MASJID TANAH: Seorang bapa dihimpit kebimbangan apabila anak perempuannya berusia 14 tahun menghilangkan diri dipercayai mengikut teman lelaki dikenali apabila tidak pulang ke rumah neneknya di Taman Haji Abdul Samad, Lubuk Redan, dekat sini, sejak 27 Jun lalu.
Natasha Suhaila Mohd Iskandar yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Rahmat, Kuala Sungai Baru sudah tidak hadir ke sekolah sejak dua minggu.
Bapanya, Mohd Iskandar Talip, 40, yang menetap di Kampung Padang Jawa, Shah Alam, berkata anak keempatnya itu agak liar sebelum dia mengambil keputusan menyekolahkannya di sekolah berkenaan bersama abang sulung berusia 18 tahun dan kakaknya berusia 16 tahun supaya mudah dipantau.
Menurutnya, dia terkejut apabila mendapat tahu anak perempuannya itu tidak pulang ke rumah neneknya selepas keluar tanpa membawa sebarang pakaian kira-kira jam 5 petang pada 27 Jun lalu untuk bertemu seorang lelaki yang menunggu di tepi jalan.
“Lelaki berkenaan dipercayai menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna gelap didakwa sering menemui anak saya selepas waktu persekolahan sebelum memecut laju ke arah yang tidak diketahui.
“Malah, saya dimaklumkan pihak sekolah Natasha Suhaila sudah seminggu ponteng sekolah dan usaha mengesannya gagal.
“Saya yakin dengan andaian saya kerana selepas beberapa kali menghubungi telefon bimbitnya mendapati ada sesuatu yang pelik apabila terdapat suara lelaki di belakangnya, namun gagal mengetahui lokasi dia bersembunyi ketika ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Mohd Iskandar yang bekerja sebagai pemandu orang kenamaan tinggal di Shah Alam bersama isteri, Siti Suriawati Warno, 40, dan tiga anak lain berusia antara enam hingga 11 tahun.
Menurutnya, dia sudah puas mencari dengan bertanya kepada ahli keluarga mahupun rakan sebaya anak perempuannya itu, namun jawapan diterima mengecewakan.
Katanya, Natasha Suhaila yang memiliki ketinggian lebih 1.5 meter berambut lurus hitam paras bahu dan berkulit cerah sebelum ini didakwa pernah dilihat berpeleseran di pekan ini pada waktu malam, tetapi menghilangkan diri apabila dihampiri.
“Berikutan itu, saya merayu orang ramai yang melihat atau mengenali Natasha Suhaila menghubungi saya di talian 017-3007559 atau balai polis berhampiran,” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah berhubung kehilangan anaknya itu pada 4 Julai lalu.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakgadishilangikuttemanlelaki/Article