Friday, October 24, 2008

Kerajaan UMNO/BN “Gomol” Pitih KWSP RM5,000,000,000.00 “Slow-Slow” Je !!!

Kiriman: Ulit Mayang


Mungkin, kepada rakyat yang tidak tahu apa benda yang sedang dilakukan oleh Menteri Kewangan yang baru ni, hanya boleh sebut ”....huh !!!! banyaknya,,,nak buat apa tu???...”

Entah apa-apa lah Najib ni

Sementara itu rasanya ramai juga yang terperanjat, kerana dalam keadaan semua media melaporkan "Ekonomi kita tidak terjejas, Malaysia tidak berada dalam krisis kewangan "

Seperti kata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia tidak berada di dalam keadaan krisis kewangan dan tidak sepatutnya diperkatakan berada di dalam keadaan sedemikian.

Mana mungkin, dalam keadaan tidak ada satu negara pun yang terselamat, samada negara maju, mahu pun lebih-lebih lagi negara membangun, negara kita dikatakan selamat .

Boleh caya ka???

Kata orang-orang tua kita, ”cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar ”, maka tidak lama selepas itu, ’terkeluar’ pulak tajuk ini " Unjuran KDNK 2009 akan disemak semula kepada menurun - Najib"

Kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selanjutnya, kerajaan akan menyemak semula unjuran pertumbuhan 2009 kepada lebih rendah daripada sasaran 5.4 peratus, berikutan perkembangan luar yang kian gawat.“

Butiran semakan semula itu dan dasar respons kerajaan akan dibentangkan dalam ucapan penggulungan Bajet di Parlimen pada 4 Nov

Disebabkan krisis kewangan semasa yang turun naik, Najib berkata kerajaan perlu membetulkan andaian berkenaan dengan teliti.

Betul ke " Tiada pengaliran keluar FDI "???, Seperti kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Amirsham Abdul Aziz, tidak berlaku pengaliran keluar besar-besaran pelaburan langsung asing (FDI) walaupun berlaku krisis kewangan global?

Kalau lah benar kukuh, selamat dan tidak meleset, kenapa perlunya kepada " Dana tambahan RM 5, 000,000,000.00 untuk melabur dalam saham terkurang nilai " ???

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan saiz Valuecap Sdn Bhd kepada RM10.3 bilion dan melabur di dalam saham terkurang nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

Adakah benar " Dana tambahan sebanyak RM 5,000,000,000.00 untuk Valuecap cukup "???

Kena cakap betul-betul, kalau tak cukup bagi tahu lah !!!
Duit Petronas tu masih banyak lagi !!!
Bila lagi nak guna dan pakai kan !!!
Jangan lah malu-malu pulak,,,, ambik je

Akhirnya, oleh kerana sudah tidak dapat ditutup lagi, pasaran saham dah jatuh merudum, payah nak bangun dah, so, cerita sebenar terpaksa lah dimaklumkan juga, kata orang, sebelum ditanya baik diberitahu, iaitu " Tambahan dana Valuecap sebenarnya adalah pinjaman dari duit KWSP "

Saja nak tanya, duit siapa kat dalam KWSP tu???


Ulasan
Tidak lah diketahui, samada ekonomi negara kita meleset atau tidak kini, sehinggakan perlu kepada umno/bn berbelanja sebanyak RM 5,000,000,000.00?

Walau apa pun namanya, samada pinjaman, sumbangan, sedekah, ’bail out’, suntikan modal dan sebagainya, begitu lah mudahnya kerajaan umno/bn berbelanja, yang mungkin tujuan yang diberitahu kepada rakyat ialah untuk melabur dalam kaunter yang ’terkurang nilai’, tetapi yang lebih utama ialah siapakah pemilik persendirian sebenar bagi kaunter-kaunter ini?

Ada siapa yang boleh kemukakan maklumat yang paling sahih, tolong hantar ye !!!!

Apa yang rakyat terbanyak boleh lakukkan?

Apa yang boleh kakitangan kerajaan dan swasta boleh lakukan, bilamana simpanan mereka digunakan dengan penuh ’berhemah’ oleh kerajaan umno/bn?

Nota
Nampaknya, teknik Menteri Kewangan baru ni serupa dan sama macam kaedah Mahathir yang perlingkup semua duit GLC- Petronas, KWSP, TABUNG HAJI, TNB, TELEKOM, KHAZANAH dan lain - lain

Mungkin adakah benar kata orang akhir - akhir ini, Mahathir adalah disebalik semua ini????



- Ulit Mayang (Ulit_mayang@yahoo.com)
24.10.2008

http://www.marhaen.org/v1/mar_a_ulit_mayang129.html

Husam persoal tindakan paksa KWSP selamatkan saham

Abdul Aziz Mustafa

Wed Oct 22, 08 4:47:02 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mempersoalkan tindakan kerajaan memaksa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melabur sehingga RM5 bilion untuk menyelamatkan saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

"Apa istimewanya syarikat tersenarai di pasaran saham yang diumpankan ?hantaran? sebesar itu? Tak kena gaya, RM5 bilion hilang sekelip mata bila dicampakkan ke lubuk pasaran saham yang belum terhenti merudum," kata beliau.

Beliau menyifatkan langkah tersebut menunjukkan kerajaan tidak bersifat saksama dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat.

"Langkah memperuntukkan RM5 bilion untuk pasaran saham, tetapi sepi dalam langkah-langkah meringankan beban rakyat dan merancakkan ekonomi, adalah langkah berat sebelah," kata Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.

Jumlah RM5 bilion itu bukanlah jumlah yang kecil, katanya, malah lebih besar dari RM4 bilion yang pernah dijimatkan oleh kerajaan dengan menaikkan harga petrol dan diesel yang telah menyulitkan kehidupan rakyat satu masa dulu.

Tindakan kerajaan "mengutip" sehingga RM4 bilion dari poket rakyat itu menyebabkan mereka menderita, katanya.

Husam seterusnya mempersoalkan mengapa wang sebesar RM5 bilion itu tidak boleh diperuntukkan bagi merancakkan ekonomi negara seperti langkah "pump priming" atau insentif fiskal yang lain.

"Dua isu besar yang dihadapi oleh rakyat ialah kos hidup yang amat membebankan dan kedua, ekonomi yang lembab termasuk kejatuhan harga komoditi utama.

"Langkah-langkah mudah dan segera boleh dilakukan kerajaan untuk menurunkan kos hidup dan belanjanya tidak sebesar yang diperuntukkan untuk melonjakkan pasaran saham yang ternganga luas," katanya.

Antara langkah yang sepatutnya diambil oleh kerajaan untuk meringankan bebaban rakyat, katanya lagi, ialah menurunkan semula tariff elektrik selari dengan penurunan harga minyak kerana asas yang digunakan oleh kerajaan untuk menaikkan tariff elektrik dulu ialah kenaikan harga minyak.

"Bila minyak sudah turun, tariff elektrik kekal tinggi, mengapa?" soal beliau.

Kerajaan juga, katanya, boleh menurunkan harga gas memasak seperti dicadangkan Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM).

Harga tabung gas memasak 14 kilogram dinaikkan kepada RM24.50 ekoran kerajaan mengumumkan kenaikan harga bahan api tidak lama dulu dan belum diturunkan, kata Husam.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan akan menyediakan dana tambahan RM5 bilion bagi menggandakan saiz Valuecap Sdn Bhd kepada RM10.3 bilion dan melabur di dalam saham di bawah nilai serta melindungi pelaburan dalam syarikat milik kerajaan.

Menurut beliau yang juga Menteri Kewangan, kerajaan berharap suntikan dana itu akan memberikan sokongan yang sangat diperlukan oleh saham-saham utama atau blue-chip yang kini tertinggal ke belakang di bursa-bursa tempatan._

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17491&Itemid=1

Belanjawan mesti di semak kerana Scorpene dan Eurocopter

Abdul Aziz Mustafa

Thu Oct 23, 08 7:31:46 pm MYT

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Hrkh) - Belanjawan negara yang dibentangkan 30 Ogos lalu perlu disemak semula oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak terutama berhubung pembelian kapal selam Scorpene, kos pembelian Eurocopter yang sama-samar dan begitu mahal, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kos pembelian Eurocopter RM0.387 bilion lebih tinggi dari dari peruntukan asal RM1.93 bilion oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Umum Keadilan itu juga menempelak agihan kekayaan negara yang banyak dimonopoli oleh kroni-kroni yang rapat dengan kepimpinan negara.

Beliau melahirkan kebimbangannya terhadap tindakan kerajaan memaksa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan dana sebesar RM5 bilion yang akan dibahagi-bahagikan kepada syarikat milik kerajaan (GLC) sebagai penyelamat kepada beberapa syarikat pelaburan yang lemas dalam kesulitan malah di peringkat nyawa-nyawa ikan.

Anwar mengupas secara terperinci dan menyeluruh tentang kepincangan dan defisit belanjawan negara yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan sebelum ini, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Menurut beliau, banyak kelemahan yang terdapat di dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan.

Soal-soal kesihatan, pelajaran dan pendidikan, pembaziran kewangan, pertahanan negara, moral dan beberapa lagi isu berbangkit.

Anwar juga menumpukan tegurannya terhadap amalan rasuah yang semakin menjadi-jadi terutama di kalangan para pemimpin negara ini.

Sidang media yang diadakan di Parlimen itu turut di sertai bersama oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar._

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=17522&Itemid=1

Bersihkan nama isteri TPM dengan dakwa Raja Petra? - Mohamad Sabu

Basiron dan Wan Nordin

Sat Jun 28, 08 1:24:41 pm MYT

KUALA LUMPUR 28 Jun (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pihak berkuasa mendakwa pengendali laman web Malaysia-today, Raja Petra Kamaruddin kerana membuat tuduhan yang serius terhadap isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Beliau berkata, tuduhan Raja Petra dalam akuan bersumpahnya terhadap kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu itu sesuatu yang amat serius dan memburukkan nama TPM, Dato' Seri Najib Tun Razak dan isteri.

"Dakwaan itu sangat serius, kerajaan perlu segera mendakwa Raja Petra bagi membersihkan nama Timbalan Perdana Menteri dan isterinya daripada dakwaan terlibat di dalam kes pembunuhan Altantuya," ujarnya ketika berceramah bersempena Program Pelancaran dana Kebajikan Muslimat dekat Temerloh malam tadi.

Pada 25 Jun lalu, Najib telah menafikan dakwaan dalam akuan bersumpah Raja Petra berhubung pembabitannya dan isteri, Rosmah Mansor dalam pembunuhan warga Mongolia itu.

Najib ketika mengadakan sidang medianya di Parlimen menafikan bahawa isterinya itu terbabit dalam pembunuhan Altantuya

Begitupun ujar Najib, Rosmah telah dipanggil memberi kenyataan kepada polis ekoran dakwaan terbaru dalam akuan bersumpah Raja Petra itu.

Najib mendakwa apa yang ditulis oleh Raja Petra adalah satu pembohongan semata-mata sambil menyifatkan ia sebagai satu tindakan terdesak untuk mencemarkan imej politik beliau.

Sebelum ini, pengendali laman web Malaysia-today.net itu dalam akuan bersumpahnya pada 18 Jun lalu, mendakwa isteri Timbalan Perdana Menteri bersama dua lagi berada di tempat kejadian sebelum wanita Mongolia itu diletupkan.

Najib dan isterinya beberapa kali menafikan pembabitan mereka dengan kes ini, yang masih dalam perbicaraan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Sehari sebelum penafian Najib itu, Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi pula membuat kenyataan menafikan ada menerima laporan bertulis daripada perisikan tentera mengenai mereka yang terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

"Memang saya concern (dengan dakwaan penulis Malaysia-Today Raja Petra Kamarudin). Perbuatan Raja Petra itu tidak boleh diterima. Sebab apa yang dia nyatakan itu adalah sesuatu yang tidak betul.

"Terutamanya dalam surat itu (akuan berkanun Raja Petra) disebut yang saya dah diberi satu laporan mengenainya dari pihak perisikan tentera.

"Itu tak betul," katanya Abdullah dalam satu sidang medianya di Parlimen 24 Jun lalu.

Sementara itu Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, polis telah merakamkan kenyataannya berhubung dakwaan terbaru Raja Petra itu.

Menurut Khairy, beliau telah memberitahu polis bahawa beliau tidak pernah menerima sebarang laporan perisikan tentera dari perdana menteri atau mana-mana pihak.

Dalam akuan berkanunnya, Raja Petra mendakwa laporan tersebut telah diserahkan kepada Khairy untuk disimpan dengan selamat.

Khairy berkata, beliau juga telah memberitahu polis bahawa akuan berkanun itu, kandungannya dan tuduhan terhadap beliau, dibuat dengan niat yang jahat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Rembau memberitahu demikian dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen 25 Jun lalu.

Khairy berkata, beliau memberi kenyataan tersebut selama kira-kira sejam di Putrajaya.

Katanya, beliau akan berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap penulis sensasi dan pengendali blog Malaysia Today.

Khairy berkata, beliau tidak tahu apakah motif Raja Petra tetapi menegaskan bahawa dakwaan itu dibuat berasaskan sumber-sumber dan khabar angin.

Katanya, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan ia telah mencemarkan kredibiliti beliau./wann _

http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=15446&Itemid=1

Peguam, Penahanan Raja Petra Berniat Jahat


23 October 2008



SHAH ALAM - Seorang peguam yang mewakili tahanan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) Raja Petra Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini perintah penahanan anak guamnya di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri adalah berniat jahat. Azhar Azizan Harun berkata terdapat andaian ketara bahawa penahanan itu bukan didorong oleh keprihatinan tentang keselamatan negara tetapi hasrat untuk menyenyapkan pengkritik lantang dan berpengaruh terhadap kerajaan serta parti-parti politik dan individu dalam kerajaan. "Pemohon pada ketika tertentu mengkritik antara lain, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan responden (Menteri Dalam Negeri). Ini menjejas kepentingan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagaimana dapat dilihat pada anjakan sokongan pengundi," kata beliau.


Beliau juga berkata Raja Petra tidak pernah diberitahu tentang sebab penangkapan atau penahanannya kecuali satu dokumen yang beliau diminta tandatangani di balai polis Jalan Travers pada 12 Sept, yang hanya menyatakan beliau telah menghina Islam dan beliau merupakan ancaman kepada keselamatan negara. "Di bawah Seksyen 8(1) ISA, responden mesti berpuashati bahawa penahanannya perlu bagi menyekat tahanan dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia. Oleh itu responden mesti melihat pada semua fakta dan persekitaran hingga berpendapat pemohon adalah satu ancaman kepada keselamatan negara sebelum ia berpuashati bahawa penahanan pemohon adalah perlu bagi menyekat beliau dari bertindak dalam apa cara yang membahayakan keselamatan Malaysia.


"Pemohon juga tidak bersalah dengan mana-mana jenayah; beliau didakwa dengan pelbagai kesalahan dan perbicaraan masih tergantung. Oleh kerana tidak ada tindakan yang dikatakan dilakukan pada masa depan yang boleh membahayakan keselamatan Malaysia, perintah Seksyen 8 adalah jelas pelaksanaan kuasa yang bersifat berniat jahat," kata beliau. Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili Raja Petra, berkata jika satu daripada asas penahanan kerana beliau telah dengan sengaja dan cuai menerbitkan artikel diblognya yang menghina Muslim, mengapa ia tidak didakwa dengan kesalahan menghina Islam oleh pihak berkuasa agama.


Beliau berkata tidak ada "fatwa" yang pemohon telah menghina Islam atau telah bertindak dalam cara bertentangan dengan prinsip Islam. "Soal sama ada pemohon telah menghina Islam merupakan perkara di dalam bidang kuasa eksklusif pihak berkuasa agama Selangor. Responden tidak boleh mengambil alih tugas itu. Walaupun responden mempunyai kuasa dalam hal keselamatan di bawah ISA, autoriti ini tidak memberi kuasa kepada responden menentukan isu berkaitan Islam. "Adalah perlu bagi responden mendapatkan pengesahan dari pihak berkuasa agama negeri atau mahkamah syariah bahawa tindakan yang diadukan itu satu penghinaan kepada Islam atau jika tidak, ia melanggar Islam sebelum ia boleh mengambil langkah di bawah ISA.


Atas alasan ini saja, penahanan itu perlu diisytiharkan tidak sah," kata beliau. Raja Petra memohon writ habeas corpus bagi mendapatkan pembebasan dirinya dari tahanan di bawah ISA atas alasan penahanannya adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan. Beliau menamakan menteri Datuk Seri Syed Hamid Albar, sebagai responden. Isteri Raja Petra, Mable @ Marina Lee, dan dua orang anak perempuan mereka Sarah, 19, dan Suraya, 34, dan beberapa orang penyokong kelihatan berada di mahkamah. Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Abdul Wahab Mohamad berhujah bahawa penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 8 Akta berkenaan adalah sah dan mengikut undang-undang. Hakim Datuk Syed Ahmad menetapkan 7 Nov untuk keputusan mengenai permohonan habeas corpus itu.

[Nampak benar bahawa Syed Hamid sebenarnya menggunakan kuasanya untuk menghumbankan Raja Petra ke Kem Kemunting. Walhal, kes yang dihadapinya berhubung dengan penghinaan Islam dan Nabi Muhammad entah ke mana. Ternyata mereka sebenarnya mahu menyekat Raja Petra daripada terus membongkarkan penglibatan Najib dan Rosmah dalam hal berkaitan kes Altantunya. Tambahan pula sebelum itu Raja Petra telah membuat akuan sumpah yang cukup menggusarkan TPM itu. Maka itulah, jalan terbaik bagi menutup mulutnya itu akhirnya beliau tahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Apa yang aneh kejadian menghina Islam dan Nabi bila dilakukan oleh orang lain, tidak pula disumbat ISA seperti Ayah Pin, Rosnah Mat Aris, Rasul Melayu serta ramai lagi].


at 8:31 AM


http://pahangdaily.blogspot.com/2008/10/cyberita-ulasan-rangkuman-berita_2374.html

19 NGO hantar surat bantahan pada Utusan


Muda Mohd Noor Oct 24, 08 3:03pm



Sembilan belas badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menghantar surat bantahan kepada bahagian pengarang akhbar Utusan Malaysia sebagai membantah tindakan akhbar itu menyiarkan sebuah cerpen yang didakwa menggalak keganasan.

Memorandum tersebut diserahkan oleh pengurus program kanan Sister in Islam, Maria Chin Abdullah.

Menurut Maria, ia diterima oleh seorang pengarang Utusan Malaysia kira-kira jam 11.20 pagi di ibu pejabat Utusan Melayu di Jalan Chan Sow Lin di ibu negara.

Bagaimanapun, kata Maria, pengarang tersebut enggan memperkenalkan dirinya, sebaliknya berkata, surat tersebut akan dibincangkan dalam bahagian pengarang Utusan Malaysia.

Kira-kira 20 anggota polis termasuk unit simpanan persekutuan (FRU) berada di situ untuk mengawal keadaan.

Bercakap kepada wartawan selepas menyerahkan surat tersebut, Maria menyifatkan kewartawanan sedemikian sebagai tidak bertanggungjawab dan mendakwa ia berunsur menghasut dengan membangkitkan emosi politik semasa.

"Cerita berniat jahat menggalakkan keganasan yang tidak masuk akal mesti dikutuk oleh semua orang.

"Kami terkejut apabila Utusan Malaysia mengizinkan menerbitkan cerita sedemikian dan lebih terkejut apabila pengarangnya ialah CEO Institut Akhbar Malaysia,"
katanya.

Baru-baru ini Datuk Chamil Wariya menulis sebuah cerpen - Politik Baru YB J - dan disiarkan di dalam Mingguan Malaysia pada 12 Oktober.

Tindakan susulan

Dalam surat tersebut, kesemua NGO terbabit meminta Utusan Malaysia dan pengarangnya meminta maaf kepada orang awam berhubung penyiaran artikel tersebut.

Maria berkata, Utusan Malaysia harus lebih bertanggungiawab dan profesional dan penulis cerpen itu boleh berkhidmat di pusat perkhidmatan wakil rakyat untuk memulihkan hubungan yang telah tercemar itu.

Maria juga berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bagi menentukan tindakan susulan jika akhbar tersebut tidak memohon maaf.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi tempoh sehingga bila akhbar tersebut perlu berbuat demikian.

Isnin lalu, Chamil memberitahu Malaysiakini bahawa cerpen 'Politik Baru YB J', yang mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita, tidak kena-mengena dengan ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti dakwaan DAP.

Beliau dilaporkan berkata, cerpen tersebut hanya rekaan semata-mata dan watak-wataknya adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati.

Sebaliknya, kata Chamil, ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif – tidak lebih tidak kurang daripada itu.

Chamil juga menolak dakwaan bahawa cerpen awalnya itu "menganjurkan kekerasan dan bermain dengan api" kerana memuatkan babak pembunuhan ahli politik.

http://www1.malaysiakini.com/news/91869

Lim: Penjelasan Chamil tidak boleh diterima...

Jimadie Shah Othman Oct 24, 08 3:46pm


Penjelasan penulis cerpen 'Politik Baru YB J', Datuk Chamil Wariya tidak boleh diterima kerana terdapat sekurang-kurang lima persamaan antara ahli Parlimen Teresa Kok dengan watak wakil rakyat Josephine dalam cerpen tersebut, kata pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang.

Isnin lalu, Chamil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Insitut Akhbar Malaysia (MPI) menjelaskan bahawa cerpen beliau dalam Utusan Malaysia awal minggu lalu itu adalah "rekaan dan tidak ada kena mengena dengan Teresa".

Bercakap dalam sebuah forum khas yang membincangkan cerpen kontoversi itu, Lim yang juga ahli Parlimen Ipoh Timur, menyifatkan menyifatkan karya tersebut sebagai "kewartawanan yang mencetuskan kebencian".

"Ini kali pertama, (ada) contoh serius kewartawanan yang mencetuskan kebencian. Kebebasan media tidak boleh menjadi kewartawanan yang mencetuskan kebencian," katanya dalam sebuah forum tentang kebebasan media anjuran parti itu di ibukota malam tadi.

Pandangan yang hampir sama turut disokong seorang lagi ahli panel, penulis blog terkenal Haris Ibrahim.

"Daripada semakan segera saya, terdapat sekurang-kurangnya lima persamaan dengan Teresa," katanya.

Menurut beliau, kebebasan media mestilah tidak menggunakan "bahasa kebencian" kepada orang lain.

Dalam kes Teresa itu, tambahnya, wakil rakyat itu mestilah diberikan hak menjawab di penerbitan yang sama atau penerbitan lain yang mencapai pembacanya.

Katanya, walaupun terdapat media lain di Internet yang memberi ruang kepada Teresa, namun "ia tidak sampai pembaca Utusan Malaysia".

Jangan rosak reputasi

Ketua Editor Roket - akhbar rasmi DAP - Wan Hamidi Hamid pula berkata, pertikaian dalam kes "rumit" itu pada babak akhirnya sahaja.

"Jika pengakhirannya tiada kena mengena dengan pembunuhan, saya sendiri akan cadangkan Teresa jangan saman beliau (Chamil)," jelasnya.

"Di seluruh dunia, kebebasan akhbar tidak bermakna hak untuk memasukkan kebencian dan keganasan," tambahnya.

Babak akhir 'Politik baru YB J' memuatkan babak seorang anak muda membunuh wakil rakyat Alam Maya, Josephine.

Wan Hamidi yang berpengalaman 20 tahun berkhidmat di akhbar arus perdana, menolak tanggapan bahawa tidak adil menyalahkan Utusan Malaysia kerana akhbar organ pembangkang seperti Roket dan akhbar rasmi PKR, Suara Keadilan juga membuat tuduhan tidak berasas.

"Kamu tidak boleh bandingkan epal dan oren. Akhbar-akhbar dikeluarkan dua kali seminggu dan untuk ahli sahaja; atau kerajaan patut bagi lesen supaya kita boleh jadikannya sebuah akhbar arus perdana," katanya.

Teresa yang turut menjadi ahli panel dalam forum kira-kira dua jam itu berkata, media tidak patut menyiarkan sesuatu yang boleh merosakkan reputasi seseorang.

"Mereka mungkin terlepas pandang sesuatu. Tetapi mereka mesti mengesahkannya.

"Itu patut berlaku. Sebab kita boleh lihat kadang-kadang permintaan maaf dibuat. Itu tanggungjawab," katanya.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Azmi Sharom turut menjadi ahli panel dalam program anjuran DAP itu.


http://www1.malaysiakini.com/news/91871

Terseksa dek rakan


Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hidup seorang pelajar perempuan kini terseksa angkara perbuatan seorang lelaki yang memasukkan deretan gambarnya ke laman sembang Internet, kononnya mangsa menawarkan seks percuma kepada lelaki kesunyian.

Perbuatan memalukan itu tidak sekadar menjatuhkan maruah gadis terbabit yang menuntut di sebuah kolej perubatan, malah menyebabkan telefon bimbitnya dihujani panggilan ratusan lelaki yang kemaruk untuk mendapatkan perkhidmatan seks daripadanya sejak awal Oktober lalu.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Sha, 26, berkata gangguan seksual yang tidak henti diterimanya itu menyebabkan dia terpaksa menukar nombor telefon bimbitnya lebih enam kali dalam tempoh beberapa minggu.

Mangsa berkata, perbuatan memalukan itu dipercayai didalangi bekas rakan sekolahnya semata-mata kerana kecewa cintanya ditolak empat tahun lalu.


“Saya dan lelaki terbabit sebelum ini pernah berkawan, namun permintaannya untuk menjalin hubungan cinta terpaksa ditolak atas alasan peribadi.

“Saya tidak sangka dia tidak boleh menerima hakikat itu sehingga sanggup mengganggu saya sejak empat tahun lalu,” kata mangsa yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, lelaki terbabit yang dikenali sebagai Ragee, 27, tidak pernah berhenti mengganggunya termasuk menghantar pelbagai SMS ugutan.



“Pelbagai ugutan itu menyebabkan saya hidup dalam ketakutan sehingga terpaksa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Disember tahun lalu.



“Terbaru, lelaki terbabit mencuri gambar saya di laman Friendster sebelum memindahkannya ke akaun baru atas nama saya.

“Perkara itu disedari seorang rakan saya yang terkejut apabila wajah saya terpampang di laman web itu dengan diselitkan pelbagai perkataan berunsur lucah,” katanya.

Menurutnya, dia yang melayari laman web itu terkejut apabila beberapa gambarnya sedang beraksi dan memakai sari disebarkan bersama nama dan nombor telefon bimbitnya.

“Lebih memalukan apabila terselit perkataan lucah kononnya saya mencari lelaki yang mahu melakukan hubungan seks. Saya digambarkan sebagai gadis gersang yang sedia menerima mana-mana lelaki yang mahu berasmara,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Angkara Boy Dragon

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my



HILANG...Fatimah menunjukkan gambar Nur Syuhadah.


JOHOR BAHRU: Angkara abang ‘Boy Dragon’ yang hanya dikenali sebulan lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sanggup menipu ahli keluarganya dengan memberi alasan mahu beraya ke rumah rakan di pusat bandar raya supaya mampu berpakat dengan kekasihnya itu untuk lari dari rumah.

Ibu kanak-kanak berkenaan, Fatimah Muhamed Tung, 41, berkata perbuatan anak bongsu daripada dua beradik itu membimbangkan ahli keluarganya berikutan kanak-kanak itu yang menghilangkan diri sejak Jumaat lalu masih gagal dikesan sehingga kini.

Menurutnya, anaknya, Nur Syuhadah Selamat atau lebih mesra dengan gelaran Adah juga sanggup meninggalkan kediaman keluarganya di Jalan Masjid, Kampung Sungai Danga, Taman Perling, di sini, sehelai sepinggang akibat menjadi mangsa pujuk rayu Boy Dragon yang berpura-pura sebagai remaja lelaki kaya dari Singapura.

“Ketika Adah keluar rumah, saya berada di tempat kerja, manakala anak sulung saya pula ke sekolah. Saya diberitahu beberapa jiran yang mendakwa melihatnya berjalan kaki bersama seorang remaja lelaki berhampiran laluan keluar kampung.


“Kami pada mulanya menjangka dia hanya keluar beraya kerana beberapa hari sebelum itu Adah pernah menyatakan ingin ke rumah rakan sekolahnya.

“Kami mula risau apabila dia tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam,” katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Taman Perling pada 18 Oktober lalu.

Fatimah berkata, dia yakin tindakan Adah meninggalkan keluarga selepas berkawan dengan lelaki berusia 19 tahun itu.

“Adah kerap bercerita mengenai lelaki itu. Boy Dragon dikatakan sebagai bekas teman lelaki seorang rakan sekolahnya.

“Demi kebaikan masa depan Adah, saya dan anak sulung terpaksa mengambil keputusan untuk mengambil semula telefon bimbit Adah supaya dia tidak kerap berhubung dengan Boy Dragon kerana pada usia mentah sepertinya, seseorang itu mudah terjebak dengan pelbagai perkara buruk,” katanya.

Menurutnya, difahamkan remaja lelaki itu pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di pusat bandar raya.

“Usaha keluarga kami bertemu dengan keluarga Boy Dragon juga tidak menyelesaikan masalah ini kerana ibu bapanya mendakwa anak mereka sudah lama tidak pulang ke rumah,” katanya.

Pekerja bahagian penyelenggaraan hotel itu berkata, dia juga kian bimbang keselamatan anaknya dan bersolat hajat setiap hari supaya Adah kembali ke pangkuan keluarga secepat mungkin.

“Tambahan pula saya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak arwah suami, Selamat Mohd Said, 63, meninggal dunia setahun lalu, “ katanya.

Fatimah berkata, selain ibu saudara Adah dari Kuala Lumpur, abang tiri yang tinggal di beberapa kawasan di Johor Bahru juga menjalankan usaha bagi mengesannya.

“Kami berdoa supaya Allah selamatkan Adah daripada sebarang ancaman dan dia insaf di atas kesilapannya.

“Adah yang berpakaian jeans dan berbaju-T ketika keluar rumah mempunyai rambut lurus dan pendek, berbadan kurus dan berkulit sawo matang.

“Kami meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Adah supaya segera menghubungi talian 012-7966604 atau 07-2411217,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Jatuh sebelum meninggal


Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my






AMPANG: “Tidak sampai 10 saat pun saya tinggalkan bapa, bila datang balik, saya tengok dia pengsan selepas terjatuh dari kerusi yang didudukinya. Saya cuba memberikan bantuan pernafasan, tetapi tidak berjaya dan terus membawanya ke hospital,” kata Alif Asyraf Syafiq, 18, anak sulung Allahyarham Abdul Samad Mian.

Bekas pemian gitar kumpulan rock terkenal, Lefthanded yang berusia 45 tahun itu meninggal dunia selepas terjatuh di pejabatnya di Taman Cahaya di sini, kira-kira jam 12.40 tengah hari semalam.

Menurut Syafiq, melihatkan arwah bapanya yang tidak sedarkan diri, dia segera membawanya ke Hospital Ampang tetapi arwah menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan.

Samad disahkan meninggal dunia oleh doktor pada jam 1.05 tengah hari dan hasil bedah siasat mendapati kematiannya berpunca daripada masalah jantung.


Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid Jami’il Huda, Hulu Langat, untuk disembahyangkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 13, Hulu Langat, kira-kira jam 9.30 malam.


“Arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik. Pada sebelah pagi, kami minum dan berbual seperti biasa sehinggalah dia terjatuh secara tiba-tiba. Arwah sebelum ini sihat seperti biasa dan tidak pernah menghidap sebarang penyakit,” katanya ketika ditemui di Hospital Ampang, semalam.

Allahyarham yang dilahirkan pada 26 September 1963 di Johor Bahru, Johor, meninggalkan seorang balu, Norliza Sumairi, 41, serta tiga lagi cahaya mata selain Syafiq iaitu Amad Ayunda Syaqim, 17, Alis Suhayana, 15, dan Amad Syafry, 6.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Pelajar dakwa dirogol lelaki menyamar polis


TAMPIN: Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini yang baru menduduki Ujian Penilaian Menengah Rendah (PMR) minggu lalu berdepan kejadian menakutkan apabila dirogol tiga kali berturut-turut oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah kebun getah di Felda Bukit Rokan dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa bersama teman lelakinya dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Felda Jelai dengan menaiki sebuah van selepas bersiar-siar di Pekan Gemas.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Sekolah pendam lebih 10 aduan

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my


SEREMBAN: Tindakan dua pelajar tingkatan satu membuat laporan polis mendakwa dicabul seorang guru lelaki sekolah rendah membawa kepada pendedahan mengejutkan apabila ada lebih 10 aduan mengenai perbuatannya dibuat kepada guru besar sejak setahun lalu.

Mulanya polis menerima dua laporan mendakwa guru berkenaan mencabul kedua-dua mangsa ketika mereka di tahun enam.

Siasatan lanjut mendapati sejak setahun lalu, ramai lagi murid lelaki membuat aduan kepada guru besar mendakwa dicabul di pelbagai lokasi.

Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh, berkata sebelum ini, tiada seorangpun membuat laporan polis sehingga kedua-dua mangsa tampil baru-baru ini.


“Kami mendapati ramai lagi murid membuat laporan kepada pihak sekolah, tetapi tidak dipanjangkan kepada polis,” katanya.


Menurutnya, polis akan merekodkan kenyataan daripada guru, mangsa serta beberapa rakan mangsa yang mendakwa dicabul.

“Siasatan turut mendapati ada murid mendakwa dipaksa melakukan seks oral, tetapi kami belum dapat pastikan sama ada ada mangsa diserang secara seksual,” katanya.

Beliau berkata, sesetengah mangsa terlalu muda sehingga tidak sedar mereka dicabul.

“Kami meminta mereka yang menjadi mangsa tampil membantu siasatan. Polis memberi jaminan akan menjalankan siasatan terperinci,” katanya yang mengesahkan guru itu sudah ditahan.

Difahamkan, guru terbabit sudah bertugas selama lima tahun di sekolah berkenaan dan memegang tanggungjawab sebagai penolong kanan kokurikulum serta jurulatih hoki sekolah.

Sementara itu, seorang guru yang enggan dikenali mendakwa kebanyakan tenaga pengajar di sekolah itu sedar perbuatan guru terbabit, termasuk bekas guru besar.

“Tetapi kerana sebab tertentu, mereka menutup mulut. Ada juga murid mendakwa guru itu memberi duit untuk merahsiakan perbuatannya. Dia juga ada menghadiahkan telefon bimbit kepada seorang murid,” katanya.

Guru itu mendakwa suspek juga mencabul muridnya ketika rombongan sekolah, tetapi kebanyakan berlaku ketika pendidikan kokurikulum.

“Kami dimaklumkan ada sesetengah murid pergi ke rumahnya selepas waktu sekolah dengan alasan mengikuti tuisyen,” katanya.

Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Abdullah Mohammad pula berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat hari ini untuk menentukan tindakan disiplin yang boleh dikenakan terhadap guru terbabit.

“Siasatan kes itu kami serahkan kepada polis, tetapi kami turut menjalankan siasatan dalaman serta menyoal bekas guru besar serta mereka yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya.

Katanya, dakwaan itu amat serius dan tindakan tegas perlu diambil bagi keadilan semua pihak.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Tidak halang jual NGV


Datuk Shahrir Samad
KERAJAAN tidak menghalang mana-mana syarikat minyak yang ingin memohon untuk membina, memberi dan melakukan penjualan gas asli kenderaan (NGV) di stesen masing-masing, bagi memudahkan pengguna mendapatkan bekalan bahan bakar itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad, berkata kerajaan mengalu-alukan permohonan mereka jika mahu berbuat demikian.

“Bagaimanapun, pengeluar minyak selain Petronas tidak berminat untuk menjual atau mengedarkan gas asli di negara ini berikutan permintaannya rendah selain harganya disubsidi kerajaan.

“Oleh kerana sebab ini, syarikat minyak lain tidak berminat mengadakan penjualan NGV di stesen minyak mereka dan kementerian juga tidak berupaya mengalakkan mereka berbuat demikian,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Ah Heng (BN-Gelang Patah) sama ada kerajaan mengalakkan syarikat minyak lain selain Petronas untuk membekalkan NGV melalui stesen mereka.

Selain itu, katanya, kerajaan mengarahkan Petronas membina 200 stesen NGV sehingga hujung tahun ini.

http://www.hmetro.com.my/24102008

Tiramisu




TIRAMISU dalam bahasa Itali bermaksud 'gembirakanlah hatiku'. Jadi, pastilah bila anda menyediakannya, anda akan menggembirakan hati seseorang dengan kesedapannya yang tidak terkata. Tiramisu yang asal mempunyai campuran brandy, rum atau liqueur namun, telah diubahsuai untuk orang Islam.

Juadah pencuci mulut yang berasal dari Itali ini sangat popular terutama di restoran dan kafe. Ada pelbagai versi tiramisu dan keenakannya tentulah berbeza-beza pula. Jadi, setelah mencuba beraneka cara, mungkin anda boleh memilih kaedah yang digemari. Atau cara yang lebih mudah dan ringkas, sesuai dengan cara hidup anda yang mungkin teramat sibuk.

Kebanyakan tiramisu diperbuat daripada telur. Caranya ialah memutar kuning telur dengan gula dan esen kopi kemudian mencampurkan dengan putih telur yang dipukul kental. Penggunaan telur yang tidak dimasak adalah tidak baik terutama untuk kanak-kanak, warga emas atau ibu-ibu mengandung. Golongan ini mudah terkena jangkitan bakteria dalam telur yang dikenali sebagai salmonella.

Bahan utama dalam pembuatan tiramisu ialah keju mascarpone. Ia adalah keju lembut dan merupakan krim keju yang segar. Oleh kerana ia sukar didapati kecuali di kedai-kedai menjual barangan import atau di pasar raya besar, anda boleh menggantikan dengan krim keju dan susu segar.

Untuk setiap 450 gm krim keju, campurkan tiga camca besar atau 45 ml susu. Setelah dipukul hingga gebu, teksturnya akan menjadi seperti keju mascarpone.

Bagi anda yang sukakan pencuci mulut yang agak manis, bolehlah menambah sukatan gula aising. Selain gula aising, boleh juga gunakan guna kastor. Namun begitu, perlu diingat bahawa sesetengah krim putar yang dibeli di pasar raya atau kedai barangan bakeri mempunyai gula di dalamnya. Jadi, ada baiknya anda rasa terlebih dulu sebelum mencampurkan gula.

Untuk menambah perisa kopi, masukkan sedikit coffee emulco atau esen kopi ke dalam air kopi. Selalunya, air kopi ini diperbuat daripada campuran air suam dan serbuk kopi segera.

Sebagai panduan asas, untuk 125 ml air, gunakan satu camca teh serbuk kopi segera. Sekiranya anda sukakan perisa kopi yang lebih kental, tambah serbuk kopi itu.

Biskut span atau boudoir bisuits berbentuk jejari dengan sebelah ditaburi gula. Jika anda sukar mendapatkannya, gantikan dengan potongan kek span. Pilih kek span yang lembut supaya tiramisu menjadi lebih sedap. Potong bentuk jejari agar lebih mudah disusun di dalam bekas atau mangkuk.

Anda boleh juga menggunakan reja-reja kek span yang tidak habis dimakan. Susun kek terlebih dulu di dalam mangkuk. Kemudian baru direnjiskan dengan air kopi. Cara membuatnya berbeza dengan menggunakan biskut yang perlu dicelup ke dalam air kopi tersebut.

Tiramisu lebih enak jika dibiarkan semalaman sebelum dimakan. Ini akan memastikan semua bahan meresap ke dalam biskut span dan menjadikannya amat lembut dan mesra. Selalunya, tiramisu disudukan ke dalam piring dan dimakan begitu saja kerana ia sukar untuk dipotong. Jadi, pastikan anda menyediakan piring dan sudu yang sesuai untuk hidangan pencuci mulut.

Lebih sesuai menyediakan tiramisu di dalam mangkuk jernih atau lutsinar. Ini adalah supaya mudah untuk melihat lapisan-lapisan krim, biskut dan koko. Untuk lebih enak, anda boleh campurkan sedikit parutan coklat masakan di dalam campuran krim keju. Jadi, anda akan dapat merasa cebisan coklat tersebut di seluruh tiramisu, tidak hanya di bahagian atas.

Bila hendak membawa tiramisu ke rumah teman atau ke tempat perkelahan, bungkus kemas dengan foil atau kertas aluminium. Pastikan bahagian dalamnya ditutup terlebih dulu dengan plastik nipis. Ini akan memastikan suhu tiramisu sentiasa sejuk dan lebih sedap rasanya.

Elakkan daripada menghias potongan buah-buahan di atas permukaan kerana ini boleh membuat tiramisu berair. Namun begitu, anda boleh memicit baki krim putar di sekeliling bahagian atas dan letak potongan strawberi di atas krim itu. Semuanya terpulang pada kreativiti masing-masing.

Jadi, gembirakanlah seseorang pada hari ini dengan menyediakan tiramisu. Meskipun cara membuatnya nampak agak rumit, anda akan dapati ia amat mudah diikuti. Dan tentunya pengalaman menjamah tiramisu buatan sendiri adalah lebih menyeronokkan dan meninggalkan

kenangan manis pada keluarga atau tetamu anda!


http://www.kosmo.com.my/24102008

Populariti chef Filipina

Chef Filipina sentiasa mempunyai permintaan kerana mereka mahir berbahasa Inggeris, rajin dan mempunyai tingkah laku yang baik.



--------------------------------------------------------------------------------

FILIPINA terkenal dengan keupayaannya menghasilkan pekerja bertauliah dalam bidang kelasi, kejururawatan, penjaga anak dan pembantu rumah, kini mengeksport pekerja berkemahiran dalam bidang masakan.

"Hari ini chef bagaikan seorang bintang popular. Tiba-tiba semua orang mahu menjadi chef," kata Ian Padilla, seorang chef berpengalaman di restoran Parsi, Taillevent, sebuah tempat makan dua bintang.

"Bila saya mula dahulu, jarang dengar tentang sekolah kulinari. Tidak ada chef langsung. Yang ada cuma tukang masak. Tetapi sesudah balik ke sini, banyak sekolah kulinari diwujudkan," kata Padilla yang kembali menjadi juri di sebuah pertandingan masakan.

Pada tahun 2000, hanya sebuah sekolah kulinari ditubuhkan di Filipina. Hari ini, bilangannya bertambah kepada hampir 400 buah sekolah masakan. Dijangkakan lebih banyak akan dibuka pada masa akan datang.

Keterujaan yang ditunjukkan oleh orang Filipina bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana sememangnya berlaku kekurangan tenaga chef di peringkat global.


SEORANG graduan dari sekolah kulinari boleh memperoleh pendapatan setinggi RM13,997 sebulan.

--------------------------------------------------------------------------------

Seorang graduan dari sekolah kulinari boleh memperoleh pendapatan setinggi AS$4,000 (RM13,997) sebulan. Tawaran ini cukup tinggi berbanding anggaran pendapatan negara yang hanya jatuh dalam lingkungan 10,000 hingga 15,000 peso (AS$214-AS$321 atau RM748-RM1,123) sebulan.

Kira-kira sembilan juta penduduk Filipina bekerja di luar negara dan kebanyakannya melakukan kerja-kerja berkelas rendah dengan menghantar pulang hampir AS$1 bilion (RM3.4 bilion) ke kampung halaman. Ini sedikit sebanyak membantu mengekalkan dan menyokong pertukaran mata wang di peringkat ekonomi.

Dengan kadar pengangguran yang melebihi paras tujuh peratus dan tempias kenaikan harga minyak dan makanan, ramai warga tempatan mencari peluang pekerjaan di negara asing.

Sektor kejururawatan merupakan salah satu profesion yang terkenal di kalangan warga Filipina. Ini kerana ia berkemampuan menjana pendapatan sekitar AS$1,000 hingga AS$4,000 (RM3,500 hingga RM14,002) dalam sebulan di luar negara.

Mereka yang berpendidikan boleh bekerja di Amerika Syarikat (AS), Eropah dan juga negara-negara di Timur Tengah disebabkan ketandusan pekerja perubatan di peringkat antarabangsa.

Namun, seseorang itu perlu menamatkan pengajian selama empat tahun sebelum bergelar jururawat berbanding seorang chef yang memerlukan hanya sebulan untuk mendapatkan sijil.

Peringkat pengajian diploma mengambil masa selama 14 bulan. Meskipun masanya singkat, harga yang dibayar amat tinggi.

Di Sekolah Kulinari dan Pengurusan Hotel Gandler Antarabangsa, yuran tuisyen untuk kursus Diploma kulinari selama 14 bulan bernilai 310,000 peso (AS$6,675 atau RM23,352).

Amaun ini mungkin sukar ditanggung oleh warga Filipina yang berstatus sederhana.

Bagaimanapun, pendaftaran di sekolah kulinari yang baru diwujudkan lima tahun lalu oleh Chef Austria, Norbert Gandler, penuh dengan pembabitan meluas dalam kawalan pengoperasian dapur di hotel lima bintang di Filipina. "Malah, kita sudah ada senarai menunggu," ujar Gandler.

Tahun lalu, Filipina menghantar 8,400 orang ke bilik dapur di seluruh dunia. Dua pertiga daripada mereka bertugas sebagai chef dan tukang masak.

Pada tahun 2000, kurang daripada 1,900 warga Filipina bekerja di luar negara dalam bidang yang sama. Jumlah ini agak kecil jika disamakan dengan pekerja-pekerja domestik dan kelasi.

Dianggarkan sebanyak 50,000 warga Filipina meninggalkan negara pada tahun lalu untuk bekerja sebagai pembantu rumah untuk kali pertama manakala 230,000 lagi sebagai pekerja di laut.

"Satu hari nanti, saya berharap dapat mengecapi kejayaan yang dinikmati oleh mereka yang pergi sebelum ini," jelas Fitz Gerald Carpio, salah seorang pelajar yang bertanding dalam Festival Kulinari Manila, Filipina.


SESEORANG itu perlu menamatkan pengajian selama empat tahun sebelum bergelar jururawat berbanding seorang chef yang memerlukan hanya sebulan.

--------------------------------------------------------------------------------

Chef Filipina sentiasa mempunyai permintaan di pasaran global memandangkan mereka mahir berbahasa Inggeris, rajin dan berperangai baik.

"Sekarang ini, England memerlukan 300 orang chef dan pencarian dilakukan melalui pertandingan sebegini," kata Michaela Fenix Makabenta, seorang kolumnis dan ketua pengarang Food Magazine.

"Kita menghantar mereka ke luar negara sejurus selepas graduasi," sambungnya. "Ia adalah saluran paling senang untuk menembusi pasaran antarabangsa."

Seperti Australia, keutamaan chef sangat tinggi. Jika anda memohon, pasti dapat. Chef Filipina boleh ditemui di atas kapal persiaran, hospital dan kem tentera di Timur Tengah.

Sekiranya bertuah, anda mungkin diambil kerja di istana atau restoran mewah milik Sheikh. "Saya telah melawat banyak restoran dan setiap tempat ada sekurang-sekurangnya satu pekerja Filipina di bahagian dapur," kata Richard Tan, seorang chef dan pengajar di Institut Hospitaliti dan Seni Kulinari. - Reuters

http://www.kosmo.com.my/24102008

Kakak tua ‘pupus’ ditemui


BURUNG kakak tua jambul kuning dirakam di Masakambing, Indonesia pada 18 Jun lalu.

--------------------------------------------------------------------------------

JAKARTA - Sejenis burung kakak tua yang dipercayai telah pupus sebelum ini berjaya ditemui semula di sebuah pulau terpencil di Indonesia, kata sekumpulan penyelidik semalam.

Kumpulan Pemuliharaan Kakak Tua Indonesia berkata, spesies kakak tua Abbot jambul kuning itu ditemui di kepulauan Masalembu, sekitar perairan Pulau Jawa.

“Kami teruja apabila menemui burung-burung itu di kawasan penduduk di pulau Masakambing,” kata penyelidik, Dudi Nandika.

Menurutnya, kumpulan burung yang ditemui itu terdiri daripada sepasang burung jantan dan betina bersama-sama dua ekor anak burung.

Di sebalik penemuan itu, kakak tua Abbot jambul kuning atau nama saintifiknya, Cacatua sulphurea abbotti, merupakan spesies burung paling jarang ditemui di dunia, katanya.

Seorang lagi penyelidik kumpulan tersebut, Dwi Agustina berkata, kali terakhir kakak tua jambul kuning ditemui ialah pada tahun 1999 apabila beberapa saintis memerhatikan sekumpulan lima ekor burung itu.

Sebelum ini penyelidik-penyelidik menganggap bilangan kakak tua itu terlalu sedikit untuk mereka membiak menyebabkan spesies itu mengalami kepupusan. – AFP

http://www.kosmo.com.my/24102008

Pelajar dakwa diaib dalam internet


MANGSA, Shant, menunjukkan gambarnya dalam laman sosial Friendster dan laporan polis yang dibuatnya kepada Datuk Michael Chong, di Kuala Lumpur semalam.

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Seorang pelajar kejururawatan mendakwa tertekan kerana terpaksa menanggung malu apabila identitinya disalahgunakan di laman rangkaian sosial di internet oleh individu tidak bertanggungjawab.

Mangsa yang mahu dikenali sebagai Shant, 27, dan menuntut di sebuah kolej swasta di ibu negara berkata, identiti dirinya telah digunakan di laman rangkaian sosial popular iaitu Friendster sejak pertengahan bulan lalu tanpa pengetahuannya.

Menurut Shant, dia yang turut mempunyai laman sosial tersebut sebelum ini hanya mengetahui kewujudan satu lagi laman rangkaian sosial yang menggunakan idenditinya itu pada 15 Oktober lalu selepas dimaklumkan seorang rakannya.

"Dalam laman sosial tersebut nama, beberapa keping gambar, nombor telefon dan latar belakang diri saya telah digunakan.

"Lebih teruk lagi ayat-ayat di dalamnya berbaur lucah selain kapsyen gambar tertulis saya baru melakukan hubungan seks," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma MCA di Jalan Ampang semalam.

Tambahnya, dia tidak menolak laman sosial terbaru itu dilakukan oleh seorang rakan lelaki yang dikenalinya yang pernah berhasrat menjalinkan percintaan dengannya sebelum ini.

"Saya mengenali dia (suspek) kerana kami pernah belajar di kelas yang sama di sekolah menengah dulu sebelum hubungan kami terputus selepas saya tukar sekolah.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Rombak Kabinet kerana MCA


BEIJING - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan dalam MCA.

Perdana Menteri berkata, beliau akan menemui Presiden MCA yang baru dipilih, Datuk Ong Tee Keat untuk meneliti cadangan yang dikemukakan parti itu.

"Jika beliau ingin melakukan perubahan, beliau perlu memaklumkan kepada saya terlebih dahulu. Apabila saya kembali ke tanah air, beliau boleh menemui saya,'' katanya kepada wartawan Malaysia selepas merasmikan pejabat perwakilan Khazanah Nasional Beijing, pada Khamis.

Abdullah berada di ibu negara China untuk menghadiri Mesyuarat Sidang Kemuncak Asia-Eropah (ASEM) ketujuh yang bermula hari ini. Beliau dijadual pulang ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Pada pemilihan MCA hujung minggu lepas, bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang meletak jawatan selepas klip video skandal seksnya tersebar, memenangi jawatan Timbalan Presiden setelah menewaskan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Dr. Chua tidak bertanding pada pilihan raya umum Mac lepas.

Dua lagi Timbalan Menteri dari MCA yang tewas dalam pemilihan parti kali ini adalah Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Chor Chee Heung dan Timbalan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Teng Boon Soon. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/24102008

Pengkid difatwa haram

Oleh SAIFUL AFFENDY SAPRAN
saiful.sapran@kosmo.com.my



KECENDERUNGAN pasangan kekasih kaum sejenis membimbangkan sehingga terpaksa diharamkan. - Gambar hiasan

--------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR - Kecenderungan segelintir wanita mengamalkan budaya pengkid, istilah yang menggambarkan penampilan dan kelakuan umpama lelaki mendorong Majlis Fatwa Kebangsaan semalam memutuskan ia sebagai haram.

Namun, pengharaman itu lebih menjurus kepada kelakuan melampau bagi pasangan sejenis memandangkan aspek pakaian bukan lagi satu isu.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, ketetapan itu berdasarkan kepada kecenderungan wanita untuk berkelakuan seperti lelaki semasa bergaul dengan pasangan mereka yang juga kaum sejenis.

"Ia bukan sekadar (merangkumi) pakaian sahaja. Etika pakaian dah jelas halal dan haram.

"Tapi yang kita tekankan ialah yang kelakuan menyerupai lelaki dan menjadikan pasangan wanitanya sebagai teman seksual,'' kata beliau ketika dihubungi di Kota Bharu selepas menghadiri muzakarah dua hari Majlis Fatwa Kebangsaan semalam.

Ia reaksi segera beliau terhadap kenyataan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin semalam mengenai keputusan mengharamkan perbuatan wanita yang cenderung kepada kegiatan seksual sebagai lelaki sedangkan mereka adalah wanita sejati.

Majlis turut membuat ketetapan untuk membolehkan seseorang cucu mewarisi harta pusaka datuk mereka sekiranya bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk mereka.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Nasib 50,000 pekerja kontrak jadi persoalan

KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada kira-kira 50,000 kakitangan awam yang sedang berkhidmat secara kontrak mungkin terpaksa ditamatkan perkhidmatan menjelang akhir tahun ini berikutan kekangan kewangan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Omar Osman.

Mereka adalah kakitangan yang kontraknya disambungkan dari setahun ke setahun, yang berkhidmat di semua jabatan dan kementerian di seluruh negara, tidak menikmati kemudahan seperti yang diterima kakitangan awam tetap, tetapi melakukan tugas yang sama.

Omar memberitahu Bernama, Cuepacs tidak boleh menerima alasan kekangan kewangan untuk menamatkan perkhidmatan mereka, kerana kerajaan dilihat masih mampu mengekalkan perkhidmatan golongan ini.

Cuepacs, katanya telah menghantar rayuan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengekalkan kakitangan ini, yang kebanyakannya telah berkhidmat sehingga lebih 20 tahun.

"Cuepacs telah mencadangkan sama ada JPA mengambil semula pekerja ini atau menyerap mereka ke dalam kedudukan tetap," kata Omar.

http://www.kosmo.com.my/24102008

Tanda-Tanda Sakit..


Dilulus terbit pada Thursday, October 23 @ 07:00:00 MYT oleh TokBatin


Oleh arieef007




"
TANDA-TANDA SAKIT Risalah ini bagus untuk anda semua.
Tanda-tanda sakit yang selalu kita rasakan berhubung kait dengan fungsi badan yang lain. Bacalah untuk menilai sejauh mana kesihatan diri anda :-

1.MATA (Bertindak balas dengan keadaan hati).
i) Mata menjadi merah : Hati mengandungi paras toksin yang tinggi.
Mata menjadi merah menandakan badan kita sedang dalam proses pembuangan toksin.
ii) Mata menjadi kabur : Sering berlaku pada waktu pagi. Menandakan proses penyeimbangan hati sedang berlaku.
iii) Keluar tahi mata : Fungsi hati lemah, pembuangan toksin sedang berlaku. Ini juga menunjukkan badan mengandungi asid berlebihan.
iv) Keluar air mata : Gangguan emosi yang bersangkut dengan hati atau bebanan kerja
v) Ketegangan mata dan kelopak : Tekanan perasaan kerana tidak puas hati atau bebanan yang berat.

2.HIDUNG
Hidung mempunyai hubungan rapat dengan paru-paru dan kerongkong.
i) Selesema : Proses pembuangan toksin di bahagian kerongkong. Badan mengandungi asid berlebihan (biasanya suhu badan meningkat).
ii) Hidung sumbat : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan.
Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.
iii) Bersin
a. Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Proses menyeimbangkan masalah alahan hidung.

3.BATUK
a. Batuk keluar kahak : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong.
b. Batuk tanpa kahak : Paru-paru mengandungi toksin yang berlebihan. Biasanya kahak pekat keluar selepas beberapa hari memakan RG..
c. Batuk dan berasa gatal di kerongkong : Proses membuang toksin di bahagian kerongkong dan paru-paru, biasanya berlaku pada orang yang banyak merokok atau terdedah kepada udara yang tercemar.


4.KERONGKONG
i) Kerongkong kering. Proses membuang toksin sedang berlaku
di seluruh badan. Ini adalah tanda bahawa badan kita memerlukan banyak air untuk membuang toksin.
ii) Sakit kerongkong. Seperti di atas. Paras keracunan lebih serius.

5.BIBIR (Berkaitan dengan fungsi sistem penghadaman)
i) Bibir pucat
a. Sistem penghadaman yang lemah.
b. Perut mengandungi angin.
c. Kurang darah yang disebabkan oleh sistem penghadaman yang kurang sempurna dan mengakibatkan kekurangan zat besi. Sepatutnya diperkuatkan fungsi penghadaman dahulu dengan RG sebelum memakan zat besi.
ii) Bibir kering dan pecah. Perut mengandungi banyak bahan toksin.

6.MULUT DAN LIDAH : Berkaitan dengan fungsi jantung dan sistem pengedaran darah.
i) Lidah atau gusi bengkak, sakit : Menunjukkan jantung mempunyai masalah, seperti lemak yang berlebihan, injap menjadi lemah, saluran koronari tersumbat dan lain-lain lagi.
ii) Lidah, tisu mulut atau gusi menjadi pecah-pecah (ulser). Menandakan darah mengandungi asid berlebihan.
iii) Mulut berbau busuk . Proses penyeimbangan fungsi perut untuk pembuangan toksin.

7.TELINGA: Berkaitan dengan buah pinggang.
i) Telinga terasa tersumbat : Buah pinggang mengandungi toksin berlebihan.
ii) Telinga berdengung : Sedang merawat buah pinggang yang lemah.Biasanya tapak kaki terasa sakit ketika bangun pagi dan sakit itu hilang setelah berjalan-jalan.

8.KULIT Berpeluh :
a) Peluh masin : Badan mengandungi lebihan asid urik.
b) Peluh berbau : Badan menyingkirkan toksin melalui perpeluhan.

9.RUAM DAN BISUL : Badan menyingkirkan toksin yang berlemak dan toksin yang tidak larut dalam air.

10.KULIT GATAL DENGAN RUAM : Proses menyingkirkan toksin melalui kulit akibat terlalu banyak memakan ubat yang mengandungi bahan kimia.

11.KULIT PECAH DAN BERAIR : Proses pembuangan toksin yang larut dalam air.Sapukan serbuk Ganoderma pada kulit berkenaan.

12.RAMBUT GUGUR : Menandakan fungsi buah pinggang yang lemah. Selepas proses gugur, rambut akan tumbuh semula dengan lebih sihat dan subur.

13.SENDI-SENDI, TANGAN DAN KAKI
a. Sakit Sendi
i) Rasa panas. Menunjukkan terdapat luka di bahagian sendi berkenaan dan tanda- tanda penyakit pirai (gout).
ii) Tidak rasa panas Tanda-tanda sakit lenguh (rheumatism) .
iii) Sakit di bahagian bahu. Menandakan saluran darah telah menjadi keras dan fungsi metabolisme tidak seimbang.
b) KEBAS TANGAN : Pengaliran darah di bahagian atas badan tidak lancar.
c) KEBAS TANGAN KIRI DAN LENGAN : Tanda-tanda lemah atau sakit jantung. Jika rasa kebas menjadi sakit di bahagian lengan dan kekal di sana, ini menandakan serangan sakit jantung mungkin berlaku.
d) KEBAS KAKI : Pengaliran darah di bahagian bawah badan tidak lancar.
e) SAKIT TAPAK KAKI : Menandakan buah pinggang lemah. Biasanya disebabkan oleh kekurangan senaman dan duduk terlalu lama.
f) SAKIT TUMIT KAKI : Menunjukkan kelemahan fungsi alat kelamin.
g) RASA PANAS DI TAPAK KAKI : Penyeimbangan fungsi buah pinggang akibat lemah tenaga batin.
h) GATAL DI CELAH-CELAH JARI KAKI : Menunjukkan tanda awal penyakit kaki busuk (Hong Kong Foot).

14. TANDA-TANDA DALAMAN
A. KEPALA.
Secara amnya, segala tindak balas yang berlaku di bahagian kepala mempunyai kaitan dengan sistem pengaliran darah, jantung dan saraf otak.
B. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN DEPAN KEPALA
Menandakan sakit tekanan jiwa (neurosis) akibat bebanan mental dan banyak berfikir.
C. PENING/SAKIT DI BAHAGIAN BELAKANG KEPALA
i) Bahagian atas . Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi.
ii) Bahagian bawah (tengkuk). Menunjukkan penyakit tekanan darah tinggi atau tekanan darah.
D. SAKIT KEPALA DAN RASA GAS KELUAR DARI TELINGA :Menandakan penyakit migrain.
E. BISUL TERJADI DI KEPALA
Tanda pembuangan toksin sedang berlaku. Kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit migrain.
F. RASA PENING YANG MEMUSING
Tanda kurang darah atau pengaliran darah tidak lancar.

15. MULUT/KERONGKONG/ LIDAH
a. LOYA/MUNTAH . Tanda penyakit lelah. Pembuangan bahan toksik dari bahagian perut.
b. MUNTAH DARAH
i) Darah merah : Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian kerongkong dan
ii) Darah hitam: Pembuangan tisu yang sudah rosak di bahagian perut; misalnya penyakit ulser.

16. LIDAH RASA TEGANG DAN PENDEK : Tanda sakit jantung.

17. KELUAR AIR LIUR YANG PEKAT . Proses pembuangan toksin dari kerongkong akibat jangkitan kuman

18. KENCING
a) KERAP KENCING
Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran
b) AIR KENCING BERKAPUR Menunjukkan penyakit batu karang dalam buah pinggang.
c) AIR KENCING BERMINYAK : Menunjukkan buah pinggang mengandungi kotoran berlemak.
d) AIR KENCING PEKAT BERWARNA COKLAT : Menandakan proses pembuangan toksin sedang berlaku.
e) AIR KENCING BERDARAH : Penyakit batu karang atau buah pinggang luka.

19. BUANG AIR BESAR
a) CIRIT-BIRIT/ KERAP BUANG AIR BESAR : Membersihkan kotoran/keracunan dari usus besar. Cirit-birit dengan serta merta selepas memakan RG, menandakan penyakit barah di bahagian usus besar.
b) SEMBELIT: Membersihkan toksin dari usus kecil.
c) NAJIS BERDARAH
i) Darah merah : Masalah penyakit buasir atau barah di bahagian usus.
ii) Darah hitam: Masalah penyakit ulser perut.
d) NAJIS BERWARNA HITAM : Menunjukkan proses pembuangan toksin di bahagian usus sedang berlaku.

20. BADAN
a) RASA SAKIT : Secara amnya, segala kesakitan badan adalah disebabkan saluran darah.
i) Sakit menyucuk : Proses menyeimbangkan urat saraf.
ii) Sakit sengal: Menandakan luka di dalam badan.
iii) Sakit menyentap: Proses menyeimbangkan urat saraf yang berkaitan dengan organ-organ badan.
iv) Sakit menegang : Proses melancarkan pengaliran darah.
b) BADAN TERASA BERAT/ MALAS/ LENGUH . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Proses penyeimbangan
c) BADAN TERASA PANAS . Badan mengandungi asid yang berlebihan. Ini menandakan badan memerlukan banyak air untuk menjalankan proses pembuangan toksin.
d) BADAN TERASA RINGAN :
Menandakan badan segar dan proses awet muda sedang berlaku.

21. RASA TAKUT MENGEJUT : Lemah fungsi buah pinggang. Tenaga batin lemah.

22. CEPAT NAIK DARAH/MARAH : Fungsi hati lemah. Tekanan darah tinggi.

23. RASA BIMBANG DAN TAKUT : Sistem paru-paru yang lemah.

24. RASA SERONOK ATAU BIMBANG TANPA SEBAB :
i) Sistem jantung yang lemah.
ii) Sistem saraf otak yang lemah.
iii) Masalah pengaliran darah.

25. SUKA BERFIKIR DAN BERKHAYAL : Sistem penghadaman yang lemah.

"

http://www.tranungkite.net/

Tahniah Datuk Shah Rukh Khan




Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah


20 Oct 2008 10:25AM



Oleh Faizal Riduan

TAHNIAH Datuk Shah Rukh Khan, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka dan Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil Yaakob, Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Melaka di atas penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) kepada 'Raja Bollywood' itu bersempena dengan ulang tahun kelahiran Tun yang ke 70.

Sememangnya kemasyhuran Melaka kini hanya tinggal kenangan sejak negeri bersejarah itu kehilangan sultan berdaulat bermula tahun 1511! Jika dahulu kesultanan Melaka adalah pengasas kesultanan Pahang di mana Sultan Melaka, Sultan Mansor Shah mengutuskan wazir baginda, Seri Bira Diraja sebelum anakanda baginda, Sultan Muhammad Shah ditabal sebagai Sultan Pahang I pada tahun 1470 dan setelah 534 tahun, Melaka kini ber-Yang Di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob iaitu seorang rakyat jelata di negeri Pahang yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung UMNO.

Jika Datuk Shah Rukh Khan adalah bintang Bollywood pertama yang mendapat anugerah gelaran 'Datuk' maka jangan terperanjat lambakan gelaran ‘Datuk’ akan melanda industri perfileman yang berpusat di Mumbai, India itu dengan gelaran Datuk Amitabh Bachchan, Datuk Hrithik Roshan, Datuk John Abraham, Datuk Salman Khan, Datuk Saif Ali Khan, Datuk Abishek Bachchan, Datuk Shahid Kapoor, Datuk Aishwarya Rai, Datuk Kajol Mukherjee, Datuk Rani Mukherjee , Datuk Kareena Kapoor, Datuk Katrina Kaif, Datuk Priyanka Chopra, Datuk Preeti Zinta dan banyak lagi penerima.

Nampaknya tidak sia-sia Kuala Lumpur dipilih sebagai tuan rumah kepada majlis Anugerah Filem India Sedunia (GIFA 2006). Selepas ini kita akan melihat pula siapakah artis Cina, Taiwan, Hong Kong, Jepun dan Hollywood yang pertama bakal mendapat gelaran Datuk (kecuali Datuk Michelle Yeoh iaitu seorang warganegara Malaysia). Tetapi mereka perlu terlebih dahulu mengharumkan nama Malaysia dengan menjadikan negara ini tuan rumah bagi sebarang penganjuran majlis anugerah hiburan di atas 'karpet merah' sebelum layak berjalan di atas 'karpet kuning' sebagai penerima anugerah ‘Datuk’!

Malah adalah lebih membanggakan Melaka dengan anugerah ‘lingua franca’-nya jika dapat men-Datuk-kan nama-nama besar dunia hiburan antarabangsa dengan gelaran Datuk Tom Cruise, Datuk Brad Pit, Datuk Michael Jackson, Datuk Nicole Kidman, Datuk Mariah Carey, Datuk Oprah Winfley, Datuk Avril Lavigne, Datuk Justin Timberlake, Datuk Jackie Chan dan Datuk Chow Yun Fat. Saya tidak pasti adakah ini pemberian timbalbalik untuk menjadikan semua penerima anugerah ‘Datuk’ antarabangsa ini sebagai ‘Duta Pelancongan’ Melaka Bandaraya Bersejarah dan Bandaraya Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Justifikasi penganugerahan tersebut yang cuba dirasionalkan oleh Ketua Menteri-nya, Mohd Ali Rustam sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan Shah Rukh Khan kepada bidang seni perfilemen di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia hanya sesuai diucapkan untuk majlis penyampaian anugerah seperti Anugerah Era, Anugerah Cit-Cat, Anugerah Bintang Popular, Anugerah Juara Lagu, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah Industri Muzik atau Anugerah Planet Muzik. Barangkali Mohd Ali Rustam menilai melalui bibliografi buku "Still Reading Khan" dan dokumentari "The Inner and Outer World of Shah Rukh Khan" atau paling tidak sebagai seorang ahli 'Shah Rukh Khan Fun's Club' yang berpusat di Kolkata, India.

Anugerah DMSM yang membawa gelaran ‘Datuk’ turut diberikan antaranya kepada Abdul Karim Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksklutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); Saroni Judi, Naib Presiden Universiti Tun Abdul Razak (Unitar); Prof Madya Dr Azarae Idris, Timbalan Naib Canselor Univeriti Malaya (UM); Datuk Jalilah Baba, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia; Martini Osman, Presiden Agro Bank; Mohamed Azmi Mahmood, Pengarah Urusan Ambank (M) Berhad; Lee Say Thsin, Pengarah Urusan HSBC Bank Malaysia Berhad; Datuk Iskandar Mizal Mahmood, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Biotechnology Corporation; Mohamed Ashaaree Mahmood, Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia; Ir Dr Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran; Othman Samin, Duta Besar Malaysia di Morocco; dan, SAC I Mazlan Mansor, Ketua Polis Melaka.

Tidak kurang hebat penerima sebelumnya antaranya ialah Rohani Jamil, Ketua Pengarah Arkib Negara; Sureth Singh, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR); Prof Dr Ghauth Jasman, Presiden Universiti Multimedia Malaysia (MMU); Kris Azman Abdullah, Pengarah Suruhanjaya Sekuriti; Prof Dr Hassan Mohd Said, Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi; Mohd Salleh Abdullah, Pengarah Urusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB); Syed Hisham Syed Wazir, Pengarah Urusan Edaran Otomobil Nasional (EON); Ahmad Mustafa, Pengurus Besar Sepang International Circuit (SIC); Datuk Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Kumpulan NSTP; Datuk Mohd Khalid Mohd, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan; Zaini Md Nor, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah; SAC I Ayub Yaakob, Ketua Polis Melaka; Abidin Borhan, Setiausaha Gabungan Penulis Nasional (Gapena); Misbun Sidek, Jurulatih Badminton Negara; dan Noraini Ahmad, Ketua Puteri Umno. Dalam senarai panjang yang ‘bukan calang-calang orang’ itu, adakah mereka berbangga segelaran dengan Shah Rukh Khan atau Shah Rukh Khan berbangga segelaran dengan mereka?

Nampaknya Majlis Raya-Raja Melayu perlu membuat ketetapan bersama dan peyelarasan dalam kriteria penganugerahan darjah dan bintang kebesaran supaya kualiti, kredebiliti dan reputasi penerima anugerah dapat dipertahankan wibawanya. Bayangkan satu masa dahulu sebuah Institusi Di-Raja Perak iaitu Muftinya, Datuk Seri Harussani Zakaria telah berfatwa bahawa budaya Bollywood adalah haram kerana budaya hedonisme yang melalaikan kini negeri Melaka pula mengiktiraf sumbangan dari Bollywood itu. Tindakkan kerajaan negeri Melaka itu sebenarnya tidak ubah seperti memberikan gelaran Datuk kepada pengunjung Melayu di bar minuman keras, The Ship atau peserta Melayu dalam pertandingan ratu cantik separuh bogel yang mana keduanya ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) satu masa dahulu.

Empat tahun yang lalu, Melaka membuat kontroversi yang sama dengan lambakkan penganugerahan darjah dan bintang kebesaran terbanyak kepada 84 orang penerima walaupun Melaka adalah negeri terkecil selepas Perlis. Antara penerima kontroversi pula ialah Datuk Khalid Jafri seorang penulis merangkap penfitnah dalam bukunya "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri" dan Hasnoor Sidang Husin, Pengurus Besar Melaka International Trade Centre (MITC) yang pernah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi Melaka atas jenayah pecah amanah pada tahun 1995.

Pemilihan Datuk Shah Rukh Khan yang turut memenangi anugerah lelaki paling seksi dan dilihat sebagai simbol seks oleh pemujannya mungkin boleh difahami jika keputusan tersebut dibuat oleh Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri dari kalangan kaum wanita. Jika inilah antara kriteria yang diambilkira adalah lebih baik anugerah Datuk diberikan kepada Sufiah Yusuf, seorang pelacur berprofil tinggi yang disensasikan ke seluruh dunia sebagai warganegara Malaysia. Sekurang-kurang beliau pernah membanggakan negara sebagai manusia terpintar dengan memasuki Universiti Oxford pada usia 13 tahun!

Sebenarnya adalah lebih baik mengiktiraf pejuang seni tempatan dan jika kerajaan Melaka tiada calon yang bersesuaian maka saya mencadangkan anugerah Datuk diberikan kepada pelakon bangsawan dan penggiat teater Perlis, Ismail Hashim. Apatahlagi beliau telah berjasa dengan menarik diri dari meneruskan hasrat 'gila bayang' bertanding jawatan tertinggi sebagai Presiden Umno. Ini kerana jika beliau meneruskan percubaan 'untung sabut timbul, untung batu tengelam'-nya, maka tidak mustahil Ketua Menteri dan Yang Di-Pertua Negeri Melaka akan ber-Presiden-kan dan ber-Perdana Menteri-kan Ismail Hashim!

Jika calon Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memerlukan pengaruh dari Oprah Winfley, hos rancangan bual-bicara The Oprah Winfley Show yang dinobatkan sebagai selebriti paling berpengaruh di dunia oleh majalah Forbes maka adakah usaha kerajaan Melaka ini boleh dilihat sebagai meraih pengaruh dari Datuk Shah Rukh Khan yang juga hos kuiz popular 'Kaun Banega Crorepati' yang dinobatkan sebagai lelaki Asia paling seksi di dunia tahun 2007 oleh akhbar Eastern Eye bagi membolehkan Mohd Ali Rustam mengalahkan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan Timbalan Presiden? Pastinya hati ahli Wanita dan Puteri Umno akan tersentuh jika melihat lakonan melankolis Datuk Shah Rukh Khan dalam Baazigar, Darr, Anjaam, Dilwale Dulhania Le Jayenge, Dil To Pagal Hai, Kuch Kuch Hota Hai, Mohabbatein, Kabhi Khushi Kabhie Gham, Kal Ho Naa Ho dan Veer-Zhaara.

Melaka yang diisytiharkan sebagai 'Bandaraya Bersejarah' oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Mahathir Mohamed 12 April 1989 sememang benar-benar bersejarah pada hari ini. Apapun jika satu masa nanti saya menampa sejarah peribadi mendapat anugerah ‘Datuk’, saya berharap ianya bukan dari negeri Melaka. Sekurang-kurangnya apabila ada orang mempersoal, saya masih boleh menjawab, "Datuk saya bukan Datuk Melaka!" .

Sehingga kini saya masih mencuba untuk tidak mempercayai berita ini dengan harapan beberapa hari lagi Bernama dan seluruh media akan mengeluarkan kenyataan “Ralat” kerana berita tersalah lapor atau tersalah tulis "Nasir Bilal Khan" sebagai "Shah Rukh Khan". Jika tidak, gelaran 'Datuk' Melaka itu akan sama nilainya dengan sekeping VCD Bollywood berharga RM9.90 di Pasaraya Besar Mydin!


* Penulis merupakan seorang Perunding Pembangunan Sumber Manusia - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/20/1.html

"Apa hak dia?" Abdullah




20 Oct 2008 11:03AM

KK: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin membidas mantan perdana menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin lain yang mahu beliau mempercepat langkah meletak jawatan.

Dalam satu sidang akhbar di Terminal 2, Lapangan Terbang Kota Kinabalu Sabtu lalu, Datuk Seri Abdullah menuduh Dr Mahathir cuba 'mencetus pergolakan, kemarahan dan kebencian' dalam Umno, lapor agensi berita Bernama.

Menurutnya Dr Mahathir berlagak seolah-olah pengarah pilihan parti yang menentukan 'siapa yang perlu berada dalam parti Umno dan siapa yang perlu dikeluarkan'.

'Siapa dia Tun yang dah keluar parti Umno itu nak cuba membuat arahan kepada orang Umno apa yang patut dilakukan?

'Dia berlagak seolah-olah menjadi pengarah kepada pilihan parti, menentukan orang itu memegang jawatan itu, orang ini pula memegang jawatan ini, siapa yang perlu ada dalam parti, siapa yang perlu dikeluarkan. Apa hak dia buat begitu?' tanya Datuk Seri Abdullah.

Beliau berkata begitu semasa mengulas kenyataan Dr Mahathir yang mahu perwakilan Umno 'mengusir orang-orang Abdullah' dalam pemilihan parti itu Mac depan.

'Sebenarnya beliau mahu menimbulkan pergolakan, kemarahan dan kebencian. .

'Saya menganggap apa yang Tun telah lakukan sebenarnya menimbulkan perkelahian di dalam Umno,' kata beliau.

Datuk Seri Abdullah juga membidas Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang mahu peletakan jawatan beliau dipercepatkan sebelum Mac tahun depan.

'Yang jelas sudah ada persetujuan. Mengapa diungkit lagi? Tak sabar agaknya nak jadi Timbalan Presiden. Itu pun kalau ada cukup orang nanti nak menyokong dia,' kata beliau. / AP, Bernama

http://www.klpos.com/news/2008/10/20/5.html
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...