Wednesday, August 12, 2009

H1N1: Dua bayi mati, jumlah 44

Ogos 12, 09 4:33pm
Dua bayi dan seorang wanita hamil antara enam korban terbaru wabak influenza A (H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 44 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata enam pesakit yang meninggal dunia itu telah mendapat jangkitan antara 6 Ogos dan 9 Ogos.


Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau obesiti, katanya kepada pemberita di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Tarikh kematian sebenar enam kes tersebut adalah pada 7 Ogos (empat kematian), 9 Ogos (satu kematian) dan 10 Ogos (satu kematian).

Menurut beliau daripada enam kematian yang dilaporkan itu, seorang bayi perempuan berumur 10 bulan tanpa sejarah penyakit kongenital, dilaporkan mengalami demam dan batuk pada 1 Ogos dan dibawa untuk menerima rawatan pada 6 Ogos tetapi meninggal dunia keesokannya.

Liow berkata satu lagi kes kematian melibatkan bayi lelaki berumur 12 bulan yang mengalami penyakit jantung kongenital dan baru menjalani pembedahan jantung di hospital swasta sebelum dirujuk ke hospital kerajaan untuk rawatan lanjut pada 7 Ogos setelah mendapat demam dan sawan.

Bayi itu meninggal dunia pada 9 Ogos kerana mengalami komplikasi pembedahan jantung dan jangkitan pneumonia dan disahkan dijangkiti H1N1 pada 10 Ogos.

Satu lagi kes melibatkan seorang surirumah berumur 18 tahun yang mengandung 26 minggu. Wanita obes itu mula mendapat simptom batuk, sakit tekak dan selsema pada 3 Ogos dan mendapat rawatan di klinik kesihatan pada hari yang sama.

"Bagaimanapun keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke ICU hospital akibat sesak nafas pada 7 Ogos dan rawatan antivirus dimulakan pada hari yang sama dengan sampel sapuan tekak diambil pada 9 Ogos, sebelum disahkan mendapat H1N1 pada 10 Ogos dan telah meninggal dunia pada hari yang sama," katanya.

Liow berkata tiga lagi kes kematian H1N1 melibatkan lelaki berumur 60 tahun dan 62 tahun di bawah kategori risiko tinggi yang meninggal dunia akibat pneumonia dan seorang lelaki berumur 24 tahun, tanpa sejarah dan risiko penyakit, yang meninggal dunia pada 7 Ogos juga akibat pneumonia dan septicemia, dan disahkan mendapat H1N1 pada 10 Ogos.

Liow berkata terdapat 76 kes pesakit yang sedang dirawat di hospital dan 21 lagi kes di ICU di mana 12 daripadanya mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10 orang), obesiti (satu) dan selepas bersalin (satu).

Seramai 86 orang telah dibenarkan pulang dari hospital semalam.

Liow berkata mulai hari ini tiada lagi laporan akan dikeluarkan mengenai jumlah kes jangkitan H1N1, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita tidak melaporkan lagi kes-kes baru H1N1 kerana ia tidak memberi gambaran sebenarnya. WHO telah beri garis panduan bahawa semua negara tidak perlu laporkan lagi bilangan pesakit H1N1 dan hanya perlu melaporkan bilangan pesakit di hospital, bilangan di ICU and bilangan meninggal dunia," katanya. BERNAMA

http://www1.malaysiakini.com/news/110381

H1N1 konspirasi kapitalis buat duit


Hishamuddin Rais
Ogos 12, 09
5:29pm

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motosikal, akan ada paku-paku tajam ditaburkan. Ia bertujuan membocorkan tayar.

Tidak berapa jauh dari tempat paku itu, ada pula iklan "tukar tiub".

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di jalan menuruni terowong lebuh raya Karak sering ditaburkan minyak. Pernah sekali keretanya tergelincir.

Tidak jauh dari terowong ini, ada lori tarik kereta menunggu.

Cerita ini contoh taktik untuk menjalankan perniagaan - cara mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan, rukun imannya ialah keuntungan. Semua peniaga ingin mendapat untung.

Lebih banyak untung, lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 44 orang telah ditewaskan oleh virus selesema A (H1N1). Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita, malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua fenomena ini?

Pada 1963, satu persidangaan diadakan di Iron Mountains, tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika Syarikat sedang bertarung di Vietnam, Laos dan Kemboja.

Persidangan para pemikir ini untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika Syarikat. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku peperangan.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan:


- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum korporat,
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial,
- Melahirkan musuh sebagai strategi politik.


Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetik dan pembunuhan besar-besaran dalam usaha untuk mengawal manusia bagi memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis.

Di sini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi –
bioterrorism. Teknologi hayat akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada 1970 telah keluar satu memo, National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini.

Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Petikan sebahagian kandungan memo tulisan Kessinger:


"There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers (though apprently not recent migrants) may serve as a volatile, violent force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of violent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem.

The complex social and economic factors involved call for comprehensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group
."

Dalam bahasa mudah, Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu dikawal dan dibersihkan. Ia samalah dengar dasar 'setinggan sifar' yang selalu diuar-uarkan dalam negara kita ini.

Justeru, hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang berkait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat.

Malah semua makmal penyelidikan ini kait-mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana daripada syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrak daripada Jabataban Pertahanan Amerika Syarikat.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka untuk membuat keuntungan maksimum. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan agar perniagaan mendapat untung besar.

Syarikat ubat-ubatan bernabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit, lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – inilah dasar kaum kapitalis.

Justeru, jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, HIV, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor, begitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini.

Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan:

1 – mengurangkan penduduk dunia, dan
2 – menjual ubatan.


Tidak masuk akal? Ia hanya teori konspirasi? Ia pandangan gila Hishamuddin Rais? Sabar dahulu.

Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium (DU) sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat persenjataan menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakkan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

DU ini, daripada apa yang diheboh-hebohkan, adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak berbahaya kepada manusia. Kenyataan ini bohong!

Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak-anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – apabila ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi.

Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang-bengkok. Bayi-bayi ini gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknologi kaum imperial Anglo-Amerika.

Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus-menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut daripada Hishamuddin Rais? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga. Betul.

Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom.

Ia adalah penyakit baru - pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 1980-an, para veteran Desert Storm di United Kingdom menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit.

Permintaan ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir ramai yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan.

Jangan hairan, kaum kapitalis memang tidak berhati perut. Apa yang penting, keuntungan besar. Dan ini juga selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains.

Ia juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka - samalah seperti mengawal penduduk Kampung Kerinchi daripada berpindah ke Country Height atau menggodam setinggan di Kampung Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tunku.

Juga, hampir kesemua soldadu yang berperang itu adalah anak-anak kelas bawahan. Mereka ini, seperti kata Kessinger, sampah yang akan membawa masalah.

Soldadu Amerika hampir 80 peratus berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Malah George W Bush sendiri telah mengelak daripada pergi menyertai Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang "dibebaskan" atau yang telah dibocorkan, maka ternyata virus terbaru A (H1N1) ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia di bumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strategi itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan di sini – atau menganggap ia hanya teori konspirasi – sila cari dan baca.

Ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan isu ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini, tela diheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ia juga pengiklanan besar dari kaum kapitalis.

Untuk sementara waktu kita diberitahu bahawa vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan, mula-mulanya kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut, ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap.

Sama seperti menabur paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Beginilah sifat kapitalis. Beginilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis - ubatan adalah untuk kesihatan, bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis, hospital milik rakyat, bukan untuk diswastakan.

Dalam ekonomi sosialis, perubatan untuk semua dan bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyarakat sosialis, umat manusia penjana tamadun, bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan, bukan untuk keuntungan.

http://www1.malaysiakini.com/news/110426

6 kematian, 270 kes baru H1N1

Ogos 11, 09 12:14pm
Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan.

Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

Dalam kenyataan rasminya, ketua pengarah kesihatan berkata enam kematian terbaru juga berlaku lebih awal tetapi hanya disahkan dijangkiti H1N1 beberapa hari lalu.

"Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi atau asma.

"Tarikh kematian sebenar enam kes tersebut seperti berikut: 4 Ogos (seorang), 6 Ogos (2) dan 7 Ogos (3),"
kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada masa ini seramai 48 pesakit sedang dirawat di hospital dan 11 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada 11 kes di unit tersebut, empat mempunyai faktor berisiko iaitu penyakit kronik (dua orang), obesiti (1) dan selepas bersalin (1).


http://www1.malaysiakini.com/news/110295
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...