Saturday, June 26, 2010

Apabila Ulama Disifat Bagaikan Anjing

** Artikel lama, dicadangkan untuk pembacaan.

Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan. Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam, tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam. Ibnu Taimiyyah masuk untuk menasihatinya. Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orangramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi” (lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Saya memetik cerita ini bagi menggambarkan kadang-kala betapa ramai mereka yang memakai gelaran agama seperti ulama, syeikh, mufti dan seumpamanya yang mementingkan jubahnya agar tidak kotor atau tercemar lebih daripada mementingkan tanggungjawab mereka sebagai ilmuwan Islam untuk menegakkan kebenaran kerana Allah.

Jika Ibn Taimiyyah tidak makan kerana mengenangkan nilai makanan yang dijamu, sementara ramai ulama lain yang ‘sebat semacam’ dalam kegawatan pertarungan yang seperti itu, apakah ulama di zaman keresahan rakyat miskin kini disebabkan kenaikan harga barang, akan mencontohi sikap Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, atau akan tiru macam ulama-ulama dalam majlis Qazan itu lalu mereka juga akan ‘sebat semacam’ jamuan mewah yang melampaui batas yang patut menggunakan harta rakyat.

Saya menulis tajuk ini bertujuan untuk mengingatkan diri sendiri, bukan untuk orang lain. Ia boleh dibaca sebagai iktibar.

Hari ini mungkin sesetengah ulama sudah tidak bimbang jubah putih mereka tercemar lagi, kerana mereka memiliki koleksi pakaian yang cukup banyak hasil dari kemewahan memakai gelaran rasmi agama. Sehingga ada yang jumlah gajinya mengejutkan parlimen dan rakyat.

Namun di zaman moden ini, mereka mungkin bimbang habuan yang dijanji tidak diberi, kontrak mereka tidak disambung, atau pangkat mereka tidak dinaikkan, atau bisnes yang mereka menjadi ‘duta produk’ atau juru larisnya terjejas, atau perlantikan mereka di institusi-institusi yang menghasilkan elaun bulanan itu terganggu.

Atau ada pula yang menjaga kepentingan parti mereka melebihi daripada membela kebenaran dan fakta. Sehingga ada yang sanggup mengubah-ubah fatwa, hanya kerana partinya sudah berubah. Lalu mereka akan menjauhkan diri dari sesiapa yang cuba mengikuti semangat Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.

Kalau pada zaman Ibn Taimiyyah, untuk mengelakkan mereka terpaksa berjuang bersama Ibn Taimiyyah dan rakyat menentang penjajahan Tatar, para ulama berkepentingan tersebut menulis atau menyebarkan fitnah untuk memburukkan Ibn Taimiyyah. Tujuannya, untuk menutup kelemahan diri dan menjaga kepentingan sendiri. Sebelum dan selepas zaman Ibn Taimiyyah pun, gelagat ulama jenis ini tetap sama.

Apabila ulama mengutamakan kepentingan sendiri, maka umat akan kehilangan garis panduan terutama pada waktu gawat dan getir. Pandangan dan pendapat yang benar disembunyikan sedangkan umat kehausan bimbingan. Jika diberikan pandangan pun hanya tajuk-tajuk yang dipersetujui oleh panaja.

Kadang-kala kita rasa tidak padan tajuk yang dicakapkan dengan jawatan yang dipegang. Maka amatlah buruk golongan yang menamakan diri mereka ulama jika hanya kelihatan ketika majlis-majlis rasmi untuk hadir hanya sebagai pembaca doa semata. Lebih menyedihkan lagi, dalam doa itu ‘ada udang di sebalik mee’, untuk dimakan sendiri. Sehingga kita yang mendengar pun terasa seram sejuk dengan pujian kepada pihak tertentu yang ‘lebih daripada yang patut’.

Atau golongan ini hanya kelihatan dalam majlis jamuan rasmi untuk memenuhi kerusi VIP yang dikhaskan untuk mereka. Hanya mampu makan jamuan yang diambil daripada peruntukan rakyat, namun tidak mampu bersuara jujur membela rakyat. Ada pula ulama-ulama rasmi yang minatnya adalah lawatan atas nama jawatannya ke sana-sini. Kononnya, untuk mengiringi orang itu dan ini.

Mereka kelihatan sibuk, namun umat tidak pula tahu apakah hasil dan sumbangan mereka untuk kepentingan rakyat. Apa yang disibukkan itu? Apakah kesibukan itu bersesuaian dengan peranan mereka yang sepatutnya? Atau sekadar sibuk menjadi pengiring atau sebagai panel memenuhi kerusi jamuan?. Atau sibuk untuk harta dan pangkat sendiri.

Ulama jenis ini, tidak mereka berjuang dengan suara, tidak juga dengan pena. Tentu jauh sekali dengan darah dan airmata. Walaupun pena atau komputer mereka mungkin berjenama mahal, tetapi kita tidak tahu apa yang mereka tulis dan sumbangkan untuk umat. Suara mereka tentu lebih mahal. Bak kata perpatah‘suara emas’, sebab itu ia amat sukar untuk dikeluarkan walaupun keadaan amat memerlukan.

Bicara mereka bicara ‘ranggi’. Cerita mereka tentang kereta baru, perabut baru, lawatan keluar negara, lantikan baru, anugerah gelaran tambahan dan yang sewaktu dengannya. Wajah mereka berseri-seri jika bergambar di samping orang besar atau ‘pak menteri’.

Malangnya, sebahagian wajah yang berseri-seri itu tidak mampu untuk hadir mengajar atau memberikan pandangan untuk kepentingan orang awam. Kalau pun diberi, pandangan yang amat tidak berkualiti, atau dalam perkara yang kurang diperlukan. Mereka mungkin berfatwa tentang ‘haram kanak-kanak bermain mercun’ pada musim hari raya. Kerana itu kata mereka ‘pembaziran’.

Tetapi tidaklah pula mereka berfatwa tentang bunga api yang dibakar di sambutan-sambutan rasmi yang memakan belanja puluhan bahkan mungkin ratusan ribu. Padahal pembazirannya lebih jelas dan wangnya adalah wang orangramai.

Maka tidak hairanlah jika ada yang berjawatan tinggi dalam agama, tetapi tidak dikenali oleh rakyatnya. Jika dikenali pun, tidak pula diketahui apakah peranannya dalam membela kemaslahatan umat yang menjadi tuntutan agama?

Ulama yang seperti inilah yang menjual fatwa untuk kepentingan kedudukan, pangkat dan harta. Umat akan keliru, bahkan mungkin akan tersesat. Justeru, janganlah hairan jika al-Quran tidak pernah mensifatkan mana-mana golongan seperti anjing melainkan golongan ulama yang menjual agamanya untuk mendapatkan habuan dunia.

Firman Allah: (maksudnya) Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat kami. kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar darinya, lalu syaitan mengikutnya, maka jadilah dia daripada orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia mahu kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menghalaunya, dia menjelirkan lidahnya, dan jika engkau membiarkannya: dia juga menjelirkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”. (Surah al-A’raf: ayat 175-176).

Ayat ini menceritakan perihal kisah seorang ilmuwan agama yang meninggalkan ajaran Allah semata-mata kerana keinginannya kepada dunia. Riwayat-riwayat Israiliyyat yang tidak sahih menyebut nama orang tersebut ialah Bal’am. Kita tidak menerima periwayatan tanpa sokongan yang seperti itu.

Apa yang penting, ayat ini telah menyamakan ulama yang menjual nilai ajaran Allah hanya untuk kepentingan dunianya sama seperti anjing. Padahal jika dia berpegang atas prinsip ilmu dia tetap akan mendapat kemuliaan. Namun, dia gopoh dengan silauan tawaran dunia. Samalah dia seperti anjing yang sentiasa menjelirkan lidah. Anjing menjelirkan lidah disebabkan kepanasan badannya, atau oksigen yang tidak cukup bagi tubuhnya. Demikian ilmuwan yang sentiasa kepanasan kerana gilakan dunia, atau sentiasa merasa tidak memadai dengan kedudukan mulianya sebagai ilmuwan, lalu dia menjelirkan lidahnya yang hodoh mencari yang lain habuan yang lain.

Maka Allah menjanjikan bagi ulama yang menyembunyikan kebenaran balasan yang dahsyat. Allah berfirman: (maksudnya) “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab suci yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).

Bagi ulama yang telah menyembunyikan kebenaran dan menyelewengkan fakta yang sebenar tiada jalan untuknya mendapat keampunan melainkan taubat dan menerangkan semula kebenaran yang disembunyikan atau fakta yang diselewengkan.

Firman Allah (maksudnya): “Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Ya! ulama itu bukan malaikat atau nabi yang maksum. Mereka seperti insan lain yang terdedah kepada salah dan dosa. Namun walau apapun keadaannya, mereka tidak boleh menyelewengkan fakta, atau menyembunyikan kebenaran sehingga mengelirukan manusia tentang hakikat ajaran Allah S.W.T.

Mereka juga boleh menjaga kaya dan berharta, tetapi tanpa menggadaikan kebenaran. Ini kerana yang menyebabkan mereka itu dianggap ulama kerana ilmu yang dimiliki oleh mereka. Peranan mereka adalah menjaga ilmu dan memastikan ilmu itu berfungsi untuk kemaslahatan manusia. Jika seseorang memakai pakaian ulama, atau menduduki jawatan ulama, atau memakai gelaran ulama tetapi dia kontang ilmu, dia sebenarnya bukan ulama walaupun diletakkan berbagai gelaran dan bintang.

Perkataan ulama itu berkait dengan ilmu dan peranan mereka menyampai dan menyatakan kebenaran. Bukan kerja ulama menjadi pembela setia sesebuah kerajaan ataupun parti atau individu. Ulama membela kebenaran ajaran Allah dan RasulNya. Tiada kompromi dalam soal kebenaran, keadilan dan fakta sekalipun terpaksa menghadapi teman yang rapat, atau pihak berjasa lagi dikasihi.

Sebab itu, seseorang apabila ingin menjadi penuntut ilmu-ilmu Islam, wajib baginya membetulkan niatnya. Jangan dia, atau ibubapa yang menghantarnya berfikir tujuan mempelajari ilmu-ilmu Islam untuk mendapatkan jawatan, atau menjadi penceramah yang lumayan, atau kerana ruang pekerjaan dalam bidang agama luas, atau melariskan bisnes.

Jika itu berlaku dari awal, maka lahirlah ulama-ulama ‘kakak tua’ yang akan memperkatakan apa yang digemari oleh orangramai, atau apa yang diminati di pasaran, atau apa yang dibayar dengan harga yang tinggi oleh pihak tertentu. Maka Nabi s.a.w mengingatkan: “Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).

Menjadi mat rempit, atau perompak, atau pemimpin yang tidak jujur tidak lebih buruk daripada ulama yang menyembunyikan kebenaran atau menyelewengkan fakta sehingga manusia tersesat. Kita memerlukan ilmuwan seperti Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah r.a., bukan ulama yang menjaga jubah dari percikan darah pengorbanan dan kebenaran.

http://drmaza.com/home/?p=291

Kerajaan Akhirnya Tak Lulus Lesen Judi Bola

Published: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:10:00 AM
Updated: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:01:40 PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akhirnya memutuskan bahawa Ascot Sports Sdn Bhd (Ascort Sport) tidak akan diberikan lesen bagi menjalankan operasi pertaruhan sukan.

Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno malam tadi.

"Kerajaan mengambil keputusan tidak akan mengeluarkan lesen perjudian bolasepak kepada Ascot Sports Sdn Bhd. Keputusan itu disokong sepenuhnya oleh MT dalam mesyuarat malam ini.

"Walaupun ada pihak yang sokong dan ada pihak yang menentang... tapi setelah kita ambil kita pelbagai aspek, jelas sekali bahawa sebahagian besar daripada rakyat tidak bersetuju lesen perjudian berkenaan dikeluarkan," katanya.

Najib yang juga Presiden Umno berkata, keputusan berkenaan dibuat setelah mengambil kira soal kepentingan agama dan politik.

"Ini bukan soal (kepentingan) sosial ataupun ekonomi... tapi pertimbangan ini dari segi agama dan politik," katanya.

Menurut Najib, syarikat berkenaan telahpun dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan itu.

Sebelum ini kerajaan pernah mengeluarkan lesen perjudian kepada Ascot Sports pada 1989, namun syarikat itu menyerahkan kembali lesen berkenaan pada 1990 kerana mengalami kerugian.

Bagaimanapun kerajaan baru-baru ini mengumumkan untuk memberikan lesen perjudian kepada Ascot Sports atas beberapa aspek.

"Memang baru-baru ini kerajaan telah memberi kelulusan iaitu pada dasarnya kepada Ascot Sports dengan syarat-syarat tertentu yang perlu dipenuhi oleh syarikat tersebut.

"Niat kerajaan selama ini adalah untuk mengawal aktiviti haram... pertaruhan haram, namun kerajaan pada masa yang sama mendapatkan pandangan umum sebelum lesen ini dikeluarkan.

"Kita mendapati masyarakat berbilang kaum di negara ini mempunyai pandangan mereka yang tersendiri dalam melihat kewajaran pemberian lesen dari sudut agama, ekonomi dan sosial," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan perlu membayar pampasan kepada syarikat terbabit, Najib berkata: "Kerajaan tak perlu berbuat demikian kerana terdapat akta di bawah Kementerian Kewangan yang membenarkan supaya sesuatu perjanjian itu dibatalkan... syarikat itu juga faham dengan keputusan ini."

Selain itu, Najib juga berkata kerjaaan mengambil pendirian bahawa orang Islam sememangnya tidak dibenarkan terlibat dalam aktiviti perjudian.

"Kerajaan menegaskan bahawa orang Islam sama sekali tidak dibenarkan terlibat dengan pertaruhan sukan sama ada membeli, bekerja atau menjadi ahli lembaga pengarah dalam syarikat pertaruhan ini," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626000811&sec=mstar_berita

Kehamilan Remaja Meningkat dengan 111 Kes Tahun Ini

Sabtu Jun 26, 2010

PETALING JAYA: Kehamilan di kalangan remaja menjadi trend yang membimbangkan di seluruh negara berikutan peningkatan jumlah gadis mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung masalah ini.

Sehingga April, JKM menerima 111 laporan berkaitan kes seumpama itu. Jumlah berkenaan naik mendadak berbanding 131 kes

Dilaporkan bagi sepanjang tempoh tahun lalu. Pada 2008, seramai 107 gadis bawah umur mengandung.

Mangsa ditempatkan di Taman Seri Puteri, pusat pemulihan dan perlindungan yang menawarkan latihan untuk golongan muda,

khasnya gadis remaja yang menghadapi masalah sosial.

Statistik oleh JKM ini hanya merupakan sebahagian kecil dari permasalahan sebenar, menurut Ketua Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong.

"Banyak kes dibiarkan tanpa laporan," katanya, sambil menyebut bahawa keluarga di Malaysia melihat masalah itu sebagai memalukan.

Tidak seperti filem Juno pada tahun 2007 tentang kehamilan remaja, tidak ada penyelesaian ala Hollywood bagi gadis yang berakhir dengan kehamilan di negara ini.

"Mereka hilang arah dan sebahagiannya lari daripada rumah. Manakala yang lainnya mengambil jalan mudah membuang bayi," tambah Chong.

Beliau berkata, tahun lalu dia sendiri mengendalikan empat kes serupa tahun lalu dan tiga kes lagi tahun ini.

"Sebilangan remaja mengambil keputusan membuat pengguguran haram apabila mendapati diri hamil. Sebab inilah kita sukar mengumpul data sebenar," jelasnya.

Chong berkata, ramai di antara gadis terbabit mengadakan hubungan seks dengan teman lelaki atas tanggapan salah bahawa mereka sedang dilamun cinta.

Mengenai kaedah mengendalikan kes tersebut, kata Chong, beliau tidak akan membuat laporan polis sekiranya pasangan terbabit sanggup berkahwin.

"Sangat menyedihkan untuk melihat remaja lelaki dipenjarakan atas kesalahan ini. Kita tidak mahu dia menanggung risiko kehilangan masa depannya.

"Bagaimanapun, saya akan mengadu kepada polis jika terdapat unsur kes disyaki rogol," tegasnya.

Di Amerika syarikat (AS), statistik menunjukkan kehamilan di kalangan gadis berusia antara 15 dan 19 tahun meningkat sebanyak 3 peratus dari 2005 hingga 2006.

Tiga hari lalu, akhbar berbahasa Cina di Pulang Pinang melaporkan tentang seorang kanak-kanak berusia 9 tahun melahirkan bayi lelaki.

Dia dipercayai mengadakan seks dengan remaja berusia 14 tahun yang tinggal bersebelahan rumahnya.

Pihak berkuasa, bagaimanapun, enggan mengesahkan laporan tersebut.

Semalam, laporan Harian Metro menyebut, dua gadis berusia 15 tahun yang melahirkan bayi di Kuala Lumpur, minggu lalu, membuat rayuan kepada pihak polis agar tidak mengambil tindakan ke atas teman lelaki masing-masing.

Salah seorang daripadanya, yang bersalin Sabtu lalu, memberitahu akhbar berkenaan bahawa dia mengenali teman lelakinya yang berusia 30-an, Ogos tahun lalu.

Pasangan itu mengadakan hubungan seks dua bulan kemudian.

Katanya, dia berhenti sekolah setelah mendapati dirinya hamil dan keluarga mereka bersetuju bahawa dia dan teman lelakinya harus dikahwinkan.

Sementara seorang lagi gadis yang melahirkan anak Selasa lalu pula mengakui dia dan pasangannya, juga teman sekolah gadis itu, mula mengadakan hubungan intim Mei tahun lalu.

Dia mendakwa keluarganya tahu tentang kehamilan itu dan memberi keizinan kepada mereka untuk berkahwin.

Kedua-dua gadis tersebut juga mendakwa teman lelaki masing-masing sanggup memikul tanggung jawab atas bayi mereka.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan mengesahkan laporan oleh doktor.

Katanya, disebabkan laporan membabitkan remaja, kes itu akan disiasat mengikut Akta Kanun Keseksaan Seksyen 376 kerana merogol.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626131922&sec=mstar_berita

Dr Asri Isytihar Kekal Ulama Bebas, Tidak Sertai Parti Politik

Published: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 10:25:00 AM
Updated: Sabtu Jun 26, 2010 MYT 12:25:42 PM

PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang diuar-uar akan menyerahkan borang sebagai ahli Umno malam tadi menegaskan beliau tidak menyertai mana-mana parti buat masa ini.

"Ingin saya tegaskan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa saya sehingga kini tidak menyertai mana-mana parti politik.

"Sokongan saya adalah kepada kebenaran dan fakta tanpa mengira batasan parti, kaum atau agama. Itulah prinsip Islam yang adil untuk semua," katanya dalam kiriman Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar kira-kirapukul 10.35 pagi ini.

Pada masa yang sama, kata ulama muda itu, beliau menghormati mana-mana pihak untuk melakukan dakwah khususnya dalam parti politik.

"Saya tidak berhasrat untuk membuat kenyataan yang panjang lebar dalam hal ini demi menjaga perasaan sahabat-sahabat saya dan pihak-pihak lain.

"Apa yang penting ialah saya tidak menyertai mana-mana parti politik dan tidak bercadang untuk memilih jalan itu buat masa ini," tegas beliau.

Malam semalam gembar-gembur bekas Mufti Perlis itu akan menyertai Umno tidak menjadi kenyataan apabila beliau tidak muncul pada majlis penyerahan borang keahlian malam semalam sejurus sebelum berlangsungnya mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Sebaliknya yang muncul pada majlis berkenaan ialah 40 orang pendakwah muda yang menyerahkan borang keahlian mereka kepada Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam pada itu Ahli MT, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Mohd Asri akan menyertai Umno pada fasa kedua sedikit masa lagi.

"Penyertaan golongan ulama muda ini adalah secara berperingkat...insyaAllah Dr Asri akan termasuk dalam peringkat kedua tidak lama lagi.

"Kita harus ingat, dalam Umno ada dua kategori, yang pertama adalah ahli Umno seperti saya dan yang kedua ialah penyokong Umno... buat masa ini Dr Asri ada dalam kumpulan itu (penyokong)," katanya.

Kesemua ulama muda itu akan didaftarkan menjadi ahli Umno Cawangan Dataran Merdeka. Selain itu, mengulas lanjut mengenai penyertaan golongan ulama itu, Shahidan berkata, kemasukan mereka ke dalam Umno bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Kita beri peluang yang besar kepada mereka untuk sebarkan Islam sama ada kepada umat Islam sendiri mahupun kepada yang bukan Islam... mereka bukan untuk mengancam mana-mana pihak.

"Penyertaan mereka akan memberi impak yang besar kepada kepada umat Islam," katanya.

Sementara itu, pada sidang media yang sama, ketua kumpulan ulama berkenaan, Fadlan Mohd Othman berkata, tujuan mereka menyertai Umno adalah bagi menyemarakan aktiviti dakwah dalam parti itu.

"Kami menyertai Umno bukan berlandaskan politik, tapi dengan tujuan untuk berdakwah...selepas beberapa perbincangan dibuat, kami dapati ada positifnya (sertai Umno) kerana ia lebih kepada bentuk kerjasama," katanya yang juga merupakan pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ditanya sama ada kemasukan mereka ke dalam Umno ada kaitan dengan isu Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan golongan ulama, beliau bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.

Seorang lagi ulama, Penasihat Agama Institut Jantung Negara (IJN), Fathrul Bari Mat Jahaya berkata mereka memilih Umno sebagai medium dakwah berdasarkan janji yang diberikan pemimpin tertinggi parti itu untuk memastikan para ulama dan ilmuan muda meneruskan dakwah.

"Jadi tawaran seperti ini memang dinantikan oleh kumpulan ini, sebagai seorang yang memiliki ilmu, memang menjadi tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat," katanya.

Tambahnya, ia selaras dengan firman Allah dalam al-Quran yang menyeru supaya umatnya keluar mencari ilmu di mana sahaja supaya sekembalinya nanti ke tanahair dapat menyebarkan ilmu yang diperolehinya kepada masyarakat.

"Maka kami yang dibenarkan oleh kerajaan untuk keluar menuntut ilmu di luar negara sehingga ke Mesir, Jordan, Madinah dan sebagainya... kepulangan kami dinanti-nanti oleh masyarakat untuk menyampaikan ilmu.

"Tapi sekiranya berlaku sekatan dalam menyampaikan ilmu, maka pengajian kami selama ini menjadi sia-sia... maka peluang yang diberikan Umno merupakan satu peluang keemasan," katanya.

http://www.mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/6/26/mstar_berita/20100626102007&sec=mstar_berita

'Saya lapar'

Oleh Mustafa Ngah Mansor
am@hmetro.com.my
2010/06/26

TELUK INTAN: “Emak, saya mahu balik cepat. Saya lapar. Sudah empat hari empat malam tidak makan,” kata Dewi Kartini Ibrahim, 17, sebaik bertemu ibunya, Fatimah Sulaiman, 50, sebelum kedua-dua mereka berpelukan dan menangis di Balai Polis Teluk Intan, semalam.

Sebelum ini, Dewi Kartini dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah sejak petang Selasa lalu selepas keluar ke bandar Teluk Intan mencari kelengkapan sekolah.


Dia kemudian ditemui dalam keadaan tidak terurus dan tidak bermaya di stesen bas Bandar Baru Teluk Intan kira-kira jam 2.45 petang semalam oleh beberapa anggota polis.


Selepas empat hari menghilangkan diri dan kisahnya dipaparkan di beberapa akhbar tempatan kelmarin, Dewi Kartini, pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perak di sini menghubungi ibunya kira-kira jam 2 petang semalam dan meminta mengambilnya di stesen bas berkenaan.


Fatimah berkata, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada anaknya sebelum memaklumkan perkara itu kepada suami, Ibrahim Hassan, 51.


Menurutnya, dia dan suami terlebih dulu dihubungi polis supaya mengambil anaknya di stesen bas sebelum bergegas ke balai berkenaan.


“Saya bersyukur kerana anak selamat dan berterima kasih dengan semua pihak termasuk media kerana membantu mengesan Dewi Kartini termasuk polis.


“Pada masa ini, Dewi Kartini dalam keadaan baik, cuma banyak termenung dan kurang bercakap mungkin kerana masih terkejut dengan kejadian menimpanya,”
katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Sungai Jejawi di sini, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Sayalapar/Article

Ke mana hilangnya Dewi Kartika?


IBRAHIM menunjukkan gambar Dewi Kartika di rumahnya di Kampung Gajah semalam.


PARIT - Seorang bapa tidak dapat menahan perasaan gelisah selepas anak gadisnya, Dewi Kartika Ibrahim, 17, menghilangkan diri tanpa berita sejak Selasa lalu.

Ibrahim Hassan, 50, berkata, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abdul Jalil Shah, Seberang Perak itu tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan seorang rakan perempuan di pusat bandar Teluk Intan dekat sini.

"Pada kira-kira pukul 4 petang Selasa lalu, Dewi Kartika beritahu mahu berjumpa dengan kawan perempuannya sambil membeli beberapa peralatan sekolah di Teluk Intan.

"Dia menunggang motosikal hingga di tebing Sungai Perak dan menyeberang ke Teluk Intan dengan bot penambang. Namun hati saya tidak sedap apabila dia tidak pulang hingga ke malam," katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Jejawi, Kampung Gajah dekat sini semalam.

Ibrahim berkata, gerakan mencari gagal menemui kelibat Dewi Kartika dan sekadar menjumpai motosikal yang ditinggalkan anaknya itu di tebing Sungai Perak.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0625&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Hidup terbiar disisih 4 anak

Oleh Arifin Salleh
am@hmetro.com.my
2010/06/26

ALOR GAJAH: Seorang warga emas kini hidup sebatang kara apabila mendakwa disisihkan empat anak lelakinya selepas berpisah dengan bekas isteri akibat mengalami penyakit urat saraf kira-kira 19 tahun lalu.

Lelaki berkenaan, Subuh Baba, 70, dari Kampung Kundur, Padang Sebang, di sini, turut mendakwa keputusan melepaskan isterinya terpaksa dibuat selepas dicabar keluarga mentuanya.

Subuh yang berasal Singapura, berkata dia mengahwini bekas isterinya itu selepas beberapa tahun merantau ke negara ini bagi mencari rezeki dan mereka dikurniakan empat anak lelaki.

Bagaimanapun, katanya, dia kemudian diserang penyakit urat saraf sehingga tidak mampu bekerja selain gagal memberi nafkah zahir dan batin kepada isteri sehinggakan wanita berkenaan terpaksa bekerja di sebuah kilang untuk menambah pendapatan keluarga.


“Bagaimanapun, isteri mula buat perangai sebelum meninggalkan saya bersendirian sehinggalah keluarganya meminta saya melepaskan anak mereka.


“Akibat tiada pilihan, saya terpaksa berbuat demikian kerana tidak mampu melawan kehendak takdir kerana tidak sanggup menanggung derita dengan perbuatan isteri sedangkan hubungan kami tidak berdepan dengan sebarang masalah,”
katanya ketika ditemui, di sini, semalam.


Menurutnya, lebih memilukan apabila keempat-empat anaknya yang kini berusia antara 35 dan 41 tahun yang ditatang bagai minyak penuh ketika kecil menyisihkan dirinya tanpa sebarang khabar berita hingga menambahkan lagi penderitaan yang ditanggung.


Menurutnya, anak memberi alasan dirinya tidak memberi tumpuan kepada mereka sejak kecil sedangkan dia bekerja di Singapura dan hanya akan pulang menjenguk keluarganya setiap enam bulan sekali.


“Akibat itu, saya kini hidup sebatang kara dengan menghabiskan sisa hidup di rumah pusaka peninggalan bekas mentua dan mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM230 sebulan selain baucar makanan bernilai RM150 daripada Majlis Agama Islam Melaka (Maim).

“Hendak harap pemberian anak memang tak adalah, kalau ada pun apabila tiba Aidilfitri, tetapi mereka tidak masuk ke rumah mungkin kerana malu melihat keadaan saya yang mendiami rumah usang ini,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidupterbiardisisih4anak/Article

Amah kena penjara

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
fauzie@hmetro.com.my
2010/06/26

KUANTAN: Seorang pembantu rumah berusia 17 tahun yang menikam majikannya hanya kerana berang selepas wanita berkenaan memintanya membancuh susu, kira-kira dua tahun lalu, diperintah oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam, menjalani hukuman penjara sehingga diperkenan Sultan Pahang.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir, memerintahkan hukuman berkenaan ke atas gadis berasal dari Pontianak, Indonesia itu mengikut peruntukan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001.


Akhtar dalam penghakimannya berkata, beliau membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan kedua-dua hujah pendakwaan dan pembelaan serta mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh ketika kejadian berusia 15 tahun.


Mengikut kertas pertuduhan, remaja perempuan terbabit dituduh melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian terhadap Miati Bakri yang ketika kejadian berusia 69 tahun pada 11 November 2008 antara jam 1.30 petang hingga 2.30 petang di No 3, Lorong Sungai Karang Maju 7, Taman Sungai Karang Darat 2, di sini.


Bagi kesalahan itu, pembantu rumah berkenaan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Difahamkan, pada hari kejadian mangsa yang uzur meminta tertuduh ketika itu sedang menonton televisyen membancuh susu.


Namun, tertuduh yang berang enggan berbuat demikian dan bertindak di luar batasan apabila menikam dada warga emas berkenaan ketika mereka tinggal berdua di rumah itu berikutan anak dan menantu mangsa bekerja.


Selepas menikam mangsa, tertuduh melarikan diri meninggalkan warga emas itu yang rebah berlumuran darah di depan kediaman berkenaan sebelum ditahan polis pada hari sama tidak jauh dari tempat kejadian.


Tertuduh diwakili peguam Raftfizi Zainal Abidin dan BG Jayaprakash Rao, manakala pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwaraya Kalmizah Salleh dan Heng Yeng Loo.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Amahkenapenjara/Article

2 tahun ditipu ‘suami’

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin dan Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my
2010/06/26

SEGAMAT: Dengan alasan Masjid Putrajaya ditutup sempena sambutan Hari Wilayah 2008, seorang wanita ditipu suami sendiri apabila dia ‘dinikahkan’ oleh rakan karib suaminya di sebuah rumah flet di Shah Alam, Selangor.

Lebih malang, wanita berusia 26 tahun itu hanya mengetahui kisah benar di sebalik majlis pernikahannya dengan ‘suami’ berusia 55 tahun itu selepas anaknya yang berusia dua tahun didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sebagai tidak berbapa kerana tiada sijil nikah.

Lebih membuatkan Siti Amira Mohamad kesal tidak sudah, majlis akad nikah dikendalikan jurunikah palsu itu turut disahkan secara lisan oleh dua saksi yang juga rakan suaminya.

Ketika menceritakan semula majlis pernikahannya di Shah Alam, Siti Amira berkata, pada mulanya dia hairan kerana tempat asal majlis itu sepatutnya diadakan di Masjid Putrajaya, tetapi diubah lokasi ke rumah berkenaan pada saat akhir. “Saya datang bersama rombongan ahli keluarga. Apabila ditanya kenapa tidak dilangsungkan di Masjid Putrajaya, wakil suami memberitahu tempat pernikahan terpaksa diubah berikutan sambutan Hari Wilayah.

“Wakil pihak suami beritahu tiada kadi bertugas di situ (Masjid Putrajaya) selain masjid juga tidak dibuka untuk sebarangan aktiviti keagamaan pada masa itu.

“Tanpa usul periksa, saya hanya mengikut saja rombongan pihak lelaki ke sebuah rumah pangsa dan setibanya kami di situ, kadi nikah kahwin sudah pun menunggu termasuklah bakal suami,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Amira berkata, akibat terlalu teruja mahu dinikahkan segera, dia langsung tidak memeriksa kesahihan kadi yang bakal menikahkan mereka.


“Namun, selepas dua tahun melahirkan anak serta ditinggalkan suami ‘gantung tidak bertali’, barulah saya sedar kadi bertanggungjawab menikahkan saya adalah rakan karibnya (suami),” katanya.

Penipuan itu hanya disedari mangsa apabila dia pergi mendaftarkan kelahiran anaknya itu di pejabat JPN, di sini.


Beliau terkejut apabila anaknya itu diberikan status tiada berbapa berikutan ketiadaan sijil perkahwinan diberikan ketika proses pendaftaran itu. “Saya musykil dan menghubungi suami, namun dia kata sijil perkahwinan masih tidak diperoleh.


“Saya pun percaya dan menunggu sehingga kini, kemudian barulah sedar rupanya majlis pernikahan yang berlaku dua tahun lalu adalah komplot dirancang secara teliti oleh suami,” katanya. Siti Amira berkata, suami sengaja mengubah tempat pernikahan dijadualkan di Masjid Putrajaya itu semata-mata untuk mengadakan majlis nikah palsu itu.

Katanya, beberapa rakan suami gelap itu turut bersubahat dengan lelaki terbabit malah seorang daripada mereka turut bertindak menyamar sebagai kadi daerah.


“Saya pada masa itu langsung tidak mengesyaki apa-apa kerana ada dokumen yang ditandatangani sebagai syarat setuju untuk bernikah diambil oleh ‘kadi’ terbabit,” katanya.


Siti Amira berkata, perkahwinan itu juga diraikan dalan sebuah majlis yang diadakan selepas seminggu mereka dinikahkan dengan dihadiri lebih 1,000 jemputan.


Menurutnya, kegembiraan majlis perkahwinan juga tidak kekal lama kerana sebaik selesai kenduri itu, dia datangi dua lelaki yang menuntut hutang barangan yang digunakan pada majlis berkenaan.


Dia hairan kerana suami gelapnya itu memberitahu dia sudah melangsaikan segala hutang berkaitan sebelum kenduri diadakan.


Namun, katanya, akibat pembohongan itu, beliau dan keluarga terpaksa bergadai barang kemas bagi melangsaikan segala hutang yang dituntut terbabit.

Katanya, suami yang diharapkan membantu, tiba-tiba saja menghilangkan diri selepas sebulan majlis perkahwinan selesai.


“Sejak dari itu saya cuba menghubungi suami, namun semua usaha menemui jalan buntu dan apabila ditanya mengenai sijil perkahwinan dia (suami) memberikan alasan hilang dan sebagainya,” katanya.


Siti Amira melahirkan rasa terkilan kerana suami gelapnya tergamak mempermainkan soal agama semata-mata ingin memenuhi tuntutan nafsunya.


Difahamkan mangsa sudah membuat laporan polis mengenai perkara terbabit dan beliau juga kini dalam tindakan untuk melaporkan kepada pihak jabatan agama daerah berkenaan bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil dalam masa terdekat ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2tahunditipu__8216_suami__8217_/Article

Kecoh tren komuter letup

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali
idayu@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: “Suasana dalam komuter menjadi gamat dan kelam-kabut apabila tali kabel elektrik meletup sebelum terbakar berhampiran dengan koc wanita,” kata pekerja swasta, Noor Hafizah Abu Hassan, 28.

Dia yang sarat mengandung lapan bulan berkata, kejadian jam 7.30 malam kelmarin itu berlaku ketika tren dari Sentul ke Pelabuhan Klang itu baru saja berlepas dari Kuala Lumpur Sentral sebelum meletup berhampiran stesen Angkasapuri.


Katanya, sebelum kejadian, perjalanan tergendala selama satu jam menyebabkan penumpang terpaksa berhimpit menaiki komuter lain.


“Komuter berjalan dengan perlahan menyebabkan saya dan penumpang lain berasa tidak sedap hati sebelum kabel elektrik meletup berhampiran stesen Angkasapuri menyebabkan gerabak menjadi senget sebelah.


“Pertama kali dalam hidup, saya melihat orang ramai menjerit seperti diserang histeria, menumbuk, menendang pintu komuter, memecahkan gelas tingkap dan berebut mahu menyelamatkan diri dengan merempuh penumpang lain.


“Kami melompat keluar dari komuter, dengan ketinggian lebih 1.5 meter bagi menyelamatkan diri dan ada penumpang menangis,” katanya.


Menurutnya, walaupun tiada penumpang yang cedera dan tidak mengalami kemalangan jiwa, tetapi kejadian itu menyebabkan dia trauma.


Sementara itu, Pengurus Besar Perkhidmatan Komuter, Mohd Hider Yusoff @ Othman berkata, pihaknya sedang menyiasat punca sebenar kejadian litar elektrik komuter itu meletup.


Katanya, banyak faktor perlu diteliti seperti gerabak, litar dan sistem talian atas kerana letupan kedengaran berpunca daripada tindak balas sistem berkenaan yang terjejas ketika gerabak melalui kawasan itu.


“Kami memohon maaf kepada pengguna yang terbabit dengan kejadian itu dan kes berkenaan akan diselesaikan secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi, semalam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kecohtrenkomuterletup/Article

Menyamar TNB

Oleh Saipul Adli Mohamad
saipuladli@hmetro.com.my
2010/06/26

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang awam supaya berwaspada dan berhati-hati terhadap pihak yang menawarkan khidmat menguji meter elektrik kononnya bagi mengurangkan jumlah bil bulanan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan TNB semalam, pihak terbabit dipercayai beroperasi secara berkumpulan dan modus operandi kumpulan itu turut membabitkan penyamaran sebagai warga kerja TNB, lengkap dengan peralatan menguji meter elektrik.


“Mereka berpura-pura menguji meter elektrik di premis pengguna dan kemudiannya mengugut dengan menuduh pengguna mencuri elektrik dengan cara mengusik meter. Seterusnya, pengguna ditawarkan bayaran tertentu bagi menutup kes.


“Sekiranya didatangi pihak mencurigakan yang mendakwa sebagai warga kerja TNB, pengguna diminta segera menghubungi pejabat TNB atau balai polis berhampiran,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/MenyamarTNB/Article

Ketuk pintu tiga jam

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/06/26

PUTRAJAYA: Seorang pencuci kereta sanggup memaksa teman wanitanya mengeluarkan wang simpanan Tabung Haji semata-mata membayar denda selepas mereka ditangkap khalwat di sebuah apartmen di Presint 18, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, permintaan lelaki berusia 27 tahun itu tidak dilayan kekasihnya menyebabkan dia meringkuk di Penjara Kajang sejak semalam.


Namun, wanita yang juga seorang pegawai kerajaan itu dibebaskan selepas bapanya memasukkan duit RM3,000 untuk membayar denda.


Pasangan terbabit ditahan pegawai Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) cawangan Putrajaya kerana disyaki berkhalwat kira-kira jam 3 pagi, semalam.


Sebelum itu, pegawai penguat kuasa meminta bantuan polis memotong mangga jeriji besi sebelum memecahkan pintu rumah wanita berkenaan berikutan keengganan penghuninya membuka pintu walaupun diketuk berkali-kali.


Sumber Jawi berkata, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, pegawai penguat kuasa Jawi menyerbu rumah berkenaan selepas mendapat aduan orang ramai melaporkan penghuni rumah terbabit disyaki berkhalwat.


Bagaimanapun, usaha penguat kuasa mengetuk pintu dan memanggil penghuni membuka pintu gagal, menyebabkan mereka meminta bantuan polis untuk memotong kunci jeriji besi bagi membolehkan mereka masuk ke rumah terbabit.


Sumber berkata, mereka tiba di rumah terbabit kira-kira jam 1 pagi dan menunggu tiga jam sebelum meminta bantuan polis memecahkan pintu rumah berkenaan.


“Ketika serbuan dibuat, kami mendapati lelaki lengkap berpakaian berada di atas katil di bilik tidur utama, manakala wanita berada di dalam bilik air dalam ketakutan.


“Siasatan mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri dan lelaki terbabit dipercayai kerap menjadikan apartmen wanita itu sebagai tempat melampiaskan nafsu,”
katanya.


Difahamkan, wanita itu tinggal di rumah terbabit seorang diri selepas beberapa rakannya mengambil keputusan keluar dari rumah itu sejak tiga bulan lalu akibat tidak tahan tindakannya sering membawa teman lelaki balik ke rumah.

Berikutan itu, wanita dan teman lelaki mengambil kesempatan memadu asmara, sebelum dihidu orang awam yang melaporkan kepada pihak berkuasa kerana tidak sanggup melihat maksiat berleluasa di kawasan kuarters kerajaan terbabit.


Sumber berkata, pasangan terbabit dibawa ke Pejabat Jawi Putrajaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 27, Akta Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 kerana berdua-duaan hingga menimbulkan syak.


“Ketika disoal siasat pasangan itu mengaku sudah tiga tahun berkenalan dan sering mengadakan hubungan seks di rumah terbabit. Mereka dihadapkan ke Mahkamah Syariah dan kedua-duanya mengaku bersalah.


“Mereka dikenakan denda RM3,000 seorang atau penjara 12 bulan. Wanita berkenaan membayar denda bagaimanapun lelaki terbabit mungkin meringkuk dalam penjara selama 12 bulan kerana gagal membayar denda,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Ketukpintutigajam/Article

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...