Monday, October 4, 2010

Gadis bisu dikhuatiri jadi pengemis




KUALA KANGSAR – Kehilangan seorang gadis dari kalangan orang kurang upaya (OKU) Nor Yuniza Mohd. Yunus, 22, (gambar) lebih sebulan setengah lalu meresahkan keluarganya kerana dia dikhuatiri dipaksa menjadi pengemis.

Kakaknya, Nor Asrina, 24, berkata, adiknya yang cacat pendengaran dan pertuturan itu didakwa kali terakhir ditemui mengemis di Sungai Udang, Melaka.

Katanya, dia dimaklumkan oleh seseorang yang mendakwa melihat adiknya meminta sedekah di kawasan tersebut sambil dipantau seorang wanita berpurdah dan seorang lelaki pada pukul 1.30 petang, 27 Ogos lalu.

“Nor Yuniza juga didakwa ditemui berada di dalam sebuah van yang turut dinaiki dua individu terbabit pada sebelah malam di Alor Gajah, Melaka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Perumahan Awam 4, Kenas di sini semalam.

Bercerita lanjut, Nor Asrina berkata, adiknya keluar ke bandar Kuala Kangsar yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya seorang diri tanpa membawa pakaian pada 21 Ogos lalu.

Katanya, adiknya memberitahu keluarga ingin bertemu seorang rakannya di situ.

Bagaimanapun katanya, selepas tidak pulang menjelang malam dan telefon bimbitnya gagal dihubungi, keluarganya membuat laporan polis mengenai kehilangannya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

Pegawai Imigresen dicekup rasuah


JETI Port Dickson, Negeri Sembilan yang menjadi tempat dua pegawai Imigresen mencari duit lebih dengan meminta rasuah daripada pengendali setiap feri yang membawa PATI dari Indonesia.


SEREMBAN – Tiga termasuk dua pegawai Imigresen Jeti Port Dickson dekat sini ditahan kerana dipercayai menerima suapan daripada pengendali setiap feri yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) masuk ke negara ini.

Seorang lagi yang ditahan ialah orang awam dipercayai tekong yang bersubahat dengan dua pegawai Imigresen terbabit.

Ketiga-tiga mereka ditahan pada pukul 7 malam oleh sepasukan kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jeti Port Dickson pada Rabu lalu.

Jurucakap SPRM berkata, siasatan mendapati ketiga-tiga lelaki itu terlibat dalam aktiviti membawa masuk warga asing tanpa dokumen ke negara ini.

“Dua pegawai Imigresen itu disyaki mengenakan bayaran sebanyak RM5,600 bagi setiap feri yang membawa kira-kira 70 PATI yang datang dari Dumai, Indonesia.

“Siasatan awal mendapati setiap minggu terdapat tiga buah feri dari Dumai masuk ke Jeti Port Dickson,” kata beliau di sini semalam.

Menurut jurucakap SPRM, feri daripada dua syarikat perkhidmatan feri tersebut akan menurunkan warga asing di Jeti Port Dickson.

Hasil siasatan mendapati, ketiga-tiga mereka yang ditahan itu dipercayai mampu menerima suapan sebanyak RM33,600 daripada tekong feri pada setiap minggu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Majistret rasuah dijel


MOHD. FIRDAUS dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dijatuhi hukuman penjara semalam.


KOTA BHARU – Seorang majistret muda dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM40,000 setelah didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua tuduhan mengambil rasuah pada Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Firdaus Ramlan, 28, yang bertugas di Majistret di Mahkamah Kuala Krai dan Machang didapati bersalah atas dua tuduhan rasuah membabitkan wang berjumlah RM8,000 sebagai dorongan bagi melepaskan seorang pesalah kes dadah.

Hakim Sabariah Othman menetapkan bagi tuduhan pertama, Mohd. Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM15,000 dan jika gagal membayar denda itu dia perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Firdaus dikenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM25,000 dan jika gagal membayar denda, dia dikenakan penjara 18 bulan.

“Pendakwa berjaya membuktikan kes melangkaui keraguan munasabah maka tertuduh didapati bersalah dan disabitkan dengan dua pertuduhan tersebut,” kata beliau.

Sabariah mengarahkan hukuman penjara tersebut berjalan secara serentak mulai semalam.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menerima rasuah dalam bentuk wang tunai sebanyak RM3,000 daripada Md. Shani Ishak di sebuah stesen minyak Esso, Machang pada pukul 10.30 malam, 11 Oktober tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

Tiada anugerah cemerlang untuk si perokok


WARGA kerja Jabatan Kesihatan Kedah yang merokok tidak akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.


ALOR SETAR – Mulai tahun ini, Jabatan Kesihatan Kedah telah menetapkan hanya warga kerja jabatan itu yang tidak merokok akan dipertimbangkan untuk Anugerah Khidmat Cemerlang.

Pengarahnya, Dr. Marzukhi Md. Isa (gambar kecil) berkata, biarpun seseorang kakitangan itu bertugas dengan cemerlang tetapi mereka tetap tidak berpeluang untuk menerima anugerah tersebut jika mereka merupakan seorang merokok.

Tegas beliau, langkah itu diambil bagi membasmi tabiat merokok di kalangan warga kerja jabatan itu.

“Ketika ini, terdapat seramai 13,000 kakitangan di Jabatan Kesihatan Kedah dan daripada jumlah itu, 30 peratus adalah perokok dan kita tidak mahu doktor yang sentiasa mengingatkan pesakit tentang bahaya merokok adalah seorang perokok.

“Jadi, kita mengambil inisiatif ini supaya mereka (kakitangan kesihatan) mengurangkan pengambilan rokok dan sekali gus berhenti merokok,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat negeri di Hospital Sultanah Bahiyah di sini semalam.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1004&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm

Keluarga terima dua panggilan berbeza

2010/10/04

PRAI: Kelibat bakal pengantin, Siti Nor Paraf Ismail, 22, yang dilaporkan hilang sejak 25 September lalu selepas menghantar kad jemputan majlis perkahwinannya kepada rakan di Pinang Tunggal, Kepala Batas, didakwa dilihat di dua negeri berbeza.

Ahli keluarga gadis berkenaan, Abdul Razak Darus, berkata sejurus berita kehilangannya disiarkan Harian Metro Sabtu lalu, dia menerima dua panggilan telefon masing-masing daripada lelaki dan wanita yang mendakwa Siti Nor Paraf berada di Sabah dan Gerik, Perak.

“Kira-kira jam 9 pagi semalam (Sabtu), seorang gadis yang mendakwa dirinya pelajar menghubungi saya melalui nombor telefon yang tertera dan menyatakan Siti Nor Paraf ada di Sabah dan ketika itu tidur di sebuah asrama pelajar.


Gadis itu memberitahu dia menyelamatkan Siti Nor Paraf daripada satu kumpulan yang menculiknya dan meminta kami mengirimkan RM800 untuk membeli tiket kapal terbang untuk membolehkan Siti Nor Paraf pulang dari Sabah ke Pulau Pinang,”
katanya ketika dihubungi semalam.


Abdul Razak berkata, kira-kira jam 2 petang hari sama, seorang lelaki yang menggelarkan dirinya Pak Long, menghubunginya dan menyatakan ternampak kelibat seorang gadis seakan-akan Siti Nor Paraf di pekan Gerik, Perak sejak lima hari lalu.


Begitupun katanya, Pak Long memberitahunya gadis itu tidak bertudung dan berjalan bersama seorang lelaki berusia sekitar 20-an.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keluargaterimaduapanggilanberbeza/Article

Derita askar

2010/10/04

KUALA LUMPUR: “Kami perlu melunaskan yuran pengajian anak sulung sebanyak RM2,850 selewat-lewatnya minggu depan, jika tidak dia tidak boleh menduduki peperiksaan akhir.

“Malah, notis juga sudah diterima supaya tunggakan tempat penginapannya selama tiga bulan dijelaskan,”
kata bekas tentera yang runsing memikirkan masa depan anaknya.

Azmi Mahmud, 45, berkata tambah membingungkan dia tidak mampu membayar yuran berkenaan kerana hanya isterinya, Fatimah Abdullah, 41, menjadi tulang belakang keluarga bagi menyara mereka enam beranak selepas dia terbabit dengan kemalangan jalan raya sejak tiga tahun lalu.


Katanya, kemalangan berkenaan menyebabkannya terlantar hampir dua tahun kerana tulang keting kaki kanannya patah dua, selain patah tulang punggung dan mengalami kerosakan tulang belakang.


“Bukan saya tidak mahu bekerja namun, kemalangan itu menyebabkan saya tidak mampu berdiri dan berjalan apatah lagi untuk melakukan kerja bagi menyara keluarga.


Pendapatan isteri RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan kami sekeluarga. Malah dua daripada empat anak kami kini melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi awam dan swasta,”
katanya ketika ditemui di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana, di sini, semalam.


Menurutnya, biarpun dia menerima bantuan dari Persatuan Bekas Tentera Malaysia dan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebanyak RM300 sebulan, namun ia digunakan untuk menyara seorang lagi anaknya yang masih bersekolah dan seorang anaknya yang kurang upaya.


Dia yang kini hanya mampu berkerusi roda dan bertongkat berkata, selain memikirkan yuran pengajian anak sulungnya, mereka kini turut berdepan dengan bekalan air dipotong kerana gagal membayar bil dan sewa rumah selama tiga bulan.


“Sekurang-kurangnya kami perlu memperuntukkan RM600 sebulan untuk perbelanjaan dua orang anak yang sedang melanjutkan pengajian. Anak saya ada membuat permohonan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) namun ia masih belum diperoleh.


“Saya ada memohon bantuan daripada Baitulmal, namun ia masih dalam proses untuk ditemuduga. Nasib saya baik kerana anak-anak faham keadaan kami, apa juga makanan yang dihidang mereka makan tanpa bersungut,”
katanya.


Tidak hanya sukar bergerak dan menghidap darah tinggi, Azmi turut menghidap penyakit kencing manis sehingga mengakibatkan kakinya menjadi bengkak dan hitam.

“Syukur biarpun kami hidup dalam kesusahan, namun anak-anak menunjukkan potensi dalam bidang pendidikan,” katanya merayu bantuan orang ramai.


Bantuan boleh disalur ke nombor akaun CIMB 14380062817521 milik Azmi Mahmud atau menghubunginya di talian 014-2214270.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Deritaaskar/Article

Helah gadis laram baju

Oleh Salman Hamat
salman@hmetro.com.my
2010/10/04

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tidak menyangka tindakan anak gadisnya berusia 17 tahun melaram dengan berhias diri serta memakai seluar jeans dan berbaju-T ketika menunaikan solat Isyak di kediaman mereka di Kampung Melayu Baru, Gelang Patah, di sini, Khamis lalu, adalah rancangan gadis terbabit untuk melarikan diri bersama kekasih.

Salina Salleh, 41, berkata, dia terkilan apabila mendapati anaknya, Nazlia Mohamed Azlan Putra menghilangkan diri dari kediaman mereka sejurus azan Subuh keesokan harinya (Jumaat).

Menurutnya, hanya selepas kejadian dia dan suami faham mengenai perubahan sikap Nazlia berpakaian pelik seolah-olah mahu keluar bersiar-siar walaupun ketika menunaikan solat bersama-sama.


“Kami tidak menduga kejadian seperti itu berlaku memandangkan hampir dua bulan saya dan suami mengawasi kegiatannya di dalam mahupun di luar rumah kerana sedar cubaan teman lelaki Nazlia mempengaruhinya supaya melarikan diri.


“Saya sanggup bersengkang mata menjaga Nazlia dan melarang dia bertemu lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit, termasuk menghalang mereka berkomunikasi menerusi telefon bimbit,”
katanya.


Menurut Salina, ini bukan kali pertama Nazlia melarikan diri dari rumah kerana sebulan lalu, perkara sama dilakukan gadis itu dengan seorang daripada teman lelakinya.


Bagaimanapun, Nazlia berjaya ditemui hasil maklumat seorang kenalan keluarga mereka.

Salina sekeluarga semakin bimbang dengan perlakuan Nazlia kerana dia terus hanyut dengan gelora cinta, malah sanggup melarikan diri buat kali kedua.


“Selepas azan Subuh pagi kejadian, kami dapati Nazlia sudah tiada di biliknya dan pemeriksaan mendapati barangan peribadi miliknya juga di bawa bersama.


“Kami cuba mencarinya di kawasan sekitar, tetapi hanya menemui motosikal ditunggangnya ditinggalkan di hentian bas Gelang Patah,”
katanya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada hari kejadian.


Pemeriksaan pada telefon bimbit Salina mendapati nombor tidak dikenali dan rujukan pada buku nota Nazlia, nombor berkenaan milik teman lelakinya yang hanya dikenali sebagai Rin.


Menurut Salina, keluarganya yakin Nazlia termakan kata-kata manis yang dikirim Rin melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa pengetahuan mereka ke telefon bimbitnya.

Sementara itu, bapa Nazlia, Mohamed Azlan Putra Omar, 48, berkata, dia ada menghantar SMS kepada Rin bertanyakan keadaan anaknya dan lelaki terbabit mengakui gadis berkenaan kini bersamanya.


“Bagaimanapun, Rin enggan memberikan alamat dengan alasan Nazlia enggan pulang. Selepas dipujuk barulah lelaki terbabit memaklumkan mereka berada di sebuah rumah di kawasan Felda di Kota Tinggi.


“Jika benar mereka menyukai antara satu sama lain, kami tidak menghalang, tetapi biarlah Nazlia pulang ke rumah dulu. Urusan seterusnya biarlah keluarga menyelesaikannya mengikut agama serta adat,”
katanya.


Pada masa sama, Mohamed Azlan turut berharap Nazlia menamatkan kursus pengurusan komputer diikuti di Pusat Giat Mara sejak tiga bulan lalu sebelum memutuskan untuk berkahwin. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Nazlia diminta menghubungi talian 016-7360978, 014-3868532 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Helahgadislarambaju/Article

Mahu dua bulan bonus

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/10/04

PUTRAJAYA: Selepas dua tahun tidak mendapat bonus, Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Ceupacs) menaruh harapan tinggi supaya kerajaan menimbangkan pemberian bonus kepada lebih 1.24 juta penjawat awam sebagai satu suntikan dan semangat baru untuk bekerja lebih kuat, sekaligus meningkatkan kecemerlangan mereka.

Presidennya, Omar Osman berkata, kongres sudah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak empat bulan lalu bagi memaklumkan permohonan itu, selain memaklumkan kepada beliau pada majlis berbuka puasa di kediamannya bulan lalu.

Namun, katanya setakat ini pihak kongres belum mendapat sebarang maklum balas lagi.


“Permohonan ini berdasarkan pandangan kongres yang berangggapan jika kerajaan mampu memberi bantuan khas sebanyak RM500 kepada penjawat awam dalam Gred 1 hingga 54 sebelum Aidilfitri lalu, kami yakin kerajaan mampu menimbangkan pemberian bonus kepada semua penjawat awam termasuk Jusa C.


“Harapan kami tinggi, sekarang mana-mana saya pergi ramai yang bertanyakan soal itu. Tambahan pula tinjauan kami mendapati kerajaan tidak mempunyai masalah (untuk memberi bonus), malah ekonomi kita semakin pulih dan kami harap tahun ini penjawat awam dapat menikmati sedikit bonus.Kami mohon dua bulan tapi kita serah kepada kerajaan.


“Jadi, kami harap tarikh 14 Oktober (perbentangan Bajet 2011) akan menjadi satu tarikh dinanti-nantikan penjawat awam,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Sidek Hassan, di Presint 10 di sini, semalam.


Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahma; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu serta pegawai kanan.


Omar berkata, sekiranya tidak mampu, kerajaan akan memberi maklum balas secara terus selepas mendapat surat permohonan dari kongres dengan memaklumkan keadaan yang dihadapi kerajaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mahuduabulanbonus/Article

Lepas nafsu tepi hutan

Oleh D J Dolasoh
am@hmetro.com.my
2010/10/04

GERIK: Dua lelaki dan seorang gadis sanggup membina khemah yang dilengkapi tilam di bawah rimbunan perdu pokok buluh di tepi hutan sebagai tempat melampiaskan nafsu.

Mereka yang berusia 21 tahun itu dikatakan mendirikan khemah berkenaan sebelum Ramadan lalu apabila banyak kondom baru dan lama ditemui bertaburan di sekitarnya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, lokasi maksiat itu hanya kira-kira 100 meter dari rumah seorang penduduk di Simpang Perah, Kampung Kuala Rui, di sini.


Mereka meninggalkan motosikal mereka dalam semak dan berjalan kaki kerana sebatang balak yang tumbang menghalang laluan ke lokasi khemah berkenaan.


Bagaimanapun, hajat mereka bertiga untuk melampiaskan nafsu terbantut apabila lokasi rahsia itu diserbu sekumpulan penduduk termasuk Ketua Kampung Kuala Rui kira-kira jam 10.15 malam kelmarin.


Empat pegawai Pejabat Agama Islam Gerik diketuai Mohd Ikbal Mohd Rosli dan dua anggota Rela turut bergegas ke lokasi berkenaan pada jam 12.30 tengah malam semalam selepas dimaklumkan penduduk.


Mohd Ikbal berkata, pihaknya terkejut selepas mendapati tempat itu begitu selesa kerana bukan saja terletak di bawah rimbunan pokok buluh, malah juga mempunyai khemah yang dibina supaya terhalang daripada pandangan umum dan hujan.


“Selain itu, sebuah tilam turut diletakkan dalam khemah berkenaan. Kami menemui banyak kondom baru dan lama di sekitar khemah berkenaan sebagai bukti mereka sering melakukan perbuatan tidak bermoral di situ.


“Bagaimanapun, ketika disoal siasat, mereka mengaku tidak sempat melakukan seks ketika serbuan itu,”
katanya.


Menurutnya, dua lelaki dan seorang gadis itu adalah dari luar kampung terbabit, manakala gadis berkenaan bekerja di sebuah pusat ternakan ikan di Tasik Banding, dekat sini.


“Ketiga-tiganya turut mengaku mendirikan khemah sejak sebelum Ramadan lalu,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lepasnafsutepihutan/Article

Rapat lepas luah masalah rumah tangga

2010/10/04

KUALA LUMPUR: “Saya sudah kalis dengan segala tuduhan dan cacian begitu. Katalah apa saja tetapi kebenarannya saya dan keluarga saja yang tahu,” tegas Norwati Sadali (Watie), 34, menjawab dakwaan kononnya dia menjadi punca perceraian pelakon yang juga penyanyi, Zulkifli Daud (Joey), 37.

Sebelumnya, kecoh dikatakan dramatis popular yang juga bekas anggota kumpulan Elite ini menjalin hubungan dengan Joey selepas dipertemukan dalam drama bersiri, Blues Pasar Tani yang menjalani penggambaran pada Mac lalu di Muar, Johor.

Joey yang turut membintangi drama tersebut dikatakan membuat kenyataan dalam akhbar semalam yang dia sudah pun menceraikan isterinya dan kini rapat dengan Watie.

Bagaimanapun, Watie yang juga mempunyai seorang anak, Ahmad Afif Danial, 6, ketika diminta mengulas perkara itu tidak langsung melenting, sebaliknya tenang dan menyifatkan perkara itu lumrah buatnya yang berstatus janda.

“Ini bukan pertama kali saya dituduh begini. Mungkin ini suratan yang terpaksa saya telan kerana hidup membesarkan anak sendirian. Jika saya rapat dengan seseorang atau dilihat mesra walaupun atas urusan kerja, ada saja mata dan mulut yang menyampai. Saya sudah lali walaupun ada kalanya memang saya tertekan dan sedih.

“Saya akui memang akrab dengan Joey dan jujurnya dia sudah bercerai dengan isterinya ketika itu. Mustahil untuk saya ganggu rumah tangga orang lain kerana saya sendiri mempunyai anak dan sentiasa sibuk dengan kerjaya saya. Jika betul saya ingin menghancurkan rumah tangga atau merampas suami orang, dari dulu lagi saya sudah lakukan bukannya sekarang dan tidaklah dengan Joey.

“Hubungan kami bukanlah atas sebab tertentu sebaliknya saya memang selesa sepanjang mengenalinya. Malah, saya menjadi rapat dengannya pun kerana dia sering mengadu masalah rumah tangganya ketika kami masih sama-sama berlakon sebelum ini. Lama-kelamaan rasa serasi dan selesa itu wujud namun terus-terang saya katakan, ia berlaku selepas Joey berstatus duda seperti mana yang dia sendiri katakan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Rapatlepasluahmasalahrumahtangga/Article

Belasah rakan angkara facebook


Oleh Mohd Rashidi Yusuf
am@hmetro.com.my
2010/10/04

LENGGONG: “Hanya kerana salah faham selepas dituduh menceroboh laman sosial facebook milik kawannya, anak saya dibelasah teruk hingga cedera di mata dan dahi,” kata seorang bapa, Hazizi Abdul Aziz, 46.

Dia berkata, difahamkan anaknya berkawan rapat dengan rakan sekelasnya itu sehingga mengetahui kata laluan untuk membuka akaun facebook kawannya itu dan sebelum kejadian mereka tidak bermasalah.

Bagaimanapun, katanya, difahamkan baru-baru ini, ada pihak menceroboh akuan berkenaan menyebabkan rakannya menuduh mangsa yang mencerobohnya kerana beranggapan hanya dia seorang yang mempunyai kata laluan ke laman berkenaan.

“Selepas bertengkar, mangsa yang mendakwa tidak menceroboh akaun rakannya dibelasah dipercayai kerana ada rakan lain mengapi-apikan pemilik akaun facebook itu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang Khamis lalu, Hazizi mendakwa anaknya, Aiman Asyraf, 17, pelajar tingkatan lima sebuah sekolah berasrama di sini, dibelasah teruk.

Berikutan kejadian itu, Hazizi yang tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur, bergegas pulang ke Kampung Luat, dekat sini, awal pagi Jumaat lalu, selepas menerima panggilan telefon mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi.

Dia terkilan kerana pihak sekolah tidak memaklumkan kepadanya mengenai kejadian menimpa anaknya itu dan hanya mengetahui insiden terbabit daripada pihak lain.

“Pihak sekolah sepatutnya beritahu saya mengenai kejadian itu.

“Malah, lebih mengejutkan, ketika saya menemui pihak sekolah kira-kira jam 10.30 pagi Jumaat lalu, mereka mengatakan tidak tahu kejadian menimpa anak saya,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Hazizi berkata, dia diberitahu anaknya yang juga anak ketiga daripada tujuh beradik dihantar warden asrama ke Klinik Kesihatan Lenggong dan ditinggalkan di klinik berkenaan sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Menyedihkan, tiada seorang wakil sekolah mengiringi anak saya sepanjang dibawa ke Hospital Kuala Kangsar.

“Saya tak mahu membesarkan perkara ini, tapi sikap pihak sekolah yang lepas tangan sangat dikesali dan tidak mahu ia berulang,”
katanya.

Menurutnya, Aiman antara pelajar cemerlang di sekolah itu, tetapi kejadian yang menimpanya akan menjejaskan persediaannya menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Justeru, saya berharap pihak sekolah memandang serius perkara seperti ini kerana ia boleh menjejaskan masa depan anak saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Lenggong.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Belasahrakanangkarafacebook/Article

'Cerita Joey hanya dusta'




Oleh Murshid Eunos
murshid@hmetro.com.my
2010/10/04

KUALA LUMPUR: “Apa yang diceritakan dan segala kenyataannya adalah dusta. Terhenti jantung saya berdegup, kering jadinya darah bila melihat yang dia berani bersumpah berkali-kali. Hakikatnya saya saja yang telan,” kata Noraini Nasir, 44, isteri kepada penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud (Joey), 37, selepas kecewa melihat kenyataan suaminya itu dalam sebuah akhbar semalam.


SEDIH...Norani tidak dapat menahan kesedihannya mengenai kenyataan Joey mengenai rumah tangga mereka.


Noraini atau Amy yang mengenali Joey sejak 14 tahun lalu sebelum berkahwin dengannya pada 4 Mei 2005 dikurniakan seorang anak lelaki berusia empat tahun, Zidani Zulkifli kecewa dan sedih kerana pelakon dan penyanyi itu mendakwa sudah menceraikannya.

“Mana dokumennya. Kenapa tidak terus failkan di mahkamah dan membiarkan saya dan anak sehelai sepinggang. Kalau betul dia sudah tidak mahu lagi perkahwinan ini, tampil ke depan, gunakan prosedur yang betul dan bukannya senyap seribu bahasa.

“Tindakannya mengatakan yang dia sudah menceraikan saya serta tidak segan silu mengaku hubungannya dengan Watie adalah tidak wajar dan langsung tidak menghormati saya yang masih belum diputuskan mahkamah tidak lagi isterinya. Sanggup dia membuat pengakuan tanpa memikirkan soal keluarga saya dan anaknya.

“Hingga kini, sudah berbulan-bulan dia meninggalkan rumah dan tidak menjenguk anak. Dia hanya memberi wang sebelum Ramadan lalu dan sekali lagi pada malam raya. Itu pun dia meminta seorang temannya datang ke rumah menyampaikan duit RM1,000 kepada saya untuk belanja raya,” katanya.

Memetik kata Joey dalam laporan akhbar semalam, dia turut menafikan segala gambar mesra antaranya dengan Watie dalam akaun Facebook miliknya dan mendakwa ada pihak cuba menggunakan namanya untuk membuat satu akaun lama tersebut.


“Bohong jika ada pihak yang menggunakan namanya untuk membuat satu akaun Facebook kerana seingat saya itu memang akaunnya dan sebelum ini dia sering menunjukkan pada saya jika ada kawannya menghantar mesej ataupun gambar di akaun tersebut. Itu memang akaunnya dan setiap gambar yang ada di dalamnya memang dia sendiri yang meletakkannya.

“Usah menafikan perkara itu apabila ada pihak mula mempersoalkannya. Memang dia meletakkan gambar itu. Namun, saya sendiri tidak mahu melihatnya cuma teman yang memberitahu kononnya Joey meletakkan gambar mesranya dengan Watie serta gambar ketika mereka menyambut Aidilfitri bersama di kampungnya di Masai, Johor.

“Memang saya terkilan kerana ketika saya dan anak duduk bersendiri di pagi raya, rupa-rupanya dia membawa Watie dan anaknya pergi beraya hingga ke kampungnya di Johor. Tergamak dia melakukannya dan meninggalkan anaknya sendiri beraya sendirian,” katanya.

Amy berkata, Joey berubah sejak pulang penggambaran drama bersiri, Blues Pasar Tani di Muar, Johor pada penghujung Mac lalu. Selain banyak mendiamkan diri dan bersikap dingin.

Ketika Joey sibuk di lokasi drama Ejen 2x5 sekitar bulan Jun, pelakon yang juga penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Beradu Suratan itu tidak pulang ke rumah selama dua minggu sebelum muncul di depan pintu rumah untuk menceraikan isterinya di ruang meletak kenderaan di depan rumahnya di Ampang.

Tiga hari kemudian, pelakon yang sinonim dengan watak komedi itu pulang semula ke rumah untuk merujuk semula dan kembali tidur di rumah selama 10 hari. Selain menjunjung Al-Quran dan berjanji berubah di depan Noraini, Joey dikatakan menukar nombor telefon bimbitnya dan tidak langsung keluar rumah sepanjang 10 hari itu.

Namun, beberapa minggu sebelum menjelang Ramadan, dia terus meninggalkan rumah sehelai sepinggang hingga ke saat ini. Selain menafikan tindakannya merujuk kembali, Joey turut dikatakan lupa tanggungjawabnya sebagai seorang bapa.

“Jika benar dia bertanggungjawab dan tidak lupa nafkah anak seperti mana dikatakan dalam laporan semalam, kenapa hingga ke hari ini, saya yang mengikat perut bagi menghantar anak ke sekolah. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya berhenti bekerja sebagai penerbit produksi kerana Joey yang meminta memberi tumpuan pada keluarga dan anak. Kononnya dia mampu menyara kami sekeluarga.

“Justeru apabila dia pergi meninggalkan kami begini, saya kembali mencari kerja dan meminta bantuan teman sekeliling. Memang perit dan jika tiada kesabaran, sudah lama saya bunuh diri. Mana tidaknya, saya dan anak duduk merintih di pagi raya dan hingga kini saya berdepan dengan pelbagai tanggungan. Rumah, kereta, perbelanjaan harian dan persekolahan anak semuanya menjadi beban kerana perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun Amy enggan mengulas lanjut mengenai hubungan Joey dan Watie, sebaliknya mengharapkan Joey berlaku adil dan ingat tanggungjawabnya terhadap anak, selain menghentikan segala kenyataan yang masih belum ada kesahihan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/CeritaJoeyhanyadusta/Article
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...