Thursday, November 11, 2010

Shamrin Fotograf Meninggal Dunia

Published: Khamis November 11, 2010 MYT 7:10:00 PM
Updated: Khamis November 11, 2010 MYT 9:03:48 PM

PETALING JAYA: Penyanyi Shamrin (gambar) atau nama sebenarnya Mohd. Shamrin Abd. Samad,45, dari kumpulan Fotograf meninggal dunia petang, Khamis.

Allahyarham yang popular dengan lagu Di Alam Fana Cinta pada era 90-an dikatakan rebah ketika bermain bola sepak di padang Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur kira-kira pukul 6 petang.

Menurut rakannya, Johan Aziz, Shamrin yang berasal dari Taman Mesra, Kajang, Selangor jatuh di padang selepas kira-kira 15 minit mereka bermain bola sepak.

“Ketika dia jatuh, kami terus membawa dia ke Hospital Pakar Al-Islam, Kampung Baru dan disahkan doktor dia meninggal dunia,” katanya.

Jenazah Allahyarham kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Sehingga berita ini ditulis kira-kira pukul 9.15 malam, Khamis, Johan yang juga bekas pengurus kumpulan Slam masih belum dimaklumkan oleh pihak hospital punca kematian penyanyi itu.

Shamrin telah melibatkan diri dalam lapangan muzik secara serius bersama kumpulan Fotograf yang menampilkan album pertama berjudul Iramanya Bergetar pada tahun 1989.

Setelah kejayaan album itu mereka terus mengorak langkah dengan menghasilkan lima buah album penuh 7:30 Psikosis (1990) , Fotograf 92 (1992), Fantasi (1994), Fokus (1995) dan Juara Mimpi (1997).

Fotograf pernah memenangi Lagu Pop Terbaik, pertandingan Juara Lagu 1992 untuk lagu Di Alam Fana Cintamu.

Antara lagu yang mempopularkan Fotograf ialah Nafas Kekasih , Asmara Gerhana, Panah Tak Bermata, Aku Yang Kecewa, Salam Buat Juwita, Mengejar Bayangan dan Luka Seribu Rindu.

http://mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/11/mstar_hiburan/20101111190700&sec=mstar_hiburan

Amukan cemburu

Oleh Hadzlihady Hassan

AMPANG: Hanya kerana isterinya enggan mengikutnya bekerja di Melaka, seorang lelaki naik angin dengan memukul selain mengugut mahu mengelar leher wanita berkenaan ketika pasangan itu bertengkar di rumah mereka di Pandan Jaya, kelmarin.

Malah, suami mangsa yang tidak berpuas hati selepas bapa mentuanya campur tangan turut memukul lelaki berkenaan hingga cedera.


Menurut sumber polis, kejadian berlaku jam 9 pagi ketika lelaki berusia 30 tahun itu pulang ke rumah sebelum berlaku pertengkaran antara dia dan isterinya.

“Suami mangsa bekerja sebagai jurukimpal di Melaka dan pada hari itu mengajak mangsa mengikutnya mencari pekerjaan dan tinggal bersama.


“Bagaimanapun, mangsa enggan dan ini membuatkan lelaki terbabit berang sebelum bertindak memukul kepala dan menumbuk muka mangsa,” katanya.


Beliau berkata, lelaki terbabit seperti hilang akal kemudian menarik rambut isterinya sebelum mengambil pisau dan mengugut mahu mengelar leher wanita berkenaan.

“Ketika itu, bapa mangsa yang melihat kejadian berkenaan cuba menghalang tindakan menantunya sebelum dia turut dibelasah.


“Lelaki terbabit terus mengamuk dan memecahkan pelbagai barang yang ada dalam rumah kerana tidak berpuas hati dengan isteri dan keluarga mentuanya,” katanya.

Menurutnya, melihat mangsa sudah hilang kawalan, mereka menghubungi polis sebelum lelaki itu ditahan.


Pasangan terbabit sudah mendirikan rumah tangga sejak empat tahun lalu dan dikurniakan seorang anak. Sejak berkahwin, mangsa mendakwa sering menjadi mangsa keganasan rumah tangga.


Malah, sudah banyak laporan polis dibuat mangsa dan kali ini lelaki terbabit dapat diberkas.


Difahamkan, suami mangsa juga cemburu dan mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain dan disebabkan itu dia mengajak wanita itu ke Melaka.


Keengganannya membuatkan dia lebih menaruh syak wasangka sebelum mengamuk.


Timbalan Ketua Polis Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan juga penahanan lelaki terbabit.


Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan berhubung kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amukancemburu/Article/index_html

Selangor dirayu akur

Oleh Amir Abd Hamid

KUALA LUMPUR: “Tolong jangan mempolitikkan isu air. Ini adalah projek membabitkan kepentingan seluruh penduduk Lembah Klang termasuk Putrajaya,” kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berhubung projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.

Beliau berkata, memang terbukti sudah ada kajian menunjukkan Lembah Klang akan menghadapi krisis bekalan air menjelang 2014 dan kerajaan tak boleh tunggu hingga tarikh itu untuk bertindak.


Malah, katanya, kapasiti bekalan air sedia ada yang efektif adalah 4,326 juta liter sehari dan dengan purata unjuran kira-kira 4,625 juta liter sehari selepas mengambil kira kepesatan pembangunan di Selangor dan berdasarkan itu, pada 2012 Selangor dijangka mengalami kekurangan bekalan air, kira-kira 299 juta liter sehari.

“Kerajaan Pusat amat berharap kerajaan Selangor dapat memberi kerjasama dalam meluluskan segala permohonan permit, pengambilan tanah dan kebenaran merancang.


“Ini khususnya untuk projek Loji Rawatan Air Langat 2 yang juga kesinambungan kepada projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.


“Diharapkan sangat tidak mengaitkan isu penstrukturan semula industri bekalan air di Selangor dengan projek gergasi yang menelan belanja keseluruhan bernilai RM3.94 bilion ini. Kepentingan rakyat jangka panjang perlu diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Tunnel Boring Machine (TBM3) di Tapak Projek Adit 4, Batu 14, Jalan Hulu Langat, di sini, semalam.


Hadir sama, Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan Pengarah Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor, Datuk Ismail Mat Noor.

Dalam majlis semalam, turut diadakan pengumuman nama mesin diguna dalam projek berkenaan iaitu Tiara Midori bagi (TBM3), Selpah (TBM2) dan Kamila (TBM1).


Projek penyaluran air mentah dari Sungai Kelau-Sungai Semantan dari Karak, Pahang ke Hulu Langat menggunakan sistem pengepaman dan penyaluran air melalui paip berkembar menggunakan terowong dari Karak ke Hulu Langat bergaris pusat 5.2 meter sepanjang 44.6 kilometer.


Projek yang dimulakan pada 1 Jun lalu dan dijangka siap 30 Mei 2014 (tempoh 60 bulan) itu adalah terowong penyaluran air mentah terpanjang di Asia Tenggara dan keenam di dunia.


Ia bakal menyalurkan air mentah sebanyak 1,890 juta liter sehari apabila siap kelak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Selangordirayuakur/Article/index_html

Ahli parti mahu saya terus memimpin: Azmin

SHAH ALAM: “Kalau kita yakin dengan sistem demokrasi dalam kerajaan mahupun parti, kita kena menghormati keputusan yang dibuat anggota parti,” kata Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Selangor, di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan Pengerusi Perhubungan PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim melepaskan semua jawatan dalam parti itu.


Pada masa sama, beliau menegaskan kedudukannya dalam parti ditentukan anggota PKR dan Zaid.

“Saya juga bersedia untuk ambil peranan lebih kecil sekiranya itu yang dimahukan anggota parti.


“Namun sehingga kini dokongan anggota parti untuk saya memimpin cukup besar termasuk di Sabah, maka bukan soal individu mahupun Zaid untuk tentukan saf kepimpinan parti,” katanya.


Zaid dalam sidang medianya kelmarin menggesa Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden parti, Azmin berundur kerana mereka punca segala masalah dalam parti.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pandangan itu disuarakan bagi memastikan PKR terus relevan sebagai sebuah parti pembangkang yang berkesan.


Azmin berkata, beliau tidak akan berganjak dengan ugutan yang dibuat kerana menghormati prinsip demokrasi dan parti.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ahlipartimahusayaterusmemimpin_Azmin/Article/index_html

Bomoh angau

Oleh Ibrahim Isa

BATU PAHAT: Seorang bomoh menaruh perasaan terhadap sepupu isterinya, melakukan kaedah jampi pelik sebelum membogel dan merogol mangsa di atas sejadah di rumahnya di Taman Suria, Kluang, dekat sini, ketika wanita berusia 38 tahun itu mendapatkan bantuan melariskan perniagaannya, April lalu.

Bomoh berusia awal 40-an turut menggunakan ilmu sihir terhadap mangsa, dikatakan memberi pelbagai tangkal seperti minyak dagu, keris, batu cincin serta keris sebelum mendesak wanita itu menuntut cerai daripada suaminya kerana mahu bernikah dengan mangsa.


Mangsa hanya mahu dikenali Shidah, 38, berkata, dia ke rumah sepupunya berikutan perniagaannya mengalami masalah dan mahu mendapatkan bantuan bomoh bagi melariskan perniagaan.

“Saya kenal bomoh itu kerana dia dan sepupu pernah berkunjung ke rumah keluarga saya di Layang-layang dan pada hari kejadian pertama kali tergerak mendapatkan bantuannya.


“Apabila tiba di rumah bomoh, saya ditemani anak berusia 18 tahun bertemu sepupu. Kemudian diminta sepupu berseorangan mengikut suaminya ke bilik di tingkat atas rumah teres dua tingkat.


“Pada mulanya saya bimbang, namun sepupu memberitahu ia perkara biasa kerana suaminya tidak mahu diganggu ketika mengubat orang,” katanya.

Menurutnya, percaya dengan kata-kata sepupunya, dengan berat hati dia mengikuti lelaki berkenaan memasuki bilik pelik dengan bau yang sukar digambarkan.


Katanya, lelaki itu meminta dia minum air jampi sebelum diminta berbaring atas sejadah dan membuka semua pakaiannya.

“Selepas minum air itu, segala perasaan bimbang dan was-was hilang dan saya hanya mengikuti arahannya.


“Selepas membuka pakaian dan berbaring atas sejadah, dia menyapu seluruh badan termasuk kemaluan dengan sejenis minyak sebelum menutup badan dengan kain putih seperti dikafankan.


“Tidak lama selepas itu, saya dapati dia menyelak kain dan cuba merogol menyebabkan saya cuba melawan, namun dia mengugut ‘upacara sudah mula, kau sudah dikafankan, jika kau tidak mahu teruskan kau boleh jadi gila’ menyebabkan saya lebih takut dan keliru.


“Saya tetap meronta, namun dia terus merogol saya. Apabila selesai, dia memberi amaran jangan memberitahu orang lain atau saya mungkin mati,” katanya.


Menurutnya, sebelum pulang bomoh berkenaan memberinya minyak yang didakwa boleh melariskan perniagaan di mana dia perlu menyapu minyak itu di badan, bibir dan muka setiap hari.


Katanya, sejak menggunakan minyak itu, hatinya teringatkan bomoh berkenaan seolah-olah dipukau dan pada masa sama hubungannya dengan suami renggang.


“Beberapa minggu kemudian, bomoh itu menelefon dan menyuruh saya datang ke rumah untuk memberi tangkal dan ketika itu turut merogol saya dengan cara sama.


“Saya tidak boleh berfikir dan apabila dia melarang saya bersama suami, saya hanya mengikut arahannya. Pada masa sama, hubungan dengan suami semakin dingin hingga lelaki itu menyuruh saya meminta cerai,” katanya.


“Oktober lalu, saya keluar dari rumah kami di Kulaijaya dan tinggal bersama ibu bapa di Layang-layang bersama lima anak sebelum pergi ke Jabatan Agama Johor untuk memohon cerai dan tarikh perbicaraan ditetapkan pada 27 Oktober lalu,” katanya.


Bagaimanapun katanya, suami memujuk supaya mereka bertemu pada 26 Oktober lalu sebelum dia dipulihkan seorang rakan suami yang melakukan ikhtiar bagi membatalkan ilmu hitam dikenakan kepadanya.


Shidah berkata, apabila tersedar dengan kejadian sebenar yang berlaku, dia hanya menangis dan tidak boleh tidur serta makan kerana teringatkan segala perbuatannya dengan bomoh berkenaan.


Menurutnya, dia membuat laporan kejadian rogol ketika dipukau di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada 27 Oktober lalu selain menjalani pemeriksaan perubatan di Hospital Kluang pada hari sama.


“Pada keesokan hari, bomoh yang menyangka saya sudah bercerai datang ke rumah ibu di layang-layang sebelum terkejut apabila mendapati suami turut berada di rumah.


“Apabila suami bertanyakan apa yang sudah dilakukan kepada saya, mereka bertengkar sebelum bomoh mengeluarkan pisau menyebabkan suami menumbuknya bagi mempertahankan diri.


“Ketika itu, baru dia mengaku menyalahgunakan ilmunya memecahbelahkan rumah tangga kami kerana dia berminat memperisterikan saya,” katanya.


Katanya, sejak dipukau bomoh itu, dia sering memberikan wang kepadanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bomohangau/Article/index_html

KPT jalankan siasatan

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kini sedang menjalankan siasatan daripada segi pembelajaran di Kolej Antarabangsa Fazley (FIC) sama ada ia melanggar syarat ditetapkan atau sebaliknya selepas University of Wales, United Kingdom (UK) menggantung sementara kerjasama yang terjalin antara dua pihak berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata beliau enggan mengulas lanjut mengenai isu penggantungan itu dan menyerahkan universiti berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut berkenaan isu itu.


Menurutnya, pada dasarnya sesiapa saja di Malaysia boleh menubuhkan atau membuka kolej asalkan pengajian akademik dan syarat lain yang ditetapkan dipatuhi sesebuah kolej seperti tenaga pengajar harus memiliki kelayakan manakala pemilik atau pengarah kolej tidak diwajibkan mempunyai kelayakan.

“Sekiranya universiti itu mewujudkan kerjasama dengan sebuah kolej berasaskan kepada pengurus atau pemiliknya, ia adalah soal dia dan menjadi haknya jika universiti itu menetapkan pemilik kolej yang bekerjasama dengan mereka perlu memiliki kelayakan akademik.


“Apa yang berlaku ketika ini adalah antara universiti itu dan FIC. Pada masa sama, kementerian sedang menyiasat sama ada FIC mematuhi pembelajaran dan syarat yang diberikan untuk menubuhkan sesebuah kolej atau sebaliknya,” katanya selepas merasmikan Persidangan Pembelajaran Sepanjang Hayat Antarabangsa 2010 di Hotel Seri Pacific di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar mengenai University of Wales, UK menggantung hubungannya dengan FIC milik penyanyi Malaysia, Fazley Yaakob sehingga siasatan dilakukan.

Akhbar itu melaporkan berikutan satu laporan Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang menyatakan tindakan itu dilakukan berikutan kontroversi berkaitan dengan kelayakan akademik penyanyi terbabit yang dikatakan memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dan sarjana palsu dalam bidang pentadbiran perniagaan.


BBC dalam program Week In Week Out: University Challenged mendakwa Fazley memiliki Ph.D palsu dan kini mengendalikan kolej yang menawarkan kursus sarjana muda dari University of Wales.

Dalam perkembangan sama, satu artikel laman web BBC semalam menyatakan Fazley meletakkan jawatannya sebagai pengarah bagi menjaga nama baik kolej itu yang digantung hubungannya buat sementara waktu. Sebagai contoh, jika sesebuah kolej menjalankan sesuatu program, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan melihat sama ada ia mempunyai tenaga pengajar yang cukup dan layak untuk mengajar dalam bidang itu.


“Bagaimanapun, saya enggan mengulas lanjut isu penggantungan ini. Apa yang boleh saya katakan, kita hanya akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya ia menjalankan pengajian sedangkan tiada orang yang layak untuk mengajar dan menjalankan pengajian tanpa mematuhi syarat ditetapkan kementerian,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KPTjalankansiasatan/Article/index_html

Minda: Denggi ragut 117 nyawa

KETIKA ini 1.8 bilion penduduk di rantau Asia Pasifik terdedah kepada ancaman wabak denggi yang sangat menakutkan dan ia adalah virus berjangkit yang menular paling cepat dengan 2.5 bilion penduduk dunia juga turut terdedah kepada ancaman ini.

Pada masa sama, sebanyak 70 peratus daripada 1.8 bilion penduduk Asia Pasifik dengan kebanyakannya di negara membangun bakal berhadapan dengan wabak yang boleh meragut nyawa jika langkah pencegahan tidak dilakukan segera.


Di negara kita pula, 39,264 kes denggi dilaporkan dalam tempoh Januari hingga Oktober lalu meningkat 18 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Kes kematian akibat demam denggi meningkat 63 peratus atau 45 kematian dan menjadikan jumlah keseluruhan kematian 117. Secara umumnya, kes denggi banyak berlaku di kawasan bandar memandangkan terdapat tapak kediaman, premis perniagaan dan perumahan yang berpenduduk ramai.

Keadaan sangat kritikal ini memaksa Jawatankuasa Wabak Denggi Peringkat Daerah diwujudkan di hampir 33 kawasan seluruh negara bagi membasmi pembiakan nyamuk aedes di kawasan berkenaan di mana jawatankuasa itu adalah satu badan yang melibatkan semua agensi di peringkat daerah termasuk kesihatan, polis, majlis daerah, sekolah, penghulu dengan pegawai daerah selaku pengerusi perlu mengadakan mesyuarat setiap minggu untuk memantau keadaan dan melaporkan kepada pihak berkuasa.


Sehubungan itu, dalam usaha memastikan misi pencegahan serta penghapusan wabak ini mencapai objektifnya maka semua pihak perlu memainkan peranan berusaha mengenal pasti kaedah membasmi penularan wabak denggi seluruh negara.


Langkah yang paling penting sekali meningkatkan kesedaran masyarakat membasmi wabak itu yang sehingga kini dilihat masih lagi rendah serta ramai bersikap sambil lewa saja. Semua lapisan masyarakat bertanggungjawab terhadap persekitaran kebersihan kawasan kediaman, premis perniagaan dan pekerjaan bagi memastikan wabak ini dapat dihapuskan sehingga ke akar umbi.

Program gotong-royong perlu lebih kerap diadakan di kawasan berisiko tinggi denggi bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes dan ini dapat meningkatkan lagi kesedaran semua golongan mewujudkan persekitaran yang bebas daripada pembiakan nyamuk.


Selain itu pelbagai program perlu diadakan termasuklah pameran, taklimat serta ceramah dan menggalakkan penyertaan masyarakat yang peka dengan tempat pembiakan nyamuk terutama di persekitaran rumah masing-masing. Orang ramai juga misalnya boleh meluangkan masa sekurang-kurangnya sepuluh minit sehari bagi memeriksa kawasan kediaman dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk seperti memeriksa saluran longkang, menanam tin atau botol kosong, mengganti air di alas pasu bunga dan sebagainya bagi mencegah pembiakan nyamuk.

Manakala cadangan membasmi demam denggi menerusi program pelepasan nyamuk aedes yang diubahsuai secara genetik seperti yang diwar-warkan baru-baru ini juga wajar diberi perhatian serius dan jika eksperimen ini berjaya maka Malaysia mampu mengubah landskap perkembangan bidang perubatan dan kesihatan arus perdana yang kini masih di peringkat kajian. Nyamuk genetik yang sedang dibangunkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi mengawal wabak denggi dijangka dilepaskan untuk kajian selama sebulan di Bentong, Pahang dan Alor Gajah, Melaka pada Disember ini. Pelepasan yang akan dibuat berperingkat itu melibatkan 4,000 hingga 6,000 ekor bersama-sama nyamuk aedes jantan liar. Penyelidikan nyamuk genetik yang dimulakan pada September tahun lalu itu melibatkan pelepasan nyamuk jantan GE yang membawa gen ‘pembunuh’ yang dibiarkan mengawan dengan nyamuk betina liar sehingga menyebabkan kematian progeni atau keturunan bagi kedua-dua jenis nyamuk itu. Penggunaan nyamuk tersebut bagaimanapun melahirkan kebimbangan sesetengah pihak bahawa ia akan mengganggu ekosistem sedia ada, bahaya dan berisiko tinggi.


Biarpun begitu, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai uji kaji lapangan itu kerana ia tidak berbahaya kerana hanya nyamuk jantan yang akan dilepaskan dan ia tidak menghisap darah atau membawa virus denggi. Malahan nyamuk tersebut akan ditangkap semula menggunakan prosedur standard yang diguna pakai oleh Kementerian Kesihatan.


Biarpun begitu, dengan langkah pencegahan dan pembasmian yang mantap, angka wabak denggi yang tinggi ketika ini amat membimbangkan dan seharusnya dipandang serius oleh semua pihak. Di samping aktiviti yang dijalankan seperti gotong-royong, pameran, ceramah berkaitan denggi dan penyebaran risalah kempen, pembabitan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) juga sangat penting dalam usaha ini. Malah, kuasa yang dimiliki oleh Kementerian Kesihatan misalnya yang boleh mengenakan kompaun sehingga RM500 bagi setiap kes kesalahan pembiakan nyamuk aedes tanpa sebarang peringatan perlu diperluaskan lagi dan dilaksanakan secara tegas memandangkan masyarakat telah diberi peluang untuk membasmi wabak tersebut.

> Penulis seorang guru

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Denggiragut117nyawa/Article/index_html

MB Kedah berang laporan media

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, semalam berang dengan laporan media arus perdana yang dikatakan memberi laporan berat sebelah mengenai bencana banjir selain mendakwa beliau tidak turun padang membantu.

Beliau berkata, media arus perdana menuduh kerajaan negeri tidak menjalankan tanggungjawab kepada mangsa banjir. “Siapa kata saya tidak turun padang dan tidak melawat pusat pemindahan banjir? Hari pertama di Padang Terap, saya redah air banjir hampir setiap malam. Saya jumpa mangsa banjir setiap hari dan pulang lewat malam,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, di sini, semalam.


Dalam sidang media itu, Azizan juga enggan melayan soalan wartawan mengenai situasi banjir dan menyuruh wartawan bertanya kepada Kerajaan Pusat.

“Saya tak mau komen mengenai banjir. Kalau nak tahu tanya Kerajaan Pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Saya tidak mahu campur,” katanya.


Difahamkan, Azizan berang dengan kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mendakwa kerajaan negeri lewat dan tidak cekap ketika memberi bantuan kepada mangsa banjir.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MBKedahberanglaporanmedia/Article/index_html

Giant sumbang RM140,000

SHAH ALAM: Atas dasar keprihatinan terhadap mangsa banjir di utara Semenanjung, pasar raya Giant menyalurkan barangan keperluan dan sumbangan makanan bernilai RM140,000.

Pengurus Komunikasi Korporat GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd, Zamri Maulan, berkata sebanyak RM120,000 dalam bentuk seperti minyak masak, beras, biskut, mi segera, sardin, air minuman coklat, kopi, teh, gula dan barangan keperluan lain disampaikan kepada mangsa banjir menggunakan khidmat empat buah lori, baru-baru ini.


Menurutnya, pengedaran barangan sumbangan daripada Giant diselaraskan melalui Yayasan Pendidikan dan Prihatin Kedah (YPKPK) iaitu organisasi sukarela yang meliputi daerah yang dilanda banjir dan pusat bantuan di Pusat Penempatan Anak Bukit, Pusat Penempatan Daerah Jerlun, Pusat Penempatan Daerah Pendang, Pusat Penempatan Daerah Padang Terap, Kawasan Alor Janggus dan Pusat Penempatan Kubang Rotan.

Katanya, sumbangan tambahan bernilai RM20,000 diserahkan kepada Ahli Parlimen Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GiantsumbangRM140_000/Article/index_html

Bah roboh rumah

Oleh Mohamad Hussin

JITRA: “Saya sekeluarga tinggal sehelai sepinggang kerana pakaian dan barangan lain tidak dapat diselamatkan selepas air naik mendadak hingga ke paras dada.

“Apa yang kakak sedih sangat apabila melihat rumah sewa runtuh dengan dinding terkopak dibawa arus deras. Selepas ini kakak tak tahu nak duduk mana,” kata Norsharidah Md Zin, 40, menceritakan pengalaman terbabit dalam banjir besar di Kampung Kubang Lembu, di sini, semalam.


Beliau berkata, pada malam kejadian 2 November lalu, kira-kira jam 11.30 malam, dia dan suaminya, Mohd Hussin Mohd Saad, 39, bersama dua anak mereka Mohd Asraf, 12, dan Mohd Daniel Aidil, 4, sedang tidur.

“Kakak rasa tak sedap hati kerana hujan lebat tanpa henti malam itu. “Namun, pada jam 11.45 malam, kakak terkejut apabila air mula memasuki rumah hingga ke paras lutut, tanpa berlengah kakak mengejutkan kedua-dua anak dan membawa mereka menumpang di rumah jiran yang terletak di depan rumah.


“Selepas itu kakak pulang semula ke rumah untuk mengambil barangan rumah dan pakaian. Tidak sampai 15 minit, air naik macam ombak sehingga ke paras dada membuatkan kakak panik dan meredah air untuk menyelamatkan diri bersama suami,” katanya, di sini, semalam.


Beliau berkata, dia tidak sempat menyelamatkan barang dalam rumah termasuk pakaian kerana air terlalu deras meranapkan sebahagian rumah sewanya itu.

“Kakak bersyukur kerana sempat menyelamatkan anak, kalau tidak kakak tidak tahu nasib yang menimpa mereka berdua.


“Semua barang musnah sekelip mata. Kami cuma tinggal sehelai sepinggang kerana gagal menyelamatkan harta benda.

“Kakak sewa di sini sejak lima bulan lalu dengan bayaran sewa RM80 sebulan. Kami bukan orang senang, setakat cukup makan saja kerana pendapatan suami sebagai tukang kebun hanya RM480 sebulan tidak mampu untuk membeli baju dan barangan rumah lain,” katanya.


Norsharidah berkata, dia bersyukur kerana Penghulu Mukim Jitra, Roslan Jamaludin membenarkannya menetap sementara di Dewan Taman Indera, di sini, sehingga pihaknya memberi bantuan rumah.


“Saya juga berterima kasih kepada penduduk kampung yang bermurah hati mendermakan pakaian untuk kami, selain menghulurkan makanan,” katanya. Selain, Norsharidah, adiknya Hasmanita, 38, dan suaminya, Roslan Ariffin, 43, turut menumpang teduh di dewan berkenaan kerana rumah mereka juga turut musnah akibat banjir.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bahrobohrumah/Article/index_html

131 sukarelawan NSTP berlepas

KUALA LUMPUR: Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa melepaskan 131 sukarelawan terdiri daripada kakitangan NSTP, Media Prima Berhad dan Mydin Mohamed Holdings Bhd dalam menyertai Misi Bantuan Banjir ke Kedah dan Perlis di Balai Berita NSTP, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Datuk Mustapa Omar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Bhd, Datuk Ameer Ali Mydin.

Sukarelawan akan berkampung selama dua hari di Kedah dan Perlis bagi menjalankan kerja pembersihan dan mengedarkan 1,000 kotak barangan keperluan bernilai RM100,000 dari Tabung Bencana NSTP-Media Prima dan RM10,000 sumbangan pasaraya Mydin.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/131sukarelawanNSTPberlepas/Article/index_html

Kowaja derma RM50,000 untuk mangsa banjir

KUALA LUMPUR: Atas dasar prihatin terhadap mangsa banjir di Kedah dan Perlis, Koperasi Wawasan Pekerja-Pekerja Berhad (Kowaja) menyumbang RM50,000 kepada Tabung Bencana The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP)-Media Prima, semalam.

Setiausaha Kehormat Kowaja, Mohd Faizal Abdullah, berkata sumbangan berkenaan diharap dapat membantu mangsa banjir sekali gus dapat meringankan bebanan yang ditanggung mereka.


Menurutnya, memandangkan banjir yang melanda di dua negeri terbabit agak teruk berbanding sebelumnya menimbulkan rasa tanggungjawab Kowaja untuk menyalurkan sumbangan yang termampu kepada mereka yang memerlukan.

“Sememangnya sudah menjadi tradisi Kowaja memberikan bantuan kepada orang ramai terutama apabila berlakunya bencana alam, malah kami turut memiliki tabung koperasi bagi sumbangan amal,” katanya ketika menyerahkan sumbangan kepada Ketua Komunikasi Korporat & Pengurusan Acara NSTP, Wan Abdillah Wan Nawi, di Balai Berita, di sini, semalam.


Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pengurus Hal Ehwal Urusetia Kowaja, Sikandar Shariff dan Mark Ambrose.


Mohd Faizal berkata, Kowaja mengharapkan melalui sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat mengembalikan kegembiraan kepada mangsa-mangsa banjir yang ternyata memerlukan belas ihsan daripada orang ramai.

Individu dan organisasi yang mahu membantu mangsa banjir boleh menyalurkan sumbangan kepada nombor akaun Maybank 5141-0532-0757 dengan nama Tabung Bencana NSTP-Media Prima atau dihantar ke Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, 59100, Kuala Lumpur. Ia juga boleh disalurkan melalui Maybank2u, pindahan dana di mesin juruwang automatik (ATM) dan Kawanku Phone Banking, mesin deposit tunai, mesin deposit cek dan kaunter Maybank.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KowajadermaRM50_000untukmangsabanjir/Article/index_html

Tidur alas plastik

Oleh Riadz Radzi

POKOK SENA: Sebuah keluarga di Kampung Bukit, Mukim Derang, di sini, terpaksa tidur beralaskan plastik dan berdindingkan papan lapis apabila dinding rumah mereka runtuh dirempuh arus banjir minggu lalu.

Pemilik rumah, Md Noor Rejab, 46, berkata arus deras dari Sungai Pelubang yang terletak kira-kira 50 meter bukan saja menghentam rumahnya, tetapi dua lagi rumah menyebabkan ia turut mengalami kerosakan serius.


“Saya mula menyedari dinding bata rumah saya runtuh apabila melalui kawasan itu, Jumaat lalu ketika air masih lagi pada paras lebih dari satu meter.

“Sebahagian besar dinding yang dilengkapi pintu dan tingkap itu runtuh menyebabkan rumah saya berlubang. Namun waktu itu saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana air banjir masih dalam,” katanya.


Berikutan itu, apabila banjir mulai surut sejak beberapa hari lalu, Md Noor bersama isteri, Zubaidah Nor, 38, serta anak mereka, Nor Naizatul Anis, 19, Nor Ifazatul Idayu, 17, Nor Amalini Amylia, 15, Mohd Yusri, 11, dan Mohd Shukri, 9, terpaksa tinggal dalam keadaan serba kekurangan dan hanya meletakkan papan lapis bagi menggantikan dinding yang runtuh itu. “Kami juga hilang pendapatan apabila kedai runcit yang diusahakan isteri secara kecil-kecilan di rumah turut musnah dan terpaksa bergantung kepada pendapatan saya yang tidak menentu sebagai pemandu lori. Saya runsing kerana tiada wang untuk membina dan membaiki semula rumah kami,” katanya. Md Noor berkata, dia sekeluarga berharap ada pihak yang sudi membantu membaik pulih rumah mereka.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tiduralasplastik/Article/index_html

Sekadar membaca tak beri impak besar

KUALA LUMPUR: “Pengaruh bahan bacaan memainkan peranan dalam membina sahsiah diri seseorang insan namun tidak semua bahan bacaan itu mampu memberi impak yang besar sekiranya ia tidak dibaca berulang kali,” kata Penaung Darussyifa’, Datuk Dr Harun Din.

Beliau berkata demikian ketika mengulas muka depan Harian Metro semalam yang melaporkan seorang pemuda berusia 23 tahun menetak kepada ibu kandungnya sehingga mati dipercayai terpengaruh ilmu mistik di Felda Chini Timur 1.


Menurut Harun, kemungkinan ada faktor lain menjadi penyumbang kepada tindakan ‘gila’ lelaki itu namun tidak dapat dikenal pasti orang sekelilingnya termasuk ahli keluarga.

“Wujud faktor bukan fizikal iaitu pengaruh luar yang dilakukan makhluk halus dalam diri lelaki itu sehingga dia gagal mengawal kewarasan akal fikiran dan tindakan yang dipanggil Massus Syaitan.


“Pengaruh kuasa ghaib, ilmu mistik dan makhluk halus memang wujud dan sudah disebut dalam al-Quran malah kuasa itu juga mampu mempengaruhi manusia,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan lelaki itu dibebani masalah tekanan hidup termasuklah tekanan mental, faktor kekecewaan yang ditanggung sekian lama atau bebanan yang terpaksa ditanggung menyebabkan dia hilang kewarasan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sekadarmembacatakberiimpakbesar/Article/index_html

Geng Big Bear tumpas

KUALA LUMPUR: Sekumpulan lima remaja yang menggelar diri geng ‘Big Bear’ ditahan sebelum sempat menyamun sebuah kafe Internet di Sentul, di sini, awal pagi kelmarin.

Semua remaja yang berusia antara 17 dan 20 tahun itu ditahan kira-kira 6.15 pagi di hadapan kafe berkenaan.


Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata suspek terbabit dipercayai sering menyasarkan kedai serbaneka 24 jam dan kafe Internet di Sentul dan kawasan berhampiran.

Menurutnya, semua suspek aktif menjalankan kegiatan samun itu kerana tidak bekerja dan tidak bersekolah.


“Suspek menggunakan modus operandi sama setiap kali menyamun iaitu menyerbu masuk ke dalam premis beramai-ramai dan mengacukan senjata bertujuan menakutkan mangsa.


“Tindakan kumpulan terbabit dianggap berani kerana tidak memakai penutup muka ketika menyamun premis sasaran mereka,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, seorang suspek dipercayai ketua kumpulan itu dikenali sebagai Big Bear kerana mempunyai berbadan besar.


Menurutnya, setakat ini, siasatan awal polis mendapati suspek terbabit dalam tujuh kes samun dan polis percaya banyak lagi kes samun membabitkan suspek.

“Dengan penahanan kelima-lima suspek terbabit, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes sama membabitkan samun premis 24 jam di Gombak dan Wangsa Maju,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/GengBigBeartumpas/Article/index_html

Dua beradik pakat lari

Oleh Hamizah Badiran

HILANG...Nooranalina (kanan) dan adiknya, Noorsyafinas.
HILANG...Nooranalina (kanan) dan adiknya, Noorsyafinas.

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kini tertekan apabila dua anak perempuan mereka dipercayai berpakat melarikan diri dari rumah sejak Khamis lalu.

Abdul Rahim Yacob, 52, berkata anaknya, Nooranalina, 18, hilang sehari selepas adiknya, Noorsyafinas, 15, meninggalkan rumah mereka di Jalan Air Keroh, Cheras, di sini, selepas keluar untuk membeli kad prabayar telefon di kedai berhampiran.


“Kira-kira jam 9 malam pada 4 November (Khamis) lalu, Norsyafinas enggan mengikut kami berniaga dan tinggal di rumah bersama kakak sulungnya, Noorasyikin, 20, di rumah.

“Namun, sejam selepas itu kami menerima panggilan Noorasyikin mengatakan adiknya tidak balik ke rumah selepas meminta izin keluar membeli kad prabayar,” katanya.


Panik dengan kejadian itu, beliau sekeluarga pulang ke rumah untuk mencarinya di kawasan sekitar, namun hampa kerana kelibatnya tidak kelihatan.


“Peliknya, sehari selepas Noorsyafinas hilang, Nooranalina pula buat hal sama. Dia hilang di tempat kami berniaga buah-buahan iaitu di Dataran Merdeka selepas pergi ke tandas. “Namun sebelum itu, abangnya ada ternampak empat motosikal mendekatinya, tetapi tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit dan mereka lesap hingga hari ini,” katanya.

Abdul Rahim berkata, sebelum ini kedua-dua anaknya itu pernah keluar dari rumah bersama, tetapi ditemui semula.


“Kehilangan mereka sudah banyak kali dan sebelum ini pernah ditemui di Selayang dan Petaling Jaya.

“Mereka berdua macam belangkas dan saling menyimpan rahsia supaya tak diketahui kami sekeluarga sebab itu saya syak mereka berdua berpakat melarikan diri bersama,” katanya.


Menurutnya, lebih membimbangkan jika terdapat individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas mereka untuk melakukan jenayah.


Nooranalina dilihat kali terakhir memakai baju dan seluar jeans berwarna gelap manakala adiknya memakai baju-T dan seluar jean berwarna biru. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/articles/Duaberadikpakatlari/Article

Bekas guru ke penjara

Bekas guru ke penjara

Oleh Junaidi Ladjana

BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.
BERSALAH...Adrian dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu selepas dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan empat sebatan, semalam.

KOTA KINABALU: "Sepatutnya tugas kamu sebagai guru ialah mendidik, tetapi apa yang kamu lakukan ini menjejaskan profesion perguruan," kata Hakim Duncan Sikidol sebelum menjatuhkan hukuman 36 tahun penjara dan empat sebatan ke atas bekas guru, Adrian Simon, 31, yang didapati bersalah merogol seorang murid warga Singapura.

Adrian didapati bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam, terhadap dua tuduhan merogol murid berusia 11 tahun itu di sekolah berkenaan pada Februari dan Mac lalu.

Bagi tuduhan pertama, guru Matematik dan Sains itu dihukum penjara 18 tahun dan dua sebatan kerana merogol murid berkenaan di stor makmal sekolah antara jam 2.10 hingga 3.30 petang pada Februari lalu.

Bagi tuduhan kedua, Adrian dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di makmal jam 10.25 pagi pada 26 Mac lalu dan dikenakan hukuman penjara 18 tahun serta dua sebatan.

Adrian dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 376(2)(e) Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Luke Ressa Balang manakala tertuduh diwakili Hairul Othman dan PJ Perira bertindak sebagai peguam pemerhati bagi pihak keluarga mangsa.

Terdahulu, Hairul memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan terhadap anak guamnya berdasarkan kerjasama diberikan kepada polis selain tiada rekod kesalahan lampau.

Bagaimanapun, permohonan itu dibantah Luke dengan alasan tertuduh tidak seharusnya melakukan jenayah yang menjatuhkan kredibiliti perguruan.

“Sebagai guru, tertuduh bertanggungjawab mendidik murid, bukannya melakukan kesalahan jenayah. Kita harus memikirkan tekanan dihadapi mangsa dan keluarga,” katanya.

Ketika penghakimannya, Duncan mengakui walaupun kekurangan bukti daripada aspek perubatan, keterangan mangsa meyakinkan mahkamah untuk menjatuhkan hukuman.

“Selepas menimbangkan semua bahan bukti, saya mendapati pihak pendakwa berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan tertuduh didapati bersalah.

"Mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan, ibu bapa sudah memberi kepercayaan kepada tertuduh menjaga muridnya, tetapi kepercayaan itu disalahguna dengan mengambil kesempatan terhadap mangsa,” katanya.

Sepanjang perbicaraan selama tiga hari bermula 6 September lalu, pihak pendakwaan mengemukakan sembilan saksi, termasuk guru dan murid sekelas mangsa manakala pihak pembelaan mengemukakan empat saksi.

Mahkamah mengarahkan hukuman berjalan serentak menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani hukuman 18 tahun, tetapi membenarkan tarikh hukuman ditangguhkan sementara Adrian memohon rayuan di Mahkamah Tinggi.

http://www.hmetro.com.my/articles/Bekasgurukepenjara/Article

Suami isteri miliki 18 orang anak


GAMBAR menunjukkan Gil dan Kelly Bates bersama anak-anak mereka.


LAKE CITY, Tennesse - Satu pasangan suami isteri, Gil dan Kelly Bates mempunyai 18 orang anak selepas mereka berkahwin 23 tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Pasangan itu dikurniakan sepuluh anak perempuan dan lapan lelaki.

Pada setiap hari, sebanyak 48 biji telur diperlukan jika kesemua anaknya makan sarapan pagi di kediaman mereka di Lake City di Tennesse, Amerika Syarikat.

Kelly dari sini berkata: "Semasa muda, saya tidak mahu anak. Saya hanya mahukan kerjaya."

Anak mereka yang paling tua berumur 21 tahun. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Anak kura-kura dua kepala


GAMBAR menunjukkan seekor anak kura-kura yang mempunyai dua kepala di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia, selatan China baru-baru ini.


BEIJING - Seekor anak kura-kura dilahirkan dengan mempunyai dua kepala di sebuah taman hidupan liar di Hefeia, selatan China, lapor sebuah akhbar semalam.

"Kedua-dua kepala kura-kura itu berfungsi dengan sepenuhnya dan ia makan berasingan dan kelihatan amat gembira," kata seorang penjaga di Taman Hidupan Liar Xiaoyaojin, Hefeia.

Menurut para penjaga haiwan itu, satu sahaja masalah yang dihadapi oleh kura-kura tersebut apabila ia dilihat tidak sehaluan semasa mahu memutuskan arah perjalanan. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Gunung Merapi hambur awan panas


GAMBAR yang dirakamkan dari Klaten, Indonesia menunjukkan Gunung Merapi mengeluarkan awan panas semalam.


JAKARTA - Gunung Merapi di Pulau Jawa masih mengeluarkan awan panas semalam selepas letusan pertama pada 26 Oktober lalu. "Walaupun letusan semakin berkurangan, ia tidak bermakna bahawa aktiviti di gunung tersebut telah perlahan.

"Justeru kami kini mengekalkan status pada peringkat tertinggi," kata ketua sebuah agensi vulkanologi, Surono.

Jumlah kematian akibat letusan itu meningkat kepada 191 orang semalam manakala 320,000 orang terpaksa meninggalkan rumah akibat debu panas.

Bagaimanapun, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa seperti Cathay Pasific, ValueAir dan Qantas masih membatalkan penerbangan ke Lapangan Terbang Sukarno-Hatta di Jakarta semalam.

Menurut seorang pegawai yang memantau operasi di lapangan terbang itu, Syaiful Bahri, kebimbangan mengenai debu panas memaksa beberapa penerbangan membatalkan lagi penerbangan yang mendarat dan berlepas.

Sebelum ini, beberapa syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke Jakarta pada minggu lalu selepas Gunung Merapi meletus dengan kuat. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1111&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

Kedah belanja RM2 juta bantu mangsa banjir

Ali Hashim

ALOR SETAR, 11 Nov: Kerajaan Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru ini.

Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pada sidang media di sini semalam.

Menurut beliau lagi sumbangan bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan seumpamanya.

"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan. Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk lain akan dipertimbangkan.

"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.

Azizan juga berkata, sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai 45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.

Manakala seramai 12,185 mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat pemindahan.

Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.

(Gambar: Pegawai kanan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah, Zulkifli Yahya melihat bungkusan yang disiapkan sebelum diserahkan kepada mangsa banjir)

Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah masing-masing.

Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang terlibat.

"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan minuman dan bekalan air bersih.

"Perak menyalurkan bantuan yang berupa logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya lagi.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29431:kedah-belanja-rm2-juta-bantu-mangsa-banjir&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124

Sokongan penuh saya kepada Anwar - Mustaffa Kamil

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Naib Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub menegaskan sokongan penuh beliau kepada Datuk Seri Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak pernah berubah.

Sehubungan itu, beliau membantah dan menafikan laporan akhbar Berita Harian semalam yang menyiarkan caption tertulis “Mustaffa Kamil (kiri) dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.

"Saya membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur," kata Mustaffa Kamil calon timbalan presiden PKR dalam kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, memorandum itu adalah untuk meminta pembatalan dan penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010 dan kandungannya diketahui oleh Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah.

"Sidang media memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Datuk Zaid Ibrahim dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh Datuk Zaid Ibrahim tanpa kehadiran saya," katanya.

Bagi Mustaffa, sokongan penuh beliau kepada Anwar tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan sedia diakui oleh kebanyakan ahli-ahli parti berdasarkan rekod beliau yang sentiasa konsisten mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12 tahun beliau terlibat dalam perjuangan reformasi.

"Saya percaya bahawa PKR, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan besar kepada negara," katanya.

Menurutnya, memorandum yang dihantar dua hari yang lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan proses pemilihan parti 2010 dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di sekitar perjalanan Pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum tersebut berdasarkan jaminan yang saya terima dalam pertemuan saya dengan kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama," katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menyelewengkan fakta dan menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti Anwar, beliau sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.

"Saya dengan ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam. Sekiranya pihak berkenaan gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menegakkan kebenaran," katanya.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29438:sokongan-penuh-saya-kepada-anwar-mustaffa-kamil&catid=1:utama&Itemid=50

Banjir: Kedah bantu sampai pakaian dalam

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 Nov: Dr. Hayati Othman (PAS-Pendang) menjelaskan, kerajaan negeri Kedah bukan sahaja menyediakan dapur gas, bantuan makan, malah juga keperluan-keperluan lain termasuk pakaian dalam kepada mangsa banjir negeri itu.

Beliau berkata demikian sebagai menambah celahan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 dan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2011 di Dewan Rakyat pagi ini.

"Kita bukan sahaja bagi gas, benda-benda lain pun kita bagi, tuala wanita, kain batik, seluar dalam, baju dalam pun kita bagi.

"Saya terlupa nak bawa hari ini," katanya.

Mencelah sekali lagi, Mahfuz berkata, "nanti kita bawa kat menteri sekeping".

Kedua-dua mereka membangkit perkara itu bagi menjawab tuduhan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pembangunan Wanita Datuk Seri Shahrizat Jalil bahawa kerajaan PAS Kedah lepas tangan dan lambat bertindak membantu mangsa banjir.

Mahfuz sewaktu mencelah sebelum itu berkata, tindakan Muhyiddin dan Shahrizat itu bukan sahaja menghina kerajaan negeri Kedah, malah juga kakitangan awam negeri itu.

Katanya, pemimpin Umno di peringkat pusat seolah-olah langsung tidak menghargai kakitangan awam yang bertungkus lumus menyampaikan bantuan yang disalur kerajaan negeri.

"Kita ucap terima kasih kerana tuduhan itu menyebabkan kemarahan kakitangan kerajaan negeri Kedah kepada Umno BN.

"Mereka pagi, malam berendam air bah tetapi dinafikan pimpinan Umno pusat," katanya.

Kerajaan Pusat melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jelasnya hanya membantu mangsa banjir tidak lebih dari beras, sardin dan telur, namun tidak menyediakan dapur gas untuk memasak.

(Gambar: Ketua kampung Pakatan Rakyat, Saudara Leman (berbaju hitam berkain pelikat) bersama Pemuda PAS Kampung Belukar, Changloon, membantu angkatan tentera dari kem 305 bukit kayu hitam menurunkan bot untuk membantu mangsa banjir di kampung mereka pada malam pertama baniir besar menyerang Kedah. Foto Azlan Jan)

Kerajaan negeri bagaimanapun bertindak segera menyediakan kemudahan tersebut bagi memudahkan mangsa yang dipindahkan.

"Masalah dia, dapur tak bagi. Saya tak tahu la kerajaan masih fikir orang kampung masak pakai kayu api.

"Sedangkan kerajaan negeri sedia dapur gas" katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Bagi Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian), tindakan mengatakan kerajaan Kedah lepas tangan adalah keterlaluan.

"Kita masih ingat, banjir di Johor 2006. Kita bantu sana dua fasa, kita tak pernah pun mengeluarkan perkataan kata kerajaan BN Johor tak ambik tahu. Tak pernah begitu.

"Kami bukan nak mintak puji sangat kerajaan Kedah, kita cuma mahu keadilan diberikan, jangan sampai kata lepas tangan," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak semalam memaklumkan kerajaan negeri telah membelanjakan hampir RM2 juta membantu mangsa banjir.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29435:banjir-kedah-bantu-sampai-pakaian-dalam&catid=1:utama&Itemid=50

Tanah P.Pinang: Tindakan Umno mahu tutup kesalahan disanggah

Mohd Sabri Said

JELUTONG, 11 Nov: Tindakan Farid Saad (Adun BN- Pulau Betong) mengajak rakyat terutamanya orang Melayu 'tutup buku' kesalahan Umno masa lampau yang menyebabkan penghakisan tanah orang Melayu di Pulau Pinang, disanggah.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusuf Rawa dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Haji Azmi Abdul Hamid sependapat membidas cadangan itu walaupun Farid memberi alasan masalah itu akan diperbetul generasi baru Umno. Kedua-dua mereka membuat bidasan sewaktu menjadi panel dalam 'Forum Isu Penghakisan Tanah Melayu Pulau Pinang: Apakah Penyelesaianya' di sini semalam.

Bagi mereka istilah 'tutup buku' tidak wajar digunakan sebaliknya kelalaian dan sikap tidak amanah kepimpinan Umno sewaktu berkuasa di Pulau Pinang harus diperjelaskan dengan teliti agar generasi muda hari ini mengenal pasti parti mana yang merosakan bangsanya sendiri.

"Sekarang bukan masanya buat kajian bahkan kena menyedari kenapa boleh berlaku begitu walhal kepimpinan Umno berkuasa, menjadi Timbalan Ketua Menteri serta memegang Exco Tanah tetapi tidak mampu melakukan sesuatu kerana terlalu takut atau mungkin tidak bijak dalam urus tadbir tanah.

"Mana boleh lepas tangan atau tutup buku dalam hal ini kerana ia membabitkan maruah bangsa dan agama. Rakyat kena peka untuk mengajar kepimpinan yang bersalah dan menggangkat parti yang mampu mengambil alihan tugasan Umno, " kata Mujahid.

Menurut mereka, memang tidak dinafikan model pembangunan yang tidak seimbang menjadi salah satu penyebab kenapa tanah Melayu terjual
kepada syarikat atau pemilik individu bukan Melayu.

Orang Melayu lebih gemar kepada wang ringgit yang ditawarkan ekoran mainan orang tengah yang terdiri daripada kepimpinan politik melayu yang kadang-kadang bercakap soal isu penghakisan tetapi dalam masa yang sama mereka merupakan pengkhianat.

"Paling malang ada juga kepimpinan Umno yang jadi pengkhianat bertindak sebagai orang tengah membeli tanah penduduk melayu untuk menyenangkan pembangunan akan datang, " terang Azmi. Manakala seorang lagi ahli panel, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Datuk Seri Yusuf Latiff pula mendedahkan sikap pentingkan diri kepimpinan Umno sehingga gagal mempertahankan tanah orang Melayu.

Katanya, ramai pemegang amanah tidak jujur dan senang dibeli serta bertindak mengucar kacirkan keadaan sehingga sanggup pula membuka ruang untuk kaum lain bertapak terutamanya Koperasi.

Beliau mengambil contoh Koperasi Tunas Muda yang dulunya begitu aktif menjaga kepentingan tanah orang Melayu tetapi kini memberi peluang
kepada kaum lain terutamanya dari segi usahasama pembangunan.

Katanya, kewujudan Yayasan Bumiputera Pulau Pinang, Koperasi Nusantara dan banyak lagi koperasi yang diterajui Umno, gagal kerana sikap tidak
amanah.

Walaupun pernah menerajui Koperasi tersebut di awal penubuhanya, beliau kurang senang terhadap operasi sekarang yang lebih mementingkan keuntungan bukan pembelaan terhadap penghakisan tanah orang Melayu.

"Sewaktu peringkat awal kita buat dengan niat yang betul tetapi apakan daya akibat tiada kejujuran dan amanah membuatkan semuanya berkecai, "
tegasnya.

Bukan sahaja ahli panel, malah peserta yang menyertai program tersebut juga turut kecewa dan membantah cadangan 'tutup buku' itu sekaligus
menganggap perjuangan Umno sudah terlambat dan sia-sia.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29428:tanah-ppinang-tindakan-umno-mahu-tutup-kesalahan-disanggah&catid=1:utama&Itemid=50

'JAKIM tak boleh campur isu sosej babi di Sarawak'

'JAKIM tak boleh campur isu sosej babi di Sarawak'
Jimadie Shah Othman
Nov 11, 10
3:55pm

Pakar perlembagaan Prof Dr Abdul Aziz Bari berpendapat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak boleh masuk campur menyiasat status agama bapa seorang kanak-kanak yang dirotan kerana membawa makanan berlaukkan sosej babi ke sekolah di Sarawak.

Katanya, ini kerana, di bawah kerangka federalisme yang diterima oleh perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri.

"Jadi dalam soal ini negeri mempunyai bidang kuasa; Jakim tidak boleh masuk campur. Lagi pun di sisi perlembagaan, JAKIM sepatutnya berada di bawah Majlis Raja-Raja, bukan kerajaan persekutuan.

"Tapi malangnya ini tidak berlaku. Semua agensi Islam persekutuan dikuasai oleh Umno/kerajaan," katanya ketika diminta mengulas arahan supaya Jakim menyiasat status agama budak itu yang bapanya dikatakan Islam manakala ibunya pula Kristian.

Semalam, kerajaan mengarahkan bahagian penyelidikan JAKIM menyiasat status agama bapa budak itu - Baginda Minda atau Noor Azman Abdullah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dilaporkan berkata, arahan itu ekoran keputusan muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anak itu beragama Islam.

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada arahan itu bertentangan dengan perjanjian 18 Perkara Sarawak ketika negeri di pulau Borneo itu menyertai Malaysia pada tahun 1963.

Perkara pertama dalam perjanjian itu menyebut tiada bantahan Islam sebagai agama negara, bagaimanapun tiada agama negeri bagi Borneo (Sabah dan Sarawak) dan tiada pengamalan berkaitan dengan Perlembagaan Malaya patut digunapakai di Borneo.

Menjawab soalan Malaysiakini melalui e-mel, Abdul Aziz menjelaskan, apa pun perkara dalam perjanjian itu, meskipun ada hujah moral, tetapi peruntukan dalam perlembagaan persekutuan - perkara 3(3) yang mewajibkan perlembagaan negeri tidak beraja memasukkan Agong sebagai ketua agama - berkata sebaliknya.

"Cuma soalnya apakah JAKIM bertindak atas arahan Agong? Pada pendapat saya Agong perlu bertindak atas inisiatif baginda sendiri sebagaimana dalam konteks baginda sebagai ketua agama di negeri baginda sendiri," jelasnya.

Mengulas keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan tentang status agama anak, Abdul Aziz yang juga pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarangsa (UIA) berkata, keputusan itu itu tidak mempunyai kuasa undang-undang.

"Ia sekadar pandangan yang boleh diterima atau ditolak oleh negeri-negeri," katanya.

Sementara itu, pihak ibu pejabat Jakim di Putrajaya dan cawangannya di Kuching ketika dihubungi enggan mengulas perkara tersebut buat masa ini.

http://malaysiakini.com/news/147935

Hab pendidikan: Hanya 1 rumah Melayu diroboh

Nov 11, 10 6:58pm

Hanya 10 peratus atau 1 daripada 10 rumah yang terlibat dalam rancangan pembinaan hab pendidikan Pulau Pinang di Pondok Upeh, Balik Pulau adalah milik orang Melayu, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Lim berkata, berdasarkan statistik ini jelas membuktikan Umno sengaja memainkan isu perkauman untuk menghasut orang Melayu membenci kerajaan Pakatan Rakyat yang tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum di negeri ini.

“Fitnah dan tohmahan Umno ini terus dilakukan walaupun rancangan murni kerajaan negeri Pulau Pinang itu melahirkan lebih ramai cendiakawan tempatan dan mengelakkan lebih banyak warga tempatan berbakat keluar bekerja di luar negara.

“90 peratus atau 9 buah rumah lagi adalah milik orang bukan Melayu sejak sekian lama dan semua penduduk yang terdiri daripada 10 rumah akan menerima pampasan mengikut nilai pasaran semasa sekitar RM160 juta,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, hari ini.

Rancangan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membina hab pendidikan di Pondok Upeh itu menjadi isu panas sehingga mencetuskan demonstrasi di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini kerana didakwa kononnya sebahagian strategi DAP untuk mengusir orang Melayu di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Lim berkata, isu yang cuba dimainkan oleh Umno mengenai hab pendidikan itu membuktikan secara jelas bahawa kerajaan BN kini ketandusan idea dan bankrap isu untuk menyerang kerajaan Pakatan Rakyat.

Pada 2 November lalu, sekumpulan kira-kira 100 orang mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang membantah isu pengambilan tanah di Balik Pulau untuk pembinaan sebuah universiti swasta.

Perang mulut kemudian tercetus apabila kedua-dua pihak - Pakatan Rakyat dan BN saling menuduh orang yang memanjat pintu pagar sewaktu protes Selasa lalu di luar bangunan DUN Pulau Pinang adalah ahli PAS dan bukannya Umno.

Mengenai keputusan beliau untuk tidak menduduki kediaman rasmi Ketua Menteri, Sri Teratai walaupun telah hampir tiga tahun menduduki kerusi Ketua Menteri, Lim berkata bangunan tersebut masih dalam tempoh pengawasan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan.

“Apa yang lebih penting, kos yang perlu dibelanjakan untuk pembaikan dan pengubah suaian seharusnya digunakan untuk kepentingan rakyat dan saya rasa bukannya masa sekarang untuk menghabiskan duit rakyat dan saya memilih pun jimat wang dalam hal ini,” katanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...