Sunday, June 27, 2010

Hukum Memerangi Pemerintah Muslim

sinar3.jpg

Soalan: Dr Asri, sekarang ini heboh isu keganasan. Persoalan saya, apakah hukumnya dalam Islam jika ada pihak yang membantah kerajaan orang islam yang zalim secara kekerasan. Apakah ini termasuk dalam jihad yang diperintahkan agama atau tidak. Tidakkah menentang kerajaan itu diharamkan oleh Islam?

Imran, Kuala Terengganu.

Jawapan DR MAZA:

Saudara, banyak isu keganasan yang cuba dikaitkan dengan umat Islam atau tokoh-tokoh Islam adalah mainan jahat pihak-pihak tertentu. Mereka ini samada mempunyai agenda politik tertentu, ataupun berkerja bagi pihak musuh umat Islam bagi mencemarkan imej Islam. Sebahagian pihak menggunakan isu ini untuk tujuan politik seperti menghapuskan gerakan Islam yang dilihat mengancam kedudukan politik mereka. Namun begitu, tidak dinafikan kemungkinan ada sesetengah kelompok yang telah salah tindakan dalam hal ini sehingga mencetuskan keganasan. Berhubung dengan pendekatan keras terhadap pemerintah yang zalim dan menyeleweng, maka ini fahami perkara berikut;

1. Perkara asas dalam hal ini boleh difahami daripada ingatan Nabi s.a.w.:

“Akan dilantik para pemimpin yang kamu setujui (kebaikan sebahagian perbuatan mereka) dan kamu akan membantah (kejahatan sebahagian perbuatan mereka). Sesiapa yang membenci (perbuatan munkar) maka dia terlepas (dari dosa), sesiapa yang membantah maka dia selamat (dari dosa), namun (yang berdosa) sesiapa yang redha dan menuruti (perbuatan munkar)”. Sahabah bertanya: “Tidakkah boleh kami perangi mereka?” Jawab baginda: “Tidak! selagi mana mereka bersolat”(Riwayat Muslim).

2. Daripada hadis di atas dapat kita fahami bahawa bertegas dalam membenci dan membantah kemungkaran dan kezaliman pemerintah itu adalah tuntutan agama. Namun, Nabi s.a.w tidak membenarkan rakyat memerangi pemerintah muslim dengan senjata selagi mereka itu bersolat. Solat menjadi petunjuk bahawa pemerintah tersebut masih berpegang dengan ajaran Islam dalam kehidupan. Keluar memerangi pemerintah dengan senjata hanya akan menimbulkan kerosakan yang lebih besar.

3. Juga, perhitungan tindakan dalam Islam adalah di sudut kadar manfaat dan mudarat. Menumpaskan pemerintah zalim dengan senjata biasanya mengundang mudarat yang jauh lebih bahaya dibandingkan manfaat yang hendak dicapai. Sebab itu al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) menyebut:

“kata ulama: alasan seseorang pemerintah tidak dipecat, atau pengharaman memeranginya kerana menyebab fitnah, penumpahan darah dan kerosakan yang nyata” (al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim 12/40)

4. Juga, kebencian atau bantahan terhadap kemungkaran pemerintah tidak membolehkan rakyat menderhakai mereka dalam perkara yang baik atau makruf. Ini seperti yang ditegaskan oleh hadis. Sabda Nabi:

“Pemimpin yang baik ialah pemimpin yang kamu cintai mereka dan mereka mencintai kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Pemimpin yang jahat ialah pemimpin yang kamu benci mereka, mereka juga membenci kamu dan kamu melaknat mereka, mereka juga melaknati kamu”. Baginda ditanya: “Tidak bolehkah kami perangi mereka dengan pedang?” Jawab baginda: “Tidak, selagi mana mereka mendirikan solat. Ingatlah, sesiapa yang seseorang penguasa berkuasa ke atasnya, lalu dia dapati penguasa itu melakukan maksiat kepada Allah, maka hendaklah dia membenci maksiat tersebut namun jangan dia mencabut tangan dari ketaatan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

5. Ini kerana setiap pemerintah mungkin akan ada kesilapan atau dosa yang dilakukan. Jika setiap kali pemerintah bersalah atau melakukan dosa diperangi dengan senjata, maka hancurlah keamanan masyarakat dan negara. Maka justeru itu, kita menentang kemungkaran pemerintah, tetapi tidak akan memeranginya dengan senjata.

6. Ini kerana antara tujuan berpolitik dalam Islam adalah menegakkan keadilan, keamanan dan hak rakyat. Peperangan saudara dalam negara hanya akan menghancurkan perkara-perkara tersebut.

7. Arahan pemerintah yang zalim atau mungkar dalam perkara-perkara kebaikan tetap wajib ditaati. Kata al-Khattabi (meninggal 388H):

“Sesungguhnya jihad itu wajib sekalipun bersama dengan pemerintah yang zalim, sepertimana ia wajib bersama pemerintah yang adil. Kezaliman mereka tidak menggugurkan kewajipan mentaati mereka dalam persoalan jihad. Demikian juga dalam perkara kebaikan yang lain yang menyamainya” (al-Khattabi, Ma‘alim al-Sunan, 2/ 357.)

Pendapat ini bersesuaian dengan sabda Nabi s.a.w :

“Dengar dan taat (kepada pemerintah) adalah kewajipan setiap individu muslim dalam perkara yang dia suka atau benci selagi dia tidak diperintahkan dalam perkara maksiat. Apabila dia diperintahkan dalam perkara maksiat maka tiada lagi dengar dan taat. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

8. Sekalipun kita dilarang memerang pemerintah dengan senjata, tetapi kita tetap disuruh untuk menasihati mereka dan mencegah kemunkaran mereka dengan perkataan atau perbuatan yang tidak menyebabkan pertumpahan darah seperti undi dalam pilihanraya. RasuluLah s.a.w bersabda:

“Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (Riwayat Malik).

Juga sabda Nabi s.a.w:

“Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang adil –dalam riwayat yang lain: yang benar- di sisi pemerintah yang zalim, atau ketua yang zalim”. (Riwayat al-Nasai, al-Tirmizi, Abu Daud dan Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani).

9. Nabi s.a.w juga memberi amaran kepada sesiapa yang mengampu atau mengiyakan kezaliman pemerintah dengan sabda baginda:

“Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang melakukan kezaliman dan pembohongan. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga). Sesiapa yang tidak membenar pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan mendatangi telaga (di syurga). Riwayat Ahmad, al-Nasai, dan al-Tirmidhi. Hadith ini sahih seperti yang dinilai oleh al-Albani.

10. Pengkaji politik Islam tidak boleh terlalu literalist. Politik bukanlah ibadah khususiah seperti solat dan puasa yang tidak boleh diubah tambah. Politik soal pentadbiran dan kaedah untuk menegakkan keadilan dan keamanan dalam kehidupan rakyat berdasarkan prinsip-prinsip umum Islam. Kaedah membantah atau menukar pemerintahan berbeza-beza berdasarkan sistem yang dipakai. Para ulama dahulu mengharamkan menumbangkan sesuatu pemerintah atas alasan bimbangkan penumpahan darah.

Namun, dalam dunia hari ini sesebuah pemerintah mungkin boleh diubah atau ditukar, atau ditumbang tanpa memerlukan penumpahan darah seperti dalam sistem demokrasi pilihanraya. Maka dengan itu penyertaan parti-parti politik dalam demokrasi pilihanraya tidak boleh dianggap sebagai melanggar kaedah Islam atau sebagai keganasan kerana sistem tersebut tidak sepatutnya menumpahkan darah.

http://drmaza.com/home/?p=1172

Rupanya Ada Kaedah Rawatan Sakit Kronik Tanpa Bedah

Jumaat Jun 25, 2010

MENGENAL PASTI jenis rawatan yang sesuai adalah sebahagian daripada elemen penting dalam pengurusan merawat kesakitan. Namun hal ini sering terlepas pandang oleh kebanyakan pesakit khususnya di kalangan mereka yang mengidap penyakit kronik di bahagian tulang belakang yang sukar disembuhkan dalam tempoh yang lama.

Oleh sebab berlakunya kecelaruan mengurus kesakitan yang dihidapi, khususnya dalam menentu atau mengenalpasti rawatan tepat dan terbaik, banyak pesakit terlantar menderita kesakitan yang berpanjangan dan paling menyedihkan ada di antara mereka kehilangan peluang untuk sembuh seperti sediakala.

Pentingnya mengenalpasti rawatan dan menguruskan kesakitan ini ditegaskan oleh seorang pakar sakit kronik Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, Dr Nizar Abdul Jalil.

Menurut beliau, kegagalan pesakit mendapat rawatan yang tepat berhubung penyakit yang mereka hidapi menjadi antara punca sakit kronik seperti cakera gelincir (slip disc) di tulang belakang atau kecederaan facet dihidapi akan menjadi liabiliti yang berpanjangan.

Akibatnya, pesakit terus-menerus menanggung kesakitan dan terlantar serta sebahagiannya seperti putus harapan untuk mencuba rawatan seterusnya.

Menerusi pengalaman sendiri, penulis didedahkan oleh Dr Nizar bahawa pesakit kronik hari ini berhak untuk mendapatkan rawatan tepat dan terbaik. Pengalaman banyak pesakit sebelum ini yang gagal sembuh daripada sakit kronik sehingga ada di antara mereka lumpuh sepanjang hayat akibat daripada kelemahan menguruskan jenis rawatan patut dijadikan iktibar.

Mengikut amalan biasa, kebanyakan pesakit kronik di negara ini terutama yang mengidap kecederaan cakera pada tulang belakang katanya, akan dirujuk kepada pakar ortopedik bagi tujuan penentuan sakit dan rawatan.

Hal ini bagaimanapun berbeza di negara jiran, Singapura kerana menurut Dr Nizar, pesakit di negara itu sebaliknya akan dirujuk terus kepada pakar sakit kronik terlebih dulu untuk didianogsis dan diberi penentuan rawatan sebelum dirujuk kepada pakar ortopedik atau yang berkaitan.

Hanya jika keadaan tidak boleh dielakkan, barulah pesakit boleh menerima cadangan pakar ortopedik agar menjalani pembedahan. Bagaimanapun, keadaan hari ini sememangnya telah jauh berubah. Pesakit berhak memperolehi pengetahuan tentang rawatan konservatif, iaitu rawatan tanpa pembedahan bagi mengelak daripada berdepan risiko yang lebih besar.

Bidang rawatan yang dipelopori oleh Dr Nizar ini membayangkan kemungkinan pesakit kronik di negara kita mempunyai peluang untuk pulih berdasarkan rawatan khusus yang dikenali sebagai rawatan suntikan Radiofrequensi. Menerusi kaedah rawatan Radiofrequensi ini, pakar sakit kronik akan hanya menggunakan suntikan bagi merawat pesakit mereka.

Jarum akan disuntik terus ke saraf cedera bertujuan mengecutkan saraf yang sakit dan sekaligus menghilangkan bisa yang ditanggung pesakit bertahun-tahun lamanya. Demikian pengalaman serupa dialami sendiri oleh penulis yang disahkan mengidap kecederaan facet di tengkuk dan bahagian belakang serta bahu yang dideritai bertahun-tahun lamanya.

Penggunaan kaedah suntikan di dalam bilik bedah yang hanya mengambil masa lebih kurang sejam dapat meredakan bisa yang menyerang tangan dan sebahagian besar tubuh penulis.

Sebelum ini, kebanyakan pegawai perubatan ditemui mencadangkan supaya rawatan dilakukan oleh pakar ortopedik dan sebagai jalan akhir pembedahan mesti dilakukan. Namun kaedah rawatan radiofrequensi yang dipelopori oleh Dr Nizar berjaya memindahkan beban sakit dan trauma bertahun-tahun tanpa melalui proses pembedahan.

Menurut Dr Nizar, pengurusan sakit yang betul yang bertujuan mendapatkan rawatan selesa dan kurang implikasi atau risiko kepada pesakit amat penting pada kehidupan hari ini. Ditambah pula dengan adanya pakar dalam sakit kronik, peluang bagi pesakit menghindarkan diri daripada dibedah tulang belakang sehingga boleh menyebabkan risiko lumpuh amat luas.

Malangnya, kata beliau, sebahagian besar pesakit kronik di negara ini belum terdedah atau mengetahui kaedah suntikan bagi merawat sakit kronik khususnya berkaitan kecederaan tulang belakang. Melalui pengalaman beliau merawat pesakit kronik sehingga kini, sebahagian besar pesakit kembali dapat meneruskan kehidupan seperti biasa melalui kaedah ini.

Menerusi kaedah suntikan, epidural streroid akan disuntik bagi mengurangkan kesakitan sama seperti proses suntikan menahan sakit bagi mereka yang ingin bersalin. Sedikit steroid akan dimasukkan bagi mengurangkan bengkak dan keradangan pada akar saraf yang terhimpit (bagi kes cakera gelincir tulang belakang).

Sepanjang terbabit sebagai pakar dalam bidang sakit kronik, Dr Nizar memang mengakui bahawa di antara 80 hingga 90 peratus pesakitnya secara umum tidak mengetahui mengenai rawatan Radiofrequensi yang tidak memerlukan mereka menjalani pembedahan sebelum datang bertemunya.

Persoalannya kini, bagaimanakah nasib pesakit kronik yang kurang terdedah kepada media yang sejak akhir-akhir ini kerap memaparkan maklumat tentang rawatan konservatif tanpa pembedahan itu?

Apakah mereka akan terus dirujuk kepada pakar ortopedik dan seterusnya disaran menjalani pembedahan tanpa mendapat pilihan lain? Mengakui hakikat itu, Dr Nizar menyarankan pesakit supaya selalu bertanya kepada doktor perubatan mengenai rawatan alternatif supaya mereka dapat memilih dan sekaligus mencuba sesuatu yang lebih rendah risikonya.

Bagaimanapun, pesakit tidak seharusnya pula menafikan standard rawatan yang digunapakai apabila berdepan kesakitan tulang belakang. Indikasi di negara ini sama seperti di negara lain, iaitu apabila rawatan konservatif atau rawatan tanpa bedah ini gagal, ia menunjukkan kecederaan saraf pada tulang belakang sudah tentu mencapai tahap kritikal.

Biasanya menurut Dr Nizar, hal ini berlaku selepas enam bulan mendapatkan rawatan konservatif tanpa bedah. Maka pesakit itu akan dirujuk kepada pakar ortopedik. Di situlah terletaknya kebijaksanaan pesakit mengurus sakitnya dengan berbincang bersama pakar ortopedik mengenai rawatan terbaik yang boleh dipilihnya.

Mengulas mengenai terma sakit kronik, beliau menjelaskan bahawa sakit ini biasanya datang tanpa disangka dan boleh berlarutan sehingga tempoh masa lama jika tidak mendapat rawatan yang tepat dan segera dan kebanyakannya berkaitan kecederaan tulang belakang.

Kesakitan ini amat merimaskan dan boleh mencapai tahap kritikal apabila pergerakan tangan atau kaki pesakit boleh terjejas. Orang ramai boleh mencuba kaedah rawatan tanpa bedah bagi merawat sakit kronik dengan menghubungi Dr Nizar Abdul Jalil di HUSM Kubang Kerian.

HAMID KARIM adalah seorang penulis bebas dan pernah menjadi ketua biro sebuah akhbar tempatan. Dr Nizar adalah pakar sakit kronik yang telah merawat penulis dan berharap bidang rawatan tanpa bedah ini dapat dikembangkan lagi bagi membantu rakyat/pesakit di negara kita.

http://mstar.com.my/variasi/pendapat/cerita.asp?file=/2010/6/25/mstar_pendapat/20100625190440&sec=mstar_pendapat

Harga RON97 naik cuma spekulasi


SUKA atau tidak, para pemilik kenderaan terpaksa membeli minyak petrol walaupun harganya mahal. - Gambar Hiasan.


SUBANG JAYA - Kerajaan menafikan subsidi petrol RON97 akan dimansuhkan bulan depan sekali gus menyebabkan berlakunya kenaikan harga bahan bakar tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sendiri akan membuat pengumuman jika ada perkembangan berkaitan harga petrol.

Justeru beliau meminta semua pihak supaya jangan mudah percaya pada khabar angin tersebut.

"Ketika ini kerajaan belum memansuhkan subsidi RON97, jauh sekali mahu menaikkan harga petrol tersebut.

"Sebarang kenyataan sepatutnya daripada saya, jadi oleh kerana ia bukan daripada saya mahupun Kementerian Kewangan, maka jangan percaya," tegasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Kesan hidup berpoligami

2010/06/27

KUALA LUMPUR: Penderitaan dialami Rafidah akibat perbuatan sihir madunya hanya satu daripada kes picisan membabitkan institusi rumah tangga yang bergolak kerana memilih hidup berpoligami.

“Mereka yang melakukan perbuatan sihir sebenarnya meletakkan nafsu dan akidah mereka di depan, bukannya agama. Mereka hilang pertimbangan waras dan sanggup menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan hati mereka.


“Hampir 50 hingga 60 peratus yang datang (membuat rawatan Islam) berjumpa saya untuk menyelesaikan masalah seperti ini, dan saya beranggapan ia sangat membimbangkan,” katanya.


Menurut Suhaimi, sihir najis yang dikenakan kepada Rafidah adalah contoh ilmu hitam, namun ada pelbagai sihir lagi yang biasa digunakan seperti sihir pembenci yang ditujukan sama ada kepada si suami atau isteri.


Katanya, perbuatan syirik berkenaan semata-mata bertujuan memisahkan pasangan terbabit atau memporak-perandakan rumah tangga seseorang.

“Ada kes berlaku, si suami tidak balik langsung ke rumah akibat perbuatan sihir ini. Yang dapat saya jelaskan, semua ini dilakukan kerana mereka lupa pada agama dan Islam.


“Mengapa perlu meminta bantuan jin dan syaitan melalui ilmu hitam begitu, bukankah lebih afdal meminta kepada Allah yang lebih berkuasa daripada segala-galanya,”
katanya.


Suhaimi berkata, ada wajarnya pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap amalan sihir, seperti mewujudkan akta dan undang-undang berkaitan sihir.


“Bagi saya, ia baik untuk dilaksanakan bagi menangani masalah ini. Lihat seperti di Indonesia, ada undang-undang boleh digunakan untuk membendung amalan sihir.


“Selain itu pula, institusi perkahwinan dan poligami ini perlu diperkukuhkan. Masyarakat perlu didedahkan dengan kefahaman tinggi mengenainya, bukan sekadar mengikuti kursus perkahwinan, supaya masalah begini tidak timbul,”
katanya.


Sementara itu, Perunding Motivasi dan penceramah bebas, Mohd Zawawi Yusoh berkata, amalan menggunakan ilmu hitam dan sihir yang semakin berleluasa menunjukkan mentaliti segelintir masyarakat kita semakin teruk.


“Dalam dunia yang semakin canggih dan moden, masih ada golongan begini. Kita bukannya maju ke depan, tetapi semakin ke belakang jika masih berfikiran begini.

“Saya tidak menolak perbuatan sihir ini kerana dalam agama Islam kewujudannya memang tidak dinafikan. Ia sepatutnya dihindari kerana amalan syirik, dan bayangkan di zaman Rasulullah masyarakat Arab ketika itu turut menolak amalan ini,” katanya.


Zawawi berkata, jika timbul salah faham, terutama membabitkan perkahwinan poligami, pasangan terbabit sepatutnya bertolak ansur, bukan mencari penyelesaian dengan mengamalkan ilmu hitam.


“Tidak boleh saling tuduh menuduh, atau menyimpan hasad dengki tanpa usul periksa. Misalnya, benarkah si madu itu berbuat jahat atau sebaliknya, dan hal begini tidak patut berlaku.


“Mereka sepatutnya meminta petunjuk daripada Allah. Perkahwinan itu adalah takdir, jika berlaku apa-apa (musibah) ia kehendak Allah, justeru minta pada-Nya untuk memulihkan keadaan yang keruh itu melalui doa atau solat hajat,”
katanya.

Isteri tua guna sihir

2010/06/27

KUALA LUMPUR: Jiwa terseksa, batin merana. Mungkin itu ungkapan tepat bagi menyelami penderitaan ditanggung Rafidah, 30, selepas hampir dua tahun menghidap penyakit ganjil akibat disihir madunya kerana dendam dan cemburu.

MALANG... Rafidah jalani rawatan membuang sihir dengan pembantu Ustaz Mohd Suhaimi, Mazlin Said Ramdzan.
MALANG... Rafidah jalani rawatan membuang sihir dengan pembantu Ustaz Mohd Suhaimi, Mazlin Said Ramdzan.


Lebih memburukkan keadaan, Rafidah turut mengalami masalah membuatkan dirinya berbau busuk ketika hendak mengadakan hubungan kelamin dengan suami iaitu kontraktor yang beristeri dan ada tiga cahaya mata.

Derita ini terpaksa ditanggung Rafidah selepas dua bulan mendirikan rumah tangga pada 2008.


Rafidah menyedari, hidup bermadu bukan mudah dilalui selepas dia nekad mengambil keputusan untuk hidup berpoligami. Namun, sedetik pun dia tidak menyangka, madu yang berkongsi hidup dengannya sanggup menggunakan ilmu hitam dipanggil sihir najis, semata-mata mahu meleraikan hubungannya bersama suami.

Perbuatan melampau madunya terbongkar apabila Rafidah yang mendapatkan khidmat rawatan perubatan secara Islam daripada Ustaz Mohd Suhaimi Rozali di Darul Ruqiyyah (DR), Gombak, dekat sini, meluahkan kesengsaraan hidupnya kepada wartawan Metro Ahad, SHAMRAN SARAHAN.

“SEJAK terkena sihir madu, suami bukan saja enggan menyentuh saya lagi, malah hubungan kami menjadi dingin dan dia seolah-olah membenci.

Ada masanya saya menjadi sangat tertekan dan ingin berpisah dengan suami, tetapi pada masa sama saya masih sayang serta tidak mahu terburu-buru mengambil keputusan berpisah (bercerai).

Tambahan pula, kini saya tahu suami berbuat demikian angkara perbuatan jahat madu saya, Zaleha, oleh itu perpisahan bukan jalan penyelesaiannya.


Pada mulanya saya sering mengalami gangguan dan kesukaran tidur di waktu malam, kemudian apabila ingin bersama suami, badan mengeluarkan bau kurang menyenangkan ketika kami bersama.

Sekarang lagi teruk, dengan berlendir dan mengeluarkan cecair putih berbau busuk, saya tidak selesa, dan suami pula rimas dengan keadaan saya.

Kini dia jarang bersama saya lagi. Boleh katakan, dalam tempoh sebulan kami hanya berjumpa seminggu. Peliknya, semua ini hanya berlaku apabila bersama suami. Apabila kami berjauhan saya menjadi normal kembali.


Kebelakangan ini kelakuan suami juga banyak berubah dan sering marah tanpa sebab walaupun hanya membabitkan perkara remeh.

Adakalanya dia seperti ingin berjauhan dengan saya. Dia pernah berkata tinggal bersama isteri tuanya lebih aman berbanding tinggal dengan saya.

Saya sedih, isteri mana tidak kecewa jika diperlakukan begitu. Namun saya juga akur bagaimana hendak bersamanya jika keadaan saya begini.

Saya mengesyaki madu tergamak melakukan perbuatan sebegitu rupa untuk memisahkan kami.


Sihir itu dipanggil sihir najis iaitu benda najis daripada darah haid yang dijampi, kemudian dimasukkan ke dalam makanan, minuman atau minyak wangi yang dipakai dan suami.

Ia menyebabkan suami tidak boleh menyetubuhi isteri. Itu yang berlaku kepada saya. Suami juga kadangkala melihat saya dengan pandangan hodoh dan tidak berupa manusia seperti lazimnya.

Madu saya terlalu kuat cemburu dan tidak suka jika suami lebih banyak menghabiskan masa bersama saya.

Sedangkan ketika mula berkahwin dulu suami bahagikan masa dengan adil, tetapi Zaleha tidak bersetuju dan mahu masa lebih diluangkan kepadanya kerana dia isteri tua dan mempunyai anak. Itupun saya sudah mengalah.

Dia (Zaleha) sebenarnya tidak merestui hubungi kami tetapi terpaksa akur dengan keputusan suami yang ingin berkahwin dengan saya.


Sebab itu, apa saja yang saya lakukan bersama suami, dia pasti buat perangai.
Demi menjaga kebahagiaan rumah tangga dan ingin berbaik dengan Zaleha, saya pernah mengajak madu duduk sebumbung, tetapi pelawaan saya ditolak.

Madu menuduh saya menyimpan niat jahat untuk tinggal bersama dan mengarahkan suami untuk tidak mengendahkan permintaan saya.

Banyak lagi perkara remeh diungkit Zaleha untuk mengeruhkan keadaan. Dia tidak senang kerana saya memiliki perniagaan, saya pernah dituduh cuba menggoda lelaki ketika menguruskan perniagaan.

Saya tidak mahu berdendam dan akan memaafkan Zaleha. Yang saya inginkan sekarang hanyalah suami, saya mahu rumah tangga yang saya dirikan ini diselamatkan.”

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Isterituagunasihir/myMA/myArticle

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...