Wednesday, March 24, 2010

Lelaki paling bijak dunia tolak hadiah AS$1 juta





ST PETERSBURG - Walaupun memenangi hadiah wang sebanyak AS$1 juta (RM3.3 juta) kerana menyelesaikan masalah matematik paling sukar sejak 100 tahun lalu, hadiah itu ditolak bulat-bulat oleh pakar matematik Rusia, Dr Grigory Perelman (gambar).

Bukan sahaja hadiah, lelaki berkenaan turut menolak gelaran manusia paling bijak di dunia yang diberikan kepadanya.

"Saya tidak memerlukan hadiah. Apa yang saya miliki sudah mencukupi," kata Perelman berhubung tawaran oleh Institut Matematik Clay di Cambridge, Negeri Massachusetts iaitu sebuah institut berprestij dari Amerika Syarikat (AS) pada minggu lalu.

Dia yang berusia 44 tahun, diberikan hadiah itu kerana berjaya menyelesaikan masalah geometri sukar yang dinamakan Poincaré conjecture.

Empat tahun lalu, setelah dia menghantar jawapan bagi masalah matematik itu di Internet, Perelman tidak hadir untuk menerima anugerah penghargaan daripada Kesatuan Matematik Antarabangsa (IMU) di Madrid.

Pakar matematik itu yang tidak lagi bekerja dengan institut Steklov kini tinggal berseorangan di sebuah flat kecil di sini yang kotor dan dipenuhi lipas.

"Saya tidak berminat dengan wang atau pun nama," kata lelaki itu.

Seorang jirannya, Vera Petrovna berkata, dia terkejut melihat keadaan daif di flat Perelman.

"Lelaki itu cuma memiliki sebuah meja, kerusi dan katil dengan cadar kotor,".

"Kami cuba menghapuskan lipas di blok kami tetapi semua serangga itu bersembunyi di flatnya," kata wanita tersebut.

Perelman mula menghantar jawapan untuk masalah matematik itu semasa bekerja sebagai penyelidik di Institut Matematik Steklov, di sini pada 2003. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_08.htm

Rupa bumi Marikh


GAMBAR yang disiarkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menunjukkan imej rupa bumi planet Marikh.


WASHINGTON - Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) semalam menyiarkan imej beberapa bentuk bumi bergunung-ganang di planet Marikh.

Gambar-gambar itu dihasilkan berdasarkan rakaman kamera Resolusi Tinggi Pengimejan Eksperimen Sains (HiRISE) pada sebuah kapal angkasa penjelajah Marikh miliknya.

Ia turut menunjukkan permukaan Kawah Mojave di bahagian yang dikenali sebagai Xanthe Terra, di tenggara planet itu.

Kawah berkenaan mempunyai keluasan 60 kilometer dan merupakan antara kawah paling baru di Marikh. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

Tentera India guna senjata cili


SEORANG petani menunjukkan cili bhut jolokia di India.


GAUHATI, India - Tentera India kini memiliki senjata baru bagi menentang pengganas iaitu cili paling pedas di dunia.

Beberapa pegawai pertahanan semalam berkata, pihak tentera akan menggunakan cili yang dinamakan bhut jolokia atau cili hantu itu untuk menghasilkan gas pemedih mata dalam bentuk bom tangan bagi menumpaskan suspek.

"Grenad bhut jolokia akan menjadi senjata tanpa toksik yang berkesan kerana bau pedasnya membuatkan pengganas tercekik sekali gus memaksa mereka keluar dari tempat persembunyian," kata Pengarah Jabatan Sains Hayat Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO), R. B. Srivastava.

Cili itu disenaraikan Guinness World Records pada 2007 sebagai cili paling pedas di dunia yang dimakan untuk merawat masalah perut dan cuaca panas.

Ia yang ditanam di timur laut India jauh lebih pedas berbanding sos Tabasco atau lada jalapeno. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0324&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...