Wednesday, September 22, 2010

Tanah RM16.2 bilion ditawar kepada Malaysia


GAMBAR fail menunjukkan tanah Keretapi Tanah Melayu milik Malaysia di Tanjong Pagar, Singapura.

--------------------------------------------------------------------------------


SINGAPURA - Sebanyak dua bidang tanah yang akan diberikan oleh Singapura kepada sebuah konsortium Malaysia bagi menyelesaikan pertelingkahan berpanjangan di antara kedua-dua buah negara adalah bernilai sehingga S$7 bilion (RM16.2 bilion), kata seorang penganalisis hartanah semalam.

Tanah-tanah itu yang terletak di sekitar Teluk Marina di Singapura ditawarkan dalam satu persetujuan pertukaran tanah.

Persetujuan berkenaan menyatakan, Malaysia pula bersetuju untuk memberikan tanah miliknya yang menempatkan laluan dan stesen kereta api di Singapura sejak era pemerintahan British sebagai tukaran tersebut.

Menurut maklumat Kementerian Pembangunan Nasional Singapura (MND), dua bidang tanah yang ditawarkan oleh negara itu kepada Malaysia adalah seluas 5.29 hektar.

Sebuah syarikat dikenali sebagai M-S Pte Ltd akan diberikan hak pemilikan tanah tersebut untuk tujuan pembangunan.

Sebanyak 60 peratus ekuiti syarikat berkenaan dipegang oleh agensi pelaburan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad manakala 40 peratus lagi ekuiti dimiliki syarikat milik Singapura, Temasek Holdings.

Lot-lot tanah itu yang dikenali sebagai Marina Selatan dan Ophir-Rochor diwartakan sebagai 'tanah putih' oleh MND untuk digunakan bagi projek komesial bernilai tinggi seperti pembinaan hotel atau perumahan mewah.

Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Firma Perundingan Hartanah Antarabangsa SLP, Nicholas Mak berkata, harga semasa tanah Ophir-Rochor adalah antara S$1.38 bilion (RM3.2 bilion) hingga S$1.9 bilion (RM4.4 bilion).

"Tanah di Teluk Marina pula bernilai antara S$3.5 bilion (RM8.1 bilion) dan S$5 bilion (RM11.6 bilion)," katanya.

Pemilikan tanah kereta api di wilayah Singapura oleh Malaysia menganggu hubungan di antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.

Namun, kedua-dua negara tersebut berikrar untuk menyelesaikan semua isu tertunggak dan menggalakkan kerjasama jangka panjang. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0922&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Remaja dinoda berulang kali

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

2010/09/22

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dirogol berulang kali oleh teman lelakinya di sebuah rumah di Puchong, di sini, selepas mengikut lelaki itu, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa mendakwa teman lelakinya berusia awal 20-an menjemputnya di rumah di Desa Petaling, di sini, kononnya untuk keluar makan.

Menurut sumber, selepas menjamu selera, suspek enggan menghantar mangsa pulang sebaliknya membawa mangsa ke rumahnya di Puchong.


“Sebaik tiba di rumah, mangsa diarahkan masuk ke dalam bilik. Malah, suspek juga menyuruh dua rakan serumahnya meninggalkan mereka sendirian,” katanya.


Sumber berkata, kesempatan itu diambil suspek untuk merogol mangsa beberapa kali. “Selepas mangsa dirogol, pelajar terbabit berulang kali meminta teman lelakinya itu supaya menghantarnya pulang namun suspek enggan berbuat demikian. “Bagaimanapun, ketika suspek keluar dari bilik, mangsa segera menghubungi bapanya memberitahu mengenai kejadian berkenaan,” katanya.


Beliau berkata, bapa mangsa kemudian datang ke rumah suspek bagi menjemput mangsa kira-kira jam 10 malam.


“Suspek yang melihat kelibat bapa mangsa menyembunyikan diri,” katanya.


Mangsa yang ditemani ahli keluarganya kemudian ke Balai Polis Sungai Besi, di sini bagi membuat laporan.


Difahamkan, kes terbabit dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan lanjut.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Remajadinodaberulangkali/Article

Abang ipar durjana dipenjara 30 tahun

2010/09/22

KLANG: Bapa anak lima dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan denda 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas didapati bersalah merogol adik ipar berusia 13 tahun, dalam tiga kejadian berasingan, empat tahun lalu.

Hakim Yong Zarida Sazali membuat keputusan itu terhadap tertuduh yang bekerja sendiri selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan itu.

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan merogol adik isteri di rumahnya di Sabak Bernam pada jam 3.15 petang 8 Ogos, 4.30 petang, 10 Ogos dan 6.30 petang pada 18 Ogos 2006.


Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Yong Zarida memerintahkan tertuduh dipenjara 15 tahun dan dikenakan empat sebatan untuk setiap pertuduhan.


Mahkamah juga memerintahkan hukuman untuk pertuduhan pertama dan kedua berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu 1 April 2010.


Manakala, hukuman bagi pertuduhan ketiga berjalan selepas tertuduh selesai tempoh penjara bagi pertuduhan pertama dan kedua. Terdahulu, peguam bela mewakili tertuduh, Rajagopal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih ringan kerana anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan itu adalah keji dan tidak diterima masyarakat.


“Perbuatan tertuduh amat serius. Dia sepatutnya menjaga adik iparnya itu bukan mengambil kesempatan terhadap diri mangsa.


“Dilihat pada tuntutan undang-undang, kesalahan yang kamu lakukan bukan saja menjijikkan dan tidak sepatutnya dilakukan oleh manusia,”
katanya.


Siti Noorbaya berkata, hukuman berat perlu diberikan bagi memberi pengajaran kepada masyarakat. “Ini kerana tertuduh sudah mempunyai isteri dan pernah merasai nikmat hubungan suami isteri,” katanya.

Berdasarkan keterangan mangsa, tertuduh merogolnya apabila dia ke rumah abang iparnya itu bagi menjaga lima anak pasangan berkenaan.

Sebelum ini, tertuduh pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 12 Oktober 2006, namun dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri. Pendakwaan kemudian membuat rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 April lalu.

Mahkamah Tinggi itu memutuskan menerima rayuan dan mengarahkan tertuduh dipanggil membela diri. Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan sudah memanggil 12 saksi, manakala tiga saksi pembelaan tampil memberi keterangan. Pada prosiding semalam, Siti Noorbaya turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Aimi Syazwani Sarmin dan Siti Syuhada Alwi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Abangipardurjanadipenjara30tahun/Article

'Taraf kamu macam lembu'

Oleh Siti Fatimah Hassan

2010/09/22

KOTA BHARU: “Saya juga menyifatkan taraf awak sama seperti haiwan kambing dan lembu kerana sanggup melakukan perbuatan yang sangat menjijikkan,” kata Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal L Salleh sebelum menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dengan 20 sebatan terhadap seorang buruh binaan yang mengaku bersalah merogol anak kandungnya berusia 15 tahun.

Zainal membuat keputusan itu terhadap tertuduh, berusia 37 tahun yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dalam dua kejadian berasingan iaitu pada 27 Februari dan 10 April tahun lalu di rumah mereka di Kampung Air Merah, Tanah Merah.

Dalam kejadian pertama, tertuduh merogol mangsa ketika berada di rumah mereka selepas ibunya tiada di rumah pada jam 6 petang.


Tertuduh sekali lagi merogol anak kandungnya ketika mangsa melipat kain sebelum dipanggil masuk ke dalam bilik bapanya dan diarahkan berbaring dan menanggalkan pakaian kira-kira jam 5 petang, 10 April tahun lalu.


Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan bapanya yang turut memberi amaran supaya dia tidak memaklumkan sesiapa mengenai kejadian itu.


Bagaimanapun, disebabkan mangsa tidak tahan dengan perbuatan dan sikap bapanya, dia kemudian bertindak memberitahu kejadian itu kepada ibunya sebelum membuat laporan polis pada 11 April 2009.


Pada prosiding itu, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nooriah Osman yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling berat memandangkan tertuduh merogol anak kandung sendiri.


“Bapa harus melindungi anak perempuannya yang sedang membesar, namun dia gagal menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.


“Perbuatan itu perlu dihukum dengan seberat-beratnya mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu 30 tahun penjara dan tidak kurang dari 10 sebatan. Ia bagi memberi pengajaran kepada masyarakat supaya menjauhkan perkara sumbang yang menjijikkan itu,”
katanya.


Bagaimanapun, tertuduh menggelengkan kepala sambil tersenyum menyebabkan Zainal berang ketika melakukan penghakimannya.


Beliau kemudiannya menjatuhkan hukuman bagi kedua-dua pertuduhan iaitu 10 tahun dan 10 sebatan bagi kesalahan pertama dan 10 tahun serta 10 sebatan untuk kesalahan kedua dengan hukuman penjara berkuat kuasa semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tarafkamumacamlembu/Article

'Tak sabar bertemu anak'

2010/09/22

KAMPAR: “Sebaik menerima berita anak ditemui selamat, saya mula hilang selera makan... mungkin kerana masih terkejut dan pada masa sama gembira dengan penemuan itu.


GEMBIRA...ibu pasangan kembar, Harlizah Damah (kanan) dan Noriah.

“Saya bersyukur kerana dia bersama rakan mereka selamat ditemui dan kami sekeluarga tidak sabar menemui mereka,” kata Che Noriah Che Hat, 48, ibu kepada Suhaily Abdul Razak, 14, yang menghilangkan diri bersama rakannya, pasangan kembar berusia 14 tahun, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin sejak Aidilfitri kedua lalu.

Selepas 11 hari menghilangkan diri sebaik keluar dari rumah, ketiga-tiga remaja berkenaan berjaya ditemui bersama dua rakan lelaki di sebuah rumah pangsa di Green Garden, Paya Terubong, Air Itam, Pulau Pinang, kira-kira jam 8.20 pagi semalam.

Che Noriah berkata, dia menerima berita penemuan anaknya itu daripada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar yang memaklumkan kepadanya semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taksabarbertemuanak/Article

Bersama dua lelaki

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

2010/09/22

GEORGETOWN: Tiga remaja perempuan termasuk dua beradik kembar yang dilaporkan hilang selepas beraya di rumah rakan pada Aidilfitri kedua lalu berjaya ditemui sepasukan polis di sebuah rumah pangsa di Taman Green Garden, Paya Terubong, di sini, semalam.


DITEMUI...(dari kanan) Nurulain, Suhaily dan Nurulashiqin dan ditemui bersama dua lelaki, semalam.

Nurulashiqin Kamarazmi dan kembarnya, Nurulain bersama rakan mereka, Suhaily Abdul Razak, masing-masing berusia 14 tahun berasal dari Taman Sentosa, Kampar, Perak ditemui bersama dua lelaki berusia 19 dan 20 tahun dipercayai kekasih pasangan kembar itu di rumah berkenaan dipercayai milik kenalan seorang daripada dua lelaki berkenaan.

Ketua Balai Polis Ayer Itam, Cif Inspektor Mohd Fadzli Mohd Napiah, berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik rumah yang menumpangkan lima individu terbabit kelmarin sebelum bertindak menyerbu rumah itu, kira-kira jam 8.20 pagi semalam.


Menurutnya, selepas diserbu, pihaknya menemui tiga remaja perempuan itu yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sentosa bersama teman lelaki Suhaily dan Nurulashiqin di rumah berkenaan yang ditumpangi mereka sejak 18 September lalu.


Katanya, selepas disoal siasat, lima individu itu didapati menaiki bas ekspres dari Batu Gajah, Perak pada 14 September lalu dan menginap di sebuah hotel bajet berdekatan Lorong Kulit selama tiga hari sebelum menumpang di rumah berkenaan selepas kehabisan wang.


Beliau berkata, hasil siasatan lanjut terhadap dua lelaki yang ditemui bersama tiga remaja itu mendapati seorang daripadanya masih berada di bawah pengawasan Balai Polis Jejawi kerana kesalahan mengambil dadah selain gagal memaklumkan tindakannya untuk pergi ke luar kawasan kepada pengurusan balai polis terbabit.


Menurutnya, dua lelaki itu juga diarahkan untuk menjalani ujian air kencing dan jika didapati positif dadah, mereka akan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan sementara menunggu hasil ujian itu, mereka kini ditahan di lokap balai berkenaan.


Katanya, tiga remaja perempuan yang masih bawah umur itu kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.


Beliau berkata, polis sudah menghubungi ibu bapa remaja perempuan berkenaan dan berikutan penemuan semua remaja itu, kes aduan orang hilang itu dianggap selesai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bersamadualelaki/Article

18 hari tak gerak kepala

Oleh Siti Nadirah Hafidzin

2010/09/22

SHAH ALAM: “Anak saya mungkin tidak akan cedera seteruk ini sekiranya Hospital Melaka (HM) memberikan rawatan sepatutnya,” kata Zaidatul Husni Hashim, 27, yang mendakwa kecederaan seperti kudis serius di belakang kepala anaknya terjadi akibat kecuaian hospital berkenaan yang tidak menggerakkan kepala anaknya terlantar koma selama 18 hari.


BERNANAH...belakang kepala Amira berkudis.
Zaidatul berkata, anaknya, Fatin Nur Amira Syuhada Yusrizan, 2, pada mulanya dimasukkan ke HM pada 7 Ogos lalu selepas terminum dan melecur akibat terkena air panas ketika bercuti di Melaka.

Menurutnya, selama 18 hari, anaknya ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Mawar dan pada masa berkenaan doktor memaklumkan keadaan anaknya begitu kritikal dan menyarankan dia sekeluarga menerima segala kemungkinan yang bakal terjadi.


“Doktor memberitahu kemungkinan besar Amira akan pergi buat selama-lamanya berikutan pelbagai komplikasi dihidapinya akibat terminum air panas seperti jangkitan di paru-paru. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa hancurnya hati saya tatkala mengetahui perkara berkenaan,” katanya.


Dia berkata, walaupun mengetahui kemungkinan bakal dihadapi, dia dan suami tetap berusaha menukarkan anaknya ke hospital berhampiran dengan kawasan tempat tinggal mereka sekeluarga dan akhirnya anaknya ditukarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).


“Apabila tiba di PPUM, doktor di sana memberitahu kecederaan di belakang kepala Amira serius. Saya dan suami terperanjat melihat belakang kepala Amira seperti berlubang,” katanya.


Beliau berkata, menurut doktor pakar kanak-kanak PPUM, kecederaan di belakang kepala Amira disebabkan kanak-kanak tersebut dibaringkan tanpa digerak dalam tempoh masa lama mengakibatkan aliran darah tidak dapat berfungsi seperti biasa selain peluh yang keluar menjadikan kulit kepala Amira merah dan terhakis.


“Doktor di PPUM memaklumkan kepada saya, pesakit yang terlantar koma dalam masa lama seharusnya digerakkan untuk memastikan aliran darah dapat berjalan dengan lancar terutama bahagian belakang kepala.


“Saya dan suami langsung tidak diberitahu mengenai kecederaan berkenaan dan berasa amat kecewa dengan perkhidmatan Hospital Melaka sehingga menyebabkan Amira cedera serius seperti ini,”
katanya ketika ditemui di Bandar Putera, Shah Alam, di sini, semalam.


Zaidatul berkata, Alhamdulillah, berkat doa dan usaha, Amira melepasi tahap kritikal selepas dirawat di PPUM, tetapi masih memerlukan rawatan lanjutan. Setiap dua hari Amira perlu dibawa ke PPUM mencuci kecederaan di belakang kepalanya.


Katanya, dia dan suami tidak berniat membesarkan kes anaknya tetapi mengharapkan apa yang terjadi pada anaknya, tidak akan terjadi kepada individu lain selain mengharapkan HM meningkatkan mutu dan kualiti perkhidmatan dan rawatan kepada pesakit.


“Kami kecewa, lebih-lebih lagi mengenangkan kata-kata doktor mengesahkan Amira tidak akan mempunyai rambut selepas sembuh,” katanya.


Sementara itu, Jurucakap HM, berkata sehingga kini pihaknya masih belum menerima aduan mengenai kes berkenaan dan mengharapkan keluarga pesakit dapat menghubungi pihak hospital bagi membuat aduan sebelum menjalankan siasatan terperinci.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/18haritakgerakkepala/Article

Berdebar tunggu DNA

2010/09/22

KUANTAN: “Kami sekeluarga berdebar-debar menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijangka diketahui dalam tempoh seminggu lagi dan berharap itu (cebisan tulang) bukan dia.


PRIHATIN...Tengku Abdullah bertanya sesuatu kepada Irfan Aiman sambil diperhatikan Zainab (kiri) ketika melawat keluarga berkenaan, semalam.
“Tapi jika benar itu dia, kami reda dan walau diberi hanya tulang pun kami kena terima juga untuk dikebumikan,” kata kakak pemandu peribadi Datuk Sosilawati Lawiya, Kamaruddin Shansuddin, ketika ditemui selepas menerima kunjungan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di rumahnya di Indera Mahkota, di sini, semalam.

Ramlah, 49, berkata, dia sekeluarga masih berharap Kamaruddin, 44, dapat kembali dalam keadaan sempurna sama ada hidup atau mati.


“Jika cebisan tulang arwah dapat dikebumikan, anaknya yang masih kecil dapat menziarahi pusara bapa mereka apabila dewasa kelak.


“Sekarang ini pun, anak Kamaruddin masih bertanya sama ada bapa mereka akan pulang atau tidak kerana belum mengerti apa yang berlaku,”
katanya.


Kamaruddin yang berpisah dengan isterinya, Noorfazilah Ab Sani mempunyai tiga anak, Balqis Dayana,12, Izran Akmal, 9, dan Irfan Aiman, 8.


Sementara itu, Tengku Abdullah turut menzahirkan kesedihannya dengan kejadian yang menimpa keluarga Kamaruddin dan Sosilawati serta meminta keluarga mangsa supaya tabah dan sabar.


“Saya tidak tahu Kamaruddin asalnya dari Pahang dan satu ketika ketika ibunya pernah bekerja dengan Almarhum dan Almarhumah nenda saya.


“Kita berharap keluarga ini, terutama anak Kamaruddin dapat diawasi dan diasuh mendapat pendidikan sempurna,” katanya yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sosilawati yang menerima pingat kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk dari Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/BerdebartungguDNA/Article

Kes bunuh Sosilawati: Kontraktor tak pulang-pulang

2010/09/22

SUNGAI PETANI: “Hati saya terdetik mengatakan suami akan pulang pada Aidilfitri lalu menyebabkan saya membeli sepasang baju Melayu biru untuknya,” kata Samsonnahar Mohd Dali, 35, isteri kepada kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dipercayai turut menjadi mangsa peguam yang kini suspek utama kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.


SEDIH...Samsonnahar melihat baju Melayu yang dibeli untuk suaminya dua hari sebelum menyambut hari raya.


Menurut Samsonnahar, walaupun pada hakikatnya dia sedar suaminya mungkin tidak pulang, gerak hati itu menyebabkan dia tetap menaruh harapan berlaku keajaiban dan menunggu kemunculan suaminya pada pagi 1 Syawal lalu.

“Bagaimanapun, impian itu hanya tinggal angan-angan kosong,” katanya ketika ditemui, semalam.


Katanya, suaminya keluar dari rumah mereka di Taman Bunga Raya, di sini, pada 5 April lalu, kira-kira jam 5 pagi menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream warna emas menuju ke Kuala Lumpur dipercayai berurusan dengan peguam terbabit.


“Sehingga kini, suami tidak pulang ke rumah dan apabila menghubungi telefon bimbitnya, ia diputuskan. Kali terakhir saya bertemu suami pada hari itu manakala pada 7 April antara jam 10.30 malam dan 11 malam, suami menelefon saya memberitahu dia akan pulang pada 9 April.


“Dia juga berharap dapat pulang ke Sungai Petani secepat mungkin kerana mahu memasuki rumah baru yang dibeli di Taman Cemara, kira-kira satu kilometer dari rumah sekarang, tetapi dia sedikit pun tidak mengadu dan bercerita mengenai masalah dihadapinya,” katanya.


Samsonnahar yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 13 tahun berkata, dua hari selepas itu, dia ada menelefon peguam terbabit dan dimaklumkan suaminya ke luar negara dan akan pulang selepas lima atau enam hari lagi.


“Saya terkejut dengan jawapan peguam terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani.


“Akibat tidak berpuas hati dengan penjelasan peguam itu, saya ke rumah sewa suami di Meadow Park 2, Jalan Kuchai Lama terkejut apabila menemui pasport antarabangsanya dalam beg, tetapi keretanya tiada di situ,”
katanya.


Menurutnya, kereta milik suaminya ditemui tersorok di tempat letak kereta di Pelabuhan Klang selepas sistem penggeranya berbunyi akibat perbuatan khianat.


Katanya, suaminya dipercayai mengenali peguam terbabit sejak setahun lalu selepas diperkenalkan seorang rakan dan sejak itu, suaminya sering berhubung dengan lelaki berkenaan.


Samsonnahar berkata, dia terkejut apabila Balai Polis Banting, baru-baru ini, memaklumkan bahawa 95 peratus siasatan polis mengesahkan suaminya seorang daripada mangsa peguam terbabit yang kini ditahan polis.


“Saya masih berharap menerima berita gembira. Apapun, saya bersedia menerima sebarang kemungkinan yang menimpa suami dan reda dengan kejadian menimpanya.


“Sejak kehilangan suami, saya banyak melakukan solat tahajud dan hajat. Alhamdulillah selepas lima bulan kehilangannya, saya dapat menerima kenyataan walaupun tidak tahu di mana kubur dan jasadnya,”
katanya.


Sementara itu, di Kuala Lumpur, sumber polis mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehilangan Shafik Abdullah dan seorang lagi rakannya sejak April lalu.


Sumber itu berkata, polis mengklasifikasikan kes kehilangan mereka sebagai kes orang hilang dan siasatan lanjut sedang dijalankan sama kehilangan mereka ada kaitan dengan suspek utama kes Sosilawati.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kontraktortakpulang-pulang/Article

Jam tangan jadi petunjuk suami mungkin senasib Sosilawati

2010/09/22

SUNGAI PETANI: Seutas jam tangan yang disahkan milik seorang kontraktor dilapor hilang April lalu, Mohd Shafiq Abdullah, 37,menjadi petunjuk kemungkinan lelaki itu senasib dengan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya.

Isteri kontraktor itu, Samson Nahar Mohamed Dali, 35, berkata dia dipanggil polis untuk mengenalpasti jam tangan berkenaan ketika ke Banting minggu lalu membantu siasatan.

"Saya tak pasti macam mana polis jumpa jam itu tapi yang saya ingat jumpa di ladang, saya cam jam itu sebab suami ada banyak jam berjenama tapi satu itu saja yang bertali kulit jenama Puma," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bunga Raya, di sini hari ini.


Samson Nahar berkata beliau dipanggil polis kerana dalam kenyataannya mengenai kehilangan suami di balai polis Petaling, Kuala Lumpur April lalu, beliau memberitahu sudah menghubungi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati untuk mencari Mohd Shafiq. Beliau berkata laporan polis mengenai kehilangan suaminya dibuat pada 13 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda di sini dan kes itu kemudian dipindahkan ke balai polis Petaling kerana suaminya hilang di Kuala Lumpur.


Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.


Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.


Samson Nahar berkata Mohd Shafiq yang berasal dari Perak tinggal di sebuah rumah sewa di Kuchai Lama, Kuala Lumpur kerana bekerja di sana dan hanya pulang ke rumah mereka di Sungai Petani setiap hujung minggu. Beliau berkata selepas menyedari ada sesuatu yang buruk berlaku terhadap Mohd Shafiq, beliau menghubungi semua rakan-rakan serta pihak-pihak yang pernah berurusan dengan suaminya termasuk suspek.


"Semua orang jawab tak tahu, tapi dia (suspek) seorang saja yang bagi jawapan ada jumpa suami dan beritahu suami saya ke luar negara dan akan balik lima enam hari lagi.


"Tapi bila saya tanya pergi mana, dia kata rahsia dan dari situ saya rasa pelik dan terus pergi ke rumah sewa suami di Kuchai Lama untuk mencari pasport suami saya,"
katanya.


Samson Nahar berkata beliau menemui pasport suaminya di rumah sewa itu dan ketika itu beliau menyedari bahawa kehilangan suaminya ada kaitan dengan suspek.


Kali terakhir Samson Nahar berhubung dengan suaminya melalui telefon ialah pada 7 April lalu dan gagal menghubunginya sehari selepas itu.


Beliau berkata polis juga sudah mengambil sampel untuk ujian DNA daripada ibu Mohd Shafiq yang kini menetap di Dengkil, Selangor. "Polis juga ada meminta barang peribadi suami, saya ada serahkan kasut suami minggu lepas kerana itu saja yang ada untuk membantu siasatan dan saya dimaklumkan keputusan DNA akan siap dalam dua minggu," katanya.


Mengimbas kenangan bersama suami sejak 14 tahun lalu, Samson Nahar berkata Mohd Shafiq seorang yang sangat bertanggungjawab dan tidak pernah lupa untuk memaklumkan destinasinya sekiranya mahu ke mana-mana.


Beliau berkata walaupun ingin ke sesuatu tempat dalam tempoh yang singkat, suaminya akan tetap memberitahu dan pulang bertemu dengan keluarganya terlebih dulu.


"Dia memang selalu ke luar daerah dan ada juga pergi ke luar negara, tapi setiap kali sebelum pergi mana-mana dia mesti balik sini dulu sehari atau dua hari untuk bersama saya dan anak-anak," katanya.


Samson Nahar berkata selepas dimaklumkan 95 peratus kemungkinan suaminya adalah antara mangsa jenayah kejam itu pada malam Hari Raya lalu, keluarganya mengadakan solat ghaib serta majlis tahlil untuk suaminya.


"Namun saya masih menaruh harapan suami selamat selagi belum ada pengesahan dan sekiranya disahkan dia sudah meninggal, kami kena terima dan saya harap dapat mengebumikan tulangnya di sini (Sungai Petani)," katanya. Samson Nahar berkata beliau dan anak-anak akan berpindah ke rumah yang baru dibeli suaminya di kawasan perumahan berhampiran tempat tinggalnya sekarang dalam tempoh terdekat.


"Tapi saya tak tau macam mana nak teruskan hidup lepas ini sebab hilang tempat bergantung, saya pula tiada kerja tetap," kata surirumah yang mengajar kelas tambahan kepada pelajar sekolah secara sambilan di rumah. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/JamtanganjadipetunjuksuamimungkinsenasibSosilawati/Article

Gelang emas berlumpur



Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin, Saipul Adli Mohamad, Abdullah Wahab, Zaitie Satibi, Shanty Nur Shaffizan Shafee, Shamsul Munir Safini dan Omar Osman

2010/09/22

BANTING: Satu gelang emas dipercayai milik jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, menjadi bukti terbaru yang ditemui dalam tali air berdekatan kunci air Sungai Lang di sini, petang semalam.


CARI...penyelam PDRM mencari bahan bukti di sungai berhampiran Pasar Besar Banting, semalam.


KAWAL...anggota polis membawa suspek utama ke pejabatnya di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, semalam.




Gelang emas bersalut lumpur itu ditemui kira-kira jam 4 petang hasil pencarian tiga anggota polis daripada Unit Menyelam, Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Sepasukan polis turut membawa suspek utama yang juga seorang peguam ke lokasi terbabit difahamkan untuk mencari telefon bimbit milik mangsa. Bagaimanapun, selepas hampir dua jam menyelam, telefon itu gagal ditemui sebaliknya penyelam menemui satu gelang emas.

Usaha mengesan bukti baru itu dihentikan kira-kira jam 5.30 petang berikutan hujan lebat.

Sebelum itu, pada kira-kira jam 2.25 petang, suspek yang memakai baju lokap berwarna ungu dengan tangan bergari diiringi anggota polis terlebih dulu memasuki pejabat guaman miliknya yang terletak berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini.

Ini kali kedua polis memasuki premis terbabit selepas kali pertama pada Selasa lalu. Turut memasuki premis terbabit ialah dua wanita berusia 20-an dipercayai pekerja suspek. Ketika meninggalkan premis itu, seorang anggota polis dilihat membawa beberapa dokumen.

Sosilawati bersama tiga lagi rakannya dilaporkan hilang pada 30 Ogos lalu sebelum ditemui dibunuh di Ladang Gadong, di sini.

Sebelum ini, polis menjalankan operasi mencari bahan bukti di Sungai Panchau dan menemui serpihan tulang manusia dipercayai milik keempat-empat mangsa.


Selain itu, beberapa senjata seperti pisau, batang besi dan dua jam tangan dipercayai milik mangsa ditemui di Sungai Kanchung Laut, di sini. Polis turut menemui enam zink di dasar Sungai Gelanggang Buaya di Kampung Kelanang, di sini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin gagal dihubungi bagi mengesahkan penemuan bukti baru itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Gelangemasberlumpur/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...