesung pula hilang

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/6/mstar_hiburan/20090205203532&sec=mstar_hiburan

Nizar pengerusikan mesyuarat 'Exco khas'



IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang masih mendakwa beliau sebagai Menteri Besar Perak yang sah, pagi ini mengadakan mesyuarat khas Exco Kerajaan Negeri di kediaman rasmi di sini.

Antara lain mesyuarat itu membincangkan untuk membenarkan sistem penerbangan tambang murah, Firefly ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.

Kediaman rasmi Menteri Besar terletak di Jalan Raja Idris Shah.

Beliau mempengerusikan mesyuarat itu sehari selepas Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Semalam Nizar berkata, akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Ipoh untuk mengisytiharkan bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang baru tidak sah.

Nizar yang masih mempertahankan bahawa beliau masih Menteri Besar Perak berkata pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar dibuat tanpa mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

Semalam, Mohammad Nizar juga mengulangi kenyataan beliau bahawa beliau dan keluarganya tidak akan mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar Perak.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/7/mstar_mutakhir/20090207133114&sec=mstar_mutakhir

MB Selangor yakin ADUN Pakatan tidak lompat



SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melahirkan keyakinan bahawa tiada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat di Selangor yang akan melompat parti seperti yang berlaku di Perak.

Beliau berkata, tiga parti di bawah Pakatan Rakyat; Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP memahami bahawa tindakan melompat parti hanya akan memberi kesan yang sangat buruk kepada parti dan Pakatan Rakyat.

"Saya berpendapat perkara ini (lompat ini) tidak akan berlaku dan kemungkinan untuk berlaku sangat sedikit.

"PKR, PAS dan DAP baru memahami bagaimana kita mesti jaga maruah ahli dan parti kita supaya tidak ada ADUN boleh lompat ke sana ke mari dan beri kesan yang sangat buruk kepada parti dan Pakatan Rakyat seperti yang berlaku di Perak," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Simpanan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) Ambank dan Kad Si Manja Tawas di kediaman rasminya di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ditanya sejauh mana kesetiaan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak yang berpunca daripada tindakan Hee Yit Foong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) mengumumkan keluar pakatan itu dan menjadi ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada BN.

Semalam, Barisan Nasional (BN) secara rasmi mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak apabila ADUN kawasan Pangkor, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru.

Ditanya tindakan beliau jika insiden lompat parti turut berlaku di kalangan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor, Abdul Khalid berkata: "Saya ingat tiada tanda-tanda ia akan berlaku."

Khamis lepas, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata, setakat ini, tiada ADUN dari Pakatan Rakyat Selangor menemui beliau untuk menyertai BN bagi membolehkan BN kembali menguasai negeri itu.

Daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor, 36 dikuasai Pakatan Rakyat dan bakinya adalah milik BN.

Najib nafi BN terajui Perak guna cara tidak sah

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB


PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan persepsi sesetengah pihak bahawa Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak menggunakan kaedah bertentangan dengan perlembagaan negeri.

Beliau berkata, tindakan BN mengikut perlembagaan dan Sultan Perak turut bertindak dalam bidang kuasanya di bawah peruntukan perlembagaan.

"Apa yang kita lakukan mengikut perlembagaan. Tidak ada yang tidak mengikut perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, Pakatan sebelum ini telah memulakan dahulu prinsip untuk mengambil alih kerajaan pusat dengan cara berhasrat untuk 'mencuri' 31 wakil rakyat BN.

"Tolong tanya Pakatan Rakyat, kenapa mereka mulakan perkara ini yang mereka uar-uarkan nak tubuhkan kerajaan pada 16 September?

"Maknanya prinsip ini yang telah disebut-sebut Pakatan Rakyat sebagai satu prinsip yang mereka terima dan telah cuba amalkan.

"Jadi siapa yang mulakan prinsip ini? Bukan BN tapi mereka," katanya selepas merasmikan sambutan Hari Kastam Sedunia Ke-37 di sini, hari ini.

Berhubung tindakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang dilihat menderhaka kepada Sultan Perak berikutan keenggannnya meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar, Najib berkata, apa yang dititahkan tidak boleh diingkari dan mesti dihormati.

"Kita mesti menghormati keputusan Sultan dan apa-apa yang Tuanku putuskan kerana sebagai bekas Ketua Hakim Negara, sudah tentu Tuanku amat memahami peranannya sebagai Raja Berpelembagaan.

"Jadi, tidak ada sesiapa patut mencabar keputusan Tuanku kerana itu bererti kita mencabar institusi Raja Berpelembagaan," katanya.

Sehingga hari ini, Nizar masih enggan meletakkan jawatannya kerana menyifatkan beliau masih Menteri Besar yang sah di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Berhubung perhimpunan haram ribuan penyokong-penyokong Pakatan semalam di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar kerana membantah majlis mengangkat sumpah Menteri Besar baru, Najib berkata, hal itu tidak seharusnya berlaku.

"BN pun boleh buat macam itu kerana kita banyak penyokong tapi kita menghormati undang-undang dan budaya.

"Kita tidak boleh tunjuk perasaan di jalanan seperti ini kerana kita pentingkan keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Ditanya kemungkinan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebas yang menyatakan sokongan kepada BN kembali kepada Pakatan Rakyat, Najib berkata:

"Mengapa anda suka membuat spekulasi. Perkara itu tidak mungkin terjadi dan jika ia berlaku, saya akan jawab."

Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Fong (Jelapang) telah mengumumkan keluar pakatan itu dan menjadi ADUN Bebas serta menyatakan sokongan kepada BN.

Mengenai pemilihan barisan Rxco yang boleh mewakili masyarakat kaum India memandangkan kesemua 28 ADUN Perak hanyalah wakil dari Umno dan MCA, beliau berkata, perkara itu akan diumumkannya kelak.

Nizar enggan keluar dari kediaman rasmi


IPOH: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam menegaskan, beliau akan terus tinggal di kediaman rasmi Menteri Besar di Jalan Tambun di sini, dirinya "masih" menjawat jawatan ketua eksekutif kerajaan negeri itu.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak itu berkata, tiada sebab mengapa beliau perlu berpindah keluar kerana sehingga semalam, tiada langsung dokumen rasmi menyatakannya bukan lagi Menteri Besar yang sah apatah lagi beliau sendiri masih belum meletakkan jawatannya.

"Saya akan keluar sekiranya saya keluarkan surat peletakan jawatan atau hilang majoriti dalam satu persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) khas yang disaksikan oleh orang ramai," kata beliau pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini lewat petang semalam.

Dalam pada itu, Nizar mendakwa keengganan beliau untuk akur kepada titah Sultan Perak adalah kerana ingin mengembalikan martabat institusi diraja supaya dihormati rakyat.

Katanya, ini kerana beliau tidak mahu rakyat melihat Sultan Perak menyebelahi mana-mana parti politik dalam menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar dan kerajaan negeri.

"Saya sebenarnya sedaya upaya cuba membela institusi Diraja. Saya tidak letak jawatan dan mohon dibubarkan DUN semata-mata kerana menghormati institusi diraja," katanya.

Mengulas tindakan saman terhadap Sultan Perak yang bakal dikemukakan Pengerusi DAP, Karpal Singh di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa depan, Muhammad Nizar menafikan se keras-kerasnya beliau terlibat sama dalam perkara itu.

Katanya, tidak pernah terniat langsung di hatinya untuk menyaman Sultan Perak sebaliknya mendakwa apa yang di laporkan itu adalah satu fitnah.

"Saya hendak nyatakan saya menafikan sekeras-kerasnya niat untuk menyaman Tuanku. Ini satu pembohongan besar, satu fitnah.

"Di dunia akhirat saya akan tuntut kerana tidak ada langsung dalam hati saya terniat untuk menyaman atau ambil tindakan terhadap Tuanku," katanya.

Di Kuala Lumpur, Karpal berkata akan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak di Mahkamah Tinggi Ipoh Selasa ini kerana mendakwa baginda bertindak melampaui bidang kuasanya untuk mengisytiharkan kerajaan pakatan pembangkang di negeri ini sebagai tidak sah.

Karpal berkata, dalam saman tersebut, Sultan Perak akan dinamakan sebagai defendan pertama dan kerajaan negeri BN di negeri ini sebagai defendan kedua.

Sebaliknya ujar Nizar, beliau sebenarnya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Menteri Besar yang baru mengangkat sumpah, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang didakwa sebagai Menteri Besar tidak sah.

Katanya, saman tersebut akan difailkan melalui peguam Raja Aziz Addruse di Mahkamah Tinggi Ipoh seawal-awalnya petang ini atau selewat-lewatnya Selasa ini.

Najib: BN mahu bertahan walaupun majoriti nipis

Oleh ZANARIAH ABD. MUTALIB

SULTAN Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun berangkat meninggalkan Istana Iskandariah selepas Majlis Angkat Sumpah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir semalam. Turut kelihatan Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ketua Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Pelantikan Zambry, 47, merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri berikutan tindakan mereka keluar parti. -fotoBERNAMA



PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) yang membentuk kerajaan baru di Perak dengan sokongan tiga ADUN Bebas semalam, mahu bertahan sehingga pilihan raya umum akan datang meskipun dengan majoriti tipis.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak berkata, sejarah telah membuktikan bahawa walaupun majoriti satu kerusi, kerajaan sedia ada boleh bertahan jika setiap ADUN setia.

"Kerajaan PAS di Kelantan memerintah bertahun-tahun walaupun dengan hanya satu majoriti.

"Kalau ahli setia, kita akan bertahan dan insya-Allah kita berhasrat untuk bertahan," kata beliau selepas merasmikan Hari Kastam Sedunia Ke-37 di sini hari ini.

Ketika ditanya berhubung andaian sesetengah pihak yang mengatakan BN di Perak tidak akan bertahan lama, Najib yang juga Pengerusi Umno dan BN Perak memberitahu, ia bergantung kepada kepimpinan dan dasar kerajaan yang baru.

"Saya akan berbincang dengan mereka (ADUN) dan yang paling utama, kita akan bersikap adil terhadap semua kaum dan komuniti dan kita akan pastikan ini berlaku.

"Kita juga akan menjadi kerajaan yang berkesan dan efisyen, dalam erti kata lain semua program kita akan disampaikan mengikut kemahuan rakyat," katanya.

Najib berkata, kerajaan BN di Perak juga akan menggunakan pendekatan mesra bukan hanya kepada rakyat tetapi juga bersih dan berintegriti.

BN dan Pakatan Rakyat kini mempunyai 28 kerusi di DUN Perak. Bagaimanapun BN disokong oleh tiga wakil rakyat Bebas.

Kediaman rasmi MB tidak penting - Zambry



IPOH: Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang semalam mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru berkata, kediaman rasmi tidak penting bagi beliau.

Katanya, apa yang penting ialah berkhidmat kepada rakyat dan beliau boleh menjalankan urusan selaku Menteri Besar dari rumah.

"Biar beliau (Nizar) mengambil masa yang diperlukan.

"Kediaman rasmi tidak penting. Apa yang penting ialah berkhidmat untuk rakyat," kata beliau di sini hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina parti Gerakan Perak di sini.

Ia merupakan acara rasmi pertama beliau setelah menjawat jawatan Menteri Besar.

Zambry menegaskan bahawa beliau bukanlah Menteri Besar yang mewakili satu kaum atau parti tertentu, sebaliknya untuk semua rakyat Perak tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.

"Saya bukannya Menteri Besar yang mewakili kaum atau parti tertentu.

"Jawapannya ialah tidak... tidak... tidak," katanya.

Kenyataannya itu disambut dengan tepukan para hadirin yang terdiri daripada anggota Gerakan dan penduduk Kg Simee yang merangkumi pelbagai kaum.

Turut hadir isteri beliau Datin Saripah Zulkifli; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn dan bekas Menteri Besar, Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.

Zambry berkata, sebagai Menteri Besar untuk semua rakyat Perak, beliau mahu melihat kesejahteraan dan keadilan dapat dilakukan dengan sebaikbaiknya untuk semua.

Tumpuan siapa barisan Exco Perak


AHLI Dewan Undangan Negeri Pangkor, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) bersalaman dengan Pengerusi MCA Perak, Datuk Kong Cho Ha sebelum majlis mengangkat sumpahnya sebagai Menteri Besar Perak yang baru di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada majlis mengangkat sumpah jawatan itu di Istana Iskandariah, Bukit Chandan semalam. Pelantikan Zambry merupakan penyelesaian kepada kemelut politik di Perak apabila kerajaan Pakatan Rakyat hilang majoriti dalam Dewan Undangan Negeri setelah empat anggotanya keluar parti masing-masing untuk menyokong Barisan Nasional (BN). -fotoBERNAMA



IPOH: Kerajaan baru negeri Perak di bawah Barisan Nasional (BN) telah menjadi kenyataan berikutan majlis angkat sumpah Menteri Besar yang baru, Datuk Dr. Zamry Abdul Kadir, yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Pangkor.

BN Perak dijangka bermesyuarat hari ini untuk membincangkan formula bagi barisan Exco barunya yang akan mengangkat sumpah Selasa ini.

Bagaimanapun, tumpuan kini lebih kepada siapa yang akan mengisi jawatan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco), dan bagaimana untuk menentukan kedudukan wakil-wakil parti komponen BN.

Di bawah kerajaan BN terdahulu iaitu sebelum Pilihan Raya Umum 8 Mac tahun lepas, sekurangkurangnya empat Exco akan diisi oleh ADUN MCA, Gerakan dan MIC iaitu dua daripada MCA dan masing-masing satu daripada Gerakan dan MIC.

Dalam keadaan sekarang dengan wakil BN dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), 27 daripada 28 ADUN adalah daripada Umno dan satu daripada MCA, orang ramai pasti melihat kepada ketidakseimbangan dalam barisan Exco berdasarkan wakil parti komponen.

ADUN MCA adalah Dr. Mah Hang Soon (Chenderiang), yang merupakan Timbalan Ketua Pemuda kebangsaan parti itu.

Secara teori, ia nampak mudah kerana jawatan itu hanya boleh diisi oleh 28 ADUN BN, bagaimanapun realiti politik menjadikannya sesuatu yang sukar.

Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn yang juga Pengerusi Gerakan Perak kecewa apabila parti itu tidak mempunyai wakil untuk dicadangkan bagi jawatan Exco setelah semua empat calon parti itu yang bertanding di kawasan Canning, Aulong, Sepetang dan Jalong kalah pada pilihan raya umum lalu.

MIC turut mengalami nasib yang sama apabila kalah di semua empat kawasan DUN yang mereka tandingi iaitu Sungkai, Hutan Melintang, Behrang dan Pasir Panjang.

Sumber dalaman parti memberitahu Bernama bahawa salah satu pilihan yang boleh dilakukan ialah dengan melantik wakil kepada kerajaan negeri yang setaraf dengan Exco kerana Perlembagaan negeri hanya membenarkan jawatan Exco diisi oleh ADUN.

Oleh itu, kemungkinan besar barisan Exco Perak yang baru akan menyerupai komposisi Exco negeri Terengganu sekarang di mana hanya seorang wakil bukan Melayu iaitu Toh Chin Yaw, ADUN Bandar yang dilantik sebagai Exco.

"Di Terengganu, majoriti penduduknya adalah Melayu. Ia boleh dikatakan negeri orang Melayu dan komposisinya sesuai.

"Bagaimanapun, di Perak keadaannya berbeza dengan komposisinya berlainan sama sekali," kata pemimpin akar umbi MIC itu.

Beliau berkata, jika formula Terengganu dilaksanakan di Perak, parti komponen BN perlu bersedia untuk menerima tuduhan oleh Pakatan Rakyat bahawa kerajaan negeri mereka sebelum ini mempunyai perwakilan yang lebih baik.

Bagi bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, beliau berpendapat ada dua cara yang boleh dipertimbangkan oleh Menteri Besar yang baru untuk mengatasi masalah itu.

Salah satu caranya, beliau mencadangkan supaya melantik wakil daripada komponen parti BN selain Umno untuk mengisi jawatan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri yang tidak memerlukan pemegang jawatan terdiri daripada ADUN.

Kerajaan negeri BN juga boleh melantik dua wakil daripada parti komponen BN selain daripada Umno untuk menjadi anggota Dewan Negara supaya dapat mewakili suara rakyat Perak daripada pelbagai kaum.

Semua negeri diperuntukkan untuk memilih dua wakil ke Dewan Negara, dan secara tradisinya Perak diwakili oleh calon Umno dan MCA.

"Tetapi dalam kes ini, peruntukan itu boleh diberi pertimbangan," katanya kepada Bernama di sini.

Kerajaan negeri BN Perak yang baru ditubuhkan hari ini mempunyai 27 ADUN Umno dan seorang MCA, dan disokong tiga calon bebas iaitu Hee Yit Fong (Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Tajol Rosli juga berkata, kerajaan negeri Perak juga perlu mengambil kira faktor calon Bebas yang menyokong BN dalam memperuntukkan jawatan tersebut.

"Jangan hanya fikirkan tentang anda (Zambry), fikirkan tentang rakyat dan parti. Apa saja keputusan dan pertimbangan (penentuan) barisan exco ini akan menentukan pandangan rakyat kepada Menteri Besar (Zambry)," kata Tajol Rosli.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/2/7/mstar_berita/20090207114139&sec=mstar_berita

Pakatan Rakyat Sepakat, Rakyat Sokong Nizar

Written by Editor   
Friday, 06 February 2009 08:37

http://buletinonline.net/images/stories/berita1/nizartunjukgood.jpgKetua Umum Parti Keadilan Rakyat Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak supaya mematuhi perlembagaan negara.


Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama semua pemimpin parti-parti dalam Pakatan Rakyat di rumah kediaman Menteri Besar Perak di Ipoh petang semalam.

Beliau berkata demikian setelah bersepakat menyokong keputusan supaya Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaludin tidak meletakkan jawatan sebegai Menteri Besar.

Sementara itu PAS menyokong apa-apa jua yang diputuskan oleh Pakatan Rakyat untuk mengembalikan kuasa rakyat.

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS berpendapat Nizar masih lagi Menteri Besar yang sah sehinggalah semua proses undang-undang yang melibatkan 3 bekas ADUN Pakatan Rakyat selesai.  

”Apa yang berlaku hari ini amat mengecewakan, terutamanya apabila pencabulan undang-undang telah dihalalkan,
 
”sekiranya pencabulan ini dibenarkan, ia mencipta satu perkara yang boleh membahayakan negara,”katanya.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau telah menyelar Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak dengan mengatakan apa yang berlaku hari ini menggambarkan sikap yang akan ditunjukkan oleh Najib apabila menjadi Perdana Menteri kelak.

Beliau melahirkan rasa kecewa kerana polis telah digunakan untuk menghalang Menteri Besar dan Exco kerajaan memasuki pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), walaupun mereka masih lagi belum menerima surat, samada dipecat, disingkir ataupun sudah tidak diperlukan lagi.

“Apa yang berlaku hari ini, dimana Setiausaha Kerajaan Negeri mengambil alih kuasa amat memalukan,

“Najib perlu membuat satu pilihanraya Dewan Undangan negeri, bagi memastikan hak rakyat dikembalikan,”tambahnya.

Dalam perkembangan lain, media arus perdana melaporkan tindakan Barisan Nasional merampas kuasa dan melantik Menteri Besar yang tidak sah disokong oleh rakyat.

Semalam menyaksikan keadaan sebaliknya berlaku sebagaimana Malaysiakini melaporkan, dari jam 10 malam hingga saat ini, kenderaan yang bertali arus di depan kediaman rasmi menteri besar terus-menerus membunyi hon selama hampir dua jam - dipercayai menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

"Ribuan orang masih berkumpul di tepi-tepi jalan di luar kediaman tersebut dan sehingga kini tiada tanda-tanda mereka akan bersurai."lapor akhbar tersebut hingga jam 12.00 tenghmalam semalam.

Last Updated on Friday, 06 February 2009 08:49

http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=178:pakatan-rakyat-sepakat-rakyat-sokong-nizar&catid=36:berita-nasional&Itemid=37
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...