Monday, September 6, 2010

Belasungkawa : Kehilangan Yusof Chong Sukar Diganti

Isnin September 6, 2010

Allahyarham Yusof Chong meninggal dunia Ahad lalu akibat komplikasi pelbagai penyakit. Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor. Gambar: Utusan Malaysia

HANYA tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam hendak menyambut Syawal, dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih kematian pelawak terkenal Yusof Chong,63.

Beliau meninggal dunia di Hospital Selayang, Ahad kira-kira pukul 3.30 petang akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi dan batu karang.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak lima hari lalu selepas dipindahkan dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani. Beliau tinggal di kampungnya di Jeniang, Sik, Kedah.

Kehilangan Allahyarham amat dirasai terutama sekali kepada mereka yang pernah menyaksikan persembahan beliau.

Allahyarham tiada duanya. Sehingga hari ini tiada individu yang dapat menggantikan kehebatan Allahyarham.

Beliau mempunyai keistimewaan kurniaan Allah yang tiada tolak bandingnya.

Yusof atau nama sebenarnya Yusop Mat Said bukan sembarangan pelawak kerana setiap kali menghiburkan penonton, lawaknya akan disulam dengan isu-isu semasa termasuklah politik dan hiburan.

Kehebatan beliau kerana berjaya meniru suara pemimpin-pemimpin politik dan seterusnya mampu menggeletek perasaan sesiapa sahaja yang menyaksikan persembahan beliau.

Bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin (kiri) pernah melawat Yusof di rumah anaknya di Batu Caves, Selangor pada tahun 1998. Gambar: Utusan Malaysia

Antaranya kemampuan meniru suara menteri-menteri kabinet seperti Tan Sri Mohamed Rahmad (Allahyarham), Tun Lim Kheng Yeik, Datuk Seri S.Samy Vellu dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau juga mampu meniru suara artis-artis seperti R.Azmi, Datuk David Arumugam, Zain Azman, Halim Yatim dan ramai lagi.

Kesihatan Allahyarham mula terganggu sejak tiga tahun lalu apabila beliau sering keluar masuk hospital.

Pada 26 Ogos lalu beliau dimasukkan ke Hospital Sultan Abdul Halim kerana penyakit batu karang di dalam buah pinggangnya selain menghidap kencing manis dan paru-paru berair.

Semasa hayatnya, Allahyarham pernah berazam untuk meniru suara lebih 20 artis untuk memastikan apabila beliau tiada lagi, jasanya terhadap dunia hiburan akan dikenang sampai bila-bila.

Konsep yang dibawa Allahyarham dalam lawaknya dengan meniru suara pemimpin kerajaan seperti yang dilakukan pelawak di negara maju adalah sesuatu yang unik dan amat berbeza berbanding pelawak-pelawak yang ada pada hari ini.

Sindiran sinis dalam lawak jenakanya mampu mencuit perasaan penonton. Malah Allahyarham pernah berkata sampai bila seorang pelawak itu hendak disajikan dengan lawak-lawak bodoh dan ketinggalan zaman?

Dalam laporan akhbar Utusan Malaysia Allahyarham pernah menceritakan bagaimana beliau menyindir Samy Vellu dalam jenakanya tetapi Presiden MIC itu tidak marah sebaliknya ketawa melihat keletahnya itu.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata persatuan itu menganggap pemergian Allahyarham sesuatu kehilangan yang amat besar.

Yusof bagaikan permata yang tidak boleh dicari ganti.

Tiga tahun lalu Karyawan telah memberikan pencen bulanan kepada arwah sebanyak RM500 sebulan serta berjaya mendapatkan sumbangan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebanyak RM10,000.

Malah ketika penderitaannya di siarkan di akhbar, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah berkenan menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada beliau.

Sepanjang hayatnya ujar Freddie, Allahyarham merupakan seorang tokoh seniman yang amat baik dan aktif berpersatuan.

Walaupun mengalami keuzuran namun beliau tidak pernah mengetepikan sumbangannya di dalam apa juga aktiviti membabitkan dunia artis.

“Kehilangan beliau amat dirasi dan beliau tiada gantinya. Dunia seni amat sedih dengan pemergian Allahyarham,” kata Freddie.

Yusof menjadi bapa tunggal selepas kematian isterinya Zaleha Osman pada tahun 1994. Hasil perkahwinan beliau pada tahun 1974, mereka memperoleh lima orang anak iaitu Zaliana,32, Ita Zahirah,30, Ahmad Nuzul,28, Ahmad Shatri,24, dan Siti Nurbaya,20.

Allahyarham juga mempunyai tiga orang cucu.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan selepas solat terawih di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tua, Batu Caves, Selangor, pada Ahad.

Saya percaya mereka yang pernah menyaksikan aksi Allahyarham amat terasa dengan kehilangan beliau.

Rakan-rakan artis dan mereka yang senagkatan dengan arwah tentu sekali tidak dapat menahan hiba mengenangkan permata berhaga ini sudah tiada lagi.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pada bulan yang penuh mulia iaitu bulan yang dijanjikan Allah seribu satu rahmat.

Kepada Allahyarham, semoga Allah merahmati roh mu dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

mStar Online mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Al-Fatihah.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/9/6/mstar_hiburan/20100905235223&sec=mstar_hiburan

Polis Teliti Senarai Panggilan Telefon Sosilawati - Musa

Isnin September 6, 2010

KUALA LUMPUR: Senarai panggilan telefon terakhir pengasas produk kosmetik Nouvelle Visages, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain dipercayai dapat membuka laluan penyiasatan berhubung kehilangan mereka sejak 30 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya sedang menunggu datatersebut dan yakin butiran lanjut mengenai kejadian itu akan terungkai sebaik sahaja perincian penggunaan telefon oleh keempat-empat mereka diteliti.

"Kita perlu siasat kesemua anggota keluarga yang terlibat. Setakat ini kita belum dapat apa-apa petunjuk lagi.

"Antara yang kita siasat adalah panggilan telefon (panggilan terima dan panggilan keluar) kesemua mangsa untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang akan berkuat kuasa 12 Sept ini, di sini, Isnin.

Musa berkata setakat ini hanya satu laporan saja diterima polis berhubung kehilangan keempat-empat individu tersebut, iaitu pada Khamis lepas daripada keluarga Sosilawati.

Sosilawati, 47, dilaporkan hilang oleh anggota keluarganya setelah dikatakan keluar dari rumahnya di Gombak, sejak seminggu lepas.

Beliau dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas memberitahu salah seorang anak perempuannya mahu ke Banting atas urusan kerja selama tiga hari, namun gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Ahli perniagaan itu dilaporkan hilang bersama pemandu, peguam peribadi dan seorang pegawai bank sejak 30 Ogos lepas dan difahamkan Sosilawati membawa wang jutaan ringgit.

Polis kini menyiasat sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kes kehilangan jutawan itu yang juga merupakan bekas isteri kepada penyanyi, Nash.

Musa berkata pihaknya juga belum mendapat maklumbalas daripada Jabatan Imigresen sama ada mereka telah ke luar negara atau tidak.

Mengulas perkembangan lain, Musa berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah diarahkan untuk menyiasat wujudnya sebuah akaun menggunakan nama beliau dalam laman sosial Facebook.

"Saya memang tiada Facebook. Saya dapat tahu ada orang menyamar jadi saya dua bulan lepas dan saya telah arahkan JSJK untuk siasat," katanya.

Mengenai perkembangan kes Michael Soosai, 47, beliau berkata polis perlu menunggu suspek selesai menjalani perbicaraan di India dan menjalani hukuman sebelum dia boleh dibawa balik ke Malaysia.

"Ini kerana kes bunuh yang dihadapinya (di India) mungkin boleh dihukum penjara. Kita tidak tahu lagi...perlu tunggu maklumat lanjut dari India," katanya.

Soosai dilaporkan ditahan reman dua minggu lagi di negara itu bagi membolehkan siasatan lanjut berhubung kegiatan jenayahnya termasuk kes bunuh pada 2004 di India. -BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/9/6/mstar_berita/20100906195948&sec=mstar_berita

Anak syak ibu dikurung



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammed Appendy Issahak
anbia@hmetro.com.my
2010/09/06

KUALA LUMPUR: Hartawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 44, dilaporkan hilang secara misteri sejak seminggu lalu dan gagal dikesan hingga kini.

Difahamkan, kehilangan bekas isteri kepada vokalis kumpulan rock Lefthanded, Nash itu menyebabkan anak mangsa mengesyaki ibunya dilarikan dan dikurung sebelum membuat laporan polis.

Turut hilang bersama jutawan berkenaan ialah tiga individu lain mempunyai hubungan dengan urusan perniagaan dan syarikatnya.

Susulan itu, anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis (IPK) Kuala Lumpur menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kehilangan ahli perniagaan berkenaan bersama tiga individu lain.

Sumber polis berkata, kehilangan Sosilawati hanya dilaporkan anak perempuan mangsa berusia 21 tahun Khamis lalu selepas mendapati ibunya gagal dihubungi tanpa sebab sejak malam Isnin.

Difahamkan, anak mangsa yang juga pembantu perniagaan kepada ibunya mula berasa tidak sedap hati berikutan ibunya tidak pernah `hilang’ apatah lagi telefon bimbitnya gagal dihubungi.

“Berdasarkan maklumat, Sosilawati dikatakan tidak pernah mematikan telefon bimbit dan kerap kali menghubungi anak atau pekerjanya bagi memaklumkan apa jua perkembangan dirinya selain lokasi dia berada.

“Namun pada jam 6 petang Isnin lalu, Sosilawati dikatakan keluar bersama pemandu peribadinya bernama Kamal untuk bertemu seorang peguam di Banting, Selangor. Dia ketika itu meninggalkan pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini,”
katanya.

Menurutnya, berdasarkan laporan, Sosilawati dikatakan turut ditemani dua lagi individu bernama Hisham dan Kamil yang juga seorang pegawai bank bagi menguruskan isu jual beli tanah serta peguam mangsa.

“Namun kira-kira jam 9 malam, anak mangsa menerima SMS daripada ibunya yang mengandungi mesej aneh dan sukar difahami.

“Anak mangsa cuba untuk menghubungi ibunya itu tidak lama kemudian namun gagal. Malah tiga individu lain yang dipercayai berada bersama mangsa turut gagal dihubungi sehingga hari ini,”
katanya.

Difahamkan, polis menyerbu sebuah kediaman di Jalan Duta di sini, namun tidak menemui mangsa seperti maklumat disalur keluarga mangsa.

Difahamkan, polis turut berusaha menjejaki mangsa selain mendapatkan maklumat serta mengambil keterangan anak mangsa di IPK tengah hari semalam bagi meleraikan misteri kehilangan usahawan wanita berjaya itu.

“Setakat hari ini (semalam), masih belum ada perkembangan positif berhubung kes kehilangan ahli perniagaan berkenaan walaupun ada maklumat mendakwa mangsa dikesan berada di Batu Pahat, Johor,” katanya.

Sementara itu, keluarga mangsa turut mendapatkan khidmat bantuan pengamal perubatan tradisional bagi mengesan lokasi mangsa disembunyikan.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman yang dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan ahli perniagaan berkenaan dan memberitahu polis berusaha sedaya upaya mengesan mangsa.

Menurutnya, polis setakat ini sudah mengambil keterangan daripada keluarga mangsa selain pekerja bagi membolehkan siasatan rapi dilakukan berhubung motif kehilangan Sosilawati.

Sementara itu, anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, malam tadi memberitahu, setakat ini belum ada sebarang berita mengenai ibunya.

Menurutnya, dia serta semua ahli keluarga berkumpul di rumah sejak hari ibunya hilang serta dalam keadaan bersedih dan hanya mampu membuat solat hajat, membaca Yasin serta berdoa agar ibunya selamat.

Selain itu, menurutnya ahli keluarga juga dipanggil ke IPK Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung kehilangan ibunya bagi membantu siasatan.

Jutawan kosmetik hilang bersama wang RM4 juta


INILAH kediaman mewah Sosilawati di Gombak yang hilang tanpa berita sejak enam hari lalu.


KUALA LUMPUR - Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya menimbulkan misteri apabila dia dan tiga yang lain dilaporkan hilang enam hari lalu selepas keluar dari sebuah pejabatnya di Kampung Baru di sini pada 30 Ogos lalu.

Turut hilang bersama Sosilawati yang merupakan pengarah urusan dan pengasas syarikat produk kecantikan Nouvelles Visage itu ialah seorang peguam, pegawai bank dan pemandu wanita itu.

Mereka hilang bersama kereta BMW X7 milik Sosilawati.

Satu sumber berkata, sebelum hilang, Sosilawati yang merupakan bekas isteri penyanyi terkenal kumpulan Lefthanded, Jamaludin Elias atau lebih dikenali Nash dikatakan telah meninggalkan pejabatnya bagi menghadiri majlis berbuka puasa.

Namun, selepas meninggalkan pejabat itu, telefon bimbit milik wanita terbabit gagal dihubungi menyebabkan anak sulungnya yang dikenali sebagai Rita membuat laporan di Balai Polis Gombak.

Difahamkan, sebelum dilaporkan hilang, Sosilawati yang berasal dari Batu Pahat, Johor dipercayai telah mengeluarkan wang sebanyak RM4 juta kononnya bagi membeli sebidang tanah di Banting, Selangor.

Sosilawati dan Nash, 50, telah berkahwin pada 16 November 2006 sebelum bercerai secara sah dengan talak satu raji'e di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini pada 26 Mei 2009.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0906&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Aidilfitri tunggu ibu pulang

Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my
2010/09/06

GERIK: “Mak, datanglah ambil kami. Kami adik- beradik mahu menyambut Aidilfitri nanti bersama mak. Kami semua masih belum ada baju raya.

“Kami terutama adik (bongsu, Muhammad Aidilfitri, 5,) paling rindukan emak dan mahu mak pulang segera. Kenapa mak tinggalkan kami lima beradik sendirian,” keluh Nur Syafiqah Abdullah, 14.


Nur Syafiqah, anak sulung Siti Rohmah Asnawi, 34, seorang warga Indonesia yang berkahwin dengan penduduk tempatan sebelum menghilangkan diri meninggalkan lima anaknya ketika menyewa rumah teres di Setapak Jaya, Kuala Lumpur, Mei lalu.


Empat lagi adik Nur Syafiqah iaitu Nur Syahidah Awang Bakar, 11; Muhammad Azhar, 9; Siti Nur Aishah, 7, dan Muhammad Aidilfitri, 5, menumpang di rumah sewa abang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, 24, di Kampung Bersia Lama, Gerik dekat sini, sejak dua bulan lalu.


Nur Syafiqah berkata, sehingga kini, dia hairan kenapa ibunya meninggalkan lima beradik dan ketika itu, ibunya memberikan wang RM100 kepadanya.


“Pada mulanya kami ingat mak nak pergi cari kerja selepas ayah, (Awang Bakar Jusoh) meninggal dunia pada 2 Oktober 2008. “Bagaimanapun, sejak itu mak tidak pulang dan lebih sebulan kami empat beradik makan dan minum atas belas ihsan jiran,” katanya ketika ditemui di rumah sewa abangnya, kelmarin.


Menurut Nur Syafiqah, dia bersekolah sehingga tahun enam dan tidak dapat menyambung ke tingkatan satu kerana pihak sekolah tidak mengiktiraf sijil kelahirannya yang didakwa palsu.


“Dua lagi adik saya, Nur Syahidah dan Muhammad Azhar masing-masing belajar di tahun tiga dan lima di Sekolah Kebangsaan Bersia Lama (SKBL), Gerik sejak sebulan lalu, tetapi Siti Nur Aishah yang sepatutnya belajar di tahun satu juga tidak boleh bersekolah,” katanya.


Sementara itu, Mohd Irwandi berkata, dia bergegas ke Kuala Lumpur sebaik dihubungi pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Setapak Jaya membincangkan masalah pendaftaran pengenalan diri dan status kerakyatan adik berlainan ibu yang diragui kerana emak mereka warga asing.


Katanya, sehingga kini, Nur Syafiqah tidak dapat membuat MyKad serta tidak memperoleh status warga negara menyebabkan dia tidak dapat menyambung pengajian ke sekolah menengah dan tidak dapat dibintikan dengan nama Awang Bakar.


“Saya merayu kepada pihak berkenaan menyelesaikan masalah adik saya yang masih diragui status kewarganegaraan untuk membolehkan mereka belajar bagi menjamin masa depan.

“Malah, saya buntu memikirkan apabila diminta keluar dari rumah disewa sejak lebih setahun lalu dengan sewa RM70 sebulan selepas Aidilfitri ini kerana pemilik rumah mahu anaknya tinggal di rumah itu,” katanya.


Katanya, dia kini bekerja sebagai nelayan di Tasik Banding memperoleh pendapatan antara RM400 hingga RM700 sebulan yang pastinya tidak memadai memiliki rumah sendiri selain menanggung isteri, Nurasikin Angah, 20, keturunan Orang Asli suku Temiar dari Kemar, Banding serta anak mereka, Nur Ariana Tasya, 2.


Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan kepada adik-beradik berkenaan boleh berbuat demikian menerusi alamat No 52, Kampung Bersia Lama, 33320 Gerik, Perak atau nombor akaun CIMB Mohd Irwandi 0810-0066633-52-0 atau hubungi 019-5437025.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Aidilfitritungguibupulang/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...