Wednesday, August 19, 2009

Ekuin rancang nikahi Fasha

Oleh Ramlah Zainal dan Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai identiti jejaka misteri yang bertakhta di hati pelakon dan model iklan, Fasha Sandha terlerai apabila seorang ekuin negara yang sebelum ini disebut-sebut menjalinkan hubungan istimewa itu mengesahkan perkara berkenaan, semalam.

Ekuin negara itu yang enggan namanya didedahkan kepada umum, menjelaskan status hubungannya dengan pelakon jelita berkenaan selepas berita mengenai mereka heboh diperkatakan dalam Internet sejak kebelakangan ini.

Malah, ekuin berkenaan turut tidak menafikan hubungan dengan Fasha Sandha atau nama sebenar Nur Fasha Sandha Hassan sudah terjalin sejak setahun lalu dan difahamkan mereka bakal disatukan awal Januari depan.

“Saya sudah mengenali Fasha sejak setahun lalu, tapi tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Tunggu bulan depan, nanti saya akan membuat pengumuman.

“Saya tak mahu perkara ini diperbesar-besarkan dan kalau boleh biar saya bersikap diam diri. Saya tidak mahu apabila perkara ini dihebahkan, tumpuan saya pada kejohanan akan datang terjejas.

“Sekarang masih banyak masa, jadi kalau boleh saya tidak mahu perkara ini diperbesarkan. Apabila keadaan mengizinkan, saya akan memberi penjelasan kepada anda (wartawan) semua,” kata ekuin tersohor itu ketika dihubungi di sini, semalam.

Menjelaskan lebih lanjut, dia berkata perkara itu terlalu peribadi berikutan banyak perkara perlu diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Ekuin berusia 29 tahun, anak kedua daripada tiga beradik, mula berjinak dengan sukan berkuda sejak berusia 15 tahun dan pernah membantu skuad negara meraih gangsa pada acara Showjumping pada Sukan Asia Doha 2006.

Sementara itu, Fasha ketika dihubungi turut mengesahkan dia berkawan rapat dengan penunggang kuda negara itu.

“Terus terang, dia lelaki yang paling rapat dalam hidup saya setakat ini. Bukan saya sengaja merahsiakan hubungan dengannya, cuma saya tidak boleh memberitahu kepada peminat kerana masanya belum sesuai.

“Tapi, saya tidak akan menolak jika kami ditakdirkan bertemu jodoh bila tiba masanya nanti. Kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan yang akan menentukannya segala-galanya,”
katanya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan jejaka bujang berusia 29 tahun itu, Fasha yang baru selesai penggambaran sebagai model barangan kemas Habib Jewel, berkata mereka dipertemukan pada satu majlis makan malam kira-kira setahun lalu.

“Pertemuan kami unik. Setakat ini, kami sudah pun berkawan rapat lebih setahun. Saya selesa berkawan dengannya kerana dia percaya pada saya.

“Ketika saya berhadapan kontroversi sebelum ini, dia ada di sisi saya kerana dia tahu industri seni banyak dugaan,”
katanya.

Justeru, kata Fasha, dia berharap pengakuan ini akan menepis segala gosip dan kontroversi yang mengaitkan dirinya dengan bekas suami pelakon Nora Danish, Rizal Ashram Ramli seperti heboh diperkatakan sebelum ini.

“Gosip saya dengan Rizal termasuk rancangan kami berkahwin adalah fitnah. Sebab itu saya tidak kisah apa yang orang cakap mengenai saya selama ini kerana saya percaya Tuhan akan menunjukkan kebenarannya nanti,” katanya.

Apapun, kata Fasha, dia belum bersedia mengulas lebih lanjut hubungan mereka termasuk rancangan untuk berumah tangga.

“Maaf, saya tak berani komen lebih-lebih mengenai hubungan kami kerana masanya belum sesuai. Maklumlah, hubungan kami masih di tahap permulaan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090819072550/Article/index_html

Sebat depan khalayak

Oleh Zaitie Satibi dan Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my

IPOH: “Saya agak terkejut dan terkilan apabila dimaklumkan bahawa anak saya, Kartika Sari Dewi akan menjalani hukuman sebat di Penjara Wanita Kajang, di mana tempatnya tertutup.

“Seboleh-bolehnya saya mahu hukuman dijalankan di tempat terbuka agar dapat memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil iktibar daripada hukuman itu. Jika hukuman itu dijalankan dalam penjara, mungkin mesej berkenaan tidak
kesampaian,” kata Shukarnor Mutalib, 60, bapa kepada model sambilan yang didapati bersalah atas tuduhan meminum arak, bulan lalu.


Dia juga mempertikaikan mengapa anaknya perlu dibawa ke penjara kerana Kartika Sari bukan seorang banduan dan hukuman penjara yang dijatuhkan kepadanya sudah diketepikan.

Pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan terhadap Kartika Sari, 32, selepas disabitkan kesalahan meminum arak.

Terdahulu, pada 1 Disember tahun lalu, wanita itu dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan meminum arak jenama Tiger Beer di Cherating Bay Lounge, Hotel Legend, Cherating, Kuantan, kira-kira jam 11.40 malam, 11 Julai 2008.

Shukarnor berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pegawai Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan kira-kira jam 12 tengah hari semalam, yang memaklumkan Kartika Sari perlu melaporkan diri di Penjara Kajang, Selangor, pada 24 Ogos ini untuk menjalani hukuman sebat.

“Saya terus menghubungi Kartika untuk memaklumkan hal berkenaan dan dia bersetuju bertolak pulang ke kampung sebelum ke penjara bagi menjalani hukuman berkenaan.

“Difahamkan, Kartika akan ditahan seminggu untuk menjalani hukuman sebat dan selepas itu Kartika akan dibebaskan,”
katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Bagaimanapun, Shukarnor berharap hukuman sebat ke atas anaknya dilaksanakan di depan khalayak iaitu di tempat terbuka seperti dikehendaki Kartika Sari sendiri.

Usaha Harian Metro menghubungi Kartika Sari bagaimanapun gagal kerana difahamkan wanita itu kini dalam perjalanan pulang ke kampung halamannya di Sungai Siput, dekat sini, selepas bertolak dari Singapura, kira-kira jam 4 petang semalam.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, semalam, mengeluarkan waran penahanan terhadap ibu kepada dua anak itu yang dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas mengaku bersalah meminum arak, bulan lalu.

Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika Sari ditahan berkuat kuasa 24 Ogos ini bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan.

Mahkamah bagaimanapun bersetuju mengeluarkan waran pelepasan ke atas Kartika dalam tempoh kurang dari tujuh hari sekiranya hukuman sebatan dilaksanakan lebih awal.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Syarie Saiful Idham Sahimi memfailkan tiga permohonan bagi memohon perintah menahan Kartika di Penjara Wanita Kajang, perintah menguatkuasakan hukuman sebatan secara syariah dan permohonan perintah pelepasan selepas hukuman dijalankan.

Permohonan berkenaan dibuat selepas tempoh rayuan terhadap hukuman yang dijatuhkan pada 20 Julai lalu, berakhir pada 3 Ogos lalu.

Tiada sebarang rayuan dikemukakan pihak Kartika Sari Dewi.

Abdul Rahman membenarkan semua permohonan itu dalam kamarnya.

Dakwaan terhadap Kartika dibuat mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Sejurus selepas dijatuhi hukuman enam sebatan pada 20 Julai lalu, Kartika Sari dipetik sebagai berkata, dia rela dirinya disebat kerana jika tidak dikenakan hukuman itu, mungkin dia tidak insaf hingga sekarang.

“Saya akan terima hukuman di dunia. Hukuman di akhirat kelak biar Allah s.w.t yang menentukannya. Saya menghormati keputusan mahkamah dan mengaku itu kesalahan saya, bukannya kesalahan ibu bapa, keluarga saya atau orang lain.

“Justeru, saya memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan itu memandangkan mahkamah belum memberitahu bila hukuman ini akan dijalankan,”
kata Kartika Sari.

Dia yang dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah meminum arak, memohon mahkamah mempercepatkan hukuman sebatan supaya dia boleh menumpukan masa depan bersama keluarganya.

“Saya anggap ini ketentuan Allah dan balasan kepada saya kerana memandang ringan soal agama. Sekiranya kejadian ini tidak berlaku mungkin saya masih lagi ‘hanyut’ dalam keseronokan dunia.

“Namun, saya bersyukur keluarga saya tetap menerima saya walaupun sudah menconteng arang dan memalit lumpur ke muka mereka,”
katanya sambil menitiskan air mata.

Dia yang berasal dari Sungai Siput, dekat Kuala Kangsar, menetap 15 tahun di Singapura sejak berkahwin dengan warga negara republik itu dan mempunyai dua anak berusia tujuh dan lima tahun.

http://www.hmetro.com.my/Wednesday/BeritaUtama/20090819063022/Article

Gadis 17 tahun bunuh 30 lelaki


SEORANG pelajar sekolah membuat pengakuan jenayah bunuh yang dilakukannya dalam program Canal Livre di Sao Paulo, Brazil baru-baru ini.


SAO PAULO - Umurnya baru mencecah 17 tahun namun pelajar sekolah berkenaan sudah membunuh 30 lelaki sejak dua tahun lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Menurut gadis itu, dia melakukan jenayah itu kerana wang, membalas dendam dan keadilan.

Gadis yang tidak didedahkan namanya oleh pihak polis juga memberitahu dia membuat pengakuan sebelum berumur 18 tahun bagi mengelak dibicara sebagai orang dewasa.

"Saya tidak mempunyai keberanian untuk mengacu pistol tetapi saya boleh memegang pisau. Saya mengaku kerana saya berjanji untuk membuat pengakuan sebelum mencecah umur 18 tahun bagi mengelak keluarga saya bersedih," kata gadis itu.

Polis masih tidak jelas motif pelajar berkenaan melakukan pembunuhan tersebut.

Beberapa sumber berkata, penyiasat percaya gadis itu diupah ketua gengster sebagai pembunuh upahan berikutan penampilan yang baik.

Pendedahan oleh rancangan jenayah televisyen Canal Livre di sini mengejutkan ramai pihak namun ada yang mendakwa ia adalah pembunuhan terancang demi menaikkan 'rating' program tersebut.

- Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm

Pengguna rollercoaster dilarang angkat tangan


SEKUMPULAN pengunjung menaiki rollercoaster di taman tema Thorpe Park di Chertsey, Surrey manakala gambar kecil ialah papan tanda baru yang akan dipasang.





SURREY - Sejumlah papan tanda amaran menegah pengguna rollercoaster daripada mengangkat tangan akan dipasang di taman tema Thorpe Park mulai hari ini, lapor sebuah akhbar semalam.

Tindakan pihak pengurusan Thorpe Park berbuat demikian bagi menangani aduan sejumlah pengguna yang merungut bau ketiak membuatkan mereka berasa mual ketika menaiki permainan rollercoaster.

Papan tanda yang bermaksud 'Katakan Tidak Kepada Bau Badan' akan dipasang bagi meminta pengunjung tidak mengangkat tangan berikutan musim panas kini.

Suhu tempatan dijangka mencecah 29 darjah Selsius di taman tema di Chertsey, Surrey itu sekali gus orang ramai dijangka banyak berpeluh.

Pengunjung yang didapati mengingkari amaran berkenaan akan diarah keluar dari permainan rollercoaster dan para pengunjung yang terus berdegil akan diminta keluar dari taman tema, kata pengarah Thorpe Park, Mike Vallis.

"Permainan itu menakutkan dan pengunjung dijangka mengeluarkan peluh dengan banyak berbanding biasa," katanya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

ATM keluar wang 'bonus'


ORANG ramai beratur untuk mengeluarkan wang di sebuah mesin ATM di Hounslow, London Khamis lalu.


LONDON - Orang ramai mendapat 'durian runtuh' apabila sebuah mesin teler automatik (ATM) di pasar raya Tesco di Hounslow, barat London mengeluarkan wang tunai dua kali ganda daripada jumlah yang diminta, lapor sebuah akhbar semalam.

Orang ramai berpusu-pusu berbaris untuk mengeluarkan wang selepas 'berita baik' itu tersebar dalam masa hanya beberapa minit pada Khamis lalu.

Pihak pengurusan pasar raya segera menutup mesin itu hanya lima jam selepas menyedari masalah teknikal tersebut.

Namun seorang jurucakapnya berkata, mereka tidak akan meminta semula wang berlipat ganda yang 'dicuri' oleh para pelanggan.

"Saya orang keempat ketika beratur sebelum seorang lelaki di depan sekali menelefon rakannya dan memberitahu, ATM itu mengeluarkan wang dua kali ganda daripada jumlah diminta," kata seorang pengunjung, Imran Mirza.

"Ini betul-betul kes 'beli satu percuma satu'. Saya mendapat tambahan £20 (RM116) apabila meminta pengeluaran £20," tambahnya.

Menurut lelaki tersebut, berita mengenainya tersebar luas dan dalam masa kurang sejam, lebih 50 orang beratur untuk mendapat wang tunai percuma.

Kesilapan ATM itu menyebabkan pasar raya tersebut mungkin kerugian beribu-ribu pound.

Kes serupa berlaku pada Januari lalu apabila ramai pelanggan beratur hingga lewat malam di luar sebuah pasar raya di Wales untuk mengeluarkan wang berganda dari sebuah ATM. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

50,000 lagi masih menganggur - Graduan IPT Islam didakwa kurang laris


WALAUPUN UIAM melaksanakan sistem pengajian berteraskan Islam, majoriti daripada graduan mereka tetap berjaya memperoleh pekerjaan. - Gambar hiasan.





KANGAR - Isu pengangguran graduan didakwa lebih terasa di kalangan lepasan pusat-pusat pengajian tinggi berteraskan Islam dengan dianggarkan 50,000 orang masih lagi tidak mempunyai pekerjaan.

Kumpulan penganggur itu pula dikatakan bukan sahaja pemegang diploma dan ijazah pengajian Islam tetapi juga membabitkan bidang pengajian strategik seperti kejuruteraan awam, syariah dan matematik.

Fakta itu didedahkan oleh Pengerusi Institut Kerjasama Islam Antarabangsa Malaysia (IKIAM), Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan menganggap ia kesan daripada sikap pilih kasih sesetengah majikan yang mengutamakan graduan institusi pengajian tinggi konvensional dan swasta.

"Kumpulan ini jika tidak dibantu mungkin mengambil jalan singkat dengan menyertai gerakan atau kumpulan berfahaman tidak sihat,'' katanya kepada pemberita di Hotel Putra Palace di sini kelmarin.

Beliau mendakwa memperoleh angka graduan menganggur itu daripada Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Baitulmal sejak lima tahun lalu.

Zahidi menarik perhatian bahawa angka pengangguran itu terus bertambah dengan purata 6,000 graduan baru setiap tahun.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan menafikan majikan bersikap prejudis dengan memberi contoh kepada lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang majoritinya memperoleh pekerjaan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm

Derita 12 hari berakhir


TUNKU AZIZAH AMINAH (kanan) ceria bersama lima anakanda baginda selepas dibenarkan meninggalkan Wad Diraja HTAA, Kuantan semalam.


KUANTAN - Pengalaman pahit satu keluarga demam, lesu badan dan dikuarantin selama 12 hari akibat jangkitan selesema babi atau H1N1 menjadikan beberapa anggota kerabat diraja Pahang kini lebih memahami nikmat kesihatan dan menjadi manusia bebas.

Kepada Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan lima anakanda baginda, mereka meninggalkan Wad Diraja Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini semalam dengan rasa lega.

Menurut baginda, mereka sekeluarga demam, sakit tekak dan badan, hidung berair dan lesu sehingga terpaksa dimasukkan air ke dalam badan.

"Walaupun tidak sihat, kami sekeluarga tetap bersama mendirikan solat hajat memohon Allah memberi kesihatan.

"Mungkin ini petunjuk daripada Allah supaya saya lebih memberi masa kepada anak-anak kerana selama ini asyik sibuk. Walaupun tidak sihat, kami bersyukur dapat bersama,'' ujar baginda kepada pemberita di sini semalam.

Lima anakanda baginda ialah Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, 14, Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah, 12, Tengku Puteri Jihan Khalsom 'Athiyatullah, 7, serta pasangan kembar Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah dan Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, 9.

Mereka dibenarkan keluar wad pada pukul 10.30 pagi selepas disahkan sembuh.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0819&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Korban H1N1 meningkat kepada 67

Ogos 18, 09 3:14pm
Kematian akibat jangkitan influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 67 orang apabila tiga lagi korban penyakit tersebut dilaporkan hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, sehingga jam 9 pagi ini, sejumlah 276 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, dengan 36 pesakit yang disahkan H1N1, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Sementara itu 156 orang dibenarkan pulang dari wad dengan 129 dibekalkan antiviral.

Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 daripadanya mempunyai faktor risiko DM (1), penyakit kronik (7), kegagalan buah pinggang (3), asma (2), obesiti (1), kecacatan otak (2), hamil dan bersalin (2) dan kanak- kanak di bawah setahun (3).

Harga penutup hidung, mulut esok

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga siling bagi penutup hidung dan mulut akan diumumkan esok.

Bernama memetik beliau berkata, pengumuman itu termasuk jenis penutup atau topeng yang akan dikawal harganya berikutan sikap kebanyakan peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual barangan itu pada harga tinggi semasa negara dilanda penularan virus Influenza A (H1N1).

"Hari ini pegawai kementerian saya bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan untuk menentukan harga dan jenis topeng yang akan dikawal harganya," katanya.

Menurutnya lagi, selepas harga siling ditetapkan, mana-mana peniaga atau pembekal penutup hidung dan mulut yang menaikkan harga akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Negara 1946.

Akta itu memperuntukkan denda sehingga RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.


"Saya lihat peniaga kita terlalu tidak beretika. Biasanya 50 sen sahaja harga topeng itu. Dia boleh pergi sampai RM5.

"Bayangkanlah kalau orang miskin, anak ada enam orang, dah RM30. Bermakna beratus-ratus ringgit dia kena keluarkan untuk topeng sahaja semata-mata untuk menyelamatkan nyawa keluarga dia,"
katanya.

Beliau juga berharap syarikat-syarikat besar tampil menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

http://www1.malaysiakini.com/news/110818

'Kedudukan Murugiah di tangan PM'

Ogos 18, 09 3:42pm
Kedudukan Senator Datuk T Murugiah sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri terletak di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Beliau (perdana menteri) yang menentukan kedudukan sesiapa dalam Jemaah Menteri, sama ada dengan keputusan yang telah dibuat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan sebahagian yang disebutkan (iaitu maklumat yang) dihantar oleh Presiden PPP (Datuk M Kayveas)," kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
.
"Itu perkara yang telahpun disahkan. Perdana Menteri akan membuat keputusan yang sebenarnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan siri Buku Evolusi Kepimpinan karya Profesor Khairil Annas Jusoh hari ini, lapor Bernama.

Minggu lalu, Datuk M Kayveas diisytiharkan sebagai presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) yang sah selepas siasatan mendalam dilakukan oleh ROS.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mengumumkan perkara itu berkata siasatan juga mendapati pemecatan keanggotaan Senator Datuk T Murugiah adalah mengikut perlembagaan parti.

Murugiah tidak akan berdamai

Sementara itu, Murugiah yang juga bekas ketua Pemuda PPP berkata, beliau tidak akan berdamai dengan Kayveas.

Sebaliknya, beliau akan mengemukakan rayuan kepada ROS untuk menimbang semula keputusan mengenai isu kepimpinan parti itu.

Murugiah berkata eliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengemukakan rayuan kepada ROS dalam tempoh 30 hari.

"Saya tidak puas hati dengan cara mereka katakan bahawa pemecatan saya adalah sah, kerana saya tidak diberi surat tunjuk sebab, tidak dipanggil oleh lembaga disiplin dan saya tidak tahu kesalahan apa yang telah saya lakukan," katanya dalam satu sidang akhbar selepas merasmikan seminar berkaitan NGO di ibunegara hari ini.

Murugiah berkata beliau telah bertemu Kayveas dua bulan lepas dengan hasrat untuk berdamai tetapi kecewa dengan sikap Kayveas yang disifatkan angkuh dan tidak sopan terhadapnya.

"Beliau memberitahu saya supaya membuat permohonan maaf secara terbuka dan saya mesti berhadapan dengan majlis tertinggi. Saya tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, jadi kenapa saya perlu meminta maaf?" katanya.

Murugiah berkata Kayveas memberitahunya supaya jangan keluar di akhbar dan jangan menjalankan tugas sebagai timbalan menteri.

"Beliau cemburu terhadap saya dan takut. Beliau rasa saya adalah ancaman kepada masa depannya," dakwa Murugiah, yang yakin mendapat sokongan majoriti masyarakat India di negara ni, termasuk mereka daripada parti komponen BN.

Beliau turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyiasatnya mengenai dakwaan Kayveas terhadapnya dan dakwaan beliau telah merasuah seseorang sebanyak RM74,000 untuk membeli undi dalam pemilihan PPP lepas, tetapi kes itu ditutup kerana tiada bukti.

"Mereka (SPRM) datang ke pejabat saya selama tiga jam dan memeriksa semua fail. Mereka turut menahan dua pegawai saya untuk satu malam bagi tujuan soal siasat," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/110822

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...